PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Wednesday, December 8, 2010

139.Sebagai Renungan Sempena Maal Hijrah

Telah banyak orang memperkatakan tentang bangsa kita. Sama ada datangnya dari bangsa kita sendiri atau bangsa lain. Bangsa kita lemah. Bangsa kita kurang daya saing. Bangsa kita senang diperkotak katik.  Bangsa kita suka mengumpat dan suka berdengki antara satu sama lain.  Bangsa kita juga dikatakan  susah untuk bersatu dan berbagai kisah lain dalam pelbagai bidang yang diceburi yang dilihat sebagai “alang-alang” dan kerja yang dilakukan tidak menunjukkan “kesungguhan” untuk maju berbanding dengan bangsa lain walaupun ada peluang yang luas dan keistimewaan yang tertentu. Bahkan  kadang kala segala komen yang dikeluarkan sama ada bertulis atau lisan amat sedih didengar dan memalukan diri kita sendiri. 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa, jika kita sering  mengingati kelemahan tersebut kita akan sentiasa bermotivasi dan sentiasa berwaspada dan membuat perubahan. Namun apa yang berlaku dalam masa berwaspada tersebut, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini pada diri dan ahli keluarga,  ada sesetengah orang dalam masyarakat kita dengan mudah untuk “menyangka buruk” kepada orang lain dan apa yang berlaku kepada diri dan keluarganya itu adalah disebabkan atas sikap buruk yang ditunjukkan oleh orang-orang tertentu.

Menuduh tanpa bukti yang kukuh seringkali berlaku di dalam masyarakat kita.  Kadangkala sukar untuk dinasihat supaya apa yang berlaku patut di siasat terlebih dahulu sebelum menuduh orang lain yang “Ubatkan”  atau apa yang di alami itu  adalah “Buatan Orang”. Lebih-lebih lagi jika nasihat awal yang diperolehi adalah dari “Bomoh”  atau orang  yang “Pandai” dalam bidang ini.  Menuduh orang atas sesuatu yang tidak sahih sehingga “memalukan” juga boleh mengeruhkan perhubungan silaturahim yang selama ini terjalin erat. Bukan sahaja antara jiran tetangga, rakan taulan dan sahabat handai tetapi melibatkan hubungan suami isteri dan antara adik beradik, sedarah daging, seibu sebapa.

Sikap kita yang mudah percaya, membuatkan kita terjebak dalam “jerat” yang mengongkong dan menetapkan kepercayaan bahawa itu semua adalah hasil sifat  “dengki” dan “kianat”yang dilakukan kerana tidak senang dengan apa yang ada pada kita. Saya tidak menafikan akan kebenarannya tetapi kita kena ingat bahawa orang lain juga menyembah tuhan yang sama dan masih mengekalkan sifat-sifat mulia sebagai hamba Allah yang  taat akan suruhannya dan tidak tergamak untuk melakukan perkara-perkara terkutuk. Di sebaliknya memang ada manusia yang dengki dan kianatnya yang meluap-luap dan tidak senang dengan apa-apa kelebihan yang ada pada orang lain.

Gambir Sarawak
Banyak kegunaannya.. Sangat berkesan
Sama-sama kita renungkan dan berfikir kes-kes benar yang saya kemukan. Berfikirlah sejenak  kerana ia adalah lebih baik dari beramal sepanjang malam : Kes pertama : Melibatkan sepasang suami isteri. Kisah ini berlaku beberapa tahun lalu. Isterinya Shida (nama singkatan)  memang rapat dengan keluarga saya. Setelah mendirikan rumahtangga dengan suami yang berasal dari Perak,  mereka berpindah ke Pulau Pinang kerana suami bertugas di sana. Beberapa bulan selepas itu Shida tiba2 tidak sedarkan diri dan di bawa ke klinik. Beliau disahkan tidak mengalami apa-apa sakit dan terus di bawa pulang ke Alor Setar. Semasa di rumah beliau mulai sedar dengan hanya membuka mata tetapi tidak dapat berkata apa2. Selepas itu terus tidak sedarkan diri. Usaha dilakukan dengan bantuan bomoh di sana sini. Berbagai telahan bomoh, ada yang mengatakan kena buatan bomoh siam dan berbagai macam lagi. Akhirnya selepas dinasihat, beliau di bawa ke hospital dan beliau disahkan “keguguran”. Malangnya, sudah terlambat selepas dua hari di hospital dalam keadaan “Koma” beliau meninggal dunia.

Kes kedua : Juga melibatkan suami isteri. Si suami adalah rakan saya dan amat saya kenali. Kes berlaku pada tahun 1999 akibat cemburu. Suaminya bekerja di sebuah kilang  di sibu. Jarang mengambil dan pada hari minggu memenuhi hobinya. Hasutan rakan-rakan menguasi diri si isteri yang mengatakan si suami ada “kehendak” yang lain..  Dengan bantuan bomoh isterinya telah melakukan sesuatu yang diluar dugaan. Makanan suami telah ditabur dengan “kuku” dan si isteri mula menunjukkan hubungan dingin dan memberi isyarat untuk berpisah. Si suami mula merasakan dirinya bagai diseksa. Di ceritanya satu persatu kepada saya bagai orang yang tidak lagi siuman. Rindu untuk tidur dengan isteri meluap-luap. Layanan isteri langsung tidak dapat dilupai. Dengan bantuan bomoh,  beliau tahu tentang perbuatan isteri. Isteri mengaku dan memohon ampun. Perbuatan isteri dimaafkan. Mereka berpindah dan kehidupan mereka bahagia hingga kini.

Kes ketiga: Masih melibatkan suami isteri. Si isteri tidak mendapat pendidikan yang sempurna akibat kemiskinan dan keluarga yang tidak sempurna. Baru-baru ini banjir besar melanda di bahagian utara semenanjung. Dalam masa berjaga-jaga menghadapi banjir besar tersebut sepasang suami isteri ini berkemas. Semasa berkemas si suami menjumpai nota-nota sekolah semasa belajar dahulu iaitu nota sains berkenaan fotosentesis. Di dalam nya ada gambar daun dan nota mengenainya. Si suami membelek dan membaca dengan kushuk dan menggamit memori semasa masih bersekolah. Namun semua ini mendatangkan syak kepada si isteri. Nota-nota yang di buang di kutip oleh si isteri dan di simpan. Dalam masa yang sama si isteri sering sakit-sakit dan dengan tidak disangka-sangka si isteri menuduh si suami yang melakukan dengan niat “membunuh” untuk mencari perempuan lain. Nota-nota tadi disangkanya adalah doa-doa dan gambar daun tersebut adalah cara bagaimana untuk melakukannya. Si isteri melarikan diri dan balik ke rumah ibunya dan menuntut cerai. Puas dipujuk tetapi si isteri berdegil dan ingin berpisah setelah 13 tahun berkahwin. Bukti-bukti tersebut ditunjukkan kepada Mahkamah Syariah dan membuatkan semua yang hadir ???... Kes akan disebut lagi pada 16 Disember 2010 nanti.. Semoga tidak berlaku perceraian ini. 3 orang anak masih memerlukan kasih sayang ibu dan bapa. Anak sulung 12 tahun, anak kedua 10 tahun dan yang bungsu 2 tahun. Jurang perpisahan amat jauh kerana seorang di pantai barat dan seorang di pantai timur.

Sahabat dan saudara..
Meninggal dunia selepas 2 bulan di sahkan
kanser tulang.. Semoga Allah tempatkan rohnya
bersama-sama orang  yang beriman.
Alfatehah
Kes keempat: Kisah 4 orang sahabat. Sahabat pertama, tiba-tiba sakit. Bantuan bomoh dipohon. Bomoh tersebut menasihatkan supaya mendapatkan rawatan di hospital. Sangkaan mulanya beliau di “buat” orang barangkali dengki kerana perniagaannya semakin maju tertutup apabila beliau disahkan mengidap kanser tulang. Sahabat ke dua, begitu juga,di sana sini bantuan bomoh, dukun dan pawang dipohon tetapi sakit masih tidak baik, malah makin bertambah teruk. Akhirnya tidak berdaya lagi dan terpaksa dihantar ke hospital, beliau disahkan mengidap pendarahan di dalam usus. Manakala sahabat saya yang ketiga kini masih dalam keadaan sakit, masih berdegil tidak mahu ke hospital. Beliau sangat2 percaya, beliau di kianati kerana persaingan dalam perniagaan dan berazam untuk membalas dendam. Kepercayaan terhadap apa yang dinyatakan oleh “bomoh” tidak dapat dinasihat lagi. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya, dan tidak membalas kepada sesuatu yang tidak pasti.. Sahabat yang keempat, melibatkan adik beradik. Perebutan harta peninggalan arwah telah menjadikan adik beradik berpecah.. tuduh menuduh berlaku, mengatakan mereka di “bomoh” oleh adik beradik sendiri. Akibatnya mereka membawa haluan masing-masing dan tidak mengaku sedarah sedaging dan jika bersua muka di mana-mana akan berlaku pertengkaran dan ungkit mengungkit.

Kisah yang terakhir yang ingin saya kongsikan ialah persaingan antara dua sahabat dalam perebutan jawatan di dalam persatuan. Oleh kerana factor usia yang lanjut, ahli-ahli persatuan mula memikirkan untuk mencari pengganti. Bila mesyuarat diadakan dan pemilihan dibuat maka terpilihlah orang baru untuk memegang jawatan tertinggi. Rasa tidak puas hati dan sangkaan buruk terhadap orang baru ini bermain-main difikiran dan membabitkan anak-anaknya. Rasa tidak puas hati ini ditunjukkan kepada semua orang yang datang melawatnya di rumah sehingga ke hari beliau menghembuskan nafas terakhir pada minggu lepas yang disahkan oleh doktor sebelum ini beliau menghadapi penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Orang yang kena tuduh menafikan sekeras-kerasnya dan sanggup “bersumpah”. Namun apa yang kita harapkan semoga yang dipanggil Allah itu, rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan yang masih hidup memaafkannya. Semoga beliau dilindungi Allah dari perbuatan balas dendam.

Saya percaya, banyak kisah-kisah lain yang  kita ketahui dan alami. Saya mencatatkan kisah ini sebagai renungan dan sebagai ingatan untuk diri sendiri. Jadilah orang yang berilmu. Mintalah pertolongan dari Allah jika ada musibah. Tuduh menuduh, membalas dendam dan sebagainya akan menjadikan kita bertambah “Kufur”. Jadikan apa yang dialami sebagai dugaan Allah. Sama-samalah kita hidup di dunia sementara ini dengan berbaik-baik antara satu sama lain, kerana tiada siapa yang akan kekal..

Selamat Menyambut Maal Hijrah.

Astagfirullah...

8 comments:

IMANSHAH said...

“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang ramal lalu dia mempercayai apa yang dikatakannya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad”.


(Riwayat al-Hakim dan al-Tabarani dengan sanad yang sahih).

zulkbo said...

salam..
entri yang menginsafkan..
semoha arwah saudara anda
di limpahi rahmat dari Allah..
amin...AL-Fatihah.

ibuintan said...

as salam cikgu,

memang itulah masalah masyarakat kita, mudah sangat menuduh orang lain tanpa bukti dan asas yang kukuh..

kepercayaan melulu kepada bomoh dan pawang juga menambah burukkan perasaan tuduh menuduh dan dendam mendendam begini

terokai seni said...

moga kita terhindar daripada perbuatan yang sia-sia camtu yang akhirnya merosakkan diri dan keluarga kita serta masyarakat sekeliling

Mohamad said...

Salam Imanshah,
... semoga kita dijauhkan dengan perbuatan2 yang dilarang.

Mohamad said...

Salam zul,
Begitulah hendaknya. Alfatihah.

Mohamad said...

Salam ibuintan,
Apa yang menakutkan kita ialah tiba2 kita yang tak tahu apa2 dituduh melakukan sesuatu yang tak baik. Dan ada dendam untuk dibalas..

Jika perbuatannya di"makbulkan" maka teraniayalah kita yang tidak tahu menahu ini..

Mohamad said...

Salam cemomoi,
Begitulah hendaknya, mohon dijauhkan Allah.. Hidup kita tidak lama, lebih baik diisi dengan perkara2 yang bermanfaat daripada bermasalah sesama manusia..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.