PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Friday, October 17, 2008

22. Pelajar tendang guru


GAMBAR rakaman video telefon bimbit merakamkan pelajar perempuan sebuah sekolah di Kangar menumbuk dan menendang Azahana (gambar kecil) di dalam kelas, pagi semalam.

Berita Harian Online
Tarikh : 17 Oktober 2008

KANGAR: Seorang guru di sebuah sekolah menengah, di sini, mendakwa diserang sekumpulan pelajar termasuk diterajang berkali-kali pada perut oleh salah seorang daripada mereka di dalam bilik darjah sekolah terbabit, di sini, pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas guru terbabit, Azahana Ibrahim, 27, menegur seorang pelajar perempuannya berhubung kelewatan menghantar tugasan diberikan, terutama kandungan kata-kata kesat 'Gila Babi' yang diconteng pada kerja kursus yang dihantar.

Tidak cukup dengan insiden di dalam kelas itu, pelajar perempuan berusia 14 tahun itu yang dikatakan masih belum berpuas hati dengan teguran guru berkenaan, dikatakan memanggil beberapa lagi rakannya dari kelas lain untuk membalas dendam.

Mereka kemudian 'menyerang' dan membuat kacau di kelas terbabit ketika Azahana yang juga guru mata pelajaran Fizik itu sedang mengajar, sehingga memaksa mangsa lari menyelamatkan diri ke bilik guru.

Azahana ketika ditemui bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen dengan alasan bimbang ia akan mendatangkan kesan termasuk diserang sekali lagi oleh kumpulan pelajar terbabit.

Bagaimanapun, Azahana yang masih fobia dan ketakutan ketika ditanya mengaku ditendang pelajar perempuan terbabit pada perut. Dia kemudian lari menyelamatkan diri ke bilik guru, sebelum dibawa ke Balai Polis Kangar untuk membuat laporan.

Difahamkan, Azahana baru saja berpindah ke sekolah berkenaan pada awal tahun lalu dari Johor, selepas menghadapi masalah kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Mohd Yusof Diah, ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat mangsa kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa menegur salah seorang pelajar perempuan dari tingkatan dua berhubung kelewatannya menghantar tugasan kerja kursus.

"Pelajar terbabit dikatakan tidak dapat menerima teguran sehingga menyebabkan berlaku kekalutan, sebelum mangsa ditendang dua atau tiga kali pada perut.

"Sehingga kini, kes masih disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.
Pelajar pukul cikgu
Oleh Syed Ridzuwan Syed Ismail
Utusan Malaysia Online
KANGAR 16 Okt. - Dua orang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa menendang dan memukul seorang guru Fizik berusia 27 tahun setelah dipercayai tidak puas hati dengan tugasan kerja kursus yang diberikan kepada mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kedua-dua pelajar tingkatan dua itu dikatakan dipanggil guru berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkataan kesat yang ditulis dalam kertas kerja kursus yang dihantar.
Menurut seorang guru sekolah tersebut yang enggan dikenali, kejadian berpunca daripada keengganan pelajar itu untuk menghantar tugasan yang diberikan kepada mereka beberapa minggu lalu.
Katanya, pelajar itu gagal menghantar tugasan yang diberikan dan hanya menghantar kepada guru tersebut hari ini selepas diminta berulang kali.
"Tetapi apabila tugasan dihantar terdapat perkataan kesat ditulis dalam buku tugasan mereka dan guru itu memanggil dua orang pelajar tersebut untuk mendapatkan penjelasan tetapi mereka bertindak di luar dugaan apabila memukul dan menendang mangsa beberapa kali.
"Guru itu yang terkejut dengan tindakan pelajar tersebut cuba mempertahankan diri dan berlaku sedikit pergelutan antara mereka," katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun guru wanita itu difahamkan hanya mengalami cedera ringan tetapi enggan ditemuramah pemberita kerana masih trauma dengan kejadian tersebut.
Difahamkan selepas pergaduhan itu, pelajar berkenaan yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan gangsterisme masih tidak berpuas hati dan bertindak memanggil beberapa rakannya yang lain untuk mencari guru itu.
Insiden yang berlaku dalam kelas itu sempat dirakamkan menggunakan telefon bimbit oleh seorang guru lain yang kebetulan melalui kelas terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Md. Diah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
"Kita akan mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.
Pelajar SMK Perlis pukul guru digantung seminggu
17/10/2008 4:22pm
KANGAR 17 Okt. - Seorang daripada dua pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini yang didakwa memukul dan menendang seorang guru kelmarin, digantung sekolah selama seminggu berkuat kuasa semalam.
Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati perbuatan pelajar itu melanggar batas antara anak murid dan guru. - Utusan
Lagi kes gaduh di SMK Perlis
KANGAR 20 Okt. - Beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan selepas berlaku satu pergaduhan sesama mereka hari ini.
Difahamkan kejadian itu berpunca daripada salah faham sekumpulan pelajar yang tidak berpuas hati apabila sekumpulan pelajar lain menendang beberapa buah basikal yang diletakkan dalam kawasan sekolah.
Pergaduhan pada pukul 11 pagi itu berlaku, kurang seminggu selepas seorang pelajar perempuan tingkatan dua sekolah yang sama bertindak menumbuk dan menerajang seorang guru selepas ditegur kerana menulis perkataan kesat dalam tugasan yang diberikan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Md. Diah berkata, pergaduhan berlaku disebabkan salah faham yang timbul antara pelajar terbabit.
"Kita telah memanggil beberapa pelajar yang terlibat dalam kejadian itu untuk diambil keterangan dan perkara ini sebenarnya telah selesai.
"Pihak polis juga tahu punca kejadian itu dan tindakan sewajar diambil bagi mewujudkan persekitaran yang selamat di sekolah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa ibu bapa dan penjaga pelajar terbabit bergegas ke sekolah itu apabila dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Beberapa pelajar juga dilihat dibawa oleh anggota polis menaiki van untuk dibawa ke balai polis berhampiran bagi proses mengambil keterangan. - Utusan
Pelajar kecewa keputusan SPM, terjun bangunan sekolah
KANGAR 13 Mac - Seorang pelajar perempuan yang dipercayai kecewa dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya hari ini, terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di sekolahnya.
Pelajar terbabit, anak bongsu daripada tiga beradik, bertindak demikian sebaik sahaja mengambil keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Dia mengalami cedera parah di bahagian dalaman badan selain patah tulang pinggang, kedua-dua tangan dan kaki serta cedera di mulut akibat tindakannya itu.
Pelajar perempuan tersebut kini ditempatkan di Wad Ortopedik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Bapa pelajar terbabit ketika mengesahkan kejadian itu berkata, sebelum keputusan diumumkan, anaknya dilihat terlalu memikirkan tentang keputusan peperiksaan SPM yang bakal diperoleh.
``Saya selalu menasihatkan dia supaya terima saja sebarang keputusan dan jangan terlalu memikirkannya. Saya tidak sangka dia akan bertindak sedemikian (terjun dari bangunan),'' katanya ketika ditemui di wad kecemasan HTF di sini.
Komen Pembaca Utusan Malaysia - 20 Oktober 2008
PUKUL GURU : HUKUMAN PELAJAR TIDAK SETIMPAL
Saya mendengar berita TV3 pada 17 Oktober 2003 berhubung kes pelajar memukul guru di Perlis . Saya amat-amat tidak berpuas hati dengan hukuman yang diberikan terhadap pelajar tersebut yang hanya di gantung sekolah selama seminggu
pada pendapat saya, hukuman tersebut langsung tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman itu ibarat "Cuti Bergaji" kepada pelajar itu. Ia langsung tidak membawa apa-apa kesan.
Saya juga pernah bersekolah. Dan saya faham perasaan pelajar sekolah. Jika pelajar tersebut malas nak buat kerja sekolah, bila digantung sekolah itu sebenarnya memberi rasa seronok, bukannya rasa kesal. Apatah lagi jika ibu bapa tidak berapa mengambil berat terhadap anakny, maka istilah "cuti bergaji" itu amat-amatlah sesuai. Pasti pelajar-pelajar yang malas bersekolah akan cuba melakukan kes seperti itu berulang kali kerana dapat cuti percuma.
Adalah lebih baik pelajar tersebut dihukum sebat dihadapat semua pelajar lain agar takut dan hormat kepada guru. Atau mungkin patut ditukar ke sekolah lain bagi menjaga nama baik sekolah tersebut atau lebih baik dibuang terus memandangkan kes yang dilakukannya agak berat dan sudah menjadi kes polis. Bagi saya itu lebih setimpal. Bukan sahaja ia menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar lain dari sekolah tersebut, malah turut menjadi pengajaran di sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
Pada pandangan saya pelajar yang bermasalah seperti ini biasanya tak berminat untuk ke sekolah, buat apa nak paksa mereka bersekolah jika hanya mendatangkan masalah.
Saya berharat agar hukuman yang diberikan itu ditimbang semula agar lebih setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kepada juri yang memberi hukuman agar lebih menghormati guru yang teraniaya, kerana dengan hukuman seringan itu guru-guru akan lebih terancam.
Bekas pelajar
Bkt. Katil, Melaka

No comments:

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.