PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Friday, April 27, 2012

228.SMK Baru Miri peroleh 98.36 peratus - STPM 2011


Borneo Post Online, Thursday 8 March 2012

TAHNIAH: Elisabeth (tiga kiri) merakam kenangan bersama sebahagian calon STPM SMK Baru Miri yang memperolehi keputusan cemerlang.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/03/08/smk-baru-miri-peroleh-98-36-peratus/#ixzz1tC7buji1

MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri mencapai keputusan 98.36 peratus  kelulusan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding tahun sebelumnya dengan pencapaian cemerlang, Ngang Jin Loung yang memperolehi 3A 1B.

Manakala lima lagi calon cemerlang yang mendapat 1A dan 3B ialah Alexander Lucas, George Tan Yu Ruk, Kenny Jacob, Pauline Nanie dan Tian Tze Chung.

Sementara Mohd Al Hatta memperolehi keputusan 1A, 2B dan 1C, manakala dua lagi calon iaitu Jacquelyn Lumih dan Paula Nanie masing-masing mendapat keputusan 4B.

Penolong Kanan SMK Baru Elisabeth memberitahu, hanya 60 daripada 61 calon telah menduduki peperiksaan STPM berkenaan.

Katanya, seramai 25 calon telah memperolehi empat Prinsipal (lulus penuh), tujuh orang mendapat tiga Prinsipal (lulus penuh), 14 orang (dua Prinsipal), 14 orang (satu Prinsipal) sementara seorang lagi calon tidak hadir menduduki STPM.

Jelas beliau, keputusan STPM tersebut meningkat sebanyak 2.13 peratus berbanding tahun sebelumnya dan keputusan terbabit memberangsangkan.

Monday, April 23, 2012

227.Angkasa cadang guru khas koperasi sekolah


Utusan Malaysia Online 20 April 2012

KUCHING 19 April - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) mencadangkan supaya jawatan Guru Penolong Kanan Koperasi Sekolah diwujudkan dengan tujuan meningkatkan perolehan koperasi.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kertas cadangan mengenai perjawatan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jun ini.

"Ini merupakan idea baharu memandangkan pada masa ini kebanyakan koperasi sekolah tidak mempunyai pengurus.

Gambar Hiasan: Koperasi SMK Baru Miri
"Ia kerana nilai jualan atau perolehan mereka tidak begitu tinggi memandangkan terlalu memberi tumpuan kepada pasaran untuk warga sekolah masing-masing sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Taklimat Program Koperasi Sekolah 2012 Peringkat Negeri Sarawak dan lawatan ke koperasi Sekolah Menengah Agama Matang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, pihaknya akan melakukan kajian di peringkat akar umbi dengan mengadakan pertemuan bersama para guru bagi mendapatkan maklum balas terhadap cadangan perjawatan tersebut.

Para pelajar SMK Baru Miri memberi sokongan kepada Koperasi SMK Baru. Mereka dilayan dengan mesra oleh  rakan-rakan yang bertugas..
Pada masa sama, katanya, Angkasa akan melakukan perbincangan bersama wakil kementerian berkaitan sebaik sahaja program jelajah Taklimat Program Koperasi Sekolah di seluruh negara selesai.

"Selepas itu, kita akan membuat kertas cadangan sebelum dikemukakan kepada KPDNKK bagi menjelaskan kenapa jawatan Guru Penolong Kanan Koperasi Sekolah perlu diwujudkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pada masa ini 30 koperasi sekolah di seluruh negara menunjukkan minat bekerjasama dengan Angkasa untuk menjual barangan runcit.

Tiga daripada koperasi sekolah itu adalah dari Sabah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang dan SMK Lundu.

"Disebabkan tuntutan semasa selain beban kos sara hidup dan barang keperluan semakin meningkat yang dihadapi masyarakat termasuk para guru, maka koperasi sekolah boleh memainkan peranan dengan menjual produk seperti COOP 1Malaysia yang menawarkan harga yang murah," katanya.

Saturday, April 14, 2012

226.MERENTAS DESA SMK BARU 2012

Buku program
Program merentas Desa peringkat SMK Baru. Miri, baru sahaja selesai. Program yang bermula jam 7.00am itu telah dirasmikan oleh En. Anuar Bin Haji Ahmad YDP PIBG SMK Baru Miri. Semuanya telah berjalan lancar dan majlis penutupannya telah dibuat lebih awal iaitu pada jam 9.30 pagi dari yang dijadualkan walaupun ramai guru yang keluar berkursus. Terima kasih kepada PKKK Cg Siti Akmarlia dan AJKnya, semua guru yang terlibat, semua AJK PIBG, pihak polis terutama polis trafik, pihak Rela, PBSM SMK Baru serta semua pelajar dan orang perseorangan yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung.

Para pelajar bersedia untuk dilepaskan
YDP PIBG En. Anuar bersedia untuk melepaskan peserta
Pasukan Guru dan Ibu Bapa. Pemenang bagi kategori Guru dan para ibu dimenangi oleh Cg Noraini (Pertama), Cg Tracy (Tempat ke 2) dan Cg Charmine (Tempat ke 3). Bagi kategori guru lelaki dan bapa dimenangi Cg Nasir (Tempat pertama), En Azmi (Tempat ke 2 dan Mr Ting (Tempat ke 3)
Penamat : Kategori Lelaki A ( Tingkatan 4,5 dan 6) dimenangi oleh Mohd Afiq  4S1(Tempat pertama), Mohd Ardzain 4S1 (Tempat ke 2) dan Nyaring ak Rima 4A (Tempat ke 3)
Lelaki B (Tingkatan 1,2 dan 3) dimenangi oleh Mohd Nor Hamizan 3C (Tempat ke 3), Berti 2C (Tempat ke 2) dan Elisa 3E ( Tempat ke 3)
Kategori  Perempuan kelas A dimenangi oleh Jesica 4S1 (tempat pertama). Suri 5S2 (Tempat ke 2 ) dan Norfarahin 4B (Tempat ke 3) Manakala Kategori Perempuan kelas B (Tingkatan 1,2 dan 3) dimenangi oleh Klorina 2D (Tempat pertama), Nur Syafiza 2A (Tempat ke 2) dan Nurfaiza 1C (Tempat ke 3)..
Pelajar2 kelab koperasi mengambil kesempatan buka perniagaan semasa Majlis Merentas Desa berlangsung..
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Penaja Utama Program Merentas Desa iaitu Koperasi SMK Baru Miri Berhad. Semoga selepas ini pihak koperasi akan lebih maju dan sentiasa memberi kerjasama dalam program-program seperti ini yang memberi manfaat kepada semua pelajar.

Friday, April 13, 2012

225.Penyerahan..

SMK Baru, Miri. Jumaat, 13 April 2012. Pada hari ini, penghulu segala hari telah menyaksikan 2 majlis penyerahan. Pertama ialah majlis penyerahan wang KWAPM ( Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) pada jam 8.00am di sekolah dan kedua ialah majlis penyerahan bendera kejohanan MSS Miri kepada Pengurus Pasukan Olahraga MSS Miri pada petang tadi jam 3.30pm di Stadium Miri.

Cg Ibrahim Guru Kaunselor Sepenuh masa sedang memanggil nama ibu-bapa penerima kehadapan untuk  menerima wang KWAPM, Majlis dibuat secara sederhana. Seramai 46 orang layak menerima. Majlis diurus bersama oleh Penolong Kanan Hem Cg Dayang Laila dan Cg Norfarhah juga guru kaunseling sepenuh masa SMK Baru, Miri.
Seorang bapa sedang menerima wang KWAPM di saksikan oleh Penolong Kanan Hem. Semua penerima wang KWAPM bergambar beramai-ramai di depan Dewan Harmoni. Sebelum itu pengetua mengingatkan supaya semua ibu bapa menggunakan wang tersebut secara bijak terutamanya membiayai keperluan pelajar seperti membeli alat tulis dan baju ko-kurikulum yang biasa menjadi masalah pelajar.
Majlis penyerahan bendara kepada pasukan Olahraga MSS Miri dimulakan dengan ucapan Pegawai Pelajaran  Daerah Miri Puan Rosnani. Dalam ucapannya Puan Rosnani mengingatkan, semua atlit perlu bekerja keras dan mengekalkan kegemilangan sukan olahraga di mana Miri sentiasa menjuarai kejohanan ini. 
Bendera diserahkan oleh Puan Rosnani kepada Penolong Pengurus Pasukan En. Mohamad Shariff Mat Saad, Pengetua SMK Baru Miri, Pengurus Pasukan En. Marcus Hugo (Pengetua SMK Lutong - Tiada dalam gambar) di saksikan oleh ketua jurulati Cg Christoper dan semua jurulatih serta 122 atlit dari sekolah menengah dan rendah. Kejohanan Olahraga MSS Sarawak kali ini akan di kelolakan oleh Bahagian Sibu pada 17 hingga 20 April 2012 akan datang.
Semua atlit mengangkat tangan menunjukkan lambang satu Malaysia dan melambangkan pasukan Miri kali ini perlu mendapat pingat emas seberapa banyak dan menjadi juara pada kejohanan MSS Sarawak kali ini. Pasukan Miri akan bertolak ke Sibu pada pagi 15 April dengan bas dan akan menginap di sebuah hotel di Sibu. Kebajikan para atlit dijaga oleh Penolong Kanan Ko-k SMK Baru, Miri iaitu Cg Siti Akmarliah Md Amin. Semua atlit perlu dijaga dengan rapi supaya mereka sentiasa sihat, bertenaga, bermotivasi, dan bersemangat waja. Tempat penginapan yang selesa juga adalah penting dalam usaha mencapai kecemrlangan.
Sama-sama kita doakan pasukan Miri akan berjaya dan menjadi Juara di Sibu nanti. Terima kasih kepada semua jurulatih pasukan Miri yang bertungkus lumus melatih atlit di Stadium dalam beberapa minggu ini. Terima kasih juga kepada Pengetua SMK Dato Permaisuri yang sudi memberi penempatan kepada atlit yang jauh dari luar Daerah Miri... InsyaAllah usaha murni kita akan menghasilkan kejayaan yang hebat..

Terima kasih Cikgu..

Thursday, April 12, 2012

224.Guru perlu lalui penilaian integriti secara berkala - Muhyiddin

Utusan Malaysia Online 11/4/2012

KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Pelajaran mempertimbangkan kemungkinan setiap guru selepas ini perlu melalui penilaian integriti secara berkala dari semasa ke semasa bagi membolehkan sebarang penambahbaikkan dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi bayangan itu berkata, ia perlu bagi membolehkan aspek kefahaman serta kesedaran mengenai integriti dapat disebar luas kepada warga pendidik.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses untuk memantapkan nilai integriti di kalangan warga pendidik termasuk penilaian secara berkala, memerlukan penglibatan serta usaha bersungguh-sungguh dari semua peringkat pengurusan pendidikan.

"Justeru strategi serta pelan tindakan secara berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti setiap warga pendidik bukan sahaja sentiasa tinggi tetapi dapat dipertingkatkan lagi.

"Ini kerana sebagai pendidik, guru-guru mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk sahsiah pelajar. Ia menjadi prasyarat utama kepada kejayaan kita melahirkan generasi yang berintegriti.

"Bagi menjayakan hasrat itu, kepimpinan organisasi pendidikan harus mempunyai kefahaman jelas mengenai aspek berkait integriti supaya pembudayaan itu dapat disuburkan dalam organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutup Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran 2012, di Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pada pertandingan pidato tersebut, penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik, Mohd. Rafee Mohamad muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, piala iringan serta piala pusingan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setiap bakal pendidik juga perlu mendalami falsafah dan budaya integriti sebagai persediaan untuk menjadi seorang guru yang berwibawa.


Gambar Hiasan : Institut Integriti Malaysia (IIM) merupakan idea YAB Mantan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yag diistiharkan pada 5 November 2003. Ia ditubuhkan sebagai badan autonomi dan didaftarkan di bawah Akta Syarikat. IIM ditubuhkan bagi melengkapkan usaha-usaha pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendaftarannya diluluskan oleh suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah Syarikat Berhad menurut jaminan kuasa 4 Mac 2004   http://www.iim.com.my/web/guest/home  . 
''Guru yang berwibawa tidak hanya dinilai dengan kebolehan melahirkan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran tetapi turut dinilai dari segi keupayaan mendidik murid menjadi insan mulia,'' ujarnya.

Beliau berkata, tugas seorang guru tidak hanya terhenti setakat mengasah kecerdasan minda murid tetapi juga mendidik jiwa serta sanubari mereka agar menjadi insan mulia dengan sentiasa mengamal nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Wednesday, April 11, 2012

223.HARI PERMUAFAKATAN SMK BARU MIRI 31.3.2012

Hari permuafakatan SMK Baru, Miri pada 31 March 2012 lalu telah berjalan dengan begitu lancar. Ibu bapa kelihatan datang awal bersama dengan anak masing-masing dan terus menuju ke kelas dan disambut dengan mesra oleh guru-guru. Sebelum itu di pintu pagar utama sekolah para ibu bapa disambut oleh Ketua Guru disiplin Cikgu Shuckeri  dan penolongnya Puan Tan diiringi pula oleh cikgu Ibrahim dan Cg Norfarhah serta semua penolong kanan sekolah.

Ada masanya pebincangan sangat serius
Tingkatan 3B, Kelas dihias cantik menyambut ibu bapa. Siap dengan kotak  untuk memohon derma .
Bersungguh-sungguh dan penuh iklas guru-guru menerangkan pencapaian  pelajar. Tersenyum simpul Puan Nor dengan anaknya sedang menanti giliran
Hari permuafatakan yang berlansung dari jam 6.30 pagi sehingga 12.00 tengahari kelihatan sangat teratur. Ibu bapa tidak datang sekali gus, namun bagi persediaan awal jika keadaan sebaliknya berlaku, guru-guru telah menyediakan nombor giliran. Saya percaya, ramai ibu bapa yang tidak mahu menunggu lama kerana masing masing mempunyai tugas lain yang perlu diselesaikan. Tetapi syukurlah, ramai yang masih mempunyai tanggungjawab kepada anak-anak dan mereka masih menghormati kita dan merasakan mereka masih diperlukan. Dengan bantuan Cg Ibrahim dan Cg Norfarhah guru kaunseling sepenuh masa, menyediakan guru pembantu disamping guru pembantu yang sedia ada kepada guru tingkatan , perjalanan program lebih cepat teratur.

Sabar menanti seorang demi seorang ibu bapa berbincang dengan guru 
Ramai ibu bapa yang saya temui berasa gembira kerana tidak mengganggu tugas harian mereka.Masa yang panjang memudahkan mereka datang pada bila-bila masa. Dengan bersemuka dengan guru, ibu pada dapat mengesan secara langsung kelemahan anak-anak mereka. Begitu juga dengan perubahan sikap anak-anak yang semakin kemuncak keremajaan mereka. Konflik dalaman mereka mungkin membuat mereka tidak dapat belajar dengan baik atau membuatkan mereka mementingkan perkara lain mengatasi pelajaran yang mereka hadapi sekarang.

Perbincangan dan permuafakatan dengan ibu bapa tidak terhad hanya di dalam kelas
Dari perbincangan dengan guru tingkatan dan dari senarai tingkah laku pelajar yang diberikan kepada Ibu bapa, saya berharap semua ibu bapa akan menyelesaikan masalah anak-anak jika ada. Paling tidak, ambil tahulah perkembangan anak-anak kerana mereka adalah aset yang sangat besar kepada kita seterusnya kepada Negara.

Terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir dan terima kasih kepada semua guru yang datang, awal-awal lagi menunggu ibu bapa dengan senyuman manis penuh keiklasan..


Sk St. Mary. Air di bawah bangunan sekolah tersebut dikatakan tercemar kerana ia tidak mengalir dan bertakung. Isunya, sebelum ini ramai pelajar yang demam. Secara tidak sengaja Jabatan Kesihatan mengambil sample air tersebut dan dapati ada virus, namun air tersebut bukan punca pelajar demam. Oleh itu dalam majlis permuafakatan ini Jabatan Kesihatan Sibu memberi penerangan kepada ibu bapa keadaan sebenar dan berharap ibu bapa tidak merasa bimbang dengan laporan media sebelum ini..
Notis taklimat kepada ibu bapa tentang penyakit Leptospirosis disebabkan bakteria Leptospira
Dalam pada itu, hari sabtu sebelumnya saya sebagai seorang bapa, sempat juga ke Majlis Permuafakatan anak saya yang ke 2 saya Mohamad Muzzammil tahun 2 yang di adakan di SK Mary Sibu. Majlis tersebut di adakan seawal jam 7.00 pagi dan pada penutupannya pada jam 11.00 pagi disusuli dengan taklimat oleh Dr Fuad dari Jabatan Kesihatan sibu berkenaan dengan wabak penyakit Leptospirosis yang menular kepada kanak-kanak. Ini berikutan penemuan Kementerian Kesihatan, Bakteria Leptospira di dalam air kolam yang bertakung di bawah sekolah tersebut. Kanak-kanak yang terkena dengan virus ini akan mengalami demam dan menyebabkan perubahan tingkahlaku seterusnya boleh menyebabkan kematian jika tidak diambil tindakan dengan cepat..


Seperti biasa majlis permuafakatan berjalan dengan lancar dan saya sangat berpuas hati dengan penerangan dari Cg Kelasnya, Cikgu Dorita..


TERIMA KASIH CIKGU..

Monday, April 9, 2012

222.KEPERITAN BEBAN GURU TIDAK BOLEH DISELAMI DARI JAUH

Berita Harian 9 March 2012  http://forum.engkabang.net/index.php atau untuk bacaan seterusnya http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=2523. Hanya untuk berkongsi, tidak perlu komen ..


TERIMA KASIH CIKGU..

Wednesday, April 4, 2012

221.Terima Kasih Sekalung Budi..

Saya dahului N3 kali ini dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada PIBG SMK Baru, Miri yang telah bersusah payah mengadakan satu majlis Sambutan mengalu-alukan kedatangan saya ke SMK Baru, Miri. Majlis yang diadakan di Hotel Mega Miri itu yang dihadiri hampir kesemua ahli Eksconya yang di ketuai oleh En Anuar Bin Hj Ahmad begitu meriah dan dalam keadaan sangat mesra. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib YDP PIBG En Disa, dan beberapa orang penting dalam PIBG iaitu En. Azmi, Puan Hadiah, Cg Marlyani dan Puan Fatimah serta bebrerapa orang ahli Eksconya yang terdiri daripada guru-guru. Selain itu, turut bersama dalam majlis tersebut ialah semua penolong kanan dan guru-guru.

Asyik berbual, sehingga lupa untuk merakamkan walaupun sekeping gambar. Hanya ini yang ada dalam simpanan saya ..
YDP PIBG En Anuar Hj Ahmad sedang berucap. Gambar Ikhsan Cg Mizan
Ucapan terima kasih dari saya untuk semua
Tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.
Cg Marlyni S/U PIBG - Selaku pengacara majlis pada malam tersebut
Penolong kanan pentadbiran Cg Boyce dan Naib YDP PIBG En Disa
Menjamu selera..
Majlis dimulakan dengan ucapan YDP PIBG dan disusuli dengan ucapan pengetua. Dari ucapan YDP PIBG, saya difahamkan berbagai usaha telah dilakukan oleh PIBG SMK Baru Miri dalam usaha untuk menaikkan martabat dan nama baik sekolah. Semoga segala usaha yang telah dilakukan oleh tuan-tuan akan diberkati dan dirahmati Allah. Sama-samalah kita berusaha untuk kecemerlangan. Terima kasih juga kepada En. Anuar dalam perbicangan ringkas semasa menjamu selera tersebut, meluluskan permintaan pihak sekolah untuk menyediakan LCD projector untuk setiap kelas, peringkat demi peringkat. Saya yakin PIBG yang aktif seperti PIBG SMK Baru ini mampu melaksanakannya untuk Pembelajaran dan Pengajaran yang berkesan.

Selamat berkhidmat di tempat baru, "Noi" seorang pekerja yang cemerlang.  Walaupun beberapa hari kenal  sudah bokeh menilai keikhlasannya bekerja..
Sabar menanti semua hidangan di sajikan
Sate - sedapnye.. Ketam - takutttt.. kalau saya makan, alamat tak ke sekolahlah esok
Masing-masing sudah mula berkayuh..
Semua makanan sudah sedia sebelum semuanya mula brkayuh..
Dah hampir selesai..
Sebelum itu pada 15 Februari lalu, satu jamuan makan malam juga telah di adakan di Taman Selera Tanjung Lobang oleh Kakitangan Sokongan sekolah dan sebahagian guru-guru meraikan kedatangan saya ke Miri dan meraikan rakan-rakan AKS yang akan berpindah. Antaranya ialah “Noi” (Norayah) dan Marshall. Terima kasih kepada semua, saya sangat-sangat menghargai atas sambutan yang diberikan.

Terima kasih untuk semua, InsyaAllah SMK Baru akan Sentiasa Cemerlang..

Sunday, April 1, 2012

220.SMK Baru Miri, Kearah Kecemerlangan...

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia baru saja diumumkan. Maka dengan itu, lengkaplah 3 peperiksaan Awam diumumkan sebagai penutup bagi prestasi akademik tahun 2011. Bagi yang berusaha bersungguh-sungguh, keputusan pasti membanggakan berbanding dengan mereka yang hanya mengharapkan keputusan yang terbaik tetapi kurang berusaha ke arah itu. Saya yakin, Allah SWT tidak akan menghampakan hambanya yang berusaha. Namun jika ada juga kegagalan barangkali ada di mana-mana yang masih kurang diberi perhatian.

Para pelajar sedang membandingkan keputusan SPM masing-masing dan berbincang sesama sendiri ke mana arah tuju selepas ini
Kakitangan sokongan sama-sama membantu mengedarkan keputusan peperiksaan kepada pelajar
Cg Nurfarhah - Guru kaunseling sedang memberi jalan kepada pelajar ke mana arah selepas ini
Keputusan peperiksaan awam, sama ada PMR, STPM dan SPM yang di capai oleh SMK Baru Miri juga membanggakan. Walaupun STPM dan SPM  tiada pelajar yang mendapat semua A’s kecuali PMR namun dari segi pencapaian GPSnya sangat membanggakan. GPS terkini yang dicapai oleh SPM ialah 5.54 meningkat dari tahun sebelumnya dan menghampiri purata kebangsaan. Manakala peratus layak mendapat sijil merosot sedikit tetapi dari segi GPSnya meningkat 0.6 kepda 4.33 dari 4.93. Lebih membanggakan ialah 7 subjek mendapat 100% lulus iaitu Seni Visual, Fizik, P.Akaun, Biologi, EST, MPV dan termasuk 1 subjek Sains Sukan. GPSnya juga turut meningkat kecuali Fizik dan MPV menurun sedikit.

Cg Fadzli sedang berkempen supaya pelajar memilih ke tingkatan 6 sebagai laluan untuk ke  Menara Gading. Mulai tahun ini tingkatan 6 akan mulakan dengan sistem baru iaitu sistem modular atau sistem semester. Semoga dengan sistem ini nanti ramai pelajar yang akan merasakan kurangnya beban dan ramai yang akan berjaya..
Tahniah kepada semua guru yang selama ini bekerja keras ke arah kejayaan (To Excell) SMK Baru Miri. Ada orang berpendapat bahawa, cabaran bagi guru-guru yang mengajar kelas peperiksaan sangat besar. Jatuh bangunnya mata pelajaran yang di ajar adalah tanggungjawabnya seorang. Maka dalam “post mortem” guru-guru inilah yang akan di “hentam” jika mata pelajaran itu merosot. Sebaliknya jika ada mata pelajaran yang meningkat, semua strategi berjaya dilaksanakan, cakap apapun semuanya kena, semuanya betul. Tidak ada yang salah. Ini lah yang menimbulkan “ketakutan”, “tention”, “Stress” bagi sesetengah guru yang “lemah semangatnya” dan berharap untuk mengajar kelas bukan peperiksaan. Dari pengalaman saya ada rakan guru yang terpaksa mendapat rawatan pakar dan sudah hambar dengan kerja, dan ada mahu melepaskan jawatan serta merta..

Guru-guru tingkatan 6 kelihatan serius melambangkan keiklasan semasa bermesyuarat post mortem dan penetapan strategi untuk tahun 2012. Keyakinan dan usaha gigih akan membuahkan hasil yang hebat.
Semua guru memainkan peranan penting dalam pencapaian sesuatu mata pelajaran. Semua guru adalah penyumbang kepada kejayaan atau sebaliknya. Persediaan tapak yang baik adalah penting untuk mendidikan sebuah rumah yang teguh dan kukuh. Jika tapaknya sudah goyah mustahil rumah dapat didirikan dengan baik. Oleh itu strategi peringkat Guru Kanan Mata Pelajaran dan peringkat Panitia Mata Pelajaran sangat penting supaya dapat menyediakan pelajar (contohnya)  tingkatan 1 dan 2 yang hebat untuk diserahkan kepada guru tingkatan 3, seterusnya mencapai kejayaan yang bukannya kejayaan Individu tetapi kejayaan sesuatu panitia Mata Pelajaran tersebut. Namun begitu, tidak dapat dinafikan kejayaan sesuatu Mata Pelajaran itu memang bergantung kepada usaha dan komitmen guru berkenaan, bagaimana beliau berperanan sebagai penyelamat setelah tapak yang disediakan tidak begitu selamat.

Bagaikan sesi "Brain Storming" masing-masing memberi idea yang bernas untuk subjek yang diajar. 
Dari sesi mesyuarat dengan guru-guru tingkatan 6 dan 2 mesyuarat pengurusan yang sudah dilaksanakan setakat ini, saya begitu yakin SMK Baru, Miri selepas ini akan lebih berjaya. Semangat yang ditunjukkan semua guru termasuk 4 guru kanannya sangat menyakinkan saya bahawa kita boleh buat yang terbaik dan membanggakan saya. Perancangan kelas MaCS dan kelas tambahan yang dirancang sedang dalam pelaksanaan. Selain dari itu Karnival Bulan Akademik yang sedang berlangsung sekarang juga merupakan satu aktiviti yang baik membantu pelajar merasa yakin kepada diri sendiri kepada subjek-subjek tertentu dengan aktiviti luar darjah. Keseronokan pelajar menyertai aktiviti ini menampakkan bahawa para pelajar SMK Baru tahu akan visi dan misi sekolah yang harus dicapai.

Keyakinan ibu bapa terhadap SMK Baru juga sangat tinggi. Ini kelihatan apabila ramai ibu bapa dari sekolah persendirian dan bukan “fider”yang menghubungi saya untuk menempatkan anak-anak mereka di SMK Baru terutama bagi tingkaatan 6 atas walaupun senarai pelajar tingkatan 6 belum lagi dikeluarkan. Semua ini adalah memberi gambaran SMK Baru adalah sekolah yang terbaik antara 16 buah sekolah menengah di Daerah Miri. Kejayaan dan kepercayaan ini seterusnya akan memberi satu nilai muhibbah atau “Goodwill” kepada sekolah. Kepada semua guru dan warga sekolah sama-samalah kita membina SMK Baru kelandasan yang betul dan menjadi sekolah kebanggaan kita semua.

Terima kasih Cikgu.. 

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.