PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, December 28, 2009

61. Keputusan PMR

  1. Keputusan PMR yang diumumkan pada 24/12/2009 lalu, menunjukkan satu peningkatan yang mendadak dari segi kualiti di SMK Belawai. Dua orang mendapat 8A dan 4 Orang mendapat 7A 1B dari 165 calon PMR. Keputusan keseluruhan menurun 10.23% dari 58.11% kepada 47.88%. "Killer subjek" tentulah Bahasa Inggeris. Namun begitu pencapaian yang ditunjukkan oleh pelajar yang mendapat semua A's amat dibanggakan kerana beberapa tahun kebelakangan ini tidak ada pencapaian sebegitu.
  2. Diantara pelajar tersebut ialah : Abdul Razak Bin Hasbi (8A). Azleea Azira Binti Abdul Rashid (8A), Muhammad Hisyamuddin Raimi Bin Rusli (7A1B), Muhammad Zakwan Bin Yusup (7A1B), Nurhayati Binti Mokhtar (7A1B) dan Nurul Khatikhah Binti Ahmad (7A1B).
  3. Pada keseluruhannya keputusan PMR SMK Belawai sangat memuaskan, Kelas yang dikatakan kelas hujung yang mungkin pada dasarnya pada analisis guru pada peperiksaan percubaan 1 dan 2 yang dikategorikan gagal semua mata pelajaran juga menunjukkan prestasi yang sangat baik, mereka mampu memperolehi sekurang-kurangnya D dan ada di antara mereka yang lulus semua mata pelajaran. Tetapi yang mendukacitakan ialah pelajar-pelajar yang gagal satu mata pelajaran umpamanya, 42 orang yang gagal 1 mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, 3 orang gagal hanya 1 mata pelajaran Matematik dan 1 orang hanya mata pelajaran sejarah.
  4. Bayangkan jika semua pelajar yang lulus satu mata pelajaran ini lulus, maka keputusan keseluruhan PMR SMKB tentulah meningkat. Bagaimanapun GPS sekolah pada tahun ini masih berada pada tahap yang memuaskan walaupun menurun sebanyak 0.02 dari 3.21 ke 3.23.
  5. Kepada semua guru saya ucapkan tahniah, kita telah berusaha. Kita telah merancang dengan baik, Bertawakkal. Tetapi itu yang sudah ditentukan Allah maka kita terima. Tahun 2010 kita akan berusaha lagi tanpa jemu. Dan kita akan pastikan mata pelajaran yang menjadi penghalang di pertingkatkan lagi pencapaiannya tanpa menyerah kalah melalui Program MaCS.
  6. Di sini saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Sarawak yang selama ini memberi sokongan penuh kepada SMKB dengan projek HIPERS. Terima kasih kepada Pegawai Daerah, Daerah kecil Belawai yang memberi peruntukan untuk program motivasi pelajar, Para dermawan seperti Persatuan Nelayan Belawai, Cg Murshidi yang sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada para pelajar, orang perseorangan dan badan-badan kerajaan dan swasta sekitar Daerah Belawai yang banyak memberi sokongan. Para ibu bapa yang tidak jemu menghantar anak kesekolah terutama kelas tambahan petang dan malam dan guru-guru yang banyak berkorban masa dan tenaga. Sesungguhnya pengorbanan dan usaha kita berbaloi.

Tuesday, November 17, 2009

60. Payahnya Bila Atap Nak Jadi Tiang, Tiang Nak Jadi Dinding, Dan Dinding Nak Jadi Tangga

Disalin terus dari : http://serijenerus.blogspot.com/. Menarik. Silalah lawati blog ini untuk sama-sama berkongsi ilmu.

Ada satu cerita rakyat zaman dahulu kala, dalam nada simbolik membawa kisah bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya. Kisah bermula bilamana atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, panas, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira, demikian juga bila hujan turun, dialah yang terpaksa berhadapan dengan hujan rebut ini. Perasaan kecewa dan sedih bertambah bilamana atap tengok tiang yang dirasakan lebih rehat dari dia, tak kena panas dan tak kena hujan, lalu ia merungut:
“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.
Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab:
“Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,” rungut tiang.
Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk:
“Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh:
“Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa aku nilah yang paling berat antara semua perkakas rumah ni. Aku terpaksa kena hujan panas, aku terpaksa pikul babanan orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum semua kita rebah menyembah bumi semuanya.”
Pengajaran dari kisah tersebut ialah jangan kita hanya nampak susah kita, tapi tak pernah fikir susah orang lain, dan yang lebih penting jangan kita nak jadi benda lain. Kita harus jadi kita, kerana itulah amanah yang diberi kepada kita. Payahnya bilamana atap nak jadi tiang, tiang pulak nak jadi dinding dan dinding pulak nak jadi tangga.
Hakikatnya, Kita saling memerlukan antara satu sama.

59. Cuti Sekolah

  1. Cuti sekolah akan bermula lagi, mulai 21.11.2009 hingga sekolah dibuka semula pada 4.1.2010. Namun begitu bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran kerana peperiksaan ini amat penting dalam diari hidup mereka. Di SMKB peperiksaan akan bermula pada 18.11.2009 dan akan tamat dengan mata pelajaran Perdagangan pada 9.12.2009.
  2. Sebagai seorang guru, di sinilah cabaran yang menanti kita, Nak bercuti awal dengan membiarkan para pelajar bersendirian menghadapi SPM atau masih di sekolah sehingga para pelajar selesai menduduki kertas peperiksaan mata pelajaran yang kita ajar.
  3. Tidak dinafikan apabila cuti sekolah, bagi guru-guru yang jauh, inilah peluang yang ditunggu-tunggu untuk berjumpa dengan anak, bini, saudara mara dan sahabat handai yang ditinggalkan. Inilah nasib yang terpaksa diterima oleh para pelajar di sini saban tahun. Jika ada sesuatu kemuskilan untuk ditanya dan sebagainya tentu susah. Hanya yang kelihatan ialah seorang dua, guru-guru tempatan yang masih datang ke sekolah walaupun dalam masa cuti. Begitulah lazimnya. Namun begitu kita percaya semua guru tidak kira jauh atau dekat telah membekalkan ilmu yang secukupnya kepada para pelajar untuk berjuang dalam dewan peperiksaan.
  4. Sepanjang tahun 2009, telah menyaksikan berberapa orang guru SMKB telah dinaikan pangkat dari DG41 ke DG44. Guru-guru berkenaan ialah Cg Yusup, Cg Hazina dan Cg Hanipah. Begitu juga dengan KPT N22 En Dor Bin Mansur telah dinaikkan pangkat ke N26 dan memaksa beliau berpindah ke SMK TPDPH Normah Daro - mengikut kelayakan. Sepatutnya beliau sudah berpindah 3 bulan yang lalu tetapi disebabkan di SMKB tidak ada KPT dan PT maka, perbincangan dengan antara pengetua SMKB dan SMK TPDPH mencapai kata sepakat En Dor dipinjamkan di SMKB. N11, Cik Ar-Za-Tina juga telah dinaikkan pangkat ke N17 dan kini beliau bergelar PT, atau Pembantu Tadbir. Tahniah kepada mereka.
  5. Pada tahun ini juga kita akan kehilangan beberapa orang guru kerana akan berpindah dan tamat perkhidmatan bagi guru GSTT . Mereka ialah Ustaz Rozaidi yang akan berpindah ke Perak, Cg Shirina Kong Ai Siang (Guru Kanan Sains dan Matematik) akan berpindah ke Mukah - SMK 3 Rivers, manakala guru GSTT yang tamat perkhidmatan ialah Cg Kristin, Cg Farah Diva dan Cg Sufiana. Guru-guru GSTT yang akan tamat perkhidmatan pada hujung tahun ini pula ialah Cg Maszura, Cg Haslina, Cg Nurbaizura dan Cg Mohd. Nuruhisyam.
  6. Barangkali ada lagi guru-guru yang akan berpindah belum diketahui dan disahkan dengan surat rasmi dari Jabatan. Bagaimanapun perpindahan ini akan melibatkan perubahan dimana Guru Kanan Sains dan Matematik perlu dicari ganti, begitu guru-guru lain. Bagi guru-guru yang mohon berpindah tetapi tidak diluluskan, cuba lagi tahun hadapan. Harapan saya cg akan lebih gigih bekerja dan keputusan tersebut bukan melemahkan cg. Sekolah kita masih perlukan perkhidmatan cg. Sama-samalah kita cemerlangkan SMKB.
  7. Bagi mereka yang akan berpindah, Pihak sekolah merakamkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan di SMKB. Sentiasa ingatkan SMKB dan saya doakan kejayaan kita bersama walau dimana kita berada. Bertemu dan berpisah itu memang lumrah dan pasti.
  8. Saya juga mengucapkan Selamat Datang kepada 3 orang guru baru yang akan memulakan kerjaya mereka sebagai seorang guru di SMKB iaitu Cg Sharifah Nurul Izzah, Cg Hasimah dan Cg Farah Wahiza. Selamat menjadi warga SMKB dan sama-sama kita memartabatkan profesion perguruan di SMKB.
  9. Akhir sekali selamat bercuti kepada semua guru dan para pelajar. Spt biasa pesanan saya jaga keselamatan dan kesihatan. Ingin saya mengingatkan diri saya dan guru-guru dan AKS yang berumur 40 tahun ke atas sila buat pemeriksaan kesihatan seperti yang disarankan oleh surat edaran jabatan, dan ambil maklum seseorang pegawai tidak akan dinaikkan pangkat jika kesihatannya tidak memuaskan. Bagi guru-guru tempatan jaga diri dari nyamok yang membawa kepada kes Chikukunya yang berleluasa sekarang.
  10. Saya juga sarankan kepada semua guru, dalam masa cuti ini, tingkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam P & P dengan banyak MEMBACA buku-buku dan majalah-majalah pendidikan. Bacalah dan ambil idea-idea hasil kajian mereka. Semoga kita sama-sama berubah dan menjadi guru yang cemerlang dan profesional. Bukan guru Chalk and Talk atau Talk The Walk. Jangan terlalu asyik dan leka dengan facebook dan perkara-perkara yang melalaikan sehingga matlamat kita kepada pekerjaan dan sesuatu yang lebih penting dalam kehidupan terabai.
  11. Selamat bercuti, selamat Hari Raya Aidiladha dan sampaikan salam saya kepada seluruh keluarga cikgu. Semoga kita sentiasa di Rahmati Allah S.W.T - Amin

Wednesday, November 4, 2009

58. ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR 2009

  1. Agak lama juga blog ini tidak diupdatekan. Sejak masalah internet di sekolah dan sibuk dengan pelbagai perkara. Walau bagaimanapun semua program yang dirancang di akhir persekolahan sebelum cuti sekolah pada 21 November 2009 ini semuanya telah terlaksana dengan baik.
  2. Peperiksaan PMR berjalan dengan lancar. Pada tahun ini tidak banyak kerenah ditimbulkan oleh pelajar. Semuanya dapat menepati masa dan jadual yang ditetapkan. Pelajar yang tertinggal kad pengenalan dan slip peperiksaan juga tidak ramai. Semua ini berkat usaha semua guru terutama guru-guru yang bertugas yang menjaga pelajar semasa mereka hendak masuk ke dewan peperiksaan dan semasa mereka keluar. Pesanan demi pesanan di buat oleh guru-guru. Tahniah cikgu. Inilah pekerjaan kita.
  3. Dari komen guru-guru yang mengawasi peperiksaan PMR di SMKB sangat positif. Tidak banyak masalah ditimbulkan oleh pelajar kita. Semuanya berjalan lancar. Semua pengawas peperiksaan nampaknya sangat gembira berada di SMKB.
  4. Program PASCA PMR juga telah berjaya, terlaksana seperti yang dirancang. Tahniah kepada Cg Termizi dan Cg Wardah, 2 orang guru kaunseling kita yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai program. Penyertaan semua guru yang mengajar pelajar tingkatan 3 juga amat menggalakkan. Pengalaman saya bergusti lengan dengan kekalahan di tangan Azlan dan kemenangan dengan Abd Taib sangat menarik. Bagi saya Program PASCA PMR ini amat berjaya, kita telah membuat semua pelajar bergembira, setelah selama ini kita sogokkan mereka dengan kehendak-kehendak kita supaya mereka lulus dengan cemerlang. Saya percaya dengan hilai tawa dan jeritan mereka, mereka sudah merasa bebas dari belenggu yang selama ini kita sekat supaya mereka tampil dengan gaya seorang pelajar yang penuh disiplin.
  5. Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada semua guru bersama pengurusnya Cg Abd Gani (PKKK), atas kejayaan menguruskan HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR SMKB 2009 pada 23 Oktober 2009 lalu. Ia sangat berjaya sekali, dan perlu saya katakan saya sangat-sangat berpuas hati. Pejalanan majlis amat lancar, pengawasan disiplin yang saya lihat dari pentas oleh cg Sakiah, Tn. Haji Sharifdin dan beberapa orang guru lain yang langsung tidak duduk sepanjang perjalanan majlis menunjukkan bahawa betapa komitnya cikgu terhadap majlis supaya ia berjalan lancar tanpa dicemari oleh pelajar kita yang sedikit nakal. Saya amat berbangga, semua guru yang ditetapkan kepada AJK masing-masing dari AJK buku program sehingga AJK pembersihan telah memainkan peranan masing-masing dan faham akan tugas yang ditetapkan w/p ada seorang dua rakan kita yang sedap menikmati Chiken King. Saya sekali lagi menyatakan saya sangat berpuas hati dengan majlis tersebut, walaupun yang datang pada hari tersebut hanya wakil kepada PPD Mukah, iaitu Tn Haji Mustapha Bin Hj Sidek dari Unit Psikologi dan Kaunseling. Kejayaan majlis tersebut juga memberi isyarat bahawa kita sudah bersedia untuk mengundang Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak pada tahun hadapan.
  6. Saya juga yakin, pada masa sekarang guru-guru subjek tingkatan 5 juga sedang bertungkus lumus memastikan pelajar-pelajar yang akan menduduki SPM telah bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal dan memastikan kecemelangan milik kita bersama.
  7. Peperiksaan SPM di SMKB akan bermula pada 18 Nevember dan akan berakhir pada 9 Desember 2009. Sama-samalah kita doakan para pelajar kita terbuka hati dan minda mereka menerima ilmu yang diajar dan dapat menjawab soalan peperiksaan dengan yakin dan brsemangat. Tidak lupa juga ribuan terima kasih kepada Tuan Hj Quib, Imam Masjid Belawai yang menghubungi saya, akan mengadakan majlis sembahyang hajat kali ke dua bagi pelajar SMKB selepas diadakan di SMKB sebelum PMR baru-baru ini. Oleh itu semua warga sekolah dijemput ke Masjid Belawai pada 12 November 2009, sama-sama berjemaah maghrib dan isyak seterusnya bersama-sama bersembahyang hajat, mohon kepada Allah apa yang kita azamkan.
  8. InsyaAllah, kita akan berjaya. TERIMA KASIH CIKGU

P/S : Sama-sama kita doakan kepada staf sokongan sekolah kita Pn. Minda dan suami serta jemaah haji yang lain, semoga mereka sihat sejahtera sepanjang ujian semasa mengerjakan Haji di Makkah. Selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air.

Tuesday, August 25, 2009

56. 10 TIPS: Guru Dekati Hati Pelajar

Rencana ini dipetik dari Majalah The Teacher Daripada Guru Untuk Guru Julai 2009
Bagaimana menjadi seorang guru yang sentiasa dekat di hati pelajar? Sebagai panduan ada 10 tips bagaimana anda boleh menjadi seorang guru yang dihormati dan disayangi oleh pelajar anda.
  1. Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa hadir ke sekolah : Tempat seorang guru ialah bersama-sama pelajarnya di dalam kelas, jika seorang guru itu tiada bersama-sama pelajarnya bermakna guru itu tidak mengajar. Seseorang guru mungkin terpaksa meninggalkan kelas atau pelajarnya atas sebab-sebab rasmi atau peribadi, tetapi adalah dinasihatkan jangan terlalu kerap. Mungkin ada ketikanya anda berasa kurang sihat, jika tidak serius, cuba hadirkan diri ke sekolah. "Guru tetap" yang kurang sihat adalah 10 kali lebih baik dari "Guru ganti" yang sihat. Kehadiran tetap menjadi satu kemestian. Berbanggalah dengan rekod kedatangan yang sempurna.
  2. Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa ada bila diperlukan : Anda perlu membantu pelajar setiap masa. Ini bermaksud sebelum waktu sekolah, waktu rehat dan selepas sekolah. Anda tidak perlu melakukannya sepanjang masa. Mulakan dengan 2 hari seminggu sebagai contoh. Beritahu mereka waktu dan hari di mana mereka boleh berjumpa anda untuk tujuan berbincang. Jika ada keperluan dan mendapat sambutan, bolehlah ditambah menjadi tiga atau empat hari seminggu, itupun jika ia tidak TERLALU membebankan. Anda akan menjadi guru terbaik kepada pelajar. Bantulah mereka.
  3. Guru yang dekat di hati pelajar kenal pelajar mereka secara lebih dekat : Berbual dengan mereka semasa mengajar. Apakah muzik kegemaran mereka? Rancangan TV? Filem? Berbual dengan mereka di luar bilik darjah, di kantin atau di pondok bacaan. Lebih banyak anda tahu mengenai mengenai mereka, lebih mudah anda untuk menguasai diri dengan mereka. Adalah lebih mudah berbual dengan mereka ketika sedang mengajar. Kaitkan topik pengajaran dengan kehidupan mereka sebagai satu cara memulakan perbualan dengan mereka. Selain itu, hafal dan ingat nama mereka secepat mungkin.
  4. Guru yang dekat di hati pelajar perlu kenal ibu bapa pelajar : Dapatkan nombor telefon ibu bapa pelajar. Cuba hubungi mereka sekali sekala, jika mampu, hubungi sekerap mungkin. Anda tidak perlu berbual lama, sekadar bertanya khabar dan tunjukkan anda mengambil berat mengenai anak mereka dan pelajaran mereka. Hubungan ini secara tidak langsung akan membantu prestasi pelajar. Prestasi mereka akan meningkat dan akan lebih bersopan apabila mereka tahu anda mengenali dan sering berbual dengan ibu bapa mereka.
  5. Guru yang dekat di hati pelajar tahu apa yang mereka ajar : Jika anda tidak tahu mengenai sesuatu topik, bagaimana anda mahu mengajar? Guru perlu membuat persediaan secukupnya sebelum memasuki kelas. Sebaiknya, bersedialah sebaik sahaja anda menulis rancangan mingguan anda. Percayalah, jika anda mengajar tanpa persediaaan secukupnya, anda akan merasa menyesal setelah anda meninggalkan kelas anda. Jadi pastikan anda bersedia sebelum memasuki kelas.
  6. Guru yang dekat di hati pelajar menghadiri setiap acara sekolah : Pastikan anda sentiasa hadir dalam setiap acara di sekolah, seperti perhimpunan, sukan sekolah dan hari penyampaian hadiah. Kehadiran anda di setiap acara berkenaan akan menunjukkan kepada pelajar anda bahawa anda mengambil berat tentang mereka dan sentiasa menyokong kegiatan yang mereka sertai.
  7. Guru yang dekat di hati pelajar tinggal dalam kejiranan sekolah : Jika anda tidak tinggal dalam kawasan kejiranan sekolah, anda boleh mendekati pelajar yang tinggal dalam kejiranan sekolah dengan cara membeli belah atau makan di kedai makan berhampiran sekolah selepas waktu sekolah atau pada hujung minggu. Mungkin ada ibu bapa pelajar yang menjalankan perniagaan berhampiran sekolah atau pelajar sendiri membeli belah belah di kedai berkenaan. Cuba pantau kehidupan mereka. Lebih kerap pelajar melihat anda, maka akan lebih baik kelakuan dan sikap mereka di dalam kelas. Mereka akan melihat anda sebagai sebahagian daripada mereka.
  8. Guru yang dekat di hati pelajar makan di kantin sekolah : Di sesetengah sekolah, ada guru yang sering makan di luar kawasan sekolah atau membawa bekal dari rumah dan makan di bilik guru sahaja. Cubalah bersama mereka di kantin, makan bersama mereka di kantin. Sebahai contoh berbual mengenai makanan kegemaran mereka dan bagaimana mereka membelanjakan wang poket mereka setiap hari. Mana tahu, mungkin ada pelajar anda yang sering meminggirkan diri pada waktu rehat.
  9. Guru yang dekat di hati pelajar sentiasa berlakuk adil : Sentiasa harapkan yang terbaik dari pelajar anda, tetap pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik. Berlaku adil tidak semestinya menjadikan anda tegas atau terlalu berlembut. Secara mudahnya, anda perlu menilai dan melayan pelajar berdasarkan kemampuan mereka.
  10. Guru yang dekat di hati pelajar tidak akan hilang sabar : Tahan kemarahan, semuanya akan berlalu. Jangan terbawa-bawa dengan rasa geram dan emosi. Pelbagai perkara boleh berlaku di dalam bilik darjah. Tangani masalah di dalam bilik darjah secara profesional. Mengambil tindakan mengikut emosi dan secara melulu hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi kesan kepada karier anda di kemudian hari.
  11. Sentiasa harapkan yang terbaik dari pelajar anda, tetapi pada masa yang sama anda perlu fleksibel. Tidak semua pelajar mampu menjadi yang terbaik

Wednesday, August 19, 2009

55. Selamat Bercuti dan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa

  1. Minggu depan sekolah akan bercuti selama seminggu. Ini bermakna semua pelajar dan guru dapatlah berehat. Walau bagaimanapun dalam pada itu bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM masa yang ditunggu semakin dekat. Sementara bagi guru-guru walaupun bercuti perlu menghabiskan semakan kertas jawapan pelajar.
  2. Saya percaya semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini sedang berusaha bersungguh-sungguh kerana mereka tahu peperiksaan ini sangat penting untuk masa depan masing-masing. Bagi pelajar tingkatan 3, inilah masanya kita perlu menunjukkan bahawa kita juga pelajar cemerlang dengan memperbaiki keputusan UPSR yang lalu. Dengan keputusan peperiksaan PMR yang baik nanti, para pelajar dapat meneruskan pelajaran ke tempat lain terutama di sekolah Teknik dan melihat bahawa dunia ini sangat luas, bukannya kita terkongkong di kawasan Tanjung Manis dan Sarikei sahaja.
  3. Begitu juga dengan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM. Peperiksaan ini sangat bererti sekali kerana nilai sijilnya sangat tinggi. Dengan keputusan yang baik sudah tentulah akan menjamin para pelajar akan menyambung pelajaran sama ada ke tingkatan 6 atau ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Diploma.
  4. Jangan ada penyesalan dalam hidup kita, bak kata pepatah Sesal dahulu pendapatan, sesal Kemudian Tidak Berguna. Ikulah nasihat guru-guru kerana mereka adalah orang yang terlatih memandu kita kearah kecemerlangan terutama dalam pelajaran. Jangan selepas keputusan peperiksaan keluar, dan masing-masing dah dapat slip. Mula dengar tangisan penyesalan dan mula marahkan diri sendiri kenapalah aku dulu tidak belajar bersungguh-sungguh, kalaulah aku belajar persungguh tentu keputusan lebih baik dari ini.
  5. Nak masuk tingkatan 6 pun susah, inikan pula nak keperingkat yang lebih tinggi. Dah tu adalah dikalangan pelajar mula membuat rayuan masuk ke tingkatan 6. Merayu-rayu kita supaya kita di terima. Jika keputusan kita bagus perkara-perkara yang mamalukan kita seperti itu tidak akan berlaku.
  6. Para pelajar ambillah iktibar dari orang lain, bagaimana kehidupan orang berjaya dalam pelajaran dan bagaimana rupanya kehidupan orang yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Benar rezeki itu dari Allah, tetapi jika berusaha lebih dari orang lain maka Allah akan memberi lebih dari orang lain. Setiap usaha kita pasti ada ganjarannya, kita perlu berusaha dan kemudian kita bertawakkal kepadanya.
  7. Oleh itu gunakanlah masa cuti ini sebaik mungkin, belajarlah di rumah, kurangkan masa melepak di tepi jalan yang tidak membawa faedah. Ulangkaji pelajaran, jaga kesihatan dan makan minum terutama keadaan sekarang dengan menularnya penyakit H1N1.
  8. Saya juga yakin guru-guru telah melakukan sesuatu yang terbaik untuk para pelajar SMK Belawai. Kerja rumah yang diberi mencukupi dan akan disemak dengan sepenuhnya. Saya yakin pada tahun ini kita akan berjaya meletakkan SMK Belawai di luar kawasan SPR - sekolah Prestasi Rendah atau keputusan lulus lebih 50%. Kita mesti mencapai target iaitu lebih 65% seperti yang dipersetujui bersama.
  9. Di saat-saat akhir ini gunakan budi bicara cikgu, berikan motivasi sepenuhnya kepada pelajar. Selalu ingatkan mereka tetang pentingnya pelajaran dalam hidup. Uji mereka dengan soalan-soalan peperiksaan lalu atau soalan-soalan dari sekolah-sekolah lain. Buat runcingan soalan dan kenalpasti tajuk-tajuk yang sering keluar. Berikan penekanan kepada bab-bab penting dan yang paling penting adalah bagaimana kita gunakan pendekatan MaCS dengan berkesan. Kenalpasi potensi pelajar dan kita mengajar mereka dengan berkesan.
  10. Dalam masa cuti ini, cikgu fikir-fikirlah sesuatu yang terbaik yang kita dapat persembahkan kepada pelajar dalam P & P. Jangan cepat mengalah dan terlalu emosi. Buat kajian untuk diri sendiri supaya apa yang kita persembahkan kepada pelajar adalah sesuatu yang istimewa dan dikenang pelajar sehingga akhir hayat. Sebagai seorang guru kita bermain dengan perasaan. Jika kita pandai mengambil hati pelajar, pelajar akan suka akan kelas kita, tetapi jika sebaliknnya perasaan meluat yang meluap-luap jika lahir dalam diri pelajar, ia akan menimbulkan banyak masalah kepada P & P seterusnya. Bagi guru-guru yang hebat sudah tentu pelajar akan tertunggu-tunggu kedatangan tetapi bagi guru sebaliknya pelajar harap guru tersebut tidak datang.
  11. Guru yang baik bukan semestinya garang tetapi tindak tanduknya dihormati. Bukan sahaja dikalangan pelajar tetapi dikalangan rakan guru. Kerja hebat, masa masuk kelasnya hebat, P & P hebat dan mempunyai sikap yang baik serta dihormati. Saya yakin semua nilai ini dimiliki oleh semua guru di SMKB dan SMKB akan berjaya seperti yang dicanangkan.
  12. Akhir sekali saya mengucapkan selamat bercuti kepada semua guru dan pelajar. Selamat balik kampung. Jaga kesihatan lebih-lebih lagi pada masa sekarang wabak H1N1 yang sedang menular dan telah mengorbankan banyak nyawa. Pakai topeng muka jika ditempat awam. Minum air bersih, cuci tangan baik-baik sebelum makan. Tutup mulut ketika bersin dan waspada selalu. Sampai kita berjumpa lagi selepas cuti. Salam kemerdekaan dari saya dan selamat menunaikan ibadah puasa, semoga kita melaluinya dengan penuh keimanan. Wassalam

Wednesday, August 12, 2009

54. DUGAAN YANG MAHA KUASA

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan izinnya jua masalah air yang dihadapi oleh SMKB selama lebih seminggu yang memaksa kita bercuti ganti kian pulih. Petang tadi jam 4 petang (12 Ogos) saya dimaklumkan oleh pegawai JKR En.Liku, pihak JKR akan mengepam air, sebelah pagi dari jam 8.00 hingga 10.00 pagi, petang dari jam 4.00 hingga 6.00 petang dan sebelah malam dari jam 8.00 malam hingga 10.30 malam.
  2. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak JKR Belawai, terutama En. Liku dan rakan-rakannya dan JKR Sarikei terutama En. Salihin, En. Azri dan En. Chieng yang betungkus lumus mengatasi masalah kemudahan asas ini. Demikian juga Timbalan Pengarah JKR, En Safri yang sentiasa menghubungi saya dari masa ke semasa bertanyakan tentang masalah ini selain dari pejabat Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak- Cg Melisa dan dari PPD Mukah serta Daro.

  3. Keperihatian pihak JKR ( Yang selama ini dipermainkan dengan kata-kata Jangan Kerja Rajin) nampaknya salah sama sekali. Bantuan air pertama yang diterima oleh SMKB pada tengah malam (12.30 malam) 4 Ogos 2009 bersama En. Azri dan rakan-rakannya membuktikan bahawa JKR (JAGA KEBAJIKAN RAKYAT). Tahniah semoga berkekalan dan dengan penuh harapan kita mengharapkan bantuan JKR dari masa ke semasa. Jika ada peruntukan, pihak sekolah juga akan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang disarankan oleh pihak JKR.

  4. Ucapan terima kasih juga kepada pihak YB Datuk Norah Tun Rahman, YDP PIBG, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Belawai dan orang perseorangan yang sentiasa bertanya khabar tentang masalah sekolah.

  5. Di SMKB kita sangat memahami bahawa masalah ini bukannya masalah langsung dari kelemahan manusia tetapi sedikit ujian dari yang maha kuasa (KEMARAU). Walau bagaimanapun sejak semalam 11 Ogos hujan sudah mula turun (Dipercayai pembenihan awan yang dilakukan) dan kita percaya dengan kehendaknya juga masalah ini akan diatasi.

  6. Keputusan sekolah ditutup pada 3 Ogos hingga 7 Ogos adalah jalan terakhir yang difikirkan sangat perlu pada masa tersebut. Lebih-lebih lagi SMKB adalah sekolah harian berasrama. Cuti sekolah ini adalah cuti berganti dan telah diluluskan oleh pihak Jabatan Pelajaran. Para pelajar akan diberitahu dari masa kesemasa tarikh-tarikh sekolah ganti (Hari Sabtu)yang telah ditetapkan.

  7. 10 Ogos 2009 sekolah telah dibuka semula, walaupun tidak pulih sepenuhnya tetapi saya dapati bahawa semua warga sekolah, guru-guru dan murid-muridnya sangat bersemangat untuk sama-sama memulakan P & P. Ini menunjukkan masalah yang kita hadapi sekarang bukan alasan SMKB tidak boleh Cemerlang 2010. Begitu juga dengan ibu bapa yang SMS dan membuat panggilan di pejabat, bertanyakan bila sekolah akan dibuka semula.

  8. Saya merasa terharu mendengar bahawa ada dikalangan penduduk setempat yang mengambil murid-murid yang jauh sebagai anak angkat sehingga kini untuk meringankan beban sekolah. Semoga budi baik yang ditunjukkan oleh penduduk kampung dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah S.W.T. Tidak kurang juga murid-murid dari Kampung Jerijeh yang mohon kepada saya menganggut air untuk kegunaan tandas murid dan guru dan penduduk kampung yang sentiasa mempelawa mengambil air dari perigi yang digali di rumah masing-masing.

  9. Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan bahawa dugaan Allah S.W.T ini ada hikmah disebaliknya: Saya petik sedikit tulisan dari blog ini http://sahamump.blogspot.com/2009/04/tujuan-dugaan-allah-swt-kepada-hambanya.html Antara hikmah dugaan Allah ialah:

    **Untuk membersihkan dan memilih, yang mana orang mukmin yang sejati dan yang mana orang2 munafik

    **Untuk mengangkat darjat dan menghapuskan dosa

    **Untuk menguji sejauh mana ketaatan dan kesabaran hambaNya

    **Untuk membentuk dan mendidik keperibadian manusia, sehingga menjadi umat yang berbudi tinggi

    **Sebagai latihan, supaya manusia terbiasa menerima berbagai ujian, dengan demikian akan bertambah kesabaran, kuat cita-cita dan tetap pendirian.
  10. Piala Kemenangan Asrama Terbilang- Tempat ke 4

    Tempat pertama : SMK Siburan- Kuching. Tempat kedua : SMK Merapoh Lawas-Limbang. Tempat ketiga: SMK Dato' Patinggi Kedit, Betong. Keempat: SMK Belawai, Daro-Mukah.

  11. Semasa guru-guru dan murid-murid bercuti, pada hari Jumaat 7 Ogos 2009 sekolah kita telah di lawati oleh 2 orang pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Cg Selamat dan Cg Wahab Wak. Tujuan utamanya adalah untuk membuat penilaian ke dua Asrama SMKB sambil memantau pembangunan sekolah. Keputusan yang diumumkan di SMK Agama Sri Aman sangat memberangsangkan. Walaupun asrama SMKB dinobatkan tempat ke 4 dari 10 penyertaan peringkat Negeri Sarawak sangat membanggakan. Kali pertama SMKB menyertainya kita mampu berjaya ke tahap itu. Tahniah kepada semua wardan dan pelajar asrama. InsyaAllah tahun hadapan kita akan berusaha dengan gigih dan mencari kelemahan serta membaikinya.

  12. Sekali lagi, ingin saya ingatkan kepada semua warga sekolah jagalah kesihatan, jagalah makan minum, belajar berjimat cermat dan hadapi dugaan ini dengan tabah dan hati yang cekal, semoga kita beroleh kejayaan dan sentiasa di lindungi Allah.

Gambar Hiasan - Seronoknya dapat mandi macam ini. Lokasi Air Terjun Lata Bukit Hijau, Kedah. Pantai Belawai Pun Best... jika ada guru yang berminat boleh kita tubuh Kelab Berkayak kan?

Friday, July 24, 2009

53. SAMBUTAN HARI K0-K DI SMKB

Para pelajar Pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) sedang giat berlatih kawad.

Johan milik siapa? Belum tahu.. 25 Julai 2009 penentunya.

  1. Hari kokurkulum yang merupakan hari kemuncak bagi aktiviti kokurikulum di SMKB adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar selain Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan merupakan sesuatu yang penting dalam pengurusan sesebuah sekolah. Rancangan dan segala aktiviti yang disusun dan diselaraskan oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Abdul Gani dan Ahli Jawatankuasanya, sebegitu rupa diharap dapat memberikan kesan yang positif kepada peningkatan kegiatan kokurikulum dan tahap kecergasan pelajar sekolah ini.
  2. Pada hari inilah murid-murid dapat menunjukkan kebolehan dan potensi diri kepada para ibu bapa dan masyarakat, bahawa mereka dapat berkembang maju dalam kegiatan kokurikulum. Mereka telah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya menunjukkan bakat yang ada sama ada bakat berkawat, bakat menempuh halangan, menangani musuh dan lain-lain yang terpendam dalam diri. Bakat-bakat ini yang sememangnya ada pada diri pelajar yang jarang sekali ditunjukkan dan tidak diketahui oleh ibu bapa yang dicungkil oleh guru-guru dan memperlihatkan tentang kemenjadian murid berasaskan disiplin.
  3. Dengan adanya hari kokurikulum ini juga masyarakat dan ibu bapa juga diperlihatkan bahawa guru-guru sekolah ini mempunyai keupayaan, pengetahuan, kemahiran , kecekapan, semangat dan kebolehan iktisas serta kepercayaan professional untuk memberi pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak kita di SMKB.
  4. Selain dari itu masyarakat dan ibu bapa juga dapat mengetahui bahawasanya sekolah ini mempunyai keupayaan dari segi menyediakan kemudahan fizikal agar guru-guru dan murid-muridnya dapat menjalankan kegiatan kokurikulum dalam keadaan selesa dan harmoni bahkan dapat mengeratkan lagi silaturahim antara pihak sekolah dan masyarakat sekitar.
  5. Dari susunan aktiviti yang dirancang sepanjang 2 hari ini 24 Julai-25 Julai, seperti pertandingan kawad, Gerai jualan dan Asrama Terbuka, saya percaya matlamat hari kokurikulum mencapai matlamatnya. Kerana semua ini memperlihatkan semangat kerjasama yang tinggi dan berkekalan dikalangan murid- murid. Ia menghapuskan sikap “Mudah mengalah”, “Tidak apa” dan “ Acuh tak acuh” dikalangan murid sebaliknya mewujudkan semangat berlumba dan sensitiviti yang tinggi terhadap pencapaian yang cemerlang yang ditunjukkan oleh rakan-rakan selain membentuk nilai baik bagi memperlengkapkan pelajar dengan kecekapan dan kemahiran ke arah kecemerlangan Akademik dan kokurikulum.


Para pelajar sedang sibuk melayani pelanggan yang datang ke gerai mereka. Semoga dengan ini cara ini mereka dipupuk dengan semangat untuk hidup berdikari, tidak malu menunjukkan bakat selain dapat mencari dana untuk aktiviti kelab dan persatuan.



Keadaan asrama yang bersih dan menarik ini adalah gandingan kerjasama antara semua pelajar. Jika tidak ada kerjasama tentunya keadaan sebegini tidak akan tercapai. Gambar diatas di rakam di kamar 9 Asrama Putera. Tidak hairanlan asrama SMKB kini dalam kategori 4 terbaik selepas penilaian pertama untuk asrama cemerlang bagi seluruh Negeri Sarawak dan terbaik di Bahagian Mukah. Tahniah kepada semua pelajar dan semua warden SMKB.

Thursday, July 23, 2009

52. Buang sindrom lesu, malas fikir - TPM

Utusan Malaysia Online

22 Julai 2009

  1. KUALA LUMPUR 22 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru anggota masyarakat membuang sindrom kelesuan, kemalasan dan kelemahan berfikir dengan memperluaskan penghayatan budaya berfikir
  2. Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya rakyat lesu daya fikir dan lemah kekuatan minda serta terus khayal dengan aktiviti-aktiviti yang melekakan, akhirnya masyarakat akan ketandusan jiwa.
  3. "Kita perlu menjana masyarakat yang berbudaya fikir tinggi dengan kecenderungan untuk membuat kajian, melakukan penganalisaan, menerbitkan karya ilmiah berkualiti, menggemari wacana ilmiah dan menghargai golongan ilmuwan.
  4. "Masyarakat yang maju akan menjadikan budaya fikir sebagai sebahagian daripada budaya hidup mereka
  5. ''Inilah faktor penentu yang bakal menjamin pembangunan tamadun baru dan kewujudan bangsa cemerlang pada masa depan," katanya.
  6. Muhyiddin berucap pada Malam Sumbangsih Yayasan Nurul Yaqeen Apresiasi Ke-18 Tahun di Hotel Hilton di sini malam ini.
  7. Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar.
  8. Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen berkata, generasi masa kini dan masa depan mestilah dibina dengan penjiwaan dan penghayatan agama agar tidak tenggelam dalam arus kebendaan.
  9. Menurut beliau, tanpa dorongan dan landasan keagamaan, ia akan menjadi seperti masyarakat sekular barat yang melihat sesuatu melalui sudut yang begitu relatif, pragmatik dan rasionalistik semata-mata.
  10. Katanya, ini akan mengakibatkan kepincangan pembangunan dan mencetuskan keruntuhan generasi seperti yang sedang berlaku di negara mereka.
  11. "Kekhuatiran terhadap kualiti generasi muda dalam menangani cabaran masa depan bukanlah sesuatu yang tidak berasas langsung, kita boleh dapati penglibatan generasi muda dalam masalah sosial yang kritikal.
  12. "Oleh sebab itu, kita perlu membina generasi muda yang berpegang kepada nilai-nilai kudus, kental jati diri, berkeperibadian mulia, berketerampilan, tinggi daya tahan serta daya juang," jelasnya.
  13. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Nurul Yaqeen yang bermaksud cahaya keyakinan ini memiliki aspirasi yang besar untuk bersama-sama menyumbang ke arah meningkatkan taraf pencapaian dan kecemerlangan masyarakat Malaysia baik dari segi ekonomi, pendidikan, kepimpinan, kerohanian, sosiobudaya mahupun sosiopolitik.
  14. Kata beliau, ini terbukti menerusi komitmen yayasan itu menganjurkan ratusan program dengan perbelanjaan melebihi RM30 juta dengan golongan sasaran melebihi ratusan ribu orang sejak ia mula bergerak aktif sepenuhnya pada tahun 1996.
  15. "Yayasan Nurul Yaqeen merupakan sebuah institusi berteraskan kebajikan yang saya yakin mampu menjadi wadah kepada saya mahupun mana-mana pihak yang sudi bekerjasama bagi melakukan amal kebajikan untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan," katanya.

Friday, May 15, 2009

50. PERUTUSAN HARI GURU

  1. Bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana sekali lagi pada 16 Mei 2009 (Hari Guru Antarabangsa di tetapkan oleh UNESCO ialah pada 5 Oktober setiap tahun) kita akan menyambut Hari Guru (Jika tidak salah yang ke 37 bermula dari tahun 1972), Hari keramat bagi semua insan yang bergelar guru. Pemilihan tema Hari Guru tahun ini Guru Pembina Negara Bangsa amat bertepatan sekali dengan keadaan politik semasa yang agak longgar, dan timbul beberapa isu hubungan kaum yang menimbulkan ketegangan, akhirnya boleh menimbulkan malapetaka yang besar.
  2. Tema hari guru tahun ini juga menyedarkan kita bahawa, selama ini Negara kita, Malaysia membangun atas keringat guru. Berbagai usaha ditunjukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, untuk melihat hubungan kaum di Malaysia harmoni seperti sekolah wawasan dan yang boleh dikira baru ialah program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan).
  3. Sebagai rakyat Malaysia kita sangat beruntung, hak seseorang individu tidak diketepikan. Antara hak yang termaktub dalam undang-undang ialah hak untuk bersekolah. Tindakan undang-undang boleh diambil jika kanak-kanak tidak di beri peluang untuk belajar tanpa sebarang alasan. Oleh kerana permulaan kehidupan anak-anak di sekolah, adalah wajar anak-anak diajar dengan nilai-nilai kasih sayang antara satu sama lain selain belajar hidup bermasyarakat dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Di sekolah juga pelajar dapat mempelajari sejarah hubungan kaum dan mengambil iktibar atas peristiwa-peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969.
  4. Pembentukan sebuah Negara Bangsa perlukan satu kerjasama dan penyatuan kaum yang jitu dan permuafakatan. Sokongan daripada semua lapisan masyarakat serta pelaksanaan yang cekap dan berkesan adalah amat penting. Oleh itu kaum guru di lihat sebagai golongan professional yang mampu berusaha membentuk Negara bangsa yang unggul dan dikenali di peringkat dunia serta boleh dijadikan model kepada Negara membangun yang lain.
  5. Saya seringkali mengingatkan, setiap dari kita adalah pemimpin. Guru adalah pemimpin kepada pelajar, dimana seseorang pemimpin itu adalah seseorang yang berupaya memujuk, mendorong dan mempengaruhi orang lain untuk melaksanakan sesuatu kearah mencapai matlamat. Di SMKB kita telah menetapkan matlamat “SMKB CEMERLANG 2010”. Maka semua warga sekolah bermula dari guru-guru, para pelajar, kakitangan sokongan, pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan, tidak kira apa bangsa sekalipun perlu sama-sama berusaha mencapai matlamat yang telah kita persetujui.
  6. Di SMKB semua guru adalah sama, walaupun statusnya GSTT. Tiada bezanya dengan guru-guru terlatih yang lain. Di SMKB saya ingin melihat semua guru bersatu dan menjalankan tugas yang di amanahkan dengan jujur dan iklas. Bersatu kita teguh bercerai roboh. Sesuatu program sekolah tidak akan berjaya jika tanpa penglibatan semua guru. Bagi guru-guru GSTT yang berpeluang berkhidmat di SMKB gunakan kesempatan ini untuk memupuk minat dan sebagai batu lonjakan untuk berkhidmat sebagai pendidik yang berjaya.
  7. KENAPA SMKB PERLU CEMERLANG PADA 2010? Untuk mencapai kejayaan kita perlu ada “Time Frame” – Berdasarkan PIPP (Plan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010) maka matlamat kecemerlangan SMKB perlu selari dengan PIPP. Selepas PIPP berakhir pada 2010 kita percaya tentunya Kementerian Pelajaran mempunyai rancangan seterusnya demi kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Alhamdulillah, setelah kita war-warkan kepada warga sekolah, nampaknya semua warga sudah bersedia mengambil cabaran untuk cemerlang 2010.
  8. (Rujukan: http://remitigs.edublogs.org/2008/11/12/peranan-pengetua-dalam-usaha-menerapkan-prinsip-etika-kerja-kpm-untuk-kecemerlangan-sekolah/ ) Cemerlang mengikut Kamus Sistem (1982) memberi maksud berkilauan, bercahaya dengan terang, sangat baik dan sangat indah. Manakala berdasarkan Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (1987) pula, kecemerlangan membawa maksud hal atau keadaan cemerlang atau kegemilangan. Kesimpulannya kecemerlangan merupakan pencapaian terhadap sesuatu hasil kerja yang berjaya membawa sesuatu pihak atau organisasi ke peringkat yang lebih tinggi.
  9. Dalam usaha mencapai kecemerlangan sesebuah organisasi, budaya kerja cemerlang amat penting diterapkan dalam kalangan pemimpin dan kakitangan di bawah kawalannya. Budaya kerja merupakan satu kumpulan nilai-nilai atau prinsip-prinsip yang diterima oleh seseorang atau sesuatu kumpulan sebagai amalan ketika menjalankan tugas atau tanggungjawab yang diamanahkan.
  10. Kecemerlangan sesebuah organisasi hanya boleh dicapai apabila mendapat sokongan secara bersepadu dan bantuan daripada pihak-pihak yang terlibat. Dalam konteks organisasi sekolah, kerjasama di antara pengetua, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan juga stakeholder adalah amat mustahak.
  11. Kecemerlangan sekolah mempunyai pelbagai takrifan. Secara umumnya takrifan ini bergantung kepada persepsi serta nilai yang berbeza daripada pelbagai pihak. Umum memberikan penekanan kepada kecemerlangan akademik sebagai kayu pengukur kecemerlangan sekolah. Mengikut Sergiovanni (2001), terdapat aspek-aspek lain yang diberi penekanan selain akademik iaitu keprihatinan guru-guru terhadap pelajar, keselamatan di sekolah, dan kerjasama ibu bapa dan sekolah.
  12. Bagi pelajar pula sekolah berkesan dan cemerlang adalah sekolah yang memberi peluang yang sama, mempunyai persekitaran yang cantik, bersih dan harmonis serta mempunyai guru-guru yang membantu mereka meningkatkan prestasi pembelajaran dan kreativiti. Pihak sekolah pula menekankan perkembangan pelajar yang seimbang, komunikasi yang baik di kalangan staf, perkembangan staf yang berterusan dan persekitaran kerja yang baik (Garbutt, 1996). Jelaslah bahawa sekolah mempunyai pelbagai tuntutan daripada masyarakat. Justeru, sekolah haruslah berperanan sebagai sebuah organisasi yang dinamik dan mengamalkan strategi pengurusan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa seterusnya melahirkan sebuah negara bangsa yang maju.
  13. Kecemerlangan bukan semata-semata dengan pengiktirafan sijil atau anugerah. Tetapi konsep kecemerlangan adalah luas. InsyaAllah selepas 2010 setelah kita cemerlang, kita akan target Gemilang. Contohnya akademik – dimana target cemerlang kita hanya kelulusan tertinggi tetapi selepas 2010 apabila kita akan masuk ke tahap Gemilang target kita perlu ada tranformasi, iaitu target Kualiti Pencapaian.

SELAMAT HARI GURU

JADILAH SEORANG GURU YANG BERETIKA

Sunday, May 10, 2009

49. TERIMA KASIH CIKGU

  1. Tanpa disedari, nampaknya sudah setahun blog ini beroperasi. Kali pertama posting pada 7 Mei 2008 dengan tajuk "Faktor-faktor yang melemahkan minda" dan akhirnya blog ini telah menjadi penghubung antara saya dengan rakan-rakan guru. Harapan saya agar blog ini mendatangkan banyak manfaat.
  2. Saya sangat terhutang budi kepada seorang sahabat, En. Lokman, orang pertama yang memperkenalkan dan mengajar saya membuat blog sendiri (pada masa tersebut semua orang bercakap tentang blog). Dalam masa 15 minit (sbb ada temujanji) dengan semangat ingin tahu yang amat mendalam blog ini diwujudkan dengan tanpa tujuan tertentu tetapi dengan harapan dapatlah mula menulis semula seperti dulu sehingga kemuncaknya dapatlah hadiah. (Tempat kedua Sajak Berunsur Islam anjuran Jabatan Agama Islam Kedah)
  3. Walaupun blog ini tidak sehebat blog rakan-rakan yang lain dan lebih bersifat peribadi, Namun saya rasa ada kebaikkannya kerana kata orang "Tak kenal maka tak cinta". Apabila kita mengenali seseorang maka kita senang untuk bekerja, kerana saya merasakan kita dalam sebuah keluarga yang besar yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain.
  4. Jika dilihat pada "Counter" dalam blog ini nampaknya membanggakan juga, lebih 4,000 orang telah membukanya sama ada secara sengaja atau tidak oleh guru-guru di SMKB atau sebaliknya. Sedikit sebanyak guru-guru di SMKB terutamanya dapat memahami apa azam saya terhadap pekerjaan dan harapan saya terhadap rakan-rakan guru dan bukan guru di bawah seliaan saya. Sesuatu yang kita buat, kita kena buat bersungguh-sungguh kerana jika kita tidak buat bersungguh-sungguh, ia adalah satu kerugian, sebaliknya jika tidak tercapai juga, kita boleh berpuas hati kerana kita sudah berusaha tetapi ada yang lebih berkuasa yang menentukannya - Allah.
  5. Sebagai seorang yang di latih dalam bidang perakaunan dan perdagangan "Bijak Merebut Peluang" adalah satu perkara yang saya sering titik beratkan dan tidak boleh diabaikan. Peluang yang datang kadangkala sekali sahaja dalam hidup kita, jika kita terlepas peluang tersebut maka untuk menantikan peluang yang lain tentunya memakan masa atau tiada peluang lagi. Kita berpeluang membangunkan SMKB, maka sama-samalah kita berjuang supaya apa yang kita sasarkan akan berjaya. Semoga jasa kita dikenang ibarat Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Kejayaan di SMKB adalah kejayaan kita bersama.
  6. InsyaAllah, Blog TERIMA KASIH CIKGU - yang kini sudah mempunyai satu objektif yang jelas akan diteruskan dengan memberi info-info berguna kepada masyarakat guru dalam memperkasakan profesion perguruan terutama di SMKB. Saya percaya dari pengalaman yang ada dan dari kursus-kursus yang saya hadiri akan saya paparkan supaya kita sama-sama dapat berkongsi ilmu.
  7. Bagi rakan-rakan saya di Alor Setar, Terengganu dan Cg Naimah - (Yang sama-sama mejadi JU- Jurulatih Utama Perdagangan bg Negeri Sarawak) yang terjumpa blog ini dan menghubungi saya, saya sangat-sangat gembira kerana nampaknya tidak terputus silaturahim antara kita walau di mana kita berada .

TERIMA KASIH CIKGU -

48. SELAMAT HARI IBU

SELAMAT HARI IBU KEPADA BONDA TERSAYANG HJH. RAHMAH BT HJ. YAACOB. SEMOGA ALLAH PANJANGKAN UMUR DAN DIMURAHKAN REZEKI. TERIMA KASIH BONDA KERANA MEMAHAMI DIRI INI DAN MELAYANI KAMI ADIK BERADIK DENGAN PENUH KASIH SAYANG YANG TIADA TERNILAI.


Gambar Keluarga Disember 2008

Belakang Dari Kiri, Nurul Nadhirah (Anak), Latifah Sa'da (Isteri), Saya, Asma Laili (Adik), Norilyani (Adik). Depan Dari Kiri, Mohamad Muzzammil (Anak), Hj. Mat Saad (Ayahanda), Hjh. Che Dah (Nenek) dan Hjh. Rahmah (Bonda). 2 orang adik lelaki yang tiada dalam gambar, Zainol dan Rosli.

"Semoga Allah Memberkati Keluarga ini dan Senantiasa Dalam Peliharaannya" Amin...

Monday, April 13, 2009

47. GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG

Berikut adalah lirik hari guru yang dipetik dari
http://www.moe.gov.my/hariguru/lagu.html

Guru cemerlang mengasih dan menyayang
Mendidik anak bangsa seikhlas jiwa
Gigih terus bakti hidup penuh berbudi
Maruah profesional disanjung tinggi

c/0 Guru berjasa berkhidmat dengan setia
Menjulang nama bangsa di mata dunia
Hebat tidak bermegah waja dan berkarisma
Realisasi visi dan sejati

Guru cemerlang Negara terbilang
Keunggulan dan pendidikan di mata bangsa
Guru cemerlang Negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia berkibaran

Lagu & Lirik : Rosli Ahmad, BTP


  1. Kurang lebih sebulan lagi, guru-guru akan menyambut Hari Guru. Hari yang paling bermakna bagi semua guru kerana di beri penghormatan, di rai seluruh negara.

  2. Jika kita diperhatikan tema hari guru sejak tahun 1972 , semua tema meletakkan pengharapan yang sangat tinggi kepada guru. Peranan guru sangat besar. Segalanya terletak di tangan guru. Jatuh bangun sesebuah negara juga terletak di tangan guru.

  3. Oleh itu kita sebagai generasi pewaris, kita perlu memberi kepercayaan kepada masyarakat bahawa kita juga seperti guru-guru zaman silam yang sentiasa dihormati dan diberi kepercayaan sepenuhnya mendidik anak bangsa tanpa ragu. Bukannya guru yang menjadi Haruan Makan Anak yang dilakukan oleh sebilangan kecil guru lalu mencemarkan nama baik dan reputasi profesion perguruan. "Sekolah perlu menyediakan 2 peluang kepada pelajar iaitu peluang untuk dididik dan memperolehi harga diri (Identiti kejayaan) dan peluang untuk memberi dan menerima kasih sayang" - Building Character In School, Kavin Ryan & Karen E Bohlin (1999).

  4. Jadilah guru yang berkesan iaitu guru yang mampu menghasilkan pembelajaran yang DIINGINI. "An Effective teacher is one that is able to bring about INTENDED Learning Outcomes" - Cooper, 1994, Clasroom Teaching Skill. Dimana guru-guru perlu mempunyai ilmu yang tinggi, guru zaman sekarang perlu bersedia dengan pemahaman tingkah laku murid, mempunyai sikap positif terhadap murid dan pengajaran, menguasai ilmu mata pelajaran yang diajar dan mempunyai teknik-teknik P & P yang terkini.

  5. Saya selalu berpesan kepada guru-guru, semasa kita bercuti atau bila-bila masa sahaja, carilah, bacalah buku-buku berkenaan dunia pendidikan supaya kita menjadi guru yang profesional, bukannya seorang guru yang chalk and talk sehingga tamat perkhidmatan. Pn. Junaidah Abd Jamil pensyarah IAB Cawangan Utara selalu berpesan kepada guru-guru " Jangan jadikan buku yang dibaca di maktab atau di universiti itu adalah buku yang terakhir dibaca dalam kamus hidup kita sebagai seorang guru". Ini adalah kerana ilmu pendidikan itu sentiasa berkembang dan sentiasa ada kaedah-kaedah P & P terbaru dari dapatan kajian-kajian yang dibuat oleh para ilmuan.

  6. Gilbert Hignet (1951) menggariskan 3 pendekatan untuk menjadi guru yang baik " Good Teacher".
  • Loves Learning
  • Loves Teaching
  • Loves The Students

" Touch the heart of every student you meet.. and make a difference in their lives"

" Becoming An Effective Teacher" Oleh Nithya Sidhu

  1. Penampilan yang menunjukkan keyakinan
  2. Pengajaran yang terancang
  3. Mahir dalam mata pelajaran yang diajar
  4. Mengamalkan ciri-ciri guru berkesan yang telah dibuktikan oleh kajian
  5. Pengurusan dan kawalan bilik darjah yang baik
  6. Sentiasa bersikap waspada (Alert)
  7. Menggunakan "Humor" yang bersesuaian
  8. Menggunakan kata-kata pujian dan rangsangan serta senyuman.

Marzano, Pickering & Pollock (2001) Mencadangkan 9 cara/amalan untuk meningkatkan pencapaian murid:

  1. Mengenalpasti persamaan dan perbezaan murid
  2. Membuat rumusan dan mengambil nota
  3. Mengukuhkan usaha da memberi pengiktirafan
  4. Memberi kerja rumah dan latihan yang mencukupi
  5. Menggunakan kaedah penyoalan
  6. Persembahan bukan linguistik
  7. Pembelajaran koperatif
  8. Menentukan objektif dan memberi maklumbalas
  9. Membina dan menguji hipotesis.

"It is crime that a student has to face for a full year, a teacher who does not believe that all children can learn, who does not set high expectations for children, and who does not establish a controlled and motivating classroom atmosphere"

Adalah merupakan satu jenayah bagi seorang murid melalui sepanjang tahun berhadapan dengan seorang guru yang tidak mempercayai bahawa semua murid boleh belajar, tidak meletakkan pengharapan yang tinggi terhadap diri murid, dan tidak mewujudkan suasana bilik darjah yang terkawal dan memberangsangkan.

Chalker and Haynes, 1994

Rujukan: Junaidah Abd Jamil, Model-model Pengajaran, IAB Utara, Jitra Kedah.

46. Tema Hari Guru

2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Thursday, April 9, 2009

45. MaCS - 2009-2011

  1. Nampaknya masih ada lagi kekeliruan kita berkenaan dengan MaCS program ini di kalangan warga pendidik terutamanya di sekolah kita. Kemungkinan besar perkara ini timbul kita beranggapan program ini hanya untuk membebaskan diri kita daripada SPR - Sekolah yang berprestasi rendah atau sekolah yang berkemampuan rendah dimana pencapaian pelajarnya kurang dari 50%.
  2. Oleh itu, apabila saya menyatakan program ini akan diteruskan ia menjadi tanda tanya kepada sebilangan guru. Lebih-lebih lagi pada hari Khamis lalu saya memanggil semua guru yang mengajar tingkatan 3 bersama-sama dengan ketua panitia masing-masing dan GPK mata pelajaran untuk menetapkan sasaran yang lebih berfokus kepada peningkatan 10% bagi tahun 2009. Dan selepas ini guru-guru dalam panitia masing-masing akan bersama-sama saya, duduk dan merangka program yang lebih mantap.
  3. Walaupun SMKB sudah bebas dari SPR, kita perlu kekalkan kejayaan tersebut atau perlu meningkat lebih dari itu kerana kita ada target iaitu Sekolah Lonjakan Saujana. Apabila kita sudah berjaya, kita tidak boleh meraikan kejayaan tersebut dengan berpeluk tubuh tetapi kita perlu sentiasa kehadapan. PMR bukan noktah di tahun 2008 tetapi berterusan tahun demi tahun dan kita sentiasa dinilai. Apakah PMR tahun 2009 boleh kekal cemerlang tanpa usaha? Atau kita hanya menanti sesuatu yang ajaib akan berlaku di SMKB?
  4. Hebatnya Program MaCS ialah pada namanya. Kita merasa tertekan kerana ia adalah satu program. Tetapi sebenarnya, sebelum program ini dilancarkan kebanyakkan sekolah mempunyai pelbagai program sendiri untuk melihat prestasi pelajar. Tiada keselarasan. Bagi sekolah-sekolah yang hebat sudah tentu program yang dilakukan adalah menepati kehendak dan sekolah tersebut berjaya. Kita perlu berterima kasih dengan orang yang mencetuskan idea dengan menamakan program ini sebagai MaCS- Managing Chalanging School dengan menggabungkan idea-idea dari sekolah-sekolah dan dapat diguna pakai untuk semua sekolah dengan begitu teratur dan mantap.
  5. JPNS patut diberi pujian, mereka sentiasa berusaha untuk melihat pendidikan di Sarawak sentiasa maju dan bukannya berada pada ranking yang terakhir. Walaupun MaCS di perkenalkan untuk sekolah berprestasi rendah, tetapi ramai pengetua dari sekolah-sekolah yang berprestasi tinggi mengambil kesempatan menggunakan program ini dan pencapaian sekolah mereka kekal cemerlang.
  6. Program MaCS banyak kebaikannya. Walaupun ia sedikit membebankan guru dengan membuat analisis tetapi P & P lebih berfokus. Guru dapat kenalpasti potensi murid dan P & P akan lebih berkesan. Bagi guru-guru yang tidak menghayati program ini dan mengambilnya sambil lewa, betapa ruginya dia dan yang timbul ialah rungutan kerana kurang faham.
  7. Program MaCS Fasa II - telah dilancarkan. Pihak SPA telah mengambil peranan dengan memberi penerangan kepada semua pengetua. Bagi Bahagian Mukah penerangan di selitkan semasa Mesyuarat Kurikulum 1/2009 pada 7-9 April 2009 di Mukah. Program MaCS Fasa II (2009-2011) melibatkan semua sekolah dan berfokus kepada HUI atau Holistik, Unik dan Interaktif. Berbagai pendekatan baru di terapkan supaya program ini lebih mantap dan bersepadu. Ia termasuklah Lawatan ke sekolah-sekolah.
  8. Semua pengetua di fahamkan apabila rakan-rakan kita di SPA - Sektor Pengurusan Akademik membuat lawatan, perkara-perkara yang akan di lihat ialah:
  • SKPM sekolah (Standard Kualiti Pendidikan Malaysia)
  • Buku Rekod Mengajar Guru
  • Jadual Waktu Induk dan Individu (guru)
  • Senarai Guru dan Option
  • Kelas Guru Mengajar
  • Senarai Murid
  • RPS (Rancangan Pemajuan Sekolah atau Rancangan Strategik atau GEMS)
  • Plan Taktikal
  • TOV dan ETR
  • Headcount sekolah
  • Jadual pencerapan sekolah
  • Buku Latihan Pelajar

Semoga SMKB mengambil manfaat darinya. Tiada yang lebih baik dari berusaha dan bertawakal. Terima Kasih.

44. NIKMAT

"Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ampunilah segala dosa yang telah kami lakukan. Ampunilah dosa-dasa kedua orang tua kami. Hindarilah segala penyakit berjangkit, penyakit hati, fikiran dan tubuh badan kami. Kekallah rumah tangga kami dalam keadaan sempurna. Jadilah kami seorang yang bijaksana dan sentiasa beriman dengan mu. Jadikanlah kami seorang yang sentiasa bersyukur keatas nikmat-nikmat mu. Nimat Islam, Iman, umur yang panjang dan nikmat kesihatan yang berpanjangan".

"Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah." Surah Al-Nahl: 53

Semoga Engkau murahkan rezeki kami dan diberkati duniawi dan ukhrawi

Terima kasih Emak dan Terima kasih Ayah

Banyaknya Nikmat Allah Yang Telah Aku kecapi Sejak

7 April

Saturday, April 4, 2009

43. PEDOMAN: JAUHI BURUK SANGKA

Oleh: Abu Marwan, Penulis Luar Jakim
Majalah Cahaya Keluaran September –Oktober 2008

Adik-adik sekalian, salah satu sifat buruk yang perlu di jauhi dalam hidup seorang Muslim sejati adalah sifat suka berburuk sangka. Sifat buruk sangka ini datang daripada sikap suka berprasangka. Sikap prasangka ini terbahagi kepada dua iaitu prasangka baik dan prasangka buruk. Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Apabila melihat sesuatu perkara, manusia lebih cenderong menafsirnya daripada sudut negatif. Jadi, bagi mengelakkan berburuk sangka, kita perlu membuat usul periksa atau bertanya lanjut tentang sesuatu perkara sebelum membuat andaian. Allah mengingatkan kita dalam Quran, surat al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam) yang membawa sesuatu berita, maka siasat dengan teliti (benar atau tidak).'
Oleh itu, apabila kita fikir tentang orang lain, lihatlah daripada sudut pandangan yang positif dan baik. Contohnya apabila adik-adik melihat rakan adik-adik menolong cikgu mengangkat barang, fikirlah dari sudut yang positif. Iaitu, dia kasihan kepada cikgu itu atau dia seorang yang sememangnya rajin dan suka menolong orang lain. Jangan cepat berprasangka buruk atau melihat dari aspek negatif seperti berfikir rakan adik itu hendak mengampu cikgu atau sebagainya.
Dengan cara itu, adik-adik akan sentiasa dapat merapatkan silaturahim dengan kawan-kawan. Adik-adik juga dapat melatih diri menjauhi sikap berprasangka buruk dan sekaligus dapat menjauhi fitnah. Ini kerana, prasangka buruk melahirkan sikap buruk yang lain iaitu fitnah dan mengumpat.
Fitnah ialah berkata sesuatu yang tidak benar terhadap orang lain. Ia berpunca dari prasangka buruk. Dosa fitnah ini juga cukup besar dan amat dikutuk oleh ajaran Islam. Fitnah boleh memutuskan silaturahim, merosakan hubungan sosial dan sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat dan negara kita. Manakala mengumpat pula berkata tentang orang lain berkaitan sesuatu yang tidak disukainya, walaupun perkara itu benar.
Dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 12, Allah menegah sikap keji ini. Maksudnya: “...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”
Allah mengibaratkan mengumpat ini sebagai memakan daging mayat yang busuk. Kita tentu sekali akan menjauhi dan berasa jijik terhadap perbuatan memakan mayat. Begitulah sepatutnya kita turut berasa jijik terhadap perbuatan mengumpat.
Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan fitnah dan mengumpat, jauilah sikap berburuk sangka. Bersihkan hati dan fikiran kita daripada segala sangkaan yang buruk. Orang yang gembira dan berjaya dalam hidup tidak akan bersangka buruk kepada orang lain. Dia sentiasa melihat dirinya dan apa yang ada disekelilingnya dengan fikiran yang positif dan baik sangka, walaupun dia mungkin tidak sehebat, semewah atau secantik orang lain.
Note:
Berilah ucapan tahniah kepada rakan-rakan kita yang mendapat Anugerah Perkhidmatan cemerlang. Semoga mereka semakin cemerlang dan cemerlang bukannya terus pudar. Bagi diri kita sendiri, berusahalah kerana kita juga adalah insan cemerlang dan insyaAllah, Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar.

Saturday, March 21, 2009

42. Khutbah Jumaat Masjid Belawai 20-3-2009 Dan Terima Kasih

  1. Alhamdulillah, niat untuk bersembahyang jumaat di Masjid Belawai akhirnya termakbul jugak. Lama tak berjemaah di situ. Paling kerap ialah ialah di Jerijeh atau di Rajang dan kadang-kadang di Masjid Tg Manis. Sebelum azan saya bersama dengan Cg Mahhadir sudah sampai di Perkarangan Masjid.
  2. Apa yang menarik ialah Khutbahnya yang disampaikan oleh Tuan Haji Quib yang mengajak para ibu bapa bersama-sama memberi semangat kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM 2009 yang akan datang. Khutbah tersebut di susun dengan rapi dengan memasukkan unsur-unsur serampang 2 mata dimana menuntut ilmu itu bukan sahaja mendapat kebaikan di dunia tetapi juga di akhirat. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari khutbah tersebut.
  3. Khutbah beliau menekankan bahawa, kekayaan harta dengan kekayaan ilmu pengetahuan adalah amat berbeza. Seseorang yang mempunyai kekayaan harta tetapi tidak mempunyai ilmu adalah tidak berguna. Di samping itu beliau juga menekankan supaya ibu bapa mewujudkan satu suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak di rumah untuk belajar. Anak-anak perlu suasana yang tenang untuk berfikir, begitu juga ibu bapa yang pada masa dan ketikanya perlukan suasana yang selesa.
  4. Ibu- bapa juga di saran supaya membuat sedikit pengorbanan untuk anak-anak. Menonton televisyen biarlah berpada-pada. hiburan tidak akan habis. Saban hari ada sahaja yang baru, tetapi peperiksaan PMR dan SPM hanya sekali untuk kejayaan masa depan. Anak-anak perlukan kata-kata nasihat dari ibu bapa dan nasihat tersebut biarlah yang positif dan bukannya menjatuhkan motivasi pelajar. Sesuatu yang diperkatakan ibu bapa kepada anak-anak adalah doa, doalah mereka yang baik-baik dan mendatangkan kejayaan.
  5. Begitulah sedikit intipati khutbah beliau, dan saya difahamkan beliau juga mempunyai anak yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini di SMKB. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada beliau dan khususnya institusi masjid dalam memberi suntikan motivasi kepada ibu bapa untuk sama-sama SMKB membina kecemerlangan. Saya juga berharap ia akan berterusan dari masa ke semasa. Cara ini sangat berkesan dan diharap juga 3 buah masjid lagi di Rajang, Jerijeh dan Tg Manis akan memuatkan perkara yang sama sekali sekala dalam khutbah jumaat.
  6. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pegawai-pegawai dari PPD Mukah yang sering membuat lawatan di SMKB, Pegawai-pegawai dari JPNS terutama dari Sektor Jaminan Kualiti untuk pemantauan Program MaCS, Sektor Pengurusan Sekolah, Bahagian Pembangunan terutama Cg Wahab Wak, dan kepada semua pegawai yang saya tidak sebutkan di sini dari PPD Mukah dan di JPNS yang mengenali saya dan sentiasa berurusan dari masa kesemasa.
  7. Tidak lupa juga kepada YB. Tn. Hj. Hamden, YB. Pn. Norah Tun Rahman, Tuan SAO, Pengurus LKIM Belawai yang banyak membantu PIBG SMKB menjalankan pelbagai program motivasi pelajar. Terima kasih juga kepada YDP PIBG dan Eksconya, penduduk kampung yang terdiri dari para ibu bapa pelajar, penderma-penderma dari pelbagai badan seperti persatuan nelayan laut dalam Tg Manis di bawah seliaan En. Khalid. Polis, rela dan klinik Belawai yang sentiasa membatu dalam program sekolah. Sesungguhnya bantuan tuan-tuan sangat bermakna di SMKB.
  8. Terima kasih juga kepada semua ketua-ketua jabatan yang lain, penghulu, tuai rumah, para penderma, guru-guru SMKB yang bertungkus lumus menghidangkan menu-menu P & P yang menarik dan para pelajar yang ghairah menjawab soalan sehingga kita di SMKB berjaya meningkatkan prestasi dalam PMR dan SPM.
  9. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak sesunggunya kejayaan di SMKB adalah milik kita bersama - Tahniah

Thursday, March 12, 2009

40. Selamat Bercuti

  1. Sekali lagi sekolah akan ditutup dari 14 Mac 2009 hingga 22 Mac 2009. Sekolah akan dibuka semula pada 23 Mac 2009. Satu minggu cuti. Namun sebagai seorang pelajar cuti bukan bermakna kita cuti sepenuhnya dengan tidak langsung membelek buku. Terutama bagi pelajar tingkata 3 dan 5 dimana mereka akan menduduki peperiksaan awam PMR dan SPM. Kedua-dua peperiksaan ini adalah penting dalam kamus hidup masing-masing (Bagi Insan Yang Mengerti)
  2. PMR akan bermula pada 7-9 Oktober 2009 dan bersambung pada 12 dan 13 Oktober, manakala SPM akan bermula pada 19 November 2009 sehingga 16 Disember 2009. Ini bermakna masa semakin hampir. Sekarang sudah pun pertengahan bulan Mac. Betapa cepatnya masa berlalu.
  3. PMR dan SPM adalah agenda utama sekolah di samping pembangunan sahsiah dan jati diri. Semua pelajar perlu ingat bahawa nasib kita sekeluarga dapat diubah dengan pelajaran. Belajarlah bersungguh-sungguh. Saya sering berkata usaha kita hari akan kita nikmati sehingga kita di liang lahat. Sekiranya kita bekerja dengan kerajaan apabila kita pencen dan meninggal dunia, anak-anak kita masih lagi dapat menikmati wang pencen tersebut untuk menyara hidup. Itu sebabnya saya meninggalkan Infografik Design Consultans.
  4. Saya mengambil iktibar dari emak saudara saya (Tidak bekerja) yang kehilangan suami (Seorang ustaz di Maktab Mahmud, Alor Setar. Terlibat dalam kemalangan kapalterbang di Bangkok dalam tahun 1970an - apabila kapalterbang yang beliau naiki terhempas atas kilang kain, pulang dari Tanah Suci melalui Thailand) sehingga kini masih menerima pencen suami dan dari duit tersebut beliau menyara anak-anak hingga ke Menara Gading.
  5. Pelajar kita di SMKB sebenarkan perlukan satu anjakan. Perlukan motivasi dari masa kesemasa. Dari pandangan peribadi saya melihat melihat semua pelajar adalah sama dengan pelajar lain. Walaupun hakikatnya tidak. Kita harus menerima hakikat pelajar di SMKB yang ada sudah menjalani beberapa tapisan. Tapisan pertama ialah semasa UPSR dan selebihnya ke SMKB untuk PMR dan Tapisan ke dua selepas PMR dan yang tinggal akan menduduki SPM. Kita tidak mengharapkan pencapaian seperti sekolah-sekolah terpilih di Malaysia yang mampu mendapat 20A dalam semua matapelajaran SPM baru-baru ini, tetapi sekurang-kurangnya mereka mampu bersaing dan mendapat keputusan yang terbaik walaupun mereka bukan pelajar terpilih. Kita mahu SMKB seperti sekolah-sekolah biasa yang lain yang mampu melahirkan insan cemerlang walaupun telah mengalami beberapa tapisan. Apa yang berlaku kepada Mohd Safidzan tingkatan 3E tanun lepas yang lulus semua matapelajaran dalam peperiksaan PMR perlu di ambil iktibar.
  6. Oleh itu, cabaran kita di SMKB ialah, sama-sama kita berusaha untuk pencapaian cemerlang bagi pelajar yang ada. Jangan banding-bandingkan pelajar kita dengan sekolah lain yang kadang-kadang sedikit sebanyak membuatkan kita merasakan pelajar kita amat lekeh sedangkan tanpa kita ketahui kita mempunyai banyak kekuatan. Terpulang kepada guru-guru dan panitia masing-masing merancang bagaimana untuk menangani masalah ini. Dalam masa cuti ini berilah kerja rumah yang mencukupi kepada pelajar. Pastikan mereka bercuti tanpa lupa terus pelajaran, lebih-lebih lagi mereka yang akan menduduki peperiksaan penting di hujung tahun.
  7. Walau di mana pun sekolah kita berada, kejayaan seorang guru adalah dilihat dari pencapaian murid. Walau selemah manapun murid tersebut, jika kita berjaya mendidik dan ia lulus, maka ia adalah kejayaan kita sebagai guru.
  8. Dalam masa cuti ini, sambil-sambil kta berehat cari-carilah, bacalah bahan-bahan, teori-teori dan kaedah-kaedah baru yang boleh kita gunakan untuk manfaatkan kepada pelajar dan meningkatkan martabat kita sebagai guru. Bukannya orang melihat kita sebagai guru kelas rendah yang tidak berupaya melakukan apa-apa yang hanya banyak cakap, banyak komen dll tetapi langsung tiada apa-apa peningkatan dalam diri sendiri.
  9. Sekian, selamat bercuti kepada semua guru, semoga kita sentiasa Cemerlang. Terima Kasih Cikgu.

Utusan Borneo, Jumaat 13 Mac 2009, Kejayaan Di Luar Jangkaan. Haziyah Hashim.
Seorang pelajar SMK Methodist, Sibu. Menyifatkan kejayaan beliau mendapat 13A1 sebagai diluar jangkaan.
" Saya berasa bernasib baik dengan keputusan 13A1 sebab saya bukan pelajar terbaik pilihan," Katanya ketika ditemui di pejabat SMK Methodist, semalam.
Tambahnya, beliau akan memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti luar negara dalam jurusan kejuruteraan.
" Beberapa bulan terakhir sebelum peperiksaan SPM, saya membuat persediaan rapi dengan mengulangkaji matapelajaran yang diambil," Jelas Beliau.
Saya berharap keadaan ini akan berlaku di SMK Belawai.

Wednesday, March 11, 2009

39. Disiplin SMK Belawai


  1. Sesuatu yang malang bagi sesebuah sekolah ialah disiplin yang teruk. Tiada ungkapan lain yang dapat kita samakan dengan "Nasib Malang" tersebut. Ini adalah kerana bagi sesebuah sekolah yang targetnya untuk cemerlang, maka pengurusan disiplinnya perlu mantap.

  2. SMK Belawai bukanlah sebuah sekolah yang bermasalah. Saya bersyukur apabila ditempatkan di sini semuanya dalam keadaan terkawal, cuma perlu di berikan sedikit penambahbaikan. Dengan perlantikan Cikgu Abu Seman Bin Masri sebagai Ketua Guru disiplin pada 2007 dan Cikgu Jeme bin Sedi sebagai penolong Ketua Guru Disiplin, banyak perubahan telah berlaku di SMKB.

  3. Pengurusan Hem SMKB di bawah pimpinan Cikgu Hasbi Bin Junaidi juga pada ketika ini mantap dan sentiasa memberi penekanan terhadap pengurusan disiplin. Selain dari itu unit Hem sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai di Jabatan Pelajaran Daerah di Mukah. Begitu juga dengan pengurusan Asrama yang di ketuai oleh Tuan Haji Sharifdin Bin Abdullah Buyung sebagai Ketua Warden yang sangat perihati dengan masalah disiplin pelajar asrama.

  4. Sistem Merit Demerit yang diperkenalkan pada tahun 2007 juga banyak membantu menangani masalah disiplin di SMKB. Kita tidak menafikan bahawa tiada langsung kes-kes disiplin berlaku, tetapi pada tahap ini masih lagi terkawal dan bukannya kes-kes yang teruk pada sepanjang pengetahuan saya setakat ini. Walau bagaimanapun kita sentiasa berwaspada kerana sesuatu perkara itu boleh berlaku pada bila-bila masa umpama bom jangka yang kita tidak tahu bila masanya akan meletup.

  5. Apa yang berlaku di sebuah sekolah di Daerah Mukah, Di Perlis, di Kelantan dan Pahang baru-baru ini, bila-bila masa boleh berlaku di sekolah lain termasuk sekolah kita yang kita sayangi. Itu takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Kita sebagai manusia perlu terima dan hakikatnya kita telah berusaha untuk membuat sesuatu yang terbaik. Mana ada di dunia ini seseorang pengurus sekolah merestui perkara-perkara yang pelik-pelik berlaku. Kerana itu adalah maruah sekolah dan warganya. Jika berlaku juga, itulah yang dikatakan diluar jangkaan dan kawalan kita sebagai manusia.

  6. Di SMKB kita sentiasa mengingatkan guru-guru, semua guru adalah guru disiplin. Semua guru mempunyai tanggungjawab dalam menangani masalah ini. Saya percaya jika masalah ini membelenggu kita P&P tidak akan berjalan dengan sempurna. Guru-guru tidak akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Disiplin yang mantap pemangkin kecemerlangan. Di SMKB kita dapat buktikan bahawa keputusan PMR 2008 telah memperlihatkan peningkatan yang amat mendadak hingga mencecah 60%.

  7. Kebimbangan ibu bapa terhadap masalah pil dan bahaya dadah di kalangan pelajar adalah sangat perlu. Pihak sekolah juga tidak berkompromi dengan masalah ini dan akan sentiasa memberi kerjasama dengan pihak polis jika ada. Buat masa sekarang keadaan ini masih terkawal. Kuasa yang ada pada saya hanya di kawasan pagar sekolah. Sekiranya pelajar kita yang terlibat di luar kawasan sekolah, itu adalah diluar kawalan saya sama sekali. Walau bagaimanapun sekiranya masayarakat setempat tahu atau mempunyai senarai nama silalah berjumpa dengan saya atau PK Hem atau Ketua Guru Displin untuk berbincang dan kita mencari satu penyelesaian yang terbaik.

  8. Masyarakat Belawai, Jerijeh, Rajang dan Tg. Manis perlu mempunyai kesinambungan generasi yang baik. Kerjasama yang erat antara kita adalah sangat perlu. Saya beriltizam SMKB perlu dekat di hati penduduk setempat. Maka jika ada sesuatu yang masyarakat merasakan baik untuk anak-anak kita silalah berbincang dengan kami supaya tidak berlarutan.

  9. Pada 26/2/2009 - Sekolah kita telah dilawati oleh AADK Daro dan Guru kaunseling. Tujuan mereka membuat lawatan adalah untuk memberi ceramah tentang bahaya dadah disamping menguji air kencing (Urine Test). Seramai 40 orang pelajar yang dikenalpasti untuk membuat saringan tersebut. Kita berharap tiada pelajar SMKB yang keputusannya Positif.

  10. Kawasan Tg. Manis pada masa sekarang pesat membangun. Pelajar-pelajar kita yang tidak tahan iman pastinya terpengaruh dengan budaya yang tidak baik. Kejutan budaya berlaku. Kawasan yang dulunya kurang maju, tetapi dalam sekelip mata membangun dengan mendadak. Masyarakat perlu tahu bahawa, selain pil dan dadah kemungkinan besar pelajar kita yang di luar sana terpengaruh dengan alkohol. Ramai pendatang luar yang membawa pelbagai latar belakang kehidupan yang berlainan yang bertentangan dengan adat dan agama kita. InsyaAllah di Kawasan sekolah masih di dalam kawalan tetapi bagaimana di luar sana. Sama-samalah kita renungkan dan sama-sama kita fikirkan yang terbaik demi generasi setempat. "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah"

    Jeti Tanjung Manis sentiasa Sibuk dengan aktiviti naik turun barang dan penumpang dari masa ke semasa. Ia adalah lambang kemajuan. Baru-baru ini juga kawasan ini telah diistiharkan sebagai Hub-halal oleh Perdana Menteri, Datok Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai penduduk di Kawasan ini kita perlu merebut peluang yang ada dan sama-sama bersaing. (Kawasan ini juga menjadi kenangan pahit? atau manis? kepada seorang guru yang saya pernah ceritakan sebelum ini yang tergelincir lalu jatuh ke dalam air - Cg Shirina Kong Ai Siang - semoga beliau tabah menghadapi dugaan)

    Kelihatan orang ramai sibuk dengan aktiviti masing-masing - selamat maju jaya Bandar Tg Manis sempena sambutan Ulang Tahun 2009

Friday, February 13, 2009

38. VALENTINE DAY (HARI BERKASIH SAYANG)

Rencana ini dipetik dari: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/valentineday.htm

Benarkah ia hanya kasih sayang belaka ?

Hari 'kasih sayang' yang dirayakan oleh orang-orang Barat pada tahun-tahun terakhir disebut 'Valentine Day' amat popular dan merebak di pelusuk Indonesia bahkan di Malaysia juga. Lebih-lebih lagi apabila menjelangnya bulan Februari di mana banyak kita temui jargon-jargon (simbol-simbol atau iklan-iklan) tidak Islami hanya wujud demi untuk mengekspos (mempromosi) Valentine. Berbagai tempat hiburan bermula dari diskotik(disko/kelab malam), hotel-hotel, organisasi-organisasi mahupun kelompok-kelompok kecil; ramai yang berlumba-lumba menawarkan acara untuk merayakan Valentine. Dengan dukungan(pengaruh) media massa seperti surat kabar, radio mahupun televisyen; sebagian besar orang Islam juga turut dicekoki(dihidangkan) dengan iklan-iklan Valentine Day.
SEJARAH VALENTINE:
Sungguh merupakan hal yang ironis(menyedihkan/tidak sepatutnya terjadi) apabila telinga kita mendengar bahkan kita sendiri 'terjun' dalam perayaan Valentine tersebut tanpa mengetahui sejarah Valentine itu sendiri. Valentine sebenarnya adalah seorang martyr (dalam Islam disebut 'Syuhada') yang kerana kesalahan dan bersifat 'dermawan' maka dia diberi gelaran Saint atau Santo.
Pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentine dibunuh karena pertentangannya (pertelingkahan) dengan penguasa Romawi pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M). Untuk mengagungkan dia (St. Valentine), yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka para pengikutnya memperingati kematian St. Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.
Tetapi sejak abad 16 M, 'upacara keagamaan' tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi 'perayaan bukan keagamaan'. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada tanggal 15 Februari.
Setelah orang-orang Romawi itu masuk agama Nasrani(Kristian), pesta 'supercalis' kemudian dikaitkan dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine sebagai 'hari kasih sayang' juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahwa waktu 'kasih sayang' itu mulai bersemi 'bagai burung jantan dan betina' pada tanggal 14 Februari.
Dalam bahasa Perancis Normandia, pada abad pertengahan terdapat kata “Galentine” yang bererti 'galant atau cinta'. Persamaan bunyi antara galentine dan valentine menyebabkan orang berfikir bahwa sebaiknya para pemuda dalam mencari pasangan hidupnya pada tanggal 14 Februari. Dengan berkembangnya zaman, seorang 'martyr' bernama St. Valentino mungkin akan terus bergeser jauh pengertiannya(jauh dari erti yang sebenarnya). Manusia pada zaman sekarang tidak lagi mengetahui dengan jelas asal usul hari Valentine. Di mana pada zaman sekarang ini orang mengenal Valentine lewat (melalui) greeting card, pesta persaudaraan, tukar kado(bertukar-tukar memberi hadiah) dan sebagainya tanpa ingin mengetahui latar belakang sejarahnya lebih dari 1700 tahun yang lalu.
Teruskan bacaan anda dengan melawat laman ini untuk mengetahui tetang pandangan islam mengenai hari berkasih sayang ini: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/valentineday.htm
Bagi guru (Bukan Islam) yang akan melangsungkan perkahwinan pada 14 Februari 2009 saya ucapkan Selamat Pengantin Baru, semoga anda berbahagia.
Dalam negara kita yang berbilang kaum dan pelbagai anutan agamanya khususnya di sekolah kita, saya percaya rakan-rakan kita tidak berkecil hati dengan kenyataan tentang Hari Valentine ini. Ini adalah pandangan dari sudut agama Islam sahaja. Namun bagi penganut agama lain inilah masanya anda sibuk untuk menyambutnya bersama-sama dengan pasangan masing-masing. Saya yakin umat islam amat toleransi dalam kes ini dan tidak menghalang atau mengutuk rakan-rakan kita yang menyambutnya. Bagi umat islam yang faham akan perkara ini jika ingin mengingati juga hari bersama kekasih boleh saja tetapkan pada tarikh-tarikh lain yang bukan 14 Februari.
Kita sebagai manusia tidak terlepas dari ingat mengingati antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi sesuatu perkara itu berlaku keatas diri kita sendiri. Atau lebih kita katakan sejarah diri kita. Kita berhak untuk mengingatinya tetapi bukanlah suatu tarikh yang menjadi hari kebesaran agama lain. Tetapkan sendiri tarikh istimewa "hari kekasih" kekasih yang telah menjadi isteri atau suami kita dan sediakan hadiah yang istimewa buat mereka, semoga ikatan kasih sayang berkekalan sehingga akhir hayat.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.