PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, February 28, 2011

171.Menggadai maruah demi kelangsungan hidup?

keseronokan atas penderitaan orang lain
Pengajaran kepada siapa?

Sekali lagi institusi pendidikan dicuit, dengan kejadian pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim. Bukan itu saja, sebelum ini pun kita dikejutkan dengan pesta mengutip duit syling di Seremban. Dua kisah ini mendapat perhatian pelbagai pihak dan ada yang melihatnya sebagai lucu dan ada yang melihatnya dengan perasaan penuh geram, sakit hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang ramai tersebut. Apa yang pasti, ada yang mempersoalkan institusi pendidikan tidak memainkan peranannya dengan baik sehingga tidak dapat menanam sikap yang terpuji kepada rakyatnya.

Namun begitu, ada juga yang melihat bahawa kejadian ini adalah akibat demi kelangsungan hidup. Bukannya manusia itu tidak diajar dengan adap dan tatasusila sama ada di sekolah atau di rumah, dan tiada satu agama pun yang mengajar bahawa mencuri itu diredai tetapi desakan hidup, kenaikan harga barang, pertambahan ahli keluarga, pendapatan yang sedikit, pertambahan penyakit dan sebagainya membuatkan mereka lupakan hal halal haram dan hak sehingga mengabaikan mangsa yang kesakitan. Bahkan mengabaikan mangsa yang meninggal dunia dan tanpa belas kasihan mencuri “handphone” dan dompet.

Ada juga yang melihat, ia adalah satu pengajaran yang berguna kepada semua pemandu, terutama pemandu lori yang menjadi raja di jalanraya. Jika ada lagi kejadian sebagini maka beginilah nasib yang akan menimpa mereka. Dengan rasa tidak tahu malu dan menggadai maruah, "orang ramai tertentu" akan “menghurungi” tempat kejadian seperti semut. Bukan untuk menghulur bantuan tetapi menolong mengutip apa saja yang difikirkan dapat diguna dan dimakan. Dalam pada itu ada pendapat yang mempersoalkan bahawa, muka-muka orang yang terlibat dalam kejadian mencuri itu bukannya mirip wajah orang-orang Malaysia tetapi pendatang asing, yang mencemar nama baik Negara.

Walau apapun pendapat kita, kejadian ini sebenarnya adalah kes terpencil tetapi menjadi besar kerana kejadian kita nampak di depan mata. Saya percaya kejadian seperti ini sengaja ditunjukkan oleh Allah SWT supaya kita menyedari bahawa, banyak lagi kejadian yang tersembunyi yang dari dulu lagi tidak dapat dibendung. Manusia yang dijadikan Allah itu sebagai sebaik-baik makhluk, jika ada peluang akan mudah lupa akan hak, halal dan haram disamping godaan dan rasukan syaitan yang sentiasa memandu manusia ke tempat yang hina, kadangkala manusia itu sanggup membunuh untuk mengaut sesuatu yang terang-terang menyatakan itu bukan hak dan mereka tidak boleh makan tanpa izin.

Allah melarang manusia memakan harta anak yatim – tetapi, berapa ramai yang engkar? Menggunakan harta anak yatim demi kepentingan diri. Kejadian rasuah berlaku dimana-mana tanpa kita sedari walaupun rasuahnya dengan kadar dan nilai yang sangat kecil. Mencuri juga berlaku dimana-mana, kita hanya sedar bahawa mencuri itu adalah mencuri wang dan harta benda tetapi berapa ramai yang mencuri air, mencuri elektrik, mencuri masa, mencuri tulang dan sebagainya dalam kehidupan harian. Lebih malang lagi orang-orang yang mencuri ini menggunakannya untuk beribadat kepada Allah. Mencuri air mengambil wuduk untuk bersolat, mencuri elektrik menerangi rumah semasa bersolat dan lain-lain.

Banyak Ilmu yang tidak dipelajari di sekolah. Manusia itu belajar dari pelbagai sumber. Namun didikan awal dan contoh teladan di rumah adalah sangat-sangat penting kepada pembentukan sahsiah manusia. Baik didikan ibu bapa, baiklah keturunannya. Walaupun apapun alasan yang diberikan, demi kelangsungan hidup, penderitaan dan demi apa pun, hak orang tetap hak orang, halal tetap halal, haram tetap haram. Biar kebulur sekalipun, jika seseorang itu tahu akan hukum hakamnya, saya percaya, tiada siapapun mempunyai keinginan dihati untuk mengambil, mengguna, makan dan akhirnya menjadi darah daging yang sentiasa mengalir di dalam tubuh. Hanya mereka yang dipesongkan hati oleh syaitan yang sanggup berbuat demikan...

Thursday, February 24, 2011

170.Pengaruh dan Aura

Cikgu bertemu dengan cikgu, sudah tentu banyak cerita nak disampaikan. Begitulah ragam setiap kali bila saya sampai ke Negeri Asal ini. Mencari kawan-kawan lama, satu aliran. Namun rakan-rakan sepermainan sekampung sekadar bertegur sapa, bertanya khabar. Barangkali lama berpisah membuatkan rasa segan, segok dan berbagai lagi perasaan timbul di hati masing-masing, sebaliknya masa kecil sama-sama mandi sungai, menangkap ikan di bendang, sama-sama bermain meriam buluh, bermain pondok-pondok dan sebagainya. Masa berlalu begitu cepat sekali, kematangan berfikir mengatasi segalanya dan semua kini berjalan dengan “serius”, bukan berfikiran seperti budak-budak, ada tanggungjawab masing-masing yang terpaksa dipikul.

Baju Merah SMK Mergong
Baju Hitam Maktab Mahmud
Penyokong Maktab Mahmud
Mempengaruhi penonton yang lain dengan gelagat mereka
semasa perlawanan bola sepak SMK mergong dengan sekolah mereka
Selesai sahaja perlawanan bola sepak MSSD antara SMK Mergong dengan Maktab Mahmud Alor Setar dengan keputusan SMK Mergong menang 1-0, saya bersama rakan-rakan yang bertugas beredar mencari tempat untuk membasahi tekak. Bukan kerana sakit tekak kerana terjerit-jerit dipadang tetapi sengaja mencari tempat yang sesuai untuk menyambung cerita semasa di padang yang seringkali terganggu kerana tugas, dan kekerapan pemain untuk bertukar. Tempat yang menjadi pilihan ialah di warung mee rebus, Pantai Johor. Tempat ini tidak ada pantai tetapi, berhampiran dengan tebing sungai. Barangkali adanya jambatan di situ, seakan2 tambak Johor, tempat tersebut dinamakan Pantai Johor.

Mee Rebus Hj Yusof,
Pantai Johor..
Dalam pelbagai cerita, yang menarik hati saya ialah bagaimana luahan perasaan seorang sahabat yang tidak berpuas hati dengan seorang guru di sekolahnya. Guru ini, katanya seringkali melobi pihak pentadbiran supaya beliau ditukarkan ke kelas yang baik jika beliau ditugaskan mengajar kelas hujung. Mangsanya ialah guru-guru yang tidak banyak “songeh”. Menerima tugas dengan tenang walaupun tahu akan keadaan sebenar. Berbagai komen rakan-rakan tentang guru jenis ini. Bagi saya bukan di sekolah berkenaan sahaja yang mengalami keadaan sedemikan tetapi ia juga berlaku dimana-mana sekolah dan ini merumitkan tugas pentadbiran. Ketika ini saya menjadi pendengar yang baik dan mengambil pengajaran apa yang berlaku.

Saya percaya bahawa guru jenis ini adalah guru yang tidak yakin pada diri sendiri. Guru jenis ini juga adalah guru yang tidak ada daya “pengaruh” atau “aura” yang tersendiri. Beliau bukan sahaja menjatuh maruah dirinya tetapi telah menunjukkan bahawa dirinya adalah seorang guru yang lemah.  Pada pandangan saya, jika saya diberi kelas yang lemah ia adalah suatu yang sangat baik. Jika kelas ini tidak pernah lulus dalam sesuatu subjek dan kita sebagai guru dapat meluluskan pelajar walaupun 1% darinya, guru ini dilihat sudah cemerlang. Ini berbeza jika kita deberikan kelas yang baik tetapi kita tidak dapat mengekalkan kecemerlangan atau merosot pencapaian, kita akan dilihat sebagai seorang guru yang lemah.

Alasan tidak dapat mengajar di kelas hujung kerana tidak dapat menumpukan P & P dengan cemerlang tidak dapat dapat diterima. Sesuatu yang saya kira boleh diterima oleh masyarakat ialah semua sekolah kecuali MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh adalah pelajar2 datang dari latar belakang pelajar yang pencapaian akademiknya rendah. Sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman ini juga mempunyai ramai pelajar yang buta huruf. Jika adapun pelajar yang cemerlang, pelajar tersebut ialah pelajar yang menolak tawaran ke sekolah yang dianggap terbaik.

Sebagai seorang guru yang baik kita perlu menanam keyakinan diri. Mana-mana kelas yang diberi kepada kita adalah “Amanah” dan berusahalah supaya menampakkan hasil seperti yang diharapan oleh pihak sekolah atau ibu bapa. Guru-guru perlu ada “Pengaruh” atau “aura” tersendiri dalam mengubah mentality, menyatakan beliau tidak boleh melakukan itu dan ini. Bina pengaruh yang luar biasa kepada pelajar, supaya mereka dapat mengikuti P & P guru.  Tertarik dengan guru, senang dengan pengajaran guru, menghormati guru dan ahirnya memberi kejayaan kepada diri mereka dan guru.

Raja lawak mempunyai pengaruh yang kuat kepada peminatnya
Semua orang mempunyai “pengaruh” dan “aura”nya yang tersendiri. Namun kita tidak menyedarinya. Ia berbeza antara individu. Kita menyukai seseorang bukan kerana dirinya kaya, tetapi ada sesuatu kepada dirinya yang kita suka. Sama ada cara percakapannya, sikapnya, cara pemakaiannya dan lain-lain. Begitu juga dengan diri kita, ada rakan2 yang senang berhubung dengan kita kerana kita juga ada “pengaruh” dan “aura” tersendiri. Aura ialah medan tenaga elektromagnetik yang wujud disekeliling kehidupan sama ada manusia, tumbuhan, haiwan dan jisim2.

Kanak-kanak mempunyai pengaruh dan aura yang sangat kuat
Kita terpengaruh dengan senyumannya, kecomelannya, dan tubuh badannya,
Kadang-kala semua orang terpengaruh dengan tangisannya, dan menyataka kesedihan,
belas kasihan dan ingin mengetahui akan apa yang menimpa mereka dengan kasih sayang...
Dalam pada itu, dalam kita membina “Pengaruh” dan “aura” tersendiri, kita juga mungkin akan terpengaruh dengan kenakalan pelajar sehingga kita takut untuk menghadapi mereka, terpangaruh dengan tipu daya mereka, perpengaruh dengan kehebatan mereka, sehingga kadang-kala kita tidak Nampak pelajar lain yang berbakat. Kita membuat kesilapan hanya pelajar ini sahaja seringkali keluar mewakili sekolah kerana hati terpaut kepadanya. Dalam kelas, kita terpengaruh dengan kepandaian seseorang pelajar sehingga kita mengabaikan pelajar lain.  Oleh itu guru cemerlang perlu bertindak secara “Bijaksana”..

Tuesday, February 22, 2011

169.Alang-alang Bercinta Biar Sampai Ke Akhir Hayat..

Kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang bercinta dan berkahwin biarlah sampai ke akhir hayat. Begitu juga segala doa dan harapan rakan taulan, sahabat handai jika mengetahui bahawa seseorang itu akan mendirikan “Masjid”. Rasa saya tiada seorang pun yang mendoakan supaya rumahtangga yang dibina itu akan runtuh dan berkecai. Begitu juga dengan pasangan pengantin sama ada lama atau singkatnya alam percintaan, doa dan harapan supaya hidup berbaik-baik sehingga ke akhir hayat. Namun sudah lumrah dunia, ada yang berfkir sebaliknya. Barangkali ada diantara pasangan pengantain yang awal-awal lagi mempunyai niat dan harapan sebaliknya, perkahwinan yang dibina itu hanya sementara dan ada agenda tertentu atau niat yang tersirat.

Masjid Beijing, Kelantan
Sebaik sahaja selesai Majlis Perasmian Penutupan Hari Kesedaran Bencana Oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di MITC pada jam 4.30 petang (majlis yang sepatutnya dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 19/2/2011 tetapi beliau sibuk dengan pilihanraya kecil di Melaka) saya bersama-sama dengan rombongan dari Sarawak terus ke lapangan terbang LCCT dan sebahagian lagi ke KLIA. Namun destinasi saya pada kali ini bukan terus pulang ke Sibu tetapi ke Kota Bharu, Kelantan. Di sana keluarga saya sedang menunggu.

Suasana di Lapangan Terbang Sultan
Ismail Petra. Kelihatan ramai keluarga
 yang menunggusanak saudara
masing-masing
Penerbangan AirAsia jam 8.55 malam tertunda sehingga jam 9.30 malam. Bermakna saya akan lewat sampai. Namun bernasib baik, emak sudah mendapatkan rumah tumpangan “Homestay” di Wakaf Che Yeh. Dapat mereka berehat sementara menunggu saya tiba. Kapalterbang AirAsia yang saya naiki selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Putra, Kota Bharu jam 10.15 malam. 15 minit kemudian emak dan adik datang menjemput.

Kelantan negeri indah dan penuh kemakmuran, rakyatnya peramah. Makanannya murah dan sedap. Sepanjang berulang alik ke negeri ini tiada masalah dengan kami sekeluarga lebih-lebih lagi emak berbesan dengan orang pasir putih. Jodoh pertemuan, ajal maut adalah kehendakNya. Tiada halangan dalam perkahwinan adik dan wanita pilihannya. Begitu juga dengan anak-anak lain, kami diberi kebebasan, berkahwinlah, tinggallah dimana-mana di bumi Allah ini, hanya satu pesan mak dan ayah, Ingat keluarga.

Kali ini, suasana sangat berlainan sama sekali. Sambutan oleh besan dan menantu kesayangannya ini setelah hampir 15 tahun mengenali antara satu sama lain kini bertukar “ganas”, bengis dan kasar serta hilangnya rasa hormat kepada ibu dan bapa mertua.  Semuanya kerana perselisihan faham.. Hanya istighfar yang keluar dari mulut mak. Kali ini ayah langsung tidak mahu datang kerana rasa malu dengan penghinaan yang diterima. Namun di dalam hati masing-masing mendoakan semoga mereka akan bersatu semula, bukan perceraian yang diminta.

Suasana pasar malam di Wakaf Che Yeh
di buka sehingga ke pagi

Seawal jam 7.00 pagi kami sekeluarga bertolak ke Mahkamah Syariah Pasir Putih dari Wakaf Che Yeh. Pendaftaran dibuat pada jam 8.00 pagi supaya kami dapat bertolak balik ke Kedah lebih awal. Jam 9.00 pagi kes mula disebut satu persatu dan kes ke 5 adalah kes adik saya, kesemuanya tuntutan cerai daripada isteri masing-masing.

20.2.2011 adalah kali ke 4 kes disebut di Mahkamah Syariah Pasir Putih dan kali pertama saya mengikuti kes ini. Dalam sejarah hidup saya juga, inilah kali pertama saya melangkah masuk ke ruang perbicaraan di Mahkamah Syaiah. Semua procedur mahkamah diikut. Hati berdebar, apakah keputusan yang akan diambil. Namun diakhir perbicaraan yang hanya memakan masa 15 minit itu, keputusannya hakim hanya melantik “Hakam” untuk kedua-dua belah pihak. Tugas Hakam ialah sebagai orang yang dapat berbincang dan memberi pendapat atau sebagai “timbangtara” terhadap  suami isteri ini sama ada mereka masih dapat hidup bersama atau tidak.. Kes bertangguh lagi pada .. /3/2011.

Mahkamah Rendah Syariah, Pasir Putih
Perpisahan adalah pelengkap kepada kehidupan. Tiada kita terdaya jika itu memang kehendakNya. Lumrah hidup berumahtangga pasti akan timbul badai dan ada pasang surutnya. Berundinglah dengan baik, berilah ruang untuk menyelesaikan masalah dengan baik sebelum membuat keputusan yang melulu, yang boleh merugikan seumur hidup. Tidak membesarkan perkara kecil, mempunyai rasa malu dan takutlah kepada Allah dan mohonlah keredaannya. Muhasabah diri atas apa yang berlaku, Ingatkan anak-anak yang semakin membesar dan hidup tanpa ibu atau bapa disamping mereka.

Kehendak keluarga, semoga tiada perpisahan yang akan berlaku, pulanglah ke pangkuan suami dan anak-anak. Mohon maaf kepada suami kerana “Nusyuk”. Buang yang keruh, ambil yang jenih. Bina kebahagiaan untuk keluarga sendiri seperti bahagianya orang lain. Buang perasaan cemburu buta. Tiada ukuran kebahagian dengan wang ringgit, tetapi kebahagiaan itu lahir dari hati yang bersih dan penuh iklas. InsyaAllah akan datang pertolongan dan bantuan Allah tanpa disangka-sangka..

Ya Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami Rahmat dari sisiMu kerana sesungguhnya Engkau Maha Pemberi. Ya Tuhan kami sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk pembalasan pada hari Qiamat nanti sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji. (Al-Imran : 8-9)

Tuesday, February 15, 2011

167.Hari keputeraan kekasih disambut meriah

Sambutan Maulidurasul yang merupakan kekasih hati semua umat Islam seluruh dunia, peringkat Daerah Belawai pada tahun ini 2011M bersamaan 1432H disambut meriah di Kampung Rajang. Sambutan tahun ini yang bertemakan “1 Malaysia 1 Ummah” itu disambut meriah oleh penduduk setempat dengan dihadiri penduduk dari kampung Belawai, kampung Jerijeh, kampung Rajang dan Tanjung Manis. Penyertaan sebuah sebuah sekolah menengah iaitu SMKB dan 4 buah sekolah rendah, Sk Abang Buyuk, Sk Tanjung Manis, SK Abang Galau dan SK Abang Gesa juga memeriahkan lagi suasana dengan ragam anak-anak sama ada semasa perarakan dan persembahan.

Majlis yang dijangka bermula jam 7.30 pagi itu tertangguh seketika sehingga jam 8.15 pagi kerana menanti kedatangan Yang Berhormat Datuk Hj Hamden, isteri serta rombongan dari Kuching. Namun kebijaksanaan Ahli Jawatankuasanya mengisi majlis dengan bersarapan pagi itu membuatkan majlis berjalan dengan lancar sekali. Banyak makanan seperti mee goreng, mee hoon, beraneka kuih muih dan berbagai minuman panas dan sejuk membuatkan semua tetamu yang hadir sangat-sangat berterima kasih kerana ramai yang datang belum sempat mengisi perut di rumah. Para pelajar yang tidak disediakan makanan dan minuman oleh sekolah masing-masing juga dijemput dan selepas perarakkan pun dilihat ramai tetamu masih menjamu selera.

Penduduk kampung dan pelajar SMKB menyertai perarakan.
Perarakan yang bermula pada 8.15 pagi setelah kedatangan rombongan Yang Berhormat berakhir sejam kemudian. Walaupun perjalanan yang agak jauh mengelilingi Kampung Rajang, namun tidak menghalang semua peserta perarakan itu untuk menghabiskan perjalanan di dalam kumpulan masing-masing. Kira-kira 1500 orang yang menyertai perarakan ini melahirkan rasa syukur dan nikmat dapat menghabiskan perjalanan dengan selamat disamping berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.  Penyertaan dari pelbagai golongan, tidak kira besar, kecil, tua dan muda ini melambangkan perpaduan umat Islam dan sesungguhnya umat Islam itu bersemangat waja.

Ucapan pengerusi pengelola dan ucapan YB Datuk
serta sebahagian tetamu yang hadir
Selesai perarakan semua tetamu berkumpul di ruang legar masjid. Seterusnya semua tetamu diperdengarkan bacaan Ayat-ayat  Suci Al-Quran. Majlis dimulakan dengan Ucapan pengerusi Pengelola En. Abang Mohamed Bin Abang Turkey, Pegawai Daerah, Daerah Kecil Belawai dan susuli Ucapan oleh Yang Berhormat Datuk Hj. Hamden Bin Haji Ahmad. Dalam ucapannya, Yang Berhormat menekankan tentang cabaran yang terpaksa di tanggung oleh Umat Islam kini dan cabaran yang menanti penduduk di kawasan Belawai dan sekitarnya ialah apabila jalan baru yang menghubungkan Tanjung Manis dan Sibu siap kelak. Cabaran yang menanti ialah senangnya pelbagai unsur akan masuk ke kampung ini tanpa sekatan dan kita patut berwaspada.

Persembahan nasyid dari pelajar SMKB dan penduduk setempat
Majlis diteruskan lagi dengan persembahan nasyid dan berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang perarakan dan penyampaian hadiah-hadiah saguhati kepada semua peserta. Majlis tamat jam 11.00 pagi.

Majlis berahir dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada YB
Tahniah kepada penduduk Kampung Rajang kerana anda telah melakukan yang terbaik dan cemerlang. Tahniah kepada Ahli Jawatan kuasa sambutan, Noraini Bt Johari (setiausaha), Mohd.Abd.Khaled B. Hj Meraf (Bendahari), Siti Suhaiza Bt Hj Meliki (Timbalan Bendahari), AJK yang terdiri dari Tn. Hj Dandan Bin Sidi (Penghulu Kg Belawai), Tn. Hj Razali Awang Damit (Penghulu Kg Jerijeh), Tn Hj Arifin Bin Aba (Penghulu Kg Rajang), Japar Sidek Bin Baba (Penghulu Kg Kedang), Hj Morshidi Bin Wahed (Pengerusi Masjid Darul Al-Arqam, Belawai), Mussa Unne (Pengerusi Masjid Darul Haj, Jerijeh), Hj Bakar Bin Umar (Pengerusi Masjid Kampung Baru Rajang) dan Affendi Bin Remi (Pengerusi Masjid Al-Firdaus Tg Manis)

Sesungguhnya ibu bapa dari masyarakat yang cemerlang akan melahirkan anak-anak yang terbilang. Semoga Kita berjaya di dunia dan akhirat..

Tahniah...

Monday, February 14, 2011

166.SEKOLAHKU TERCINTA


Lagu baru SMK Belawai  yang bertajuk SEKOLAHKU TERCINTA yang digubah oleh Cikgu Patrick Hj Khamis yang juga merupakan Komposer terkenal tanahair kini sudah siap. CD lagu tersebut telah diserahkan  sendiri  oleh Cikgu Patrick kepada saya pada 10 Februari 2011 di SMK Matu, Daro. Walaupun jangkaan siap lagu tersebut ialah pada akhir tahun 2010, namun atas beberapa sebab dan pelbagai perubahan dilakukan terutama kesesuaian lrik, lagu tersebut dapat disiapkan juga akhirnya. Namun saya sangat berpuas hati bila kali pertama mendengarnya. Rentak lagu yang rancak ini diharap dapat menaikkan semangat para pelajar dan Warga SMK Belawai seterusnya menjayakan Visi dan Misinya.

Hari ini, buat pertama kalinya lagu tersebut akan dimainkan di dalam mesyuarat pengurusan. Seterusnya akan diserahkan kepada Cikgu Mohd Taupik untuk dinyanyikan oleh pasukan koir sekolah. Satu majlis ringkas pelancaran lagu tersebut dirancang akan diadakan di sekolah nanti dengan dihadiri sendiri oleh Cikgu Patrick Hj Kamis dalam masa terdekat ini. Dalam pada Cikgu Patrick Hj Kamis juga sedang berusaha untuk mendaftarkan lagu tersebut sebagai Harta Intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Sebagai Hak Cipta Terpelihara SMK Belawai.

SEKOLAHKU TERCINTA

Namamu disanjung tinggi
Indah megah berdiri
Tapak anak watan mencapai impian
Ke arah kejayaan

Kami berjanji bersumpah setia
Demi sekolah tercinta
Memberi sinar harapan
Ke arah kegemilangan

CHO
SMK Belawai... tercinta
Gedung ilmu berguna
SMK Belawai... berjaya
Impianku terlaksana

Ilmu penyuluh hidup
Motto Sekolah kami
Sumber inspirasi, panduan kami
Menggapai cita-cita

Lagu : Patrick Hj Khamis
Susunan Muzik : Richard Changgan
Lirik : Mohamad Shariff Bin Mat Saad

Thursday, February 10, 2011

163.Tazkirah Pagi : Fitrah Manusia.


Kata-kata ini diucapkan oleh seorang pemimpin. Sama-sama kita renungkan...

“Sekuat mana seseorang manusia, apabila lapar manusia terpaksa makan dan minum.

Setinggi mana kelaparan dan dahaga manusia, apabila kenyang mereka terpaksa berhenti,

Segagah mana seseorang manusia, akan ada waktu penat dan lelah,

Sehebat mana seorang manusia itu sekalipun, suatu hari mereka pasti mati.”

Pengajarannya:
Siapapun kita di dunia ini,
sesuatu yang kita lakukan ada had dan sempadan.

Wednesday, February 9, 2011

162.Potensi Sahaja Bukan Tiket Untuk Berjaya..

Minggu ini merupakan minggu yang sibuk bagi semua guru SMKB. Saya kira semua guru rumah sukan telah pun selesai membuat pemilihan atlit rumah masing-masing. Minggu ini adalah minggu terakhir bagi mereka melatih, bukan sahaja melatih atlit tetapi melatih kontijen masing-masing untuk perbarisan. Waktu petang di SMK Belawai yang biasanya agak sunyi, hanya kadang-kadang kedengaran jeritan pelajar bermain “footsal”. Kini rata-rata tempat penuh dengan pelajar. Cuma yang penting diberi perhatian oleh semua guru penasihat rumah sukan masing-masing ialah soal keselamatan pelajar, khususnya bagi acara-acara yang merbahaya seperti Merejam Lembing, Melontar Peluru, Melempar Cakera dan Lompat tinggi.

Semua acara akan dipertandingkan pada minggu depan dan kemuncaknya ialah pada hari khamis. Perasmian Penutupan Sukan Olahraga Antara Rumah Sukan SMKB akan disempurnakan oleh PPD Daro pada hari Jumaat 18 Februari 2011. Maklumat terbaru yang saya terima, nampaknya beliau tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana ada mesyuarat di Miri. Walau bagaimanapun majlis akan diteruskan kerana semua perancangan telah dibuat dan jika tertangguh akan mengganggu program lain. Emosi guru dan pelajar juga akan terganggu kerana mereka sudah lama berusaha dan menetap target masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Saya percaya semua guru mampu melakukan tugas pada tahap yang terbaik. Kesungguhan semua guru rumah sukan yang lain akan memberi tamparan hebat kepada rumah sukan yang sentiasa menang saban tahun. Jika rumah sukan yang sentiasa menang, menang lagi pada tahun ini, ia bermakna “track-record” telah dijaga dengan baik oleh Guru Ketua Rumah sukan yang baru dilantik seterusnya mempertahankan kualiti pasukan tersebut. Rumah sukan yang menang juga akan berbangga kerana atlit mereka akan mewakili sekolah ke Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah nanti jika dapat mengatasi rekod kejohanan peringkat Bahagian.

Ramai pelajar SMK Belawai yang berpotensi untuk menjadi ahli sukan yang cemerlang seperti Adik Mohd Firdaus yang berjaya mewakili SMKB dan mewakili Negara sehingga peringkat ASEAN. Namun apa yang berlaku potensi atlit yang ada tidak terserlah seiring dengan kebijaksanaan, daya imaginasi dan berilmu pengetahuan. Dengan kata lain potensi sahaja tidak mencukupi untuk kejayaan. Ini amat terbukti apabila mereka akhirnya tersungkur bersama potensi itu dan gagal untuk menjadi atlit atau ahli sukan yang berjaya.

Satu contoh, pada tahun 2010, dua orang pelajar SMKB, berpotensi untuk mengukir nama sebagai pemain bola sepak, kerana pelbagai masalah disiplin dan beberapa kali amaran dan peluang diberikan, masih lagi tiada perubahan maka mereka direhatkan. Dalam konteks ini “Win Win Situation”  dilaksanakan. Kita tidak mahu melihat seorang atlit itu walaupun berpotensi untuk berjaya tetapi mendatangkan banyak masalah kepada jurulatih dan sudah Nampak riak akan memberi nama buruk tempat di mana mereka wakili, baik di sekolah maupun Negeri Sarawak. Mereka perlu diundur bukan menanti mereka berundur. Jika mereka seorang yang bijaksana mereka perlu berubah.

Potensi seseorang atlit juga dilihat tidak beerti jika dalam sesuatu permainan mereka tidak bertindak secara bijaksana, yakni dengan cara-cara tertentu untuk mengalahkan lawan. Percaturan dan perancangan strategic yang lahir dari daya imaginasi pemain sendiri adalah sangat mustahak untuk bertindak.

Begitu juga potensi yang lengkap dengan pakej kebijaksanaan, daya imaginasi dan berilmu pengetahuan, juga tidak bermakna jika tidak diasah dan seringkali lalai untuk mempertajamkannya. Kelemahan-kelemahan yang ada pada kita biasanya akan dikaji oleh orang lain dan kelemahan-kelemahan itu digunakan oleh orang lain untuk bertindak. Seterusnya kemenangan akan berpihak kepada orang lain. Latihan bukan sekadar untuk satu-satu perlawanan sahaja tetapi latihan yang dilakukan perlulah berterusan. Potensi yang ditunjukkan jangan hanya diperingkat permulaan sahaja tetapi jadikan ia sebagai pemulaan untuk berjaya dan terus berjaya.

Detik-detik kejayaan Kontijen SMKB Di Stadium Daro
Gambar Hiasan
Cabaran yang paling hebat kepada seorang atlit atau pasukan ialah untuk kekal berjaya dan cemerlang setiap kali dalam gelanggang. Untuk itu potensi perlu terus diasah dan dipertajamkan dengan teknik-teknik terbaru. Jangan pada permulaan sahaja ia kelihatan hebat tetapi akhirnya terus padam....

Terima Kasih Cikgu...

Monday, February 7, 2011

161.Guru Contoh Yang Ingin Saya Temui..

Antara orang yang saya ingin temui ialah Cikgu Siti.. (Siti apa ya ? Astagfirullah.. Tak ingat. Yang ingat ialah pada masa tersebut beliau suka sangat dengan lagu Ekamatra, Sentuhan Kecundang. Paling dia suka kat sini, Putus tak bisa disambung, Kusut tak terhurai, hilang tak bisa diganti, Patah kekeringan ) Beliau merupakan pensyarah sambilan semasa saya bersama-sama rakan lain menjalani Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Patani, Kedah. Beliau adalah “senior” saya semasa di UUM tetapi saya tidak mengenalinya ketika itu, barangkali beliau dalam jurusan BBA sedangkan saya BAcct atau pada ketika itu saling tidak bertegur sapa dan buat hal masing-masing.

Perkenalan pertama dengan beliau membuatkan kelas Akaun dan Perdagangan yang di adakan pada waktu petang (selepas beliau pulang dari sekolah) atau pada sebelah malam (jika beliau ada tugasan sebelah petang) di Maktab sangat menyeronokkan. Kelas tersebut tidak pernah sunyi dengan perbincangan dan kelihatan hidup walaupun ABM nya helaian kertas A4 kosong dan kaedah “Chalk and Talk” serta buku teks akaun tingkatan 4 dan 5. Ada saja tugasan yang diberikan untuk menguji kami, supaya kami benar2 mampu keluar sebagai guru perakaunan nanti. Orang yang sering ditanya ialah saya.. ??

Dalam masa 2 jam kuliah, jarang sekali melihat beliau melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Ada saja aktivitinya, sama ada memantau kerja-kerja kami dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain atau beliau akan beredar dari meja ke meja melihat tugasan yang diberikan. Tanyalah apa sahaja tentang mata pelajaran tersebut, beliau akan jawab secara tepat, siap dengan contonnya sekali. Papan putih (White Board) entah berapa kali penuh dan padam. Marker pen silih berganti, sekejap biru, sekejap merah. Tak jemu-jemu beliau menerangkan supaya kami benar2 faham tentang apa yang ingin disampaikannya.

Sehingga seorang sahabat berkata, “Cikgu.. duduklah dulu, penat saya tengok cikgu,” Pantas beliau menjawab, “Kamu duduklah, saya belum penat, kamu yang penat,”  Kemudian beliau tersenyum dan berkata “Jangan marah.. saya gurau...”

Sebelum kelas tamat, beliau menjelaskan, seorang guru tidak boleh sama sekali duduk semasa mengajar. Berkali-kali beliau berpesan, jangan menjadi guru yang sangat malas untuk berdiri. Guru yang duduk sambil mengajar adalah sangat malas kecuali duduk sekejap melepas penat, duduk kerana sakit, duduk rehat sekejap semasa pelajar membuat tugasan dalam kelas dan bangun untuk memantau kerja-kerja pelajar. Paling buruk jika ada guru yang suka duduk atas meja. Sama ada meja guru atau meja pelajar. Pelajar juga tidak “hormat” guru seperti ini.

Sejak menjadi guru sehingga kini, saya adalah orang yang sangat “benci” melihat guru-guru mengajar sambil duduk (bukan amalan saya), bukan kerana dipengaruhi oleh pensyarah saya ini tetapi saya melihat apabila kita duduk sambil mengajar, segala isi P & P tidak dapat disampaikan dengan baik. Nada suara kita juga tidak kedengaran hingga ke belakang, lebih-lebih lagi dalam kelas yang ramai. Kelas akan menjadi bising, pelajar mula membuat kerja sendiri dan kawalan kelas menjadi tidak berkesan.

Pelajar adalah pelajar dan mereka boleh melakukan apa sahaja diluar dugaan kita. Dengan mengajar sambil berdiri, pemantauan dan pemerhatian keatas pelajar dapat dilakukan dengan sempurna. Pernah terjadi suatu ketika dulu dalam sebuah kelas di mana guru duduk dihadapan, dikelilingi oleh beberapa orang pelajar, sedangkan di belakang kelas pelajar bergilir-gilir masuk ke dalam almari menghidu gam.

Gambar hiasan
Guru duduk semasa mengajar, bukan isu baru tetapi sudah lama diperkatakan. Semasa saya berkursus PTK di Dinasty Hotel, K.L sebelum ini. Dalam kumpulan kami ada seorang Penolong Kanan dari sebuah sekolah di selatan tanah air menyatakan, di sekolah beliau meja guru diletakkan di belakang kelas. Tujuannya ialah supaya guru tidak duduk semasa mengajar. Rasanya terlalu janggal untuk berbuat demikian, kerana saya berpendapat, ini akan merendahkan martabat guru di mata pelajar. Namun kita sebagai guru perlu berfikir secara rasional. Mengajarlah secara aktif, berpusatkan kepada pelajar, jadilah guru yang dihormati di kalangan pelajar maupun dimata pentadbir sekolah..

Terima kasih cikgu...

Sunday, February 6, 2011

160.Terima kasih Atas Nikmat Syukur..

Senyum Kambing
Mingguan Malaysia 6/2/2011

Walaupun sebelum ini dikatakan Malaysia telah mengambil masa yang lama membuat keputusan untuk membawa rakyatnya terutama pelajar pulang ke tanah air atas sebab-sebab keselamatan kerana pergolakan di Mesir, namun dengan kerjasama pelbagai pihak terutama TUDM, MAS, AirAsia, Tabung Haji dan pelbagai pihak lain sama ada badan-badan swasta dan kerajaan di luar negeri dan dalam negeri semua usaha penyelamat telah berjalan lancar. Kaum keluarga terutama ibu bapa kepada pelajar sebelum ini begitu gusar akan keselamatan anak-anak kini merasa lega. Harapan kita semoga semua rakyat Malaysia yang belum sampai di bumi bertuah ini akan selamat walau di mana mereka berada.

Terima kasih kepada Putera Turki Abdullah A-Saud putera kepada Raja Abdullah kerana sudi membiayai 2 penerbangan pelajar-pelajar Malaysia ke tanah air dari Jeddah dengan pesawat Jumbo 747. 6,800 orang pelajar yang telah berada di Jeddah dan baru 14 penerbangan yang membawa 3,500 orang ke tanah air bukan jumlah yang sedikit. Bagaimanapun harapan kita, semoga mereka bersabar.

Kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam usaha-usaha menyelamat ini kita doakan supaya mereka sentiasa dilindungi dan diberkati Allah. Sesungguhnya mereka adalah dari golongan “berada”  yang bersyukur  dan insyaAllah Allah akan menggandakan lagi harta2 serta keuntunga mereka. Mereka adalah golongan yang hebat dan cepat berterima kasih dan mencurahkan bantuan kepada yang memerlukan...

Ya Allah selamatkan bumi Malaysia dari pelbagai angkara. Kekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur.. Amin.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.