PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Wednesday, May 12, 2010

76. Life begin 40

Kehidupan bermula bila umur 40 tahun. Kata orang putih "Life begin 40". Orang putih mana pun tak tahu lah. Kata orang tua2 pulak bila sudah sampai umur 40, jika tak berubah perangai hantunya, maka susah lah nak berubah. Bagi orang yang baik-baik jika sampai umur tersebut tiba-tiba berubah nak buat sesuatu yang tak pernah dibuatnya, itu dah buang tabiat. Orang macam nie kena jaga-jaga..

Sudah 4 tahun saya merasa kehidupan dalam alam 40. Maknanya 44 lah tu. Bagi guru-guru DG41, angka inilah yang ditunggu-tunggu DG44. Maknanya naik pangkatlah tu.

Sebelum ini ada juga saya bertanya dengan sepupu dan rakan-rakan bila berbual dengan mereka, bagaimana rasanya jika kita sudah menjangkau umur sebegitu. Abang Zaini suami sepupu saya berkata, "Oh.. hati tetap muda tapi kalau di depan cermin tak sanggup tengok le. Rambut sudah bercampur, gigi dah bertabur, muka dah mula berkedut... 7 rukun tua dah hampir nak cukup. Orang yang nampak kita tak panggil abang lagi, dah status pak cik! Kepala jangan kena hujan... kalau kepala aku kena hujan sakit kepala berhari-hari."

Ini bermakna, walau apa pun status kita dengan keadaan umur yang semakin meningkat saban tahun, yang penting sekarang ialah menjaga kesihatan dengan baik. Sebagai usaha untuk memastikan semua pegawai berada ditahap memuaskan, Kerajaan melalui Surat Perkeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2003 Pegawai Perkhidmatan Awam yang berumur 40 tahun dan ke atas digalakkan melakukan pemeriksaan kesihatan dari masa ke semasa. Pemeriksaan yang biasa dilakukan ialah memeriksa tekanan darah, mengambil sampel darah, berat badan dan tinggi untuk mengetahui tahap kesihatan setiap pegawai dan anggota.
Pagi ini betul-betul membuatkan saya panik. Bila buka mata jam 5.15 am tadi langsung tak dapat bangun. Kepala rasa pening. Semua isi rumah kelihatan berpusing-pusing. Terus saya baring. Tidak dapat tidur, bingkas bangun dan ke bilik air. Terus mandi. Barangkali boleh meredakan sikit tetapi nampaknya tidak berhasil. Semasa sujud solat subuh rasa nak muntah. Perlu bantuan. Jawabannya Panadol. Telan 2 biji. Agak lega tapi tak dapat nak berjalan. Sehingga jam 7.00am telefon pejabat dan memberitahu saya ke pejabat lewat sedikit. Nak ambil cuti pun susah juga, kuarters betul-betul depan dengan blok akademik. Akhirnya melangkah juga ke Sekolah jam 8.30am. Tercari-cari sebabnya? Kenapa?.. Lalu teringat dengan sahabat baik saya Tuan Haji Zainuddin yang meninggal seorang diri di Kuartersnya di Sekolah. Jika itu ditakdirkan...
Sampai sekarang ok sikit. Dah 6 biji panadol dalam perut. Jam 5.00pm isteri telefon pejabat tanya khabar, macam tau-tau saja... Sihat. Biar dia menguruskan anak-anak dengan tidak ada rasa bimbang. Selepas ini kena buat pemeriksaan lengkap selepas 4 tahun dulu... Jangan pulak masalah kesihatan yang menyekat kenaikan pangkat bukan PTK..

Friday, February 13, 2009

37. Kebersihan Global

  • Alhamdulillah, dapat juga solat jumaat di Masjid An-Nur, Sibu. Rasanya dah lama tidak berjumaat di situ kerana tidak sempat. Terpaksa solat jumaat di Masjid Jerijeh atau Masjid Rajang atau di Tanjung Manis.
  • Mengambil peluang perjalanan balik ke SMK Belawai kerana mesyuarat di Mukah, tak sabar-sabar nak ke sana. Belum masuk waktu dah sampai ke masjid. Gembira sungguh. Jemaahnya ramai. Kalau di Jerijeh kadang-kadang saya hitung juga orang kalau-kalau tak cukup 40. Jika musim pelajar kita balik kampung atau cuti penggal rasanya sunyi sikitlah masjid tersebut. Dan yang paling seronok bila berjemaah di masjid An-Nur apabila nanti selepas solat dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang lama tak jumpa. Di masjid An-Nurlah tempatnya.
  • Pada tahun 1998 di Masjid An-Nurlah saya terserempak dengan rakan lama, yang sama-sama belajar di Universiti Utara Malaysia, Tuan Abu Hassan Bin Hussein, Tuan yang menjaga Penjara Pusat Sibu. Sekarang dah berpindah ke Negeri 9. Lama berpisah dengannya sejak tamat pengajian pada 1990 kami bawa haluan masing-masing tetapi ditakdirkan bertemu di Sibu.
  • Tajuk Khutbah jumaat kali ini "Kebersihan menurut islam secara global" (intipati khutbah sama seperti rencana dalam blok ini: http://kawansejati.ee.itb.ac.id/node/15107 ada lah sikit sebanyak dikurang dan ditambah) - Dibacakan oleh Ustaz Omar dan diimamkan oleh Tuan Haji Wan Alam. Khutbahnya jelas dengan sistem pembesar suaranya yang tidak bermasalah. Semasa mendengar khutbah sesekali fikiran melayang-layang juga sampai ke masjid Sungai Baru Tengah, Alor Setar (Ingat kampung le..). Bukannya apa, terkenang kalau Allahyarham Tuan Haji Ahmad (Bilal, menggantikan imam jika imam tidak ada atau uzur) yang membaca khutbah mula lah suaranya mendayu-dayu kadang-kadang kedengaran menggigil, dan kadang-kadang antara dengar atau tidak. Maklumlah dah berusia. Jika Allahyarham Ustaz Chik (Tuan Imam) yang berkhutbah - nanti ada slot menangis kerana terkenangkan generasi yang beliau akan tinggalkan. Semasa beliau meninggal dunia, sanak saudara dan rakan taulan yang menziarahinya ramai sekali. Maklumlah, jasanya kepada penduduk kampung amat besar.Walau bagaimanapun mereka telah meninggalkan satu kenangan yang kuat yang tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini setiap kali ke masjid untuk solat jumaat. kata orang, tempat jatuh lagi di kenang, inikan pula tempat bermain dan membesar.
  • Berbalik kepada tajuk khutbah di masjid An-Nur tadi, saya rasa isu ini juga saya selalu sebutkan kepada para pelajar setiap kali perhimpunan. Sampah sarap - suatu isu yang tidak pernah habis. Sampah sarap dibuang sana sini oleh pelajar seperti sekolah kita tidak ada peraturan. Apabila ditegur dalam perhimpunan, oklah untuk satu dua hari kemudian berbalik seperti biasa lagi. Budaya ini perlu diubah walaupun semakin berkurangan tetapi kita semua guru-guru SMK Belawai perlu peka akan perkara ini. Kita tidak boleh melihatnya sebelah mata sahaja. Kita perlu menanganinya bersama.
  • Perkara sampah ini juga selalu disebut oleh PPD Mukah (Dulu PPG Mukah) Cg Abd Wahab Sepawi dan kali terakhir semasa mesyuarat pengurusan pada 24 November 2008 di Hotel Kingwood Mukah. Semasa perjumpaan dengan pengarah di RH Hotel tempohari juga perkara yang sama di sebut. Ini bermakna satu usaha yang jitu perlu kita usahakan. Apabila perkara ini disebut oleh pengarah, PPD dan dalam khutbah jumaat maka masalah ini adalah serious. Seperti kata PPD Mukah, kenapa boleh berlaku begitu, sedangkan di sekolah adalah tempat murid-murid belajar dan mereka perlu diterap nilai-nilai murni "Jangan membuang sampah merata-rata".
  • Masih lagi masalah sampah, ini berkaitan dengan pengambilan sampah oleh lori sampah. Sebelum ini saya jarang terserempak dengan mereka yang bertanggungjawab lebih-lebih lagi setelah tempat pembuangan sampah di tukar ke tempat baru. Pada hari isnin 9 Feb 2009, nampaknya Allah mempertemukan saya dengan mereka semasa mereka mengangkut sampah. Benar juga kata pekerja pembersihan, semasa mereka mengangkut sampah ke dalam lori, banyak sampah jatuh bertaburan di atas jalan. Apabila ditegur, Alhamdulillah mereka akan memberi kerjasama yang sewajarnya.


2 orang pekerja sedang mengangkut sampah ke dalam lori, Banyak sampah jatuh ke atas jalan. Saya berjanji akan membaiki jalan tersebut yang mungkin memberi masalah kepada mereka kerana terlalu sempit dan becak lebih-lebih lagi pada musim hujan.

  • Tidak ada orang yang sukakan kekotoran. Sifat kita sebagai manusia mahukan sesuatu yang cantik, bersih, kemas, teratur, selesa dan sebagainya. Sekiranya ada manusia yang cintakan kekotoran, ini suatu yang luar biasa sama sekali. Paling sedih ialah mereka yang bekerja menjaga kebersihan seperti pekerja pembersihan di sekolah kita. Contoh di bawah menunjukkan betapa hancur hati mereka apabila melihat ada dikalangan manusia yang suka buat kotor terutama di tandas awam.

Kata-kata yang tertulis : Jadilah laki-laki yang cintakan kebersihan Inilah luahan hati pekerja pembersihan di sebuah Restaurant di Selangau tempat bas berhenti dalam perjalanan dari Sibu ke Mukah atau sebaliknya dari Mukah ke Sibu. Keadaan tandas di sini memang kotor, selain sikap pengguna yang tidak pandai menjaga kebersihan, menconteng tandas dengan iklan-iklan peribadi, tandas ini juga mengalami masalah air.

  • Tempat yang buruk dengan tempat yang tidak bersih adalah 2 perkara yang berbeza. Saya percaya semua guru dapat menerima kenyataan bahawa bangunan sekolah kita dah lama sangat. Bilik darjah juga buruk tetapi tidak lah buruk seperti sesetengah sekolah lain yang terlalu uzur di daerah kita ini, namun walaupun buruk kita perlu jaga kebersihan. Saya sangat sanjung tinggi terhadap guru-guru yang pandai mengurus kelas dengan sempurna. Mempengaruhi pelajar mencintai kebersihan. Menghias kelas dengan kemas, cantik dan menarik. Guru-guru kelas yang belum lagi bermula visi dan misi dalam kelas masing-masing, bertindaklah segera dan jadilah pengurus dalam konteks yang kecil terlebih dahulu kerana kita semua ada cita-cita besar.
  • Islam menggalakkan kebersihan iaitu bersih lahir dan batin. Di dalam Al Quran dan Hadis banyak memperkatakan tentang kebersihan atau bersuci ini. Allah berfirman dalam Al Quran:
    Maksudnya: "Sesungguhnya berbahagialah (mendapat kejayaanlah) orang yang menyucikan hatinya dan berdukacitalah orang yang mengotorkan hatinya." (As Syams: 9-10) dan Rasulullah SAW pernah bersabda:
    Maksudnya: "Kebersihan itu sebahagian dari iman." Maksudnya: "Bersuci itu adalah separuh dari iman." dan "Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan."

Sunday, February 8, 2009

36. Keselamatan dan kesihatan

  1. 2 perkara ini memang dah jadi agenda utama sekarang. Walau di mana kita bercakap sudah tentu berkisar tentang keselamatan dan kesihatan. Begitu juga setiapkali perhimpunan mingguan perkara inilah yang saya tekankan supaya kita sama-sama jaga supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Pengarah Pelajaran Sarawak, dalam perjumpaan dengan semua pengetua seluruh Negeri Sarawak pada 4 Februari lalu di RH Hotel, sibu, juga menekankan soal-soal keselamatan sama ada kepada warga pendidik dan yang dididik lebih-lebih lagi pada masa cuaca yang tidak menentu sekarang.
  2. Sana sini kita dengar banjir melanda dan ada juga kejadian tanah runtuh yang menyebabkan ramai rakan guru tidak dapat kesekolah dan pelajar tidak dapat belajar seperti biasa. Sekolah ditutup. Termasuk SMK Dalat yang telah beberapa hari bercuti kerana banjir. Selain itu penyakit Kaki, Mulut dan Tangan juga masih lagi menghantui kanak-kanak di Sarawak. Dengan kata lain masalah dah bertimpa-timpa dan sama-samalah kita ingat tentang keselamatan dan kesihatan ini.
  3. Saya juga difahamkan 2 orang guru SMK Belawai, pernah jatuh ke dalam sungai Rajang ketika hendak menaiki Bot Ekspress. Seorang di Jeti Sarikei dan seorang lagi di Jeti Tanjung Manis - dalam kejadian yang berasingan. Nasib baiklah, kedua-dua mereka selamat. Terima kasih banyak-banyak kepada saudara kita yang menolong menyelamatkan guru-guru ini. Jasa anda di kenang. Semoga Allah sahaja yang akan membalas jasa baik anda.
  4. Banyak kejadian yang menimpa guru-guru kita semasa menjalankan tugas mendidik anak bangsa kita. Walau bagaimanapun janganlah serik. Jadikan ia sebagai satu semangat bukannya penyebab kita berpindah. Guru-guru kita dikalangan penduduk tempatan juga menghadapi situasi yang sama. Jika mereka patah semangat ke mana mereka akan berpindah sedangkan di sinilah kampung halaman mereka. Oleh itu bersabarlah. Jadikan pengalaman tersebut sesuatu yang menarik. Bagaimana dengan sekumpulan guru yang terlibat dengan bot karam tempohari? tentu menyeramkan... lebih-lebih lagi yang tidak pandai berenang.
  5. Selain itu, saban hari juga kita dengar berbagai masalah melibatkan para pendidik, guru di rogol, dibunuh dan sebagainya. Namun selain kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku, tidak kurang juga keselamatan guru terancam atas perbuatan sendiri, umpamanya terlibat dengan along. Gaji yang ada tidak pernah cukup. Terpaksa berhutang, akhirnya menyiksa diri sendiri. Akhirnya ada yang bekerja sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan dan terlibat dalam kes-kes jenayah. Perkara ini disuarakan oleh Pengarah dan kejadian ini amat memalukan warga pendidik.
  6. Sebagai seorang guru, kita disanjung oleh masyarakat. Apa yang kita lakukan dilihat, dinilai oleh masyarakat. Apa akan jadi jika ada guru yang terlibat dalam kecurangan akademik, tidak hadir bertugas, ada hubungan sulit antara guru & pelajar, terlibat dalam gangguan seksual dan meniru tandatangan pengetua. (SEMUA PERKARA INI TIDAK PERNAH BERLAKU DI SMK BELAWAI DAN TIDAK AKAN BERLAKU- SEKADAR MENGINGATI DIRI DAN GURU-GURU KERANA DISEBUT DALAM PERJUMPAAN DENGAN PENGARAH). Sudah pasti semua perlakuan tadi juga mencemar nama baik semua warga guru.
  7. Oleh itu saya mengingati diri saya dan guru-guru sama-samalah kita menjaga keselamatan dan kesihatan, kerana kedua-duanya adalah penting kepada kita. Kesihatan yang baik akan menjamin kewarasan kita berfikir. Jagalah imej kita. Hormati profesion kita.

MALANG TIDAK BERBAU. KERETA SEORANG PENDUDUK TEMPATAN TERBABAS KE DALAM PARIT SELEPAS MELALUI SATU SELEKOH TAJAM SELEPAS JAMBATAN DARI ARAH TANJUNG MANIS KE BELAWAI PADA HARI JUMAAT, 6 FEBRUARI 2009 JAM 2.30 PETANG. BERSABARLAH IA UJIAN DARI ALLAH.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.