PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, December 21, 2010

144.Sumbangan pekerja bukan guru dalam sistem persekolahan


Selama 2 minggu bermula 1 Disember lalu, semua pekerja SMKB bukan  guru bersama-sama dengan pekerja pembersihan swasta menjalan gotong royong membersihkan kelas. Idea ini adalah cetusan dari pembantu dan attenden makmal yang inginkan supaya semua kelas kelihatan cantik dan menarik seterusnya pelajar yang mendaftar masuk ke sesi pesekolahan 2011 akan lebih bersemangat untuk belajar. Gotong royong juga disertai oleh cikgu Amalyna, seorang guru baru dari Kedah yang mula melapor diri selepas sekolah ditutup.

masing-masing tahu akan tugas
yang perlu dilaksanakan
Matlamat awal hanya pembersihan kelas telah bertukar kepada kerja-kerja mengecat kelas, mebaiki kerusi meja, mencuci langsir, mencuci kipas angin dan sebagainya apabila masing-masing tidak berpuas hati dengan keadaan kelas yang dilihat tidak menarik dipandang. Semuanya bersemangat waja, sehingga semua kerja gotong royong selesai pada akhir jumaat lepas. Masing2 juga menyatakan rasa berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan. Semua lampu yang tidak berfungsi juga telah ditukar. Kini hanya yang tinggal ialah menentukan bilangan murid dalam kelas dan susunan meja dan kerusi yang mencukupi.

tugas dilaksanakan dalam suasana yang ceria
Saya rasa sangat bertuah, bila melihat semua pekerja dapat sama-sama berganding bahu untuk tujuan murni ini. Apabila kita membincangkan tentang sekolah, apa yang kita bayangkan ialah adanya pengetua, ada penolong kanan, ada guru dan ada murid. Tetapi kita jarang memikirkan adanya pekerja bukan guru sebagai pelengkap pasukan sekolah untuk mencapai kecemerlangan. Mereka juga ada visi dan misi tersendiri dan ingin melihat sekolah dalam keadaan sempurna dan inginkan P & P guru berjalan dengan lancar. Bahkan mereka juga pemerhati yang hebat dan mempunyai idea yang bernas untuk sama-sama memainkan peranan secara langsung keatas kemajuan sekolah.

selesai gotong royong sama-sama
menikmati makanan yang disediakan
gadis bertudung hijau - Cikgu Amalyna
Minggu ini mereka sudah kembali kepada tugas masing-masing, pekerja pembersihan sibuk mengemas persekitaran sekolah. Masih ada yang mengecat pondok-pondok rehat pelajar, ada yang menebas rumput, trim bunga dan sebagainya. Manakala pembantu dan attenden makmal meneruskan usaha mengemas di makmal. PAR pula kini sibuk mencetak dan meyusun dokumen-dokumen untuk mesyuarat awal tahun pada 31 Disember 2010 nanti. KPT dan semua PT sibuk dengan urusan penutupan akaun manakala pihak pengurusan sibuk dengan urusan LNPT.

Sumbangan pengawal keselamatan juga tidak kurang pentingnya. Mereka juga kelihatan sibuk meronda dan mengenalpasti kawasan sekolah sentiasa dalam keadaan terkawal dan selamat. Apa yang menarik di SMKB mereka juga ringan tulang membantu kerja-kerja pengubahsuaian pondok jaga dan kini pondok tersebut menjadi kebanggaan mereka. Ini menambahkan keseronokan mereka bekerja. Apa yang pasti mereka telah menjalankan tugas, melapor dan sebagainya dengan sempurna seperti yang digariskan sebagai panduan.

Saya sangat-sangat menyedari dan berterima kasih atas sumbangan mereka. Seperti mana guru-guru di SMKB, kebajikan pekerja-pekerja bukan guru dan pekerja-pekerja swasta ini sentiasa dijaga. Hubungan kemanusiaan amat penting, selain sentuhan kekeluargaan. Saya percaya semangat kekitaan yang dipupuk selama  4 tahun lebih saya di SMKB, menjadikan mereka lebih faham dan memudahkan kerja disamping arahan yang jelas. Semua pekerja sekolah adalah sebahagian system persekolahan. Mereka juga adalah penentu imej sekolah. Mereka juga mempunyai saham dalam kemajuan dan kecemerlangan sekolah.

Thursday, December 16, 2010

143.Bagaimana membantu pemimpin

Perutusan Tahniah dari PPD Daro
Kita biasa dengar pepatah “Lepas Tangan” atau dalam bahasa inggerisnya “Pass the buck” dan perkara ini biasa terjadi di mana-mana organisasi. Semua ini adalah kerana sikap kita yang acuh tidak acuh kepada sesuatu tugas di berikan. Malah ada dikalangan kita yang terang-terang tidak mahu melakukan sesuatu tugas apabila diberi arahan dengan alasan sebelum ini saya sudah melakukannya tetapi sekarang saya tidak mahu melakukannya lagi. Serahkan sahaja kepada orang lain sedangkan beliau mempunyai kekuatan dan telah menunjukkan kecemerlangan dalam tugas tersebut sebelum ini.

Semasa Harry Truman menjadi Presiden Amerika Syarikat. Beliau meletakkan papan tanda berbunyi “The Buck Stop Here” dengan menjanjikan semua perkara yang dihadapi tidak kira siapapun akan diselesaikan oleh beliau. Satu keputusan perlu dibuat kerana yang akan menanggung kesalahan dan kesilapan adalah pemimpin. Orang begitu senang menyalahkan pemimpin jika tewas tetapi pemain sebenarnya ialah orang yang dipertanggungjawab di atas padang.

Saya sangat teruja dengan surat dari PPD Daro yang di tandatangani oleh Cg Awet Bin Gapor yang mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua guru khasnya guru sekolah rendah di daerah ini kerana telah sama-sama membantu kepada peningkatan sama ada quality dan quantity dalam peperiksaan UPSR 2010. Tanggungjawabnya sebagai ketua bagi daerah ini memang berat dan kita sebagai guru kini telah menunjukkan komitmen yang sangat baik, kerana telah sama-sama membantu pemimpin kita meringankan tugasnya. Kejayaan kita meningkatkan prestasi sekolah bermakna kejayaan beliau memimpin dan kejayaan kita bersama. Jika tiada kejayaan di peringkat bawah, bermakna kita sudah sama-sama gagal termasuk pemimpin kita. Ini memperlihatkan kita tidak berdaya meringankan tugas pemimpin.

Berbagai cara boleh kita lakukan untuk mengampu membantu pemimpin. Kita boleh membantu pemimpin dengan melaksanakan semua tugas yang diberikan dengan baik. Semua arahan yang diberikan siap pada masa yang ditetapkan. Laporan yang diminta dapat diserahkan tanpa ada penangguhan kerja. Semua kerja dibuat dengan teliti dan tiada kesilapan dan perlu dibuat semula. Jika pemimpin sudah menurunkan tandatangan dan cop, semua dokumen rasmi akan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Amat malang jika ada kesilapan dan kesalahan berlaku dan amat menggembirakan jika semua dokumen penting  mendapat pengiktirafan, kerana kejayaan itu adalah kejayaan semua warga organisasi.

Kita boleh membantu pemimpin dengan menyelesaikan sesuatu masalah bukan menambahkan masalah yang ada. Jangan menyusahkan pemimpin dengan pelbagai perkara yang remeh temeh yang boleh kita selesai sendiri. Beritahulah pemimpin perkara-perkara yang perlu mereka dengar bukan perkara-perkara yang mereka mahu dengar. Mudahkan urusan pemimpin.

Kadangkala seseorang pemimpin memerlukan pertolongan pendapat dan pandangan yang bernas untuk membuat sesuatu keputusan. Oleh itu pendapat dan pandangan tersebut bukan yang biasa-biasa. Orang yang rapat dengan dengan ketua di sesebuah organisasi tentulah orang kanannya. Sekiranya mereka tidak dapat memberi pendapat yang bernas sudah tentu tidak akan membantu seseorang ketua. Lebih-lebih lagi bila di minta pendapat dan pandangan, semuanya adalah “copy and paste” dari pendapat-pendapat  orang bawahan yang menampakkan ketidakmatangannya.

Kita juga boleh membantu pemimpin dengan menyokong dan mempertahankan idea dan kepimpinannya selagi tidak bercanggah dengan ajaran agama. Bukannya dengan sama-sama tergolong dengan orang-orang  yang cuba menghancurkan kepimpinan yang sedia ada. Amat rugi bagi sesebuah organisasi jika ada orang yang bersikap gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut. Memuji di depan pemimpin tetapi mengejinya di belakang. Bagi pengikut atau orang kanan yang baik dan berwibawa, mereka boleh menggantikan tempat pemimpin jika seseorang pemimpin itu mempunyai urusan luar yang berkaitan dengan organisasi atau pemimpin bercuti. Berbincang dengan baik supaya semua urusan dapat dijalankan sepertimana pemimpin yang sedia ada. Jangan terlalu mengamalkan sikap “meramal” kehendak ketua. Sebaik-baiknya jika kita tidak pasti kita perlu bertanya.

Jangan mengambil cuti ketika urusan di pejabat sibuk, semasa lawatan pihak atasan atau lawatan dari mana-mana pihak yang berkepentingan yang dilihat seolah-oleh “lepas tangan” dan semua masalah yang timbul adalah urusan pemimpin. Banyak lagi perkara-perkara  yang boleh kita lakukan supaya kepimpinan seseorang ketua menjadi bertambah baik. Jangan kedekut memberi idea dan pendapat, kerana takut idea dan pendapat  tersebut akan digunakan oleh pemimpin dan kita tidak dapat apa-apa darinya. Orang yang akan mendapat nama dan disebut ialah pemimpin.

Dalam pada itu, pemimpin juga perlu ingat bahawa orang kanan atau kiri yang menyumbang idea dan pendapat itu,  sudah pasti mereka juga mengharapkan sesuatu. Walaupun tidak dapat memberi hadiah dan sebagainya dalam bentuk kewangan, memadailah  dengan ucapan terima kasih yang dilakukan oleh PPD daro. Pemimpin yang hebat bukannya yang pandai berdrama tetapi  berwibawa.

TERIMA KASIH CIKGU

Wednesday, December 15, 2010

142.Banjir, hikmah dan pengajaran

Apabila berlakunya sesuatu musibah ke atas diri, keluarga dan masyarakat. Kita selalu berfikir apakah pengajaran yang kita dapat ke atas peristiwa tersebut. Paling mudah pengajarannya ialah itu adalah bala yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita kerana keadaan atau suasana masyarakat sekarang yang dikatakan sudah kurang ketaatannya kepada Allah. Manusia sekarang sudah banyak menyimpang jauh dari suruhan Nya dan lain-lain. Senang-senang saja kita menyalahkan takdir.

Baru-baru ini kampung saya dilanda banjir, dikatakan terbesar dalam sejarah. Tanya seorang sahabat dalam FB. Apakah hikmah dan pengajaran yang dapat diambil darinya. Persoalannya sangat baik dan jawapan yang pertama tentulah kerana takdir. Allah telah menentukannya maka kita kena terima hakikatnya dan kita tidak menolak bahawa itu adalah qada dan qadar Allah.

Apabila banjir melanda maka banyaklah harta benda penduduk kampung yang rosak teruk. Bukannya kampung saya sahaja tetapi kampung-kampung lain juga terlibat. Bahkan banjir kali ini telah menyebabkan beberapa buah Bandar dan pekan kecil di Utara tanah air seperti Kangar dan Jitra lumpuh. Kos membaik pulih semua kerosakkan akibat ditenggelami air sangat tinggi.  Bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak akan dapat menampung semua kerosakkan tersebut.

Walaupun saya tidak berada di Kampung ketika itu, saya dapat bayangkan suasana pada masa tersebut. Bagaimana rasa hati melihat air bah semakin naik sedikit demi sedikit masuk ke dalam rumah. Jika air naik pada waktu malam memang tidak tidur dibuatnya. Memang sibuk mengemas itu dan ini.  Angkat itu dan ini supaya air tidak sampai. Jika lambat mengemas dan air naik dengan cepat, jawabnya akan terapung-apunglah benda-benda ringan dan akan tenggelamlah peti sejuk, mesin basuh, almari pakaian, katil, sofa dan lain-lain.. Bila air mula besar, nak melepas pun susah.. jamban pun tenggelam.

Dari pengalaman saya yang lalu, jika banjir besar begini melanda ia akan mengambil masa yang lama  atau lebih dari  seminggu untuk surut kembali. Selepas itu bermula episod mencuci lumpur yang tertinggal di dalam rumah. Biasa yang kami lakukan sekeluarga ialah mencuci semasa air mula surut supaya lumpur dapat keluar bersama-sama air tersebut. Jika tunggu air kering susah untuk mencuci kekotoran yang melekat di dinding dan sebagainya. Ketika inilah kita akan dapati pelbagai kerosakkan.  Ada diantaranya ialah barang-barang yang kita sayang dan tidak sempat diselamatkan. Pintu rumah pula kembang ditenggelami air dan tidak dapat ditutup lagi dengan sempurna.

Apakah hikmah dan pengajarannya.

Kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana banjir. Manusia tidak boleh menghalangnya. Itu kerja Tuhan. Malah,  Banjir  yang melanda  baru-baru ini bukan sahaja disebabkan air hujan dari langit tetapi adalah akibat lepasan air yang banyak dari empangan kerana tepu disebabkan hujan di Kawasan Hulu. Ada kemungkinannya air dari negara jiran. Buatlah bagaimana teguh sekalipun tebatan banjir, sedalam mana sungai dikorek. Jika air terlalu banyak ia akan tetap akan banjir.

Banjir yang berlaku di sebelah utara bukannya hanya berlaku pada tahun ini sahaja tetapi boleh dikatakan hampir setiap tahun. Kadang-kadang satu tahun dua kali banjir. Bila difikirkan inilah sebabnya kenapa orang tua-tua dahulu membina rumah tinggi. Tidak seperti sekarang semua penduduk berlumba-lumba membina rumah di atas tanah. Malah ada yang beranggapan banjir bukannya datang setiap hari.

Saya masih ingat rumah lama kami dulu sebelum diangkat ke Kuala Nerang (Rumah dulu dapat dibuka dan dipindahkan. Kemudian dipasang semula). Bila musim banjir kami memerhati dari atas air yang masuk sedikit demi sedikit ke bawah rumah. Tidak perlu bimbang dengan kerosakkan barang. Tidak perlu kelam kabut untuk mengangkat itu dan ini. Bahkan almari lama yang di bawa ke Kuala Nerang oleh Tok Wan masih elok sehingga ke hari ini, tetapi rumah kami yang baru dibina seringkali bertukar barang setiap kali banjir melanda. Yang kaya ialah taukey perabot dan taukey peralatan elektrik.

Oleh itu, kita tidak perlu menunggu Edward De Bono untuk datang dan menolong kita fikirkan bagaimana menangani masalah ini. Orang-orang tua, datuk nenek kita telah mengajar kita bahawa, kita tinggal di kawasan banjir, maka rumah yang kita bina perlu tinggi dari paras banjir. Kita tidak boleh melawan takdir. Telah ditakdirkan bahawa kawasan tersebut memang banjir kerana rendah, bukannya telah ditakdirkan barang-barang kita perlu ada di situ dan perlu rosak kerana banjir.

Oleh itu kita kena berubah, berfikiran kreatif dan berfikiran positif. Rumah yang kita bina nanti perlu di bina lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakkan barang. Dan rumah jenis ini jika di “Desingn” dengan baik ia juga menarik di pandang. Kita juga senang hati, barang tidak rosak, perbelanjaan dapat dijimatkan, tidak lagi takut jika terpijak ular dan sebagainya.  Ada yang membina rumah dua tingkat dengan beranggapan jika banjir dapat lari ke rumah atas, namun kerja-kerja memindah barang amat memenatkan dan dalam keadaan tersebut kita tidak terlarat untuk mengangkat semua barang...  

Orang tua-tua selalu kata, Ingat seingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Kita perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam kehidupan...Begitu juga dengan tubuh badan kita. Jika sakit berjumpalah doctor, jangan hanya menyerah kepada takdir...

Wallahualam bissawab

Tuesday, December 14, 2010

141.Batang Ai, Lubuk Antu. Sri Aman.

Perjalanan balik dari Mukah
6.30 pagi

Seperti yang dirancang bersama keluarga untuk ke Batang Ai akhirnya termakmul. Saya bertolak balik dari Mukah dengan Bas Lanang jam 6.30 pagi. Seperti pengalaman semasa pergi, selama 1 jam 30 minit berhempas pulas dengan keadaan jalan yang tidak memuaskan dan beberapa kali kecut perut, bas yang saya naiki selamat sampai di kawasan rehat di Pekan Selangau jam 8.15 pagi. Seterusnya meneruskan perjalanan dan sampai ke Sibu jam 10.00 pagi.

Perkelahan ke Batang Ai sebenarnya adalah diatur oleh WI Cawangan Bunga Raya, Sibu dan Ahli-ahli Seberkas Kampung Hilir dengan menggunakan Bas Baram. Oleh kerana ramai yang ingin menyertai dan masing-masing ada urusan maka saya dan beberapa keluarga lain mengambil keputusan untuk menggunakan kereta sendiri. Bas bertolak lebih awal sementara saya sekeluarga bertolak ke sana jam 11.30 pagi dan sampai di Batang Ai pada jam 3.30 petang.

Pemandangan di Batang U Ai
Perjalanan ke Batang Ai sangat jauh dan meletihkan. Dari sibu ke Sarikei kerang lebih 70Km. Sarikei ke Simpang masuk ke Batang Ai lebih 100Km dan dari Simpang masuk ke Batang Ai 40Km. Batang Ai Nasional Park ini terletak di Bahagian Sri Aman dan merupakan salah satu tempat pelancongan yang terkenal di Sarawak, cantik dan sangat bersih. Jauhnya dari Bandar Kuching ialah 250 Km. Bolehlah dikatakan ia terletak di tengah-tengah antara Sibu dan Kuching dan di Kawasan sempandan dengan Kalimantan Indonesia. Majoriti penduduk disini ialah Orang Iban dan Bandar terdekat ialah Lubuk Antu.

Ikan Talapia Merah bersama Nasi Ayam Penyek
Resipi Wan Abdillah, Kedai Pak Soh, Jalan Masjid.. Hehehe..
Permainan silap mata untuk kanak-kanak
Iskandar (Is) berkaraoke menghiburkan rakan..
Boleh tahan.. 
Berbagai barang di jual di Pekan Lubuk Antu.
Niat untuk berkelah dan makan-makan sambil menikmati pemandangan di Dam Batang Ai bertukar berkelah di dalam bilik di Sarawak Energy, Batang Ai Township. Masing-masing dah keletihan dan tidak kuasa lagi membawa makanan untuk menuruni bukit bukau ke gigi air. Kami hanya berjalan-jalan dan menikmati pemandangan. Sangat Indah, dan rasanya tidak cukup 1 malam di sini. Pada malamnya, sama-sama menyertai kumpulan WI dan ahli Seberkas yang lain “BBQ” . Berbagai aktiviti disusun oleh mereka untuk memeriahkan suasana dan amat menyeronokkan melupakan keletihan semasa perjalanan. Antara aktiviti  yang dijalankan ialah Bermukun, Berkaraoke, tarian poco-poco dan pertunjukan silap mata untuk hiburkan kanak-kanak yang turut serta. 

Perjalanan Pulang
Singgah makan di Saratok
Anak saya (Mohamad Muzzammil) teruja melihat ulat Mulung di depan mata.
Siap pegang2 lagi.  RM2.00 satu bekas.
Tak puas makan malam tadi.. Kepala Ikan Talapia Merah Goreng.. Nyaman
Berbagai barang dijual di pasar ini...
Walaupun hanya 1 malam bersama keluarga di Batang Ai ini. Rasanya sangat gembira, walaupun pada petang tersebut saya terpaksa kembali ke sekolah dan perjalanan diteruskan oleh isteri dari Sarikei ke Sibu. Urusan di sekolah pun berjalan lancar pada hari isnin. Syukur rombongan En Osman, dari JAN (Jabatan Akauntan Negara, Cawangan Sarikei) keatas urusan naziran kewangan sekolah sangat memuaskan. Tiada banyak teguran. Nampaknya peluang untuk SMKB cemerlang dalam bidang ini amat cerah. InsyaAllah.

Saturday, December 11, 2010

140.Dirai, Selamat Jalan dan Selamat Datang

Gambar hiasan
www.budiey.com
Hari ini (10 Disember 2010) ke Mukah lagi.. Bukannya datang untuk bermesyuarat tetapi untuk meraikan rakan yang akan berpindah. Lama sudah tidak menaiki bas dari Sibu ke Mukah. Bandar yang tidak dapat dipisahkan dengan hidup saya kerana di sinilah tempat bertemu dengan isteri tercinta..  Restaurant U dan Me tempat kami selalu bertemu dah tak wujud lagi dan banyak perubahan yang berlaku keatasnya. Namun kenangan berbasikal dan berpayung masih kekal dalam kenangan.

Jalan ke Mukah sedang dalam pembinaan dan
banyak yang sudah diturap..
Jalan ini menguji kecekapan pemandu.
Lori2 balak dan lori2 yang membawa arang batu dari
 lombong menyumbang kerosakan jalan.
Bagi pemandu kenderaan pacuan 4 roda jalan ini
 memang untuk mereka.. 



Yang tak berubah ialah jalan masuk dari Pekan Selangau ke Mukah. Sejak tahun 1993 saya pertama kali melangkah ke Sarawak dan di tempatkan di SMK Three Rivers, sampai ke hari ini jalannya masih begitu. Perjalanan dengan bas jam 2.30 petang tadi amat mencabar. Sesekali saya di terkam rasa cemas bila keadaan bas seakan-akan akan terbalik disebabkan jalannya yang dalam pembinaan berlobang-lobang sana sini. Lobangnya pula bukannya sebarang, lebih besar dari kawah yang ada di dapur dewan makan SMK Belawai. Agaknya bila akan siap sepenuhnya jalan tersebut entahlah. Saya difahamkan oleh rakan sebelah saya semasa di dalam bas tadi, jalannya hanya 57 km, tetapi pembinaannya sudah memakan masa beberapa tahun.

Majlis berjalan lancar seperti dirancang,
Dalam Gambar Beramai-ramai
Berdiri Dari kiri, Cg Bidin (SMK Three Rivers), Saya, Cg Mustapha (SMK Dalat), Cg  Raniah (SMK Matu), Cg Hajjah Zakiah (SMK Mukah), Cg Tony (SMK Batang Igan). Duduk Cg Aseng Kuman (SMK St Patrick), Tuan Hj Rajaee (SMK TPDH Normah Daro dan Cg Awang (SMK Oya)
Syukurlah, saya selamat sampai ke Bandar Mukah Jam 6.00 petang dan terus ke Hotel Budget.. Bila melihat ketengangan Bandar ini hilang rasa cemas dan takut. Tepat jam Jam 7.00 petang Cg Mustapha (YDP Persatuan Pengetua Bahagian Mukah) datang menjemput ke Restaurant Riverside. Setelah semua rakan berkumpul, tepat jam 7.30 petang makanan dihidangkan dan majlis berlangsung sehingga jam 9.30 malam. Selamat berhijrah ke tempat baru kepada Cg. Raniah Pengetua SMK Matu dan tahniah atas kenaikan pangkat ke DG52. Semoga di SMK Maradong nanti cg akan lebih cemerlang memimpin dan tidak lupa kami di sini. Selamat datang juga di ucapkan kepada pengetua baru SMK Matu, Cg Abdul Hamid Bin Lias (yang berasal dr Terengganu) dan pengetua baru SMK Batang Igan Cg Tony Bin Anis (dari Kuching). Selamat bertugas sebagai pengetua dan selamat memimpin sekolah kearah kecemerlangan.

Tahniah juga diucapkan  kepada SMK St Patrick di bawah pimpinan Cg. Aseng Kuman (Mantan YDP persatuan Pengetua Bahagian Mukah), kerana berjaya meraih hadiah Inovasi tempat ke 3 anjuran MAMPU dengan system rekod disiplin pelajar bagi memantapkan lagi pengurusan Hem di sekolah. Semoga system ini nanti dapat di perkenal dan diguna pakai di semua sekolah Bahagian Mukah.

Esok jam 6.30 pagi saya akan bertolak balik ke Sibu. Menaiki bas yang sama, Bas Lanang. Akan bermula lagi kisah cemas selama 1 jam 45 minit sebelum sampai ke Pekan Selangau. Semoga perjalanan selamat, kerana setelah sampai ke Sibu kurang lebih jam 10.00 pagi, anak isteri akan sedia menunggu untuk bersama-sama rakan yang lain untuk pergi berkelah di Batang Ai..

Wednesday, December 8, 2010

139.Sebagai Renungan Sempena Maal Hijrah

Telah banyak orang memperkatakan tentang bangsa kita. Sama ada datangnya dari bangsa kita sendiri atau bangsa lain. Bangsa kita lemah. Bangsa kita kurang daya saing. Bangsa kita senang diperkotak katik.  Bangsa kita suka mengumpat dan suka berdengki antara satu sama lain.  Bangsa kita juga dikatakan  susah untuk bersatu dan berbagai kisah lain dalam pelbagai bidang yang diceburi yang dilihat sebagai “alang-alang” dan kerja yang dilakukan tidak menunjukkan “kesungguhan” untuk maju berbanding dengan bangsa lain walaupun ada peluang yang luas dan keistimewaan yang tertentu. Bahkan  kadang kala segala komen yang dikeluarkan sama ada bertulis atau lisan amat sedih didengar dan memalukan diri kita sendiri. 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa, jika kita sering  mengingati kelemahan tersebut kita akan sentiasa bermotivasi dan sentiasa berwaspada dan membuat perubahan. Namun apa yang berlaku dalam masa berwaspada tersebut, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini pada diri dan ahli keluarga,  ada sesetengah orang dalam masyarakat kita dengan mudah untuk “menyangka buruk” kepada orang lain dan apa yang berlaku kepada diri dan keluarganya itu adalah disebabkan atas sikap buruk yang ditunjukkan oleh orang-orang tertentu.

Menuduh tanpa bukti yang kukuh seringkali berlaku di dalam masyarakat kita.  Kadangkala sukar untuk dinasihat supaya apa yang berlaku patut di siasat terlebih dahulu sebelum menuduh orang lain yang “Ubatkan”  atau apa yang di alami itu  adalah “Buatan Orang”. Lebih-lebih lagi jika nasihat awal yang diperolehi adalah dari “Bomoh”  atau orang  yang “Pandai” dalam bidang ini.  Menuduh orang atas sesuatu yang tidak sahih sehingga “memalukan” juga boleh mengeruhkan perhubungan silaturahim yang selama ini terjalin erat. Bukan sahaja antara jiran tetangga, rakan taulan dan sahabat handai tetapi melibatkan hubungan suami isteri dan antara adik beradik, sedarah daging, seibu sebapa.

Sikap kita yang mudah percaya, membuatkan kita terjebak dalam “jerat” yang mengongkong dan menetapkan kepercayaan bahawa itu semua adalah hasil sifat  “dengki” dan “kianat”yang dilakukan kerana tidak senang dengan apa yang ada pada kita. Saya tidak menafikan akan kebenarannya tetapi kita kena ingat bahawa orang lain juga menyembah tuhan yang sama dan masih mengekalkan sifat-sifat mulia sebagai hamba Allah yang  taat akan suruhannya dan tidak tergamak untuk melakukan perkara-perkara terkutuk. Di sebaliknya memang ada manusia yang dengki dan kianatnya yang meluap-luap dan tidak senang dengan apa-apa kelebihan yang ada pada orang lain.

Gambir Sarawak
Banyak kegunaannya.. Sangat berkesan
Sama-sama kita renungkan dan berfikir kes-kes benar yang saya kemukan. Berfikirlah sejenak  kerana ia adalah lebih baik dari beramal sepanjang malam : Kes pertama : Melibatkan sepasang suami isteri. Kisah ini berlaku beberapa tahun lalu. Isterinya Shida (nama singkatan)  memang rapat dengan keluarga saya. Setelah mendirikan rumahtangga dengan suami yang berasal dari Perak,  mereka berpindah ke Pulau Pinang kerana suami bertugas di sana. Beberapa bulan selepas itu Shida tiba2 tidak sedarkan diri dan di bawa ke klinik. Beliau disahkan tidak mengalami apa-apa sakit dan terus di bawa pulang ke Alor Setar. Semasa di rumah beliau mulai sedar dengan hanya membuka mata tetapi tidak dapat berkata apa2. Selepas itu terus tidak sedarkan diri. Usaha dilakukan dengan bantuan bomoh di sana sini. Berbagai telahan bomoh, ada yang mengatakan kena buatan bomoh siam dan berbagai macam lagi. Akhirnya selepas dinasihat, beliau di bawa ke hospital dan beliau disahkan “keguguran”. Malangnya, sudah terlambat selepas dua hari di hospital dalam keadaan “Koma” beliau meninggal dunia.

Kes kedua : Juga melibatkan suami isteri. Si suami adalah rakan saya dan amat saya kenali. Kes berlaku pada tahun 1999 akibat cemburu. Suaminya bekerja di sebuah kilang  di sibu. Jarang mengambil dan pada hari minggu memenuhi hobinya. Hasutan rakan-rakan menguasi diri si isteri yang mengatakan si suami ada “kehendak” yang lain..  Dengan bantuan bomoh isterinya telah melakukan sesuatu yang diluar dugaan. Makanan suami telah ditabur dengan “kuku” dan si isteri mula menunjukkan hubungan dingin dan memberi isyarat untuk berpisah. Si suami mula merasakan dirinya bagai diseksa. Di ceritanya satu persatu kepada saya bagai orang yang tidak lagi siuman. Rindu untuk tidur dengan isteri meluap-luap. Layanan isteri langsung tidak dapat dilupai. Dengan bantuan bomoh,  beliau tahu tentang perbuatan isteri. Isteri mengaku dan memohon ampun. Perbuatan isteri dimaafkan. Mereka berpindah dan kehidupan mereka bahagia hingga kini.

Kes ketiga: Masih melibatkan suami isteri. Si isteri tidak mendapat pendidikan yang sempurna akibat kemiskinan dan keluarga yang tidak sempurna. Baru-baru ini banjir besar melanda di bahagian utara semenanjung. Dalam masa berjaga-jaga menghadapi banjir besar tersebut sepasang suami isteri ini berkemas. Semasa berkemas si suami menjumpai nota-nota sekolah semasa belajar dahulu iaitu nota sains berkenaan fotosentesis. Di dalam nya ada gambar daun dan nota mengenainya. Si suami membelek dan membaca dengan kushuk dan menggamit memori semasa masih bersekolah. Namun semua ini mendatangkan syak kepada si isteri. Nota-nota yang di buang di kutip oleh si isteri dan di simpan. Dalam masa yang sama si isteri sering sakit-sakit dan dengan tidak disangka-sangka si isteri menuduh si suami yang melakukan dengan niat “membunuh” untuk mencari perempuan lain. Nota-nota tadi disangkanya adalah doa-doa dan gambar daun tersebut adalah cara bagaimana untuk melakukannya. Si isteri melarikan diri dan balik ke rumah ibunya dan menuntut cerai. Puas dipujuk tetapi si isteri berdegil dan ingin berpisah setelah 13 tahun berkahwin. Bukti-bukti tersebut ditunjukkan kepada Mahkamah Syariah dan membuatkan semua yang hadir ???... Kes akan disebut lagi pada 16 Disember 2010 nanti.. Semoga tidak berlaku perceraian ini. 3 orang anak masih memerlukan kasih sayang ibu dan bapa. Anak sulung 12 tahun, anak kedua 10 tahun dan yang bungsu 2 tahun. Jurang perpisahan amat jauh kerana seorang di pantai barat dan seorang di pantai timur.

Sahabat dan saudara..
Meninggal dunia selepas 2 bulan di sahkan
kanser tulang.. Semoga Allah tempatkan rohnya
bersama-sama orang  yang beriman.
Alfatehah
Kes keempat: Kisah 4 orang sahabat. Sahabat pertama, tiba-tiba sakit. Bantuan bomoh dipohon. Bomoh tersebut menasihatkan supaya mendapatkan rawatan di hospital. Sangkaan mulanya beliau di “buat” orang barangkali dengki kerana perniagaannya semakin maju tertutup apabila beliau disahkan mengidap kanser tulang. Sahabat ke dua, begitu juga,di sana sini bantuan bomoh, dukun dan pawang dipohon tetapi sakit masih tidak baik, malah makin bertambah teruk. Akhirnya tidak berdaya lagi dan terpaksa dihantar ke hospital, beliau disahkan mengidap pendarahan di dalam usus. Manakala sahabat saya yang ketiga kini masih dalam keadaan sakit, masih berdegil tidak mahu ke hospital. Beliau sangat2 percaya, beliau di kianati kerana persaingan dalam perniagaan dan berazam untuk membalas dendam. Kepercayaan terhadap apa yang dinyatakan oleh “bomoh” tidak dapat dinasihat lagi. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya, dan tidak membalas kepada sesuatu yang tidak pasti.. Sahabat yang keempat, melibatkan adik beradik. Perebutan harta peninggalan arwah telah menjadikan adik beradik berpecah.. tuduh menuduh berlaku, mengatakan mereka di “bomoh” oleh adik beradik sendiri. Akibatnya mereka membawa haluan masing-masing dan tidak mengaku sedarah sedaging dan jika bersua muka di mana-mana akan berlaku pertengkaran dan ungkit mengungkit.

Kisah yang terakhir yang ingin saya kongsikan ialah persaingan antara dua sahabat dalam perebutan jawatan di dalam persatuan. Oleh kerana factor usia yang lanjut, ahli-ahli persatuan mula memikirkan untuk mencari pengganti. Bila mesyuarat diadakan dan pemilihan dibuat maka terpilihlah orang baru untuk memegang jawatan tertinggi. Rasa tidak puas hati dan sangkaan buruk terhadap orang baru ini bermain-main difikiran dan membabitkan anak-anaknya. Rasa tidak puas hati ini ditunjukkan kepada semua orang yang datang melawatnya di rumah sehingga ke hari beliau menghembuskan nafas terakhir pada minggu lepas yang disahkan oleh doktor sebelum ini beliau menghadapi penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Orang yang kena tuduh menafikan sekeras-kerasnya dan sanggup “bersumpah”. Namun apa yang kita harapkan semoga yang dipanggil Allah itu, rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan yang masih hidup memaafkannya. Semoga beliau dilindungi Allah dari perbuatan balas dendam.

Saya percaya, banyak kisah-kisah lain yang  kita ketahui dan alami. Saya mencatatkan kisah ini sebagai renungan dan sebagai ingatan untuk diri sendiri. Jadilah orang yang berilmu. Mintalah pertolongan dari Allah jika ada musibah. Tuduh menuduh, membalas dendam dan sebagainya akan menjadikan kita bertambah “Kufur”. Jadikan apa yang dialami sebagai dugaan Allah. Sama-samalah kita hidup di dunia sementara ini dengan berbaik-baik antara satu sama lain, kerana tiada siapa yang akan kekal..

Selamat Menyambut Maal Hijrah.

Astagfirullah...

Thursday, December 2, 2010

138.Pemimpin sekolah yang berkesan

keseronokan belajar
Gambar Hiasan - Google
Ramai yang mempercayai bahawa kepimpinan hadir bersama-sama dengan pangkat. Besar pangkat bermakna kepimpinan dapat dijalankan dengan baik. Pangkat-pangkat ini pula, dalam system yang ada seperti yang kita ketahui adalah menurut “Seniority”. Tidak cukup tahun atau tangga gaji yang tertentu maka belum dapat dinaikkan sama ada untuk ke DG44, DG48, DG52 dan sebagainya. Namun pada masa sekarang, jika belum genap syarat-syarat seperti yang dinyatakan ada juga guru-guru DG41 yang menjalankan tugas pemangkuan DG44 bagi membolehkannya menjalankan tugas-tugas penolong kanan. Namun ramai guru yang menolak untuk kenaikkan pangkat ini dengan pelbagai alasan dan alasan yang biasa didengar ialah lebih selesa untuk menjadi guru biasa.  Malah Sesetengah guru pula menolak untuk menjadi guru Cemerlang dan ada yang sanggup untuk berpindah sekolah,. Sesetengah sekolah pula ada guru biasa yang DGnya sama dengan Pengetua atau ada yang mengatasi DG pengetua.

Namun walau apa alasan pun, dan mana kedudukan kita di dalam sesebuah organisasi yang disebut sekolah  semua guru adalah pemimpin. Untuk melahirkan sesebuah sekolah yang berkesan tidak ada “Excuse” mengatakan “saya tidak boleh memimpin, saya bukan orang atasan” kerana pangkat atau kedudukan tidak menjadikan seseorang itu pemimpin sesecara automatic tetapi pemimpin sebenarnya adalah pemimpin yang berpengaruh atau seseorang pemimpin itu dapat mempengaruhi seseorang melakukan sesuatu untuk visi dan misi organisasi. Tidak ada ungkapan bahawa, kelas ini hanya hanya cikgu sahaja yang mereka “takut”  tetapi guru seperti kami tidak dapat mengawalnya.

Seseorang pengetua yang berkesan ialah seorang pengetua yang dapat mempengaruhi warga sekolah dengan pepimpinannya menanam semangat kepada semua warga sekolah melakukan sesuatu pada pandangannya dapat melonjakkan prestasi sekolah. Penolong kanan yang berkesan ialah seorang yang dapat berkerjasama dengan pengetua dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua staf. Penolong kanan adalah cerminan pengetua dan ia merupakan orang yang paling dekat dengan pengetua dan faham akan “wahyu-wahyu” yang disampai dari pihak atasan untuk di laksanakan di sekolah. Kurangnya kemahiran untuk  “mempengaruhi” ini, apa yang akan disampaikan akan menjadi buah mulut seterusnya akan menimpulkan “Konflik”.

Begitu juga dengan, Guru-guru kanan, ketua panitia, ketua guru disiplin, Guru kaunseling, Guru data,  Guru Media, Guru SPBT, Guru majalah sekolah, Guru Tingkatan, Guru Ko-Kurikulum, Ketua warden dan berbagai tugas utama di sekolah  merupakan pemimpin, Jika seseorang itu menjalankan tugas umpama “melepaskan batok di tangga” atau “Lepas tangan” atau hanya yang diarahkan atau menunggu arahan atau sengaja tidak memahami tugas yang ditetapkan atau apa-apa sahaja alasan maka sesebuah organisasi itu tidak akan mana-mana. Kita hanya akan memuji-muji dan memandang kecemerlangan orang lain tetapi tidak berdaya usaha untuk memajukan apa yang kita ada. Sebaik-baiknya jika kita sebagai “followers” jika melihat keadaan begitu kita perlu sama-sama bekerja keras membina anggota kumpulan kita jangan tunggu sehingga dilantik menjadi guru itu dan ini baru kita akan memulakannya. Adalah lebih baik sebagai “followers” kita terlebih dahulu membina pasukan dan jika kita di lantik ke jawatan tersebut kita sudah mempunyai kumpulan yang kuat.

Gambar Hiasan
Suasana P & P dalam kelas
Dalam sesebuah sekolah pemimpin yang sangat-sangat penting ialah pemimpin di dalam bilik darjah. Kelemahan pemimpin ini mempengaruhi pelajar dalam kelas, akan menimbulkan banyak masalah dan sangat memeningkan kepala. Pemimpin yang “Smart” akan membuatkan pelajar merasa “lemah” dan setiap kata-katanya, pelajar akan “akur”.  Pemimpin yang baik tentunya,  pengawalan kelasnya baik, pelajar tidak bermasalah, tidak timbul banyak kes disiplin di dalam kelasnya berbanding kelas yang sama kepada guru-guru lain. Kerja bertulis yang diberikan kepada pelajar “beres” dalam masa yang ditetapkan. Pencapaian pelajar dalam mata pelajaran yang diajarnya mencapai peratusan yang sangat baik berbanding mata pelajaran yang diajar oleh guru lain yang kita kategorikan mata pelajaran yang senang. Pemimpin-pemimpin jenis ini juga tidak bermasalah jika diberikan tugas lain, berbanding dengan pemimpin-pemimpin yang lemah yang sentiasa mengelak dari diberi tugas dan mempersoalkan “Kenapa saya?” kenapa “Tidak orang lain”, Kenapa tidak diberikan kepada orang ini atau orang itu yang lebih “tahu dari saya” dan pemimpin yang selalu merajuk dan sentiasa diketawakan oleh pelajar. Bahkan ada pemimpin yang merasai dirinya cukup tua, dan semua tugas perlu dilaksanakan oleh pemimpin muda.

Menurut John C. Maxwell di dalam bukunya “The 360 Leader” terdapat 5 peringkat kepimpinan. Kepimpinanan yang utama ialah Ketokohan (Penghormatan) – Orang akan ikut kita kerana peribadi dan pendirian kita. Kedua, Pembangunan Insan – Orang akan ikut kita kerana jasa yang telah kita taburkan kepada mereka. Ketiga,  Penghasilan – Orang akan ikut kita kerana jasa yang sudah kita sumbangkan kepada organisasi. Keempat, Kebenaran (Hubungan baik)- Orang  mahu mengikut kita atas kerelaan mereka sendiri dan barulah yang kelima, Kedudukan (kuasa) – Individu mengikut perintah kita kerana kuasa... Sebagai seorang  pemimpin kita perlu  mempelajari tahap-tahap kepimpinan lain dan membuat perubahan  sedikit demi sedikit bukannya apa yang dilakukan untuk  “Syok Sendiri”.  Akhirnya ramai  kakitangan kita akan merasa bosan. Lebih ramai akan berpindah atau letak jawatan. Semangat bekerja akan menurun. Namun bagi mereka yang lemah dan tidak ada pegangan diri, tiada arah sebenar dalam dunia pekerjaan  dan tidak berdaya saing atas nama “Amanah”  kena fikir-fikirkanlah...

Monday, November 29, 2010

137.Pembelajaran dan Pengajaran, Kreatif dan Inovatif

Siapa dulu?
Banyak kegunaan telur ayam sebelum menjadi ayam.
Banyak juga peribahasa / kata bidalan
 yang dikaitkan dengan ayam
Ayam dulu ke, telur  dulu.. ayam le dulu sebab ayam dulu di sebut. Ye ke? Tapi kalau di sebut.. Telur dulu ke atau ayam dulu.. Telurlah dulu sebab yang disebut telur dulu. Macam tu ke jawapannya.. Yelah kalau dibincangkan tentunya sampai kiamat pun tak akan habis-habis, jika perbincangan berterusan dan tiada siapa yang mahu mengalah akhirnya nanti boleh berakhir dengan pertengkaran dan menimbulkan hubungan yang tidak baik. Tetapi jika diikutkan asal usul kejadian manusia, Allah jadikan Adam dulu, kemudian Hawa barulah ada kelahiran.. sudah tentulah ayam dulu sebelum telur...

Dalam dunia pendidikan, sudah lama kita disogokkan dengan perkataan P & P atau Pengajaran dan Pembelajaran.  Sangat mustahil Jika seseorang cikgu tidak tahu  apa itu P & P sudah tentu Pengajaran dan Pembelajaran.  Pengajaran dulu atau Pembelajaran dulu? Aduh .. ini pun satu hal juga, semua buku-buku pedagogi dan kaedah-kaedah P & P di pasaran semuanya menyebut Pengajaran dan Pembelajaran, maka pengajaran lah dulu bukannya Pembelajaran. Namun bila kita gunakan “Google search” juga berlambak-lambak senarai Pengajaran dan Pembelajaran yang keluar.. tetapi hanya satu sahaja yang menyebut tentang Teori Pembelajaran dan Pengajaran.  Sudah tentulah pada fikiran kita yang satu ini salah?.. SILA TEKAN DISINI

Asal Usul Pembelajaran
Banyak kerosakkan kepada manusia
bermula dari atas bumbung
Antena TV, Parabola, Internet, Astro
dll yang memberi kesan langsung
kepada pemikiran manusia
Jika ia digunakan dengan baik, baiklah
jadinya, jika sebaliknya... maka
sesungguhnya manusia itu selalu
di dalam kerugian...
Berbalik kepada asal usul manusia, siapa sebenarnya guru Adam dan Hawa.. siapakah yang mula-mula mengajar Adam dan Hawa tentang erti kehidupan. Semasa Adam keseorangan dan kesunyian di dalam syurga, terdetik dalam diri Adam dia perlukan teman. Tiada guru yang mengajar  Adam, dia perlukan teman dan Allah telah mencipta Hawa untuknya. Begitu juga bila berlaku kematian di sebabkan pertikaian adik beradik, 2 orang anak Adam.  Dalam kehidupan anak-anak Adam dan Hawa mereka belajar adanya kematian, tetapi yang menyempurnakan pembelajaran tentang kematian itu ialah burung-burung.. Di ceritakan bagaimana anak-anak Adam dan Hawa ini mencontohi bagaimana burung-burung menanam bangkai burung jika kematian berlaku. Pengajarannya ialah jika ada kematian maka manyatnya perlu di kebumikan. Kenapa dikebumikan? Disinilah perlu adanya guru-guru yang hebat untuk memberi sebab dan akibat jika mayat tersebut terbiar tanpa di pedulikan. Siapa guru tersebut, tentulah guru yang pakar yang telah dipelajari berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Orang yang pakar dalam bidang ini sudah tentulah ustaz dan ustazah.

Tiada siapa yang mengajar kita menjadi perenang yang hebat dalam rahim ibu sehingga kita berjaya lahir ke dunia. Tiada siapa yang mengajar kita menangis meminta susu semasa kita lapar. Tiada siapa yang mengajar kita merangkak sehingga kita dapat berjalan. Setelah umur kita meningkat, kita mula menunjukkan sesuatu yang kadang-kadang dilarang dan kadang-kadang kita dipuji oleh ayah ibu dan saudara mara, maka secara tidak langsung pendidikan secara tidak formal sudah berlaku dan diterapkan seterusnya dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan formal.

Semasa permulaan kita di dalam rahim ini, tiada siapa yang mengajar kita berenang, tetapi kita telah diberi kuasa berenang sekuat hati mendahului saudara kita yang lain. Dalam persaingan tersebut kita telah memenanginya sehinggalah kita lahir ke dunia. Selapas dilahirkan maka bermulalah pembelajaran demi pembelajaran ketahap-tahap tertentu sehinggalah dapat berjalan seterusnya mendapat pendidikan tidak formal di rumah seterusnya pendidikan formal di sekolah. Dalam meniti hari ke hari pelbagai pengetahuan yang kita dapat, dan pengetahuan yang ada di luar waktu persekolahan itu adalah lebih banyak berbanding pendidikan formal lebih-lebih lagi dengan ledakan maklumat yang ada sekarang.

Keputusan yang diambil oleh Jemaah Nazir,  Pengajaran dan Pembelajara ditukar kepada Pembelajaran dan Pengajaran untuk SKPM semakan 2010 amat bertepatan sekali dan dilihat lebih kepada reality. Guru-guru kini benar-benar dilihat sebagai mentor, sebagai fasilitator, sebagai jurulatih  dan sebagai “Coach” seperti mana  yang di war-warkan. Mana-mana guru yang masih mengekalkan P & P “Berpusatkan guru”  dapat kita simpulkan sudah ketinggalan zaman. P & P Wajib “Berpusatkan pelajar” kerana kini pengetahuan guru untuk mengajar bukan segalanya. Banyak yang pelajar tahu melebihi diri kita sebagai guru.


Guru Kreatif dan Inovatif



Kreatif dan inovatif bukannya sesuatu yang senang untuk diajar
Ia memerlukan seseorang yang mempunyai minat yang besar
Untuk melakar, untuk mencuba dan mengadaptasikannya
Menjadikan sesuatu yang hambar menjadi menarik

Untuk memudahkan pembelajaran dan pengajaran maka guru-guru perlu menyediakan suasana atau “Mencipta Suasana” yang menarik dan berkesan. Untuk menarik minat pelajar sudah tentu guru-guru perlu memikirkan pembelajaran dan pengajaran yang kreatif dan Inovatif selain tidak mengabaikan kebajikan dan keperluan sahsiah pelajar. Dengan potensi pelajar yang berbeza, guru perlu mencari teknik2 yang sesuai untuk merangsang minat murid dan mereka boleh belajar secara aktif, serta menerima ilmu dalam suasana yang gembira. Apabila seseorang guru sudah dapat “mengambil hati pelajar” mereka akan disayangi. Kedatangan guru-guru ini akan sentiasa dinanti oleh pelajar. Guru ini akan menjadi Idola dan sentiasa di sebut-sebut dan guru ini sebenarnya sudah berjaya mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar. Guru ini juga telah berjaya menterjemahkan isi pengajarannya berbanding dengan guru-guru yang hanya sekadar guru.

Dalam P & P sebenarnya tiada satu kaedah pun yang “Tetap” yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk mencemerlangkan pelajar. Walaupun dalam ilmu pendidikan, semasa di university atau di maktab-maktab kita di ajar menggunakankan berbagai kaedah dan teknik seperti Kaedah tunjuk cara (demonstrasi), Simulasi, kaedah pengajaran kumpulan, Kaedah perbincangan, kaedah penyelesaian masalah, Kaedah oudioligual, Kaedah kodkognetif, Kaedah projek dan lain-lain, namun kepelbagaian guru dan kebijaksanaan guru untuk digunakan untuk subjek-subjek tertentu adalah amat penting. Tidak mustahil guru yang hanya menggunakan kaedah tradisional “ Chalk and Talk” lebih hebat dari guru-guru yang menggunakan pelbagai kaedah tetapi P & P nya tidak meninggalkan kesan yang baik keatas para pelajarnya.  


Cikgu Shida



















Lihatlah dari sudut yang positif . "Positive Thinking" . Rakan-rakan guru Cikgu Shida mungkin lebih mengetahui apa yang dilakukan olehnya, berbanding dari kita yang berada diluar. Adakah kita seperti guru ini yang bersungguh2 dalam pekerjaannya... atau kita menegur sehingga dia terasa hati dan tidak melakukan apa2.. atau berpindah dari sekolah ini yang semakin menyerlah pencapaiannya dari segi sahsiah pelajar atau menjadikan sistem pendidikan kita semakin jemu dan kurang bermaya. Berapa jumlah pelajar yang tidak boleh membaca yang akan naik ke tingkatan 1 mulai 2011?.. Ubahlah sikap kita yang suka mengeji kepada memuji dan sama-sama kita doakan guru ini sentiasa memikirkan sesuatu yang bermanfaat untuk pelajarnya dan tidak lokek untuk berkongsi dengan rakan guru yang lain.
Cikhu Shida..Bersabarlah.... 

Cikgu Shida, Nama ini sekarang sudah tidak asing bagi kita kerana terkenal di alam maya ini dengan penonjolannya yang berani. Guru ini sangat kreatif dan Inovatif. Sepatutnya kita berbangga dengan kehadiran beliau dengan pelbagai idea yang menarik. Beliau merupakan guru yang kreatif dan inovatif. Jika saya GB di mana sekolah beliau berkhidmat, saya adalah orang yang sangat bertuah. Namun apa yang berlaku, beliau telah dikutuk habis-habisan kerana kreativiti dan keputusan yang beliau ambil, memaksimakan penggunaan sumber teknologi yang ada pada masa kini.

Kreativiti dan inovasi yang dipaparkan beliau telah dinilai oleh orang ramai secara terbuka yang bukan dalam bidang masing-masing Banyak komen yang nagatif menyerang peribadi beliau dengan pandangan mengeji dengan menghamburkan kata-kata yang kesat. Namun kita sebagai rakan guru yang memahami apa yang cuba dilakukan oleh Cikgu Shida. Beliau seorang yang berani merubah P & P menjadi yang terbaik, membina keseronokkan kepada para pelajar untuk datang ke sekolah. Mengatasi kes-kes ponteng seterusnya membina kawalan kelas yang sempurana disamping menafikan banyak kes-kes disiplin berpunca dari kelas-kelas dimana guru-gurunya amat lemah.

Dari pengamatan saya melalui “youtube” beliau mempunyai visi yang tersendiri dimana apa yang dilakukannya semata-mata untuk anak didiknya. Perkongsian Video yang dimuatkan di dalam “Youtube” membuatkan ramai anak muridnya dapat melayari dan melihat di rumah. Saya percaya pada masa sekarang sekurang-kurangnya 1 komputer setiap rumah sudah menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi di Bandar disamping banyaknya Cafe Cyber. Secara tidak langsung, Cikgu Shida juga telah melakukan perkongsian pintar bersama-sama rakan guru yang lain, jika guru-guru lain merasakan idea tersebut berguna digunakan di sekolah masing-masing.

Saya tidak fikir Cikgu Shida mencari publisiti murah. Dia tidak kisah dengan tomahan dan komen-komen. Namun apa yang pasti pelawat-pelawat FB dan Youtube nya sangat memberansangkan. Walaupun di gertak supaya aduan dibuat kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau tidak merasa gentar kerana beliau tahu bahawa tujuannya amat murni. Jika ada sekalipun aduan yang dibuat, kita berharap pihak Kementerian dapat berfikir dengan rasional sebelum mengenakan apa-apa hukuman yang menghalang guru-guru daripada memikirkan daya kreativiti untuk mengajar anak-anak didik secara bersungguh-sungguh.

Yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek Untuk mencapai sesuatu kejayaan adalah tidak mudah. Banyak teori yang dicipta di dunia ini dicipta oleh orang yang gila-gila.. Peringkat pertama mereka di kutuk, diherdik, dan sebagainya tetapi apabila menampakkan kejayaan dan di terima pakai mereka menjadi terkenal dengan idea gila-gila tersebut. Bagi mereka yang melihat apa yang dilakukan oleh guru-guru kreatif ini di sudut yang negative maka kita tidak akan beroleh apa-apa.. tetapi jika dilihat disudut positif maka kita sangat2 teruja melihat anak2 anak murid Cikgu Shida belajar dalam suasana gembira, seronok, tidak jemu, tidak tertekan dan mereka dapat mengikut arahan yang diberi tanpa paksaan... Saya harap ramai lagi guru-guru kreatif seperti Cikgu Shida dan berharap beliau akan berusaha sehingga suatu hari beliau boleh dimartabatkan sebagai Guru Kreatif dan Inovatif dalam mana-mana sambutan hari guru atas pengorbanan beliau.. 

Terima kasih cikgu..

Wednesday, November 24, 2010

136.Jadilah Diri Sendiri

Lambang Sebuah Kejayaan
Dari Usaha dan Keringat
Hari ini hari ke 2 di seluruh Negara adalah hari yang paling penting kepada semua pelajar tingkatan 5. Mereka menduduki peperiksaan besar, peperiksaan SPM. Sudah tentu ada yang begitu yakin akan meraih kejayaan besar dan sedang berkira-kira berapa A’s yang akan mereka perolehi. Sebaliknya sudah tentu ada yang sekadar datang memeriahkan suasana kerana ada yang tahu hanya menulis nama sendiri dan beberapa patah perkataan dan sedikit pengetahuan matematik. Pelajar-pelajar yang selama ini tidak ke sekolah dengan masalah tersendiri juga menampakkan diri masing-masing di dalam dewan peperiksaan dan jika betul dengan keinsafan pada riak wajah maka mereka akan berjaya seterusnya kejayaan ini akan dibukukan, mereka pelajar bermasalah, tetapi berjaya mengatasi pelajar lain yang selama ini bertungkus lumus berusaha datang ke sekolah tanpa rekod ponteng. Seterusnya akan menjadi idola dan contoh sebagai ikutan kepada pelajar lain.

Di SMKB,  Pagi-pagi lagi ramai ibu bapa yang datang, menghantar anak masing-masing sehingga ke Dewan Peperiksaan. Syukur, saranan saya kepada ibu bapa disambut dengan baik. Sekurang-kurangnya para pelajar merasakan usaha mereka selama ini dihargai. Bukan hanya dimarah, diherdik dan dihukum kerana tidak membaca buku atau tidak berusaha bersungguh-sungguh, tetapi pengorbanan mereka selama ini, walaupun belum menampakkan hasil yang tuai telah dibayar dengan nilai kasih sayang dari seorang ibu dan dari seorang ayah yang selama ini menaruh berbagai harapan. Kehadiran guru mata pelajaran dan guru-guru lain serta YDP PIBG SMKB juga dilihat sebagai pembakar semangat mengiringi semua calon hingga ke dalam dewan peperiksaan. Anda boleh melakukan yang terbaik.


 Cara ini bukan satu penyelesaian yang baik untuk meraih kejayaan

Tidak pernah dalam sejarah, pelajar yang gagal diberi hadiah. Yang selalu kita dengar ialah hari Kecemerlangan Kecemerlangan Pelajar atau Hari Penyampaian Sijil dan Hadiah. Begitu juga bagi Anugerah Cemerlang Dalam Perkhidmatan, tiada sedikit pun terlintas untuk memberi anugerah kepada guru-guru yang bermasalah atau yang berprestasi rendah. Semua orang mahukan kejayaan, begitu juga pelajar. Tiada yang mahukan kegagalan, tetapi potensi diri mungkin berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Tekanan demi tekanan membuatkan diri dalam dilemma. Kita tidak dapat mnenyelami jiwa mereka ketika ini dan peristiwa yang sangat menyedihkan apabila seorang calon SPM dari Johor meninggal dunia di dalam dewan peperiksaan. Belum pun sempat kertas peperiksaan pertama di buka beliau pergi buat selama-lamanya..

Debaran yang dialami oleh pelajar kini sangat hebat dalam menunaikan kehendak diri dan yang berkepentingan. Namun kadang kala harapan yang terlalu tinggi kepada pelajar yang tidak berupaya menjadikan kita lupa apakah matlamat utama pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara. Kita mementingkan matlamat pencapaian sekolah dan Gred Purata Sekolah (GPS). Usaha-usaha yang kita jalankan lebih kepada “Berorientasikan peperiksaan” dan bagi seolah-sekolah yang mengalami berbagai tapisan pelajar sudah tentu usahanya berganda-ganda untuk mencapai sasaran.

Namun dalam situasi sebegini ibu bapa perlu menjadi penyelamat. Dalam mengejar kejayaan anak-anak kita perlu akur akan perbezaan mereka berbanding dengan adik beradik yang lain dan ada perbezaan potensi dengan pelajar-pelajar yang lain. Berikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi dan tiada pilih kasih jika ada kegagalan. Kata bidalan nyiur setandan pun ada kecil besar, berair dan langsung tiada isi. Ini kan pula manusia, Kegagalan dalam pelajaran bukan gagal untuk terus hidup, kajian menunjukkan tiada kaitan kejayaan pelajar dalam peperiksaan dengan kejayaan mereka dalam usia dewasa.

Kelulusan yang baik yang diperolehi oleh semua pelajar sehingga di Menara Gading sudah pasti menuntut pekerjaan yang baik. Namun siapakah yang mencipta pekerjaan bagi para pelajar ini? .. Percaya atau tidak, ramai pelajar yang tercicir telah menjadi usahawan yang terkemuka. Ada yang membuka ladang dan ada yang membina empayar perniagaan dan lain-lain. Satu kisah benar yang di ceritakan oleh rakan saya, seorang yang dulunya semasa belajar bercita-cita untuk mengusahakan sebuah Pharmacy jika dia berjaya dalam pelajaran.

Malangnya separuh jalan dia tidak dapat meneruskan persekolahan. Tetapi cita-citanya tidak tidak berhenti di situ, beliau berusaha mencari modal dan membuka pharmacy dengan menggunakan kepakaran rakan-rakan yang lulus dalam bidang ini sebagai pekerjanya. Akhirnya beliau mempunyai beberapa rangkaian Pharmacynya. Lalu saya teringat kisah bagaimana Henry Ford mencipta kereta. Banyak cerita yang saya baca menyatakan bahawa dia sendiri yang menciptanya tetapi ada yang mengatakan Henry telah menggunakan kepakaran rakan-rakannya dalam bidang ini dan menghasilkan keretanya yang pertama Ford Model T yang membuatkan beliau terkenal di seluruh dunia. Paling dekat dengan kita di sini ialah ramai kontraktor kelas F yang hanya memiliki sijil-sijil tertentu sahaja tetapi mereka berjaya menjadi usahawan walaupun tiada ijazah.

Tan Sri Loh Boon Siew
Mendiang Loh Boon Siew (Tan Sri), Berhijrah dari China ke Malaysia ketika berumur 12 tahun dan bekerja sebagai makanik. Beliau menambah pendapatan dengan mencuci bas dengan upah sebanyak 10 sen. Beliau buta huruf sepenuhnya sehingga ke akhir hayat. Beliau tidak pandai membaca dan menulis tetapi beliau telah menyediakan pekerjaan bagi ribuan orang. Banyak lagi contoh lain, tetapi yang sedikit ini, sekurang-kurangnya ia menjadi contoh dan teladan, tiada kegagalan dalam hidup. Tidak cemerlang dalam pelajaran tetapi cemerlang dalam bidang lain. 

Kata seorang bapa kepada saya, anaknya adalah seorang yang pandai berbanding dengan anak-anak yang lain, semua kerja yang disuruh oleh guru dapat dibereskan dengan baik tetapi setiap kali peperiksaan dia gagal mendapat markah yang tinggi. Sangat menghairankan.. Namun bagi saya, beliau tetap pelajar yang pintar tetapi dalam peperiksaan walau sebanyak mana ilmu yang kita ada tetapi tidak dapat dicurahkan ke atas kertas dalam masa yang terhad dengan strategi yang betul dia akan mendapat markah yang rendah atau kemungkinan besar akan gagal.

Kata Douglas Mallock, kurang lebihnya.. Jadilah dirimu sendiri, Kalau tidak dapat menjadi meranti di puncak bukit, jadilah aur (Buluh) di tepi bukit yang teranggun.. Kalau tidak dapat menjadi rimbun, jadilah rumput menghiasi jalan... Kalau tidak dapat jadi haruan, jadilah sepat yang terlincah di dalam paya.. Kalau tidak dapat jadi nakhoda, jadilah pengikut yang terbaik .. Jika tidak menjadi bulan, jadilah bintang.. Jika tidak menjadi jagung jadilah keledek. Bukannya besar atau kecil kamu akan menang tetapi jadilah diri kamu yang terbaik..

TERIMA KASIH CIKGU

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.