PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Wednesday, May 28, 2014

256.Cuti sudah berakhir..

Seronok betul cuti kali ini. Agak lama saya bersama anak-anak dan Isteri. Dari 28 Mei 2014 hinggalah 14 Jun 2014, baru balik ke Miri. Walaupun tidak dapat pergi ke tempat-tempat yang hebat di luar negeri, tetapi memadai ke tempat-tempat yang diminta oleh mereka. Bagi kita tempat seperti zoo sudah tentu sangat bosan, apa yang nak dilihat selain dari binatang peliharaan yang terperap di situ sekian lama. Nak melihat Panda tidak kesampaian, katanya masih dikuarantinkan, supaya Panda sesuai dengan cuaca Malaysia.

Tempat ke dua menjadi pilihan mereka ialah di Petrosains, The Discovery Centre di KLCC. Tempat ini sangat menarik sehingga tidak mahu balik. Leka bermain dengan pelbagai permainan yang disediakan. Bukan sahaja kanak-kanak teruja dengan bahan pameran, orang dewasa juga kagum dengan pameran dan pelbagai aktiviti yang dipersembahkan. Perutukan masa selama 2 jam belum tentu cukup untuk bermain semua permaianan yang menarik.

Saya cukup sedar masa untuk anak-anak dengan kita sangat singkat, tanpa kita sedari mereka membesar dengan cepat, dengan kesibukan kita bekerja mencari nafkah. Mereka semakin jauh dari kita, bila usia mereka sudah meningkat mereka tidak lagi mahu mengikut ke mana ibu dan bapa pergi. Mereka lebih rela membuat kerja sendiri di rumah. Banyak alasan mereka jika tidak mahu bersama kecuali ke tempat yang mereka setuju. Mereka merasa malu atau memikirkan semua itu hanyak membuang masa.

Bapa saya pernah berkata, "kamu semua anak lelaki tak ada masalah. Adik-adik perempuan kamu ini belum tahu lagi masa depan mereka. Kalau dapat suami baik, baguslah. Kalau dapat suami tak baik, susahlah mereka. Tak kemanalah..." 

Bapa saya melihat bahawa, anak lelaki boleh buat keputusan sendiri manakala anak perempuan keputusan atas kuasa suami. Sebagai anak sulung saya dapati, dalam apa-apa perkara bapa lebihkan anak perempuan sehinggalah mereka menunaikankan rukun Islam ke lima bersama. Ia berterusan sehingga semua anak perempuan berkahwin, namun apa yang diperlukan oleh anak lelaki tidak diabaikan.

Seorang sahabat pernah berkata, sejak berkahwin dengan Isterinya, beliau sangat berkecil hati dengan bapa mertuanya. Seringkali bapa mertuanya meminta supaya tinggal bersama atau tinggal sahaja berdekatan dengan rumahnya. Asal dia dapat melihat semua anak-anaknya. Tetapi itu tidak berlaku, kehidupan sebenar ialah berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat mengikut arahan. Balik kampung pun jarang-jarang. Hak tetap hak. Isteri patut mengikut kata suami.

Tapi kini, bapa mertuanya sudah lama pergi. Anak-anak terus membesar. Seorang demi seorang meninggalkan rumah untuk kehidupan sendiri. Di sinilah datang keinsafan yang amat sangat kepadanya. Kalau boleh biar semua anak tinggal bersama walaupun mereka sudah berumahtangga. Barangkali inilah yang dirasai oleh bapa mertuanya..

Pernah saya mencadangkan kepada seorang rakan guru supaya memohon asrama penuh selepas keputusan UPSR sedikit masa dulu. Keputusan peperiksaan anaknya sangat baik dan sudah tentu diterima tetapi beliau tidak mahu berbuat demikian kerana mahu semua anak-anaknya hidup bersama dengannya, bersama dengan adik-adik yang lain. Menikmati kasih sayang ibu dan bapa, menikmati kasih sayang adik beradik. Katanya belum masanya mereka hidup sendirian, membawa emosi dan membiarkan mereka terlalu jauh.

Bertemu lagi saya dengannya baru-baru ini, anaknya kini tingkatan 6, masih lagi belum dibebaskan. Katanya, masanya sudah mula tiba, dua tahun di tingkatan 6. Mereka sudah boleh bebas, memilih haluan masing-masing ke Universiti, dalam atau luar negeri. Di mana sahaja mereka mahu, di mana sahaja rezeki mereka.

Namun, ada yang yang tidak dapat peluang seperti ini. Dalam keadaan terpaksa anak kecil seusia 7 tahun perlu berpisah. Perlu menjalani hidup sendiri atas pengawasan semangat dan jiwa orang lain.

Lumrah alam. Mereka akan membesar dan akan pergi. Mereka juga akan ada kehidupan sendiri. Ada cita-cita sendiri, ada citarasa sendiri. Tidak ada kuasa kepada kita menahan mereka. Dalam peluang yang ada ini, dukung mereka, cium mereka, bermain dengan mereka, tunjukkan kasih sayang yang berpatutan.. supaya tidak kesunyian di kemudian hari.

Selamat hari bapa..

255.PERUTUSAN PENGETUA SEMPENA HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2014



16 Mei merupakan hari yang sangat bermakna bagi insan yang bergelar “guru”. Pada hari ini mereka biasanya akan di rai dan diberi pelbagai ucapan sebagai mengenang jasa dan bakti mereka kepada insan lain yang bergelar “Murid”. Pada hari ini juga merupakan hari yang menjadi ukuran kepada guru mana guru yang diminati akan menerima banyak hadiah daripada murid, dan sebaliknya guru yang kurang diminati akan berasa berduka dan sedikit berkecil hati kerana rasa tidak disanjungi.

Maka, pada tanggal 16 Mei ini jugalah hari dimana mengukur tahab kesabaran guru, mengukur keikhlasan guru  dan mengukur keupayaan guru mempengaruhi mereka yang bergelar murid untuk bersama-sama guru mencemerlangkan subjek yang guru ajar. Sebagaimana guru menilai murid dan mengkelaskan mereka kepada kelas A, B, C dan D dan mengkelaskan murid kepada kohot-kohot mengikut tahun jika pencapaian mereka tidak memberansangkan, begitu juga murid, mereka juga mengkelaskan guru kepada beberapa kedudukan menurut penilaian mereka. Ada guru yang malas, ada guru yang rajin. Ada guru yang banyak Ilmunya dan ada guru yang tidak berubah ilmunya dari masa beliau mula mengajar sehingga ke pencen.

Dunia semakin maju, pengajaran dan pembelajaran dalam kelas menjadi bertambah rumit. Sikap pelajar sangat agresif. Penghormatan pelajar kepada guru dilihat kepada betapa hebatnya guru itu. Kita boleh lihat, kelas-kelas dimana guru-gurunya lemah, murid-muridnya akan mula mempermainkan guru dengan pelbagai cara termasuk memberi gelaran tertentu berbanding dengan guru-guru yang dilihat sebagai lemah tetapi dengan keyakinan guru, ketegasan guru dan ketinggian ilmu yang ada pada guru tersebut pelajar menghormati dan mereka boleh mengikut haluan guru walaupun berada dalam kelas yang lemah. 

Oleh itu marilah kita sama-sama cerminkan diri di mana kita sebagai guru, sebanyak mana pengorbanan kita kepada murid dengan membangunkan potensi diri  kita sebagai guru yang berkalibar dan bertaraf dunia. Apabila kita dinobatkan sebagai guru yang cemerlang pada pandangan murid kita, maka kita berhak untuk berbangga dan dihargai atas pengorbanan yang kita curahkan kepada mereka menurut pandangan seseorang guru. Ada yang rasa berbangga jika dianugerahkan hadiah, ada yang rasa berbangga jika melihat anak didiknya berjaya dan ada yang dinobatkan sebagai tokoh guru malah ada yang hanya berasa berbangga dengan diberi Allah SWT kesihatan yang luar biasa atas doa dan rasa syukur murid-murid kepadanya.

Pada sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada 27 Mei 2014 ini saya mengajak semua warga guru SMK Baru Miri sama-sama kita menjadi guru, yang benar-benar guru. Marilah sama-sama kita menjadi guru yang hebat. Tidak semua insan di dunia ini dapat menggalas tanggungjawab yang besar seperti kita yang bergelut dengan tugas mendidik anak-anak yang pelbagai kerenah dan ragam. Kesabaran dan komitment kita mencorak intelektual jasmani dan rohani sebenarnya telah mengangkat martabat diri kita ketahap yang mulia dan dipandang tinggi.

Di kesempatan ini saya saya ingin mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua pendidik di SMK Baru Miri, sesungguhnya kecemerlangan Akademik dan Kecemerlangan Ko-kurikulum di SMK Baru Miri adalah cermin kecucian hati dan cermin pengorbanan dan kegigihan kita semua. Mudah-mudahan jasa dan pegorbanan kita ini akan di kenang selamanya oleh murid kita. Teruslah gigih mencorak masa depan generasi kita yang terbaik kita boleh buat, demi masa depan Negara tercinta…

Mohamad Shariff Bin Mat Saad
24 Mei 2014

Friday, May 16, 2014

254. Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru kepada Isteri, Sanak Saudara, Sahabat Handai, Rakan Taulan yang berkerjaya sebagai guru dan guru-guru di mana pernah saya berkhidmat. Saya doakan agar anda semua sentiasa menjadi guru yang hebat... Di dunia dan di akhirat.

Terima Kasih Cikgu..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.