Macam tidak percaya bila masuk pejabat pagi ini 14 Jun 2010, di atas meja ada bungkusan pos laju. Bila dibuka, kad kredit dari Bank Rakyat. Pada hal suratnya pada 6 Mei 2010 menyatakan, dukacita pemohonan tidak dapat dipertimbangkan. Nampaknya pihak bank telah mengubah fikiran, permohonan akhirnya telah dipertimbangkan, setelah saya terpengaruh dengan kata-kata manis penaja kad tersebut di PPD, Mukah awal tahun ini dengan tawaran hadiah yang harganya tidak sampai RM10.00.
Walau apapun ini bermakna, kad kredit saya telah bertambah 1 lagi. Dan jika ia digunakan maka bertambahlah lagi beban hutang yang terpakasa ditanggung dan bila akhir setiap bulan, gaji terpaksa dipecah-pecahkan untuk membayar hutang piutang yang ada selain pelbagai bil untuk dua buah rumah di Sibu dan Kuarters di SMKB. Walaupun saya tidak suka berhutang tetapi hakikatnya terpaksa berhutang atas tuntutan dunia. Untuk membeli rumah, kereta, perabot bahkan nak kahwin dulupun terpaksa berhutang. Islam mengharuskan seseorang itu berhutang terutamanya ketika berada dalam kesempitan hidup atau memerlukan bantuan kewangan untuk memenuhi tuntutan asas seperti tempat berlindung, makan-minum dan pendidikan anak. Namun, Rasulullah SAW tidak menggalakkan seseorang membiasakan diri dengan berhutang. Walau bagaimanapun jika kita berhutang, membayar hutang itu adalah wajib. kewajipan melunaskan hutang diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).
Saya pernah menolong rakan-rakan dan saudara mara yang minta pertolongan. Ada sahabat yang berhutang kerana terpaksa, anak sakit dan berjanji akan bayar esok tetapi lupa hingga hari ini. Ada saudara mara yang datang ke rumah bertangisan bagai tak cukup kain untuk mengelap air mata, minta hutang kerana api elektrik dan air dipotong tetapi lupa bila sudah menerima KWSP, Ada yang datang minta hutang kerana tiada tambang kapalterbang anak nak balik dari UUM ke Sibu untuk berhari raya tetapi lupa hingga sekarang walaupun anaknya sudah bergelar cikgu, ada yang datang menggeletar ketakutan kerana di kejar Ah Long tetapi lupa bila sudah jadi taukey kuih, Seorang sahabat Tuan Haji *** sanggup menyembah, minta hutang untuk selamatkan "business komputernya" yang hampir gulung tikar tetapi seringkali mengelak dari bertemu. Saudara mara yang berhutang ini juga tidak lagi datang ke rumah dan jika berjumpa di mana-mana sering mengelak. Jika sedikit dapatlah disedekahkan tetapi jika sudah beribu? Bagaimana? Allah sahaja yang maha mengetahui... Lembutnya hati orang yang hendak menolong tetapi kerasnya hari orang yang mahu membayar balik. Orang-orang yang tidak membayar hutang mungkin terlepas daripada hukuman di dunia ini, tetapi mereka tidak terlepas daripada hukuman di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah SAW:
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”
Justeru, saya mengingati diri saya dan sesiapa sahaja, kita harus mengelak daripada berhutang untuk memiliki harta benda yang bukan keperluan. Jika perlu juga berhutang, kita perlu tanamkan azam serta niat untuk membayarnya. Wallahualam..
No comments:
Post a Comment