Utusan Malaysia Online 20 April 2012
KUCHING 19 April - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia
Bhd. (Angkasa) mencadangkan supaya jawatan Guru Penolong Kanan Koperasi Sekolah
diwujudkan dengan tujuan meningkatkan perolehan koperasi.
Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah
berkata, kertas cadangan mengenai perjawatan itu akan dikemukakan kepada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jun
ini.
"Ini merupakan idea baharu memandangkan pada masa ini
kebanyakan koperasi sekolah tidak mempunyai pengurus.
Gambar Hiasan: Koperasi SMK Baru Miri |
"Ia kerana nilai jualan atau perolehan mereka tidak
begitu tinggi memandangkan terlalu memberi tumpuan kepada pasaran untuk warga
sekolah masing-masing sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas
menghadiri majlis Taklimat Program Koperasi Sekolah 2012 Peringkat Negeri
Sarawak dan lawatan ke koperasi Sekolah Menengah Agama Matang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, pihaknya akan
melakukan kajian di peringkat akar umbi dengan mengadakan pertemuan bersama
para guru bagi mendapatkan maklum balas terhadap cadangan perjawatan tersebut.
Para pelajar SMK Baru Miri memberi sokongan kepada Koperasi SMK Baru. Mereka dilayan dengan mesra oleh rakan-rakan yang bertugas.. |
Pada masa sama, katanya, Angkasa akan melakukan perbincangan
bersama wakil kementerian berkaitan sebaik sahaja program jelajah Taklimat
Program Koperasi Sekolah di seluruh negara selesai.
"Selepas itu, kita akan membuat kertas cadangan sebelum
dikemukakan kepada KPDNKK bagi menjelaskan kenapa jawatan Guru Penolong Kanan
Koperasi Sekolah perlu diwujudkan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pada masa ini
30 koperasi sekolah di seluruh negara menunjukkan minat bekerjasama dengan
Angkasa untuk menjual barangan runcit.
Tiga daripada koperasi sekolah itu adalah dari Sabah
antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang dan SMK Lundu.
"Disebabkan tuntutan semasa selain beban kos sara hidup
dan barang keperluan semakin meningkat yang dihadapi masyarakat termasuk para
guru, maka koperasi sekolah boleh memainkan peranan dengan menjual produk
seperti COOP 1Malaysia yang menawarkan harga yang murah," katanya.
1 comment:
Terima kasih..
Post a Comment