Dr Osman bin Rafaie, Perkongsian Ilmu. COMBI |
Kata orang penyakit bila datang macam ribut tetapi nak baik macam semut. Sabtu (8.1.2011) sempat saya melawat sahabat yang menderita sakit di Hospital Sibu. Lama sudah beliau sakit tetapi tidak diketahui apa jenis penyakit dan baru-baru ini baru dikenalpasti beliau mengidap TB colour 42 inci. Saya dan isteri dibenarkan masuk tetapi mesti memakai “mask”. Tidak lama dapat kami berbual kerana anak-anak tidak mahu ikut dan menunggu di dalam kereta.
Semasa melangkah keluar kami di sapa oleh seorang lelaki agak-agak umur awal 50an, barangkali terasa bosan kerana keseorangan dan semua katil di luar kelihatan kosong. Berbual sekejap dengannya dan rupa-rupanya sepupu dengan AKS sekolah SMKB (Nama dirahsiakan supaya tidak mengganggu ketidaselesaan beliau). Tanpa membuang masa kami berdua bergegas ke wad 16. Bertindak sebagai jurucakap kepada anaknya, AKS tersebut menceritakan anaknya bagai dirasuk oleh sesuatu dan pandai mencederakan diri sendiri. Pada pandangan saya pun, kecederaan yang dialami oleh anaknya memang agak parah tetapi doktor telah mengizinkan boleh di bawa keluar pada hari Ahad.
Pagi Ahad (9.1.2011), seorang guru menelefon saya tetapi saya tidak dapat menjawab kerana sedang memandu. Sampai di “Trafic Light” saya sms supaya guru tersebut sms sahaja maklumat yang hendak disampaikan. Beliau membalas sms saya dan mengatakan beliau masih deman dan tidak dapat datang ke sekolah esok. Saya membalasnya “Esok jika cg masih demam, cg dapatkan cuti sakit... saya doakan cg akan segera sihat”. Saya tahu guru tersebut memang demam kerana, beliau telah menemui saya pada hari Jumaat. Apa boleh buat, kita manusia biasa. Berehatlah jika kita benar-benar sakit.
Dalam perkhidmatan awam, cuti sakit adalah kemudahan yang diberikan tetapi bukan hak. Oleh itu jika sakit dan diluluskan maka tempat yang sesuai untuk berehat ialah di hospital atau di rumah. Bukanya ke sana kemari yang menunjukkan bahawa kita tidak memerlukan kemudahan tersebut. Statistik pada 2010 menunjukkan, ramai guru dan staf SMKB yang mengambil cuti sakit dan ada yang telah menghabiskan cuti rehat masing-masing atas sebab-sebab tertentu. Namun nasihat saya, jangan sampai melibatkan cuti tanpa gaji atau tidak hadir bertugas kerana semua cuti telah habis digunakan.
Richard Nixon berkata,”Anda tidak akan menghargai kesihatan sehingga anda sakit”, dan Billy Lim dalam bukunya “Dare to fail” mengatakan beryukurlah jika anda kini berumur 40 tahun dan keatas, jangan lupa bahawa kini anda berada di dalam tempoh waktu yang memungkinkan anda menghasilkan pencapaian yang terunggul. Dalam sejarah perkhidmatan saya, sehingga kini baru 1 kali saya mengambil cuti sakit. Tetapi dengan dengan rasa penuh penyesalan. Menyesal kerana saya berazam untuk membuat rekod perkhidmatan peribadi dengan tiada rekod cuti sakit diambil. Namun terpaksa semua sendi kaki telah membengkak dan saya tidak mampu untuk berjalan apatahlagi untuk menghidupkan motosikal. Begitu juga dengan cuti CRK 7 hari, tidak pernah saya ambil sehingga saya memegang jawatan ini semasa umur 40 tahun. Saya perlu akur sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari menanggung kesakitan dan perlu berehat secukupnya.
Saya bersetuju dengan kata-kata Dr Osman bin Rafaie, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah semasa ceramahnya berkaitan dengan COMBI ( Communication for Behavioural Impact) pada 29 Disember 2010 di PPD Mukah semasa sesi perkongsian Ilmu dan beliau mengulaginya lagi pada majlis perasmian pelancaran COMBI Jabatan Kesihatan Bahagian Mukah di Daerah Belawai bagi membenteras Denggi pada Rabu 5 Januari 2011 lalu. Kita perlu menjaga diri sendiri. Bukan orang lain.
Doktor sebenarnya tidak ubah seperti makanik yang membaiki kerosakan. Jika kita sakit doktor hanya memberi ubat untuk mengurangkan kesakitan tetapi doktor tidak dapat menyembuhkannya. Ia terpulang kepada seseorang bagaimana caranya ia mengamalkan budaya hidup. Kenderaan baru sekalipun jika tidak dijaga dengan baik akan rosak. Begitu juga dengan gaya hidup yang salah akan memudaratkan. Salah makan akan mengakibatkan kencing manis, darah tinggi, sakit jantung. Salah membuang sampah dan tidak mengamalkan kebersihan akan mengakibatkan membiaknya nyamok aedis, lalat dan sebagainya. Salah pemanduan akan mengakibatkan nyawa melayang.
Apa yang penting sebagai manusia kita perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, jaga kebersihan diri, jaga pemakanan dan sentiasa bersenam untuk mengekalkan kesihatan. Kehidupan kita dalam masyarakat juga menuntut kita untuk sama-sama menjaga kebersihan, sama ada kebersihan rumah sendiri atau kawasan sekitar. Akibat sikap buruk kita dalam kehidupan bersama-sama dengan masyarakat, bukan sahaja kita yang menanggungnya tetapi sikap buruk kita secara tidak langsung akan menyebabkan orang lain menanggung akibatnya...
Pagi tadi (Isnin 10.1.2011) seorang bapa datang berjumpa saya dan menyerahkan surat ketidakhadiran anaknya ke sekolah. Kini anaknya di tahan di hospital kerana di syaki denggi dan pada jam 5.00 petang saya menerima sms lagi dari guru SMKB yang sebelum ini demam mengatakan beliau diberi cuti selama seminggu..
Hari ini (Isnin 10.1.2011) juga saya berjengkek lagi ke sekolah. Sotong mayonis di Restaurant Aftitah Tanjong Manis dan Sup tulang di kedai Pak Soh Jalan Masjid Sibu sedap sangat. Nak ambil cuti? Dah cuba sebelum ini untuk berehat sahaja di kuarters tetapi tidak dapat... Kuarters saya dengan pejabat hanya beberapa meter sahaja.. dapat sampai ke pejabat pun jadilah. Satu biji Apo-Allopurinal 300mg dan satu biji Pontalon500mg sedikit berkesan. Saya sebenarnya tidak bergantung kepada ubat ini sebaliknya memilih makan tetapi.. nafsu sebagai seorang manusia menyebabkan mengenepikan COMBI walaupun tahu, makanan tersebut akan mengundang derita...
Ambilah cuti pada hari kita sakit, bukan ambil cuti untuk esok kita akan sakit...
Berehatlah untuk bekerja hari esok dengan penuh bertanggungjawab..
TERIMA KASIH CIKGU...
7 comments:
Salam cikgu
Setuju, ada org menyalahgunakan sijil sakit. Ada MC tapi boleh memanjat puncak Cameron Highlands..Tak tahulah dengan cikgu2 baru ni
assalamualaikum Cikgu,
saya juga sebolehnya tidak mahu mengambil CRK atau MC, namun kekadang terpaksa juga bila keadaan mendesak
namun bila terlalu sukar mendapatkan CRK terpaksa pula mengambil MC..
salam cikgu...
agak2 diorang ni tau tak yang setiap mc akan ditolak dengan bulan perkhidmatan masa kiraan gratuiti nanti.1 hari mc=1 bulan perkhidmatan kan..?
Salam cg,
Saya pernah ditipu oleh guru GSTT berkenaan dengan cuti sakit ini. Saya mengeluarkan surat penjelasan kepada beliau setelah saya menelefon kilinik berkenaan dan tiada sijil cuti sakit dikeluarkan..
Pemohonan maaf dan air mata adalah penjelasan kepada rasa bersalah. Tetapi semasa melakukannya, tidak pun berfikir kesan yang menanti...
Salam ibuintan,
Cg CRK boleh dikumpul dan sepanjang perkhidmatan dibenarkan sebanyak 150 hari. Ia boleh diganti dengan wang... banyak cg.. formulanya 1/30 x jumlah crk terkumpul x gaji ahir = ? ( kalau x salah saya)
Namun jika benar-benar memerlukannya berbincanglah dengan baik dengan ketua jabatan masing-masing. Saya rasa tidak menjadi masalah jika beliau faham situasi sebenarnya..
Salam Sham..
MC tidak menjadi masalah sangat tetapi yang bermasalah ialah cuti tanpa gaji. Jika pegawai dicalonkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan didapati pegawai mengambilnya, pegawai tersebut tidak layak untuk menerima anugerah tersebut... Jika diberi juga boleh ditarik balik.
Ketua jabatan boleh meluluskan cuti sakit sehingga 90 hari (bukan berturut2 dalam setahun)dan boleh tidak meluluskannya jika dapati guru tersebut tidak menunjukkan keperluan kemudahan tersebut. Jika melebihi 90 hari, perlu dirujuk kepada pengarah.
Kesan cuti sakit yang berpanjangan ialah, Ketua Jabatan boleh meminta guru tersebut merujuk kepada "Pakar perubatan" dan pegawai tersebut boleh di masukkan ke dalam "Pool", sekurang-kurangnya 2 tahun. Pegawai tersebut juga boleh dinasihatkan berpencen awal..
Guru yang disebutkan di dalam n3 saya memang betul2 sakit.. beliau disyaki demam denggi.
Terima kasih Sham..
Sudah dua kali saya membaca entri ini...
Tapi tak tau nak tulis komen. Ada sesuatu yang tak mampu diluah....
Salam cikgu.
Post a Comment