PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Friday, May 15, 2009

50. PERUTUSAN HARI GURU

  1. Bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana sekali lagi pada 16 Mei 2009 (Hari Guru Antarabangsa di tetapkan oleh UNESCO ialah pada 5 Oktober setiap tahun) kita akan menyambut Hari Guru (Jika tidak salah yang ke 37 bermula dari tahun 1972), Hari keramat bagi semua insan yang bergelar guru. Pemilihan tema Hari Guru tahun ini Guru Pembina Negara Bangsa amat bertepatan sekali dengan keadaan politik semasa yang agak longgar, dan timbul beberapa isu hubungan kaum yang menimbulkan ketegangan, akhirnya boleh menimbulkan malapetaka yang besar.
  2. Tema hari guru tahun ini juga menyedarkan kita bahawa, selama ini Negara kita, Malaysia membangun atas keringat guru. Berbagai usaha ditunjukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, untuk melihat hubungan kaum di Malaysia harmoni seperti sekolah wawasan dan yang boleh dikira baru ialah program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan).
  3. Sebagai rakyat Malaysia kita sangat beruntung, hak seseorang individu tidak diketepikan. Antara hak yang termaktub dalam undang-undang ialah hak untuk bersekolah. Tindakan undang-undang boleh diambil jika kanak-kanak tidak di beri peluang untuk belajar tanpa sebarang alasan. Oleh kerana permulaan kehidupan anak-anak di sekolah, adalah wajar anak-anak diajar dengan nilai-nilai kasih sayang antara satu sama lain selain belajar hidup bermasyarakat dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Di sekolah juga pelajar dapat mempelajari sejarah hubungan kaum dan mengambil iktibar atas peristiwa-peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969.
  4. Pembentukan sebuah Negara Bangsa perlukan satu kerjasama dan penyatuan kaum yang jitu dan permuafakatan. Sokongan daripada semua lapisan masyarakat serta pelaksanaan yang cekap dan berkesan adalah amat penting. Oleh itu kaum guru di lihat sebagai golongan professional yang mampu berusaha membentuk Negara bangsa yang unggul dan dikenali di peringkat dunia serta boleh dijadikan model kepada Negara membangun yang lain.
  5. Saya seringkali mengingatkan, setiap dari kita adalah pemimpin. Guru adalah pemimpin kepada pelajar, dimana seseorang pemimpin itu adalah seseorang yang berupaya memujuk, mendorong dan mempengaruhi orang lain untuk melaksanakan sesuatu kearah mencapai matlamat. Di SMKB kita telah menetapkan matlamat “SMKB CEMERLANG 2010”. Maka semua warga sekolah bermula dari guru-guru, para pelajar, kakitangan sokongan, pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan, tidak kira apa bangsa sekalipun perlu sama-sama berusaha mencapai matlamat yang telah kita persetujui.
  6. Di SMKB semua guru adalah sama, walaupun statusnya GSTT. Tiada bezanya dengan guru-guru terlatih yang lain. Di SMKB saya ingin melihat semua guru bersatu dan menjalankan tugas yang di amanahkan dengan jujur dan iklas. Bersatu kita teguh bercerai roboh. Sesuatu program sekolah tidak akan berjaya jika tanpa penglibatan semua guru. Bagi guru-guru GSTT yang berpeluang berkhidmat di SMKB gunakan kesempatan ini untuk memupuk minat dan sebagai batu lonjakan untuk berkhidmat sebagai pendidik yang berjaya.
  7. KENAPA SMKB PERLU CEMERLANG PADA 2010? Untuk mencapai kejayaan kita perlu ada “Time Frame” – Berdasarkan PIPP (Plan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010) maka matlamat kecemerlangan SMKB perlu selari dengan PIPP. Selepas PIPP berakhir pada 2010 kita percaya tentunya Kementerian Pelajaran mempunyai rancangan seterusnya demi kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Alhamdulillah, setelah kita war-warkan kepada warga sekolah, nampaknya semua warga sudah bersedia mengambil cabaran untuk cemerlang 2010.
  8. (Rujukan: http://remitigs.edublogs.org/2008/11/12/peranan-pengetua-dalam-usaha-menerapkan-prinsip-etika-kerja-kpm-untuk-kecemerlangan-sekolah/ ) Cemerlang mengikut Kamus Sistem (1982) memberi maksud berkilauan, bercahaya dengan terang, sangat baik dan sangat indah. Manakala berdasarkan Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (1987) pula, kecemerlangan membawa maksud hal atau keadaan cemerlang atau kegemilangan. Kesimpulannya kecemerlangan merupakan pencapaian terhadap sesuatu hasil kerja yang berjaya membawa sesuatu pihak atau organisasi ke peringkat yang lebih tinggi.
  9. Dalam usaha mencapai kecemerlangan sesebuah organisasi, budaya kerja cemerlang amat penting diterapkan dalam kalangan pemimpin dan kakitangan di bawah kawalannya. Budaya kerja merupakan satu kumpulan nilai-nilai atau prinsip-prinsip yang diterima oleh seseorang atau sesuatu kumpulan sebagai amalan ketika menjalankan tugas atau tanggungjawab yang diamanahkan.
  10. Kecemerlangan sesebuah organisasi hanya boleh dicapai apabila mendapat sokongan secara bersepadu dan bantuan daripada pihak-pihak yang terlibat. Dalam konteks organisasi sekolah, kerjasama di antara pengetua, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan juga stakeholder adalah amat mustahak.
  11. Kecemerlangan sekolah mempunyai pelbagai takrifan. Secara umumnya takrifan ini bergantung kepada persepsi serta nilai yang berbeza daripada pelbagai pihak. Umum memberikan penekanan kepada kecemerlangan akademik sebagai kayu pengukur kecemerlangan sekolah. Mengikut Sergiovanni (2001), terdapat aspek-aspek lain yang diberi penekanan selain akademik iaitu keprihatinan guru-guru terhadap pelajar, keselamatan di sekolah, dan kerjasama ibu bapa dan sekolah.
  12. Bagi pelajar pula sekolah berkesan dan cemerlang adalah sekolah yang memberi peluang yang sama, mempunyai persekitaran yang cantik, bersih dan harmonis serta mempunyai guru-guru yang membantu mereka meningkatkan prestasi pembelajaran dan kreativiti. Pihak sekolah pula menekankan perkembangan pelajar yang seimbang, komunikasi yang baik di kalangan staf, perkembangan staf yang berterusan dan persekitaran kerja yang baik (Garbutt, 1996). Jelaslah bahawa sekolah mempunyai pelbagai tuntutan daripada masyarakat. Justeru, sekolah haruslah berperanan sebagai sebuah organisasi yang dinamik dan mengamalkan strategi pengurusan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa seterusnya melahirkan sebuah negara bangsa yang maju.
  13. Kecemerlangan bukan semata-semata dengan pengiktirafan sijil atau anugerah. Tetapi konsep kecemerlangan adalah luas. InsyaAllah selepas 2010 setelah kita cemerlang, kita akan target Gemilang. Contohnya akademik – dimana target cemerlang kita hanya kelulusan tertinggi tetapi selepas 2010 apabila kita akan masuk ke tahap Gemilang target kita perlu ada tranformasi, iaitu target Kualiti Pencapaian.

SELAMAT HARI GURU

JADILAH SEORANG GURU YANG BERETIKA

Sunday, May 10, 2009

49. TERIMA KASIH CIKGU

  1. Tanpa disedari, nampaknya sudah setahun blog ini beroperasi. Kali pertama posting pada 7 Mei 2008 dengan tajuk "Faktor-faktor yang melemahkan minda" dan akhirnya blog ini telah menjadi penghubung antara saya dengan rakan-rakan guru. Harapan saya agar blog ini mendatangkan banyak manfaat.
  2. Saya sangat terhutang budi kepada seorang sahabat, En. Lokman, orang pertama yang memperkenalkan dan mengajar saya membuat blog sendiri (pada masa tersebut semua orang bercakap tentang blog). Dalam masa 15 minit (sbb ada temujanji) dengan semangat ingin tahu yang amat mendalam blog ini diwujudkan dengan tanpa tujuan tertentu tetapi dengan harapan dapatlah mula menulis semula seperti dulu sehingga kemuncaknya dapatlah hadiah. (Tempat kedua Sajak Berunsur Islam anjuran Jabatan Agama Islam Kedah)
  3. Walaupun blog ini tidak sehebat blog rakan-rakan yang lain dan lebih bersifat peribadi, Namun saya rasa ada kebaikkannya kerana kata orang "Tak kenal maka tak cinta". Apabila kita mengenali seseorang maka kita senang untuk bekerja, kerana saya merasakan kita dalam sebuah keluarga yang besar yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain.
  4. Jika dilihat pada "Counter" dalam blog ini nampaknya membanggakan juga, lebih 4,000 orang telah membukanya sama ada secara sengaja atau tidak oleh guru-guru di SMKB atau sebaliknya. Sedikit sebanyak guru-guru di SMKB terutamanya dapat memahami apa azam saya terhadap pekerjaan dan harapan saya terhadap rakan-rakan guru dan bukan guru di bawah seliaan saya. Sesuatu yang kita buat, kita kena buat bersungguh-sungguh kerana jika kita tidak buat bersungguh-sungguh, ia adalah satu kerugian, sebaliknya jika tidak tercapai juga, kita boleh berpuas hati kerana kita sudah berusaha tetapi ada yang lebih berkuasa yang menentukannya - Allah.
  5. Sebagai seorang yang di latih dalam bidang perakaunan dan perdagangan "Bijak Merebut Peluang" adalah satu perkara yang saya sering titik beratkan dan tidak boleh diabaikan. Peluang yang datang kadangkala sekali sahaja dalam hidup kita, jika kita terlepas peluang tersebut maka untuk menantikan peluang yang lain tentunya memakan masa atau tiada peluang lagi. Kita berpeluang membangunkan SMKB, maka sama-samalah kita berjuang supaya apa yang kita sasarkan akan berjaya. Semoga jasa kita dikenang ibarat Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Kejayaan di SMKB adalah kejayaan kita bersama.
  6. InsyaAllah, Blog TERIMA KASIH CIKGU - yang kini sudah mempunyai satu objektif yang jelas akan diteruskan dengan memberi info-info berguna kepada masyarakat guru dalam memperkasakan profesion perguruan terutama di SMKB. Saya percaya dari pengalaman yang ada dan dari kursus-kursus yang saya hadiri akan saya paparkan supaya kita sama-sama dapat berkongsi ilmu.
  7. Bagi rakan-rakan saya di Alor Setar, Terengganu dan Cg Naimah - (Yang sama-sama mejadi JU- Jurulatih Utama Perdagangan bg Negeri Sarawak) yang terjumpa blog ini dan menghubungi saya, saya sangat-sangat gembira kerana nampaknya tidak terputus silaturahim antara kita walau di mana kita berada .

TERIMA KASIH CIKGU -

48. SELAMAT HARI IBU

SELAMAT HARI IBU KEPADA BONDA TERSAYANG HJH. RAHMAH BT HJ. YAACOB. SEMOGA ALLAH PANJANGKAN UMUR DAN DIMURAHKAN REZEKI. TERIMA KASIH BONDA KERANA MEMAHAMI DIRI INI DAN MELAYANI KAMI ADIK BERADIK DENGAN PENUH KASIH SAYANG YANG TIADA TERNILAI.


Gambar Keluarga Disember 2008

Belakang Dari Kiri, Nurul Nadhirah (Anak), Latifah Sa'da (Isteri), Saya, Asma Laili (Adik), Norilyani (Adik). Depan Dari Kiri, Mohamad Muzzammil (Anak), Hj. Mat Saad (Ayahanda), Hjh. Che Dah (Nenek) dan Hjh. Rahmah (Bonda). 2 orang adik lelaki yang tiada dalam gambar, Zainol dan Rosli.

"Semoga Allah Memberkati Keluarga ini dan Senantiasa Dalam Peliharaannya" Amin...

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.