PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, July 25, 2011

197. Hari Koperasi Sekolah 2011

Hari ini berakhir satu penantian. Kehadiran rakan-rakan dari Jabatan Akauntan Negara Cawangan Sarikei ke sekolah bagi kerja-kerja pengauditan berjalan dengan lancar. Tidak banyak masa dihabiskan untuk kerja-kerja penyemakkan kerana semuanya telah disediakan dengan rapi oleh 3 orang yang sangat bekerja keras di dalam Pejabat Am SMKB, KPT, dan 2 orang PT. Pengauditan berakhir dengan cemerlang, tiada teguran kesalahan yang dilakukan dalam kerja-kerja mengurus kewangan sekolah.

Namun esok masih ada satu lagi pemantauan. Kali ini dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak.  Pemantauan akan dilakukan sendiri oleh orang no 2 dalam bidang pendidikan di Sarawak iaitu Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Cikgu Jaidah dan Ketua Sektor Sekolah Menengah, Cg Hajjah Shirini. Pemantauan kali ini agak menyeluruh meliputi semua bidang pengurusan, pentadbiran sekolah, pentadbiran HEM, Pentadbiran KoKurikulum, Pengurusan kurikulum dan Pengurusan Kewangan. Semoga pemantauan ini akan dipermudahkan seperti mana pengauditan dari JAN Cawangan Sarikei. InsyaAllah jika pengurus sekolah ini cemerlang, maka keseluruhan sekolah ini adalah cemerlang.

Lawatan AJK Koperasi SMK Belawai ke SMK Agama Sibu
Pada 14 - 15 Mei 2010 amat bermakna kepada pelajar
dan guru berkongsi ilmu - gambar dr web rasmi
SMK Agama Sibu
Esok juga merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh warga sekolah iaitu akan berlangsungnya Hari Koperasi Sekolah. Sambutan peringkat SMKB ini sebenarnya agak lewat dari jadual asal yang sepatutnya dari tarikh 1 Jun hingga 30 Jun 2011 atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Hari koperasi diperingkat sekolah perlu diadakan untuk memberitahu pelajar bahawa kewujudan koperasi di sekolah dan mendidik mereka supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.

Tema Hari Koperasi tahun ini ialah “1 Untuk Semua, Semua Untuk 1”. Sehingga Disember 2010, sebanyak 2115 buah koperasi sekolah telah ditubuhkan dan 1885 buah telah menjadi ahli ANGKASA. Hasil dari laporan dari sekolah-sekolah yang telah mengadakan hari Koperasi sekolah, sambutannya sangat menggalakkan. Banyak sekolah dapat menonjolkan Koperasi sekolah masing-masing merupakan entity penting di sekolah dan dapat menyemai nilai-nilai koperasi kepada para pelajarnya.

Koperasi SMK Agama Sibu- Gambar Hiasan dr Web rasmi
SMK Agama Sibu
Dalam syarat yang ditetapkan, aktivirti wajib yang perlu dilaksanakan ialah Perhimpunan Khas dan Penanaman pokok. Maka esok pagi, bermula jam 6.45 am semua warga SMK Belawai akan berkupul di Dewan Barong. Usaha AJK Koperasi SMKB mneydiakan cenderamata bagi setiap anggotanya sangat-sangat dialu-alukan.

Untuk memupuk nilai bekerjasama dan keusahawanan dikalangan anggota koperasi SMKB, sepanjang minggu lepas berbagai aktiviti sampingan telah diadakan. Antaranya sukaneka, kuiz dan sebagainya yang meliputi bidang pendidikan, ekonomi keusahawanan dan social dan budaya.

Semoga koperasi SMK Belawai akan terus maju setanding dengan koperasi-koperasi sekolah yang lain, kerana kemajuan kopersi mencermin usahasama dan kerjasama warganya amat jitu dan ada jati diri yang kuat dan bersemangat waja untuk maju bersama.

Terima Kasih Cikgu..

Wednesday, July 20, 2011

195.Lawatan Pemantauan dan perubahan

Banyak perubahan telah berlaku di sekolah. Bukan sahaja dari segi persediaan infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain kepada pelajar dan guru, tetapi dari pentadbiran juga ada perubahan. Kata orang bijak pandai, perubahan perlu dalam kehidupan kita. Jika kita statik sahaja maka tidak ke mana. Perubahan yang berlaku biarlah satu perubahan yang positif. Antara yang berubah dalam pentadbran di SMK Belawai kini ialah Penolong Kanan HEM nya, kini telah di sandang oleh Ustazah Maznah menggantikan Cikgu Hasbi, yang memilih untuk menjadi Guru Cemerlang. Tempat Ustazah Maznah kini juga telah diisi, penggantinya ialah Cg Hanipah sebagai Guru Kanan Bidang Kemanusiaan. Saya percaya perubahan ini akan menjadikan SMK Belawai bertambah menyerlah. Jika surat lantikan rasmi dari Jabatan diterima maka buat kali pertamanya SMK Belawai akan ada seorang Guru Cemerlang (GC).

Senamrobik, acara memanaskan badan sebelum larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia dimulakan
Larian ini disertai oleh pelajar sekolah rendah berdekatan
Banyak peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan ini di sekolah selepas larian 1 Sukan 1 Murid 1 Malaysia pada 2 Julai lalu.  Namun tidak terjenguk blog ini untuk mencatat segala peristiwa yang berlaku. Namun semuanya yang berlangsung itu menambahkan lagi keserlahan sekolah di mata masyarakat. Sebagai sebuah sekolah yang kini sedang meningkat maju setanding dengan sekolah-sekolah lain. Apa yang sangat-sangat diharapkan oleh seorang pemimpin sekolah ialah kesediaan kita berganding bahu bersama. Pinjam kata-kata mantan perdana menteri kita sebelum ini. Bekerja bukan bukan untuk saya, tetapi yang lebih penting untuk organisasi ini. Saya boleh pergi bila-bila masa, tetapi yang tetap tinggal ialah yang terunggul yang kita bina bersama.

Cg Bujang Hanapi, Guru Besar SK Dua Sungai menerima
Cenderahati dr SMK Belawai selepas persembahan slide
perkongsian ilmu dari beliau
Tahun ini, sekali lagi SMK Belawai akan mewakili Bahagian Mukah untuk pertandingan asrama terbilang sekolah-sekolah menengah peringkat negeri Sarawak. Dalam kesibukan pelajar asrama bersedia untuk pertandingan tersebut, SK Dua Sungai sanggup untuk berkongsi lmu dengan SMK Belawai dalam usaha bersedia dalam pertandingan tersebut. Kesediaan SK Dua Sungai bukan setakat mengucapkan kata-kata, tetapi sanggup membuat lawatan persahabatan dengan SMK Belawai pada 16 Julai lalu, dan ia merupakan lawatan sekolah yang pertama sejak saya di sini. Guru Besarnya, Cikgu Bujang Hanapi bukan orang baru di SMK Belawai tetapi beliau merupakan bekas pengetua di SMK Belawai sebelum ini. Kedatangan beliau mengimbau kembali kenangan lama. Anak kedua beliau kelahiran Belawai, kini merupakan seorang doctor perubatan di Bintulu. Terima kasih kepada beliau dan tahniah atas kejayaan SK Dua sungai yang sebelum ini juga merupakan sekolah terbaik dan telah memenagi pelbagai anugerah, terutama pengurusan asramanya.

Hujan lebat mengiringi kepulangan tetamu dari SK Dua Sungai
Masih saya teringat kata-kata PPD Bintulu, jika kita buat yang terbaik tetapi tiada langsung orang datang untuk membuat lawatan penanda aras, menjadikan apa yang kita lakukan tidak ada maknanya. Tetapi jika ada orang yang ingin melihat dan sama-sama belajar ia akan hidup dan segar. Oleh itu, saya harap lawatan pertama tersebut akan membuka ruang yang lebih luas kepada sekolah-sekolah lain datang ke SMK Belawai dan Insyaallah kita akan membuat lawatan balas, supaya minda anak-anak kita terbuka luas, bukan seperti katak di bawah tempurung atau terkurung dalam kotak. Dengan adanya lawatan-demi lawatan kita akan lebih bersedia dari masa ke semasa, kesannya pelajar akan menunjukkan sesuatu yang terbaik untuk dipersembahkan kepada tetamu.

Pada 26 Julai ini satu lagi Lawatan pemantauan akan diadakan di SMK Belawai secara menyeluruh. Ia termasuklah pengurusan pentadbiran pengetua, panitia, kurikulum, kokurikulum, HEM dan kewangan.  Jangan melihat pemantauan ini menyusahkan, tetapi lihatlah dari segi kebaikannya. Seperti mana kedatangan Nazir dari Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti yang lalu, kedatangan mereka membuat kita tergadah, ada banyak perkara yang perlu kita bersedia untuk meletakkan diri kita sebagai guru dan pengurusan yang cemerlang. Tiada pemantauan, bermakna kita tidak ada usaha untuk mengetahui itu dan ini, tetapi jika ada orang yang datang untuk melihat apa yang kita lakukan, kita akan bersedia. Dalam persediaan itu terserlahlah kelemahan, dan ada banyak perkara yang mungkin kita belum membuat tindakan.

Dari komen Nazir yang masih saya ingat ialah, SMK Belawai mampu untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi tetapi ia perlu di bangunkan dengan lebih teliti dan lebih bersungguh-sungguh. Banyak perkara tentang pembangunan insannya belum lagi diberikan penekanan yang maksima. Ia masih berada diperingkat rendah, namun gandingan guru lama dan baru serta tenaga yang ada mampu mengangkat SMK Belawai sebagai sekolah yang terbaik dirantau ini.

Semoga dengan kedatangan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Cikgu Jaidah Bt Alek dan Puan Shirini  pada 26 Julai ini akan memberi impak terbaik kepada pengurusan sekolah. Jangan lihat ia memberi kebaikan sebelah pihak sahaja, tetapi lihatlah kepada isu yang lebih luas. Cemerlangnya pentadbiran sekolah, yang pasti kecemerlangan warganya..

 Terima kasih cikgu..

Monday, July 4, 2011

194.Guna Cara Kreatif Tarik Minat Pelajar

Rencana di bawah bukan tulisan saya, tetapi rencana ini ditulis oleh Abdul Halim Abdullah, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor yang diterbitkan di dalam Berita Harian, Sabtu, 25 Jun 2011. Sebagai seorang ahli akademik seperti beliau, saya juga bersependapat dengan apa yang beliau bicarakan. Semoga rencana ini bermanfaat kepada kita semua.

Gambar Hiasan, Tayangan Slide Halatuju Modal Insan
Sebagai seorang ahli akademik, saya melihat tranformasi pendidikan Negara sebagai satu agenda kerajaan yang baik untuk memastikan system pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan zaman dan sentiasa berkembang ke arah yang lebih baik disamping melahirkan modal insane berprestasi tinggi.

Persoalannya bagaimana untuk mengubah sikap pelajar yang menjadi satu daripada penggerak utama bidang pendidikan? Biasanya guru menggunakan pendekatan yang paling mudah untuk meminta pelajar mengubah sikap mereka iaitu dengan cara menasihati mereka. Contohnya guru menasihati pelajar yang tidak meminati mata pelajaran Matematik dengan memberitahu mereka mengenai kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian.

Cara begini memang mudah dipraktikkan tetapi kurang berkesan untuk mengubah sikap pelajar. Kajian menunjukkan pelajar hanya mengingati 20 peratus daripada apa yang mereka dengar. Memarahi atau mengenakan hukuman kepada pelajar juga bukan cara mengubah sikap pelajar yang baik. Malah merotan dengan teknik yang tidak betul boleh mendatangkan tekanan fizikal dan mental kepada pelajar.

Selain itu, terdapat juga sebilangan guru yang menunjukkan tayangan video atau melakukan demontrasi bagaimana menggunakan bahan bantu mengajar dihadapan bilik darjah yang bertujuan untuk mengubah sikap pelajar. Contohnya untuk memupuk sikap positif pelajar terhadap mata pelajaran Matematik, guru menayangkan video yang menerangkan sesuatu konsep Matematik  ataupun guru menjalankan eksperimen Matematik di hadapan bilik darjah.

Pendekatan sebegini juga kurang sesuai untuk mengubah sikap pelajar kerana kajian menunjukkan pelajar mengingati hanya 50 peratus dari apa yang mereka dengar dan lihat. Cara yang paling berkesan untuk mengubah sikap pelajar ialah memberi pelajar pengalaman yang membawa perubahan kepada sikap mereka.

Contohnya, untuk mengubah pelajar menjadi berjimat cermat ialah membawa mereka sendiri ke rumah anak yatim atau pusat jagaan orang tua untuk merasai sendiri bagaimana susahnya kehidupan golongan itu.

Begitu juga cara mengubah sikap pelajar yang mempunyai sikap negative terhadap subjek Matematik. Pelajar seharusnya diberi peluang untuk meneroka sendiri sesuatu konsep Matematik dan bukannya disuap dengan fakta Matematik.

Banyak strategi yang dapat menggalakkan pembabitan aktif pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Malah dalam era teknologi pada hari ini, banyak bahan bantu mengajar yang dapat digunakan oleh pelajar untuk membantu pembelajaran mereka. Kajian turut menunjukkan bahawa pelajar mengingati 90 peratus dari apa yang mereka cakap dan buat.

Sunday, July 3, 2011

193.Pencen

Cg Jaidah Hj Alek, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak sedang menyampaikan ucapan dan nasihat kepada pengetua yang telah bersara dan akan bersara pada tahun 2011

Pada Malam Sanjungan Budi 27.6.2011 semasa Persidangan PPSMS di Bintulu, seramai 15 orang pengetua telah diberi penghormatan menyampaikan ucapan sebelum dan akan meninggalkan tugas sebagai pegawai awam. Dalam ertikata sebenar Jawatan sebagai pengetua adalah yang terakhir kepada mereka sebelum berpencen sama ada berpencen dengan menerima skim pencen atau memilih KWSP.  Mereka juga berpencen dengan gred gaji yang berbeza sama ada DG48, DG52 atau DG54. Dalam pada itu, yang sedihnya ada juga yang masih dalam gred DG44 memangku DG48. Ada juga pengetua yang kali pertama menghadiri persidangan dan itulah kali terakhir persidangan buatnya seperti yang dialami oleh Cikgu Tony Anis pengetua SMK Batang Igan, Mukah.

3 orang pengetua yang akan bersara, Ustazah Amnah, Cg Sirat Malikin dan Cg  Longgo
Saya tahun 2024  dan Ustaz Roslan tahun 2035
Seperti juga kematian, pencen adalah pasti. Apabila sampai tempoh yang ditetapkan maka seseorang itu perlu meninggalkan jawatan sama ada mahu atau tidak. Ada yang tidak sabar-sabar mahu berpencen dan cukup dengan umur 55 / 56 tahun. Ada yang masih sayang dengan tugas dan memilih untuk menambah 2 tahun lagi kepada 58 tahun. Ada yang merasa sudah merasa selesa dengan jawatan, dan menganggap bahawa penggantinya nanti tidak dapat melakukan seperti yang mereka lakukan. Kegusaran disampaikan dengan “bahasa badan” atau dengan “bahasa terbaik”  disampaikan kepada pengganti supaya mengambil contoh dan teladan supaya pengurusan kepimpinan sekolah akan lebih cemerlang. Namun saya percaya kegusaran ini amat perlu kerana perjalanan ke depan dalam kepimpinan pendidikan ada banyak ranjau dan durinya.

Saya masih lagi mempunyai baki 13 tahun untuk berkhidmat sebagai pegawai awam. Dijangka, saya akan berpencen pada 2024 jika tidak ada aral melintang. Dalam perkhidmatan, tiada siapa yang tidak mahu berjaya dan perkhidmatannya akan dikenang. Begitu juga diri saya. Saya mengamati setiap ucapan yang disampai oleh pengetua yang akan berpencen dan sudah pun berpencen degan penuh keinsafan. Ada pengetua yang tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain dan ada yang sudah pun mempunyai kerjaya lain standing dengan tugasnya sebagai pengetua sebelum ini. Namun ada yang masih tiada plan untuk diri sendiri dan ada yang mahu menghabiskan sisa-sisa hidup untuk berehat, beribadat sepenuh masa kerana banyak perkara yang terlepas kerana sibuk dengan urusan kerja.

Cg Longgo berkongsi pengalaman semasa lawatan di PPD Bintulu pada 28.6.2011
Dalam pada itu tidak kurang juga, ada pengetua yang sudah membuat persiapan rapi untuk dirinya beberapa tahun sebelum ini. Ada pengetua yang terus terang menyatakan bahawa, selepas berpencen nanti beliau akan menjadi pengembala kambing, ada yang mempunyai “business” sendiri. Walaupun ada yang berpendapat selepas berpencen adalah masa terbaik untuk berehat dan masa terbaik untuk keluarga, tetapi saya rasa tidak salah jika kita melakukan perkara yang kita minat dan selama ini kita tidak melakukannya selain menjaga imej yang baik seperti mana semasa masih menjawat jawatan. Ada rakan pengetua berbisik kepada saya, jika beliau berpencen nanti, beliau akan melancong, mengelilingi dunia untuk melihat ciptaan Allah yang maha luas ini. Pendapatan dari pencen bukan lagi untuk memiliki harta benda tetapi akan digunakan untuk urusan peribadi yang belum selesai.. iaitu mengadap yang Maha Esa di tanah suci..

Saya banyak bertemu dengan rakan-rakan kita yang pencen. Ada antara mereka sangat selekeh dan tidak menjaga penampilan diri seperti mereka masih bekerja. Ada yang masih dibelenggu hutang piutang yang belum berakhir. Ada juga yang tidak dipedulikan oleh bekas pekerja kerana sikap mereka yang sombong, bongkak dan sukar dibawa berbincang. Tidak kurang juga perbuatan dan tindakan mereka masih disebut-sebut oleh bekas pekerja dari segi kebajikan atau tindakan yang difikirkan amat tidak sesuai dan tidak munasabah. Mereka seolah-olah tidak pernah wujud. Barangkali bagi dirinya adalah sesuatu yang  terbaik yang beliau dapat lakukan tetapi bagi orang lain tidak. Namun masih ramai orang-orang yang pencen masih “smart” seperti mana masa mereka menjawat jawatan. Kata-kata mereka masih didengar, kata-kata mereka masih releven dan boleh menjadi pedoman dan teladan.

Selamat berpencen kepada sepupu saya Wan Bushra Wan Yusof yang kini memilih Jabatan Audit Negeri Kedah sebagai destinasi akhir sebelum berpencen. Selamat berpencen kepada semua pengetua sekolah menengah Sarawak yang akan berpencen dan yang telahpun berpencen dan Selamat bepencen kepada semua Penjawat Awam seluruh Malaysia. Yang pasti tahun 2011-2014 terdapat kurang lebih 30 kekosongan jawatan pengetua seluruh Negeri Sarawak dan ia menuntut pengantian pengetua yang berwibawa...

Terima kasih cikgu.. selamat berpencen.

Saturday, July 2, 2011

192.PERSIDANGAN PENGURUSAN PENDIDIKAN PPSMS 2011

Park City Everly Hotel
Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak ke 46 yang berlangsung di  Park City Everly Hotel, Bintulu pada 26 Jun hingga 29 Jun 2011 baru sahaja selesai. Ramai pengetua yang menganggap bahawa persidangan kali ini adalah terbaik dari segi ketepatan masa persidangan. Semua peserta tidak perlu dikerah supaya cepat masuk ke dewan dan sebagainya. Perkara ini juga mendapat pujian sehingga belangsungnya Mesyuarat Tahunan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS) pada 29 Jun 2011. Tahniah kepada YDP PPSMS dan Ahli Eksconya.

Pada pemerhatian saya, persidangan kali ini berjalan lancar kerana pemilihan tempat yang sangat sesuai. Pertama, hotel ini mempunyai system lif yang cepat dan lancar. Perkhidmatan untuk 182 orang pengetua seluruh Sarawak yang menginap di setiap level hotel 11 tingkat tersebut tidak sedikit pun tersangkut. Kedua, Dewan persidangan yang berdekatan dengan lif juga memainkan peranan penting. Para peserta tidak berjalan terlalu jauh dan berliku. Ketiga, kerjasama dengan pihak hotel juga sangat baik, Peyediaan makanan untuk sarapan, awal dan tempat penyediaan makanannya juga banyak. Begitu juga semasa makan tengahari dan malam sangat teratur dan tidak membuatkan para peserta berbaris terlalu lama. Jadi, para peserta tidak membuang masa untuk mengambil makanan dan ada ruang para peserta berehat dengan jadual persidangan yang ketat.

Persembahan yang menarik oleh para pelajar di Bintulu semasa majlis sanjungan budi
Namun persidangan kali ini agak luar biasa kerana tidak ramai disertai oleh orang-orang Jabatan Pelajaran Negeri. Walau bagaimanapun persidangan yang bertemakan Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara ini telah berjaya dan semua para peserta pulang dengan berbekalkan berbagai ilmu baru untuk dikongsi bersama guru-guru di sekolah masing-masing. Bukan mudah untuk mengurus persidangan seperti ini. Persediaannya bukan dalam masa yang singkat tetapi perancangannya telah memakan masa beberapa bulan sebelum ini. Dalam persidangan ini juga, semasa malam sanjungan budi menyaksikan 15 orang pengetua akan menamatkan perkhidmatan pada tahun ini.  Selain, persidangan kali ini juga disertai oleh 20 orang pengetua baru.

Cg Sukiman Ketua JNJK Sarawak sedang membentangkan kertas kerja
Sebanyak 4 kertas kerja berjaya dibentangkan. Kertas kerja 1 bertajuk Penaziran Pengurusan sekolah dibentangkan oleh Cikgu Sukiman, Ketua Nazir Negeri, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Sarawak. Ketas kerja 2 bertajuk Tranformasi Pembangunan Modal Insan SCORE dibentangkan oleh Dr.Hajjah Rabiah Mohd Mansor, SCORE Main Power Planning, Chief Minister Office. Kertas kerja 3 bertajuk Pengurusan Tatatertib – dibentangkan oleh pegawai dari Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan. Jabatan Negeri Sarawak dan Kertas kerja 4 bertajuk Pengauditan Pengurusan Kewangan Sekolah – Oleh bahagian audit Dalam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain dari itu beberapa orang pengetua juga bermurah hati untuk berkongsi ilmu dengan semua peserta lain dalam satu slot, Perkongsian Program Pengurusan Sekolah. Terima kasih kepada Cg Aseng Kuman dengan e-RSM (Rekod Sahsiah Murid Elektronik)nya, Pn Hajjah Maimunah Bt Hj Bujang berkongsi tetang kajiannya Tindakan Menangani Masalah Ponteng dan Cg Vincent Liong Shou Chuan tentang program MaCS.

Barisan pengetua baru sedang memperkenalkan diri masing-masing
Dr Shafie Hj Lugom (atas) En. Steven Tan (bawah), sedang mengucapkan tahniah kepada YDP PPSMS dan Eksconya  kerana kejayaan menganjurkan persidangan PPSMS 2011
Persidangan PPSMS 2011 kini berakhir. Ketetapan semasa mesyuarat telah dibuat, tuan rumah persidangan tahun 2012 ialah di Bahagian Mukah. InsyaAllah 10 orang pengetua di Bahagian tersebut akan pikul tanggungjawab ini dan akan memastikan persidangan berjaya dilaksanakan. Seperti yang dipesan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Cg Jaidah Bt Alek kepada semua pengetua baru, jangan mencari kesilapan pengetua yang lalu tetapi berusahalah untuk melakukan yang terbaik. Semoga, yang baik dari persidangan kali ini akan dijadikan contoh untuk kami. Kata orang kalau kita tidak boleh berbuat baik pun kepada orang, jangan pula mencari-cari kesalahan orang dan sebarkan kepada orang lain.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.