PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Friday, August 19, 2011

201.Merdeka Menyambut Kemenangan Ramadhan


Suasana sehari sebelum Idulfitri 2010 di Kuala Sungai, Sungai Baru Kedah
Suasana yang tidak dapat lupakan bila tibanya Hari Raya walau di mana sahaja berada

Keputusan adalah muktamad. Tahun ini saya sekeluarga akan menyambut Hari Raya Idulfitri di Sibu. Permintaan sanak saudara di sebelah sana tidak dapat dipenuhi. Sudah 2 tahun berturut-turut bersama keluarga di sana, tahun ini giliran di Sibu pula. Bagi diri saya tidak ada masalah, di mana saja boleh. Di sana keluarga, di sini pun keluarga, tetapi bila melihat rakan taulan sibuk membuat persediaan untuk balik ke kampung, terasa juga. Lebih-lebih lagi ada yang sudahpun menempah tiket, membuat tempahan kek lapis Sarawak dan sebagainya. Saya sudah membuat pilihan, jodoh di seberang Laut Cina Selatan, maka singkatnya, sama-sama berkorbanlah..

Wajah anak-anak yang riang gembira
Tertekan.. jika sesuatu tidak diingini berlaku kpd mereka
Minta dijauhkan Allah SWT
Saya percaya ramai rakan guru dan umat Islam yang lain juga sudahpun bersedia dengan cara tersendiri. Sama ada untuk berhari raya di Kampung Isteri atau suami. Ada yang dekat dan ada yang akan membuat perjalanan jauh. Bagi yang akan membuat perjalanan jauh menggunakan kenderaan awam, tempahlah tiket awal-awal. Saya yakin, ramai guru-guru semenanjung yang mengambil keputusan untuk pulang berhari raya sudahpun menempah tiket awal-awal sama ada Air Asia ataupun MAS. Ada yang sudahpun mempunyai tiket beberapa bulan lalu dengan harga yang lebih murah, berbanding dengan saat-saat terakhir sekarang yang harganya semakin melambung. Jika tidak bernasib baik kemungkinan semua tiket habis dijual.

Saya pernah naik bas Syarikat Ini 2 kali
Dari KL (Jalan Duta) ke Alor Setar Jam 12.45 malam
Berkenalan dengan pemandunya En Adzli -
Sangat peramah dan berhemah
Begitu juga rakan-rakan lain walau di mana sahaja berada, rancanglah perjalanan. Sama ada untuk menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan awam. Bagi yang sudah membuat keputusan menggunakan bas, ambillah tiket lebih awal. Jangan sampai kita tertipu oleh ulat-ulat atau sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab dan mengaut keuntungan keatas kita. Pilihlah kenderaan awam yang difikirkan terbaik sama ada bas, keretapi dan sebagainya. Biarlah kita sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat. Ramai orang tersayang, ibu, ayah, abang, kakak dan adik beradik yang lain menanti kita untuk menyambut hari mulia bersama-sama. Jangan pula di hari yang sangat-sangat dinantikan oleh umat Islam itu kita terkandas di Terminal Bas atau di mana mana sahaja sedangkan orang lain mula memenuhi masjid, kita masih di dalam perjalanan.

Bagi yang telah mengambil keputusan menggunakan kenderaan sendiri. Masih ada masa untuk “servis” kereta masing-masing. Pastikan kenderaan kita selamat untuk seisi keluarga. Pastikan system breknya bagus, semua lampu berfungsi dengan baik, air tidak berkurang, baterinya bagus dan sebagainya dalam keadaan yang amat memuaskan. Baliklah lebih awal supaya tidak berebut-rebut dengan orang lain. Rancanglah masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan. Berhenti bila mengantuk di kawasan selamat. Jika di semenanjung gunakan tempat rehat R & R yang di sediakan di Lebuh Raya, Jika di Sarawak berhentilah di mana ada tempat berhenti yang disediakan.  

Berehatlah seketika jika dalam keletihan. Elakkan berlumba-lumba dengan kenderaan lain. Ada rakan saya yang berpendapat jika berlumba-lumba seperti itu mengelakkan mengantuk. Saya amat tidak bersetuju dengan teori ini. Biarlah kita lambat asalkan kita selamat. Ingatlah di dalam kenderaan yang kita pandu, kita bukan keseorangan tetapi kita bersama-sama dengan keluarga. Kesilapan yang kita buat akan ditanggung oleh seisi keluarga. Renungilah muka isteri dan anak-anak. Mereka tidak bersalah. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini biarlah kita bersabar, bertimbang rasa, sopan santun dan hormat menghormati. Jangan biarkan rasa marah, bengis dan rasa bangga diri kita mengatasi segalanya yang akhirnya kita yang menanggung kerugian.

Bagi yang menunggang motosikal, pastikan motorsikal berada dalam keadaan baik. Gunakan topi keledar yang disahkan oleh SIRIM. Pakai pakaian yang cerah. Pandulah di lorong yang betul.  Elakkan membawa motosikal dekat dengan kenderaan besar. Jangan berlumba, pandulah dengan cara yang betul dan selamat.

Semoga perjalanan kita ke destinasi masing-masing selamat dan dilindungi Allah SWT. Walau dengan apa cara sekalipun sama ada melalui udara, laut, sungai atau jalan raya, saya sentiasa doakan perjalanan kita semua selamat. Elakkan kemalangan yang sering berlaku di musim-musim perayaan seperti ini. Saya sudah mengalami kemalangan sama ada motorsikal atau kereta. Saya sangat-sangat takut akan kemalangan ini. Beberapa kemalangan yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini, semasa mereka pergi dan balik untuk membuat persiapan hari raya sangat-sangat menyedihkan. Pada masa yang sepatutnya kita bergembira, keluarga kita menanggung kesedihan yang amat sangat. Lebaran yang sepatutnya disambut dengan gelak ketawa, usik mengusik, bertanya khabar, bermaaf-maafan bertukar dengan tangisan dan air mata. Kemenangan melawan hawa nafsu dan dalam suasana Malaysia menyambut kemerdekaan sudah tidak bermakna bagi mereka yang di tinggal di atas muka bumi ini...

Sama-samalah kita berusaha merdeka dari apa-apa bencana di Ramadhan ini. Rancanglah dengan betul dan Bertawakkal...

Saya juga berpesan kepada diri saya sendiri yang kadangkalanya alpa...

Kenyataan Gambar:
Bergambar kenangan bersama dengan keluarga selepas solat sunat Idulfitri 2010 di perkarangan Masjid Zahir Alor Setar.

Sultan kedah sibuk bersalaman dengan rakyat jelata selepas solat..

Bergambar kenangan bersama nenek yang kembali ke rahmatullah pada 7 April 2011. Syukur dapat bersama beliau pada 2010.. Al-fatihah


6 comments:

cemomoi said...

dah siap-siap ke nak balik ni? warga guru beraya dalam cuti kali ni... semoga keriangan kita tak tersandung dengan apa-apa musibah

Mohamad said...

Cemomoi..
Begitulah hendaknya.. semoga tiada kemalangan musim perayaan ini.. Harap semua muslimin dan muslimat semua bergembira dan bersyukur atas nikmat Allah..

IMANSHAH said...

salam cikgu

sekolah saya semalam melancarkan Bulan Kemerdekaan. Walaupun sibuk dengan percubaan dan pelajar hampir bercuti, namun kami tetap menyambut dan melakukan banyak aktiviti bagi menjayakan hasrat kerajaan. Anak-anak ini perlu didedahkan dengan nilai bersyukur berada di negara sendiri dan sukarnya berada di sesetengah negara yang rata-rata kebuluran, bergolak, berperang, tunjuk perasaan dan banyak lagi..selamat berpuasa dan berhari raya cikgu

ckLah said...

Selamat hari raya...
Selamat hari merdeka...



(selamat meneruskan 10 hari terakhir Ramadhan)

Mohamad said...

Imansha..
Bersyukur banyak2.. Selamat menyambut kemerdekaan..

Mohamad said...

CkLah..
Sama2..
Selamat Hari Raya dan salam kemerdekaan..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Bersyukur Kita Kepada Allah S.W.T Dengan Izinnya Perancangan Pembangunan & Perancangan Peningkatan Akademik SMK Belawai Telah Berjalan Dengan Lancar. Kejayaan Paling Manis ialah pencapaian tertinggi PMR 2011 69.59% dengan GPSnya 3.05. Semoga kecemerlangan ini akan diteruskan oleh guru-guru di sana.



Sejak 13 Februari 2012 saya kini di SMK Baru Miri. Segala tenaga dan usaha kini tertumpu dipusat tanggungjawab yang baru. Perancangan 5 tahun saya bersama plan strategik sekolah sedang diatur. Harapan saya, saya akan berjaya laksanakannya sepertimana kejayaan saya di SMK Belawai dengan kerjasama dari warga SMK Baru Miri. Semuanya dengan kehendaknya jua...



Sejarah perkhidmatan:

23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah

1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu

16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah

13 Februari 2012 - sekarang SMK Baru, Miri

PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.
Anda Adalah Tetamu Saya, Kehadiran Anda Sangat-sangat dihargai. Terima Kasih
Elok Bahasa Bekalan Hidup, Elok Budi Bekalan Mati