PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Thursday, June 24, 2010

90. PERUBAHAN YANG DRASTIK..

Hari ini saya rasa sangat gembira dan sangat-sangat bersyukur, disamping sejuknya permulaan hari Khamis kerana hujan, sejuk lagi hati saya apabila melihat semua kelas berada dalam keadaan bersih dan terurus kecuali beberapa kelas yang masih lagi dalam peringkat permulaan ke arah mencari identiti tersendiri. Tahniah kepada semua guru tingkatan dan para pelajar yang telah memberi kerjasama dalam pengurusan bilik darjah.
Saya masuk semua kelas kecuali tingkatan 1 di blok makmal. Tidak sempat kerana ada urusan yang menunggu saya di pejabat. Saya yakin semua guru dan pelajar sangat-sangat memahami, bukan sahaja kehendak saya tetapi hak-hak kita sebagai manusia untuk mendapatkan persekitaran yang bersih dan selesa. Saya juga yakin dengan kelas yang bersih dan teratur ini pengajaran & pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Apabila P & P berjalan dengan lancar maka ilmu yang disampaikan dapat diterima oleh pelajar dengan sempurna.
Saya percaya guru-guru memahami BOS ( Blue Ocean Strategi ) atau ada yang menterjemahkannya sebagai Strategi Samudera Biru. Strategi ini menyatakan bahawa dalam business yang sama kita perlu mempunyai sedikit "sentuhan" kelainan supaya kita akan berjaya berbanding dengan syarikat yang satu lagi. Umpamanya Air Asia, Walaupun ia merupakan syarikat penerbangan yang baru ditubuhkan tetapi dengan strategi pemasarannya maka syarikat ini telah melonjak berbanding dengan syarikat penerbangan lain. Dengan strategi tambang murahnya, Air Asia membuat keuntungan yang berlipat kali ganda. Walaupun ada kritikan, orang ramai masih lagi memilih Air Asia dengan Mottonya "Everyone can fly".
Penerapan BOS dalam pengurusan pendidikan diharap dapat memberi kesan yang positif dan saya mengharapkan SMKB akan ada perubahan yang drastik. "Business" kita adalah sama dengan sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia dan sesama kita di sesebuah sekolah. Apa yang pasti adakah kita (guru) sebagai pengurus dapat memahami dan mempunyai "target" untuk diri sendiri bahawa kita kena buat yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk orang lain yang kita urus.
Tahniah sekali lagi kepada semua guru dan para pelajar. Semua ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membina SMKB kerana saya mula mendapat petunjuk bahawa saya mempunyai sokongan yang kuat dari guru-guru yang mempunyai keyakinan diri yang kental. Sama-samalah kita berusaha menjadikan SMKB sebagai sekolah contoh di Daerah Daro dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi.
TERIMA KASIH CIKGU

Tuesday, June 22, 2010

89. I LOVE ACCOUNTING, WE LOVE ACCOUNTING

I LOVE ACCOUNTING, WE LOVE ACCOUNTING - Inilah kata-kata hikmat yang ditanam oleh sahabat-sahabat lepasan Matrikulasi persediaan ke "oversea"- Australlia, semasa semasa study kat UUM. Oleh kerana kegawatan ekonomi mereka di hantar ke UUM, ambilan ke 3. Kami pelajar perakaunan tak ramai, kurang lebih 60 orang. Hubungan agak rapat, dan syukur FB telah menemukan sebahagian dari rakan-rakan lama.
Sepanjang semester pertama semua kertas perakaunan "drop" Langsung tak ambil. Demam. Tambah pula semua pensyarah UUM masa tu "Speaking" Mat Saleh. Yang melayu pun macam tak tau cakap melayu. Buku-buku rujukan perakaunan semua dalam BI. Buku dalam bahasa Indon ada, tapi lagi "kacau". Mau berhenti? bagaimana dengan "target salary" RM5000++ seperti sepupu sepipit tu. Nampaknya cita-cita nak jadi akauntan "musnah". Dulu Cg Mokhtar (Arwah) kata belajar di U senang lulus. Sekarang apa dah jadi. Nanti kena "kick out" malu dengan orang kampung. Tidur pun tak lena. Orang dah tidur, kita masih bersengkang mata nak memahami debit kredit.
Alhamdulillah, "Positif Thinking", telah membawa banyak perubahan. I LOVE ACCOUNTING. WE LOVE ACCONTING yang tertanam dalam diri akhirnya dapat juga mendapat segulung Ijazah. Iktibar yang dapat diambil ialah kita tidak boleh menganggap sesuatu perkara itu susah sebelum kita benar-benar mencuba. Ramai orang yang sedia membantu jika kita benar-benar mahu dibantu. Kepada dua orang sahabat Sarizal dan Mazlan, mahaguru silat accounting, terima kasih banyak-banyak. Saya percaya, para pelajar kita juga perlu ditanam dengan positif thinking ini. Kita perlu "mencintai" apa yang kita lakukan. Jika perasaan ini tidak ada maka kita tidak melakukannya bersungguh-sungguh dan cuba mengabaikannya, umpama adanya perasaan cinta kepada seorang gadis. Jika kita berminat, maka bersungguh-sungguh kita memikatnya dan menjadikannya permaisuri.

GURU KREATIF DAN INOVATIF

ACCOUNTING POEM

ACCOUNTING CIRCLE OF LOVE

( Kenangan dari seorang rakan semasa praktikal di Syarikat Majutani Keda, Kedah pada tahun 1990, Jalan Stadum. Alor Setar - Difahamkan sekarang sudah tiada lagi, telah ditutup )

I will debit your eyes
If your credit my love
I will post journal your account
To the ledger of my heart
I will bring down the balance
And double rule the amount
Balance will be extended
To the worksheet of our romance

Trial balance will show
We are meant for each other
Adjust entries …… my dear
We’ll make our love forever
Profit and loss statement
Tell us what will happen
If our balance of love
Will still be the same

Closing entries my dearest
Will lead us to heaven
Post closing trial balance
Connec trusted to be our guide
Accounting is finished my sweet
Let’s see our balance sheet
Does our balance sheet profit?
Oh! My…. Goodness! Goodness! Goodness!
Twelve little naughty kid !!!

Sunday, June 20, 2010

88. BOSS VS PEMIMPIN

Harian Metro - 19.6.2010 Edisi Sarawak.
Saya sangat bersetuju dengan kenyataan ini. Apabila kita dipanggil oleh kakitangan seliaan kita dengan panggilan ini seolah-olah semua keputusan di sesebuah organisasi adalah atas arahan Boss. Selain dari itu perasaan kita seolah-olah dipermain-mainkan oleh kakitangan dan ditambah lagi dengan kenyataan "Boss is always right", atau "The Boss Is Never Wrong".
H. Gordon Selfridge seorang Usahawan yang berjaya membuka pusat membeli belah yang terkemuka di Kota London berkata: Kejayaannya ialah ia sentiasa menjadi seorang pemimpin bukan BOSS.

Perbandingan yang diberikan oleh H. Gordon Selfridge antara seorang Boss dan seorang Pemimpin

  1. People will sit up and take notice of you if you will sit up and take notice of what makes them sit up and take notice.
  2. The boss drives his men; the leader coaches them.
  3. The boss depends upon authority; the leader on good will.
  4. The boss inspires fear; the leader inspires enthusiasm.
  5. The boss says "I"; the leader, "we."
  6. The boss fixes the blame for the breakdown; the leader fixes the breakdown.
  7. The boss knows how it is done; the leader shows how.
  8. The boss says "Go"; the leader says "Let's go!"
  9. The customer is always right.
    Terima kasih kerana panggil saya " CIKGU"

Wednesday, June 16, 2010

87. Are You A Leader?

Pemimpin dan kepimpinan tidak dapat dipisahkan dan seringkali dibincangkan dan tiada noktah kesudahan sejak dahulu lagi. Jika dilihat dari definisi yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji teori kepimpinan rata-rata bersetuju bahawa pemimpin "A leaders ability to influence people to proactively take actions necessary for realizing a positive outcome," Ia adalah penting untuk kejayaan sesuatu organisasi."influence" is NOT hammering an employee over the head to complete a task," dan pengaruh tersebut biarlah pengaruh konstruktif yang disertakan dengan kompentensi.

Semua orang di muka bumi ini adalah pemimpin, Pemimpin datang dan pergi, kadang-kadang dipuji, dicaci, diumpat, difitnah dan pelbagai tomahan dileparkan. Dan tidak semua pemimpin berjaya walaupun memimpin hidup dan keluarga sendiri. Namun begitu sesuatu yang sangat penting, seseorang pemimpin perlu ada Ilmu pengetahuan, mesti berkarisme dan menggunakan kuasa yang ada dengan sebaik mungkin. Semua orang adalah pemimpin, dan jika di Sekolah, bukan Pengetua dan Guru Besar sahaja pemimpin, Guru-guru juga adalah pemimpin kepada anak-anak muridnya. Guru-guru yang sangat dekat dengan anak-anak muridnya. Guru-guru yang dapat mempengaruhi anak-anak murid ke jalan kecemerlangan. Cemerlang di dunia dan Cemerlang di akhirat.

Penilaian orang kepada pemimpin adalah berbeza-beza antara satu sama lain, Menurut Ybhg. Profesor Dr. Jamil Hj. Hamali ada orang menilai pemimpin dari dari :

  1. Seyuman - ada pemimpin yang susah nak senyum dan kelihatan sombong dan bongkak. Ada pemimpin yang sangat manis dipandang serta manis tutur katanya dan menjadi idola kepada pengikutnya.

  2. Salam [ Berjabat tangan ] - Pemimpin juga dinilai melalui cara bagaimana ia berjabat tangan, Iklas atau tidak. Ada pemimpin yang memberi tumpuan kepada orang2 tertentu sahaja atau hanya kepada yang berkepentingan atau yang disukainya.

  3. Sikap - Ada pemimpin yang mengambil sikap acuh tidak acuh dalam pekerjaan, sikap tidak peduli dan ada pemimpin yang mengambil sikap yang positif. Sesuatu rancangan akan berjaya jika bekerja bersungguh.

  4. Bermaklumat / terancang - Ada pemimpin yang beilmu dan ada yang cukup apa yang ada. Jika ditanya, jawapan tidak tahu? Ini menjatuhkan maruah. Perkembangan semasa tidak diketahui. Perkembangan teknologi tercanggih. Jalur lebar tetapi akalnya sempit.

  5. Pakaian - Ada pemimpin yang dilihat segak bergaya dan ada pemimpin yang selekeh. Busuk, Pemalas dan Kedekut untuk diri sendiri.

Selain dari itu menurut beliau ada pemimpin yang selalu memberi pelbagai alasan alasan untuk mengelak dari melakukan pelbagai perkara yang diarahkan kepadanya.

  1. Kesihatan tak bagus - Mengelak dengan memberi alasan sakit, demam, batuk, asma dan sebagainya dengan harapan bukan dia yang melaksanakannya. Contohnya jika diminta mengahdiri kursus, pembentangan kertas kerja dan sebagainya.
  2. Tidak mempunyai kepakaran / tidak tahu / tiada pengalaman - Diminta menulis minit mesyuarat, tidak tahu? Diminta memasang PA Sistem, tidak tahu? Diminta itu dan ini, semuanya tidak tahu. Sedangkan yang diminta untuk dilaksankan adalah perkara yang senang tanpa mendapat didikan formal.
  3. Umur - Alasan ini juga sering digunakan. "Saya dah tua, 1 tahun lagi nak pencen, berikan sahaja pada orang lain," atau "Saya masih "fresh", baru sahaja lapor diri, saya tak tahu nak buat.
  4. Nasib - " Dari pengalaman saya, kalau saya pergi tentu kalah pasukan kita, suruh orang lain sahajalah yang pergi,"

Oleh itu pilihlah mana satu pemimpin yang dikehendaki oleh oleh kita. Sama ada,

  1. Pemimpin Siaran - Cakap sahaja tetapi tidak buat.
  2. Pemimpin Sinaran - Cakap dan melaksanakannya dengan cekap dan berkesan.
  3. Pemimpin Sialan - Cakap lain buat lain (Cakap Tak Serupa Bikin)

"Every leader is a boss. But every boss is not the leader. The boss is respected and obeyed because of his/her seniority. A leader is respected and looked up to as a example not only because of seniority but mainly because of the qualities of character and ability".

Monday, June 14, 2010

85. Seminar Kepimpinan Islam Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Pelajaran Sarawak 2010 7-9 Jun 2010

Semasa menerima faks pada 4 Jun 2010 supaya menghadiri seminar tersebut, rasa hati agak kecewa juga kerana niat untuk bercuti bersama keluarga terpaksa ditangguh lagi. Namun agak bernasib baik kerana seminar tersebut diadakan di Pusat Latihan Sarawak, Telaga Air Kuching. Dapatlah membawa isteri dan anak-anak bersama. Walaupun mereka tinggal di rumah abang isteri di Sungai Lumut dan saya di Pusat Latihan Sarawak, sekurang-kurangnya dapatlah bersama keluarga semasa perjalanan pergi dan balik ke Sibu.

Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di Pusat Latihan Sarawak. Perjalanan ke sana dari Bandaraya Kuching yang memakan masa kurang lebih setengah jam terubat apabila sampai di Pusat Latihan tersebut yang kelihatan sangat menarik. Sangat kondusif. Pemilihan tempat sangat sesuai. Sebenarnya, untuk mengadakan seminar atau kursus tidak perlu hotel mewah memadailah tempat seperti ini disamping dapat menjimatkan belanja.
Namun begitu ingin saya sarankan kepada pihak pengurusan Pusat Latihan Sarawak supaya memikirkan juga tentang keselesaan penghuni bilik yang dikatakan bilik VIP, dengan menyediakan pendingin hawa. Bukan untuk meninggi diri tetapi cuaca yang panas menyebabkan rasa rimas dan tidak selesa untuk tidur lebih-lebih lagi bilik yang kecil dan dihuni oleh 2 orang tetamu. Untuk mengurangkan kos utiliti, pihak pentadbiran boleh kenakan sedikit bayaran. Saya percaya pegawai-pegawai kanan yang berkursus di situ tidak keberatan untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk keselesaan.
Tahniah kepada SPI - Sektor Pendidikan Islam, khususnya Dr Azhar selaku pengurus seminar kerana menyediakan pembentang- pembentang kertas kerja yang sangat menarik dan memberi banyak info baru kepada pemimpin dalam mengurus dan mentadbir sekolah masing-masing.
Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah Cabaran Kepimpinan Pendidikan Dalam Pembangunan Ummah Oleh Ybhg. Profesor Dr. Jamil Hj Hamali, Cabaran Pendidikan Ummah Oleh YM Ustaz Baharuddin Mansur, Prestasi Pelajar Islam: Peranan Pemimpin Sekolah Oleh Tn. Hj Abdul Rahman Bolhassan, Penyertaan Belia Islam Dalam Pembangunan Negeri Sarawak Dari Unit Perancang Negeri Sarawak, Budaya Kerja Cemerlang dan Pemimpin Cemerlang Oleh En. Megat Mohamed Amin Bin Megat Mohd Nor dan kertas kerja terakhir pada 9 Jun 2010 ialah Cabaran Terhadap Akidah Umat Islam Oleh Tn. Hj. Ibrahim Hailee, pegawai dari JAKIM yang begitu bersemangat dan menarik perhatian peserta. Semoga SPI dapat merancang seminar seperti ini dari masa ke semasa dan memberi pendedahan seberapa banyak info supaya pemimpin-pemimpin Islam kita mempunyai semangat yang kental dalam melaksanakan tugas.



Majlis Penangguhan Seminar disempurnakan oleh: Ybhg. Datu Dr. Hj. Julaihi Hj Bujang, Pengarah Pelajaran Negeri sarawak


84. Hutang..

Macam tidak percaya bila masuk pejabat pagi ini 14 Jun 2010, di atas meja ada bungkusan pos laju. Bila dibuka, kad kredit dari Bank Rakyat. Pada hal suratnya pada 6 Mei 2010 menyatakan, dukacita pemohonan tidak dapat dipertimbangkan. Nampaknya pihak bank telah mengubah fikiran, permohonan akhirnya telah dipertimbangkan, setelah saya terpengaruh dengan kata-kata manis penaja kad tersebut di PPD, Mukah awal tahun ini dengan tawaran hadiah yang harganya tidak sampai RM10.00.
Walau apapun ini bermakna, kad kredit saya telah bertambah 1 lagi. Dan jika ia digunakan maka bertambahlah lagi beban hutang yang terpakasa ditanggung dan bila akhir setiap bulan, gaji terpaksa dipecah-pecahkan untuk membayar hutang piutang yang ada selain pelbagai bil untuk dua buah rumah di Sibu dan Kuarters di SMKB. Walaupun saya tidak suka berhutang tetapi hakikatnya terpaksa berhutang atas tuntutan dunia. Untuk membeli rumah, kereta, perabot bahkan nak kahwin dulupun terpaksa berhutang.
Islam mengharuskan seseorang itu berhutang terutamanya ketika berada dalam kesempitan hidup atau memerlukan bantuan kewangan untuk memenuhi tuntutan asas seperti tempat berlindung, makan-minum dan pendidikan anak. Namun, Rasulullah SAW tidak menggalakkan seseorang membiasakan diri dengan berhutang. Walau bagaimanapun jika kita berhutang, membayar hutang itu adalah wajib. kewajipan melunaskan hutang diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).
Saya pernah menolong rakan-rakan dan saudara mara yang minta pertolongan. Ada sahabat yang berhutang kerana terpaksa, anak sakit dan berjanji akan bayar esok tetapi lupa hingga hari ini. Ada saudara mara yang datang ke rumah bertangisan bagai tak cukup kain untuk mengelap air mata, minta hutang kerana api elektrik dan air dipotong tetapi lupa bila sudah menerima KWSP, Ada yang datang minta hutang kerana tiada tambang kapalterbang anak nak balik dari UUM ke Sibu untuk berhari raya tetapi lupa hingga sekarang walaupun anaknya sudah bergelar cikgu, ada yang datang menggeletar ketakutan kerana di kejar Ah Long tetapi lupa bila sudah jadi taukey kuih, Seorang sahabat Tuan Haji *** sanggup menyembah, minta hutang untuk selamatkan "business komputernya" yang hampir gulung tikar tetapi seringkali mengelak dari bertemu. Saudara mara yang berhutang ini juga tidak lagi datang ke rumah dan jika berjumpa di mana-mana sering mengelak. Jika sedikit dapatlah disedekahkan tetapi jika sudah beribu? Bagaimana? Allah sahaja yang maha mengetahui... Lembutnya hati orang yang hendak menolong tetapi kerasnya hari orang yang mahu membayar balik.
Orang-orang yang tidak membayar hutang mungkin terlepas daripada hukuman di dunia ini, tetapi mereka tidak terlepas daripada hukuman di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”
Justeru, saya mengingati diri saya dan sesiapa sahaja, kita harus mengelak daripada berhutang untuk memiliki harta benda yang bukan keperluan. Jika perlu juga berhutang, kita perlu tanamkan azam serta niat untuk membayarnya. Wallahualam..

Wednesday, June 2, 2010

83. Zon Tanjung Manis Tuan Rumah PSKPP dan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Daro 2010

SMK Belawai - Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran atau ringkasnya PSKPP dan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Daro tahun 2010 telah ditetapkan akan diadakan di Zon Tanjung Manis.
Satu mesyuarat telah diadakan di SMK Belawai pada 27 Jun 2010 lalu telah dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Daro, En. Awet Bin Gapor. Turut hadir ialah Penyelia Sekolah Daerah Daro, Cg Rahim Bin Rian, MGB, Pengetua SMK Belawai dan Pengerusi Zon Daerah Daro. Tarikh yang ditetapkan bagi PSKPP dan Sambutan Hari Guru ini ialah pada 2/3 dan 4 Julai 2010. Tiga hari berturut bermula hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

SMK Belawai di beri kepercayaan sebagai pusat semua kegiatan dan Majlis kemuncak, Majlis makan malan dan penyampaian hadiah akan di adakan SMK Belawai. Manakala bagi sukan dan permainan akan diagihkan kepada 5 buah sekolah yang ada di Zon Tanjung Manis.
Terima kasih PPD Daro kerana memberi kepercayaan kepada kami sekolah-sekolah di Zon Tanjung Manis yang terdiri dari SMK Belawai, SK Abang Buyuk, SK Abang Galau, SK Abang Gesa dan SK Tanjung Manis sebagai tuan rumah kali ini. Semoga majlis ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Kerjasama semua guru di Zon ini sama ada dari Sekolah Menengah dan semua guru sekolah rendah adalah sangat penting bagi menjayakan majlis ini - sekian

Ahli Majlis Mesyuarat Bergambar Beramai-ramai bersama PPD Daerah Daro Cg Awet Bin Gapor di Dataran Ilmu SMK Belawai sebelum bertolak pulang ke kawasan masing-masing.


TERIMA KASIH CIKGU

Tuesday, June 1, 2010

82. Tak pasal-pasal cari pasal...

Saya baru saja terbaca dalam Fb rakan - Cg Aseng Kuman tentang satu cercaan keatas Bangsa Melanau oleh seorang yang tidak jelas latarbelakangnya. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam masa kerajaan mahukan semua rakyat bersatu dengan slogan 1 Malaysia. Kita perlu hidup dalam keadaan rukun damai dan dalam keadaan hubungan kaum yang harmonis. Dengan kebiadaban yang ditunjukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab ini, sedikit sebanyak telah menimbulkan keresahan dan rasa marah kepada sesiapa sahaja yang berbangsa Melanau atau bangsa-bangsa lain yang dicemuh, lebih-lebih lagi jika identiti sipenulis dikenalpasti nama dan bangsanya.

Perkara ini bukan suatu yang baru, sebelum ini pun dalam kotak shoutmix blog sekolah ada orang yang berbuat begitu. Banyak kata-kata yang saya sendiri pun tidak sanggup menulis di sini yang mencemuh dengan perasaan rasa sakit hati yang meluap-luap. Ustaz Rozaidi Abd Rahman ketika itu yang mengendalikan blog sekolah memaklumkan kepada saya dengan bukti cetakan kenapa kotak shoutmix perlu ditiadakan. Saya percaya orang yang berbuat demikian mungkin bermasalah dengan rakan, guru atau sesiapa sahaja tetapi kemarahan itu ditujukan kepada bangsa tersebut. Sepatutnya selesaikan sahaja antara mereka bukannya mencemuh sebegini.

Isteri saya juga berdarah Melanau. Bapanya berasal dari Kampung Jemoreng, Matu. Walaupun dilahir dan dibesarkan di Sibu, apabila saya tunjukkan gambar di atas rasa marah tidak dapat disembunyikan lagi. Tentunya ada komen tertentu kepada orang seperti ini.

Sebelum ini saya ada dengar "Joke" daripada rakan-rakan, tetapi sekadar dengar sahajalah. Saya yakin setiap bangsa pun ada cerita disebaliknya, tetang asal usul nama sesuatu bangsa itu. Sama ada bangsa Cina, India, Melayu, Iban dan lain-lain. Cerita ini bukan cerita benar tetapi sengaja direka-reka secara spontan dan untuk main-main atau tujuan bergurau sesama sendiri, tetapi bukan bertujuan menyakiti hati mana-mana bangsa. Kita tahu, bangsa bumiputra di Malaysia adalah datangnya dari rumpun yang sama, kecuali Orang Asli dan mereka yang datang di Malaysia pada zaman perkembangan Bijih Timah dan Getah yang dibawa masuk oleh penjajah.

Izinkan saya berkongsi cerita (Bukan cerita sebenar tetapi yang saya dengar sebagai cerita jenaka sahaja asal usul bangsa Melanau). Tidak bertujuan mengaibkan sesiapa, sekadar mengatakan cerita-cerita begini memang ada diceritakan oleh masyarakat lain. Begitu juga kita sendiri, sudah tentu ada cerita tentang orang lain dari persepsi kita sendiri.
Pada suatu masa dahulu ada sekumpulan manusia di Sarawak yang sangat cintakan laut. Ada antara mereka yang tinggal dipesisir pantai dan ada yang tinggal di dalam kapal di laut. Yang tinggal di laut sangat jahat dan mereka suka merompak, mencuri dan sebagainya, perangai mereka seolah-olah macam lanun. Golongan ini tidak disukai oleh pemerintah Sarawak pada ketika itu (Zaman pemerintahan Rajah Brooke) dan mereka ini selalu diburu.
Golongan yang tinggal di persisir pantai pula sangat iri hati dengan Orang Melayu kerana bangsa ini dikatakan sangat disayangi oleh pemerintah kerana sikap lemah lembut dan senang ditadbir serta tidak menimbulkan banyak masalah. Sehinggalah suatu ketika, orang-orang yang tinggal di laut dan di persisir pantai berpakat, bersatu untuk berperang dengan askar pemerintah dengan harapan boleh menang. Malangnya selepas berhari-hari berperang, malah berlarutan berminggu-minggu, ramai yang telah mati ditembak oleh askar pemerintah. Apabila sudah ada tanda-tanda akan kalah dan untuk mengelakkan golongan ini pupus, mereka telah berpakat untuk menyerah diri.
Untuk mengelak diri dari ditembak semasa menyerah diri mereka pun menjerit beramai-ramai berulangkali" We Are Malay Now, We Are Malay Now...", Askar pemerintah terpinga-pinga dan bertanya, "What? You Are Malay Now? Lalu mereka menjawab lagi, "Yes We Are Malay Now...", Oleh kerana orang-orang ini mengaku bahawa mereka sekarang adalah berbangsa Melayu, dan bangsa ini disayangi oleh pemerintah, maka askar-askar ini mengambil keputusan sendiri menamatkan peperangan dengan orang-orang ini.
Tindakan memberhentikan oleh peperangan diketahui oleh pemerintah dan orang yang bertanggungjawab dipanggil. Apabila ditanya oleh pemerintah kenapa peperangan dihentikan, dengan segera dia menjawab, "They Are Malay Now", mereka sekarang adalah Melayu, pemerintah tidak bermusuh dengan bangsa ini. Maka peperangan perlu dihentikan. Mereka adalah "Malay Now". Lama kelamaan bila disebut berulang-ulang kali, akhirnya wujudlah perkataan "Melanau".
Seperti yang saya sebutkan tadi, jangan mempercayai cerita ini. Saya mohon maaf pada semua rakan-rakan berbangsa Melanau jika tersentuh. Kita lama bekerja bersama-sama untuk mencapai impian, untuk maju kehadapan. Jangan hiraukan apa yang orang lain kata. Marilah kita berusaha kearah kecemerlangan.
Saya percaya bangsa Melanau adalah satu bangsa yang sangat unik, sangat berpegang teguh kepada kekeluargaan, Saling hormat menghormati antara satu sama lain, walaupun berlainan agama, ada yang Islam, Kristian atau yang "Likau" tiada agama. Mereka dapat hidup bersama-sama dalam satu bumbung dengan mengenepikan perbezaan agama yang menjadi masalah besar. Seorang rakan yang saya kenali (Nama dirahsiakan) dan sangat dihormati oleh masyarakat telah mengizinkan anak lelakinya berkahwin dengan seorang guru agama dari Semenanjung.
Sikapnya amat terpuji. Bahkan ia berpesan kepada anaknya, jika kamu mahu menjadi seorang Islam, kamu perlu mendalami agama itu seperti mana mereka yang sudah lama dalam agama itu. Kebetulan sepupu saya Wan Bushra Wan Yusuf yang juga mengenali beliau, kerana sering berulang-alik membuat Audit dari Putrajaya, selalu memuji sikap beliau kepada saya. Begitu juga dengan rakan yang banyak menolong saya semasa mula-mula sampai ke Mukah pada tahun 1993 Mr.K (Bukan nama sebenar- Bukan Islam) yang seringkali menghantar emaknya ke Mekah.
Seperti yang dikatakan oleh PPD Mukah, Cg Abd Wahab Sapawi semasa Mesyuarat Pengurusan Pendidikan 1/2010 pada awal tahun ini, Orang-orang Melanau sebenarnya adalah satu bangsa yang mempunyai IQ yang sangat tinggi. Jika dilihat kepada pencapaian akademik, Bahagian Mukah telah memperlihatkan peningkatan yang sangat mendadak berbanding Bahagian lain. Oleh itu kita perlu yakinkan para pelajar tentang kebolehan dan potensi diri mereka. Malah Pejabat Pelajaran Bahagian Mukah telah menerima berbagai anugerah dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekarang matlamat kita di Bahagian Mukah, Kita berazam supaya Jabatan Pelajaran Bahagian Mukah - Yakni Daerah Mukah, Dalat dan Daro nanti akan menjadi Bahagian contoh kepada bahagian-bahagian lain Di Malaysia. InsyaAllah.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.