PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, March 29, 2011

178.Pesta Pantai Belawai 2011 & Karnival Mesra 1 Belia 2011

Aktiviti : Petandingan Bola Tampar

Pesta Pantai Belawai 2011 dan Karnival Mesra 1 Belia  yang ditetapkan pada 24-27 Mac 2011 yang diadakan di Tapak Pesta Kaul Belawai baru saja berakhir. Pada pengamatan saya, pesta ini sangat berjaya. Tahniah kepada Ahli Jawatankuasanya yang selama ini yang bertungkus lumus, merancang dan bekerja siang dan malam untuk memastikan pesta ini berjaya dilaksanakan. Seperti kata Pegawai Daerah Daro En. Safiiee Bin Hj. Ahmad, semasa merasmikan penutupan pesta pada malam minggu lalu, perancangan untuk mengadakan pesta ini bukan 1 hari, bahkan memakan masa berbulan-bulan dan melibatkan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu tahniah kepada belia-belia di sini kerana dapat memberi kerjasama yang baik dan pesta ini akan berterusan dengan menjadikan ia salah satu agenda utama di sini setiap tahun.

Tarikan kepada kanak-kanak
Pesta Pantai Belawai dan Karnival Mesra 1 Belia yang dirancang ala-ala “Jom Heboh” walaupun tidak sehebat Borneo Cultural Festival yang diadakan di Sibu setiap tahun yang berlangsung 7 hari 7 malam itu, juga dilihat dapat menarik ramai pengunjung. Lebih-lebih lagi dengan adanya jalan darat yang dapat menghubungi semua daerah. Orang luar yang selama ini hanya mendengar, tetapi kini dapat sampai ke sini selain mengunjugi sanak saudara dan kaum keluarga. Dalam pada itu, Persatuan Wanita WI Cawangan Bunga Raya, Sibu amat kecewa kerana tidak dapat bersama kerana permit bas yang mereka sewa tidak diluluskan oleh pihak berwajib. Walau bagaimana pun kehadiran tetamu dari jauh dan dekat menjadikan pesta pantai kali ini sangat unik dalam sejarahnya selain menyaksikan kesesakan lalu lintas terutamanya pada malam kemuncak pesta tersebut.

Barisan Artis : Gitaris Kumpulan Exist, Along, Nai Dinamik, Claudia Af7, Fiq Mentor, dan Izzat Exist.
Kehadiran beberapa orang penyanyi yang dijemput khas juga menjadikan pesta ini menjadi tumpuan. Apa yang penting, bila ada pesta seperti ini kita perlu menjaga adap susila, sopan santun supaya semuanya berjalan dengan sempurna. Aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh pihak penganjur juga sangat menarik terutamanya pertandingan menjaring udang yang sememangnya terkenal di daerah kecil ini dengan “Sesar Unjur” nya atau di lebih dikenali sebagai “Kelupas” di sini, pertunjukkan “Water Pump Boat Race”, persembahan tarian kebudayaan tradisional dan Pertandingan Ratu Kebaya, selain pameran yang diadakan oleh agensi luar. SMK Belawai juga tidak ketinggalan mempamerkan dan mempromosi sekolah kepada orang ramai yang sebelum ini belum mengenalinya. Satu-satunya sekolah menengah yang ada di daerah ini.

Antara barang-barang yang dijual
Dilihat dari sudut ekonomi, pesta seperti ini dapat memberi peluang kepada penduduk menambahkan pendapatan. Ramai penduduk yang mengambil peluang berniaga. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, saya melihat jumlah peniaga kali ini meningkat dengan mendadak. Tidak kurang juga, ramai peniaga dari luar yang sama-sama mencuri peluang datang bersama-sama memeriahkan pesta ini dengan pelbagai barang yang menarik. Walau bagaimana pun, ini adalah satu persaingan yang sihat. Ia adalah satu cara bagaimana kita boleh melihat, membuka mata seluas-luasnya dan mengambil pengajaran. Jika peluang yang ada tidak kita gunakan dengan sebaik-baiknya maka peluang itu sudah tentu akan menjadi milik orang lain.

Pameran Oleh SMK Belawai, Terima kasih Cg Azariyanti, Cg Mohd Nor dan Cg Amalyna 
serta rakan-rakan guru yang lain...
Guru-guru di SMK Belawai juga sering menasihati para pelajar agar cepat menyedari hakikat ini. Tiada masa untuk kita bermain-main dan sentiasa mengambil “serius” kepada sesuatu perkara tertutama dalam pencapaian akademik. Tiada masa untuk kita merasa rendah diri, seperti yang disebut oleh Pengarah Negeri LKIM Sarawak, merangkap Pegawai Penyelia Negeri Persatuan Nelayan Negeri Sarawak En. Razaili Bin Hj. Gapor, kita perlu berusaha dan terus berusaha membangun dan berjaya. Banyak produk boleh dikeluarkan dengan hasil tangkapan nelayan di sini. Isi udang, kepala udang dan kulit udang semuanya berguna, untuk di buat “petis” (otak udang) dan “kaitin” (baja). Produk-produk ini juga boleh di eksport. Dalam ucapannya pada mesyuarat Agung Tahunan PNK Belawai pada 16 Mac 2011 lalu, juga beliau berharap kilang memproses bahan-bahan ini akan dapat dibangunkan serta mendapat taraf GMP dan memberi impak positif kepada pendapatan nelayan.

Kesesakan : Menunjukkan sambutan hangat dari pengunjung
Diharap tahun hadapan kita dapat memikirkan sesuatu yang terbaik setelah kita kenalpasti
apa masalah yang timbul. Perlu di buat "Post Mortem" dan tahun depan kita lebih "suksess"
Tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan Pesta Pantai Ini...
Disamping itu, mata pelajaran MPV pemprosesan makanan yang ditawarkan kepada 50 orang pelajar di SMK Belawai (tingkatan 4 dan 5) juga, merupakan satu peluang kepada pelajar untuk membina kerjaya yang baik. Bukan sahaja untuk mendapat sijil MPV tetapi, saya yakin lulusan ini nanti dapat membina usahawan yang berjaya di kawasan ini. InsyaAllah pada pesta pantai Belawai yang akan datang, guru MPV boleh bersedia untuk mempamerkan hasil kerja para pelajar kepada penduduk setempat dan memberi motivasi kepada pelajar lain untuk sama-sama berfikir untuk kemajuan diri, keluarga dan masyarakat. Perlu diingat janji Allah, kejayaan adalah milik orang-orang yang berusaha.. irihatilah kepada rakan-rakan kita yang berjaya dengan usaha bukan jatuh menjatuh orang lain secara keji dan dimurkai Allah..

Wallahuaklam..

Terima kasih cikgu..


Sunday, March 27, 2011

177."Sentiasa Cemerlang" SMK Belawai semakin menyerlah..


Bulan March tahun ini merupakan bulan yang paling sibuk bagi saya. Dengan usia yang semakin meningkat ini amat terasa sekali keletihannya untuk bekerjar ke sana dan ke mari. Namun, bersyukur semua agenda penting dan jemputan dapat di hadiri walaupun ada diantaranya terpaksa di wakilkan kepada penolong kanan.

Jambatan Sungai Lebaan, Jambatan yang tertinggi sebelum Jambatan Igan
Dari Tanjung Manis ke Sibu. Walaupun jalan ini masih dalam pembinaan,
dan tetamu jalan ini diingatkan "risiko tanggung sendiri" namun jalan ini adalah
penghubung kekeluargaan bagi mereka yang mencari rezeki di tempat orang...
Masih merbahaya, banyak lagi kerja-kerja yang belum dibereskan..
Bagiamanapun terima kasih kepada pihak pengurusan kerana membenarkan kami
menggunakannya dan mengganggu kerja-kerja yang dijalankan...
Dalam kesibukan ini jugalah berbagai ujian terpaksa dihadapi. Barangkali itu adalah salah satu dari petunjuk Allah SWT kasih akan hambanya. 2 buah kereta kini di dalam “workshop” dan dalam pada itu juga “orang rumah” juga dalam keadaan yang sangat tidak sihat dan memerlukan perhatian dan pertolongan, barangkali dalam beberapa bulan ini dan barangkali juga pada saat-saat terakhir nanti. Walaupun dalam keletihan dan terpaksa berulang alik beberapa hari ini, memandu 1 jam 30 minit dari Sibu ke SMK Belawai melalui jalan baru yang belum siap sepenuhnya itu, hati sangat terubat dengan keputusan SPM pada 23 March lalu. Untuk sekolah luar bandar seperti SMK Belawai yang pelajarnya ada yang belum menguasai “Linus” dan dengan pelajar cemerlang sebelum ini disaring, keputusan yang ada dan baru diumumkan itu sangat memberansangkan.

Para pelajar SMK Belawai SPM 2010 asyik memerhati keputusan masing-masing
Tahniah kepada yang berjaya.. kamu sangat hebat..Terima kasih atas usaha anda dan cemerlangkan sekolah
Jangan lokek ucapkan terima kasih kepada cikgu yang selama ini berusaha untuk kejayaan anda.
Keputusan SPM 2010 meningkat 4.7% walaupun dari segi kualitinya masih rendah. Tahun 2009 SMKB hanya mencatat keputusan 91.2%, manakala pada tahun ini meningkat kepada 95.9%. Begitu juga GPS meningkat sebayak 0.08 dari 6.54 (2009) kepada 6.29 (2010). Hanya 2 orang pelajar mendapat 5A iaitu Nelson Budin dan Aziz Saung, manakala 10 pelajar cemerlang yang lain hanya mendapat 3A. Benar seperti yang dikatakan oleh Pengerusi PNK Belawai En. Temrin Bin Hj Bustaman, semasa menyampaikan ucapan aluan pada Mesyuarat Agung Tahunan PNK Belawai kali ke 34 di Dewan Lelong Kompleks LKIM pada 16 Mac 2011 lalu, anak nelayan di Kawasan Belawai semakin maju. Kemiskinan bukan lagi alasan. Dengan bantuan yang banyak daripada kerajaan, berbagai perubahan telah berlaku dan kemajuan ini sangat membanggakan.

Encik Temrin Bin Hj Bustaman
Ucapan yang hebat.. semoga dihayati
Bukan itu sahaja, saya sangat besetuju dengan beliau. Rata-rata nelayan dikawasan ini juga kini memperolehi pendapatan yang membanggakan. Dari pendapatan tersebut ramai ibu bapa telah membelanjakan wang tersebut dengan tujuan yang baik terutama untuk perkembangan pelajaran anak-anak tanpa bergantung kepada kerajaan semata-mata. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada para ibu bapa yang selama ini berkorban menghantar anak-anak ke kelas tambahan dan menyertai semua aktiviti sekolah. Sesungguhnya kerjasama yang baik dengan pihak sekolah memberi pulangan yang baik kepada kita semua. Terima kasih juga kepada semua guru dan semua warga sekolah yang selama ini berusaha keras demi kemajuan sekolah dan usaha tersebut menjadikan sekolah kita sentiasa dipandang tinggi di kalangan masyarakat setempat.

Bendera kejohanan bertukar tangan
Mengesahkan, tuan rumah Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah 2012
Sudah pasti, SMK Belawai

Atlit SMK Belawai.. sentiasa bersedia
Dalam perkembangan lain, Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah juga menyaksikan bahawa SMK Belawai menepati visinya, SMK Belawai sentiasa cemerlang. Walaupun Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah kali ini SMK Belawai tidak dinobatkan sebagai Juara, dengan atlit seramai 21 orang SMK Belawai mampu membawa balik 11 emas dan 8 perak. Pada tahun ini juga, pelawaan pihak PPD Mukah supaya SMK Belawai menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Olahraga pada 2012 diterima dengan senang hati. Kini SMK Belawai telah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut setelah 2 tahun menolak kerana factor logistic dan beberapa masalah lain. Harapan saya, semua guru terutama yang terlibat secara langsung dalam pengurusan olahraga di bawah naungan PK KK SMK Belawai akan bersedia lebih awal untuk kejohanan tahun hadapan.

Latihan berterusan penting untuk
kekal "stamina"
Pelajar-pelajar SMK Belawai adalah pelajar yang sentiasa bersedia untuk cemerlang. Mereka memang mempunyai bakat. Yang pasti ialah bakat itu perlu di bina, di cari dan digilap. Kita tidak boleh melihat dari luaran sahaja tetapi kita perlu bekerja keras ke arah itu. Para pelajar perlu diberikan latihan dari masa ke semasa dan perlu sentiasa bersedia. Kita tidak boleh tunggu sehingga sampai kepada kejohanan baru untuk bermula latihan dan sebagainya. Saya percaya PK KK dan setiausahanya telah mengatur strategi yang tertentu dan tidak perlu menungggu arahan dan tahu akan apa yang perlu dilakukan.

Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah pada 2012 nanti, SMK Belawai perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang sebagai tuan rumah. SMK Belawai perlu mengutip sebanyak mana emas yang mungkin kerana, dalam Kejohanan Olahraga ini nanti semua atlit SMK Belawai yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang tertentu akan diturunkan. Tidak seperti yang dilakukan sekarang, di mana atlit-atlit perlu menguasai 3 bidang tertentu dihantar untuk dipertandingkan dengan tujuan mendapat pingat dan penjimatan dari segi perbelanjaan. Yakin cemerlang, kita akan cemerlang. Kita akan buat yang terbaik..

Lambang kejayaan... bukan terletak pada harganya
Sekali lagi, saya dengan perasaan yang sangat gembira merakamkan ribuan terima kasih kepada semua guru dengan pencapaian terbaik SPM tahun 2010. Disamping kegembiraan itu saya mengingatkan diri saya dan pesanan untuk semua guru, kegembiraan itu biarlah berkekalan kerana SPM 2011 sedang menanti. Biarpun sibuk kita dengan apa-apa aktiviti yang kita lakukan di sekolah, Pengajaran dan pembelajaran murid tidak boleh sama sekali diabaikan. Kejayaan murid adalah kejayaan kerjaya kita sebagai guru disamping tugas dan tanggungjawab terhadap keluarga. Terima kasih juga kepada semua guru yang bertungkus lumus menyediakan pelajar di Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah sehingga kita boleh membawa balik kejayaan dan berkongsi kejayaan dengan warga sekolah yang lain....

Terima kasih cikgu..

Saturday, March 19, 2011

176.Jumaat di Penrissen..

Selesai sahaja semua urusan di JPN Negeri Sarawak di Simpang Tiga, jam dah menunjukkan 11 pagi. Cepatnya masa berlalu, tapi tak apa, semua kerja yang tertangguh untuk berjumpa dengan pegawai tertentu semuanya sudah selesai. Walaupun perut belum terisi, hanya bersarapan dengan air mineral sahaja pun tak kisah, hati dah rasa puas, bukannya senang nak ke JPNS untuk apa-apa urusan pada hari kerja.

Sebelum ini semua urusan diurus melalui telefon. Kata orang sini “Harum Bulak” (Campur sikit dengan pembohongnya) Semua pegawai meja kenal melalui suara sahaja, muka langsung tidak kenal. Tetapi banyak juga masalah dapat diselesaikan melalui telefon. Namun perbincangan secara bersemuka lebih baik, untuk kes-kes tertentu.

Pintu masuk masjd
Keluar sahaja dari bangunan Persekutuan Simpang Tiga, saya bersama seorang sahabat terus ke Batu Tujuh. Sampai di sana jam menunjukkan 11.30 pagi. Ada masa lagi untuk bersarapan merangkap makan tengahari sebelum ke Masjid Sallehuddin Al-Ayubi Penrissen untuk menunaikan Fardu Jumaat.

Jemaah kusyuk mendengar khutbah Jumaat
Khatib sedang berkhutbah
Penyampaian kutbah Jumaat oleh khatib sangat berkesan. Jemaah masjid seolah-olah berdepan dengan satu “presentation” dalam satu kursus, dan dengan satu tajuk yang sangat baik. Bahaya merokok. Kali pertama saya melihat Khutbah Jumaat disampaikan berserta dengan pertunjukkan slide power point. Selain mendengar pesanan khatib, para jemaah yang hadir dapat melihat bahan-bahan yang dipaparkan di skrin. Satu perkara baik yang dapat dicontohi oleh semua masjid di Malaysia. Jemaah yang sebelum ini menutup mata untuk mendengar khutbah Jumaat yang dikatakan “mendengar dengan kusyuk” yang kadang-kadangnya tertidur semasa duduk, dapat membuka mata. Jemaah dapat melihat dan mendengar, memahami dan tertanam pesanan-pesanan khatib dihati. Selapas ini saya cadangkan kepada Khatib tersebut, power point yang di sajikan kepada jemaah, elok di masukkan dengan gambar-gambar tertentu yang sesuai untuk tatapan dan menarik perhatian serta menjadikan khutbah Jumaat bertambah “Power” bukan hanya sebagai memenuhi rukun Jumaat sahaja.

Slide sebagai pengukuhan kepada khutbah yang disampaikan
Tahniah kepada pengurusan masjid ini. Bijak menggunakan teknologi. Barangkali ada masjid-masjid lain yang lebih hebat penggunaanya yang kita tidak ketahuinya, namun usaha-usaha yang dilakukan untuk kebaikan jemaah perlu difikirkan. Kita tidak perlu menunggu Edward De Bono untuk memikirkan cara terbaik penyampaian berkesan, kita juga mampu untuk memikirkannya... 

Guru kreatif dan inovatif menjana pelajar cemerlang.. sesuatu yang perlu difikirkan di dalam bilik darjah supaya penyampaian lebih berkesan...

Terima kasih cikgu.


Friday, March 18, 2011

175.Khemah Kerja Kelab Setia 1 Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2011

Setelah beberapa hari di Daro, sempat saya memenuhi undangan ke Majis Perasmian Penutupan Khemah Kerja Kelab Setia 1 Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2011 yang diadakan pada 13 March 2011 di Sebangkoi Country Resort Sarikei. Majlis yang dirancang jam 9.00 pagi itu telah berjalan pada masa yang ditetapkan dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Joseph Salang ak. Gandum (Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia)

Ucapan daripada Khairil Izwan, En Resat B. Salleh dan Dato' Joseph Salang ak Gandum
Serta penyerahan visel dan sebahagian peserta 
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Ikrar Rukun Negara dan disusuli dengan Bacaan Doa. Ucapan dimulakan dengan wakil pelajar Kelab Setia atau dipanggil penghulu yang diantik dikalangan peserta iaitu adik Khairil Izwan b. Bakri bekas pelajar SMK Belawai yang kini pelajar tingkatan 6 rendah di SMK Maradong. Dalam ucapannya adik Khairil Izwan, menyatakan betapa bertuah dirinya kerana terpilih menyertai kelab Khemah Kerja Kelab Setia 1 Malaysia ini. Selain dapat menambah kenalan, Khemah kerja ini juga dapat menanam sifat patriotik dan dapat membentuk dirinya sebagai pemimpin yang berkualiti. Katanya lagi, aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan ini juga membentuk dirinya dan rakan2 yang lain lebih matang sebagai pemimpin dan seterusnya sebagai roll model kepada rakan-rakan pelajar di sekolah.

Kelab Setia SMK Belawai
Dalam ucapan aluan oleh Yang Berhagia Pengarah Penerangan Sarawak, En. Resat B. Saleh, beliau juga bersetuju bahawa Khemah Kerja seperti ini amat penting sebagai motivasi kepada pelajar untuk menjadi seorang pemimpin pada masa akan datang. Kelab Setia yang kini berusia 11 tahun sebenarnya hanya ditubuhkan di sekolah-sekolah terpilih sahaja dan beliau berharap kelab setia dapat memupuk rasa patriotic dan rasa tanggungjawab pelajar terhadap Negara tercinta ini.

Bakal pemimpin masa depan
Dato’ Joseph Salang ak Gandum juga berharap Khemah Kerja ini mencapai objektif yang ditetapkan, semasa berucap merasmikan penutupan Majlis tersebut. Beliau juga yakin bahawa khemah kerja yang berkonsepkan Interkaum, riadah dan berbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang 3 hari 2 malam ini akan memupuk perpaduan kaum. Menurut beliau Khemah Kerja seperti ini patut diteruskan, kerana ia dapat membentuk jati diri pelajar selain peserta patut berbangga kerana Sarawak adalah contoh yang terbaik kepada slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Semangat 1 Malaysia
Kemuncak Majlis Perasmian Penutupan Khemah Kerja Kelab Setia 1 Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2011 ini ialah sesi bergambar beramai2 100 orang peserta bersama dengan Yang Berhormat Dato’, guru pengiring serta dengan tetamu jemputan. Tahniah kepada Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak atas usaha murni ini. Sesungguhnya sekolah-sekolah terpilih dari Bahagian Mukah, Bahagian Sibu, Bahagian Sarikei dan Kapit ini memang sangat bertuah. Saya berpendapat bahawa, Kelab Setia yang diletakkan terus di bawah selian Jabatan Penerangan di Daerah masing-masing ini memang sangat aktif. Selain peruntukkan yang disediakan oleh Jabatan Penerangan, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah sangat membantu guru-guru penasihat. Saya sangat-sangat berharap, jabatan-jabatan dan Kementerian-kementerian lain juga akan menjadikan aktiviti ini sebagai contoh seterusnya membantu pihak sekolah menjalankan aktiviti ko-kurikum di sekolah.

Tahniah..

TERIMA KASIH CIKGU

Friday, March 11, 2011

174.Kembalilah ke sekolah dengan selamat. Selamat bercuti..

Suasana di dalam bilik mesyuarat
PPD Daro
Hari ini, Jumaat 11 Mac 2011 adalah hari terakhir siri Mesyuarat Pengurusan Pejabat Pelajaran Daro bersama dengan 3 Pengetua sekolah menengah dan 41 buah sekolah rendah. Siri mesyuarat ini adalah yang pertama kali dibuat, setelah semua urusan diperturunkan kepada PPD Daerah masing-masing dari PPD Induk di Mukah. Semoga pemusatan pentadbiran yang lebih kecil ini mampu melonjakkan sekolah-sekolah Daerah Daro kearah yang lebih baik.

Seperti yang dihasratkan oleh PPD Daro Cg Awet Bin Gapor, penurunan kuasa yang lebih besar kepada Pejabat Pelajaran Daerah Daro serta semua urusan yang dulunya dilakukan oleh Pejabat Pelajaran Bahagian Mukah akan lebih menyenangkan. Kini PPD Daro dapat merancang strategi yang lebih baik untuk melihat semua sekolah mampu cemerlang dengan cara tersendiri dengan memberi penekanan penyelesaian masalah yang mungkin berbeza dengan daerah-daerah lain. Namun mesyuarat kali ini penekanan yang serius ialah bidang Kurikulum atau akademik.

Daro 5.45 pagi Jumaat 11/3/2011
Dari Eng Soon Lee Inn
Cg Awet Bin Gapor, berkata, mesyuarat 3 hari ini bersama pentadbir sekolah adalah perintis kepada perkongsian secara lebih professional di mana semua sekolah menengah dan sekolah rendah di Daerah ini perlu bergerak selari untuk kejayaan bersama. Kejayaan sekolah adalah kejayaan PPD. Katanya lagi perkongsian ini bukan menidakkan program-program yang dirancang oleh sekolah masing-masing tetapi semua pentadbir sekolah dapat berbincang dan mengambil apa-apa keputusan yang baik untuk penambahbaikan apa-apa program yang ada di sekolah.

Daro 6.15 pagi
Kejayaan 2 buah sekolah di Sarawak sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) iaitu Sekolah Menengah Sains Miri dan SK Ulu Lubai serta kejayaan 8 buah sekolah rendah di Daerah Daro di bawah tawaran baru (New Deal) yang diumumkan pada 18 Februari 2011 lalu di Melaka perlu dibuat contoh. Antara sekolah rendah yang berjaya dan menarik perhatian Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) ialah SK Teluk Gelam, SK Bekakong, SK Stalon, SK Salah Kechil, SK Tebaang, SK Kuala Matu, SK Sebako dan SK Mohamad Redeh. Tahniah kepada semua guru dan pentadbir sekolah ini.  

Daro 6.20 pagi
Satu perkara yang sangat menarik perhatian saya ialah tentang cadangan PPD Daro untuk melaksanakan Pemantauan Kurikulum yang lebih spesifik dan lebih berfokus. Saya harap alasan tidak cukup kakitangan dalam pelaksanaan program pemantauan ini bukan suatu alasan. Pemantauan ke sekolah-sekolah oleh pegawai PPD adalah sangat baik. Disamping memberi motivasi kepada guru-guru, sebarang masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah dapat diselesaikan dengan segera. Saya yakin hubungan baik antara PPD dengan sekolah-sekolah akan membuka lebaran baru, bukan 8 sekolah saja yang hebat dibahagian ini, tetapi lebih dari itu pun dapat dicapai.

Hari ini juga merupakan hari terakhir bagi pelajar-pelajar  di SMK Belawai menduduki peperiksaan. Hari ini juga ibu bapa bagi pelajar-pelajar asrama akan menyambut kepulangan anak-anak masing-masing di rumah. Dalam pada itu juga guru-guru juga akan bercuti, walaupun hakikatnya guru-guru mempunyai tugas untuk menyemak jawapan peperiksaan pelajar. Sekolah akan ditutup selama seminggu. Harapan saya semua pelajar dapat pulang dengan selamat. Seperti mana SMK Belawai melepaskan pelajar balik dengan dengan keadaan selamat dan sihat, begitu juga doa saya semoga semua pelajar akan kembali ke sekolah dengan sihat walafiat tanpa ada cacat celanya. Begitu juga dengan guru-guru, sepanjang cuti ini, manfaatkan masa dengan baik. Jaga makan minum, jaga kesihatan dan keselamatan walau di mana sahaja berada.

Kepada semua pelajar, waspada semasa menaiki bot, gunakan jaket keselamatan yang diagihkan oleh pihak sekolah. Jaga keselamatan di rumah, jangan memandu dalam keadaan yang merbahaya. Hindarkan perkara-perkara yang melemahkan minda atau sesuatu yang tidak manfaatkan untuk diri. Bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM sama ada pelajar harian dan asrama, Ingat, tahun ini anda mempunyai agenda yang cukup besar. Perlu lulus dengan cemerlang, jangan lupa dengan pelajaran masing-masing dan tahun ini anda perlu lakukan yang terbaik...

Terima kasih cikgu... Terima kasih kepada semua pelajar SMK Belawai. Selamat Bercuti untuk anda dan selamat bercuti kepada semua warga pendidik seluruh Malaysia...


Wednesday, March 9, 2011

173.Saya masih mampu tersenyum

Gambar Hiasan
Kekuatan bukan terletak kepada kecanggihan
peralatan tetapi cara bagaimana kita menggunakannya,
Kekuatan juga bukan terletak kepada tunjangnya, tetapi
bagaimana cara akar-akar lain membantu dan menyokong..
Mohamad..
Tersenyum sambil mengambil iktibar, bila seorang rakan pengetua baru, semasa sama-sama bersarapan pagi di sebuah kedai makan di hadapan SK Chung Boon, Mukah, menyatakan pada mulanya beliau merasa sangat bertuah kerana terpilih menyertai satu kursus yang dianjurkan oleh IAB di Kuching. Sedangkan rakan-rakan lain di daerah yang sama tidak terlibat. Namun bila mendapat penerangan daripada urusetia, sekolah-sekolah terpilih ini adalah sekolah “istimewa” dan perlu diberikan “suntikan” ajaib, baru beliau sedar dan mengakui sekolah beliau perlukan suntikan tersebut bukan setakat panadol tetapi lebih dari dari itu untuk kembali kepada kedudukan asal.

Ibarat kita bertemu dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu, kita akan bertanya khabar. Kita akan bertanya, berapa orang anak sekarang.. Orang tidak bertanya berapa banyak harta yang kita ada. Begitu juga dengan rakan-rakan pengetua yang sering saya temui atau rakan-rakan guru yang mengajar di sekolah lain, tiada lain persoalan yang dibincangkan, selain dari prestasi sekolah. Orang tidak bertanya tentang apakah perubahan yang berlaku di sekolah, apa masalah yang berlaku di sekolah tetapi yang penting ialah pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam sama ada PMR dan SPM. Kerana pencapaian inilah cermin kejayaan atau kegagalan seorang pengetua dan warga di dalamnya.

Minggu ini adalah minggu peperiksaan di SMK Belawai. Buat pertama kalinya peperiksaan diadakan serentak selama satu minggu. Tidak lebih dari itu. Format peperiksaan bagi tingkatan 3 adalah seperti biasa tetapi bagi tingkatan 4 dan 5 masa peperiksaan dipendekkan. Kertas 1 dan 2 dicantumkan kepada 2 jam sahaja supaya pelajar dapat diuji dengan tajuk-tajuk baru yang diajar dalam masa yang singkat ini disamping pelbagai program awal tahun yang diadakan. Pihak sekolah melihat, jika mereka diuji dalam format peperiksaan sebenar, mereka tidak dapat menjawab dengan sempurna dan sudah tentu markah mereka rendah dan tiada motivasi untuk meneruskan pelajaran. Akibatnya akan berlaku keciciran dengan bermulanya kes-kes ponteng kerana sangkaan awal mereka tidak berupaya untuk berjaya.

Semua pentadbir sekolah inginkan kejayaan. Tidak munasabah jika dikatakan, pengurusan sekolah yang dilakukan begitu ghairah adalah bermatlamat untuk gagal.  Kita boleh melahirkan seberapa banyak klon SK Ulu Lubai, Limbang, sekolah berprestasi tinggi di Malaysia, jika semua orang berhasrat kearah itu. Sasaran setiap daerah di Sarawak sekurang-kurangnya ada sebuah sekolah mendapat 100% lulus dalam UPSR sangat disokong. Pada hakikatnya, lebih dari itupun dapat dicapai jika ada komitmen yang tinggi dari semua pihak. Begitu juga pencapaian dalam PMR dan SPM serta peperiksaan2 lain.

Penilaian prestasi sekolah melalui peperiksaan tidak dapat dinafikan. Semua sekolah tidak dapat lari dari sekolah berorientasikan peperiksaan. Kita boleh menyebut tentang “Kemenjadian murid” tetapi ia tidak dinilai dengan sebaiknya, sebaliknya kemenjadian murid dilihat pada pencapaian dalam setiap peperiksaan. Jatuh bangunnya sesebuah sekolah dilihat dari pencapaian dalam peperiksaan. Namun murid memang menjadi-jadi di sekolah kerana kemampuan belajar mereka adalah sangat terhad kecuali memang di sekolah-sekolah terpilih. Dengan pemikiran kreatif dan inovatif murid, mereka mula melibatkan diri dalam bidang “business”, menjual pil, menjual rokok dan sebagainya atas tuntutan permintaan yang tinggi.

Atas desakan pencapaian dalam peperiksaan dan menuntut NKRA dengan KPI tertentu, berbagai usaha dilakukan pihak pentadbiran sekolah. Segala arahan pihak atasan perlu dipatuhi. Guru melihat semua usaha tersebut adalah menambahkan beban, walaupun sebelum ini banyak dibicarakan tentang usaha untuk mengurangkan beban tugas guru. Dalam keadaan terpaksa kebanyakkan sekolah perlu melaksanakan program2 tertentu yang dirancang oleh pihak sekolah dan panitia masing-masing, disamping program2 yang dirancang oleh pihak Jabatan seperti program MaCS dan program yang dirancang oleh pihak Yayasan Sarawak.

Semua ini menuntut pengorbanan yang tinggi dari semua warga pendidik. Dan kadangkala beban kerja yang terpaksa dipikul membuatkan kita secara tidak sedar, sikap kita yang peramah menjadi pendiam, sikap kita yang suka tersenyum bertukar masam seperti cuka (Orang sini kata “menjus”), Takut orang untuk bertegur sapa. Kata seorang rakan saya dari sebuah sekolah Kluster. “Selepas sahaja sekolah kami diistiharkan sebagai sekolah Kluster, kami dapati susah untuk melihat pengetua kami tersenyum, kami harap senyumannya masih ada walaupun senyumannya di dalam hati melihat usaha-usaha kami untuk mengekalkan kecemerlangan...”

Yang pasti, saya masih lagi mampu tersenyum walau apapun tugas yang diberikan.. Sama-samalah kita bina "teamwork" yang kuat. Sentiasa berusaha dan kejayaan itu adalah kejayaan kita bersama..

Terima kasih Cikgu...

Thursday, March 3, 2011

172.Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Mukah Kali ke 8 2011

Bermula dengan mesyuarat Persatuan Pengetua Bahagian Mukah pada jam 2 petang pada 2 March 2011 di Restaurat SMK Dalat (Bilik MPV Catering). Semua pengetua Bahagian Mukah bertolak ke Stadium Daerah Dalat bagi mengikuti Upacara Perasmian Kejohanan Olahraga antara sekolah-sekolah Bahagian Mukah. Tetapi sebelum itu saya telah menerima sms dari Cg Mahhadir menyatakan bahawa SMK Belawai telah mendahului sekolah-sekolah lain dengan 7 pingat emas. SMK Belawai tepat pertama manakala SMK Dalat tempat ke dua dan SMK Batang Igan tempat ketiga. Harapan kepada pasukan SMK Belawai untuk memperolehi sebanyak mungkin pingat kali ini sangat tinggi, walaupun atlit yang dihantar hanya 16 orang iaitu seminima mungkin kerana kos yang sangat besar.

Buku program
Sudah 2 kali SMK Belawai menolak tawaran sebagai tuan rumah bagi kejohanan Olahraga ini kerana factor perhubungan. Namun pada tahun 2011, jalan perhubungan yang kini sudah siap dibina, akan memungkinkan SMK Belawai sebagai tuan rumah pada tahun hadapan. Dalam Majlis penutupan kejohanan olahraga ini pada 25 March 2011 nanti, SMK Dalat yang merupakan tuan rumah pada tahun ini akan menyerahkan “Batton” (bendera) kepada SMK Belawai. Saya percaya, semua warga SMK Belawai, dapat menerimanya dengan senang hati dan akan berusaha untuk menjayakan amanah ini dengan baik.

Kontijen SMK Belawai sedang menerima cenderahati dari PPD Mukah
Kejohanan Olahraga antara sekolah-sekolah kali ini sangat unik kerana ada satu pembaharuan dibuat dimana ia dijalankan dalam 2 fasa. Pembentangan cadangan oleh pihak tuan rumah pada mesyuarat Ko-kurikulum sebelum ini diterima oleh semua ahli mesyuarat. Fasa pertama diadakan di Stadium Daerah Dalat untuk acara padang dan larian jarak jauh pada 2 dan 3 March 2011 dan fasa kedua venunya ialah di Stadium Daro untuk acara balapan pada 24 dan 25 March 2011. Barangkali agak janggal didengar bila kejohanan olahraga di pisahkan sebegini rupa tetapi hakikatnya, ia terpaksa dilakukan kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Ucapan Perasmian oleh PPD Mukah
Seperti yang di sebut oleh Pengetua SMK Dalat, Cg Mustapha Bin Sapawi. Pembaharuan ini bukan disengajakan namun ia telah memberikan satu kebaikan kepada semua atlit dimana mereka dapat menumpukan kepada acara yang dipertandingkan tanpa berkejar untuk menyertai acara berikutnya sekiranya mereka menyertai lebih dari satu acara. Dalam ucapan perasmian oleh PPD Mukah Cg Abdul Wahab juga bersependapat, cara ini juga dapat memberi ruang kepada pelajar dimana mereka lebih “focus” kepada satu acara sahaja dan berharap pencapaian lebih berkualiti. Disamping itu, beliau berharap semua atlit akan bertindak lebih bertanggungjawab, buat yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh supaya mereka terpilih untuk mewakili Bahagian Mukah ke Kejohanan Olahraga MSS Sarawak yang akan diadakan di Miri pada pertengahan Bulan April nanti.

Cenderahati : Disampaikan oleh Pengetua SMK Dalat Kepada PPD Mukah
Seperti yang sering dimaklumkan kepada semua pentadbir sekolah, dalam ucapannya kali ini juga, beliau menyeru semua guru-guru yang terlibat secara langsung dalam ko-kurikulum supaya berusaha melatih pelajar bukan secara bermusim. Para atlit di bahagian ini perlu berlatih sepanjang masa untuk mengekalkan kejayaan disamping tidak mengabaikan akademik. Para pelajar juga merupakan atlit dinasihatkan supaya berusaha secara sendiri. Jangan terlalu mengharapkan guru menjadualkan latihan tetapi perlu lahir dari hati masing-masing, berusaha meningkatkan potensi diri seperti mana yang ditunjukkan oleh atlit yang berjaya di seluruh dunia. Pelajar juga disaran menyertai mana-mana kejohanan yang dianjurkan oleh pihak luar, bukan hanya mengharapkan kejohanan yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pelajaran sahaja kerana cara ini dapat mempromosikan diri pelajar yang berpotensi secara lebih meluas.

Atlit SMK Belawai di Stadium Dalat
Sebelum mengakhiri ucapan, PPD Mukah berharap semua warga pendidik dan para pelajar menghayati Kehendak Jabatan Pelajaran yang mengkehendaki kita melaksanakan 1 murid 1 sukan dengan berkesan. Sukan adalah pelengkap kepada akademik. Dengan badan yang sikat para pelajar dapat belajar dengan baik. Jangan leka dan terpengaruh dengan perkara-perkara yang negative yang memang mempunyai daya penarik. Kurangkan melayari laman social yang banyak membuang masa tetapi tumpukan kepada sukan atau persatuan kerana ia akan memberi banyak keuntungan. Dalam pada itu guru-guru yang mengurus pelajar dalam sukan ini diingatkan supaya tidak melakukan perkara yang diluar dugaan seumpama “Harapkan pagar, pagar makan padi”.

Persembahan dari SMK Dalat - mendapat perhatian semua tetamu yang hadir
Tahniah kepada semua warga SMK Dalat, majlis perasmian kali ini sangat hebat. Ini menunjukkan kerjasama dan kesungguhan anda, bekerja dalam satu pasukan dan ia membuahkan hasil yang cemerlang. Perarakan masuk atlit, ikrar dan upacara menaikkan bendera kejohanan berjalan dengan lancar. Yang paling menarik ialah persembahan pelajar diakhir majlis. Lakonan aksi-aksi atlit semasa kejohanan menarik perhatian tetamu yang hadir, sama-sama menonton dan bergelak ketawa. Walaupun persembahannya ringkas tetapi saya rasa dapat menghilangkan “stress” kepada semua yang terlibat menguruskan kejohanan pada hari tersebut.

Upacara menaikan bendera kejohanan

Cenderahati oleh SMK Dalat - Terima kasih
Hari ini 3 March 2011 adalah hari kedua Kejohanan berlangsung di Stadium Dalat. Para atlit dari 14 pasukan termasuk ahli baru MSS Bahagian Mukah iaitu MRSM Mukah akan berentap lagi.  Yang pastinya setiap pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Kepada atlit SMK Belawai, kita saya harap mereka akan berusaha tanpa jemu. Matlamatnya jelas berusaha untuk 3 tempat yang teratas sama ada emas, perak atau gangsa. Namun kalah menang ada rahmat disebaliknya, terimalah dengan rasa syukur. Bertandinglah dalam semangat kesukanan...

Terima kasih cikgu...

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.