PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, August 25, 2009

56. 10 TIPS: Guru Dekati Hati Pelajar

Rencana ini dipetik dari Majalah The Teacher Daripada Guru Untuk Guru Julai 2009
Bagaimana menjadi seorang guru yang sentiasa dekat di hati pelajar? Sebagai panduan ada 10 tips bagaimana anda boleh menjadi seorang guru yang dihormati dan disayangi oleh pelajar anda.
  1. Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa hadir ke sekolah : Tempat seorang guru ialah bersama-sama pelajarnya di dalam kelas, jika seorang guru itu tiada bersama-sama pelajarnya bermakna guru itu tidak mengajar. Seseorang guru mungkin terpaksa meninggalkan kelas atau pelajarnya atas sebab-sebab rasmi atau peribadi, tetapi adalah dinasihatkan jangan terlalu kerap. Mungkin ada ketikanya anda berasa kurang sihat, jika tidak serius, cuba hadirkan diri ke sekolah. "Guru tetap" yang kurang sihat adalah 10 kali lebih baik dari "Guru ganti" yang sihat. Kehadiran tetap menjadi satu kemestian. Berbanggalah dengan rekod kedatangan yang sempurna.
  2. Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa ada bila diperlukan : Anda perlu membantu pelajar setiap masa. Ini bermaksud sebelum waktu sekolah, waktu rehat dan selepas sekolah. Anda tidak perlu melakukannya sepanjang masa. Mulakan dengan 2 hari seminggu sebagai contoh. Beritahu mereka waktu dan hari di mana mereka boleh berjumpa anda untuk tujuan berbincang. Jika ada keperluan dan mendapat sambutan, bolehlah ditambah menjadi tiga atau empat hari seminggu, itupun jika ia tidak TERLALU membebankan. Anda akan menjadi guru terbaik kepada pelajar. Bantulah mereka.
  3. Guru yang dekat di hati pelajar kenal pelajar mereka secara lebih dekat : Berbual dengan mereka semasa mengajar. Apakah muzik kegemaran mereka? Rancangan TV? Filem? Berbual dengan mereka di luar bilik darjah, di kantin atau di pondok bacaan. Lebih banyak anda tahu mengenai mengenai mereka, lebih mudah anda untuk menguasai diri dengan mereka. Adalah lebih mudah berbual dengan mereka ketika sedang mengajar. Kaitkan topik pengajaran dengan kehidupan mereka sebagai satu cara memulakan perbualan dengan mereka. Selain itu, hafal dan ingat nama mereka secepat mungkin.
  4. Guru yang dekat di hati pelajar perlu kenal ibu bapa pelajar : Dapatkan nombor telefon ibu bapa pelajar. Cuba hubungi mereka sekali sekala, jika mampu, hubungi sekerap mungkin. Anda tidak perlu berbual lama, sekadar bertanya khabar dan tunjukkan anda mengambil berat mengenai anak mereka dan pelajaran mereka. Hubungan ini secara tidak langsung akan membantu prestasi pelajar. Prestasi mereka akan meningkat dan akan lebih bersopan apabila mereka tahu anda mengenali dan sering berbual dengan ibu bapa mereka.
  5. Guru yang dekat di hati pelajar tahu apa yang mereka ajar : Jika anda tidak tahu mengenai sesuatu topik, bagaimana anda mahu mengajar? Guru perlu membuat persediaan secukupnya sebelum memasuki kelas. Sebaiknya, bersedialah sebaik sahaja anda menulis rancangan mingguan anda. Percayalah, jika anda mengajar tanpa persediaaan secukupnya, anda akan merasa menyesal setelah anda meninggalkan kelas anda. Jadi pastikan anda bersedia sebelum memasuki kelas.
  6. Guru yang dekat di hati pelajar menghadiri setiap acara sekolah : Pastikan anda sentiasa hadir dalam setiap acara di sekolah, seperti perhimpunan, sukan sekolah dan hari penyampaian hadiah. Kehadiran anda di setiap acara berkenaan akan menunjukkan kepada pelajar anda bahawa anda mengambil berat tentang mereka dan sentiasa menyokong kegiatan yang mereka sertai.
  7. Guru yang dekat di hati pelajar tinggal dalam kejiranan sekolah : Jika anda tidak tinggal dalam kawasan kejiranan sekolah, anda boleh mendekati pelajar yang tinggal dalam kejiranan sekolah dengan cara membeli belah atau makan di kedai makan berhampiran sekolah selepas waktu sekolah atau pada hujung minggu. Mungkin ada ibu bapa pelajar yang menjalankan perniagaan berhampiran sekolah atau pelajar sendiri membeli belah belah di kedai berkenaan. Cuba pantau kehidupan mereka. Lebih kerap pelajar melihat anda, maka akan lebih baik kelakuan dan sikap mereka di dalam kelas. Mereka akan melihat anda sebagai sebahagian daripada mereka.
  8. Guru yang dekat di hati pelajar makan di kantin sekolah : Di sesetengah sekolah, ada guru yang sering makan di luar kawasan sekolah atau membawa bekal dari rumah dan makan di bilik guru sahaja. Cubalah bersama mereka di kantin, makan bersama mereka di kantin. Sebahai contoh berbual mengenai makanan kegemaran mereka dan bagaimana mereka membelanjakan wang poket mereka setiap hari. Mana tahu, mungkin ada pelajar anda yang sering meminggirkan diri pada waktu rehat.
  9. Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa berlakuk adil : Sentiasa harapkan yang terbaik dari pelajar anda, tetap pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik. Berlaku adil tidak semestinya menjadikan anda tegas atau terlalu berlembut. Secara mudahnya, anda perlu menilai dan melayan pelajar berdasarkan kemampuan mereka.
  10. Guru yang dekat di hati pelajar tidak akan hilang sabar : Tahan kemarahan, semuanya akan berlalu. Jangan terbawa-bawa dengan rasa geram dan emosi. Pelbagai perkara boleh berlaku di dalam bilik darjah. Tangani masalah di dalam bilik darjah secara profesional. Mengambil tindakan mengikut emosi dan secara melulu hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi kesan kepada karier anda di kemudian hari.
  11. Sentiasa harapkan yang terbaik dari pelajar anda, tetapi pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik

Wednesday, August 19, 2009

55. Selamat Bercuti dan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa

  1. Minggu depan sekolah akan bercuti selama seminggu. Ini bermakna semua pelajar dan guru dapatlah berehat. Walau bagaimanapun dalam pada itu bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM masa yang ditunggu semakin dekat. Sementara bagi guru-guru walaupun bercuti perlu menghabiskan semakan kertas jawapan pelajar.
  2. Saya percaya semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini sedang berusaha bersungguh-sungguh kerana mereka tahu peperiksaan ini sangat penting untuk masa depan masing-masing. Bagi pelajar tingkatan 3, inilah masanya kita perlu menunjukkan bahawa kita juga pelajar cemerlang dengan memperbaiki keputusan UPSR yang lalu. Dengan keputusan peperiksaan PMR yang baik nanti, para pelajar dapat meneruskan pelajaran ke tempat lain terutama di sekolah Teknik dan melihat bahawa dunia ini sangat luas, bukannya kita terkongkong di kawasan Tanjung Manis dan Sarikei sahaja.
  3. Begitu juga dengan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM. Peperiksaan ini sangat bererti sekali kerana nilai sijilnya sangat tinggi. Dengan keputusan yang baik sudah tentulah akan menjamin para pelajar akan menyambung pelajaran sama ada ke tingkatan 6 atau ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Diploma.
  4. Jangan ada penyesalan dalam hidup kita, bak kata pepatah Sesal dahulu pendapatan, sesal Kemudian Tidak Berguna. Ikulah nasihat guru-guru kerana mereka adalah orang yang terlatih memandu kita kearah kecemerlangan terutama dalam pelajaran. Jangan selepas keputusan peperiksaan keluar, dan masing-masing dah dapat slip. Mula dengar tangisan penyesalan dan mula marahkan diri sendiri kenapalah aku dulu tidak belajar bersungguh-sungguh, kalaulah aku belajar persungguh tentu keputusan lebih baik dari ini.
  5. Nak masuk tingkatan 6 pun susah, inikan pula nak keperingkat yang lebih tinggi. Dah tu adalah dikalangan pelajar mula membuat rayuan masuk ke tingkatan 6. Merayu-rayu kita supaya kita di terima. Jika keputusan kita bagus perkara-perkara yang mamalukan kita seperti itu tidak akan berlaku.
  6. Para pelajar ambillah iktibar dari orang lain, bagaimana kehidupan orang berjaya dalam pelajaran dan bagaimana rupanya kehidupan orang yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Benar rezeki itu dari Allah, tetapi jika berusaha lebih dari orang lain maka Allah akan memberi lebih dari orang lain. Setiap usaha kita pasti ada ganjarannya, kita perlu berusaha dan kemudian kita bertawakkal kepadanya.
  7. Oleh itu gunakanlah masa cuti ini sebaik mungkin, belajarlah di rumah, kurangkan masa melepak di tepi jalan yang tidak membawa faedah. Ulangkaji pelajaran, jaga kesihatan dan makan minum terutama keadaan sekarang dengan menularnya penyakit H1N1.
  8. Saya juga yakin guru-guru telah melakukan sesuatu yang terbaik untuk para pelajar SMK Belawai. Kerja rumah yang diberi mencukupi dan akan disemak dengan sepenuhnya. Saya yakin pada tahun ini kita akan berjaya meletakkan SMK Belawai di luar kawasan SPR - sekolah Prestasi Rendah atau keputusan lulus lebih 50%. Kita mesti mencapai target iaitu lebih 65% seperti yang dipersetujui bersama.
  9. Di saat-saat akhir ini gunakan budi bicara cikgu, berikan motivasi sepenuhnya kepada pelajar. Selalu ingatkan mereka tetang pentingnya pelajaran dalam hidup. Uji mereka dengan soalan-soalan peperiksaan lalu atau soalan-soalan dari sekolah-sekolah lain. Buat runcingan soalan dan kenalpasti tajuk-tajuk yang sering keluar. Berikan penekanan kepada bab-bab penting dan yang paling penting adalah bagaimana kita gunakan pendekatan MaCS dengan berkesan. Kenalpasi potensi pelajar dan kita mengajar mereka dengan berkesan.
  10. Dalam masa cuti ini, cikgu fikir-fikirlah sesuatu yang terbaik yang kita dapat persembahkan kepada pelajar dalam P & P. Jangan cepat mengalah dan terlalu emosi. Buat kajian untuk diri sendiri supaya apa yang kita persembahkan kepada pelajar adalah sesuatu yang istimewa dan dikenang pelajar sehingga akhir hayat. Sebagai seorang guru kita bermain dengan perasaan. Jika kita pandai mengambil hati pelajar, pelajar akan suka akan kelas kita, tetapi jika sebaliknnya perasaan meluat yang meluap-luap jika lahir dalam diri pelajar, ia akan menimbulkan banyak masalah kepada P & P seterusnya. Bagi guru-guru yang hebat sudah tentu pelajar akan tertunggu-tunggu kedatangan tetapi bagi guru sebaliknya pelajar harap guru tersebut tidak datang.
  11. Guru yang baik bukan semestinya garang tetapi tindak tanduknya dihormati. Bukan sahaja dikalangan pelajar tetapi dikalangan rakan guru. Kerja hebat, masa masuk kelasnya hebat, P & P hebat dan mempunyai sikap yang baik serta dihormati. Saya yakin semua nilai ini dimiliki oleh semua guru di SMKB dan SMKB akan berjaya seperti yang dicanangkan.
  12. Akhir sekali saya mengucapkan selamat bercuti kepada semua guru dan pelajar. Selamat balik kampung. Jaga kesihatan lebih-lebih lagi pada masa sekarang wabak H1N1 yang sedang menular dan telah mengorbankan banyak nyawa. Pakai topeng muka jika ditempat awam. Minum air bersih, cuci tangan baik-baik sebelum makan. Tutup mulut ketika bersin dan waspada selalu. Sampai kita berjumpa lagi selepas cuti. Salam kemerdekaan dari saya dan selamat menunaikan ibadah puasa, semoga kita melaluinya dengan penuh keimanan. Wassalam

Wednesday, August 12, 2009

54. DUGAAN YANG MAHA KUASA

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan izinnya jua masalah air yang dihadapi oleh SMKB selama lebih seminggu yang memaksa kita bercuti ganti kian pulih. Petang tadi jam 4 petang (12 Ogos) saya dimaklumkan oleh pegawai JKR En.Liku, pihak JKR akan mengepam air, sebelah pagi dari jam 8.00 hingga 10.00 pagi, petang dari jam 4.00 hingga 6.00 petang dan sebelah malam dari jam 8.00 malam hingga 10.30 malam.
  2. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak JKR Belawai, terutama En. Liku dan rakan-rakannya dan JKR Sarikei terutama En. Salihin, En. Azri dan En. Chieng yang betungkus lumus mengatasi masalah kemudahan asas ini. Demikian juga Timbalan Pengarah JKR, En Safri yang sentiasa menghubungi saya dari masa ke semasa bertanyakan tentang masalah ini selain dari pejabat Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak- Cg Melisa dan dari PPD Mukah serta Daro.

  3. Keperihatian pihak JKR ( Yang selama ini dipermainkan dengan kata-kata Jangan Kerja Rajin) nampaknya salah sama sekali. Bantuan air pertama yang diterima oleh SMKB pada tengah malam (12.30 malam) 4 Ogos 2009 bersama En. Azri dan rakan-rakannya membuktikan bahawa JKR (JAGA KEBAJIKAN RAKYAT). Tahniah semoga berkekalan dan dengan penuh harapan kita mengharapkan bantuan JKR dari masa ke semasa. Jika ada peruntukan, pihak sekolah juga akan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang disarankan oleh pihak JKR.

  4. Ucapan terima kasih juga kepada pihak YB Datuk Norah Tun Rahman, YDP PIBG, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Belawai dan orang perseorangan yang sentiasa bertanya khabar tentang masalah sekolah.

  5. Di SMKB kita sangat memahami bahawa masalah ini bukannya masalah langsung dari kelemahan manusia tetapi sedikit ujian dari yang maha kuasa (KEMARAU). Walau bagaimanapun sejak semalam 11 Ogos hujan sudah mula turun (Dipercayai pembenihan awan yang dilakukan) dan kita percaya dengan kehendaknya juga masalah ini akan diatasi.

  6. Keputusan sekolah ditutup pada 3 Ogos hingga 7 Ogos adalah jalan terakhir yang difikirkan sangat perlu pada masa tersebut. Lebih-lebih lagi SMKB adalah sekolah harian berasrama. Cuti sekolah ini adalah cuti berganti dan telah diluluskan oleh pihak Jabatan Pelajaran. Para pelajar akan diberitahu dari masa kesemasa tarikh-tarikh sekolah ganti (Hari Sabtu)yang telah ditetapkan.

  7. 10 Ogos 2009 sekolah telah dibuka semula, walaupun tidak pulih sepenuhnya tetapi saya dapati bahawa semua warga sekolah, guru-guru dan murid-muridnya sangat bersemangat untuk sama-sama memulakan P & P. Ini menunjukkan masalah yang kita hadapi sekarang bukan alasan SMKB tidak boleh Cemerlang 2010. Begitu juga dengan ibu bapa yang SMS dan membuat panggilan di pejabat, bertanyakan bila sekolah akan dibuka semula.

  8. Saya merasa terharu mendengar bahawa ada dikalangan penduduk setempat yang mengambil murid-murid yang jauh sebagai anak angkat sehingga kini untuk meringankan beban sekolah. Semoga budi baik yang ditunjukkan oleh penduduk kampung dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah S.W.T. Tidak kurang juga murid-murid dari Kampung Jerijeh yang mohon kepada saya menganggut air untuk kegunaan tandas murid dan guru dan penduduk kampung yang sentiasa mempelawa mengambil air dari perigi yang digali di rumah masing-masing.

  9. Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan bahawa dugaan Allah S.W.T ini ada hikmah disebaliknya: Saya petik sedikit tulisan dari blog ini http://sahamump.blogspot.com/2009/04/tujuan-dugaan-allah-swt-kepada-hambanya.html Antara hikmah dugaan Allah ialah:

    **Untuk membersihkan dan memilih, yang mana orang mukmin yang sejati dan yang mana orang2 munafik

    **Untuk mengangkat darjat dan menghapuskan dosa

    **Untuk menguji sejauh mana ketaatan dan kesabaran hambaNya

    **Untuk membentuk dan mendidik keperibadian manusia, sehingga menjadi umat yang berbudi tinggi

    **Sebagai latihan, supaya manusia terbiasa menerima berbagai ujian, dengan demikian akan bertambah kesabaran, kuat cita-cita dan tetap pendirian.
  10. Piala Kemenangan Asrama Terbilang- Tempat ke 4

    Tempat pertama : SMK Siburan- Kuching. Tempat kedua : SMK Merapoh Lawas-Limbang. Tempat ketiga: SMK Dato' Patinggi Kedit, Betong. Keempat: SMK Belawai, Daro-Mukah.

  11. Semasa guru-guru dan murid-murid bercuti, pada hari Jumaat 7 Ogos 2009 sekolah kita telah di lawati oleh 2 orang pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Cg Selamat dan Cg Wahab Wak. Tujuan utamanya adalah untuk membuat penilaian ke dua Asrama SMKB sambil memantau pembangunan sekolah. Keputusan yang diumumkan di SMK Agama Sri Aman sangat memberangsangkan. Walaupun asrama SMKB dinobatkan tempat ke 4 dari 10 penyertaan peringkat Negeri Sarawak sangat membanggakan. Kali pertama SMKB menyertainya kita mampu berjaya ke tahap itu. Tahniah kepada semua wardan dan pelajar asrama. InsyaAllah tahun hadapan kita akan berusaha dengan gigih dan mencari kelemahan serta membaikinya.

  12. Sekali lagi, ingin saya ingatkan kepada semua warga sekolah jagalah kesihatan, jagalah makan minum, belajar berjimat cermat dan hadapi dugaan ini dengan tabah dan hati yang cekal, semoga kita beroleh kejayaan dan sentiasa di lindungi Allah.

Gambar Hiasan - Seronoknya dapat mandi macam ini. Lokasi Air Terjun Lata Bukit Hijau, Kedah. Pantai Belawai Pun Best... jika ada guru yang berminat boleh kita tubuh Kelab Berkayak kan?

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.