PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Wednesday, November 28, 2012

242.Cuti itu kemudahan..


Cuti itu kemudahan, saya percaya semua guru tahu. Tidak kira sama ada dia guru lama atau baru. Semasa di Maktab atau IPG perkara ini sudah didedahkan. Begitu juga semasa kursus induksi dan kerapkali juga diingatkan di sekolah pada setiap kali mesyuarat oleh pengetua.

http://jbcool.com/wp-content/uploads/2009/10/Legoland-johor.jpg
Sepanjang tahun ini, 2012 SMK Baru Miri mencatatkan lebih 45 orang guru telah mengambil pelbagai jenis cuti sama ada cuti sakit, cuti rehat khas, cuti tanpa rekod atas sebab kematian keluarga terdekat atau menghadiri peperiksaan PJJ, cuti tanpa gaji, cuti bersalin dan sebagainya. Manakala 37 orang lagi masih bertahan tanpa mengambil apa-apa cuti. Mereka telah membuat rekod peribadi 100% kehadiran ke sekolah. Pujian patut diberikan dan pihak sekolah akan berusaha mengeluarkan sijil penghargaan kepada mereka.Begitu juga dengan 11 orang kakitangan sokongan. Mereka juga tidak terlepas dengan pengambilan cuti, sama ada cuti sakit atau cuti rehat yang telah diperuntukan kepada mereka.

Saya juga yakin jika tiada sebab tertentu guru-guru atau kakitangan sokongan ini tidak akan bercuti. Dari pemerhatian dan pengetahuan saya, guru-guru SMK Baru sangat berintegriti. Mereka bercuti kerana terpaksa. Oleh itu saya meletakkan kepercayaan kepada mereka dan meluluskan cuti dengan syarat alasan yang kukuh dan munasabah serta tidak melanggar mana-mana perintah Am atau pekeliling Jabatan Pelajaran yang berkuatkuasa. Tidak kurang juga, pemberian cuti kepada guru-guru atas dasar bertimbang rasa dan bersifat kemanusiaan walaupun tenaga guru tersebut sangat-sangat diperlukan dalam sesuatu majlis dan beliau menjadi orang utama yang mengendalikannya. Biarpun terpaksa diganti dan berlaku sedikit kepincangan majlis, beliau bercuti dengan tenang tetapi organisasi yang menanggung kesulitan.

Saya sangat-sangat berharap agar kepercayaan yang diberikan kepada semua guru tidak dimanipulasikan. Saya besyukur kerana sebilangan besar guru yang datang ke sekolah selepas bercuti sakit akan berjumpa saya dan memohon maaf kerana terpaksa menyusahkan pihak sekolah mengatur “Sit-in” , kecuali mereka yang telah membuat perancangan awal untuk bercuti.

Tidak dinafikan bahawa, jika guru sering bercuti sedikit sebanyak akan menjejaskan Pengajaran dan Pembelajaran murid. Guru ganti tidak sama dengan guru subjek. Maka akan berlakulah kepincangan dalam perancangan, sama ada tidak habis sukatan pelajaran atau yang lebih teruk bila semangat pelajar juga merudum. Pelajar tidak lagi berfokus kepada objektif Pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya kemerosotan akan mula berlaku. Saya tidak pasti bagaimana seorang sahabat saya mengatasi kekurangan guru di sekolahnya apabila 28 orang guru dari 150 orang guru bersalin serentak pada tahun ini. Nampak macam berpakat tetapi hakikatnya jika seseorang guru itu mengandung maka guru tersebut wajib memberitahu Pengetua atau Pejabat Am supaya senang untuk menyediakan guru ganti.

Ramai guru yang pandai menguruskan cuti, ramai guru yang masih belum bercuti dan ramai guru yang tidak dibenarkan bercuti. Terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru yang masih datang bertugas di masa cuti ini di SMK Baru Miri dan terima kasih kepada guru-guru yang sentiasa bersama dengan pelajar untuk kelas tambahan sehingga kertas peperiksaan mereka tamat sama ada SPM atau STPM sedangkan rakan-rakan guru lain telah lama bercuti. Semoga Allah sahaja dapat membalas jasa cikgu dengan memberikan kecemerlangan kepada diri sendiri dan kecemerlangan kepada anak didik cikgu.

Selamat bercuti, jaga keselamatan dan kesihatan. Jangan lupa 31 Disember 2012 Mesyuarat Pertama sekolah. Semua guru dan kakitangan sokongan Wajib hadir.

Pengetua bila bercuti? Ikut pekeliling…

Terima kasih Cikgu..

Tuesday, November 27, 2012

241.Guru-guru jom menulis..


Cg Albert dari SMK Subis, Cg Kho dari SMK Luak dan YDP PPSMS (Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak) Cg Marcus Hugo dar SMK Lutong Miri
Lama sudah saya tidak menulis, menjenguk blog sendiri pun jarang. Sibuk begitulah alasan yang seringkali diberikan, tetapi sebaliknya sibuk memberi tumpuan pada blog sekolah SMK Baru Miri. Namun sesekali masuk sempat juga melawat blog rakan-rakan yang saya menjadi pengikutnya walaupun tidak meninggalkan komen. Tahniah kepada mereka yang mempunyai semangat yang jitu, mempunyai banyak idea. Menulis sebenarnya tidak memerlukan banyak kajian tertentu tetapi perlukan banyak komitmen.

Semalam 26 November saya bersama-sama dengan Majlis pengetua Daerah Miri, berada dalam satu majlis ilmu yang sangat bermakna untuk semua pengetua. Perkongsian dengan Cg Albert Pengetua SMK Subis Miri berkenaan dengan Pengurusan Ko-Kurikulum dan perkongsian dengan Pengetua Cemerlang Ko Chee Kiat dari SMK Luak berkenaan dengan Penulisan & Penyebaran Hasil Kajian Tindakan.

16 orang pengetua Daerah Miri
Menurut Mr Ko Dari kajian yang telah dibuat, terdapat beberapa alasan mengapa guru kurang menulis . Antaranya ialah tiada keperluan untuk menulis, tiada masa, tiada keyakinan diri, tiada kemahiran dan merasa susah dan tidak tahu apa yang hendak di tulis. Oleh itu kita hanya membiarkan orang lain menulis tentang dunia pekerjaan kita dan kita akan menjadi marah jika apa yang mereka tulis dan pandangan mereka tidak menepati apa yang kita lakukan.

Banyak tranformasi dalam bidang pendidikan yang berlaku dan mana-mana sahaja orang bercakap tentang perubahan-perubahan tersebut. Banyak pandangan negative daripada positif tentang sesuatu perkara kerana perubahan yang baik itu tidak sampai dengan berkesan kepada mereka yang menjadi pelanggan kepada pendidikan disamping ada guru-guru  yang tidak berusaha mendalami perubahan tersebut maka sukarlah yang baik itu akan sampai dengan baik. Maka penulisan tentang perkara sebenar dan memberikan kefahaman yang berkesan adalah sangat penting.

Pada hakikatnya guru adalah penulis, kita banyak menis buku rekod mengajar, menulis refleksi, banyak surat-surat yang kita sediakan, banyak menulis nota-nota untuk pelajar dan sebagainya. Dari perkongsian dengan Pengetua Cemerlang tersebut beliau meyarankan, guru-guru membuat kajian tindakan. Dengan membuat kajian tidakan yang memerlukan data-data tertentu guru sudah boleh mula menulis. Apa yang menariknya selain menulis hasil kajian tindakan ini guru-guru boleh menyertai pertandingan dan memenagi anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian atau Jabatan Pelajaran dan yang pentingnya sumbangan ini dikira dalam usaha untuk kenaikan pangkat.

Menulis juga tidak memerlukan bakat yang besar. Semua orang boleh menulis dengan sedikit keyakinan. Mulalah menulis dengan menceritakan pengalaman diri. Bila sudah mempunyai keyakinan yang tinggi menulislah perkara-perkara yang lebih mencabar. Amalan menulis perlu ada kepada guru-guru. Tanpa menulis ilmu yang kita ada akan hilang, kerap menulis maka penulisan kita akan lebih bermutu. Dengan menulis kita bertanggungjawab pada profesion selain membantu profesion ini disanjung tinggi oleh masyarakat.

Jom, sama-sama kita bersatu tekat untuk mula menulis tanpa banyak alasan..

Terima kasih Cikgu..

Tuesday, October 23, 2012

240.DALAM KENANGAN : Kursus Kepimpinan Untuk Perubahan

Kursus Kepimpinan Untuk Perubahan Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak, Pada 1-4 Oktober 2012 di Hotel Dynasty Miri Sarawak.

Bergambar kenangan..

Terima kasih Cikgu..

239. Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah


20 Oktober 2012

KEPALA BATAS - Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Tun Jeanne Abdullah menggesa guru berusaha melahirkan  pelajar cemerlang daripada kalangan pelajar yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat  belajar.
  
Mingguan Malaysia 21 Oktober 2012
Beliau berkata selain ibu bapa, guru mempunyai peranan penting dalam mengubah sikap dan minda anak-anak untuk pembentukan insan cemerlang.
  
"Bagi tahun persekolahan 2013, tumpu pada pelajar paling lemah dalam kelas anda atau pelajar yang tidak minat belajar dan jadikan mereka pelajar yang lebih baik...saya percaya kita semua boleh lakukan," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembelajaran sepanjang hayat OUM  'Learning Is Fun' di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga, di sini hari ini. Turut  hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.
  
'Learning Is Fun' merupakan program yang dianjurkan oleh OUM bagi mendekatkan pelajar di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.

Beliau juga menasihati pelajar agar tidak malu untuk menggunakan  bahasa Inggeris dalam komunikasi harian walaupun mereka kurang mahir dalam penguasaan bahasa antarabangsa itu.
  
"Walaupun pada mulanya susah tetapi jika selalu digunakan lama-lama kita akan mahir,  kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mampu menguasai bahasa Inggeris, ke mana pun kita  pergi bahasa Inggeris tetap diperlukan," katanya.
  
Selain itu beliau berharap ibu bapa meluangkan masa mendengar luahan perasaan anak mereka.
  
"Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa betul,  fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat, mereka bukan sahaja  akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/guru-digesa-lahirkan-pelajar-cemerlang-dikalangan-pelajar-lemah-1.96374

Thursday, October 18, 2012

238.Dalam Kenangan

Gambar kenangan dari Cg Hamidon Abd Gani Guru Kanan Mata Pelajaran SMK Baru Miri.

Dalam kenangan Kursus Orientasi Mata Pelajaran Prinsip Akaun, Perdagangan Dan Ekonomi Rumah Tangga Bagi Jurulatih Utama Zon Sabah Dan Sarawak di Hotel Hilton Kuching pada 29 Julai 2002 - 2 Ogos 2002

Terima kasih Cikgu..

Saturday, May 19, 2012

Guru-guru SMK Baru Miri Tawan Mega Lane East Bowling Centre, Bintang Megamall..


Suasana dalam Dewan permainan Mega Lane East Bowling Centre, Bintang Megamall, Bandaraya Miri
Pada jam 8 hingga 10 malam 18 Mei 2012 di Mega Lane East bowling Centre, Bintang Megamall, Miri digegarkan dengan gelak ketawa daripada semua warga SMK Baru Miri yang mengambil bahagian  dalam Pertandingan Bowling antara guru-guru. Suasana dalam dewan permainan tersebut riuh rendah, amat berbeza sekali dengan suasana di sekolah yang masing-masing sibuk dengan hal dan tugas sendiri. Di sini semua guru berkesempatan untuk menegur sapa, lebih –lebih lagi guru-guru yang membawa family masing-masing. Sukar digambarkan dengan perkataan betapa seronoknya guru-guru yang berada di sana dan melupakan sekejap soal kerja.Rasanya tidak ada yang bercakap soal buku rancangan mengajar dan masalah yang dihadapi dengan pelajar.

Kami guru hebat.. bergambar beramai-ramai selepas pertandingan
YDP PIBG En. Anuar dan keluarga turut datang memberi sokongan
Dari 80 orang guru dan 13 orang staf sokongan separuh darinya menyertai pertandingan ini. Namun semua guru dan staf semua hadir. Walau tidak bermain tetapi mereka tetap datang memberi sokongan kepada rakan guru yang lain kecuali yang meminta izin tidak hadir kerana ada hal lain yang tidak dapat dielakkan.

Berbagai gelagat dapat dilihat semasa pertandingan ini dijalankan. Ada yang melempar bola bowling sehingga terbabas ke dalam gelanggang, ada yang tidak menepati sasaran dan bola seringkali masuk longkang, ada yang membengkokkan badan supaya bola mengenai sasran, ada yang melompat, menjerit dan berbagai ragam lagi. Bagi yang pertama kali memegang bola bowling tentunya sangat teruja, baru nak belajar memegangnya, baru nak merasa memegangnya, yang sebelum ini hanya melihat dari jauh dan malu-malu untuk bermain. Tapi, pada malam tersebut semuanya mungkin kerana yang pergi untuk bermain itu adalah kalangan rakan-rakan yang serupa dan sama sahaja levelnya kecuali ada beberapa orang guru yang sudah mahir. Gaya lemparan bola bowling juga boleh mendatangkan kelucuan.

Gaya-gaya amatur, Bukan kemenangan yang menjadi keutamaan tetapi semangat kekeluargaan itu yang paling utama...
Terima kasih kepada Jawatankuasa Kecil sambutan hari guru yang diketuai oleh Cg Nurul Salwani, Cg Kamsiah, Cg Dora, Cg Erman dan Cg Staffanie yang menjadikan sambutan hari guru pada kali ini 16 Mei 2012 sehingga penutupannya pada 25 Mei 2012 nanti suatu yang menarik. Komitmen dan daya usaha cikgu sangat-sangat dihargai dan tahniah kepada semua guru kerana sanggup membayar dan tidak lokek untuk mengeluarkan belanja sendiri. Saya berharap program pertandingan footsal pada 22 hb Mei ini juga akan mendapat sambutan semua guru terutamanya guru lelaki.

Selain dari itu, Terima kasih kepada En Anuar YDP PIBG yang merancang mengadakan Majlis BBQ bersama dengan PIBG dan keluarga guru-guru dan Staf sokongan pada malam 24 Mei ini nanti. Pengurus majlis BBQ yang diketui oleh Pn Dayang Laila Penolong Kanan HEM, kini nampaknya sedang rancak membuat persiapan. Semoga majlis ini nanti juga akan Berjaya untuk dilaksanakan. Kita buat untuk kita sendiri, menghargai pengorbanan yang kita lakukan. Kita harus rasa gembira apa yang kita buat dan gembira dengan apa yang rakan-rakan kita buat untuk kita bersama.

Kemuncak sambutan hari guru ialah pada 25 Mei 2010 dengan program yang lebih menarik dengan penglibatan semua warga sekolah termasuk pelajarnya. Majlis hari guru akan disambut bersama dengan YB Datuk Lee Kim Shin DUN N.65 Senadin Merangkap Menteri Muda Perhubungan dan Sukan. 

Sempena hari guru ini juga, saya mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang mendapat berita gembira kerana kenaikan pangkat sebagai hadiah hari guru yang amat bermakna iaitu (Penolong kanan Pentadbiran) Cg Boyce Ngau Anyi, (PK KK) Cg Siti Akmarliah Mohd Amin dan (PK Hem) Cg Dayang Laila Bt Kahar yang telah dinaikkan pangkat ke DG48(M), manakala Cg Edward Laing Epoi dinaikkan pangkat ke DG48(M) ke DG48 dan Cg Rosmarina yang dinaikkan pangkat dari DG41 ke DG44. Tahniah kepada Cg Nur Zatil Bayani yang telah mendirikan rumahtangga baru-baru ini dan terima kasih kepada Cikgu Mohd Adib Bin Zunaidi (Guru Interim) yang akan tamat perkhidmatan pada hujung bulan ini. Terima kasih kepada semua guru SMK Baru yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada saya sepanjang saya bertugas di sini sehingga sekarang..

Terima kasih Cikgu..

Saturday, May 12, 2012

230.Pelajar harus bersedia hadapi saingan global / "Equip yourselves to be world class"


The Borneo Post Online, Saturday, May 12,2012

IT'S OPEN: Ahmad Lai Strikes a gong to declare open the championship, witnessed by Anuar (left) and Mohd Shariff.
MIRI: Setiap pelajar harus mempersiapkan diri dengan kelengkapan modal insan bagi persaingan peringkat antarabangsa. 

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memartabatkan mereka sebagai pelajar kelas dunia.

“Skop pendidikan kini adalah lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan semata-mata,” katanya pada Majlis Perasmian Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri Ke-17 di Stadium Miri semalam.

Menurutnya, kegiatan kokurikulum dan kemahiran tertentu turut dititikberatkan kepada pelajar sebagai persediaan awal bagi pasaran kerja pada suatu hari nanti.

“Cemerlang dalam pembelajaran dan ditambah dengan kecemerlangan dalam kegiatan kokurikulum akan menjamin kejayaan seseorang pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menasihati pelajar untuk sentiasa menyanjung tinggi para guru yang sentiasa memberikan terbaik kepada mereka.

“Segala curahan bakti seorang guru harus kita ingati kerana mereka sentiasa ingin melihat setiap pelajarnya cemerlang dalam segenap aspek.” jelas beliau.

Mengenai kejohanan, setiap acara atau majlis seperti kejohanan sukan seumpama bertujuan untuk membimbing pelajar dalam membentuk disiplin diri mereka.

Ia juga akan mewujudkan persekitaran selain persaingan yang sihat antara peserta yang mengambil bahagian.
Pada majlis sama, Ahmad Lai turut mengumumkan bantuan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Baru Miri.

Turut hadir adalah Pengetua Mohamad Shariff Mat Saad dan Yang Dipertua PIBG SMK Baru Miri Kaunselor Anuar Ahmad.

Tuesday, May 1, 2012

229.Meningkat Keyakinan Diri Dengan Penghargaan


Jauh di sudut sanubari setiap orang, mahu diri mereka dihargai. Tidak kira siapa sama ada jawatan rendah maupun tinggi , tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa. Penghargaan yang diberikan akan menyebabkan seseorang itu akan merasa dirinya begitu penting dan berbangga. Kadang kala mereka akan merasa bahawa mereka sahaja yang hebat dan menidakkan kehebatan orang lain. Maslow dalam Teori Keperluan Manusianya, meletakkan penghargaan kepada manusia di tangga ke 4 sebelum seseorang manusia itu mencapai kesempurnaan diri.

Gambar Hiasan : Diberi sanjungan dengan menepung tawar. Berbagai cara dilakukan oleh manusia untuk menunjukkan rasa menghargai dan rasa hormat terhadap seseorang..Bagi orang menerima sanjungan itu sudah pasti berasa seronok dan merasa cukup hebat serta meningkatkan keyakinan dirinya.
Berbagai cara boleh kita lakukan untuk membuatkan seseorang itu berasa penting. Paling senang ialah mengucapkan “Terima kasih”. Ucapan ini membawa maksud yang paling mendalam kepada semua bangsa dan agama. Kita akan berasa bangga jika ada orang luar yang datang ke Malaysia belajar perkataan “Terima Kasih”. Begitu juga jika kita belajar bahasa bangsa lain yang sama ertinya dengan “Terima kasih”. Betapa hebatnya perkataan itu lebih-lebih lagi bila diucapkan kepada kita atau orang lain atas bakti dan jasa yang dicurahkan.

Dalam keadaan lain, cara kita mengahargai ibu bapa ialah dengan menghormati mereka, menghormati rakan taulan, mengambil berat kepada suami atau isteri, memberi hadiah atas kecemerlangan anak-anak, mendengar akan masalah-masalah staf dan sebagainya. Kagum atas kebolehan dan kebijaksanaan seseorang juga boleh digolongkan sebagai satu penghargaan.

Sebagai penjawat awam, sudah tentu Anugerah Perkhdimatan Cemerlang tidak dapat dipisahkan. Majlis Anugerahnya dikira sebagai satu yang berprestej tinggi. Tidak hairanlah bila menjelang musim APC ini semua orang sama ada sudah menerimaAPC dan apatah lagi yang belum merasainya setelah hampir 10 tahun bekerja akan tertanya-tanya kepada siapakah pengiktirafan tersebut diberikan pada tahun ini. Perasaan ingin tahu meluap-luap, lebih-lebih lagi yang pernah termakan janji dan ada yang bekerja pada tahun itu untuk dinilai semata-mata untuk APC. Ada yang langsung tidak kisah kepada siapa diberikan, dia tetap dia..

Berbagai ragam boleh dilihat. Lebih menyedihkan ada yang melemparkan tomahan yang tidak baik kepada ketua jabatan bila tidak terpilih sama ada dalam bentuk guruan atau dalam nada sinis. Ada yang sanggup bersemuka bertanya kenapa dia tidak terpilih, ada yang cakap sana dan sini menyatakan ketidakpuasan hati yang menunjukkan bahawa beliau seorang pekerja yang cukup tidak professional dan cemerlang. Orang sebegini memang sepatutnya tidak terpilih. Ada juga yang menangis teresak-esak mengenangkan dan berasa segala jasa dan baktinya selama ini dipandang langsung ditambah lagi dengan ejekan dan desakan rakan sekerja. Namun ada antara mereka yang sangat-sangat bernasib baik dan menerima 2 atau 3 kali sepanjang perkhidmatan.

Betapa hebatnya APC. Walaupun ganjarannya tidak seberapa seperti mula2 diperkenalkan dahulu, tetapi ia memberi kesan yang sangat mendalam pada setiap pekerja awam. Walaupun markah nilaian prestasi itu lebih penting, tetapi anugerah itu yang diiktiraf dihadapan rakan-rakan adalah lebih menonjol. Tidak hairanlah, kadangkala ada pekerja yang menuduh rakan-rakan memperolehinya dengan cara melobi, mengipas dan lain-lain perkataan yang sewaktu dengannya untuk menunjukkan ketidakpuasan hati masing-masing lebih-lebih lagi rakan-rakan yang baik dengan boss. Barangkali juga sangkaan tersebut ada kebenarannya pada sesetengah institusi yang pemimpinnya tidak mengamalkan budaya yang sihat.

Saya yakin bagi pemimpin yang hebat, berintegriti, telus dan bertanggungjawab kepada pekerjanya akan berlaku adil dan sentiasa mengambil berat. Berbagai penilaian telah dibuat sebelum seseorang itu diberi pengiktirafan untuk 8% dari jumlah pekerja yang ada untuk tahun tersebut. Disamping mengambil kira jumlah jantina, bangsa dan akur dengan pelbagai syarat lain. Saya juga yakin pemilihan guru dan staf sokongan yang diberi Anugerah Pekhidmatan Cemerlang oleh AJK Sumber Manusia bersama pegawai di JPN untuk  SMK Baru, Miri adalah yang terbaik dari yang baik untuk tahun tersebut. Semua guru di SMK Baru Miri pada hemat saya adalah merupakan guru yang sangat cemerlang.

Tahniah kepada semua guru SMK Baru Miri yang telah dianugerahkan APC yang disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di Dewan Suarah Miri baru2 ini. Tahniah kepada Cg Hamidon, Cg Doris Kho, Cg Parose, Cg Norzima, Puan Norayah, Cg Marlyni dan Cg Rhona.  Semoga anda menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang. Bekerja bukan untuk hari ini sahaja tetapi untuk kecemerlangan perkhidmatan selama mana kita bertugas.

Kesempatan ini juga mengucapkan tahniah kepada semua guru di SMK Belawai yang telah dianugerahkan APC yang juga disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di Mukah. Tahniah kepada Cg Voon, Cg Jazimah, Cg Akmarlia, Cg Wardah dan En Jamaluddin. Semoga anda semua akan terus cemerlang.

Kepada semua rakan guru yang lain, anda juga adalah pekerja yang hebat, tetapi belum masanya untuk dianugerahkan APC. Semoga selepas ini giliran anda pula. Berikan sokongan dan doakan mereka terus berjaya. Semoga dengan sokongan dan doa ikhlas itu Allah SWT akan terus menyokong dan merahmati apa yang kita lakukan. Seterusnya kita akan berjaya seperti mereka.

“Apa yang kita lakukan menentukan siapa diri kita; oleh itu keunggulan peribadi bukan hanya kita lakukan, tetapi tabiat yang berterusan.” – Aristotle.

Terima kasih Cikgu..

Selamat Hari Pekerja 2012

Friday, April 27, 2012

228.SMK Baru Miri peroleh 98.36 peratus - STPM 2011


Borneo Post Online, Thursday 8 March 2012

TAHNIAH: Elisabeth (tiga kiri) merakam kenangan bersama sebahagian calon STPM SMK Baru Miri yang memperolehi keputusan cemerlang.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/03/08/smk-baru-miri-peroleh-98-36-peratus/#ixzz1tC7buji1

MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri mencapai keputusan 98.36 peratus  kelulusan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding tahun sebelumnya dengan pencapaian cemerlang, Ngang Jin Loung yang memperolehi 3A 1B.

Manakala lima lagi calon cemerlang yang mendapat 1A dan 3B ialah Alexander Lucas, George Tan Yu Ruk, Kenny Jacob, Pauline Nanie dan Tian Tze Chung.

Sementara Mohd Al Hatta memperolehi keputusan 1A, 2B dan 1C, manakala dua lagi calon iaitu Jacquelyn Lumih dan Paula Nanie masing-masing mendapat keputusan 4B.

Penolong Kanan SMK Baru Elisabeth memberitahu, hanya 60 daripada 61 calon telah menduduki peperiksaan STPM berkenaan.

Katanya, seramai 25 calon telah memperolehi empat Prinsipal (lulus penuh), tujuh orang mendapat tiga Prinsipal (lulus penuh), 14 orang (dua Prinsipal), 14 orang (satu Prinsipal) sementara seorang lagi calon tidak hadir menduduki STPM.

Jelas beliau, keputusan STPM tersebut meningkat sebanyak 2.13 peratus berbanding tahun sebelumnya dan keputusan terbabit memberangsangkan.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.