Tersenyum sambil mengambil iktibar, bila seorang rakan pengetua baru, semasa sama-sama bersarapan pagi di sebuah kedai makan di hadapan SK Chung Boon, Mukah, menyatakan pada mulanya beliau merasa sangat bertuah kerana terpilih menyertai satu kursus yang dianjurkan oleh IAB di Kuching. Sedangkan rakan-rakan lain di daerah yang sama tidak terlibat. Namun bila mendapat penerangan daripada urusetia, sekolah-sekolah terpilih ini adalah sekolah “istimewa” dan perlu diberikan “suntikan” ajaib, baru beliau sedar dan mengakui sekolah beliau perlukan suntikan tersebut bukan setakat panadol tetapi lebih dari dari itu untuk kembali kepada kedudukan asal.
Ibarat kita bertemu dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu, kita akan bertanya khabar. Kita akan bertanya, berapa orang anak sekarang.. Orang tidak bertanya berapa banyak harta yang kita ada. Begitu juga dengan rakan-rakan pengetua yang sering saya temui atau rakan-rakan guru yang mengajar di sekolah lain, tiada lain persoalan yang dibincangkan, selain dari prestasi sekolah. Orang tidak bertanya tentang apakah perubahan yang berlaku di sekolah, apa masalah yang berlaku di sekolah tetapi yang penting ialah pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam sama ada PMR dan SPM. Kerana pencapaian inilah cermin kejayaan atau kegagalan seorang pengetua dan warga di dalamnya.
Minggu ini adalah minggu peperiksaan di SMK Belawai. Buat pertama kalinya peperiksaan diadakan serentak selama satu minggu. Tidak lebih dari itu. Format peperiksaan bagi tingkatan 3 adalah seperti biasa tetapi bagi tingkatan 4 dan 5 masa peperiksaan dipendekkan. Kertas 1 dan 2 dicantumkan kepada 2 jam sahaja supaya pelajar dapat diuji dengan tajuk-tajuk baru yang diajar dalam masa yang singkat ini disamping pelbagai program awal tahun yang diadakan. Pihak sekolah melihat, jika mereka diuji dalam format peperiksaan sebenar, mereka tidak dapat menjawab dengan sempurna dan sudah tentu markah mereka rendah dan tiada motivasi untuk meneruskan pelajaran. Akibatnya akan berlaku keciciran dengan bermulanya kes-kes ponteng kerana sangkaan awal mereka tidak berupaya untuk berjaya.
Semua pentadbir sekolah inginkan kejayaan. Tidak munasabah jika dikatakan, pengurusan sekolah yang dilakukan begitu ghairah adalah bermatlamat untuk gagal. Kita boleh melahirkan seberapa banyak klon SK Ulu Lubai, Limbang, sekolah berprestasi tinggi di Malaysia, jika semua orang berhasrat kearah itu. Sasaran setiap daerah di Sarawak sekurang-kurangnya ada sebuah sekolah mendapat 100% lulus dalam UPSR sangat disokong. Pada hakikatnya, lebih dari itupun dapat dicapai jika ada komitmen yang tinggi dari semua pihak. Begitu juga pencapaian dalam PMR dan SPM serta peperiksaan2 lain.
Penilaian prestasi sekolah melalui peperiksaan tidak dapat dinafikan. Semua sekolah tidak dapat lari dari sekolah berorientasikan peperiksaan. Kita boleh menyebut tentang “Kemenjadian murid” tetapi ia tidak dinilai dengan sebaiknya, sebaliknya kemenjadian murid dilihat pada pencapaian dalam setiap peperiksaan. Jatuh bangunnya sesebuah sekolah dilihat dari pencapaian dalam peperiksaan. Namun murid memang menjadi-jadi di sekolah kerana kemampuan belajar mereka adalah sangat terhad kecuali memang di sekolah-sekolah terpilih. Dengan pemikiran kreatif dan inovatif murid, mereka mula melibatkan diri dalam bidang “business”, menjual pil, menjual rokok dan sebagainya atas tuntutan permintaan yang tinggi.
Atas desakan pencapaian dalam peperiksaan dan menuntut NKRA dengan KPI tertentu, berbagai usaha dilakukan pihak pentadbiran sekolah. Segala arahan pihak atasan perlu dipatuhi. Guru melihat semua usaha tersebut adalah menambahkan beban, walaupun sebelum ini banyak dibicarakan tentang usaha untuk mengurangkan beban tugas guru. Dalam keadaan terpaksa kebanyakkan sekolah perlu melaksanakan program2 tertentu yang dirancang oleh pihak sekolah dan panitia masing-masing, disamping program2 yang dirancang oleh pihak Jabatan seperti program MaCS dan program yang dirancang oleh pihak Yayasan Sarawak.
Semua ini menuntut pengorbanan yang tinggi dari semua warga pendidik. Dan kadangkala beban kerja yang terpaksa dipikul membuatkan kita secara tidak sedar, sikap kita yang peramah menjadi pendiam, sikap kita yang suka tersenyum bertukar masam seperti cuka (Orang sini kata “menjus”), Takut orang untuk bertegur sapa. Kata seorang rakan saya dari sebuah sekolah Kluster. “Selepas sahaja sekolah kami diistiharkan sebagai sekolah Kluster, kami dapati susah untuk melihat pengetua kami tersenyum, kami harap senyumannya masih ada walaupun senyumannya di dalam hati melihat usaha-usaha kami untuk mengekalkan kecemerlangan...”
Yang pasti, saya masih lagi mampu tersenyum walau apapun tugas yang diberikan.. Sama-samalah kita bina "teamwork" yang kuat. Sentiasa berusaha dan kejayaan itu adalah kejayaan kita bersama..
Terima kasih Cikgu...
4 comments:
semoga anak2 SMK Belawai dapat menjawab dengan tenang dan membanggakan guru-guru.
kami menjalani peperiksaan selepas cuti nanti
Imanshah..
Begitulah hendaknya..
Saya doakan semoga anak didik Imanshah pun begitu juga..
Terima kasih..
salam Cikgu..
saya ada melihat kisah pelajar sekolah ulu Lubai di dalam tv3 tempohari..kesimpulan saya sekolah itu bermula dengan guru yang tabah dan tiada ruang hendak "mengulat" seperti guru di bandar,maka bolehlah menumpukan pada pengajaran dengan pelajar yang boleh di katakan satu guru 4 pelajar sahaja pecahannya..Faktor pelajar pula,seorang pelajar itu ada 2 sebab untuk bersekolah..samaada duduk di hutan selamanya atau mencari ilmu dan keluar dari kemiskinan..kebanyakkan mereka memilih mahukan anak2 keluar dari kemiskinan dan sanggup membantu pihak sekolah..berbanding di bandar mak ayah pantang anak komplen sikit maka di serangnya cikgu..maka hilang minat guru nak mendidik maka jangan mimpi lah nak dapat tahap sekolah kluster..
Assalam zul..
Begitulah realitinya.. kerjasama antara semua pihak adalah penting. Kalau cikgu dengan halnya, pelajar pula dengan pelbagai masalah, ibu bapa juga dengan kerenah masing2 sudah tentu tidak akan berjaya...
Banyak sekolah yang kurang murid seperti SK tersebut tetapi belum dapat mengatasi sk ini..
Post a Comment