PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, October 18, 2010

121. Azam - Sudah tercapai ke Belum?

Kata sahabat, pejam celik-pejam celik dah nak habis pun tahun 2010. Nasib baik lah pejam celik kalau pejam tak celik-celik lagi susah kan.. Lagi 2 bulan lebih tahun 2010 akan menutup tirainya dan tahun 2011 akan menjelma tapi bagaimana dengan azam tahun 2010? sudah tercapai ke belum? Kalau sudah... Tahniah, tetapi kalau belum tercapai maka kenalah cepat-cepat usahakan sehingga sasaran yang kita letakkan tidak terkeluar dari "deadline" atau terkeluar dari "Time frame" yang telah ditetapkan yang bermula dari 1.1.2010 hingga 31.12.2010.

Bagi sesetengah individu sasaran diri untuk mencapai sesuatu, bagi sesuatu tahun sangat penting. Azam dan sasaran di catat di atas kertas dengan sempuna dan sentiasa melihatnya dari masa ke semasa dan merancang strategi untuk mencapainya. Namun ada orang yang setiap tahun menetapkan sasaran tetapi tidak pernah tercapai dan lupa dengan apa yang telah dijanjikan dengan diri sendiri. Bila sudah tercapai baru lah teringat oh.. itulah perkara yang diingini dan sekarang baru tercapai bahkan boleh dikatakan setiap tahun berazam perkara yang sama. Bagi sesetengah individu pula setiap tahun baru, di sambut seperti biasa tiada azam dan sasaran yang ditetapkan dan masa-masa yang mendatang dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Menetapkan azam atau sasaran untuk diri, umpama kita menetapkan sasaran atau matlamat di sekolah. Jika sesuatu azam, matlamat atau sasaran yang kita tetapkan tidak tercapai maka satu "post mortem" perlu dibuat. Kita perlu mencari dan mengkaji kenapa, apa sebab nya, apa yang perlu dan tidak sepatutnya dilakukan. Apakah strategi yang terbaik perlu digunakan atau azam kita tersebut tidak releven dan sukar dicapai dan memerlukan kos yang tinggi. Hasil "post mortem" ini juga sangat berguna sebagai awasan untuk menetapkan azam tahun 2011 dan tahun-tahun berikutnya dengan lebih berhati-hati. Dengan kata lain azam yang kita tetapkan adalah sesuatu yang realistik, ada perancangan dan tindakan yang menyeluruh...

Apakah azam yang terbaik bagi seorang guru yang profesioanal?

Friday, October 15, 2010

119. PTK akan dimasuhkan?

Kalau betul-betul dimasuhkan, syukurlah kerana ia meninggalkan kenangan yang tak akan saya lupakan sepanjang hidup saya... PERGAU/MATU

Sistem penilaian k'tangan awam PTK dimansuh
Date: Friday, October 15 @ 04:06:34 PDT
Topic: Berita (DETIKDAILY)

Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecepatan (PTK) untuk kakitangan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Katanya, PTK akan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.

Beliau menegaskan demikian ketika membentangkan bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.

Perdana menteri itu, keputusan itu dibuat dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas para penjawat awam.

Katanya, penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan.

"Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik, wawasan negara akan hanya tinggal sekadar matlamat murni", tegas perdana menteri.
Rasa tidak puas hati berkaitan PTK tidak sahaja bangkit dari kakitangan bawahan, malah sehingga peringkat pegawai kanan kerajaan.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu PTK dikaji semula termasuk dari segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.

Sebaliknya, Presidennya, Omar Osman dilaporkan berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.

Katanya, ini kerana sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.

Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.

Ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat

Wednesday, October 13, 2010

118. PTK - Penilaian Tahab Kecekapan Sesi Oktober 2010

Saya ke Mukah lagi, Hari ini berlangsungnya taklimat pengendalian dan pengawasan, Peperiksaan Penilaian Tahab Kecekapan (PTK) Sesi Oktober tahun 2010 kepada Ketua Pengawas dan Penyelia Kawasan. Taklimat di adakan di Dewan Sri Tapou dan PTK akan berlangsung pada sabtu ini 16 Oktober 2010. Ini adalah kali pertama saya menjadi Ketua Pengawas PTK kerana terpaksa.. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik.
Kepada semua Penjawat Awam terutamanya guru-guru, PTK jangan dipandang ringan dan ambillah peluang menduduki peperiksaan ini dengan bersungguh-sungguh, walaupun kita tahu kelulusan itu tidak melayakkan kita untuk kenaikkan pangkat kerana ada syarat-syarat lain tetapi sebagai persediaan umpama "Sediakan payung sebelum hujan". Waktu senggang di sekolah elok juga diisi dengan membaca dan memahami perintah2 Am, Pekeliling2 perkhidmatan dari berbual kosong tanpa faedah. Malah guru-guru juga boleh memiliki buku-buku mengenai PTK yang banyak dijual dipasaran.
Saya pernah menduduki PTK DG44 di Dinasty Hotel, KL bersama-sama dengan rakan-rakan lain dari Kementerian Pelajaran yang bekerja di dalam dan luar negeri pada tahun 2008. Alhamdulillah - Lulus walaupun tanpa anjakan gaji. Pelbagai ujian kami lalui seperti Lakonan, Public Speaking, Ceramah dan berakhir dengan menduduki satu peperiksaan bertulis tetapi sebelum itu kami perlu menghantar kertas kerja yang disiapkan terlebih dahulu di rumah dan dihantar semasa mendaftar
Sekarang PTK telah dipermudahkan, tiada apa yang nak ditakutkan atau dimalukan. PTK akan menyebabkan abang adik berbeza DG nya, PTK juga tidak mengenal guru lama atau baru dan PTK mengukur keupayaan kita. Orang nampak kita hebat dalam pengurusan tetapi tanpa lulus PTK bermakna kita masih belum cekap untuk kedudukan itu. Ramai rakan-rakan saya yang enggan menduduki PTK dengan alasan malas... Biarlah di kedudukan sekarang. Namun saya menyeru kepada semua rakan guru, lihatlah PTK secara positif bagi perubahan diri sendiri.
Saya pernah terbaca satu kisah yang sangat menarik dan boleh dijadikan taulan kepada kita. Pada suatu ketika, Seorang Profesor telah menyewa sebuah bot untuk ke sebuah pulau untuk membuat satu kajian. Pulau tersebut agak jauh dan memakan masa beberapa jam. Dalam perjalanan Profesor itu bertanya kepada tuan punya bot yang membawanya," Pernahkan kamu belajar geologi?" Tuan bot berkata, "Tidak," sambil matanya merenung Profesor dengan penuh persoalan. "Oh.. kalau begitu kamu telah mensia-siakan 25 peratus dari hidup kamu", Sambung profesor itu lagi.
Setelah setengah jam dalam perjalanan, ombak laut mula kuat. Profesor tersebut tidak mengindahkan keadaan itu tetapi terus bertanya lagi, "Kamu pernah belajar biologi?" dengan suara yang sinis, menunjukkan kepandaiannya. "Tidak," Jawab tuan punya bot, sambil matanya memandang ke arah laut yang semakin bergelora. Profesor tersebut terus berkata, "Kini kamu telah mensia-siakan 50 peratus dari hidup kamu.."
Profesor tadi masih tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya dan dari jauh dia mula nampak puncak pulau yang hendak dituju. Dia yakin akan sampai dengan selamat dan dengan suara yang bongkak Profesor itu bertanya lagi, "Pernah kamu belajar geografi? Dengan malu, tuan punya bot menjawab dengan suara yang agak cemas, "Tidak." Dengan pantas profesor tersebut berkata, "Sekarang kamu telah sia-siakan hidup kamu 75 peratus", Belumpun habis kata-kata profesor tersebut, tuan punya bot bertanya,"Pernah kah tuan belajar berenang?" Profesor menjawab,"Tidak." Sekarang tuan telah mensia-siakan hidup tuan 100 peratus sambil terjun dari bot yang hampir karam dipukul ombak....
TERIMA KASIH CIKGU

Tuesday, October 12, 2010

117. Berakhirnya PMR dan Bermula Pasca PMR

GAMBAR HIASAN: Para pelajar PMR sedang berjuang pada hari terakhir...
Alhamdulullah PMR bagi pelajar di SMK Belawai sudah pun tamat, walaupun kebanyakkan sekolah masih ada kertas lain yang belum habis seperti bahasa Cina. Ini juga bermakna para pelajar yang selama ini sangat stress dapat berehat sepuas-puasnya sementara menanti keputusan PMR pada hujung tahun ini. Walaupun demikian, para pelajar masih perlu datang ke sekolah untuk mengikuti Program Pasca PMR yang akan bermula hari ini (12 Oktober 2010) sehingga 28 Oktober 2010.
GAMBAR HIASAN: Pihak polis akan mengiringi dan mengawasi pergerakan kertas soalan yang baru tiba dan dibawa masuk ke bilik kebal.
Berbagai pandangan rakan-rakan tentang Program ini, namun atas arahan dari Kementerian, maka program ini perlu dilaksanakan. Program ini dilihat sebagai program santai untuk menghabiskan masa pelajar dengan aktiviti-aktiviti yang diatur khusus oleh guru-guru kaunseling sekolah. Di SMK Belawai pelbagai program telah di susun oleh Cg Termizi dan Cg Wardah supaya program ini menarik termasuklah ceramah dari pihak polis.
Namun ada ibu bapa melihat ia kurang bermakna dan semalam (11.10.2010) sudah ada ibu bapa yang datang kesekolah dan ada yang menelefon memohon supaya anak mereka di kucualikan dari program ini. Ada ibu bapa yang sudah merancang aktiviti anak-anak selepas sekolah, ada yang mahu anak-anak bekerja, ada yang mahu menghantar anak untuk mengikuti kursus tertentu dan ada yang mahu meneruskan rawatan anak-anak kerana masalah kesihatan dan sebagainya.
Untuk menggalakkan penyertaan, SMK Belawai telah menetapkan bahawa pada minggu pertama semua pelajar wajib menghabiskan program ini. Selepas itu ibu bapa boleh memohon dengan menulis surat untuk pengecualian. Namun bagi pelajar lain Pasca PMR akan diteruskan dengan seliaan guru-guru kaunseling dan guru-guru tingkatan tiga yang masih mempunyai tanggungjawab bagi beberapa kelas lain. Bagi pelajar-pelajar yang dapat mengikuti program pada minggu pertama tanpa ponteng, sijil penyertaan akan diberikan.
Bagi ibu bapa yang tidak ada perancangan aktiviti untuk anak-anak, saya mohon supaya ibu bapa sentiasa memberi perhatian kepada mereka dan mengambil tahu aktiviti anak-anak pada masa masa cuti ini. Mohon dijauhkan mereka dari melakukan aktiviti yang tidak sihat dan melanggar undang-undang.
Sementara itu, di SMK Belawai kini, kita masih berusaha untuk meningkatkan pencapaian SPM yang dijangka bermula pada pertengahan bulan November nanti. Saya yakin, semua guru-guru tingkatan 5 juga, sedang berusaha bersungguh-sungguh seperti mana guru-guru tingkatan 3 untuk memastikan para pelajar dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan cemerlang seterusnya memastikan GPS sekolah terus meningkat dan mengatasi sekolah-sekolah lain yang lebih baik di Bahagian Mukah dan lebih baik dari sekolah-sekolah lain di Sarawak. Tiada apa yang lebih membanggakan kepada seorang guru, melainkan dapat melihat anak didik kita berjaya dengan cemerlang.
TERUSKAN USAHA CIKGU, SAYA SENTIASA MENYOKONG DAN SAYA TAHU CIKGU MAMPU MELAKUKANNYA.
TERIMA KASIH CIKGU...

Sunday, October 10, 2010

116. Kepercayaan.. apa yang kita percaya adalah benar.

Tadi sebelum berangkat ke sekolah.....,"Ifah, mana baju yang selalu abang pakai, baju T-shirt Lotto warna hitam.. lama abang tak nampak?" tanya saya kepada isteri. "Ada, abang tengoklah di dalam almari baju sebelah kanan tu.." Jawab isteri saya..
Saya bingkas bangun dari kerusi, terus membuka almari dan mencari baju yang dimaksudkan. Puas saya mencari. Sehelai demi sehelai di selak, namun tidak berjumpa. Saya merungut dalam hati, betul ke ada dalam almari atau di simpan di tempat lain.
"Tak jumpa pun.. barangkali kitak letak di tempat lain," Isteri saya terus bangun dan mengambil baju tersebut yang ada di depan saya, "Ini kah baju yang abang cari?" dia bertanya. "Ya.. inilah baju yang abang cari.. kenapa abang tak nampak pun walaupun beberapa kali dah abang selak-selakkan baju-baju nie?.. kata saya. "Ingat lain kot.. ?" Sampuknya dengan cepat. "Dah tua.. rabun." Jawab saya ringkas dan terus memakainya. Biasanya baju yang saya suka pakai dah sedia di iron oleh isteri walaupun T-shirt. Kalau tidak, saya tidak akan memakainya, tidak suka dengan keadaan yang berkedut sana sini..

Saya faham dan sedar keadaan ini berlaku, bukan di sebabkan oleh usia tua tetapi ia terjadi kerana diri kita telah dipengaruhi dengan KEPERCAYAAN DIRI. Kepercayaan dalam diri kita ialah, kita mahu orang lain melakukan untuk kita, kita percaya jika kita yang mencarinya sudah tentu tidak akan menjumpainya. Kadang kala kita menyuruh anak-anak mengambil kunci kereta dan sebagainya, apabila tidak menjumpainya, kita menjadi berang. Lalu kita sendiri yang pergi mengambilnya, dan marahkannya dengan kata-kata yang tidak dapat diterima oleh mereka kerana kunci tersebut ada di depan mata.

Mereka sebenarnya tidak ada fokus atas apa yang kita mahukan dan KEPERCAYAAN DIRI mereka mengatakan bahawa dia tidak tahu apa yang kita mahukan. Begitulah halnya apa yang terjadi di dalam kelas P & P. Arahan-arahan atau soalan-soalan yang kita ajukan kepada pelajar, jika mereka kata mereka tidak tahu, memang mereka tidak tahu kerana mereka percaya mereka tidak boleh melakukannya walaupun soalannya senang atau jawapan yang dicari di depan mata mereka. Dari sudut psikologi perkara ini dinamakan schetoma atau titik tidak kelihatan. KEPERCAYAAN DIRI telah menyebabkan otak kita telah memadamkan imej perkara yang dicari walaupun mata kita melihatnya.

Semua kepercayaan adalah benar. Jika kita percaya kita bodoh, bodohlah kita, Jika kita percaya kita pandai, pandailah kita, Jika kita percaya kita tidak bernasib baik, maka tidak bernasib baiklah kita. Oleh itu kita perlu sentiasa percaya bahawa kita boleh melakukannya sebelum kita menyerah kalah....

Thursday, October 7, 2010

115. Perbaiki Kemahiran Komunikasi

Kita perlu memahami bahawa setiap orang melihat perspektif dunia yang berbeza. Satu rancangan lawak mungkin akan menghiburkan satu kumpulan. Kumpulan ini mungkin akan ketawa terbahak-bahak. Tetapi tidak kepada satu kumpulan lagi. Ini tidak bermakna kumpulan ini tidak mempunyai "Sense of humor" tetapi melihat jenaka tersebut pada perspektif yang berbeza. Oleh itu pelawak tersebut perlu mengubah cara berkomunikasi supaya kumpulan kedua ini juga turut ketawa.
Kejayaan pelawak untuk mempengaruhi kumpulan kedua ketawa menunjukkan bahawa pelawak ini mempunyai kemahiran berkomunikasi. Pelawak tersebut tidak boleh menyalahkan orang lain tetapi mesti bertanggungjawab dan tahu komunikasinya tidak efektif dan bertindak membaikinya.
Pernah suatu ketika seorang guru berjumpa dengan saya dan berkata, "Saya ingin "meminta" tandatangan cikgu," Saya membalas, "Mana boleh "minta macam tu sahaja, nanti kena belanja makan nie...", Kata saya dengan nada bergurau, malangnya guru ini menganggap gurauan saya sebagai sesuatu yang serius dan menjawab dengan nada yang agak kasar. Terus saya mohon maaf, kerana saya tahu bahawa kita mempunyai perspektif yang berbeza walaupun kita melihat dari luarannya seseorang itu boleh dibawa bergurau.
Seorang rakan sejawatan menceritakan, seorang guru berjumpa dengannya memohon CRK (cuti rehat khas). Oleh kerana alasannya tidak releven langsung dengan apa yang termaktub di dalam pekeliling perkhidmatan, yang membolehkan beliau berbuat demikian, guru tersebut menjadi berang. Katanya, "Tuan tidak berada dalam situasi saya, nanti kalau tuan mengalami apa yang saya rasa sekarang baru tuan tahu..." Jika saya dalam situasi tersebut mungkin terkejut juga dibuatnya. Kata-kata ini dilihat sebagai tidak ada nilai kesopanan dan kesusilaan, tetapi guru ini sebenarnya sangat lemah dalam kemahiran komunikasinya.
Saya percaya jika seseorang yang mempunyai kemahiran komunikasi baik, biasanya tidak akan bertindak sedemikian tetapi berusaha mengubah strategi komunikasi supaya betul-betul menunjukkan keikhlasan mempengaruhi seseorang supaya seseorang itu yakin dan mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan dan bukan menimbulkan suasana tegang. CRK dan cuti-cuti lain adalah kemudahan, bukan hak tetapi seseorang ketua jabatan tidak mungkin, tidak meluluskankannya jika seseorang itu betul-betul memerlukannya. Hak bagi seseorang pegawai awam ialah gaji dan meletak jawatan.
Oleh itu, kemahiran komunikasi adalah sangat penting bagi menjamin hubungan 2 hala yang berkesan. Komunikasi berkesan bukan sahaja dari atas ke bawah dan Komunikasi dari bawah ke atas tetapi komunikasi secara antara sesama guru perlu dijaga supaya dapat mengekalkan hubungan baik dan bekerja dalam suasana yang selesa. Tercabar atau tidak jika kita berhadapan dengan kata-kata ini, CONTOHNYA "Jika cikgu tidak menyokong permohonan saya, saya akan menggunakan saluran lain iaitu***** bagi mendapatkannya,"..
TERIMA KASIH CIKGU

Tuesday, October 5, 2010

114. PMR 2010 - 5 Oktober 2010

Cikgu Abd Wahab Hj Sapawi, PPD Mukah sedang menyampaikan cenderahati kepada pihak polis selepas taklimat dan agihan Pengawai Perhubungan Polis ke sekolah-sekolah Bahagian Mukah.
Sepanjang perjalanan pulang dari Mukah ke SMK Belawai, selepas menghadiri mesyuarat permuafakatan antara ketua-ketua jabatan terutama dengan pihak polis, saya dapat melihat bermacam ragam pelajar. Ini adalah kali pertama saya keluar semasa peperiksaan PMR berlangsung selama 4 tahun saya di SMK Belawai. Antara sekolah-sekolah yang saya lalui ialah SMK Mukah, SMK Oya, SMK Agama Igan, SMK Matu dan SMK TDPH Normah, Daro.
Para Pelajar SMK Matu, siap sedia untuk meneruskan perjuangan.

Saya lihat, Boleh dikatakan semua pelajar dalam keadaan tertekan, Tanggungjawab mereka kepada sekolah dan tanggungjawab kepada keluarga terasa amat berat sekarang. Lebih-lebih lagi tanggungjawab kepada diri sendiri dimana untuk diletakkan nanti dengan keputusan peperiksaan sama ada lulus atau gagal.
Saya lihat, ada antara mereka berbual-bual sesama sendiri (mungkin sudah terlalu yakin atau sedang berbincang), ada yang membaca seorang diri di bawah pokok, membaca di perhentian bas dan ada yang khusyuk membaca sambil berjalan.. Tidak sempat saya rakam aksi-aksi mereka kerana saya mahu bergegas pulang untuk melihat anak-anak saya di SMK Belawai tetapi tidak sempat.. Bila sampai sahaja di sekolah kertas terakhir Pendidikan Islam baru sahaja tamat, tetapi sempatlah berbual sebentar dengan pengawas peperiksaan yang menghantar kertas jawapan di bilik kebal yang kebetulannya di dalam pejabat saya.

Majlis Ramah Tamah Idulfitri, Bank Rakyat Mukah.
Tadi, Jam 7.00am saya dah daftar keluar dari Highway Inn Mukah - Perkara pertama yang saya perlu buat ialah bertemu dengan makanik kereta - Semalam dah di atur tetapi bila buka "econ" bunyi bising masih ada - kuat sangat, terpaksalah tali "Belting econ" ditukar baru. Di situ dah buang masa 1 jam lebih. Perkara kedua - niat nak sarapan di mana-mana kedai di Pekan Mukah, bila dah limpas Bank Rakyat dan terlihat ramai orang di situ, baru saya teringat saya pun ada kad jemputan untuk majlis ramah tamah Bank Rakyat, Mukah. Singgah sebentar, makan.... Selamat le 2..3.. ringgit... walaupun Bank Rakyat dapat banyak "ringgit" dari saya setiap bulan.
Cikgu Raniah (Pengetua SMK Matu) dan Cikgu Patrick Khamis (PK Pentadbiran SMK Matu)
Perkara ketiga, Isi minyak, angin kereta dan seterusnya meneruskan perjalanan ke SMK Matu kerana berjanji dengan Cg. Patrick Kamis PK Pentadbiran SMK Matu (Juga komposer lagu - sambilan) untuk mendengar lagu SMKB yang diciptanya.
Baru-baru ini, saya meminta beliau mencipta lagu sekolah untuk menggantikan melodi yang ada dengan melodi yang lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi ekoran dari cadangan guru-guru supaya lagu sekolah ditukar. Saya meletakkan kepercayaan kepada Cg Patrick Kamis kerana saya yakin beliau dapat mencipta lagu yang terbaik untuk SMK Belawai berpandukan pengalamannya yang luas dalam bidang ini.
Klik di sini untuk melihat 16 lagu-lagu berbisa beliau dalam satu album : Tangkap_syahdu -Patrick Kamis
Alhamdulillah lagunya sudah siap dan sedang dalam rakaman dengan pertolongan Vince - tetapi masih lagi memerlukan sedikit perubahan kerana lirik lagu yang lama perlu ditukar sedikit untuk disesuaikan dengan melodi baru. Dalam perbincangan, bila siap sepenuhnya beliau akan datang ke SMK Belawai dan akan melatih pelajar koir, seterusnya di perdengar dan di sebarkan kepada semua warga sekolah. InsyaAllah, satu majlis pelancaran lagu ini adakan diadakan pada tahun hadapan selaras dengan pertukaran Visi sekolah dan perancangan strategik sekolah untuk 5 tahun akan datang dari tahun 2011-2015.

Feri Harapan tetap meneruskan perjalanan dari Jeti Tanjung Gelang ke Jeti Jati walaupun hanya kereta saya sebuah sahaja. Rasa macam di sewa khas pulak...., tambangnya hanya RM1.oo ( Satu Ringgit sahaja)
Dari SMK Matu - saya meneruskan perjalanan ke Daro dan singgah di PPD Daro mengambil surat. Tidak membuang masa terus isi minyak dan ke Jeti Daro untuk mendapatkan Perkhidmatan Feri Wawasan melintasi Sungai (Batang) Lasak. Sampai di Pulau Beruit terus perjalanan lagi ke Jeti Tanjung Gelang. Untuk ke Jeti Tanjung Jati terpaksa melintasi Sungai (Batang) Paloh dengan menggunakan Feri Harapan. Pejalanan Daro ke SMK Belawai sebenarnya tidak lah terlalu jauh tetapi lambat menunggu feri menyebabkan perjalanan menjadi lambat. Keadaan ini disebabkan oleh arus air terlalu kuat, bergelombang dan keadaan air pasang dan surut yang mengganggu perkhidmatan feri.
Kelihatan Tuan Imam memperkatakan sesuatu kepada pelajar. Barangkali sedang memberi motivasi ....
Sampai di SMKB sudah hampir jam 5 petang dan terus masuk pejabat. Dari laporan PK Pentadbiran SMK Belawai-Cg Yusop, semuanya berjalan dengan lancar. Saya juga difahamkan ramai Ibubapa yang datang menghantar anak-anak sampai ke dewan peperiksaan seperti mana yang saya syorkan kepada mereka. Cara ini sedikit sebanyak dapat memotivasikan anak-anak. Ibu bapa juga dapat menunjukkan perasaan sayang dan menghargai apa yang telah dilakukan oleh anak-anak mereka.
Bersama-sama ibu bapa yang lain, yang datang menghantar anak-anak mereka termasuklah Iman Masjid Tg Manis, Encik Adeni dan Pengurus TMF (Tanjung Manis Furniture) En Pandi. Tahniah kepada mereka kerana menyahut saranan saya.. malangnya saya sendiri tidak dapat melakukannya seperti mereka dan terpaksa menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada isteri. Anak saya juga menduduki Peperiksaan PMR pada tahun ini. Niat dihati nak bercuti tetapi kerana ada mesyuarat di Mukah, maka, terpaksa melupakan hasrat tersebut.

Semoga usaha yang dilakukan oleh para ibu bapa diberkati Allah dan ganjarannya ialah kecemerlangan anak-anak.


Antara ibu bapa yang hadir bersama-sama dengan anak masing-masing...



Terima kasih kepada Cikgu Abd Wahab Hj Sapawi yang sms dan telefon saya bertanyakan keadaan "semasa" di sekolah.
TERIMA KASIH CIKGU

Monday, October 4, 2010

113. Khamis 30 September 2010

Khamis 30 September 2010 - Merupakan hari yang paling meletihkan tetapi telah berjalan dengan sempurna. Bermula dengan menghadiri majlis Ramah Tamah Idulfitri di SK Abang Gesa, Rumah terbuka PK1- Cikgu Yusop, Jemputan ke majlis tahlil di rumah YB Datuk Hj Hamden, ADUN Belawai ( Makan 7 kematian ayahanda beliau ) dan berakhir dengan Majlis Sembahyang Hajat mohon restu Allah S.W.T untuk kecemerlangan para pelajar SMK Belawai yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM, pada malamnya selepas solat Isyak di Masjid Kampung Rajang.
Sesuatu yang menarik yang dilakukan oleh SK Abang Gesa, dibawah pimpinan Guru Besarnya Cg Nasha b. Mawar ialah penyertaan PIBG. Beberapa khemah didirikan dan setiap khemah di serahkan kepada ibu bapa untuk menghiasi dan menyediakan juadah apa yang hendak di hidangkan. Seterusnya khemah yang cantik, kemas, bersih dan teratur akan di berikan hadiah oleh pihak sekolah.
Para ibu bapa sedang menunggu untuk melayani tetamu yang datang untuk berkunjung ke khemah mereka. Berbagai juadah disediakan. Yang pasti kerjasama antara mereka cukup erat dan sanggup berbelanja untuk memastikan program ramah tamah sekolah anak-anak mereka berjalan dengan lancar.
Gambar atas dan bawah, adalah antara khemah-khemah yang telah dihiasi dengan cantik. Saya difahamkan para ibu bapa menghabiskan masa sehari suntuk, sehari sebelum majlis dimulakan menghiasi khemah ini untuk memastikan khemah mereka dinobatkan sebagai khemah yang paling cantik dan menarik. Perancangan yang kemas ini menunjukkan bahawa hubungan antara penduduk di sini amat erat dan kerjasama mereka dengan pihak sekolah sangat baik.
Tengok hiasan dan kuih muih yang disediakan pun dah rasa kenyang. Tak tahu nak pilih mana satu... semuanya daaunyam (sedap).
Majlis Ramah Tamah Idulfitri diserikan lagi dengan majlis tepung tawar kepada Guru besar Cg Nasha (Kanan) dan mantan Guru Besar SK Abang Gesa (Kiri) Cg Morshidi (Pegawai perhungan kepada YB Datuk Hj Hamden - (yang banyak berjasa kepada pelajar sekitarnya. Beliau sentiasa mengambil berat hal-hal kebajikan pelajar yang berjaya dan yang kurang kemampuan diberikan bantuan untuk meneruskan pengajian walau di mana sahaja) yang akan menunaikan haji pada tahun ini. Tahniah kepada semua guru SK Abang Gesa dengan kejayaan majlis yang di anjurkan. Sangat menarik, pengisian program juga sangat hebat, semoga cikgu semua sentiasa cemerlang.
Pada tengaharinya pula, jemputan ke rumah PK Pentadbiran (PK1) SMK Belawai, Cikgu Yusup Hj Omar. Berbagai hidangan yang disediakan menanti guru-guru SMK Berkunjung dan menikmatinya. Rasa saya tahun ini paling banyak rumah terbuka yang saya hadiri, bermula dengan hari terbuka di rumah saudara mara di Kedah dan rumah jiran di Taman Selayang, Mergong. Seterusnya, bersambung di sekolah dan di rumah guru-guru di SMK Belawai sama ada di Flat dan di luar sekolah. Rumah pengetua bila lagi? Tunggu masa yang sesuai... Jangan madah dolok...
MasyaAllah Reziki Allah melimpah ruah. Pada sebelah petang selepas solat Asar, saya dijemput ke rumah YB Datuk Hj Hamden Hj Ahmad - selepas tahlil makan lagi. Semoga berat badan saya tidak melampau lah ye.. Saya diberitahu oleh Cg Morshidi, Majlis sebenarnya ialah pada sebelah malam tetapi pada sebelah malamnya SMK Belawai akan adakan majlis solat hajat di Masjid Rajang, YB memindahkan majlis tahlil pada sebelah petang. Terima kasih YB.. Selain dari itu walaupun tiada jemputan rasmi kepada YB, beliau juga sudi datang ke majlis solat hajat walaupun hanya berkain pelikat dan sudi mendengar talimat saya kepada ibu bapa pada malam tersebut. Sesungguhnya keperihatinan YB terhadap masyarakat dan sekolah melalui PIBG SMKB sangat besar dan semoga Allah permudahkan YB dalam semua urusan.
Solat Hajat SMK Belawai di Masjid Rajang, masjid yang indah dan sejuk yang dilengkapi dengan penghawa dingin ini menjadi masjid pilihan pertama bagi program ini yang julung-julung kalinya dibuat di luar kawasan sekolah. Matlamat sebenarnya ialah, pihak sekolah ingin mendekati masyarakat. Kejayaan pelajar adalah kejayaan penduduk setempat. Sudah sampai masanya masyarakat perlu tahu apa yang sedang dilakukan oleh guru-guru di SMK Belawai demi kejayaan anak-anak mereka dan sama berusaha ke arah itu.
Saya percaya dari taklimat yang saya sampaikan selepas solat hajat, pada hadirin dapat memahami apa objektif dan target sekolah. Kita perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah lain di Malaysia khususnya dalam mengejar kejayaan. Bukan hanya mendengar kejayaan orang lain, walaupun SMK Belawai sekolah luar bandar dan masih banyak kekurangannya tetapi kita perlu mampu bersaing.
InsyaAllah, jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, tahun hadapan solat hajat akan diadakan di Masjid Kg Jerijeh. Seterusnya di Kg Belawai. Jika ada permintaan dari penduduk Tg Manis kita akan adakan majlis tersebut di Masjid Tg Manis walaupun kedudukan agak jauh dari sekolah. Solat hajat adalah usaha terakhir untuk para pelajar, bagaimanapun usaha yang gigih dan bertawakkal kepada Allah amat perlu untuk sesuatu kejayaan. Semoga Allah tenangkan hati dan fikiran para pelajar ini dan dapat menjawab peperiksaan dengan lancar. Kejayaan anak-anak dalam keluarga adalah kejayaan Sekolah. Teruskan Perjuangan....
Terima kasih kepada semua guru, YDP PIBG, AJK PIBG dan orang perseorangan yang banyak membantu untuk menjayakan majlis ini. Tidak lupa juga kepada AJK Masjid Rajang, para penduduk Rajang, pihak polis, para dermawan dan pegawai penerangan En. Majid yang sentiasa menolong pihak sekolah dalam semua majlis yang dijalankan. Terima kasih kepada semua pelajar yang membantu dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam majlis ini. Semoga Allah sahaja yang membalas budi baik tuan...
TERIMA KASIH CIKGU

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.