Gambar Hiasan : Carian google Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin |
Hari ini adalah hari kemenangan bagi umat islam. Dari malam tadi berkumandang puji-pujian kepada Allah SWT dari umat Islam di seluruh masjid, di TV dan dicorong-corong radio. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan kita dengan Ramadhan dan Syawal kali ini, walaupun bagi sesetengah orang hanya tahu akan 2 bulan Islam ini sahaja. Buat pertama kalinya juga dalam sejarah Allah SWT telah menunjukkan kepada kita kebesaran dan keagungannya, mempertemukan kita 2 perayaan besar iaitu sambutan Hari Raya Idulfitri dan Sambutan Kemerdekaan Tanahair ke 54 dalam masa selang sehari. Ada yang menamakannya sebagai Merdeka Raya. Sebelum ini juga Allah SWT telah mempertemukan kita dengan perayaan-perayaan dari agama lain, semua ini adalah atas kehendaknya juga.
Saya percaya bahawa semua umat Islam yang bertaqwa sayang untuk meninggalkan Ramadhan kecuali yang langsung tidak mengendahkan bulan mulia ini. Bagi yang berniaga, bulan ini adalah bulan rezeki. Banyak keuntungan diraih tidak kita pakaian, makanan, perhiasan dan sebagainya. Dari sebelum bulan Ramadhan lagi gedung-gedung perniagaan dipenuhi orang ramai bagi persiapan hari raya. Tidak kurang juga belum pun berpuasa sudah ada iklan untuk hari raya. Sehingga saat pengumuman semalam pun ramai lagi antara kita yang masih lagi belum habis untuk membeli itu dan ini, ada saja yang belum cukup.
Bagi yang menggunakan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah, beruntunglah mereka. Bertambah beruntung bila ada antara umat Islam yang Allah mempertemukan mereka dengan malam yang terbaik iaitu malam Lailatulqadar. Betapa Indahnya Islam, keseronokan Ramadhan dengan pelnagai pesta makanan dan pelbagai juadah yang tidak ada dibulan-bulan yang lain hari demi hari telah membuatkan umatnya langsung tidak sedar telah genap sebulan berpuasa. Bahkan digandakan lagi oleh Allah SWT bagi mereka yang suka mencari keredaannya dengan 6 hari berpuasa pada bulan Syawal yang pahalanya berlipat ganda, MasyaAllah..
Sempena Hari Raya pada hari ini, marilah sama-sama kita menyambutnya dengan penuh kesederhanaan dan penuh kesyukuran. Saya yakin pada masa sekarang semua guru-guru SMK Belawai, para pelajar dan semua warganya sedang memakai baju baru dan bersedia untuk ke Masjid untuk sama-sama menunaikan solat sunat Idulfitri, begitu juga semua rakan-rakan yang membaca tulisan dalam blog ini. Satu perkara yang saya selalu pesan ialah walau di mana sahaja kita berada pada ketika ini, jagalah kesihatan dan keselamatan. Jangan terburu-buru, langkahlah dengan yakin, penuh bertimbangrasa, berbudi bahasa dan bersopan. Berhemahlah, bermaaf-maafanlah semasa kita. Berkunjunglah ke rumah rakan-rakan dan sanak saudara untuk mengeratkan lagi silatulrahim..
Sempena Hari yang Mulia dan penuh keberkatan ini saya mengambil kesempatan mengucapakan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Terima kasih kepada semua rakan taulan yang telah SMS sejak dari petang semalam. Saya ingin menjadi orang yang pertama mengucapkan Selamat Hari Raya, tetapi anda telah mendahului saya. Terima kasih, semoga Allah sahaja yang membalas kebaikan anda. Sekali lagi Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan Selamat Menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan ke 54. Wassalam...
4 comments:
salam, selamat hari raya..
Salam Eidul Fitri buat tuan rumah...
selamat merdekaraya cikgu.
Salam merdeka dan selamat meraikan kelebihan syawal..
Post a Comment