PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, May 24, 2010

79. PERHIMPUNAN SEKOLAH BUKAN TEMPAT MARAH-MARAH

PERHIMPUNAN KO-KURIKULUM SMK BELAWAI SETIAP HARI RABU
PELAJAR DIWAJIBKAN MEMAKAI PAKAIAN SERAGAM PASUKAN PAKAIAN SERAGAM MASING-MASING

Semasa kursus PTK DG44 di Hotel Dynasti, KL pada tahun 2007, kumpulan kami seramai 10 orang yang terdiri dari Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran dari Sarawak dan Semenanjung diberi satu tugasan untuk mempersembahkan satu lakonan yang bertajuk "Perhimpunan Sekolah bukan tempat marah-marah". Tugasannya ialah bagaimana satu penyelesaian perlu dibuat kerana akibat guru-guru yang berucap dalam perhimpuan selalu marahkan pelajar, pelajar tidak berminat ke sekolah dan ponteng semasa hari tersebut. Lakonan yang kami persembahkan ialah satu sesi mesyuarat. Pembahagian tugas dibuat, ada antara kami yang mewakili ibu bapa, YDP PIBG, guru, polis dan sebagainya. Kesimpulan, yang dibuat (untuk menepati kehendak soalan) menunjukkan seolah-olah kesalahan ponteng sekolah pada hari perhimpunan disebabkan oleh guru. Betulkah?..

Thursday, May 20, 2010

78. LDP- Latihan Dalam Perkhidmatan ( Realiti Guru Cemerlang )

SMK Belawai, Mukah. 20 Mei 2010 - Setelah lama merancang dan jemputan untuk Ustazah Hajjah Norlela Binti Bujang, Pengetua SMK Agama Sibu untuk memberi motivasi kepada guru-guru SMK Belawai, akhirnya dapat dilaksanakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Belawai tepat jam 12.30pm sehingga selesai jam 2.00pm. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau yang diiringi oleh guru kaunselingnya kerana dapat meluangkan masa, walaupun sekejap ia diharap dapat memberi satu impak yang mendalam kepada guru-guru SMKB. Harapan kita perjalanan yang jauh tidak menghalang beliau untuk datang lagi jika dijemput.

Sebelum dilantik menjadi pengetua SMK Agama Sibu, Ustazah Hajjah Norlela merupakan seorang Guru Cemerlang DG48 (2003-2008) dan kini beliau merupakan Pengetua DG52.
Saya mengenalinya sejak awal tahun 2006, bila Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak mengarahkan beberapa penolong kanan dari sekolah Bahagian Sibu termasuk saya untuk membuat "Benchmark" di sekolah beliau (Beliau ketika itu PK Hem) SMK Petra Jaya, kuching sebelum kami mendapat surat arahan sebagai Pengetua di sekolah-sekolah yang ditetapkan. Puan Hajjah Mastura Bt Anuar Pengetua ketika itu, kini Pengetua di SMK Abang Haji Openg, Kuching, yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sarawak merupakan insan yang sangat membantu dalam memberi tunjuk ajar dan tidak lokek dengan ilmu. Seperti pujian yang diberikan oleh Ustazah Hajjah Norlela kepada mantan pengetuanya dalam ceramah beliau adalah benar. Kami diberi pendedahan yang secukupnya dan beliau membenarkan kami "Copy" apa saja dokumen berkaitan sebagai panduan untuk memegang jawatan tersebut.

Setelah Ustazah Hajjah Norlela dilantik menjadi pengetua dan bertemu pada setiap kali bermesyuarat dan Persidangan, sikapnya tidak berubah. Beliau sangat senang didampingi oleh rakan-rakan. Kami banyak berbincang hal-hal berkaitan dengan sekolah sehingga akhir tahun 2009 beliau menjemput saya ke sekolahnya sebagai tetamu untuk Program Asrama Terbuka. Dengan komitmen dan kesungguhnan dalam dunia pendidikan yang ditunjukkan, tidak dapat dinafikan Jabatan Pelajaran tidak tersilap pilih beliau sebagai Guru Cemerlang. Bagi guru-guru dan pelajar-pelajar AJK Koperasi SMKB Berhad yang membuat lawatan ke SMK Agama sibu pada 15 dan 16 Mei 2010 lalu yang telah diberi layanan yang istimewa di sana mungkin sudah mempunyai pengalaman yang terbaik untuk diterapkan dalam diri masing-masing.

Saya percaya dengan menjemput beliau ke SMKB dapat membakar semangat dan memberi motivasi yang membuak-buak kepada guru-guru SMKB supaya mengikut jejak beliau sebagai satu laluan kerjaya dalam perkhidmatan kerana saya sendiri pun sangat berminat dengan GC. Malangnya, walaupun berkali-kali memohon tetapi tidak mendapat perhatian nazir, barangkali bukan subjek pilihan iaitu perdagangan sehingga diarah menjadi Pengetua di SMKB.
Dalam pemerhatian saya selama berada di SMKB, guru-guru di sini ramai yang boleh capai ketahab itu. Saya bukan mahu beromong kosong tetapi apa yang saya sebutkan kepada guru-guru, saya mahu mereka meletakkan satu objektif yang jelas dalam pekerjaan. Sampai bila kita akan menjadi guru biasa sedangkan orang lain sentiasa berusaha untuk pencapaian diri yang lebih baik dan berlumba-lumba untuk jawatan tertentu. Kita bukan melawan kudrat Allah, sehingga meletakkan diri kita sebagai seorang yang riak tetapi kita ingin melihat ramai antara guru-guru kita adalah guru yang cemerlang.
Seperti yang disebutkan oleh Ustazah Hajjah Norlela dalam ceramah beliau, lama atau baru menjadi guru bukan ukuran, tetapi ia dilihat bagaimana kita berkhidmat kepada pelajar. Walaupun lama menjadi guru, tiada perubahan apa-apa pada dirinya sehingga ia di cop berbagai rupa panggilan oleh pelajar atau merasakan dirinya lebih baik dari orang lain atau merasakan dirinya cukup manusia tetapi dalam dirinya masih ada sifat-sifat kebinatangan ia bukan seorang guru yang cemerlang.
Usaha untuk meletakkan diri seorang yang cemerlang bukan memakan masa yang singkat. Usaha yang patut dilakukan adalah secara berterusan dan seseorang itu tidak dapat menilai dirinya sendiri. Cemerlang adalah pandangan orang lain, dimana orang akan menilai bagaimana tahab keikhlasan diri yang ditunjukkan oleh guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Orang akan menilai kerajinan guru-guru dalam memberi ilmu kepada pelajar-pelajar dengan tidak berbelah bagi mengadakan kelas-kelas tambahan, menghormati idea-idea rakan dan sentiasa berbincang dengan pihak pentadbiran mencari satu amalan terbaik untuk manfaat semua warga sekolah.

Menurut Ustazah Norlela lagi, seseorang guru jangan mengharap kecemerlangan jika kita masih memandang rendah kepada anak-anak didik tetapi bukan ada usaha untuk membantu, cepat berputus asa melakukan sesuatu, tidak menyayangi orang lain, suka menyumpah pelajar, Rancangan Pengajaran Harian tidak lengkap dan tidak pernah dihantar selain kerja-kerja yang dilakukan tidak terurus.
Menurutnya lagi Guru Cemerlang mesti pandai mengurus masa, bukan menjadikan faktor masa tersebut sebagai alasan tidak dapat melakukannya. Begitu juga halnya guru-guru yang cuba mengelak apabila sesuatu tugas yang diberikan kepadanya dengan jawapan tidak tahu, tidak pandai dan sebagainya sebelum mencubanya. Selain dari itu ada guru-guru yang menganggap kerja atau tugas yang diberikan kepadanya adalah beban dari pengetua, tetapi sebenarnya adalah satu nilai yang baik yang ditunjukkan olehnya sehingga telah memikat hati pengetua sehingga dia diberi kepercayaan untuk melakukannya. Pengetua tidak akan menyuruh orang yang tidak boleh melakukannya atau yang sudah diketahui seseorang itu tidak ada komitmen atas tugas yang diberikan. Lagi kerap pengetua meminta tolong melakukan sesuatu sebenarnya semakin sayang kepada seseorang itu dan sentiasa didoakan semoga berjaya.
Ustazah Hajjah Norlela menyebut, apa yang diketahuinya guru-guru boleh melakukan tugas dengan baik. Yang menjadi beban guru bukan tugas yang diberikan tetapi adalah kadang-kadang surat-surat arahan yang hantar ke sekolah yang mengelirukan. Ustazah Hajjah Norlela juga berharap, apabila kita sudah menerima tugas sebagai seorang guru dimana hidup dan matinya akan disebut segala kebaikan dan besarnya pahala yang dianugerahi oleh Allah S.W.T maka didiklah anak-anak yang diamanahkan kepada kita dengan rasa ketakwaan. Ajarlah anak-anak orang seperti anak-anak kita sendiri. Banyakkan bersedekah kepada pelajar kerana mereka akan mengenangnya sampai bila-bila. Kekalkan sifat amanah, jauhkan nafsu, jangan ringankan solat, jaga lidah dari berkata-kata, elakkan fitnah dan ketahuilah yang dekat itu mati.
Sebagai penutup, Ustazah Hajjah Norlela menyentuh tentang, konsep-konsep guru cemerlang dan diakhiri dengan kata-kata Guru-guru bukan sahaja mengajar tetapi mendidik, keikhlasan bukan ditunjukkan dengan kata-kata tetapi ekspresi muka sudah memadai untuk mengambarkan segalanya. Banyakkan membaca novel kerana di dalamnya banyak mengajar kita erti kasih sayang.
Terima kasih cikgu.

Guru-guru SMKB yang di hormati.. Jom sama-sama kita menuju ke puncak.

Friday, May 14, 2010

77. Selamat Hari Guru - GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Semasa saya mula-mula menjejakkan kaki di Bandar Sibu pada tahun 1993, saya dapati banyak banner yang dipasang di kedai-kedai kopi dengan perkataan "GAYU GURU GERAI NYAMAI". Di tepinya pula ada iklan Guinness Stout. Saya fikir itu ucapan selamat hari guru dan mungkin kedai tersebut menghidangkan makanan yang sedap-sedap untuk dilanggan oleh para guru. Bila dapat tahu... ternyata salah. Ia langsung tak berkait rapat dengan guru. Nasib baik tak beritahu orang...
Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Seluruh Malaysia khususnya guru-guru di SMK Belawai.
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

IKRAR GURU MALAYSIA
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami.
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Wednesday, May 12, 2010

76. Life begin 40

Kehidupan bermula bila umur 40 tahun. Kata orang putih "Life begin 40". Orang putih mana pun tak tahu lah. Kata orang tua2 pulak bila sudah sampai umur 40, jika tak berubah perangai hantunya, maka susah lah nak berubah. Bagi orang yang baik-baik jika sampai umur tersebut tiba-tiba berubah nak buat sesuatu yang tak pernah dibuatnya, itu dah buang tabiat. Orang macam nie kena jaga-jaga..

Sudah 4 tahun saya merasa kehidupan dalam alam 40. Maknanya 44 lah tu. Bagi guru-guru DG41, angka inilah yang ditunggu-tunggu DG44. Maknanya naik pangkatlah tu.

Sebelum ini ada juga saya bertanya dengan sepupu dan rakan-rakan bila berbual dengan mereka, bagaimana rasanya jika kita sudah menjangkau umur sebegitu. Abang Zaini suami sepupu saya berkata, "Oh.. hati tetap muda tapi kalau di depan cermin tak sanggup tengok le. Rambut sudah bercampur, gigi dah bertabur, muka dah mula berkedut... 7 rukun tua dah hampir nak cukup. Orang yang nampak kita tak panggil abang lagi, dah status pak cik! Kepala jangan kena hujan... kalau kepala aku kena hujan sakit kepala berhari-hari."

Ini bermakna, walau apa pun status kita dengan keadaan umur yang semakin meningkat saban tahun, yang penting sekarang ialah menjaga kesihatan dengan baik. Sebagai usaha untuk memastikan semua pegawai berada ditahap memuaskan, Kerajaan melalui Surat Perkeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2003 Pegawai Perkhidmatan Awam yang berumur 40 tahun dan ke atas digalakkan melakukan pemeriksaan kesihatan dari masa ke semasa. Pemeriksaan yang biasa dilakukan ialah memeriksa tekanan darah, mengambil sampel darah, berat badan dan tinggi untuk mengetahui tahap kesihatan setiap pegawai dan anggota.
Pagi ini betul-betul membuatkan saya panik. Bila buka mata jam 5.15 am tadi langsung tak dapat bangun. Kepala rasa pening. Semua isi rumah kelihatan berpusing-pusing. Terus saya baring. Tidak dapat tidur, bingkas bangun dan ke bilik air. Terus mandi. Barangkali boleh meredakan sikit tetapi nampaknya tidak berhasil. Semasa sujud solat subuh rasa nak muntah. Perlu bantuan. Jawabannya Panadol. Telan 2 biji. Agak lega tapi tak dapat nak berjalan. Sehingga jam 7.00am telefon pejabat dan memberitahu saya ke pejabat lewat sedikit. Nak ambil cuti pun susah juga, kuarters betul-betul depan dengan blok akademik. Akhirnya melangkah juga ke Sekolah jam 8.30am. Tercari-cari sebabnya? Kenapa?.. Lalu teringat dengan sahabat baik saya Tuan Haji Zainuddin yang meninggal seorang diri di Kuartersnya di Sekolah. Jika itu ditakdirkan...
Sampai sekarang ok sikit. Dah 6 biji panadol dalam perut. Jam 5.00pm isteri telefon pejabat tanya khabar, macam tau-tau saja... Sihat. Biar dia menguruskan anak-anak dengan tidak ada rasa bimbang. Selepas ini kena buat pemeriksaan lengkap selepas 4 tahun dulu... Jangan pulak masalah kesihatan yang menyekat kenaikan pangkat bukan PTK..

Tuesday, May 11, 2010

75. Hangit...

Adoi.. mau hilang sabar juga hari ini bila 2 orang pekerja pembersihan tiba-tiba masuk untuk menyapu di dalam bilik sedang saya sibuk-sibuk untuk membereskan semua kerja sebelum punch out. Ikutkan hati mau cakap terus terang saja. Tapi tak sanggup lagi nak cakap. Terus keluar bilik dan buka pintu luas-luas. KPT di luar tersenyum bila melihat saya bergegas keluar. Rupa-rupanya mereka dah tahu sebabnya.
"Kenapa boss?" Diyana pura-pura bertanya. "Tak ada apa-apa!" Jawab saya sambil menjeling kepada pekerja tersebut.
Dari cerita orang kat pejabat, itu bukan kali pertama. Tapi dah berbulan sejak Januari lalu bila pekerja pembersihan baru diambil, tapi mereka tak tercakap. Bila ada pekerja pembersihan masuk mereka yang tolong bukakan pintu bilik saya supaya hilang semua bau. Kemudian di sembur dengan pewangi bilik. Patut le bila saya siap meronda semua kawasan sekolah dan masuk ke pejabat bau wangi giler.
Belum pernah saya tercium bau badan yang keterlaluan begitu. Barangkali dalam bilik tertutup dan berhawa dingin. Ramai pelajar yang masuk ke dalam bilik saya atas sebab disiplin dan sebagainya, tetapi bau badan (Ketiak) mereka tak lah seteruk mana sehingga terasa hilang sabar dan hilang semua idea.
Akhirnya saya panggil seorang darinya dan minta dia "Slow talk" dengan rakan tersebut supaya menjaga penampilannya. Kalau saya yang cakap nanti berkecil hati pula.
Bukan niat untuk menghina. Bau ketiak kita pun bukannya sedap sangat jika kita bekerja, bermain dan berpeluh. Tidak dinafikan jika bau badan kita sendiri kita tidak sedar tetapi bila kita ditegur atau melihat riak orang lain yang pegang-pegang hidung jika berdekatan dengan kita sudah tentu kita tahu ada sesuatu yang tak kena. Begitu juga dengan bau mulut. Jika dah tahu carilah jalan mengatasinya. Jagalah cara mengambilan makanan atau carilah ubat dan sebagainya.
Bagaimana jika guru yang berkeadaan begini tentu akan mengganggu P & P kan? Cikgu cantik, hensome tapi ketiak berbau... hangit.

Sunday, May 9, 2010

74. Buat pilihan dengan betul...

Sejak minggu lepas suasana di Bandar Sibu sangat meriah. Bagaikan pesta. Penduduk sekitar Bandar Sibu dan bandar berdekatan seperti Kapit, Sarikei, Mukah dan Kanowit keluar membanjiri pusat-pusat membeli belah membawa kaum keluarga sempena cuti umum - hari pekerja 1 Mei lalu. Ada diantara mereka yang mengambil kesempatan mengunjungi aktiviti-aktiviti yang dirancang seperti Pameran Komputer dan Kejohanan Cub Prix Sarawak 2010 Pusingan Kedua yang berlangsung pada 1 dan 2 Mei di Dataran Bandar Sibu.
Kedatangan Perdana Menteri Malaysia ke Sibu juga menarik perhatian ramai. Lawatan 1 Malaysianya yang bertumpu di Pekan Sungai Merah yang kebanyakkan penduduknya dari kaum Cina dan di Kampung Bandung, yang penduduknya majoriti Melayu / Melanau juga menarik perhatian. Ramai penduduk yang merasa sangat bertuah dapat bersalaman dan beramah mesra dengan beliau. Apatah lagi orang no 1 negara ini mengunjugi kedai-kedai dan rumah-rumah penduduk sekitar.
Sehingga hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 8 Mei 2010 suasana masih meriah. Ramai penduduk mengambil peluang keluar beramai-ramai ke Dewan Suarah pada awal pagi, mengiring calon masing-masing dan sanggup berjalan jauh kerana semua jalan utama ditutup, selain sanggup menunggu lama sehingga jam 11.30am untuk mendengar pengumuman dari Wong See Meng, Pegawai pengurus PRK Parlimen Sibu, senarai calon yang akan bertanding selepas tempoh bantahan.
Sekarang bermulalah kempen bagi kedua-dua belah pihak untuk memenangi hati rakyat untuk membuat pilihan pada 16 Mei nanti. InsyaAllah pada hari tersebut juga saya akan bersama-sama penduduk Sibu, akan mengundi parti pilihan masing-masing. Pilihanraya di Sarawak agak unik, tidak seperti di semenanjung yang kelihatannya lebih agresif seperti laporan media dan para blogger. Malam tadi Berita TV menyatakan, belum nampak lagi perang poster berlaku sebaliknya banyak poster hanya di lekatkan di bilik gerakan masing-masing. Saya percaya pengetahuan berpolitik penduduk di sini adalah tinggi tetapi jika masa yang ada dihabiskan dengan berkempen dan mendengar ceramah sana sini adalah tidak berbaloi jika dalam hati dan fikiran masing-masing sudah ada calon untuk dipilih.
Majoriti di Bandar Sibu ialah Kaum Cina Fuchau, jumlahnya 67% dari keseluruhan pengundi. Mereka sangat terkenal dengan sikap kuat bekerja untuk membina keluarga. Begitu juga dengan penduduk kaum lain yang menjadikan Kaum Cina ini sebagai contoh. Mereka bangun awal pagi membuka kedai masing-masing, bahkan ada dikalangan mereka bekerja walaupun orang lain sedang menyambut Tahun Baru Cina. Oleh itu tidak hairanlah bagi calon-calon pilihanraya, perlu bekerja keras, turun padang, pergi berjumpa dengan pengundi-pengundi di mana sahaja, seperti di Pasar Central yang selalu menjadi tumpuan kerana di sinilah tumpuan semua kaum yang berpendapatan rendah, Cina, Melayu dan Iban berniaga mencari rezeki.
Seperti yang dilaporkan oleh media massa berbagai isu ditimbulkan oleh penduduk. Dari isu kemudahan asas sehinggalah pengambilan tanah untuk pembangunan. Walau bagaimanapun terpulanglah kepada penduduk Sibu untuk memilih pemimpin. Bagi seseorang yang rasional sudah tentulah memilih siapa yang boleh menyelesaikan masalah berbangkit. Siapa antara mereka bertiga. Robert Lau Hui Yew? (Barisan Nasional), Wong Ho Leng?(DAP) atau Narawi Haron? (BEBAS).

Pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rapi pusat penamaan calon (Dewan Suarah Sibu)

Biar siapapun yang akan terpilih. Adakah masalah penjualan babi yang tidak teratur akan selesai?

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.