PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Saturday, January 28, 2012

211.Semuanya sudah berakhir...

Menanti itu dan ini tetapi semua telah berlaku tanpa dirancang. Yang dirancang tidak menjadi tetapi sebaliknya berlaku dengan kehendakNya jua. Sebagai manusia kita pasrah itu adalah ketentuannya walaupun ia berakhir dengan sedih. Bapak (Bapak Mertua), Allahyarham  Sa’da Bin Haji Ludi kini telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sibu sebagaimana yang di wasiatkan. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan kami semua reda dengan pemergiannya. Namun perjalanannya ke alam baqa itu, dalam masa kurang dari 40 hari sangat-sangat terasa kepada semua ahli keluarga. Dan, pada hari ini sudah masuk hari ke 16 bapak pergi untuk selamanya..

Penyakit kanser yang dialami oleh bapak lambat sangat di ketahui.  Temujanji dengan doctor pada awal bulan Disember untuk pembedahan  kecil di leher telah dibatalkan apabila doctor mendapati bahawa kansernya telah merebak ke paru-paru.  Kesnya perlu dirujuk ke Hospital Kuching  dan temujanji telah diadakan pada 24 Disember 2011. Kata doctor, bapak perlu “Kimo” di sana atas persetujuan pesakit. Bapak akur bila semua ahli keluarga bersetuju, namun di Hospital Kuching kami mendapat tahu bahawa kanser bapak sudah pada tahap 4.

Tinggal Kenangan.. Alfatehah
Bapak diminta rujuk semula di Hospital Sibu pada 4 Januari 2012. Saya percaya bapak tahu akan tahap kesihatannya, namun ia kelihatan ceria walaupun suaranya tidak lagi seperti dulu. Percakapannya seolah-olah seperti berbisik. Kadang-kadang langsung kami tidak faham apa yang diperkatakannya. Bapak dapat makan seperti biasa tetapi selalu “tersedak” ketika minum. Bersemangat bapak ikut kami “shopping” dan sempat saya belikannya 2 helai baju, tapi sayang tidak sempat bapa pakai. Pada malamnya mahu juga bapak ikut bila dipelawa ke Kubah Ria untuk menjamu selera.

Kesihatan bapak mula merosot dengan teruk selepas “kimo” di Sibu pada 4  Januari 2012.  Malam 8 Januari bapak sesak nafas. Tercungap-cungap.  Dadanya sakit sangat. Panas. Barangkali kesan ubat “kimo” tersebut. Kami bacakan Surah Yassin dan mengajarnya mengucap Kalimah Shadah. Deritanya reda hampir tengah malam. Esoknya bapak tidak seperti hari sebelumnya, tanpa kata-kata. Makan dan minum juga tidak disentuh. Pada 12 Januari Jam 5 petang, bapa kelihatan tidak bermaya. Kasihan melihatnya, bapak di bawa ke wad Kecemasan, namun pada jam 6.20 petang bapa menghembuskan nafas terakhir. Kami sekeluarga menanti dan mengharap agar ada keajaiban, bapak akan sihat seperti biasa namun bapak kembali kepada maha penciptanya.. semoga bapak sejahtera di sana.

Hanan Qasdina, Kini berusia hampir 4 bulan..
Hasrat bapak untuk menjaga Hanan Qasdina seperti mana Mohammad Muzzammil dan Nurul Nadhirah tidak kesampaian. Kami tahu bapak sangat mengambil berat kepada cucu-cucunya. Bapak sangat tidak yakin jika ada cucunya dijaga oleh orang lain. Namun, Syukurlah dapat juga bapak menatap wajah cucu bungsunya. Penantian kelahiran Hanan juga tidak seperti dirancang seperti mana kami ketahui akan kehadirannya dalam keluarga ini. Hanan lahir seminggu sebelum tarikh yang ditetapkan melalui pembedahan pada 11.10.2011 kerana takut ibunya mengalami pendarahan.  Namun syukur, semuanya selamat. Usia Hanan kini sudah lebih 3 bulan. Ibunya baru sahaja turun ke sekolah pada 11 Januari 2012.  Hanan sihat walafiat, tidak banyak merengek, walaupun selalu bangun di tengah malam. Gembira sangat dapat menimang cahaya mata walaupun hampir ke usia emas. Tak kisahlah, jika ada rakan yang menegur saya mendukung cucu bila terjumpa saya mendukung Hanan.

Rezeki Allah.. Kami sekeluarga sangat gembira dengan kehadiran Hanan. Tiada niat untuk sembunyikan  kelahirannya tetapi hanya bimbang jika ada pemberian rakan yang terpaksa dipulangkan.. Hanan kini sudah boleh meniarap..
Dalam pada itu penantian saya untuk melihat keputusan PMR SMK Belawai pada tahap yang terbaik juga sudah tercapai. Walaupun tiada pelajar yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran kecuali  seorang 7 A 1B, prestasi pada tahun ini amat memberansangkan. PMR 2011 telah mencapai 69.59% berbanding tahun 2010 hanya 46.98% manakala GPS nya 3.05. Kedudukan SMK Belawai kini di empat ke 6 dari 10 buah sekolah di Bahagian Mukah dan tempat ke 100 dari 173 buah sekolah seluruh negeri Sarawak. Tahniah kepada semua pelajar dan guru-guru. Pada hemat saya pencapaian tersebut boleh dikira amat baik bagi sebuah sekolah pedalaman yang jauh dari Bandar. Tiada kelas tuisyen, tiada kemudahan Photostat, dan pelbagai lagi kemudahan seperti pelajar di Bandar selain selalu mengalami “gangguan pergerakan guru”. Semoga pada tahun 2012 ini kita akan lebih cemerlang seperti mana  yang diharapkan oleh Pengarah Pelajaran Negeri  Sarawak dalam surat Ucapan Tahniahnya kepada SMK Belawai atas pencapaian cemerlang PMR 2011.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada semua warga SMK Belawai, PIBG, Masyarakat setempat dan kepada Yang Berhormat Datuk Hajjah Norah Tun Rahman dan YB Datuk Hj Hamden Hj Ahmad yang banyak membantu pihak sekolah dalam menyediakan frasarana dan pelbagai motivasi kepada pelajar. InsyaAllah tahun ini kita akan berusaha lagi dengan sasaran PMR 75% lulus penuh dengan GPS yang lebih baik.  SMK Belawai perlu Berjaya untuk 2 tahun lagi 2012 dan 2013 sebelum bertukar kepada PBS (Penilaian Berasaskan Sekolah) pada tahun 2014.

Terima kasih cikgu.. 

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Cikgu,

Alfatihah untuk roh almarhum ayahanda Cikgu dan takziah kepada cikgu sekeluarga.

Semoga tabah dengan ujian Allah ini.

Mohamad said...

Kunang-kunang..
Setiap yang hidup akan merasai mati, tiada yang kekal..

InsyaAllah kami sekeluarga tabah menghadapinya..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.