PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, August 31, 2010

105. Salam Kemerdekaan...

Salam Kemerdekaan dan Salam Satu Malaysia..
Seronok membaca tulisan rakan2 bloger mengenai ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 53 (Hari ini) - 31 Ogos 2010. Berbagai pandangan yang diberikan yang rata-ratanya meningkatkan motivasi untuk menyayangi Negera tercinta ini. Jangan tanya apa yang negara kita dapat berikan kepada kita tetapi tanya pada diri apakah sumbangan kita terhadap negara supaya ia kekal makmur, maju dan sentiasa kehadapan.
Malaysia milik kita bersama, keharmonian tidak akan kekal jika kita asyik bertelagah antara satu sama lain. Semua bangsa di dalamnya perlu bersatu di bawah satu bendera. Kibarkan Jalur Gemilang di walau di mana sahaja, kerana kibarannya mampu menaikkan semangat nasionalisme. Sebagai rakyat Malaysia yang baik, kita mesti insaf, jangan disebabkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab perpaduan kaum yang kita bina boleh keruh beberapa saat sahaja sedangkan pejuang-pejuang kemerdekaan bertungkus lumus berusaha untuk bebas dan generasi terdahulu menjaganya selama lebih 50 tahun.
Dari segi lain kemerdekaan dilihat sebagai bebas dari minda yang terpenjara, seperti yang dikatakan oleh Za'ba, kemerdekaan ialah cara kita berubah dari kepercayaan bodoh yang melemahkan akal kepada kepercayaan yang cerdik. Bagi pelajar-pelajar SMKB - kita perlu meletakkan diri kita dalam situasi sebenar, bukan terkongkong seperti katak di bawah tempurung. Semua teguran membina yang disampaikan oleh guru-guru perlu diambil berat kerana di luar sana penuh dengan ranjau dan dugaan yang lebih mencabar. Apa yang anda lihat di sekeliling adalah sementara dan akhirnya kita tidak mampu bersaing.
Ada rakan-rakan kita yang sudah keluar dari sini tetapi terpaksa berpatah balik ke SMKB kerana tidak dapat bersaing dan mengalami kejutan budaya. Oleh itu untuk bersaing kita perlu mempersiapkan diri dengan segala macam bekal yang semua dalam satu "pakej" PMR dan SPM. Tanpa keputusan yang baik sukar untuk kita bergerak lebih maju. Jangan ingat, kamu akan tinggal dengan ibu bapa sampai bila-bila, jangan ingat kamu akan tinggal di asrama sampai bila-bila. Semuanya adalah sementara sebagai batu loncatan untuk kamu bebas, dan jika kamu lulus dengan cemerlang, maka itulah kemerdekaan sebenar bagi diri kamu.
Kepada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam 2010 - PMR dan SPM jangan lupa membuat ulangkaji semasa cuti penggal dan cuti hari raya. Sesungguhnya Allah sedang menguji kesabaran dan kemampuan kamu untuk berjuang hingga berjaya. Saya ingin melihat ramai pelajar tingkatan 3 akan mendapat 8A dan ramai pelajar SPM yang akan mendapat A+ dalam semua subjek. Sesungguhnya kemerdekaan sebenar kepada saya sekarang ialah bebasnya SMKB dari sekolah yang berprestasi rendah...
Merdeka... Merdeka... Merdeka...

Friday, August 27, 2010

103. Sukar nak berubah atau Sukar bila berubah

Kenyataan Gambar : Gambar diambil semasa saya melalui kawasan persimpangan Dalat ke Igan dan Mukah. Pembahagi jalan yang kelihatan berdua-duaan menarik perhatian saya. Pertama kali saya ke sini ialah pada tahun 1993. Sekarang banyak perubahan berlaku terutama sistem perhubungan dan pembangunan. Tetapi malangnya tiada perubahan sikap. (Pembahagi ini sekarang sudah dibaiki seperti sediakala)

Sesuatu perubahan yang berlaku biasanya tanpa kita sedari. Sama ada perubahan pada diri atau perubahan pada alam sekeliling. Bila ada yang menegur barulah kita terfikir kerana orang yang menegur itu nampak perubahan pada matanya. Beberapa orang rakan lama saya, yang saya temui semula setelah sekian lama terpisah umpama seorang rakan baru kerana wajahnya jauh berubah, bentuk badan dulunya kurus kini gemok, dulunya bukan main lagi slim sekarang dah boroi, tunggu masa sahaja nak bersalin. Begitu juga saya, bila rakan-rakan tegur, "Engkau nie tak banyak berubahlah tapi rambut semua dah putih memenuhi kepala." Maknanya ada perubahan yang berlaku.
Begitu juga dengan perubahan sikap, tidak nampak dimata kita tetapi orang lain nampak perubahan yang berlaku. Barangkali dulu kita bersikap kedekut, malas, tamak, panas baran, sombong, dan sebagainya bertukar menjadi rajin, pemurah, penyayang atau atau sebaliknya. Dulu kita menentang jika ada yang baru kerana kita merasa sayang nak membuang yang lama atau sukar menerima kenyataan. Kita menjadi anti perubahan.
Evelyn Waugh - menyatakan perubahan adalah tanda kehidupan. Manusia yang hidup sentiasa berubah. Hari ini kita lahir dan bergantung pada orang lain, bila kita menjadi kanak-kanak kita belajar berdiri, berjalan dan berlari. Setelah dewasa kita menghadapi pelbagai persoalan hidup. Kadang-kadang ketawa, sedih dan menangis. Ada masanya senang dan ada masanya susah.
Begitu juga dengan sesebuah perusahaan, seperti juga kehidupan manusia. Bermula dengan kelahiran, tua, sakit dan mati. Jika dijaga sesebuah perusahaan dijaga dengan baik, barangkali dapat kekal lama. Stora, sebuah perusahaan di Sweeden kekal 700 tahun dan Sumimoto di Jepun kekal 400 tahun. Kenapa mereka kekal, kerana mereka berubah mengikut zaman dan beradaptasi. Manakala beribu-ribu perusahaan lain mati begitu sahaja kerana sukar untuk berubah. Begitu juga dengan manusia yang mati tanpa berubah kecuali perubahan fizikal. Kata orang tua-tua jika dah sampai umur 40tahun jika tidak berubah juga, alamatnya sampai ke matilah tidak berubah.
Perubahan akan menjadi susah jika sikap tidak berubah. Kita merasa sukar kerana terpaksa memakai tali pinggang keledar, kita merasa sukar kerana jalan ke rumah kita terpaksa melalui jalan yang jauh kerana ada pembahagi jalan, kita merasa susah kerana di pejabat sudah ada sistem punch card, susah kerana pengajaran dan pembelajaran murid perlu disampai dengan teknologi baru dan kita merasa sukar apabila zon keselesaan kita terganggu..
Namun yang pasti perubahan tetap berlaku secara sukarela atau terpaksa..

Firman Allah s.w.t dalam surah Qasas, ayat 77:
Ertinya: Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.




Kemajuan mustahil dicapai tanpa perubahan dan mereka yang enggan mengubah fikiran mereka tidak boleh mengubah sesuatu apapun
- George Bernard Shaw

Wednesday, August 4, 2010

98. Jadilah Peniaga Yang Beretika, Pengguna Yang Rasional

Utusan Malaysia, Selasa 20 Julai 2010 melaporkan lebih 15,000 peniaga kecil di sekitar Lembah Kelang membanjiri Stadium Titiwangsa untuk memohon lesen sementara bazar Ramadan di Kawasan Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India. Namum tempat yang disediakan oleh DBKL hanya 400 sahaja. Ini bermakna tidak semua peniaga akan mendapat tempat untuk berniaga.
Hanya yang bernasib baik sahaja akan menikmati rezeki Ramadhan di situ. Namun apa yang diharapkan oleh orang ramai ialah pembeli mendapat pembelian terbaik dengan nilai wang yang dikeluarkan walaupun ada jaminan harga barang tidak akan naik. Bagi menjamin keadilan kepada pengguna, kita berharap supaya peniaga yang bernasib baik ini akan menjual sendiri di tapak berkenaan dan bukan menjual tapak tersebut kepada orang lain untuk mendapat untung mudah.
Dalam pemasaran, pengguna disebut “Consumer is the king”, Pengguna ada kuasa untuk membeli seumpama raja tetapi seringkali pengguna tertipu dengan pelbagai iklan, alasan atau perletakkan harga yang tidak munasabah. Pelbagai cara dilakukan oleh peniaga untuk menarik perhatian pengguna untuk membeli. Kita juga perlu sedar bahawa tujuan peniaga ialah mendapat sebanyak mungkin “Keuntungan”, walaupun kadangkala kita lihat mereka mengaut keuntungan dalam jual beli bagaikan “Perompak terhormat".
Dalam satu peristiwa, semasa saya menaiki sebuah bas ekspress dari Kuala Lumpur ke Alor Setar pertengahan tahun lepas, di Pudu Raya, seorang pemuda tiba-tiba naik di atas bas sambil membahagikan air kotak (Jus Mangga- Jenama saya tidak ingat) kepada semua penumpang dari depan hingga ke belakang. Semua orang dapat satu termasuk saya. Pada sangkaan saya dan penumpang lain, mungkin itu adalah salah satu dari perkhidmatan bas tersebut kerana keadaannya seperti direstui oleh pemandu dan pekerja bas. Sebelum ini pun ada Syarikat Bas Ekspress yang berbuat begitu.
Sangkaan kami meleset apabila pemuda tersebut ke depan semula dan membuat pengumuman air kotak yang diagihkan tersebut adalah untuk dijual dengan harga yang agak mahal. Oleh kerana rasa malu kerana sudah terambil air kotak tersebut, ramai penumpang membayar dengan harga yang diminta. Sampai kepada saya, saya kembalikan air kotak tersebut kepadanya tanpa berkata apa-apa. Dia memandang tepat kepada saya dan dengan muka masam dia berkata dengan agak kasar, “Kamu fikir boleh dapat free kah, masuk tandas pun kena bayar”, Saya tidak menjawab kata-katanya. Masih berdiam diri dan ambil sikap tidak peduli.
Melihat saya kembalikan air tersebut, penumpang lain selepas saya pun ikut buat begitu. Rakan sebaya saya di sebelah berkata, “kalau jadi apa-apa kita bukan seorang kan?”, Sambil menepuk paha saya. Saya berdiam bukan kerana takut tetapi saya mahu pulang dengan selamat. Bukan mahu bertengkar dengannya sehingga berlaku sesuatu yang tidak diingini. Saya patut menolak pelawaan pemuda tersebut untuk membeli. Saya cuba meletakkan diri saya sebagai seorang pengguna yang “rasional” dan "mengajar" beliau adab berjual beli. Saya tidak akan miskin walaupun terpaksa membayar Rm10.00 sekotak. Kenapa saya perlu membeli kerana saya tidak perlukan air tersebut sedangkan dalam beg saya ada bekal air minuman. Cara “Perniagaan” yang dilakukan oleh pemuda tersebut bagi pendapat saya adalah salah. Tiada paksaan dalam urusan jual beli. Itu hak pengguna.
Banyak lagi kejadian-kejadian yang tidak masuk akal dalam urusan perniagaan, namun, sebagai peniaga bertindaklah sebagai peniaga yang beretika dan sebagai pengguna bertindaklah sebagai seorang pengguna yang rasional. Semak harga dari kedai-kedai sebelum membeli. Jangan diikut pengguna yang “Tidak Rasional” yang membeli ikut rasa hati dan akhirnya bila rasa terpedaya atau ditipu kita sendiri yang merana sakit hati. Kita berhak menolak hidangan yang kita pesan jika ia berlainan seperti yang diiklankan, kita patut menolak pembelian jika perletakkan harga tidak munasabah, kita berhak menolak pembelian jika barang yang sampai rosak atau tidak serupa seperti yang dipesan. Jadilah seorang pengguna yang “rasional”, Jangan membeli semasa perut lapar, kerana bila perut lapar secara automatik kita akan terdorong menjadi pengguna yang “tidak rasional”. Contohnya akan kita lihat semasa bulan Ramadhan nanti di bazar-bazar Ramadhan akan datang… memang sah, ada antara kita (bukan semua) yang menang membeli alah memakai.
TERIMA KASIH CIKGU
***Bagi mereka yang meninggalkan puasa tahun lepas, masih ada masa untuk puasa ganti. TIDAK SABAR RASANYA SAYA MENUNGGU RAMADHAN...

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.