PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Wednesday, March 14, 2012

219.MAJLIS BERSUA KEMBALI 3RD BATCH UUM SETELAH 22 TAHUN

Mesyuarat AJK Pengelola, Datuk Yusof Jantan, Zuhainan, Roland, Azam (tiada dalam gambar) dan Ujang , Merancang Majlis bersua kembali..
(Gambar dari FB Azam Bin Sulaiman)
Majlis bersua kembali 3rd Batch UUM setelah 22 tahun terpisah antara satu sama lain yang sama-sama menuntut Ilmu dan sama-sama menyelami suka dan duka sebagai penuntut di Menara Gading akhirnya terlaksana. Walaupun pada mulanya cadangan yang dikemukakan oleh rakan di dalam laman social facebook seperti mustahil, tetapi bila seorang demi seorang menyatakan hasrat untuk bersua kembali seperti memberi satu kekuatan bahawa majlis ini akan berjaya untuk dilaksanakan. Bersyukur kepada Allah, walaupun tiket pertama terpaksa dibatalkan kerana terpaksa hadir sesi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di saat-saat akhir pada 9 March, dengan cara “waiting list” pada malam tersebut dapat juga saya bersama-sama menyertai rakan-rakan yang lain dalam majlis tersebut  pada 11 March 2012 di World Youth Hotel, Melaka.

Hotel tempat pertemuan. Pekerja hotel baru sahaja selesai memasang banner..
Banner siap dipasang pada malam 10 March 2012, hanya menanti kedatangan rakan-rakan ( Gambar dari FB Saudara Azam Sulaiman)
Saya percaya rakan-rakan yang lain juga turut memberi komitmen yang tinggi untuk majlis ini. Ada yang terpaksa membatalkan majlis lain demi untuk bersama rakan-rakan yang lama tidak bertemu. Ada yang terpaksa batal untuk bercuti bersama keluarga. Ada yang bergegas datang selepas habis bekerja dan sampai semasa majlis berlangsung dan ada yang terus balik selepas sebaik sahaja majlis selesai kerana esok terpaksa turun bekerja dan sebagainya. Namun pengorbanan rakan-rakan rasanya amat berbaloi walaupun hanya sekejap tetapi sangat bermakna lebih-lebih lagi bila kelihatan semua rakan-rakan sama-sama bertukar-tukar no telefon antara satu sama lain seolah-olah selepas ini tidak terputus lagi perhubungan silatulrahim. Apa tidaknya, dulu mana ada handphone secanggih sekarang. Nak telefon keluarga pun hanya pakai public phone yang terpaksa berbaris panjang sama ada di tamansiswa atau di kampus. Namun tidak kurang juga rakan-rakan yang memberi nama untuk datang dan terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana ada komitmen lain yang lebih penting dan tidak dapat dielakkan..

Antara rakan-rakan yang awal hadir (Gambar dari FB Saudara Azam Sulaiman)
Semakin ramai rakan-rakan yang hadir (Gambar dari FB Azam Bin Sulaiman)
Tahniah saya ucapkan kepada AJK pengelola majlis bersua kembali ini yang dipengerusikan oleh Saudara Azam Bin Sulaiman yang kini menjawat Jawatan sebagai Pengarah Koperasi Negeri Melaka dan dengan sokongan kuat Yang Berbahagia Brigedier Datuk Yusuf Bin Jantan mantan Datuk Bandar Melaka, Bandaraya bersejarah yang membantu mejayakan Majlis Makan Malam dan mempromosikan Melaka dengan mengajak rakan-rakan serta keluarga masing-masing menaiki bot  Melaka River Cruise. Begitu juga dengan rakan-rakan lain di Melaka seperti Roland dan Ujang yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.

Bergambar kenangan beramai-ramai pada malam 11 March 2012
Ucapan dari Saudara Azam bin Sulaiman dan Datuk Yusof Bin Jantan
Bertemu kembali
Seperti yang dikatakan oleh pengerusi pengelola, saudara Azam Bin Sulaiman. Pertemuan ini merupakan suatu yang bersejarah dan tidak dapat digambarkan kegembiraannya. Pertemuan ini diharap dapat mengeratkan kembali silaturahim sehingga ada cadangan untuk menubuhkan koperasi. Cadangan pertemuan semula kali ke 2 dan berusaha untuk mengumpul lebih ramai lagi rakan-rakan yang lain ialah pada tahun 2015 di Pulau Langkawi dengan agenda yang lebih menarik dan bermakna. Pertemuan kali ini melibatkan 37 orang rakan dan termasuk keluarga masing-masing dianggarkan hampir 200 orang.

Berbakat : Azam Sulaiman dan Roland (Roslan Che Wail)
Mahadi : Masih seperti dulu..
Perjalanan ke Melaka River Cruise
Melaka River Cruise
Berbaris untuk menaiki bot
Menikmati keindahan sungai sambil bertanya khabar
Betul-betul menarik, bawalah keluarga melancong ke Melaka
Agenda pada malam 11 March 2012 dimulakan dengan bacaan doa oleh Cg Badrul Anam dengan disusuli surah Al-Fatehah untuk disedekahkan kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah. Kemudian di susuli dengan ucapan saudara Azam Bin Sulaiman dan diakhiri ucapan oleh Datuk Yusuf Jantan sebagai tuan rumah. Dalam ucapan Datuk Yusuf jelas membayangkan kegembiraannya apabila beliau memohon rakan-rakan memanggilnya dengan nama “glamer”nya dulu iaitu “Ucop” atau “Cup” sahaja dan beliau menyebut seorang demi seorang rakan dengan nama-nama serta gelaran semasa di UUM dahulu dan mendapat tepukan dari semua rakan yang hadir.

Menggamit kenangan lama, bermain sepak raga (Gambar dari FB Mohd Asri)
Suatu yang menarik semasa pertemuan ini ialah, masing-masing menegur dari segi perubahan fizikal. Ada yang masih kekal seperti dahulu, rambut masih hitam dan ada yang kelihatan lebih bergaya dari masa “study” dulu. Ada yang dulunya kurus, tetapi sekarang .. ada yang dulunya berisi tetapi sekarang dah kurus.Dulunya sihat sekarang bertarung dengan penyakit 3 serangkai. Dulunya rambut hitam legam tetapi kini sudah bercampur, tidak kurang juga dulu yang berambut lebat, kini dah macam professor. Di tepi sahaja beranmbut tetapi di tengahnya lukus. Ada juga rakan-rakan yang dipandang dari jauh langsung tidak di kenali, jauh sangat berubah dalam masa 22 tahun ini. Bukan niat untuk ketawakan kejadian Allah maha pencipta, tetapi perubahan-perubahan ini sebenarnya adalah antara isi perbualan masing-masing setelah lama tidak bersua. Tidak kurang juga pertemuan ini diisi dengan kenangan masa lalu, semuanya seolah-oleh baru semalam baru berlalu. Sehingga ada rakan-rakan yang bemain sepak raga bulat di hadapan hotel sebelum majlis sebenar bermula untuk menggamit kenangan lalu, sehingga Md Noor Lat terhinjut2 sakitnya sehingga ke malam. Lupa agaknya dulu musim 20an tetapi sekarang sudah 40an dan ada yang hampir mencecah umur 50 tahun. Walau apapun majlis ini juga meninggalkan kenangan yang bermakna.

Video dari FB Saudara Khairul Anuar A Rahim : Reunion 3rd Batch UUM


Harapan kita pada pertemuan pada tahun 2015, jika diizinkan Allah, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Kita harap semua rakan tidak kira dari Sabah dan Sarawak. Utara, selatan dan rakan-rakan di Pantai Timur Semenanjung juga dapat menyertai kita. Tidak kita lelaki dan perempuan. Sama-sama kita luangkan masa untuk bersama dan mengenang kembali semasa di Universiti Utara Malaysia Bandar Darul Aman. Buangkan sifat rendah diri, seperti kata Datuk Yusuf Jantan. Pekerjaan dan pencapaian rakan-rakan, semuanya adalah kehendak Allah. Yang lebih bermakna ialah kita adalah rakan sejawat yang dulunya bersama-sama mempunyai kenangan di tempat yang sama untuk dikenang bersama…

Selamat Bersua kembali pada tahun 2012..InsyaAllah

Terima Kasih Cikgu..

Thursday, March 8, 2012

218.STPM 2011 S’wak meningkat (Petikan dari theborneopost.com)

Kebanggan Ibu . Seorang pelajar Sekolah Menengah St Thomas, Nadia Amirah Ibrahim menjadi kebanggaan ibunya, Imah Majani, 43, apabila lulus penuh dua mata pelajaran dalam STPM 2011 yang diumumkan di seluruh negara, semalam.
KUCHING: Seramai 17 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran daripada 6,017 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sarawak pada 2011.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam juga memberitahu 2,132 calon lulus penuh empat mata pelajaran, 1,240 calon lulus penuh dalam tiga mata pelajaran, 960 calon lulus dalam dua mata pelajaran, ma-nakala 847 calon lulus dalam satu mata pelajaran.

“Pada keseluruhannya seramai 5,196 orang atau (90.93 peratus) calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada tahun 2011 berbanding 5,192 calon tahun lepas,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Daripada 6,017 calon menduduki peperiksaan tersebut, 5,714 orang merupakan calon sekolah menengah kebangsaan dan 303 orang adalah calon persendirian.

Abdillah berkata lagi, dari segi pencapaian individu, se-ramai 20 orang calon sekolah menengah kebangsaan di Sarawak mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 (maksimum).

Ia merupakan satu peningkatan berbanding 13 orang pada STPM 2010.

Seramai 948 orang mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding 870 pada 2010.

Mana-mana calon yang ingin menyemak semula keputusan atau ingin memperbetulkan maklumat peribadi pada slip keputusan diberi tempoh hingga 20 Mac ini untuk berbuat demikian

Borang rayuan semak semula boleh dimuat turun di laman web Majlis Peperiksaan Malaysia atau semua Pejabat Pelajaran Daerah atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Sarawak, Simpang Tiga, Kuching.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan bahawa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada mulai tahun ini, bermula sesi pengambilan 2012/2013 Tingkatan Enam Bawah.

Pengerusi MPM Datuk Dr Mohd Noh Dalimin ketika mengumumkan perkara itu berkata, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20 hingga 40 peratus, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 hingga 80 peratus

Katanya, langkah itu bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil yang lebih berfokuskan kepada pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

“Buat pertama kalinya, PBS diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran Tingkatan Enam. Ini merupakan sejarah bagi MPM setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM Tahun 2011, di sini semalam.

Katanya, PBS terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran bagi tiga penggal, iaitu penggal pertama, kedua dan ketiga dalam tempoh pengajian selama satu setengah tahun.

“Pelajar Tingkatan Enam Bawah pada tahun ini, merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal pertama persekolahan Tingkatan Enam pada November ini,” katanya.

Mohd Noh berkata, penilai-an kerja kursus akan dibuat guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan MPM.

Katanya, pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan di-keluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.

Beliau berkata, satu kelebihan sistem itu ialah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir penggal pertama dan/atau penggal kedua dengan menduduki semula peperiksaan tersebut pada penghujung penggal ketiga.

“Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal ketiga juga boleh menduduki semula peperiksaan ak-hir penggal ketiga,” katanya.

Mohd Noh berkata, dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian Tingkatan Enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan sedia ada

“Begitu juga daripada segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya masih sama dengan sistem yang sedia ada,” katanya.

Katanya, MPM berharap pelaksanaan sistem pentaksiran baharu itu akan dapat memperkasa dan mengang-kat martabat pengajian pe-ringkat prauniversiti di Tingkatan Enam serta dapat menarik lebih banyak pelajar mengikuti pengajian pra- universiti itu. — Bernama


Tahniah kepada semua Guru Tingkatan 6 kerana SMK Baru juga mencapai kejayaan yang membanggakan. Dari Laporan yang saya terima Keputusan STPM 2011 ialah 98.33%, Subjek yang mendapat kelulusan 100% ialah Seni dan Physic. 6 Subjek meningkat lebih dari 10% tetapi 4 subjek menurun sedikit. Peratus keputusan meningkat kepada 2.13% tetapi NGMP turun 0.15. Kedudukan sekolah tangga ke 18 peringkat Negeri Sarawak dan ke 5 peringkat Bahagian Miri. - InsyaAllah tahun ini kita sama-sama berusaha kekalkan kecemerlangan dan buat yang terbaik untuk SMK Baru Miri - Terima kasih Cikgu

Friday, March 2, 2012

217.SMK Baru, Miri dan SMK Lutong Pengelola Bersama MSSM Bahagian Miri 2012

Cg Marcus sedang mempengerusikan
Mesyuarat terakhir Kejohanan Padang
Dan Balapan MSSM Bahagian Miri
Kejohanan Padang dan Balapan (Olahraga) MSSM Bahagian Miri baru sahaja selesai. Tadi tepat  jam 4.00 petang 2 March 2012 di Stadium terbuka Miri perasmian penutupannya telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr Lee Kim Shin, Menteri Muda Perhubungan & Menteri Muda Sukan. Manakala sebelum ini majlis perasmian pada 28 Februari lalu disempurnakan oleh Wakil YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Malaysia Merangkap Ahli Parlimen P219 Miri.

Kejohanan Padang dan Balapan MSSM Bahagian Miri kali ini diberikan tanggungjawab kepada SMK Baru Miri dan SMK Lutong sebagai pengelola bersama. Ini suatu yang baru kepada saya, kerana pengalaman sebelum ini di Sibu atau di Mukah, hanya sebuah sekolah menengah sahaja yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakannya dan dibantu oleh sekolah-sekolah lain. Cara sekolah-sekolah Menengah Bahagian Miri amalkan ini juga di lihat sangat baik, kerana gabungan yang mantap dapat menghasilkan kejohanan yang baik dan bermutu.

Guru-guru yang hadir mesyuarat terakhir Kejohanan
Cabutan Lorong yang diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Baru, Miri
Semakan terakhir, untuk memastikan semua perancangan berjalan lancar
Mesyuarat pengurus pasukan di Dewan Harmoni SMK Baru
Guru-guru sedang membuat semakan kad pengenalan
Berdisiplin - Atlit SMK Baru berada di khemah sementara menunggu acara masing-masing.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian. Seperti yang disebut oleh Penolong PPD Miri En Alias, perjalanan sukan kali ini berjalan lancar tanpa berlakunya insiden yang tidak diingini. Namun ada sedikit kecatatan pada majlis penutupan kerana kekeliruan dibahagian hadiah. Tetapi ini bukan ukuran bahawa Kejohanan Padang dan Balapan (Olahraga) kali ini tidak hebat, namun insiden yang berlaku patut dijadikan teladan dan diperbaiki mana yang kurang. Sama-sama kita lihat Kejohanan Padang dan Balapan kali ini di sudut semangat kesukanan, bukan hanya meraih dan membolot sebanyak mana hadiah tetapi yang penting ialah sukan melahirkan perpaduan dan hubungan baik antara satu sama lain.

YB Dato' Dr Lee Kim Shin sedang berucap di dalam majlis penangguhan
Bahagian Data dan keputusan - sangat penting semasa penangguhan untu memastikan keputusan keluar dengan cepat - Anda telah melakukan yang terbaik..
Semua atlit dari 30 buah sekolah yang mengambil bahagian berkumpul di padang menanti keputusan di umumkan.
Seperti biasa, semua kategori hadiah sehingga juara keseluruhan di sandang oleh SM Riam (Persendirian). Bagi saya sekolah ini sangat hebat. Barangkali sekolah-sekolah lain juga perlu selidiki apakah rahsia kejayaan besar mereka. 29 buah sekolah dari 30 buah sekolah Bahagian Miri perlu bekerja keras bagaimana cara untuk mengatasi SM Riam. Kalau tidak pun, sebahagian dari pingat yang diperolehi oleh SM Riam dapat diagih-agihkan kepada semua sekolah yang mengambil bahagian kerana ada beberapa sekolah yang sekadar menyertai dan pulang dengan tangan kosong tanpa memperolehi apa-apa pingat.


En Alias Penolong PPD Miri, mewakili PPD Miri Pn Hajjah Rosnani yang mejalankan tugas rasmi di Kuching, sedang menyampaikan ucapan aluan..
SMK Baru hanya Berjaya memperolehi 1 Pingat sahaja iaitu gangsa untuk acara 200M Lelaki kelas 3 melalui adik Hadzree B. Hassan dengan pungutan masa 26.00s. Walaupun SMK Baru mensasarkan 6 pingat, tetapi hanya Berjaya satu sahaja, kita sangat-sangat bersyukur. Komitmen yang ditunjukkan oleh jurulatih sekolah, Cg Mizan, Cg Janot, Cg Adib dan beberapa orang guru lain, sangat membanggakan. Kita sudah berusaha tetapi kita Berjaya 1, itu sudah memadai dari tidak ada usaha, tetapi mengharapkan kejayaan. Tahniah untuk semua. Tahniah juga kepada semua pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan perbarisan yang mendapat tempat ke dua, yang terpaksa mengalah dengan SMK Lutung di tempat pertama.


Bahagian Buletin - sibuk dengan tugas mereka untuk menyampaikan berita terkini.
Kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam sukan berprestej ini, terutama semua guru dari SMK Baru dan SMK Lutong termasuk dengan pengetuanya En Marcus Hugo, semua penolong kanan Ko-k kedua-dua buah sekolah terutamanya yang bertungkus lumus memastikan kejohanan ini berjalan lancar. Begitu juga dengan pegawai-pegawai kejohanan dari sekolah-sekolah Menengah berdekatan, Polis, Rela, PBSM, JPAM dan semua agensi yang memberi kerjasama yang saya tidak sebutkan di sini. Terima kasih kepada semua pelajar pembantu dari kedua-dua buah sekolah. Sama-sama berjemur di terik mentari bersama-sama guru-guru tanpa mengenal lelah.


Kita hanya merancang tetapi Allah juga yang menentukannya. Kita merancang untuk berjaya. Lebih baik dari tidak merancang kerana itu sudah menunjukkan bahawa kita merancang untuk gagal..


Terima kasih cikgu…

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.