PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Saturday, March 21, 2009

42. Khutbah Jumaat Masjid Belawai 20-3-2009 Dan Terima Kasih

  1. Alhamdulillah, niat untuk bersembahyang jumaat di Masjid Belawai akhirnya termakbul jugak. Lama tak berjemaah di situ. Paling kerap ialah ialah di Jerijeh atau di Rajang dan kadang-kadang di Masjid Tg Manis. Sebelum azan saya bersama dengan Cg Mahhadir sudah sampai di Perkarangan Masjid.
  2. Apa yang menarik ialah Khutbahnya yang disampaikan oleh Tuan Haji Quib yang mengajak para ibu bapa bersama-sama memberi semangat kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM 2009 yang akan datang. Khutbah tersebut di susun dengan rapi dengan memasukkan unsur-unsur serampang 2 mata dimana menuntut ilmu itu bukan sahaja mendapat kebaikan di dunia tetapi juga di akhirat. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari khutbah tersebut.
  3. Khutbah beliau menekankan bahawa, kekayaan harta dengan kekayaan ilmu pengetahuan adalah amat berbeza. Seseorang yang mempunyai kekayaan harta tetapi tidak mempunyai ilmu adalah tidak berguna. Di samping itu beliau juga menekankan supaya ibu bapa mewujudkan satu suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak di rumah untuk belajar. Anak-anak perlu suasana yang tenang untuk berfikir, begitu juga ibu bapa yang pada masa dan ketikanya perlukan suasana yang selesa.
  4. Ibu- bapa juga di saran supaya membuat sedikit pengorbanan untuk anak-anak. Menonton televisyen biarlah berpada-pada. hiburan tidak akan habis. Saban hari ada sahaja yang baru, tetapi peperiksaan PMR dan SPM hanya sekali untuk kejayaan masa depan. Anak-anak perlukan kata-kata nasihat dari ibu bapa dan nasihat tersebut biarlah yang positif dan bukannya menjatuhkan motivasi pelajar. Sesuatu yang diperkatakan ibu bapa kepada anak-anak adalah doa, doalah mereka yang baik-baik dan mendatangkan kejayaan.
  5. Begitulah sedikit intipati khutbah beliau, dan saya difahamkan beliau juga mempunyai anak yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini di SMKB. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada beliau dan khususnya institusi masjid dalam memberi suntikan motivasi kepada ibu bapa untuk sama-sama SMKB membina kecemerlangan. Saya juga berharap ia akan berterusan dari masa ke semasa. Cara ini sangat berkesan dan diharap juga 3 buah masjid lagi di Rajang, Jerijeh dan Tg Manis akan memuatkan perkara yang sama sekali sekala dalam khutbah jumaat.
  6. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai-pegawai dari PPD Mukah yang sering membuat lawatan di SMKB, Pegawai-pegawai dari JPNS terutama dari Sektor Jaminan Kualiti untuk pemantauan Program MaCS, Sektor Pengurusan Sekolah, Bahagian Pembangunan terutama Cg Wahab Wak, dan kepada semua pegawai yang saya tidak sebutkan di sini dari PPD Mukah dan di JPNS yang mengenali saya dan sentiasa berurusan dari masa kesemasa.
  7. Tidak lupa juga kepada YB. Tn. Hj. Hamden, YB. Pn. Norah Tun Rahman, Tuan SAO, Pengurus LKIM Belawai yang banyak membantu PIBG SMKB menjalankan pelbagai program motivasi pelajar. Terima kasih juga kepada YDP PIBG dan Eksconya, penduduk kampung yang terdiri dari para ibu bapa pelajar, penderma-penderma dari pelbagai badan seperti persatuan nelayan laut dalam Tg Manis di bawah seliaan En. Khalid. Polis, rela dan klinik Belawai yang sentiasa membatu dalam program sekolah. Sesungguhnya bantuan tuan-tuan sangat bermakna di SMKB.
  8. Terima kasih juga kepada semua ketua-ketua jabatan yang lain, penghulu, tuai rumah, para penderma, guru-guru SMKB yang bertungkus lumus menghidangkan menu-menu P & P yang menarik dan para pelajar yang ghairah menjawab soalan sehingga kita di SMKB berjaya meningkatkan prestasi dalam PMR dan SPM.
  9. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak sesunggunya kejayaan di SMKB adalah milik kita bersama - Tahniah

Thursday, March 12, 2009

40. Selamat Bercuti

  1. Sekali lagi sekolah akan ditutup dari 14 Mac 2009 hingga 22 Mac 2009. Sekolah akan dibuka semula pada 23 Mac 2009. Satu minggu cuti. Namun sebagai seorang pelajar cuti bukan bermakna kita cuti sepenuhnya dengan tidak langsung membelek buku. Terutama bagi pelajar tingkata 3 dan 5 dimana mereka akan menduduki peperiksaan awam PMR dan SPM. Kedua-dua peperiksaan ini adalah penting dalam kamus hidup masing-masing (Bagi Insan Yang Mengerti)
  2. PMR akan bermula pada 7-9 Oktober 2009 dan bersambung pada 12 dan 13 Oktober, manakala SPM akan bermula pada 19 November 2009 sehingga 16 Disember 2009. Ini bermakna masa semakin hampir. Sekarang sudah pun pertengahan bulan Mac. Betapa cepatnya masa berlalu.
  3. PMR dan SPM adalah agenda utama sekolah di samping pembangunan sahsiah dan jati diri. Semua pelajar perlu ingat bahawa nasib kita sekeluarga dapat diubah dengan pelajaran. Belajarlah bersungguh-sungguh. Saya sering berkata usaha kita hari akan kita nikmati sehingga kita di liang lahat. Sekiranya kita bekerja dengan kerajaan apabila kita pencen dan meninggal dunia, anak-anak kita masih lagi dapat menikmati wang pencen tersebut untuk menyara hidup. Itu sebabnya saya meninggalkan Infografik Design Consultans.
  4. Saya mengambil iktibar dari emak saudara saya (Tidak bekerja) yang kehilangan suami (Seorang ustaz di Maktab Mahmud, Alor Setar. Terlibat dalam kemalangan kapalterbang di Bangkok dalam tahun 1970an - apabila kapalterbang yang beliau naiki terhempas atas kilang kain, pulang dari Tanah Suci melalui Thailand) sehingga kini masih menerima pencen suami dan dari duit tersebut beliau menyara anak-anak hingga ke Menara Gading.
  5. Pelajar kita di SMKB sebenarkan perlukan satu anjakan. Perlukan motivasi dari masa kesemasa. Dari pandangan peribadi saya melihat melihat semua pelajar adalah sama dengan pelajar lain. Walaupun hakikatnya tidak. Kita harus menerima hakikat pelajar di SMKB yang ada sudah menjalani beberapa tapisan. Tapisan pertama ialah semasa UPSR dan selebihnya ke SMKB untuk PMR dan Tapisan ke dua selepas PMR dan yang tinggal akan menduduki SPM. Kita tidak mengharapkan pencapaian seperti sekolah-sekolah terpilih di Malaysia yang mampu mendapat 20A dalam semua matapelajaran SPM baru-baru ini, tetapi sekurang-kurangnya mereka mampu bersaing dan mendapat keputusan yang terbaik walaupun mereka bukan pelajar terpilih. Kita mahu SMKB seperti sekolah-sekolah biasa yang lain yang mampu melahirkan insan cemerlang walaupun telah mengalami beberapa tapisan. Apa yang berlaku kepada Mohd Safidzan tingkatan 3E tanun lepas yang lulus semua matapelajaran dalam peperiksaan PMR perlu di ambil iktibar.
  6. Oleh itu, cabaran kita di SMKB ialah, sama-sama kita berusaha untuk pencapaian cemerlang bagi pelajar yang ada. Jangan banding-bandingkan pelajar kita dengan sekolah lain yang kadang-kadang sedikit sebanyak membuatkan kita merasakan pelajar kita amat lekeh sedangkan tanpa kita ketahui kita mempunyai banyak kekuatan. Terpulang kepada guru-guru dan panitia masing-masing merancang bagaimana untuk menangani masalah ini. Dalam masa cuti ini berilah kerja rumah yang mencukupi kepada pelajar. Pastikan mereka bercuti tanpa lupa terus pelajaran, lebih-lebih lagi mereka yang akan menduduki peperiksaan penting di hujung tahun.
  7. Walau di mana pun sekolah kita berada, kejayaan seorang guru adalah dilihat dari pencapaian murid. Walau selemah manapun murid tersebut, jika kita berjaya mendidik dan ia lulus, maka ia adalah kejayaan kita sebagai guru.
  8. Dalam masa cuti ini, sambil-sambil kta berehat cari-carilah, bacalah bahan-bahan, teori-teori dan kaedah-kaedah baru yang boleh kita gunakan untuk manfaatkan kepada pelajar dan meningkatkan martabat kita sebagai guru. Bukannya orang melihat kita sebagai guru kelas rendah yang tidak berupaya melakukan apa-apa yang hanya banyak cakap, banyak komen dll tetapi langsung tiada apa-apa peningkatan dalam diri sendiri.
  9. Sekian, selamat bercuti kepada semua guru, semoga kita sentiasa Cemerlang. Terima Kasih Cikgu.

Utusan Borneo, Jumaat 13 Mac 2009, Kejayaan Di Luar Jangkaan. Haziyah Hashim.
Seorang pelajar SMK Methodist, Sibu. Menyifatkan kejayaan beliau mendapat 13A1 sebagai diluar jangkaan.
" Saya berasa bernasib baik dengan keputusan 13A1 sebab saya bukan pelajar terbaik pilihan," Katanya ketika ditemui di pejabat SMK Methodist, semalam.
Tambahnya, beliau akan memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti luar negara dalam jurusan kejuruteraan.
" Beberapa bulan terakhir sebelum peperiksaan SPM, saya membuat persediaan rapi dengan mengulangkaji matapelajaran yang diambil," Jelas Beliau.
Saya berharap keadaan ini akan berlaku di SMK Belawai.

Wednesday, March 11, 2009

39. Disiplin SMK Belawai


  1. Sesuatu yang malang bagi sesebuah sekolah ialah disiplin yang teruk. Tiada ungkapan lain yang dapat kita samakan dengan "Nasib Malang" tersebut. Ini adalah kerana bagi sesebuah sekolah yang targetnya untuk cemerlang, maka pengurusan disiplinnya perlu mantap.

  2. SMK Belawai bukanlah sebuah sekolah yang bermasalah. Saya bersyukur apabila ditempatkan di sini semuanya dalam keadaan terkawal, cuma perlu di berikan sedikit penambahbaikan. Dengan perlantikan Cikgu Abu Seman Bin Masri sebagai Ketua Guru disiplin pada 2007 dan Cikgu Jeme bin Sedi sebagai penolong Ketua Guru Disiplin, banyak perubahan telah berlaku di SMKB.

  3. Pengurusan Hem SMKB di bawah pimpinan Cikgu Hasbi Bin Junaidi juga pada ketika ini mantap dan sentiasa memberi penekanan terhadap pengurusan disiplin. Selain dari itu unit Hem sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai di Jabatan Pelajaran Daerah di Mukah. Begitu juga dengan pengurusan Asrama yang di ketuai oleh Tuan Haji Sharifdin Bin Abdullah Buyung sebagai Ketua Warden yang sangat perihati dengan masalah disiplin pelajar asrama.

  4. Sistem Merit Demerit yang diperkenalkan pada tahun 2007 juga banyak membantu menangani masalah disiplin di SMKB. Kita tidak menafikan bahawa tiada langsung kes-kes disiplin berlaku, tetapi pada tahap ini masih lagi terkawal dan bukannya kes-kes yang teruk pada sepanjang pengetahuan saya setakat ini. Walau bagaimanapun kita sentiasa berwaspada kerana sesuatu perkara itu boleh berlaku pada bila-bila masa umpama bom jangka yang kita tidak tahu bila masanya akan meletup.

  5. Apa yang berlaku di sebuah sekolah di Daerah Mukah, Di Perlis, di Kelantan dan Pahang baru-baru ini, bila-bila masa boleh berlaku di sekolah lain termasuk sekolah kita yang kita sayangi. Itu takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Kita sebagai manusia perlu terima dan hakikatnya kita telah berusaha untuk membuat sesuatu yang terbaik. Mana ada di dunia ini seseorang pengurus sekolah merestui perkara-perkara yang pelik-pelik berlaku. Kerana itu adalah maruah sekolah dan warganya. Jika berlaku juga, itulah yang dikatakan diluar jangkaan dan kawalan kita sebagai manusia.

  6. Di SMKB kita sentiasa mengingatkan guru-guru, semua guru adalah guru disiplin. Semua guru mempunyai tanggungjawab dalam menangani masalah ini. Saya percaya jika masalah ini membelenggu kita P&P tidak akan berjalan dengan sempurna. Guru-guru tidak akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Disiplin yang mantap pemangkin kecemerlangan. Di SMKB kita dapat buktikan bahawa keputusan PMR 2008 telah memperlihatkan peningkatan yang amat mendadak hingga mencecah 60%.

  7. Kebimbangan ibu bapa terhadap masalah pil dan bahaya dadah di kalangan pelajar adalah sangat perlu. Pihak sekolah juga tidak berkompromi dengan masalah ini dan akan sentiasa memberi kerjasama dengan pihak polis jika ada. Buat masa sekarang keadaan ini masih terkawal. Kuasa yang ada pada saya hanya di kawasan pagar sekolah. Sekiranya pelajar kita yang terlibat di luar kawasan sekolah, itu adalah diluar kawalan saya sama sekali. Walau bagaimanapun sekiranya masayarakat setempat tahu atau mempunyai senarai nama silalah berjumpa dengan saya atau PK Hem atau Ketua Guru Displin untuk berbincang dan kita mencari satu penyelesaian yang terbaik.

  8. Masyarakat Belawai, Jerijeh, Rajang dan Tg. Manis perlu mempunyai kesinambungan generasi yang baik. Kerjasama yang erat antara kita adalah sangat perlu. Saya beriltizam SMKB perlu dekat di hati penduduk setempat. Maka jika ada sesuatu yang masyarakat merasakan baik untuk anak-anak kita silalah berbincang dengan kami supaya tidak berlarutan.

  9. Pada 26/2/2009 - Sekolah kita telah dilawati oleh AADK Daro dan Guru kaunseling. Tujuan mereka membuat lawatan adalah untuk memberi ceramah tentang bahaya dadah disamping menguji air kencing (Urine Test). Seramai 40 orang pelajar yang dikenalpasti untuk membuat saringan tersebut. Kita berharap tiada pelajar SMKB yang keputusannya Positif.

  10. Kawasan Tg. Manis pada masa sekarang pesat membangun. Pelajar-pelajar kita yang tidak tahan iman pastinya terpengaruh dengan budaya yang tidak baik. Kejutan budaya berlaku. Kawasan yang dulunya kurang maju, tetapi dalam sekelip mata membangun dengan mendadak. Masyarakat perlu tahu bahawa, selain pil dan dadah kemungkinan besar pelajar kita yang di luar sana terpengaruh dengan alkohol. Ramai pendatang luar yang membawa pelbagai latar belakang kehidupan yang berlainan yang bertentangan dengan adat dan agama kita. InsyaAllah di Kawasan sekolah masih di dalam kawalan tetapi bagaimana di luar sana. Sama-samalah kita renungkan dan sama-sama kita fikirkan yang terbaik demi generasi setempat. "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah"

    Jeti Tanjung Manis sentiasa Sibuk dengan aktiviti naik turun barang dan penumpang dari masa ke semasa. Ia adalah lambang kemajuan. Baru-baru ini juga kawasan ini telah diistiharkan sebagai Hub-halal oleh Perdana Menteri, Datok Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai penduduk di Kawasan ini kita perlu merebut peluang yang ada dan sama-sama bersaing. (Kawasan ini juga menjadi kenangan pahit? atau manis? kepada seorang guru yang saya pernah ceritakan sebelum ini yang tergelincir lalu jatuh ke dalam air - Cg Shirina Kong Ai Siang - semoga beliau tabah menghadapi dugaan)

    Kelihatan orang ramai sibuk dengan aktiviti masing-masing - selamat maju jaya Bandar Tg Manis sempena sambutan Ulang Tahun 2009

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.