PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Friday, October 17, 2008

22. Pelajar tendang guru


GAMBAR rakaman video telefon bimbit merakamkan pelajar perempuan sebuah sekolah di Kangar menumbuk dan menendang Azahana (gambar kecil) di dalam kelas, pagi semalam.

Berita Harian Online
Tarikh : 17 Oktober 2008

KANGAR: Seorang guru di sebuah sekolah menengah, di sini, mendakwa diserang sekumpulan pelajar termasuk diterajang berkali-kali pada perut oleh salah seorang daripada mereka di dalam bilik darjah sekolah terbabit, di sini, pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas guru terbabit, Azahana Ibrahim, 27, menegur seorang pelajar perempuannya berhubung kelewatan menghantar tugasan diberikan, terutama kandungan kata-kata kesat 'Gila Babi' yang diconteng pada kerja kursus yang dihantar.

Tidak cukup dengan insiden di dalam kelas itu, pelajar perempuan berusia 14 tahun itu yang dikatakan masih belum berpuas hati dengan teguran guru berkenaan, dikatakan memanggil beberapa lagi rakannya dari kelas lain untuk membalas dendam.

Mereka kemudian 'menyerang' dan membuat kacau di kelas terbabit ketika Azahana yang juga guru mata pelajaran Fizik itu sedang mengajar, sehingga memaksa mangsa lari menyelamatkan diri ke bilik guru.

Azahana ketika ditemui bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen dengan alasan bimbang ia akan mendatangkan kesan termasuk diserang sekali lagi oleh kumpulan pelajar terbabit.

Bagaimanapun, Azahana yang masih fobia dan ketakutan ketika ditanya mengaku ditendang pelajar perempuan terbabit pada perut. Dia kemudian lari menyelamatkan diri ke bilik guru, sebelum dibawa ke Balai Polis Kangar untuk membuat laporan.

Difahamkan, Azahana baru saja berpindah ke sekolah berkenaan pada awal tahun lalu dari Johor, selepas menghadapi masalah kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Mohd Yusof Diah, ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat mangsa kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa menegur salah seorang pelajar perempuan dari tingkatan dua berhubung kelewatannya menghantar tugasan kerja kursus.

"Pelajar terbabit dikatakan tidak dapat menerima teguran sehingga menyebabkan berlaku kekalutan, sebelum mangsa ditendang dua atau tiga kali pada perut.

"Sehingga kini, kes masih disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.
Pelajar pukul cikgu
Oleh Syed Ridzuwan Syed Ismail
Utusan Malaysia Online
KANGAR 16 Okt. - Dua orang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa menendang dan memukul seorang guru Fizik berusia 27 tahun setelah dipercayai tidak puas hati dengan tugasan kerja kursus yang diberikan kepada mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kedua-dua pelajar tingkatan dua itu dikatakan dipanggil guru berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkataan kesat yang ditulis dalam kertas kerja kursus yang dihantar.
Menurut seorang guru sekolah tersebut yang enggan dikenali, kejadian berpunca daripada keengganan pelajar itu untuk menghantar tugasan yang diberikan kepada mereka beberapa minggu lalu.
Katanya, pelajar itu gagal menghantar tugasan yang diberikan dan hanya menghantar kepada guru tersebut hari ini selepas diminta berulang kali.
"Tetapi apabila tugasan dihantar terdapat perkataan kesat ditulis dalam buku tugasan mereka dan guru itu memanggil dua orang pelajar tersebut untuk mendapatkan penjelasan tetapi mereka bertindak di luar dugaan apabila memukul dan menendang mangsa beberapa kali.
"Guru itu yang terkejut dengan tindakan pelajar tersebut cuba mempertahankan diri dan berlaku sedikit pergelutan antara mereka," katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun guru wanita itu difahamkan hanya mengalami cedera ringan tetapi enggan ditemuramah pemberita kerana masih trauma dengan kejadian tersebut.
Difahamkan selepas pergaduhan itu, pelajar berkenaan yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan gangsterisme masih tidak berpuas hati dan bertindak memanggil beberapa rakannya yang lain untuk mencari guru itu.
Insiden yang berlaku dalam kelas itu sempat dirakamkan menggunakan telefon bimbit oleh seorang guru lain yang kebetulan melalui kelas terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Md. Diah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
"Kita akan mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.
Pelajar SMK Perlis pukul guru digantung seminggu
17/10/2008 4:22pm
KANGAR 17 Okt. - Seorang daripada dua pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini yang didakwa memukul dan menendang seorang guru kelmarin, digantung sekolah selama seminggu berkuat kuasa semalam.
Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati perbuatan pelajar itu melanggar batas antara anak murid dan guru. - Utusan
Lagi kes gaduh di SMK Perlis
KANGAR 20 Okt. - Beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan selepas berlaku satu pergaduhan sesama mereka hari ini.
Difahamkan kejadian itu berpunca daripada salah faham sekumpulan pelajar yang tidak berpuas hati apabila sekumpulan pelajar lain menendang beberapa buah basikal yang diletakkan dalam kawasan sekolah.
Pergaduhan pada pukul 11 pagi itu berlaku, kurang seminggu selepas seorang pelajar perempuan tingkatan dua sekolah yang sama bertindak menumbuk dan menerajang seorang guru selepas ditegur kerana menulis perkataan kesat dalam tugasan yang diberikan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Md. Diah berkata, pergaduhan berlaku disebabkan salah faham yang timbul antara pelajar terbabit.
"Kita telah memanggil beberapa pelajar yang terlibat dalam kejadian itu untuk diambil keterangan dan perkara ini sebenarnya telah selesai.
"Pihak polis juga tahu punca kejadian itu dan tindakan sewajar diambil bagi mewujudkan persekitaran yang selamat di sekolah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa ibu bapa dan penjaga pelajar terbabit bergegas ke sekolah itu apabila dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Beberapa pelajar juga dilihat dibawa oleh anggota polis menaiki van untuk dibawa ke balai polis berhampiran bagi proses mengambil keterangan. - Utusan
Pelajar kecewa keputusan SPM, terjun bangunan sekolah
KANGAR 13 Mac - Seorang pelajar perempuan yang dipercayai kecewa dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya hari ini, terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di sekolahnya.
Pelajar terbabit, anak bongsu daripada tiga beradik, bertindak demikian sebaik sahaja mengambil keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Dia mengalami cedera parah di bahagian dalaman badan selain patah tulang pinggang, kedua-dua tangan dan kaki serta cedera di mulut akibat tindakannya itu.
Pelajar perempuan tersebut kini ditempatkan di Wad Ortopedik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Bapa pelajar terbabit ketika mengesahkan kejadian itu berkata, sebelum keputusan diumumkan, anaknya dilihat terlalu memikirkan tentang keputusan peperiksaan SPM yang bakal diperoleh.
``Saya selalu menasihatkan dia supaya terima saja sebarang keputusan dan jangan terlalu memikirkannya. Saya tidak sangka dia akan bertindak sedemikian (terjun dari bangunan),'' katanya ketika ditemui di wad kecemasan HTF di sini.
Komen Pembaca Utusan Malaysia - 20 Oktober 2008
PUKUL GURU : HUKUMAN PELAJAR TIDAK SETIMPAL
Saya mendengar berita TV3 pada 17 Oktober 2003 berhubung kes pelajar memukul guru di Perlis . Saya amat-amat tidak berpuas hati dengan hukuman yang diberikan terhadap pelajar tersebut yang hanya di gantung sekolah selama seminggu
pada pendapat saya, hukuman tersebut langsung tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman itu ibarat "Cuti Bergaji" kepada pelajar itu. Ia langsung tidak membawa apa-apa kesan.
Saya juga pernah bersekolah. Dan saya faham perasaan pelajar sekolah. Jika pelajar tersebut malas nak buat kerja sekolah, bila digantung sekolah itu sebenarnya memberi rasa seronok, bukannya rasa kesal. Apatah lagi jika ibu bapa tidak berapa mengambil berat terhadap anakny, maka istilah "cuti bergaji" itu amat-amatlah sesuai. Pasti pelajar-pelajar yang malas bersekolah akan cuba melakukan kes seperti itu berulang kali kerana dapat cuti percuma.
Adalah lebih baik pelajar tersebut dihukum sebat dihadapat semua pelajar lain agar takut dan hormat kepada guru. Atau mungkin patut ditukar ke sekolah lain bagi menjaga nama baik sekolah tersebut atau lebih baik dibuang terus memandangkan kes yang dilakukannya agak berat dan sudah menjadi kes polis. Bagi saya itu lebih setimpal. Bukan sahaja ia menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar lain dari sekolah tersebut, malah turut menjadi pengajaran di sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
Pada pandangan saya pelajar yang bermasalah seperti ini biasanya tak berminat untuk ke sekolah, buat apa nak paksa mereka bersekolah jika hanya mendatangkan masalah.
Saya berharat agar hukuman yang diberikan itu ditimbang semula agar lebih setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kepada juri yang memberi hukuman agar lebih menghormati guru yang teraniaya, kerana dengan hukuman seringan itu guru-guru akan lebih terancam.
Bekas pelajar
Bkt. Katil, Melaka

Monday, October 13, 2008

21. Taklimat Rancangan Integrasi murid untuk perpaduan (RIMUP) kepada pengetua Sekolah Menengah Sarawak

Tarikh : 11 oktober 2008
Masa : 0800 pagi - 1400 petang
Tempat : Dewan Besar SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching

PENGENALAN
Sekolah merupakan salah sebuah institusi yang mampu menjadi ejen berkesan kearah menyatupadukan murid pelbagai kaum di negara ini. Dalam hal ini, sekolah perlu memainkan peranan masing-masing untuk meletakkan agenda integrasi dan perpaduan sebagai matlamat utama ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman dan sejahtera.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menetapkan elemen perpaduan dan integrasi nasional dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 sebagai antara fokus utama dalam Teras Satu " Membina Negara Bangsa". Elemen ini penting bagi memastikan negara yang diduduki pelbagai kaum seperti Malaysia akan terus maju dalam suasana yang stabil dan harmoni.

Bagi merealisasikan hasrat ini, KPM telah memperkenalkan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang diilhamkan oleh Y.A.B Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang bertujuan mempertingkatkan dan menyuburkan semangat kerjasama antara kaum sebagai pemangkin kepada perpaduan nasional. Pelaksanaan program ini selaras dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan selama ini untuk membentuk keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

APAKAH RIMUP
Program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat pelbagai kaum dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Dilaksanakan melalui perkongsian idea, kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran.

MATLAMAT
Melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, bersemangat muhibah, memiliki jiwa dan peribadi unggul serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu demi kesejahteraan negara.

AKTIVITI RIMUP

1. KECEMERLANGAN AKADEMIK
a. e-Integrasi (Komputer)
b. Seminar peperiksaan
c. Kelas tambahan
d. Kem motivasi
e. Pertukaran Tenaga Pakar Akademik

2. PROGRAM SUKAN DAN PERMAINAN
a. Merentas Desa
b. Lumba jalan kaki
c. Bola sepak
d. Bola jaring
e. Bola keranjang
f. Bola tampar
g. Sepak takraw
h. Hoki
i. Ping pong
j. Bola Baling
k. Permainan tradisional
l. Basikalton
m. Sukaneka
n. Tarik tali

3. SAMBUTAN HARI PERAYAAN & PERHIMPUNAN
a. Hari Raya Aidilfitri
b. Tahun Baru Cina
c. Deepavali
d. Hari Krismas
e. Hari Gawai
f. Pesta keamatan
g. Pesta tanglung
h. Thaiponggal
i. Perhimpunan Patriotik
j. Hari Kebangsaan (Bulan kemerdekaan)
k. Hari Guru
l. Hari Kantin / Hari Kokurikulum
m. Hari keluarga
n. Hari konvokesyen / Hari ucapan

4. PERKHEMAHAN / LAWATAN
a. Perkhemahan Integrasi
b. Perkhemahan Slang Budaya (Tarian, muzik, makanan dan pakaian)
c. Demontrasi memasak
d. Pertukaran Pelajar
e. Kem Jati Diri
f. Lawatan muhibbah ke stesen Pembelajaran

5. KHIDMAT MASYARAKAT
a. Gotong royong
b. Melawat rumah orang tua / anak yatim
c. Kutipan derma
d. Kempen derma darah
e. Kempen kitar semula

....

20. 3,000 pelajar doa kecemerlangan pelajaran

ARKIB : 11/10/2008
Utusan Malaysia Online
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Sempena peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, satu program munajat kecemerlangan pelajar dianjurkan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) hari ini bertempat di Masjid Negara.
Seramai 3,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membabitkan 97 sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah hadir bersama-sama para guru dan ibu bapa masing-masing.

Di SMK Belawai, pada malam jumaat lalu 9 /10/2008 kita juga telah mengadakan majlis yang sama. Begitu juga dengan sekolah-sekolah di seluruh di Sarawak telah memilih tarikh yang sama untuk mengadakan majlis solat hajat dan tahlil memohon keredaan Allah untuk memastikan apa yang kita usahakan mendatangkan hasil yang cemerlang. Ini adalah usaha terakhir kita. Berbagai usaha telah kita lakukan dan ahkhirnya kita bertawakkal kepada Allah. Semoga apa yang kita usahakan diberkati Allah. Kita juga rasa bangga malam solat hajat bukan sahaja dihadiri oleh ibu bapa dan guru-guru tetapi juga menggamit YB Puan Hajjah Norah Bt Tun Rahman Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis, SAO Daerah Kecil Belawai, Pengurus LKIM Belawai, YDP PIBG, Ayahanda penghulu kampung Jerijeh dan lain-lain untuk datang bersama-sama memberi perangsang dan motivasi kepada para pelajar keseluruhannya.

Saya percaya bahawa dengan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh guru-guru, SMK Belawai akan memperolehi peningkatan dalam PMR. Kita tidak meminta peningkatan sehingga 100% tetapi kita berusaha supaya kita akan melepasi SPR untuk tahun ini dan menjadikan SMK Belawai terbaik di Daerah Daro. Di sini saya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru yang bertungkus lumus membuat persediaan pada malam tersebut.



Bagi Pihak saya saya mohon banyak-banyak kemaafan kerana tidak dapat bersama-sama kerana masalah yang tidak dapat di elakkan.Saya terpaksa pulang ke Sibu kerana anak saya Mohamad Muzzammil (4 tahun) di masukkan ke hospital kerana di serang penyakit mulut, tangan dan kaki. Alhamdulillah, Keadaannya sudah mulai pulih setelah 3 malam di hospital tetapi masih tidak dibenarkan ke sekolah - Tadika St Mary Sibu. Di sini saya juga ingin menasihatkan kepada semua ibu bapa (guru-suru) SMK Belawai, jagalah kebersihan anak-anak dan sekiranya kita tahu anak jiran telah dijangkiti penyakit ini hindarkan anak kita supaya jangan dibenarkan bermain bersama-sama kerana penyakit ini boleh berjangkit. Sekiranya kita lambat bertindak ia boleh melibatkan kanak-kanak keletihan, tidak mahu makan, bercakap dan akhirnya boleh membawa maut.

Monday, October 6, 2008

19. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran

  1. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti eksperimen, perbincangan, simulasi, projek, lawatan dan kajian masa depan.
  2. Dalam kurikulum ini, cadangan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai objektif pengajaran yang tertentu dinyatakan secara eksplisit dalam bentuk aktiviti pembeelajaran.
  3. Walau bagaimanapun, guru boleh mengubah suai cadangan aktiviti pembelajaran jika perlu.
  4. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai dapat meningkatkan minat murid terhadap sains. pelajaran sains yang tidak menarik akan membosankan pelajar.
    Guru perlu prihatin terhadap pelbagai kecerdasan di kalangan pelajar masing-masing. kaedah dan aktivit yang yang berbeza perlu dirancang untuk murid murid yang berbeza kecerdasan. Contoh kecerdasan ini ialah visual dan ruang, verbal linguistik, muzik dan irama, logikal matematik, kinestatik, perhubungan antara individu, perhubungan dengan diri sendiri, perhubungan antara insan dengan penciptanya dan pemahaman tentang alam sekitar.
  5. Berikut diberi penerangan ringkas mengenai kaedah-kaedah ini.
    Ekseperimen

    kaedah eksperimen adalah satu kaedah yang lazim dijalankan dalam pelajaran sains. Murid menguji hipotesis secara penyiasatan untuk menemuikonsep atau idea sains yang tertentu. kaedah saintifik digunakan semasa eksperimen.
    Menjalankan eksperimen menggunakan kemahiran berfikir, kemahiran proses dan kemahiran manipulatif.
    Secara kebiasaan, langkah yang diikuti semasa menjalankan eksperimen adalah seperti berikut:
    1. Mengenal pasti masalah
    2. Membuat hipothesis
    3. Merancang eksperimen:
    - mengawal pemboleh ubah.
    - menentukan peralatan dan bahan yang diperlukan
    - menentulkan langkah menjalanakan eksperimen
    - kaedah mengumpulkan data dan menganalisis data
    4. Melakukan eksperimen
    5. Mengumpul data
    6. Menganalisis data
    7. Mentafsirkan data
    8. Membuat kesimpulan
    9. Membuat laporan
    Dalam konsep pelancongan pelajar, adalah dicadangkan selain daripada eksperimen yang dibimbing oleh guru murid diberi peluang mereka bentuk eksperimen, iaitu mereka sendiri yang merangka cara eksperimen yang berkenaan boleh dijalankan, data yang boleh diukur dan bagaimana menganalisis data serta bagaimana membentangkan hasil eksperimen mereka.
    Perbincangan
    Aktiviti di mana murid menyoal dan mengemukakan pendapat berlandaskan dalil atau alasan yang sahih. Semasa perbincangan, murid perlu mempunyai fikiran terbuka untuk menerima pendapat orang lain. perbincangan perlu dijalankan semasa dan sebelum sesuatu aktiviti.
    Projek
    Aktiviti yang dijalankan oleh individu atau sekumpulan murid untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu dan mengambil masa yang panjang serrta menjangkau waktu pembelajaran yang formal.
    Murid dikehendaki mengenal pasti kaedah untuk menyelesaiakan masalah yang dikemukakan dan seterusnya merancang keseluruhan projek. Hasil projek boleh dalam bentuk laporan, artifak atau lain-lain perlu dibentangkan di hadapan guru dan para pelajar lain.
    Lawatan
    Pembelajaran sains tidak hanya terhad dalam sekolah sahaja. Pembelajaran sains melalui lawatan ke tempat seperti zoo, muzium, pusat sains, institusi penyelidikan, paya bakau dan kilang boleh menjadikan pembelajaran lebih berkesan, menyeronokkan dan bermakna.
    Untuk mengoptimumkan pembelajaran melalui lawatan, ia mesti dirancang rapi dengan para pelajar perlu menjalankan aktiviti atau melaksanakan tugasan semasa lawatan. Perbincangan selepas lawatan perlu diadakan. Kajian lapangan yang sering dijalankan dalam tajuk ekologi merupakan salah satu contoh keadaan ini.
    Kajian masa depan

    Murid menggunakan pemikiran kritis dan kreatif untuk meninjau perubahan keadaan daripada masa lalu ke sekarang dan meramalkan keadaan pada masa depan.pedagogi ini berpusatkan murid dan menggabungjalinkan pelbagai bidang seperti pendidikan moral, pendidikan alam sekitar. Nilai murni seperti ini bertanggungjawab dan bekerjasama dipupuk melalui kaedah ini.
    Penyelesaian masalah
    Penyelesaian masalah adalah satu kaedah yang melibatkan murid secara aktif untuk membuat keputusan atau untuk mencapai satu sasaran tertentu. Semasa penyelesaian masalah, aktiviti seperti simulasi, perbincangan dan eksperimen boleh dijalankan. Secara umumnya, penyelesaian masalah melibatkan langkah berikut:
    1. Kenal pasti dan faham masalah
    2. Jelaskan masalah
    3. Cari alternatif penyelesaian masalah.
    4. Lakukan operasi penyelesaian.
    5. Nilaikan penyelesaian

http://www.tutor.com.my/tutor/lada/tourism/menu_2_4.htm

http://www.educ.upm.edu.my/~rj/4.html

18. Perancangan Perlu Untuk P & P Berkesan

  1. Bersyukur kita kepada Allah S.W.T, kerana kemajuan teknologi telah mewujudkan blog seperti ini yang saya kira ada banyak kebaikannya. InsyaAllah saya akan gunakan blog ini untuk menyampaikan maklumat yang saya kira berguna untuk kita sama-sama berkongsi idea untuk kecemerlangkan sekolah kita. Walaupun maklumat dalam blog ini bukan hasil tulisan saya, saya kira apa salahnya tulisan orang lain yang bernas dapat kita gunakan dan dibincangkan bersama. Saya juga bercadang akan menggunakan blog ini dengan memasukkan maklumat-maklumat mesyuarat atau kursus yang saya hadiri untuk dikongsi bersama guru-guru supaya semua guru tahu dan sama-sama mengambil tindakan sewajarnya.
  2. Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu kerana memberi respon kepada artikal yang saya postkan tersebut yang ditulis oleh Mohd. Saleh Ismail.
  3. Apabila saya membaca artikal ini saya rasa sangat tetarik kerana saya rasa ia sangat dekat dengan kita, lebih-lebih ramai guru sama ada di sekolah kita dan sekolah-sekolah lain yang mengabaikan tentang Rancangan Pelajaran. Dalam banyak mesyuarat dan kursus yang saya hadiri perkara ini setiap kali ditekankan dan guru-guru perlu diingatkan dari masa ke semasa bahawa Rancangan Pelajaran adalah penting dan ada pekeliling yang dikeluarkan khusus untuk penyediaan Rancangan Pelajaran dan tindakan yang boleh diambil jika ia tidak dilaksanakan. Ia juga tidak boleh diabaikan kerana ia adalah bukti bahawa P & P telah berlaku pada hari tersebut di samping kehadiran guru ke sekolah.
  4. Tidak dinafikan sesetengah guru merasakan menulis Rancangan Pelajaran amat membebankan dan perlu dimansuhkan. Tetapi bagaimana mungkin seseorang guru itu masuk ke kelas tanpa apa-apa persediaan untuk mengajar? Rancangan pengajaran merupakan rangka kerja aktiviti pengajaran-pembelajaran untuk dilaksanakan guru di dalam bilik darjah atau makmal, dalam satu jangka waktu yang telah ditetapkan. Tujuan utama guru menyediakan rancangan pengajaran adalah untuk menjamin murid mencapai objektif pengajaran secara berkesan, disamping meningkatkan keyakinan guru untuk mengajar. Dengan kata lain RP menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang pelbagai penjenamaan semula sekolah dilakukan dan yang terkini sekolah kluster..
  5. Merujuk kepada Surat Pekeliling Iktisas Bil. 3/1999.Rekod Pengajaran dan Pembelajaran mengandungi Rancangan Pengajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian (RPH). Dalam ayat no.4 pekeliling tersebut, Rekod Pengajaran dan Pembelajaran bolehlah disediakan dalam apa jua bentuk yang munasabah dan sesuai dengan teknologi semasa. Ia haruslah diurus dengan sempurna dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Bahan-bahan lain yang berkaitan dengan penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian dijaga dengan baik dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Ini bermakna seseorang guru tersebut dibolehkan menyediakan RP dalam apa bentuk pun yang difikirkan sesuai. Bagi sekolah kita saya memberi kelonggaran dimana guru-guru boleh memilih untuk dibuat secara berkomputer atau menulis dalam buku rekod. Terpulang kepada guru-guru membuat keputusan untuk diri sendiri. Bagi saya sekiranya kita menyediakan secara berkomputer atau berkongsi dengan panitia masing-masing beban masalah penyediaan Buku Rekod ini akan menjadi lebih ringan.
  6. Memartabatkan profesion perguruan (Teras 5 PIPP) – Setelah kita menceburi bidang pendidikan kita mesti menerima hakikat bahawa menjadi seorang guru tidak semudah yang disangkakan. Guru-guru baru yang telah ditempat di SMK Belawai, semasa meraka datang melapor diri, biasanya saya akan bertanya satu soalan. Adakah cikgu sudah bersedia menerima pekerjaan ini? Rata-rata menyatakan ini adalah pilihan mereka yang tepat dan menyatakan minat masing-masing terhadap profesion ini. Oleh itu sebagai guru yang professional sepatutnya kita tidak mempersoalkan bahawa kita ada banyak masalah yang tidak memungkinkan kita tidak boleh melakukan tugas kita dengan cemerlang. Saya tidak menafikan menjadi guru memang menjadikan kita seorang sibuk dengan pelbagai tugas yang bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi kita mempunyai banyak tugas sampingan lain. Tidak seperti pekerjaan lain seperti Doktor, Tentera, Wartawan dan lain-lain pekerjaan lain yang memerlukan satu bidang yang khusus atau yang lebih specific. Namun begitu marilah kita letakkan kemuliaan profesion perguruan ini pada tempat yang sepatutnya. Janganlah kita mencari pelbagai alasan yang kita katakan mustahil kita lakukan.
  7. Keluarga dan pekerjaan mana yang lebih penting? Bagi saya kedua-duanya sama pentingnya. Sekiranya kita mempunyai masalah dalam keluarga, kita tidak dapat menumpukan pekerjaan kita dengan baik. Begitu juga sebaliknya jika kita mengutama kerja sehingga mengabaikan keluarga, kita akan kecundang. Saya tidak menghalang seseorang guru mengambil cuti terutama cuti CRK sekiranya guru tersebut betul-betul mempunyai masalah untuk menguruskan keluarga dan perlukan cuti. Begitu juga guru-guru yang sakit, ambil cuti sakit dan berehatlah secukupnya. Saya tidak menghalang guru-guru yang mahu berpindah untuk mendekatkan diri dengan keluarga masing-masing. Setakat ini saya belum pernah lagi tidak menyokong mana-mana guru untuk berpindah. Walau bagaimanapun saya perlu menyatakan perpindahan tersebut semestinya ada pengganti. Saya juga berjauhan dengan keluarga. Saya faham, ada sesetengah guru sangat gusar dan tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik kerana rindukan keluarga masing-masing tetapi bersabarlah, pohonlah, dapat berpindah atau tidak bergantunglah kepada KPM di Putrajaya. Seperti Cikgu Burhan, Cikgu Lokman, Cg Azmi, Cg Azlina dll. Walaupun mereka baru di SMK Belawai mereka dapat berpindah juga. Bagi saya tiada siapa yang kekal di sesuatu tempat. Masa akan tiba untuk kita berpindah. Begitu juga saya.
  8. Sebagai seorang guru yang professional, kita perlu menguruskan masa dengan professional juga. Kita perlu membahagikan masa antara keluarga dan pekerjaan kita. Menjadikan anak sebagai masalah untuk kita menafikan tidak dapat menyediakan sesuatu yang terbaik untuk pekerjaan kita adalah suatu yang saya fikir tidak munasabah. “Kerja rumah” yang saya fahamkan daripada artikal tersebut ialah kita sebagai seorang guru, kita perlukan satu persediaan yang rapi sebelum kita masuk kelas untuk mengajar.Tidak kira kerja rumah tersebut dibuat di rumah atau di sekolah semasa masa rehat guru atau masa senggang guru. Bagi saya jika masa yang diperuntukan selama 40 minit 1 waktu tidak dimanfaat dengan sebaiknya, maka apa yang kita sampaikan akan menjadi sia-sia belaka.
  9. Begitu juga dengan pekerjaan lain, Seorang doctor pakar tentunya beliau tahu apa yang beliau lakukan untuk merawat pesakitnya. Beliau tentunya mempunyai satu perancangan awal terhadap tugasnya. Contohnya seorang doctor pakar perbidanan, sudah tentu beliau tahu tentang kedudukan kehamilan seseorang pesakitnya. Berdasarkan ilmu yang beliau belajar beliau dapat memberi satu perkhidmatan yang terbaik dan ibu yang mengandung dapat menerima nasihat dengan perasaan lega , tenang dan mereka dapat membayar dengan harga yang diminta tanpa banyak soal.
  10. Bagaimana pula kita sebagai seorang guru yang profesionnya sangat dimuliakan. Adakah kita telah menjadikan diri kita guru yang profesional yang dapat “memuaskan” pelanggan. Di SMK Belawai saya telah menetapkan objektif, kita akan cuba mencapai 9 jenis kecemerlangan pada tahun 2010 . Namun pada hakikatnya pada pandangan umum kejayaan kita sebagai guru hanya dilihat kepada pencapaian akademiknya sahaja. Sepanjang 2 tahun di SMK Belawai, jika saya bertemu dan berbual dengan pengetua-pengetua dari sekolah lain semasa keluar menjalankan tugas-tugas rasmi sekolah, perkara utama yang ditanya adalah pencapaian akademiknya. Itu adalah perkara pokok yang perlu kita fikirkan. Saya percaya penetapan strategi Cikgu Abd Wahab Bin Sepawi, Pegawai Pelajaran Mukah kepada semua sekolah di bahagian Mukah, kita perlu meningkat walaupun peningkatan tersebut 1%. Jika keputusan jatuh walaupun 1% kita tetap merosot.
  11. Kita hanya berusaha, tetapi tuhan yang menentukan – Untuk menjadikan sesebuah sekolah itu cemerlang saya perlukan sedikit pengorbanan dari semua guru SMK Belawai. Kita bukan mahu samakan SMK Belawai dengan Sekolah Berasrama Penuh atau nak sama kan SMK Belawai dengan sekolah di mana guru-guru di sini pernah belajar tetapi cukuplah sekadar SMK Belawai keluar dari kepompongnya iaitu keluar dari SPR – Sekolah berprestasi rendah. Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat sekeliling bahawa guru-guru di SMK Belawai juga berpotensi cemerlang. Sepanjang pengetahuan saya ada diantara ibu bapa di Belawai tidak yakin dengan SMK Belawai dan tidak mahu menghantar anak mereka di sini dan menghantar anak mereka bersekolah di Sarikei. Oleh itu sepanjang perkhidmatan kita di SMK Belawai biarlah kita mengikut pepatah Dimana bumi di pijak disitu langit dijunjung. Sama-samalah kita berusaha untuk kecemerlangan SMK Belawai dan menjadikan kecemerlangan itu kebanggaan kita semua.
  12. Program MaCS – Managing Challenging School merupakan satu program yang sangat baik. Program ini sebenarnya adalah khusus untuk diaplikasikan kepada sekolah-sekolah yang berprestasi rendah seperti sekolah kita. Tetapi apabila dilihat ia sangat baik, sekolah-sekolah yang prestasi baik juga mengaplikasikan program ini disekolah-sekolah mereka. Berapa ramai guru-guru di Sekolah kita yang benar-benar memahami program ini walaupun sudah beberapa kali diberi penerangan? Program ini sebenarnya sangat menolong guru di sekolah seperti kita mengenalpasti kedudukan prestasi murid. Pengkelompokan murid yang telah dibuat oleh guru sebenarnya amat menolong guru dalam mengenalpasti psikologi murid. Guru boleh gunakan pengklompokan murid ini untuk menentukan apakah yang patut diajar berdasarkan kemampuan murid. Sebenarnya Program MaCS ini telahpun membantu kita membuat “kerja rumah” yang disebutkan dan ditambah dengan kreativiti kita dalam menyampaian isi kandungan dengan menggunakan pelbagai ABM dan berbagai kaedah dalam P & P , bukan sekadar Chalk and Talk. Berapa ramai guru-guru sekolah kita yang menggunakan kaedah terkini dalam P & P mereka? Berapa ramai guru yang mengaplikasi kaedah-kaedah P&P yang dipelajari di Universiti dan Maktab di sekolah. Atau sudah lupa?
  13. Semua pekerjaan memerlukan perancangan. Kita tidak boleh menafikan pekerjaan lain tidak ada perancangan yang dilakukan oleh mereka. Kita hanya nampak profesion kita sahaja kerana kita tidak pernah menceburi pekerjaan lain. Bagi pendapat saya semua pekerjaan ada perancangan, walaupun ia seorang nelayan. Bagaimana mungkin seorang peguam akan berdepan dengan kes di mahkamah tanpa persediaan, mana mungkin seorang doctor pakar bedah untuk membuat pembedahan tanpa ada perancangan? Mana mungkin seorang Perdana Menteri berdepan dengan rakyat dengan keadaan politik kita pada masa kini tanpa perancangan dan bagaimana mungkin seorang nelayan akan ke laut tanpa perancangan dengan pukatnya, perahunya dan penyediaan-penyediaan lain sebelum ia turun ke laut. Ini menunjukkan bahawa bukan guru sahaja yang membuat perancangan. Barangkali perancangan yang dibuat hanya berbeza mengikut profesion tertentu. Sebelum menjadi guru saya pernah bekerja di sebuah Syarikat iaitu Infografik Design Consultan pada tahun 1991– saya rasa perancangan yang dilakukan oleh rakan-rakan dalam mengatur strategi marketingnya amat mencabar. Syarikat ini adalah syarikat pengiklanan yang membuat papan-papan iklan yang besar seperti di sepanjang lebuh raya di semenanjung. Sekarang syarikat ini adalah salah sebuah syarikat yang terkenal di Alor Setar. Oleh itu sebagai guru adakah kita patut mengabaikan perancangan?
  14. Kekuatan SMK Belawai – SMK Belawai mempunyai kekuatannya tersendiri. Ramai guru baru di tempatkan di sini. Saya kira semua guru yang baru tentulah mempunyai semangat yang tinggi untuk melihat tahap kemampuan diri dalam memberi pendidikan. Ramai pelajar yang berjaya maka cemerlanglah kita. Sebagai guru baru kita perlu ada Visi sendiri. Kita perlu ada target. Adakah kita ada menjadi guru biasa selamanya sehingga kita pencen? Bagi saya tidak. Saya bertugas sebagai guru bermula 1993 di SMK Three Rivers, Mukah. Saya mengajar Perdagangan dan Ekonomi Asas. Sejak diberi tugas tersebut , setiap tahun saya mencatatkan prestasi saya dengan peratus pencapaian murid. Sehingga saya berpindah ke Sibu hingga ke Tahun 2006 saya masih melihat prestasi P & P saya dengan pencapaian murid. Dari catatan saya, saya dapati sekiranya saya berusaha lebih sedikit pencapaian pelajar akan meningkat. Pada hakikatnya usaha dari kita (guru) selain dari usaha pelajar adalah perlu untuk mencapai kecemerlangan.
  15. Sebagai guru perdagangan target saya hanya satu sahaja pada masa itu – Guru Cemerlang Perdagangan. Seingat saya sebelum di arah bertukar ke SMK Belawai sebagai pengetua, 3 kali saya memohon sebagai guru cemerlang perdagangan. Maklumat yang saya terima ialah ia bukan subjek kritikal,walaupun pada masa tersebut banyak kekosongan jawatan tersebut. Oleh itu semua guru baru di SMK Belawai, tentukan target masing-masing seperti kata Allahyarham Awang Had Salleh, Mantan Naib Canselor UUM. “Letakkan Cita-cita Anda Setinggi Langit, Tidak Capai Langit Awan Pasti Di Capai”.
  16. Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia Dato’ Dr Abdul Shukur Abdullah (1998) menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan iaitu:
    i. Bersikap profesional.
    ii. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
    iii. Kaya ilmu.
    iv. Bertindak di atas landasan etika dan tatasula kerja.
    v. Bermoral teguh.
    vi. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
    vii. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
    viii. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid.
    ix. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
    x. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
    xi. Memastikan situasi guru mengajar dan murid belajar wujud dalam kelas.
    xii. Berkeupayaan melahirkan sekolah berwatak, supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti baik dan serba boleh.
    xiii. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
    xiv. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri
    xv. Taat setia terhadap perkhidmatannya mempertahankan maruah profesionnya
    xvi. Profesional dan menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
    xvii. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan semasa, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi
    http://www.ppdkmy.net/e107_plugins/content/content.php?content.8
  17. Pelajar tetap pelajar – Perasaan malas mereka adalah perkara biasa. Mana-mana sekolah pun akan menghadapi masalah yang sama termasuk sekolah-sekolah yang kita anggap sekolah hebat. Jadi masalah ini bukan hanya di sekolah kita sahaja. Masalah tak bawa buku. Tidak ada alat tulis, tidak buat kerja rumah, datang lewat, ponteng kelas dan sebagainya. Perkara ini juga perlukan sokongan guru untuk mengatasinya. Jika masalah ini dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan maka segala apa yang kita rancang dan target akan menjadi sia-sia. Carilah, bacalah (teori-teori dan tulisan bijak pandai dalam ilmu pendidikan), usahalah atau bertanyalah dengan rakan-rakan kita di sekolah lain apakah kaedah-kaedah yang digunakan oleh mereka yang dapat kita guna pakai di sekolah kita.
  18. Akhir sekali saya menyeru kepada semua guru-guru di SMK Belawai marilah kita sama-sama bergerak bersama untuk kemajuan SMK Belawai, sebelum kita berpindah, sebelum kita di tukarkan dan sebagainya kerana selagi sekolah ini tidak cemerlang masyarakat akan menganggap kita (guru-gurunya) juga tidak cemerlang. Sedangkan ramai guru-guru di SMK Belawai terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang. Ada di kalangan guru-guru kita yang beberapa kali mendapat Anugerah Dekan di Universiti. Contohilah rakan-rakan kita di sekolah Kluster, di Sekolah Sains (MRSM) dan sebagainya. Seperti kata rakan KPLI saya dulu Cikgu Nazir yang kini bertugas di MRSM Pokok Sena Kedah, katanya kami perlu sentiasa mendahului orang lain.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.