Bertemu semula dengan rakan-rakan yang telah lama berpisah pada 6 Jun 2015 adalah satu pengalaman yang sangat menarik. Masing-masing dalam hati tertanya-tanya dan masih lagi terpahat gambaran lama tentang wajah dan watak rakan-rakan yang ditinggalkan.
Pertemuan semula di Sala Restaurant Alor Mengkudu, Alor Star, Kedah, menggamit lebih 30 orang rakan yang datang dari jauh dan dekat. Ada yang memandu dari Kuala Lumpur dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas dan sampai ke tempat pertemuan sudah lewat malam, namun semangat untuk berjumpa tetap jitu dan bila sudah bertemu rasa hilang semua penat lelah semasa dalam perjalanan.
31 tahun bukan masa yang singkat, ada rakan-rakan yang sudah kembali kepada penciptanya. Bagi yang berkesempatan, bersyukur sangat-sangat.. Pertemuan selama 3 jam dari Jam 8-12 malam tidak terasa, Berbagai cerita, Dari bertanya khabar sehinggalah ke renteten cerita pengalaman hidup selama berpisah.
Kemesraan sebagai kawan bertukar sebagai sahabat. Walaupun dulu hanya berkenalan tetapi tidak rapat tetapi bila bertemu sebegini, seperti pulih dari mimpi yang lama. Bayangkanlah Sejak habis persekolahan tingkatan 5 di SMK Tunku Abdul Malik, Alor Merah, Alor Setar, hingga ke umur yang hampir pencen.. Berjabat tangan, berpelukan, ketawa melihat antara sama lain, adalah hiburan malam itu. Ada yang betul-betul berubah wajah dan fizikal, ada yang masih kekal dan senang dikenali.
Suatu yang dapat kita kesan dalam pertemuan seperti itu ialah, bagaimana kita mengingati kawan-kawan. Kita kenali rakan kita dari cara mereka bermain, mereka berpakaian, cara mereka berjalan, menulis dan sebagainya, begitu juga mereka. Dan ada yang tidak dapat mengingati langsung, kecuali rakan-rakan terdekat sahaja.
Inilah kelebihan teknologi, Whatsapp, Telegram, Facebook, Instagram dan sebagainya. Yang lama berpisah dipertemukan, yang jauh menjadi dekat dan yang renggang menjadi rapat walaupun tidak kurang juga kesan negatifnya..
No comments:
Post a Comment