PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Wednesday, September 29, 2010

112. Pentingnya Kemahiran Pengurusan Strategik

Pengurusan strategik merupakan satu kerangka kerja yang tersusun dan sistematik untuk memenuhi agenda perubahan sesebuah organisasi. Ia perlu diterapkan ke dalah set minda semua ahli kerana organisasi tidak dapat meramal masa depan dengan tepat. Pengurusan starategik boleh dikatakan satu alat percubaan bagi kita memahami tekanan dan perubahan masa depan dan seterusnya memimpin perubahan tersebut bukannya sebagai pengikut sahaja.
Pengurusan strategik amat penting. dan membolehkan seseorang pemimpin itu cemerlang. Ini kerana seseorang pemimpin itu telah melakukan sesuatu dengan betul, pada tempat yang betul, pada orang yang betul, pada masa yang betul dan dalam belanjawan yang betul. Dengan kata lain pengurusan strategik adalah berkait rapat dengan proses pembuatan keputusan. Keputusan hari ini adalah penting untuk hari esok dan masa hadapan.
Pengurusan strategik bukan sahaja terletak kepada pengetua, tetapi kepada semua pemimpin sekolah sama ada Penolong Kanan, Guru Kanan, Ketua Warden, Guru Disiplin, Guru Kaunseling, Katua Panitia, Guru-guru, Pengawal keselamatan, Pekerja Pembersihan dan jika di rumah ialah pemimpin keluarga. Pemimpin keluarga yang baik ialah, bagaimana seseorang itu dapat melakukan perubahan yang boleh membawa keluarganya kepada kehidupan yang lebih baik dan melahirkan genenasi yang unggul dan diteladani oleh orang lain.
Dalam sejarah islam, pengurusan strategik telah ditunjukkan oleh Saidina Umar al-Khattab. Beliau telah mengambil keputusan mendokumentasikan al-Quran secara sistematik yang tidak sempat dilakukan oleh Baginda Rasulullah. Walaupun mendapat tentangan, tetapi pemikiran strategik Saidina Umar (Perubahan persekitaran menunjukkan bahawa ramai para hafiz syahid dalam peperangan) menjadikan keputusan yang diambil adalah sangat penting. Al-Quran terus terpelihara dan dijadikan peraturan berkekalan kepada umat Islam. Begitu juga pemikiran Imam Bukhari yang mendokumenkan hadis-hadis Rasulullah.
Saya yakin, di sekolah ramai guru-guru yang proaktif dan mempunyai strategi tersendiri untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Namun strategi ini kurang di dokumentasikan dan tidak dikongsi bersama dengan guru-guru yang lain. Jika ada pun, guru-guru bergerak sendiri kerana takut dipandang sinis oleh guru lain. Mereka beranggapan usaha yang dilakukan tidak seberapa tetapi usaha yang sedikit ini telah mencemerlangkan pelajar dan pelajar mampu mendapat keputusan yang sangat baik. Oleh itu jika ada rakan-rakan guru kita yang mempunyai idea yang bernas sama-samalah kita memberi semangat tidak kira sama ada guru lama atau baru, kerana mereka adalah aset yang baik yang boleh membawa banyak perubahan kepada sekolah atau organisasi.
TERIMA KASIH CIKGU

Monday, September 27, 2010

111. RIMUP dan Sambutan Hari Raya Peringkat SMKB

Seperti yang di rancang, pada pagi Sabtu 25 September 2010, telah berlangsungnya Majlis Ramah Tamah Idulfitri dan RIMUP - Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan peringkat SMK Belawai. Majlis bermula sekitar jam 6.45 am dan tamat pada jam 9.30 am dengan pembukaan majlis pertandingan menganyam ketupat antara 4 buah kumpulan yang diwakili oleh guru-guru dan murid dari pelbagai bangsa di dalamnya, India, Cina, Melayu, Melanau, Bidayuh dan Iban.

Majlis perasmian telah dilakukan oleh YDP PIBG Ustaz Alawi Bin Hj Sidik dan diserikan dengan tetamu yang hadir dengan pakaian tradisi masing-masing. Selesai sahaja majlis perasmian di Dataran Ilmu, semua tetamu dan pelajar di jemput ke Dewan Barong untuk menjamu selera.
Sesuatu yang sangat menarik di SMK Belawai, ialah penyertaan ibu bapa. Jika ada sesuatu majlis sebegini ibu bapa, sangat peihatin dan sanggup untuk sama-sama menyumbang kuih muih. Dengan kata lain, penduduk di kawasan ini tidak berkira dan tidak lokek untuk bersedekah. Sesetengah ibu bapa sanggup untuk membuat kek lapis Sarawak yang mahal harganya dan sanggup menunggu berjam-jam membuat kek untuk tujuan majlis ini. Tahniah dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penduduk di sini. Secara peribadi saya sangat memuji atas peperihatinan ibu bapa dan saya Doakan semoga rezeki mereka melimpah ruah dan anak-anak mereka akan berjaya dan akan mewarisi tradisi mereka.

Tahniah juga kepada semua AJK yang terdiri dari guru-guru dan para pelajar yang bertungkus lumus menyediakan tempat dan merancang aktiviti ini di bawah seliaan PK Hem En. Hasbi Bin Junaidi. Untuk menjayakan sesuatu majlis itu bukan wang yang menjadi pertaruhan utama tetapi yang pentingnya ialah kerjasama antara kita. Walaupun peruntukan untuk RIMUP pada tahun ini kurang tetapi majlis telah berjalan dengan lancar dan sempurna. Kerjasama dengan penduduk dan masyarakat yang baik juga adalah faktor utama kejayaan majlis ini.

Sesuatu yang unik berhari raya di Sarawak ialah kunjung mengunjung antara kaum telah diamalkankan dari dulu lagi. Sesuatu yang kurang berlaku di tempat saya. Orang Cina berkunjung pada Hari Raya, Orang Melayu berkunjung ke rumah orang Cina pada Tahun Baru, Berkunjung ke rumah orang Iban pada Hari Gawai dan sebaliknya adalah perkara biasa... Oleh itu Sarawak Bumi Kenyalang, adalah sebuah negeri yang unik dan boleh menjadi contoh, sekarang dilihat benar2 mengamal konsep 1 Malaysia, begitu juga dengan Sabah Negeri Dibawah Bayu.

Tuesday, September 21, 2010

109. Di sinilah lahirnya bintang..

Hari ini 20 September 2010, sekolah telah dibuka semula. Kelihatan semua pelajar SMK Belawai datang ke sekolah seperti biasa dan tiada pelajar yang lambat. Seawal 6.30am semua pelajar telah berada di Dataran Ilmu - tapak pehimpunan. Suasana raya masih lagi menyelubungi pelajar dimana kelihatan mereka masih bersalaman antara satu sama lain terutama antara pelajar asrama.
Bagaimanapun, bagi pelajar tingkatan tiga minggu ini adalah minggu yang sangat penting kerana peperiksaan percubaan yang ke 2 akan bermula esok. Dari perbincangan saya dengan cg Muliadi berdasarkan MaCS program didapati ada peningkatan yang sangat baik berdasarkan keputusan peperiksaan 1, peperiksaan 2 dan peperiksaan percubaan 1 yang lepas. Peperiksan 1, keputusan yang dicapai hanya 16% pelajar lulus semua mata pelajaran dan peperiksaan percubaan 1 menunjukkan peningkatan hampir 30% pelajar lulus semua mata pelajaran. Berdasarkan pengalaman lalu, peperiksaan sebenar nanti keputusan peperiksaan akan meningkat lebih baik dari apa yang telah di targetkan. Semoga Allah memberkati semua usaha yang telah dilakukan oleh guru-guru.
Jumlah calon PMR tahun ini ialah 152 orang dan target sekolah yang dijanjikan dengan Jabatan Pelajaran, sekolah perlu mencapai 56% kelulusan pada tahun ini. Ini bermakna dari 152 orang calon PMR, 84 orang pelajar perlu lulus semua mata pelajaran. Berdasarkan laporan yang di buat oleh Cg Muliadi, untuk mencapai jumlah itu semua guru perlu berusaha mencari 26% lagi pelajar untuk lulus semua mata pelajaran. Dari data yang ditunjukkan kepada saya, SMK Belawai mampu untuk lebih cemerlang jika pelajar yang tidak lulus 3 mata pelajaran (matematik, sains dan bahasa inggeris) dapat dibantu. Jumlah calon yang lulus semua mata pelajaran pada peperiksaan percubaan dan yang tidak lulus 3 mata pelajaran tadi ialah 111 orang. Jika diizinkan Allah semua pelajar ini lulus semua mata pelajaran maka keputusan pepriksaan 2010 akan meningkat dan melebihi target 56% kelulusan.
Kenapa target 56% sahaja bukannya 100% ? Jawapannya pasti ada dalam diri masing-masing, kemampuan!
Saya percaya semua guru melalui panitia masing-masing telah mempunyai data lengkap dan telah mengenalpasti pelajar yang perlu dibantu terutama pelajar yang tidak lulus 1 mata pelajaran, 2 mata pelajaran dan yang tidak lulus 3 mata pelajaran. Terima kasih kepada guru-guru yang terus berusaha membuat kelas tambahan dan perbincangan dengan pelajar walaupun dalam keadaan hari ini yang nampak sukar dengan suasana hari raya. Saya yakin semua guru terutama guru-guru yang mengajar kelas PMR ini mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai target dan visi masing-masing. InsyaAllah dalam mesyuarat kurikulum (MaCS) pada hari khamis nanti guru-guru akan lebih yakin, pelajar SMK Belawai sebenarnya boleh mencapai kecemerlangan cuma mereka perlukan sedikit perhatian dan pengorbanan dari kita.
Di dalam buku "Acres of Diamonds" tulisan Russell H. Conwel mengatakan, berlian mentah memang tidak cantik tetapi jika dicanai batu kesat itu, ia akan menjadi berlian cantik yang diidam oleh ramai wanita. Berlian juga adalah arang batu yang menjadi unggul akibat tekanan.. Saya berharap, tekanan yang dimaksudkan ialah tekanan dari keazaman guru sendiri untuk melihat hasil P & P masing-masing dan bukannya tekanan pentadbiran yang membuatkan diri masing-masing dalam keadaan stress.
Jika kita mendongak ke langit. Kita akan nampak bintang. Semakin gelap langit semakin menyerlah (bersinar) bintangnya. Kita tidak dapat melihat bintang pada hari siang, bukannya bintang tidak ada tetapi matahari yang kuat melenyapkan bintang-bintang. Oleh itu untuk melahirkan bintang, ia bermula dari kegelapan... Billi Lim - Berani Gagal
Selamat menduduki UPSR bagi adik2 tahun 6- semoga anda lulus dengan cemerlang terutama bagi adik2 di sekolah rendah sekitar kawasan Tanjung Manis, SK Abang Galau, SK Abang Gesa, SK Abang Buyuk dan SK Tg Manis.
Terima kasih Cikgu..

Wednesday, September 1, 2010

106. Jika Silap, Akuilah..

Tengahari tadi 31 Ogos jam 1.00 pm seorang sahabat telefon saya mengatakan sampul raya dan duit raya rm1.00 telah tersedia seperti yang saya minta untuk saya agihkan kepada para 200 orang pelajar asrama yang sama-sama berterawih di Surau sekolah. Terpaksalah saya keluar ke Sarikei untuk bertemu dengannya walaupun terpaksa mengorbankan masa, minyak kereta sejauh 50 km pergi balik dan tambang bot ekspress pergi balik rm20. Tidak jadi masalah, kerana yang penting dapat saya sumbangkan kepada anak-anak ini pada malam jumaat sebelum mereka pulang ke kampung masing-masing menyambut 1 Syawal.
Semasa menunggu bot ekspress di Jeti TMD (Tanjung Manis Development) saya disapa oleh seorang sahabat. Saya mengenalinya. Kami berbual berbagai isu termasuk isu sekolah yang sekarang ini katanya peraturannya semakin ketat. Beliau kelihatan sangat gembira dan beliau berhasrat untuk ke rumah rakannya berbuka puasa, bermalam dan akan pulang keesokkannya.
Semasa menunggu bot ekspress untuk pulang jam 5.30 pm, saya ternampak beliau dan menghampirinya. Kali ini kami mula berbual tentang pengisian kemerdekaan. Beliau sangat-sangat tidak berpuas hati dengan para peniaga di Bandar Sarikei yang ada premis perniagaan, tetapi tidak mengibarkan bendera Kebangsaan maupun Bendera Negeri Sarawak dan berbagai isu mengenai kedudukan Bumiputra dan akhirnya dengan nada sedih, katanya"Cikgu, nasib saya hari ini tidak baik, saya kena saman. Tadi saya saya pinjam kereta kawan untuk membeli kertas minyak. Isteri nak buat kuih. Sekejap saja, tak sampaipun 5 minit saya parking.." sambungnya lagi, "Memang saya salah... saya rasa tidak sedap hati, saya tidak pernah kena saman, niat saya untuk bermalam di sini saya batalkan.. saya nak berbuka puasa dengan isteri dan anak-anak di rumah sajalah..."
Sikap beliau sangat-sangat saya puji. Susah untuk berjumpa dengan orang seperti ini. Saya juga pernah di saman kerana kesalahan parking. Belumpun 5 minit tinggalkan kereta untuk membaiki cermin mata di Sibu. Berkali-kali mohon maaf dan alasan diberikan, saman tetap saman.. "Kenapa saya saja disaman, orang lain tu.. tak saman pun? Tanya saya. "Nelayan di laut tak dapat menangkap semua ikan, ada yang telepas.." Kata Pak Polis memberi alasan yang berlaku di darat dan dilaut walaupun tak ada kena mengenapun. Apa boleh buat, salah tetap salah walaupun tidak mengaku bersalah. Inilah sikap kita seperti dalam video yang dipaparkan di atas, kita lebih senang menyalahkan orang lain jika berlaku kesilapan atas diri sendiri.
Antara contoh (contoh sahaja-tiada kena mengena dengan yang masih hidup maupun yang telah mati) alasan-alasan yang sering kita dengar di sekolah, kenapa cikgu tak hantar buku rekod mengajar, printer habis ink, pihak sekolah belum tukar. Kenapa cikgu masuk kelas lewat, loceng sekolah tak bunyi. Kenapa cikgu tidak buat mesyuarat panitia, belum mendapat arahan. Kenapa cikgu buat perancangan sehingga sekarang belum ada pelaksanaannya, semua cikgu sibuk. Kenapa cikgu kutuk saya begitu...Tidak, bukan saya kutuk cikgu tetapi orang lain. Dan akhirnya timbul "helah bela diri" yang menyalahkan orang lain yang tidak berdosa kerana kesalahan kita atau timbul lah pulak fitnah.. Seterusnya hubungan antara guru dengan guru menjadi keruh.
Apabila kita ditempat bersalah, akuilah dengan segera dan ikhlas dan cepat-cepat minta maaf supaya kita dapat memenagi hati orang yang bertanya. Cara tersebut bukan membuatkan kita berasa malu tetapi lebih menggembirakan dari mempertahankan diri.
Saya juga insaf atas perkara ini...
Maaf Zahir dan Batin

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.