PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Thursday, November 24, 2011

210.Sang Rangkak Di Batang Selumit..

Sudah masuk tahun ke 6 saya di SMK Belawai, baru dapat merealisasikan niat untuk menjelajah ke semua 8 buah sekolah-sekolah rendah yang menjadi sekolah “fider” bagi satu-satunya sekolah menengah di Daerah ini. 4 buah sekolah memang terletak setanah dengan SMK Belawai, iaitu SK Tanjung Manis, SK Abang Buyuk, Sk Abang Galau dan SK Abang Gesa. Sekolah-sekolah rendah yang lain yang terpaksa dihubungi dengan jalan air atau dengan menggunakan “speed boat” ialah SK Orang Kaya Pakeri Paloh, SK Sebayang, SK Stalon dan SK Sebako yang kini sudah boleh dihubungi dengan jalan darat.

Mula sahaja masuk ke Muara Sungai Selumit dengan "speed boat" pada 10.11.2011 jam 9.00 pagi. Kami disambut oleh Sang Buaya. Sebelum ini pernah penduduk tempatan menceritakan tentang buaya ini tetapi tiada bukti kukuh kerana saya difahamkan jarang buaya ada diair masin. Walau apa pun sepanjang perkhidmatan saya di Sarawak selama hampir 20 tahun, ini adalah kali pertama saya melihat buaya secara Langsung.
Dalam perancangan awal, tujuan asal kunjungan ke sekolah adalah untuk merapatkan hubungan silatulrahim dengan ibubapa dan guru-guru. Selain dari itu pihak sekolah juga percaya hubungan baik antara pentadbiran sekolah yang memberi dan sekolah yang menerima murid amat penting supaya tidak ada kekeliruan dalam kesinambungan perkembangan sahsiah dan kecemerlangan murid. Kunjungan 4 buah sekolah pada peringkat awal oleh semua penolong kanan SMK Belawai memberikan “feed back” yang sangat baik. Seterusnya pada 10.11.2011 dan 11.11.2011 apabila saya menyertai mereka dalam misi kunjungan dan penjelajahan ini, saya Nampak satu kesan yang sangat positif.

Bergambar di pintu masuk SK Orang Kaya Pakeri, Paloh selepas disambut dengan konvoi bermotosikal dari jeti.
Bermotosikal ke sekolah dari jeti

Suasana kampung Paloh yang tenang dan damai

Ibu bapa yang sedia menanti kedatangan rombongan dari SMK Belawai ke SK Orang Kaya Pakeri
Kedatangan kami ke SK Orang Kaya Pakeri di Sambut Oleh Guru Besar Cg Aisyah, Penonolong kanan dan guru-guru
Dalam kunjungan saya di SK Orang kaya dan SK Sebayang, jelas kelihatan ibu bapa sangat mengharapkan sumber maklumat yang tepat dari pihak sekolah. Perhubungan yang jauh mungkin menyebabkan maklumat tidak sampai dengan jelas. Maklumat yang ibu bapa dapat mungkin boleh dimanipulasikan dan akan menimbulkan sedikit prasangka yang tidak baik bagi SMK Belawai. Berbagai perkara diterangkan dengan jelas oleh PK Hem, PK KK, Guru Cemerlang dan Guru Kanan Vok dan Teknik (Wakil Koperasi sekolah). Ibu bapa juga diberikan kesempatan untuk bertanya, berbincang dan mereka boleh mendapat sebanyak mungkin maklumat yang sebelum ini mereka tidak berkesempatan bertemu dan berbincang.


Rombongan kami sampai ke SK Bayang Jam 1 tengahari.
Tidak kurang juga ramai ibu bapa yang berjumpa saya berbincang mengenai masalah disiplin anak-anak mereka di asrama. Saya yakin Ibu bapa akan faham kenapa pihak sekolah perlu bertindak tegas dan ada ketikanya ada perkara yang kita boleh runding di peringkat sekolah dan ada sebahagian lain mereka perlu tanggung masalah anak-anak sehingga perlu ke peringkat PPD atau ke Peringkat Jabatan Pelajaran Negeri.

Ibu bapa dan pelajar SK Bayang dan SK Stalon sudah lama menunggu. Mereka datang sejak jam 8 pagi. Terima kasih kerana sabar menunggu. Kami difahamkan mereka datang awal kerana terpaksa mengikut pasang surut air. Tahun hadapan SMK Belawai akan ke SK Stalon, Pihak PIBG SK Stalon bermurah hati akan menjemput rombongan dari sekolah jika ada aktiviti seperti ini pada masa hadapan. T. kasih kepada Guru Besarnya.
Kami di hidangkan makan oleh GB SK Bayang, Udang Galah Masak Cili, Ikan Merah Masak Rempah, Sayur Campur, Ulam dan Sambal. Cukup sedap dan menyelerakan. Pengalaman indah buat Cikgu Norlela yang akan berpindah ke Negeri Sembilan.
Ustazah Maznah (PK Hem) dengan penuh semangat menyampaikan taklimat kepada ibu bapa di SK Bayang
Guru Cemerlang Cg Hasbi, turut serta memberi penerangan di SK Bayang
PK KK Cg Abd Gani sempat membeli buah rambutan. Sangat murah seikat Rm1/= sahaja. Di Sibu 1 Kg RM8/= Apuhhhh....

Selamat Tinggal SK Bayang... Ustazah Maznah dan Cg Norlela sedang menuruni jeti ke "Speed Boat"

Dalam "speed boat".. Tidak kira di mana, kami sentiasa berbincang. Semuanya untuk SMK Belawai
Walau bagaimanapun saya percaya kunjungan ini sangat berjaya dan insyaAllah jika diberi kesempatan pada tahun hadapan pihak SMK Blawai akan membuat perancangan yang lebih rapid an teratur untuk tujuan murni ini. Selamat Datang Ke SMK Belawai pelajar-pelajar tingkatan 1 tahun 2012. Sama-sama kita cemerlangkan sekolah kebanggan kita ini. SMK Belawai Sentiasa Cemerlang…

Friday, November 18, 2011

209. Salam Perpisahan Dan Selamat Berbahagia..

Belum pun saya menerima maklumat rasmi dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak tentang perpindahan guru dari SMK Belawai seperti mana yang dipohon oleh guru-guru, Namun guru-guru yang memohon perpindahan sudahpun mendapat maklumat lebih awal dari pihak pentadbiran. Bagaimana pun dari kutipan maklumat seramai 6 orang dapat berpindah, kurang dari sasaran saya sebelum ini yang menjangkakan ramai guru yang akan meninggalkan SMK Belawai dengan pelbagai alasan yang munasabah untuk berpindah. Seingat saya seramai 17 guru yang memohon perpindahan, dan sehingga kini 3 orang guru telah membuat rayuan. Saya percaya pihak Jabatan mempunyai alasan yang tertentu dan bagi yang tidak berjaya cuba lagi tahun hadapan.

Cg Mahhadir Mohamad (Tun) akan berpindah ke SMK Serian, Jalan Ilmu, Serian.

Cg Irene Chua akan bertukar ke Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak sebagai Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Kuching.
Cg Norlela Bt Ghazali (Guru Kanan Vok dan Teknik) akan bertukar ke SMK Dato Sheikh Ahmad, Jalan Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan

Cg Lim Hui Lee akan berpindah ke SMK Asajaya 2, Pekan Asajaya, Sarawak.

Cg Lydia Wong akan berpindah ke SMK Kampung Nangka, Sibu

Cg Rafidah Uzir akan berpindah ke SMK Berapit, Pulau Pinang
Kepada guru-guru yang akan berpindah, saya mewakili pihak sekolah merakamkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada cikgu semua atas khidmat bakti yang dicurahkan selama ini. Sesungguhnya dengan komitmen yang ada pada diri cikgu masing-masing telah menaikkan nama SMK Belawai. Saya juga rasa sedih atas perpisahan ini kerana saya telah kehilangan satu team work yang cemerlang. Semoga perpindahan cikgu semua akan memberi semangat kepada rakan-rakan lain, memperkemaskan team work yang ada dan bekerja dengan lebih gugih pada masa hadapan. Kepada semua guru yang berpindah saya doakan semoga cikgu akan sentiasa cemerlang walau di mana sahaja cikgu bertugas dan semoga kita akan bertemu kembali..

Selamat berpisah juga kepada semua guru ganti dan guru sandaran tidak terlatih yang selama ini juga sama-sama memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar dan SMK Belawai dan merealisaikan visi SMK Belawai sentiasa Cermerlang.

Selamat Bercuti panjang kepada semua guru dan pelajar SMK Belawai. Jaga keselamatan dan kesihatan. Kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan SPM, buat yang terbaik dan tinggalkan SMK Belawai dengan keputusan yang membanggakan. Kepada guru-guru yang akan melangsungkan perkahwianan, Selamat Pengantin Baru, Semoga Kekal Ke Akhir Hayat. Antara kad perkahwinan yang saya terima ialah dari, Cg Norkhasmini, Cg Herman, Cg Hamidah, Cg Norhaslina, dan Cg Hanim.

Selamat Berhagia. Terima kasih Cikgu..

Monday, October 10, 2011

208.Selamat Pengantin Baru.. Tahniah PPD Mukah

Sama cantik sama padan. Selamat Pengantin Baru. Semoga Jodoh berkekalan sehinggan ke akhir Hayat
Abdul Hamid Bin Abdul Wahab dan Noorfida Bt Jamil
Tanggal 9 Oktober 2011 bersamaan 11 Zulkaedah 1432 H merupakan hari yang paling bersejarah kepada 2 pengantin baru Abdul Hamid Abdul Wahab bersama dengan pasangannya Noorfida Bt Jamil. Pertemuan 2 hati yang yang bertaut kasih ini diwar-warkan ke sekelian tetamu jemputan dalam satu majlis Walimatul Urus yang penuh gilang gemilang. Majlis berlangsung seperti yang dirancang di Dewan Suarah Mesra Mukah tepat Jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari. 

Pengantin masuk ke Dewan Suarah sejurus ketibaan dari perarakan berkereta
Tahniah kepada Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, En Abdul Wahab Bin Haji Sapawi dan Isteri, Pn Jaiyah Bt Aja kerana selamat menerima menantu pertama dalam keluarga. Kami sekeluarga dan saya mewakili warga SMKB mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-dua mempelai, semoga Allah titipkan kemesraan kepada mereka berdua agar kebahagiaan kekal abadi dalam melayari bahtera perkahwinan. Kami juga berdoa agar mereka akan kekal selamanya sepanjang hayat dan dikurniakan zuriat yang sempurna, beriman dan beramal soleh. Sesungguhnya Engkau berhak ke atas segala sesuatu.
Persembahan silat kepada pengantin sebagai pembuka majlis
Suasana di dalam Dewan Suarah, tetamu yang hadir dan majlis menepung tawar oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
Abdul Hamid dan Noorfida

Tuesday, October 4, 2011

205.Bermulanya Perjuangan - PMR 2011

Suasana pagi 4 Oktober 2011 di Dataran Ilmu SMK Belawai

Cuaca pada pagi ini 4 Oktober 2011 sangat baik. Mentari pagi nampaknya seolah-olah mengerti apa yang sedang difikirkan oleh para pelajar calon PMR 2011 SMK Belawai yang sedang melangkah Ke Dewan Barong. Peperiksaan pertama pada hari ini ialah Bahasa Melayu ketas 1. Hari-hari sebelum ini matahari bersinar terang pada waktu-waktu begini tetapi hari ini suasana cukup redup dan barangkali sedang mendoakan kecemerlangan SMK Belawai seperti yang diharapkan oleh semua warga sekolah yang selama ini berusaha keras dengan pelbagai program demi untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang.

Doa dipohon kejayaan milik SMK Belawai - semoga usaha direstui
Bermaafan dengan ibu bapa dan ada yang sempat berbincang dengan ibu tersayang
Kehadiran ibu bapa yang mengiringi para pelajar juga sangat menggalakkan untuk memberi motivasi kepada anak-anak untuk terakhir kalinya sebelum mereka melangkah masuk ke dewan. Debaran bukan sahaja dirasai oleh anak-anak calon PMR tetapi juga para ibu bapa. Awal mereka datang dan sama-sama berkumpul di depan dewan demi memastikan keselesaan dan kesediaan anak masing-masing. Kehadiran YDP PIBG dan sedikit kata-kata semangat juang juga menambahkan lagi keazaman pelajar untuk melakukan yang terbaik. Seterusnya langkah masuk pejuang-pejuang ini diiringi dengan doa selamat yang dibaca oleh Ustaz Husni Zaim.

Calon-calon PMR SMK Belawai sedang berjalan masuk ke Dewan Barong
Ibu bapa yang sama-sama mengiringi anak-anak masuk ke Dewan
Tepat jam 7.45 pagi semua calon di panggil masuk ke dewan. Ruang yang sedikit itu, anak-anak dan para ibu bapa mengambil kesempatan bersalaman antara satu sama lain dan ada yang berpelukan. Kelihatan ada pelajar yang menitis air mata, melihat betapa sayangnya ibu bapa kepada mereka walaupun selama ini ada yang menimbulkan pelbagai masalah disiplin. Apa pun yang paling penting pada saat-saat ini ialah biar mereka tahu bahawa  pengorbanan mereka belajar selama 3 tahun sebelum PMR ini sangat-sangat dihargai oleh semua orang. Bukan sahaja ibu bapa tetapi semua guru dan masyarakat.

Para pelajar yang dikasihi - sesungguhnya pengorbanan kamu dihargai
Terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir, terima kasih kepada YDP dan mantan YDP, Semua penolong kanan, guru-guru kanan dan guru-guru subjek yang turut serta dalam majlis ringkas tersebut. Terima kasih kepada ibu bapa yang bersedekah belanja minum di kantin sekolah. Semoga usaha kita ini akan membawa keberkatan. InsyaAllah..

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR kepada semua calon PMR 2011 di Seluruh Malaysia. Semoga anda semua berjaya mengejar cita-cita. Jawab dengan hati yang penuh cekal dan jadikan kejayaan kamu sebagai hadiah yang paling menarik dan bermakna kepada kedua-dua ibu bapa dan guru-guru.

Terima kasih Cikgu..

Sunday, October 2, 2011

204.RIMUP SMK Belawai penutup sambutan Hari Raya 2011

20 September lalu merupakan kemuncak semua sambutan perayaan dan aktiviti yang tertangguh bagi SMK Belawai.  Satu sejarah telah tercipta di mana semua program di satukan menjadikan “All in One” iaitu Sambutan hari raya Idulfitri peringkat sekolah, RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan), Majlis Penyampaian Kismis untuk para pelajar tingkatan lima dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan.

Majlis pada hari tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang. Semua pelajar, staf sokongan dan guru berpakaian cantik dengan pakaian baru hari raya masing-masing. Begitu juga para pelajar dan guru-guru dari kaum lain seperti Iban, Cina dan India. Semuanya dengan pakaian tradisi masing-masing.  Apa yang sangat membanggakan ada dikalangan guru-guru Melayu, India dan Cina yang sanggup meminjamkan pakaian kepada para pelajar bukan Melayu supaya mereka juga dapat sama-sama berpakaian cantik seperti para pelajar lain pada hari tersebut.

Wajah-wajah ceria SMK Belawai
Lebih membanggakan lagi ialah sifat pemurah ibu bapa pelajar yang sanggup menyediakan Kek, biskut dan pelbagai makanan lain untuk dibawa oleh anak-anak ke sekolah. Saya difahamkan ada para ibu yang bersengkang mata semata-mata untuk menyiapkan kek untuk di bawa oleh anak-anak ke sekolah. Selain dari itu para pelajar juga sanggup mengeluarkan wang RM1 seorang untuk membeli makanan lain, selain dari air kotak yang disumbangkan oleh pihak sekolah. Dalam pada itu di bilik guru, beberapa orang guru telah bersepakat mengadakan jamuan untuk semua staf. Menariknya dalam suasana bergembira tersebut, tanggungjawab untuk melaksanakan Pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Suasana di dalam Masjid Belawai dan Majlis Perasmian
Pada hari khamis malam jumaat pada minggu yang sama juga Majlis solat hajat telah dapat dilaksanakan seperti yang dirancang mengikut giliran. Majlis soalat hajat kali ini ialah di Masjid Kampung Belawai yang di rasmikan oleh Yang Berbahagia En. Abang Mohamad Bin Abang Turkey, Pegawai Daerah, Daerah Kecil Belawai. Namun selepas ini ada 2 lagi aktiviti yang perlu dilaksanakan iaitu Majlis Menghalalkan Ilmu dan Majlis Anugerah kecemerlangan Pelajar.


Masjid Darul Arqam, Pamandangan di luar dan Dalam
Di sini, saya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru selaku AJK yang bertungkus menjalankan tugas dan memastikan semua aktiviti sekolah berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua pelajar dan tidak dilupakan kepada semua penduduk kampong terutama Kampung Belawai dan AJK Masjid Kampung Belawai yang memberi kerjasama yang sangat baik kepada pihak sekolah dalam memastikan solah hajat Berjaya dilaksanakan. Harapan saya hubungan yang baik ini dapat di kekalkan sampai bila-bila walaupun saya tidak lagi berkhidmat di SMK Belawai. InsyaAllah pada tahun hadapan kita akan laksanakan solat hajat di Masjid Tanjung Manis jika di Izinkan Allah..

Tuesday, August 30, 2011

203.Selamat Menyambut Merdeka Raya


Gambar Hiasan : Carian google
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin

Hari ini adalah hari kemenangan bagi umat islam. Dari malam tadi berkumandang puji-pujian kepada Allah SWT dari umat Islam di seluruh masjid, di TV dan dicorong-corong radio. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan kita dengan Ramadhan dan Syawal kali ini, walaupun bagi sesetengah orang hanya tahu akan 2 bulan Islam ini sahaja. Buat pertama kalinya juga dalam sejarah Allah SWT telah menunjukkan kepada kita kebesaran dan keagungannya, mempertemukan kita 2 perayaan besar iaitu sambutan Hari Raya Idulfitri dan Sambutan Kemerdekaan Tanahair  ke 54 dalam masa selang sehari. Ada yang menamakannya sebagai Merdeka Raya. Sebelum ini juga Allah SWT telah mempertemukan kita dengan perayaan-perayaan  dari agama lain, semua ini adalah atas kehendaknya juga.

Saya percaya bahawa semua umat Islam yang bertaqwa sayang untuk meninggalkan Ramadhan kecuali yang langsung tidak mengendahkan bulan mulia ini. Bagi yang berniaga, bulan ini adalah bulan rezeki. Banyak keuntungan diraih tidak kita pakaian, makanan, perhiasan dan sebagainya. Dari sebelum bulan Ramadhan lagi gedung-gedung perniagaan dipenuhi orang ramai bagi persiapan hari raya. Tidak kurang juga belum pun berpuasa sudah ada iklan untuk hari raya. Sehingga saat pengumuman semalam pun ramai lagi antara kita yang masih lagi belum habis untuk membeli itu dan ini, ada saja yang belum cukup.

Bagi yang menggunakan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah, beruntunglah mereka. Bertambah beruntung bila ada antara umat Islam yang Allah mempertemukan mereka dengan malam yang terbaik iaitu malam Lailatulqadar. Betapa Indahnya Islam, keseronokan Ramadhan dengan pelnagai pesta makanan dan pelbagai juadah yang tidak ada dibulan-bulan yang lain hari demi hari telah membuatkan umatnya langsung tidak sedar telah genap sebulan berpuasa. Bahkan digandakan lagi oleh Allah SWT bagi mereka yang suka mencari keredaannya dengan 6 hari berpuasa pada bulan Syawal yang pahalanya berlipat ganda, MasyaAllah..

Sempena Hari Raya pada hari ini, marilah sama-sama kita menyambutnya dengan penuh kesederhanaan dan penuh kesyukuran. Saya yakin pada masa sekarang semua guru-guru SMK Belawai, para pelajar dan semua warganya sedang memakai baju baru dan bersedia untuk ke Masjid untuk sama-sama menunaikan solat sunat Idulfitri, begitu juga semua rakan-rakan yang membaca tulisan dalam blog ini. Satu perkara yang saya selalu pesan ialah walau di mana sahaja kita berada pada ketika ini, jagalah kesihatan dan keselamatan. Jangan terburu-buru, langkahlah dengan yakin, penuh bertimbangrasa, berbudi bahasa dan bersopan. Berhemahlah, bermaaf-maafanlah semasa kita. Berkunjunglah ke rumah rakan-rakan dan sanak saudara untuk mengeratkan lagi silatulrahim..

Mereka adalah pejuang kemerdekaan. Jangan pertikaikan pengorbangan mereka
Bersyukurlah kita hidup dibumi bertuah ini dengan harmoni dan penuh kemakmuran.
Isilah kemerdekaan ini dengan perkara yang berfaedah yang tidak menyinggung mana-mana pihak.
Sempena Hari yang Mulia dan penuh keberkatan ini saya mengambil kesempatan mengucapakan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Terima kasih kepada semua rakan taulan yang telah SMS sejak dari petang semalam. Saya ingin menjadi orang yang pertama mengucapkan Selamat Hari Raya, tetapi anda telah mendahului saya. Terima kasih, semoga Allah sahaja yang membalas kebaikan anda. Sekali lagi Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan Selamat Menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan ke 54. Wassalam...

Tuesday, August 23, 2011

202.Tidur itu Ibadah

Syukur, dengan siapnya jalan raya yang menghubungkan Sibu dan Tanjung Manis, dapat saya berulang alik dari sekolah menjengok keluarga dari masa ke semasa. Namun perjalanan yang agak lama lebih dari 100 kilometer itu membuatkan rasa bosan, lebih-lebih lagi memandu keseorangan. Masa yang diambil saya memandu ke sekolah ialah 1 jam 15 minit. Untuk sampai ke sekolah pada 6.45 pagi, saya bertolak dari rumah jam 5.20 pagi atau paling lewat 5.30 pagi. Tetapi kadang kala terlewat juga kerana keadaan jalan yang berkabus dan dihalang oleh keadaan jalan yang sudah mula rosak dan sedang di baiki.

Gambar Hiasan
Untuk ulang alik setiap hari memang tidak mustahil, tetapi kini ada satu masalah yang saya tidak dapat elak ketika memandu. Pernah suatu hari dalam bulan Ramadhan ini saya terpakasa berhenti di tepi jalan untuk melelapkan mata, sebelum meneruskan perjalanan. Memang isteri di rumah risau, manakan tidak “handphone” tidak dapat dihubungi. Syukurlah setakat ini tiada apa-apa halangan dan selamat sampai kedestinasi walaupun pun pernah sekali terbabas di tepi jalan kerana terlalu mengantuk.

Memandu dalam keadaan mengantuk memang amat merbahaya. Tangan yang memegang stereng biasanya tidak stabil. Dalam keadaan mengantuk pandai pulak tangan memusing stereng ke kanan atau ke kiri. Mata pula tiba-tiba saja terlelap dan terjaga dengan keadaan terkejut. Walaupun sudah melakukan sedikit senaman jari dan tangan, dan menarik nafas panjang, jika mengantuk sudah menguasai diri, jalan yang paling selamat ialah saya mesti berhenti dan tidur. Atau jika ada kawasan rehat, berhenti untuk minum atau berjalan-jalan bagi menghilangkan mengantuk.

Banyak kemalangan berlaku kerana kes mengantuk. Ekoran masalah ini kerajaan Amerika telah menubukan sebuah Yayasan Tidur Negara atau National Sleep Foundation untuk mengkaji masalah ini. Pada tahun 1995 Jabatan pengangkutan Amerika melaporkan 100,000 kemalangan disebabkan masalah tidur. Suruhanjaya Khas berhubung masalah tidur pula melaporkan masalah tidur boleh menjejaskan produktiviti Negara. Dikatakan juga, kemalangan yang melibatkan kapal tangki minyak Exxon Valdez (1989), World Prodigy (1989), kemalangan kapal terbang tentera DC-8 di Guantanamo Bay, Cuba dan Tragedi Kapal Angkasa Challenger adalah kerana masalah mengantuk. ( sumber : Dr Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden)

Gambar Hiasan.
Melayan rasa mengantuk semasa dalam perjalanan
Tidur adalah satu Ibadah. Tidur adalah hak badan. Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad pernah berkata, “Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk , hendaklah dia tidur untuk menghilangkan rasa mengantuk. Apabila seseorang meneruskan solat ketika mengantuk kemungkinan ketika sedang membaca istighfar tanpa disedari dia mengutuk dirinya sendiri”.

Tidak cukup tidur akan mengundang masalah. Pelajar yang tidur lambat akan mengantuk di sekolah. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ini, semua antara kita yang kelihatan keletihan dan mengantuk. Ditambah pula dengan musim peperiksaan sekarang, ramai pelajar yang tidak dapat menjawab peperiksaan dengan baik kerana melayan mata yang mengantuk. Jawapan yang diberikan ala kadar dan memilih untuk tidur dengan menekap muka dimeja. Aktiviti remaja di rumah dengan mengabaikan waktu tidur boleh mendatangkan kesan yang tidak baik tentang prestasi pelajaran mereka. Bukan mereka tidak dapat dapat menjawab tetapi keadaan mengantuk membuatkan mereka malas untuk berfikir. Menurut satu kajian. Tidur lewat boleh menjejaskan pusingan biologi seseorang.

Saya pernah menegur seorang guru yang datang lewat ke sekolah. Katanya, sehingga kini dia tidak dapat mengatasi masalah tidak sedar tidur. Walaupun ada jam loceng dan dikejutkan oleh rakan-rakan tetapi masih tidak dapat membuka mata. Apa yang berlaku, masa untuknya menghabiskan pengajian 4 tahun terpaksa ditunda sehingga 8 tahun. Pada mulanya saya kurang percaya. Setelah diteliti fail peribadinya, ternyata kata-katanya benar. Harapan saya dalam masa beliau masih muda ini, jangan pula dia tidur, sehingga langsung tidak sedar dan langsung tidak bangun-bangun. Tetapi bagaimana pula jika ada guru yang tidur dalam kelas?...

Friday, August 19, 2011

201.Merdeka Menyambut Kemenangan Ramadhan


Suasana sehari sebelum Idulfitri 2010 di Kuala Sungai, Sungai Baru Kedah
Suasana yang tidak dapat lupakan bila tibanya Hari Raya walau di mana sahaja berada

Keputusan adalah muktamad. Tahun ini saya sekeluarga akan menyambut Hari Raya Idulfitri di Sibu. Permintaan sanak saudara di sebelah sana tidak dapat dipenuhi. Sudah 2 tahun berturut-turut bersama keluarga di sana, tahun ini giliran di Sibu pula. Bagi diri saya tidak ada masalah, di mana saja boleh. Di sana keluarga, di sini pun keluarga, tetapi bila melihat rakan taulan sibuk membuat persediaan untuk balik ke kampung, terasa juga. Lebih-lebih lagi ada yang sudahpun menempah tiket, membuat tempahan kek lapis Sarawak dan sebagainya. Saya sudah membuat pilihan, jodoh di seberang Laut Cina Selatan, maka singkatnya, sama-sama berkorbanlah..

Wajah anak-anak yang riang gembira
Tertekan.. jika sesuatu tidak diingini berlaku kpd mereka
Minta dijauhkan Allah SWT
Saya percaya ramai rakan guru dan umat Islam yang lain juga sudahpun bersedia dengan cara tersendiri. Sama ada untuk berhari raya di Kampung Isteri atau suami. Ada yang dekat dan ada yang akan membuat perjalanan jauh. Bagi yang akan membuat perjalanan jauh menggunakan kenderaan awam, tempahlah tiket awal-awal. Saya yakin, ramai guru-guru semenanjung yang mengambil keputusan untuk pulang berhari raya sudahpun menempah tiket awal-awal sama ada Air Asia ataupun MAS. Ada yang sudahpun mempunyai tiket beberapa bulan lalu dengan harga yang lebih murah, berbanding dengan saat-saat terakhir sekarang yang harganya semakin melambung. Jika tidak bernasib baik kemungkinan semua tiket habis dijual.

Saya pernah naik bas Syarikat Ini 2 kali
Dari KL (Jalan Duta) ke Alor Setar Jam 12.45 malam
Berkenalan dengan pemandunya En Adzli -
Sangat peramah dan berhemah
Begitu juga rakan-rakan lain walau di mana sahaja berada, rancanglah perjalanan. Sama ada untuk menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan awam. Bagi yang sudah membuat keputusan menggunakan bas, ambillah tiket lebih awal. Jangan sampai kita tertipu oleh ulat-ulat atau sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab dan mengaut keuntungan keatas kita. Pilihlah kenderaan awam yang difikirkan terbaik sama ada bas, keretapi dan sebagainya. Biarlah kita sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat. Ramai orang tersayang, ibu, ayah, abang, kakak dan adik beradik yang lain menanti kita untuk menyambut hari mulia bersama-sama. Jangan pula di hari yang sangat-sangat dinantikan oleh umat Islam itu kita terkandas di Terminal Bas atau di mana mana sahaja sedangkan orang lain mula memenuhi masjid, kita masih di dalam perjalanan.

Bagi yang telah mengambil keputusan menggunakan kenderaan sendiri. Masih ada masa untuk “servis” kereta masing-masing. Pastikan kenderaan kita selamat untuk seisi keluarga. Pastikan system breknya bagus, semua lampu berfungsi dengan baik, air tidak berkurang, baterinya bagus dan sebagainya dalam keadaan yang amat memuaskan. Baliklah lebih awal supaya tidak berebut-rebut dengan orang lain. Rancanglah masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan. Berhenti bila mengantuk di kawasan selamat. Jika di semenanjung gunakan tempat rehat R & R yang di sediakan di Lebuh Raya, Jika di Sarawak berhentilah di mana ada tempat berhenti yang disediakan.  

Berehatlah seketika jika dalam keletihan. Elakkan berlumba-lumba dengan kenderaan lain. Ada rakan saya yang berpendapat jika berlumba-lumba seperti itu mengelakkan mengantuk. Saya amat tidak bersetuju dengan teori ini. Biarlah kita lambat asalkan kita selamat. Ingatlah di dalam kenderaan yang kita pandu, kita bukan keseorangan tetapi kita bersama-sama dengan keluarga. Kesilapan yang kita buat akan ditanggung oleh seisi keluarga. Renungilah muka isteri dan anak-anak. Mereka tidak bersalah. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini biarlah kita bersabar, bertimbang rasa, sopan santun dan hormat menghormati. Jangan biarkan rasa marah, bengis dan rasa bangga diri kita mengatasi segalanya yang akhirnya kita yang menanggung kerugian.

Bagi yang menunggang motosikal, pastikan motorsikal berada dalam keadaan baik. Gunakan topi keledar yang disahkan oleh SIRIM. Pakai pakaian yang cerah. Pandulah di lorong yang betul.  Elakkan membawa motosikal dekat dengan kenderaan besar. Jangan berlumba, pandulah dengan cara yang betul dan selamat.

Semoga perjalanan kita ke destinasi masing-masing selamat dan dilindungi Allah SWT. Walau dengan apa cara sekalipun sama ada melalui udara, laut, sungai atau jalan raya, saya sentiasa doakan perjalanan kita semua selamat. Elakkan kemalangan yang sering berlaku di musim-musim perayaan seperti ini. Saya sudah mengalami kemalangan sama ada motorsikal atau kereta. Saya sangat-sangat takut akan kemalangan ini. Beberapa kemalangan yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini, semasa mereka pergi dan balik untuk membuat persiapan hari raya sangat-sangat menyedihkan. Pada masa yang sepatutnya kita bergembira, keluarga kita menanggung kesedihan yang amat sangat. Lebaran yang sepatutnya disambut dengan gelak ketawa, usik mengusik, bertanya khabar, bermaaf-maafan bertukar dengan tangisan dan air mata. Kemenangan melawan hawa nafsu dan dalam suasana Malaysia menyambut kemerdekaan sudah tidak bermakna bagi mereka yang di tinggal di atas muka bumi ini...

Sama-samalah kita berusaha merdeka dari apa-apa bencana di Ramadhan ini. Rancanglah dengan betul dan Bertawakkal...

Saya juga berpesan kepada diri saya sendiri yang kadangkalanya alpa...

Kenyataan Gambar:
Bergambar kenangan bersama dengan keluarga selepas solat sunat Idulfitri 2010 di perkarangan Masjid Zahir Alor Setar.

Sultan kedah sibuk bersalaman dengan rakyat jelata selepas solat..

Bergambar kenangan bersama nenek yang kembali ke rahmatullah pada 7 April 2011. Syukur dapat bersama beliau pada 2010.. Al-fatihah


Friday, August 12, 2011

199.Ucapan Perasmian Ihya Ramadhan 2011

.
Datuk Hajjah Norah Tun Abd Rahman
Menyampaikan Ucapan tanpa menggunakan teks
Menulis dan memberi ucapan untuk sesuatu majlis bukan suatu perkara mudah, terutamanya mereka yang jarang-jarang diberi tugas untuk ke depan sama ada merasmi sesuatu majlis atau memberi taklimat. Itu tidak termasuk menyampaian ucapan di depan orang ramai atau penonton. Seperti kata seorang pengetua semasa diminta memeberi ucapan sempena persaraannya di Bintulu, “sudah lebih 20 tahun saya berucap di hadapan pelajar, dan orang-orang besar yang dating ke Sekolah tetapi hari  ini saya rasa amat gementar. Tidak tahu kenapa saya rasa begitu..”

Dalam ingatan saya, semasa di tingkatan 5 saya telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Semasa mengadakan mesyuarat saya langsung tidak dapat berkata apa-apa dan ditertawakan oleh rakan2. Semuanya tidak menjadi walaupun apa yang hendak dicakapkan telah tertulis. Memang bernasib baik ketika itu guru pengawas bertindak sebagai penyelamat. Namun, lama-kelaman masalah ini dapat diatasi dan mesyuarat dapat dijalankan walaupun tanpa kehadiran guru. Saya yakin semua ini dapat dilakukan dengan adanya latihan dan selalu dijemput ke pentas.

Dalam pada itu, ada juga rakan-rakan kita yang dapat menyampaikan ucapan dengan penuh yakin, bernas dan idea-idea barunya mendapat perhatian yang mendalam daripada orang ramai. Tidak kurang juga ada yang yakin, bernas dan idea-idea yang disampaikan langsung tidak mendapat perhatian kerana cara penyampaian yang hambar dan tidak menarik. Ada juga yang menggunakan teks yang sama saban tahun dengan sedikit perubahan. Dan ada yang terkantoi kerana apa yang dibaca dapat dikesan oleh pendengar, teks tersebut adalah teks tahun2 lepas yang langsung tidak diberi nafas baru.

Buat pertama kalinya teks ucapan saya untuk perasmian Program Ihya Ramadhan 2011 disediakan oleh Panitia Pendidikan Islam. Saya sendiri memohon supaya disediakan kerana, kemungkinan besar ada sesuatu yang saya terlepas pandang untuk dinyatakan dalam ucapan perasmian tersebut. Terima kasih kepada Ustazah Dayang siti yang sanggup memerah otak menyediakan teks tersebut. Maaf ucapan yang sampaikan, memang banyak penambahannya.

Dalam N3 ini saya selitkan teks ucapan tersebut (asal) untuk dikongsi bersama sebagai rujukan atau  ada sesiapa yang memerlukan dalam sebarang keadaan…

*********************

Terima kasih pengerusi majlis, Yang dihormati Penolong kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Ko-k, Ketua Warden, Ketua Guru Disiplin, Guru Cemerlang, Guru-Guru Kanan, Guru-guru dan para pelajar yang disayangi.

Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan segala alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya, Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang meneruskan tugas sebagai hamba Allah untuk melaksanakan amalan kebaikan di muka bumi ini. Semoga dengan apa yang dilaksanakan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan mendapat keberkatan dan keredaanNya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Panitia Pendidikan Islam mengadakan satu Program untuk meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang dinamakan Program Ihya Ramadhan. Program Ihya’ Ramadhan yang membawa maksud “menghidupkan Ramadhan” yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan, Objektifnya adalah untuk menggalakkan warga SMK Belawai supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan secara konsisten (Istiqamah) dan berdisiplin.

Seperti mana yang kita sudah ketahui, bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang mulia berbanding dengan bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan. Selain itu, bulan Ramadhan juga dinamakan Al-Mubarak yang bermaksud bulan yang penuh dengan keberkatan di mana semua umat Islam diberi peluang untuk melipat gandakan pahala dengan menunaikan amalan-amalan wajib dan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ini.

Antara amalan yang wajib dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini adalah berpuasa dan membayar zakat fitrah dan antara amalan sunat yang sangat digalakkan untuk melakukannya ialah solat Trawith, bertadarus / membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail, beriktikaf, memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristigfar. Sepanjang bulan puasa juga kita disarankan untuk menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (Perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesunggungnya aku berpuasa! [HR: Muslim]

Sejajar dengan itu semua warga SMK Belawai khususnya semua guru dan pelajar adalah dialu-alukan untuk menyertai beberapa aktiviti yang telah dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam sepanjang bulan Ramadhan ini seperti Solah Tarawith Berjemaah, Tadarus Al-Quran, Moreh Ramadhan, Belaian Anak Yatim dan Salam Ramadhan.

Walaupun pada waktu siang kita berpuasa dan masa kita diisi dengan belajar, bekerja dan malamnya diisi dengan pelbagai amalan sunat seperti solat sunat terawith, para pelajar diingatkan supaya mengekalkan prestasi pelajaran walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Jangan jadikan alas an berpuasa untuk membolehkan para pelajar tidur dan tidak focus semasa P & P serta aktiviti harian lain biasa dilakukan pada bulan-bulan yang lain. Perlu diingatkan juga minggu peperiksaan sudah dekat dan pada bulan ramadhan inilah semua pelajar khususnya pelajar-pelajar kelas peperiksaan sepatutnya mengambil peluang memperbanyakkan doa kerana doa orang-orang yang berpuasa dimakbulkan. Nabi Muhammad S.A.W menyebut tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [ HR:At-Tirmizi]

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam kerana berjaya menganjurkan majlis pelancaran Program Ihya Ramadhan pada kali ini dan semoga kita berjumpa di lain masa. Saya mengucapkan selama meneruskan ibadah puasa Ramadhan Al-Mubarak ini. Semoga segala amal ibadah dan jariah yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan yang mulia ini akan diterima dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Dengan lafaz Bismillah….. saya merasmikan Program Ihya Ramadhan tahun 2011

Sekian, Wabillah…

Thursday, August 11, 2011

198.Ramadhan Bulan Bonus


Semasa saya bersama keluarga bersarapan  di sebuah Kedai makan sehari sebelum bermulanya Ramadhan di hujung kampung Datuk Sibu, saya diberitahu oleh seorang rakan ada seorang hamba Allah di Kampung tersebut baru sahaja meninggal dunia. Tiba-tiba sahaja hati saya merasa sayu mengenangkan, dalam kesibukan umat Islam bersiap sedia menyambut Ramadhan beliau telah dipanggil meninggalkan kita menemui penciptanya. Semasa di Kampung dahulu, masih dalam ingatan saya, Arwah Ustaz Chik, Imam masjid Kampung Sungai Baru Tengah selalu mengingatkan jemaah, kita perlu banyak bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan Ramadhan kali ini. Oleh itu gunakan Ramadhan kali ini sebaiknya kerana belum tentu kita akan dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang.

Ramadhan adalah “bulan bonus” kepada umat Islam. Bagi yang “bertakwa” kepada Allah dan mencari keredaan Allah dengan beribadat maka berbahagialah ia dengan ganjaran yang dijanjikan. Bukan itu sahaja Allah juga menjanjikan satu malam yang terbaik iaitu malam Lailatul Qadar. Dalam pada itu juga dalam bulan penuh keberkatan ini, Allah menggandakan kepada umat islam rezeki yang berganda terutamanya bagi penjawat awam, “bonus” seperti yang diumumkan oleh YB Perdana menteri. Rezeki yang di berikan Allah tersebut juga bukan hanya untuk umat Islam tetapi, orang-orang bukan Islam juga dapat menikmatinya.

Sudah 11 hari termasuk hari ini kita menunaikan ibadah puasa. Saya belum lagi mendengar ada pelajar yang makan dan minum di kawasan sekolah. Tidak pasti ia disebabkan “amaran” awal yang saya berikan di dalam perhimpunan. Tetapi saya yakin bahawa semua pelajar mempunyai nilai diri yang sangat baik iaitu sama-sama “menghormati” bulan mulia ini dengan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Walaupun tidak berpuasa disebabkan “uzur”, tetapi janganlah makan dan minum secara terbuka sehingga rakan-rakan yang bukan Islam melihat, kita sedang mempermainkan agama kita sendiri. Semoga keadaan ini akan berkekalan sehingga berakhirnya Ramadhan.

Beberapa orang pelajar sedang mempersembahkan
Nasyid sempena perasmian Ihya'Ramadhan
Tahniah diucapkan kepada panitia Pendidikan Islam yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai program sepanjang bulan mulia ini. Majlis perasmian program pada pagi semlam 9 Ogos bersamaan 9 Ramadhan,  walaupun secara ringkas dan sederhana dilihat sebagai yang terbaik dalam usaha mewar-warkan kepada semua warga sekolah terutamanya pelajar demi pembentukan sahsiah dan jati diri. Program yang diatur sejak bermulannya Ramadhan, bertadarus Al-Quran, moreh, Infaq Ramadhan, bersembahyang berjamaah pada setiap hari Rabu menggantikan aktiviti KoKurikulum, meraikan anak-anak yatim dan sebagainya diharap dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelajar.

Dalam keletihan dan kehausan saya masih dapat mendengar suara guru-guru mengajar dengan penuh tanggungjawab. Lantangnya suara bersemangat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Ramai juga guru-guru yang mengambil inisatif mengadakan kelas tambahan pada sebelah petang. Semoga usaha guru-guru ini akan membuahkan hasil yang lumayan seperti yang dijanjikan Allah SWT. Bukan sahaja ganjaran pahala dalam bulan penuh berkat ini tetapi kita sangat-sangat berharap keberkatan Ilmu yang diajar oleh para guru ini akan diingati oleh semua pelajar untuk dicurahkan dalam dewan peperiksaan, terutama bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM nanti.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga tahun ini SMK Belawai lebih hebat dari tahun sebelumnya kerana doa orang yang berpuasa itu akan sentiasa dimakbulkan Allah. Jauhilah sifat boros berbelanja, boroslah bersedekah..

Wallahuaklam..

Monday, July 25, 2011

197. Hari Koperasi Sekolah 2011

Hari ini berakhir satu penantian. Kehadiran rakan-rakan dari Jabatan Akauntan Negara Cawangan Sarikei ke sekolah bagi kerja-kerja pengauditan berjalan dengan lancar. Tidak banyak masa dihabiskan untuk kerja-kerja penyemakkan kerana semuanya telah disediakan dengan rapi oleh 3 orang yang sangat bekerja keras di dalam Pejabat Am SMKB, KPT, dan 2 orang PT. Pengauditan berakhir dengan cemerlang, tiada teguran kesalahan yang dilakukan dalam kerja-kerja mengurus kewangan sekolah.

Namun esok masih ada satu lagi pemantauan. Kali ini dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak.  Pemantauan akan dilakukan sendiri oleh orang no 2 dalam bidang pendidikan di Sarawak iaitu Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Cikgu Jaidah dan Ketua Sektor Sekolah Menengah, Cg Hajjah Shirini. Pemantauan kali ini agak menyeluruh meliputi semua bidang pengurusan, pentadbiran sekolah, pentadbiran HEM, Pentadbiran KoKurikulum, Pengurusan kurikulum dan Pengurusan Kewangan. Semoga pemantauan ini akan dipermudahkan seperti mana pengauditan dari JAN Cawangan Sarikei. InsyaAllah jika pengurus sekolah ini cemerlang, maka keseluruhan sekolah ini adalah cemerlang.

Lawatan AJK Koperasi SMK Belawai ke SMK Agama Sibu
Pada 14 - 15 Mei 2010 amat bermakna kepada pelajar
dan guru berkongsi ilmu - gambar dr web rasmi
SMK Agama Sibu
Esok juga merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh warga sekolah iaitu akan berlangsungnya Hari Koperasi Sekolah. Sambutan peringkat SMKB ini sebenarnya agak lewat dari jadual asal yang sepatutnya dari tarikh 1 Jun hingga 30 Jun 2011 atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Hari koperasi diperingkat sekolah perlu diadakan untuk memberitahu pelajar bahawa kewujudan koperasi di sekolah dan mendidik mereka supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.

Tema Hari Koperasi tahun ini ialah “1 Untuk Semua, Semua Untuk 1”. Sehingga Disember 2010, sebanyak 2115 buah koperasi sekolah telah ditubuhkan dan 1885 buah telah menjadi ahli ANGKASA. Hasil dari laporan dari sekolah-sekolah yang telah mengadakan hari Koperasi sekolah, sambutannya sangat menggalakkan. Banyak sekolah dapat menonjolkan Koperasi sekolah masing-masing merupakan entity penting di sekolah dan dapat menyemai nilai-nilai koperasi kepada para pelajarnya.

Koperasi SMK Agama Sibu- Gambar Hiasan dr Web rasmi
SMK Agama Sibu
Dalam syarat yang ditetapkan, aktivirti wajib yang perlu dilaksanakan ialah Perhimpunan Khas dan Penanaman pokok. Maka esok pagi, bermula jam 6.45 am semua warga SMK Belawai akan berkupul di Dewan Barong. Usaha AJK Koperasi SMKB mneydiakan cenderamata bagi setiap anggotanya sangat-sangat dialu-alukan.

Untuk memupuk nilai bekerjasama dan keusahawanan dikalangan anggota koperasi SMKB, sepanjang minggu lepas berbagai aktiviti sampingan telah diadakan. Antaranya sukaneka, kuiz dan sebagainya yang meliputi bidang pendidikan, ekonomi keusahawanan dan social dan budaya.

Semoga koperasi SMK Belawai akan terus maju setanding dengan koperasi-koperasi sekolah yang lain, kerana kemajuan kopersi mencermin usahasama dan kerjasama warganya amat jitu dan ada jati diri yang kuat dan bersemangat waja untuk maju bersama.

Terima Kasih Cikgu..

Wednesday, July 20, 2011

195.Lawatan Pemantauan dan perubahan

Banyak perubahan telah berlaku di sekolah. Bukan sahaja dari segi persediaan infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain kepada pelajar dan guru, tetapi dari pentadbiran juga ada perubahan. Kata orang bijak pandai, perubahan perlu dalam kehidupan kita. Jika kita statik sahaja maka tidak ke mana. Perubahan yang berlaku biarlah satu perubahan yang positif. Antara yang berubah dalam pentadbran di SMK Belawai kini ialah Penolong Kanan HEM nya, kini telah di sandang oleh Ustazah Maznah menggantikan Cikgu Hasbi, yang memilih untuk menjadi Guru Cemerlang. Tempat Ustazah Maznah kini juga telah diisi, penggantinya ialah Cg Hanipah sebagai Guru Kanan Bidang Kemanusiaan. Saya percaya perubahan ini akan menjadikan SMK Belawai bertambah menyerlah. Jika surat lantikan rasmi dari Jabatan diterima maka buat kali pertamanya SMK Belawai akan ada seorang Guru Cemerlang (GC).

Senamrobik, acara memanaskan badan sebelum larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia dimulakan
Larian ini disertai oleh pelajar sekolah rendah berdekatan
Banyak peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan ini di sekolah selepas larian 1 Sukan 1 Murid 1 Malaysia pada 2 Julai lalu.  Namun tidak terjenguk blog ini untuk mencatat segala peristiwa yang berlaku. Namun semuanya yang berlangsung itu menambahkan lagi keserlahan sekolah di mata masyarakat. Sebagai sebuah sekolah yang kini sedang meningkat maju setanding dengan sekolah-sekolah lain. Apa yang sangat-sangat diharapkan oleh seorang pemimpin sekolah ialah kesediaan kita berganding bahu bersama. Pinjam kata-kata mantan perdana menteri kita sebelum ini. Bekerja bukan bukan untuk saya, tetapi yang lebih penting untuk organisasi ini. Saya boleh pergi bila-bila masa, tetapi yang tetap tinggal ialah yang terunggul yang kita bina bersama.

Cg Bujang Hanapi, Guru Besar SK Dua Sungai menerima
Cenderahati dr SMK Belawai selepas persembahan slide
perkongsian ilmu dari beliau
Tahun ini, sekali lagi SMK Belawai akan mewakili Bahagian Mukah untuk pertandingan asrama terbilang sekolah-sekolah menengah peringkat negeri Sarawak. Dalam kesibukan pelajar asrama bersedia untuk pertandingan tersebut, SK Dua Sungai sanggup untuk berkongsi lmu dengan SMK Belawai dalam usaha bersedia dalam pertandingan tersebut. Kesediaan SK Dua Sungai bukan setakat mengucapkan kata-kata, tetapi sanggup membuat lawatan persahabatan dengan SMK Belawai pada 16 Julai lalu, dan ia merupakan lawatan sekolah yang pertama sejak saya di sini. Guru Besarnya, Cikgu Bujang Hanapi bukan orang baru di SMK Belawai tetapi beliau merupakan bekas pengetua di SMK Belawai sebelum ini. Kedatangan beliau mengimbau kembali kenangan lama. Anak kedua beliau kelahiran Belawai, kini merupakan seorang doctor perubatan di Bintulu. Terima kasih kepada beliau dan tahniah atas kejayaan SK Dua sungai yang sebelum ini juga merupakan sekolah terbaik dan telah memenagi pelbagai anugerah, terutama pengurusan asramanya.

Hujan lebat mengiringi kepulangan tetamu dari SK Dua Sungai
Masih saya teringat kata-kata PPD Bintulu, jika kita buat yang terbaik tetapi tiada langsung orang datang untuk membuat lawatan penanda aras, menjadikan apa yang kita lakukan tidak ada maknanya. Tetapi jika ada orang yang ingin melihat dan sama-sama belajar ia akan hidup dan segar. Oleh itu, saya harap lawatan pertama tersebut akan membuka ruang yang lebih luas kepada sekolah-sekolah lain datang ke SMK Belawai dan Insyaallah kita akan membuat lawatan balas, supaya minda anak-anak kita terbuka luas, bukan seperti katak di bawah tempurung atau terkurung dalam kotak. Dengan adanya lawatan-demi lawatan kita akan lebih bersedia dari masa ke semasa, kesannya pelajar akan menunjukkan sesuatu yang terbaik untuk dipersembahkan kepada tetamu.

Pada 26 Julai ini satu lagi Lawatan pemantauan akan diadakan di SMK Belawai secara menyeluruh. Ia termasuklah pengurusan pentadbiran pengetua, panitia, kurikulum, kokurikulum, HEM dan kewangan.  Jangan melihat pemantauan ini menyusahkan, tetapi lihatlah dari segi kebaikannya. Seperti mana kedatangan Nazir dari Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti yang lalu, kedatangan mereka membuat kita tergadah, ada banyak perkara yang perlu kita bersedia untuk meletakkan diri kita sebagai guru dan pengurusan yang cemerlang. Tiada pemantauan, bermakna kita tidak ada usaha untuk mengetahui itu dan ini, tetapi jika ada orang yang datang untuk melihat apa yang kita lakukan, kita akan bersedia. Dalam persediaan itu terserlahlah kelemahan, dan ada banyak perkara yang mungkin kita belum membuat tindakan.

Dari komen Nazir yang masih saya ingat ialah, SMK Belawai mampu untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi tetapi ia perlu di bangunkan dengan lebih teliti dan lebih bersungguh-sungguh. Banyak perkara tentang pembangunan insannya belum lagi diberikan penekanan yang maksima. Ia masih berada diperingkat rendah, namun gandingan guru lama dan baru serta tenaga yang ada mampu mengangkat SMK Belawai sebagai sekolah yang terbaik dirantau ini.

Semoga dengan kedatangan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Cikgu Jaidah Bt Alek dan Puan Shirini  pada 26 Julai ini akan memberi impak terbaik kepada pengurusan sekolah. Jangan lihat ia memberi kebaikan sebelah pihak sahaja, tetapi lihatlah kepada isu yang lebih luas. Cemerlangnya pentadbiran sekolah, yang pasti kecemerlangan warganya..

 Terima kasih cikgu..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.