Datuk Hajjah Norah Tun Abd Rahman Menyampaikan Ucapan tanpa menggunakan teks |
Menulis dan memberi ucapan untuk sesuatu majlis bukan suatu perkara mudah, terutamanya mereka yang jarang-jarang diberi tugas untuk ke depan sama ada merasmi sesuatu majlis atau memberi taklimat. Itu tidak termasuk menyampaian ucapan di depan orang ramai atau penonton. Seperti kata seorang pengetua semasa diminta memeberi ucapan sempena persaraannya di Bintulu, “sudah lebih 20 tahun saya berucap di hadapan pelajar, dan orang-orang besar yang dating ke Sekolah tetapi hari ini saya rasa amat gementar. Tidak tahu kenapa saya rasa begitu..”
Dalam ingatan saya, semasa di tingkatan 5 saya telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Semasa mengadakan mesyuarat saya langsung tidak dapat berkata apa-apa dan ditertawakan oleh rakan2. Semuanya tidak menjadi walaupun apa yang hendak dicakapkan telah tertulis. Memang bernasib baik ketika itu guru pengawas bertindak sebagai penyelamat. Namun, lama-kelaman masalah ini dapat diatasi dan mesyuarat dapat dijalankan walaupun tanpa kehadiran guru. Saya yakin semua ini dapat dilakukan dengan adanya latihan dan selalu dijemput ke pentas.
Dalam pada itu, ada juga rakan-rakan kita yang dapat menyampaikan ucapan dengan penuh yakin, bernas dan idea-idea barunya mendapat perhatian yang mendalam daripada orang ramai. Tidak kurang juga ada yang yakin, bernas dan idea-idea yang disampaikan langsung tidak mendapat perhatian kerana cara penyampaian yang hambar dan tidak menarik. Ada juga yang menggunakan teks yang sama saban tahun dengan sedikit perubahan. Dan ada yang terkantoi kerana apa yang dibaca dapat dikesan oleh pendengar, teks tersebut adalah teks tahun2 lepas yang langsung tidak diberi nafas baru.
Buat pertama kalinya teks ucapan saya untuk perasmian Program Ihya Ramadhan 2011 disediakan oleh Panitia Pendidikan Islam. Saya sendiri memohon supaya disediakan kerana, kemungkinan besar ada sesuatu yang saya terlepas pandang untuk dinyatakan dalam ucapan perasmian tersebut. Terima kasih kepada Ustazah Dayang siti yang sanggup memerah otak menyediakan teks tersebut. Maaf ucapan yang sampaikan, memang banyak penambahannya.
Dalam N3 ini saya selitkan teks ucapan tersebut (asal) untuk dikongsi bersama sebagai rujukan atau ada sesiapa yang memerlukan dalam sebarang keadaan…
*********************
Terima kasih pengerusi majlis, Yang dihormati Penolong kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Ko-k, Ketua Warden, Ketua Guru Disiplin, Guru Cemerlang, Guru-Guru Kanan, Guru-guru dan para pelajar yang disayangi.
Assalamualaikum..
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan segala alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya, Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang meneruskan tugas sebagai hamba Allah untuk melaksanakan amalan kebaikan di muka bumi ini. Semoga dengan apa yang dilaksanakan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan mendapat keberkatan dan keredaanNya.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Panitia Pendidikan Islam mengadakan satu Program untuk meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang dinamakan Program Ihya Ramadhan. Program Ihya’ Ramadhan yang membawa maksud “menghidupkan Ramadhan” yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan, Objektifnya adalah untuk menggalakkan warga SMK Belawai supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan secara konsisten (Istiqamah) dan berdisiplin.
Seperti mana yang kita sudah ketahui, bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang mulia berbanding dengan bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan. Selain itu, bulan Ramadhan juga dinamakan Al-Mubarak yang bermaksud bulan yang penuh dengan keberkatan di mana semua umat Islam diberi peluang untuk melipat gandakan pahala dengan menunaikan amalan-amalan wajib dan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ini.
Antara amalan yang wajib dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini adalah berpuasa dan membayar zakat fitrah dan antara amalan sunat yang sangat digalakkan untuk melakukannya ialah solat Trawith, bertadarus / membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail, beriktikaf, memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristigfar. Sepanjang bulan puasa juga kita disarankan untuk menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (Perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesunggungnya aku berpuasa! [HR: Muslim]
Sejajar dengan itu semua warga SMK Belawai khususnya semua guru dan pelajar adalah dialu-alukan untuk menyertai beberapa aktiviti yang telah dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam sepanjang bulan Ramadhan ini seperti Solah Tarawith Berjemaah, Tadarus Al-Quran, Moreh Ramadhan, Belaian Anak Yatim dan Salam Ramadhan.
Walaupun pada waktu siang kita berpuasa dan masa kita diisi dengan belajar, bekerja dan malamnya diisi dengan pelbagai amalan sunat seperti solat sunat terawith, para pelajar diingatkan supaya mengekalkan prestasi pelajaran walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Jangan jadikan alas an berpuasa untuk membolehkan para pelajar tidur dan tidak focus semasa P & P serta aktiviti harian lain biasa dilakukan pada bulan-bulan yang lain. Perlu diingatkan juga minggu peperiksaan sudah dekat dan pada bulan ramadhan inilah semua pelajar khususnya pelajar-pelajar kelas peperiksaan sepatutnya mengambil peluang memperbanyakkan doa kerana doa orang-orang yang berpuasa dimakbulkan. Nabi Muhammad S.A.W menyebut tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [ HR:At-Tirmizi]
Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam kerana berjaya menganjurkan majlis pelancaran Program Ihya Ramadhan pada kali ini dan semoga kita berjumpa di lain masa. Saya mengucapkan selama meneruskan ibadah puasa Ramadhan Al-Mubarak ini. Semoga segala amal ibadah dan jariah yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan yang mulia ini akan diterima dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Dengan lafaz Bismillah….. saya merasmikan Program Ihya Ramadhan tahun 2011
Sekian, Wabillah…
2 comments:
Assalamualaikum.
Semoga Ramadhan kali ini lebih memberi makna kepada semua umat Islam, terutama anak didik kita.
Semoga Allah menerima segala amalan kita pada siang dan malamnya.
TQ
Begitulah hendaknya Admin P@P..
Post a Comment