PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, August 30, 2011

203.Selamat Menyambut Merdeka Raya


Gambar Hiasan : Carian google
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin

Hari ini adalah hari kemenangan bagi umat islam. Dari malam tadi berkumandang puji-pujian kepada Allah SWT dari umat Islam di seluruh masjid, di TV dan dicorong-corong radio. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan kita dengan Ramadhan dan Syawal kali ini, walaupun bagi sesetengah orang hanya tahu akan 2 bulan Islam ini sahaja. Buat pertama kalinya juga dalam sejarah Allah SWT telah menunjukkan kepada kita kebesaran dan keagungannya, mempertemukan kita 2 perayaan besar iaitu sambutan Hari Raya Idulfitri dan Sambutan Kemerdekaan Tanahair  ke 54 dalam masa selang sehari. Ada yang menamakannya sebagai Merdeka Raya. Sebelum ini juga Allah SWT telah mempertemukan kita dengan perayaan-perayaan  dari agama lain, semua ini adalah atas kehendaknya juga.

Saya percaya bahawa semua umat Islam yang bertaqwa sayang untuk meninggalkan Ramadhan kecuali yang langsung tidak mengendahkan bulan mulia ini. Bagi yang berniaga, bulan ini adalah bulan rezeki. Banyak keuntungan diraih tidak kita pakaian, makanan, perhiasan dan sebagainya. Dari sebelum bulan Ramadhan lagi gedung-gedung perniagaan dipenuhi orang ramai bagi persiapan hari raya. Tidak kurang juga belum pun berpuasa sudah ada iklan untuk hari raya. Sehingga saat pengumuman semalam pun ramai lagi antara kita yang masih lagi belum habis untuk membeli itu dan ini, ada saja yang belum cukup.

Bagi yang menggunakan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah, beruntunglah mereka. Bertambah beruntung bila ada antara umat Islam yang Allah mempertemukan mereka dengan malam yang terbaik iaitu malam Lailatulqadar. Betapa Indahnya Islam, keseronokan Ramadhan dengan pelnagai pesta makanan dan pelbagai juadah yang tidak ada dibulan-bulan yang lain hari demi hari telah membuatkan umatnya langsung tidak sedar telah genap sebulan berpuasa. Bahkan digandakan lagi oleh Allah SWT bagi mereka yang suka mencari keredaannya dengan 6 hari berpuasa pada bulan Syawal yang pahalanya berlipat ganda, MasyaAllah..

Sempena Hari Raya pada hari ini, marilah sama-sama kita menyambutnya dengan penuh kesederhanaan dan penuh kesyukuran. Saya yakin pada masa sekarang semua guru-guru SMK Belawai, para pelajar dan semua warganya sedang memakai baju baru dan bersedia untuk ke Masjid untuk sama-sama menunaikan solat sunat Idulfitri, begitu juga semua rakan-rakan yang membaca tulisan dalam blog ini. Satu perkara yang saya selalu pesan ialah walau di mana sahaja kita berada pada ketika ini, jagalah kesihatan dan keselamatan. Jangan terburu-buru, langkahlah dengan yakin, penuh bertimbangrasa, berbudi bahasa dan bersopan. Berhemahlah, bermaaf-maafanlah semasa kita. Berkunjunglah ke rumah rakan-rakan dan sanak saudara untuk mengeratkan lagi silatulrahim..

Mereka adalah pejuang kemerdekaan. Jangan pertikaikan pengorbangan mereka
Bersyukurlah kita hidup dibumi bertuah ini dengan harmoni dan penuh kemakmuran.
Isilah kemerdekaan ini dengan perkara yang berfaedah yang tidak menyinggung mana-mana pihak.
Sempena Hari yang Mulia dan penuh keberkatan ini saya mengambil kesempatan mengucapakan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Terima kasih kepada semua rakan taulan yang telah SMS sejak dari petang semalam. Saya ingin menjadi orang yang pertama mengucapkan Selamat Hari Raya, tetapi anda telah mendahului saya. Terima kasih, semoga Allah sahaja yang membalas kebaikan anda. Sekali lagi Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan Selamat Menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan ke 54. Wassalam...

Tuesday, August 23, 2011

202.Tidur itu Ibadah

Syukur, dengan siapnya jalan raya yang menghubungkan Sibu dan Tanjung Manis, dapat saya berulang alik dari sekolah menjengok keluarga dari masa ke semasa. Namun perjalanan yang agak lama lebih dari 100 kilometer itu membuatkan rasa bosan, lebih-lebih lagi memandu keseorangan. Masa yang diambil saya memandu ke sekolah ialah 1 jam 15 minit. Untuk sampai ke sekolah pada 6.45 pagi, saya bertolak dari rumah jam 5.20 pagi atau paling lewat 5.30 pagi. Tetapi kadang kala terlewat juga kerana keadaan jalan yang berkabus dan dihalang oleh keadaan jalan yang sudah mula rosak dan sedang di baiki.

Gambar Hiasan
Untuk ulang alik setiap hari memang tidak mustahil, tetapi kini ada satu masalah yang saya tidak dapat elak ketika memandu. Pernah suatu hari dalam bulan Ramadhan ini saya terpakasa berhenti di tepi jalan untuk melelapkan mata, sebelum meneruskan perjalanan. Memang isteri di rumah risau, manakan tidak “handphone” tidak dapat dihubungi. Syukurlah setakat ini tiada apa-apa halangan dan selamat sampai kedestinasi walaupun pun pernah sekali terbabas di tepi jalan kerana terlalu mengantuk.

Memandu dalam keadaan mengantuk memang amat merbahaya. Tangan yang memegang stereng biasanya tidak stabil. Dalam keadaan mengantuk pandai pulak tangan memusing stereng ke kanan atau ke kiri. Mata pula tiba-tiba saja terlelap dan terjaga dengan keadaan terkejut. Walaupun sudah melakukan sedikit senaman jari dan tangan, dan menarik nafas panjang, jika mengantuk sudah menguasai diri, jalan yang paling selamat ialah saya mesti berhenti dan tidur. Atau jika ada kawasan rehat, berhenti untuk minum atau berjalan-jalan bagi menghilangkan mengantuk.

Banyak kemalangan berlaku kerana kes mengantuk. Ekoran masalah ini kerajaan Amerika telah menubukan sebuah Yayasan Tidur Negara atau National Sleep Foundation untuk mengkaji masalah ini. Pada tahun 1995 Jabatan pengangkutan Amerika melaporkan 100,000 kemalangan disebabkan masalah tidur. Suruhanjaya Khas berhubung masalah tidur pula melaporkan masalah tidur boleh menjejaskan produktiviti Negara. Dikatakan juga, kemalangan yang melibatkan kapal tangki minyak Exxon Valdez (1989), World Prodigy (1989), kemalangan kapal terbang tentera DC-8 di Guantanamo Bay, Cuba dan Tragedi Kapal Angkasa Challenger adalah kerana masalah mengantuk. ( sumber : Dr Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden)

Gambar Hiasan.
Melayan rasa mengantuk semasa dalam perjalanan
Tidur adalah satu Ibadah. Tidur adalah hak badan. Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad pernah berkata, “Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk , hendaklah dia tidur untuk menghilangkan rasa mengantuk. Apabila seseorang meneruskan solat ketika mengantuk kemungkinan ketika sedang membaca istighfar tanpa disedari dia mengutuk dirinya sendiri”.

Tidak cukup tidur akan mengundang masalah. Pelajar yang tidur lambat akan mengantuk di sekolah. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ini, semua antara kita yang kelihatan keletihan dan mengantuk. Ditambah pula dengan musim peperiksaan sekarang, ramai pelajar yang tidak dapat menjawab peperiksaan dengan baik kerana melayan mata yang mengantuk. Jawapan yang diberikan ala kadar dan memilih untuk tidur dengan menekap muka dimeja. Aktiviti remaja di rumah dengan mengabaikan waktu tidur boleh mendatangkan kesan yang tidak baik tentang prestasi pelajaran mereka. Bukan mereka tidak dapat dapat menjawab tetapi keadaan mengantuk membuatkan mereka malas untuk berfikir. Menurut satu kajian. Tidur lewat boleh menjejaskan pusingan biologi seseorang.

Saya pernah menegur seorang guru yang datang lewat ke sekolah. Katanya, sehingga kini dia tidak dapat mengatasi masalah tidak sedar tidur. Walaupun ada jam loceng dan dikejutkan oleh rakan-rakan tetapi masih tidak dapat membuka mata. Apa yang berlaku, masa untuknya menghabiskan pengajian 4 tahun terpaksa ditunda sehingga 8 tahun. Pada mulanya saya kurang percaya. Setelah diteliti fail peribadinya, ternyata kata-katanya benar. Harapan saya dalam masa beliau masih muda ini, jangan pula dia tidur, sehingga langsung tidak sedar dan langsung tidak bangun-bangun. Tetapi bagaimana pula jika ada guru yang tidur dalam kelas?...

Friday, August 19, 2011

201.Merdeka Menyambut Kemenangan Ramadhan


Suasana sehari sebelum Idulfitri 2010 di Kuala Sungai, Sungai Baru Kedah
Suasana yang tidak dapat lupakan bila tibanya Hari Raya walau di mana sahaja berada

Keputusan adalah muktamad. Tahun ini saya sekeluarga akan menyambut Hari Raya Idulfitri di Sibu. Permintaan sanak saudara di sebelah sana tidak dapat dipenuhi. Sudah 2 tahun berturut-turut bersama keluarga di sana, tahun ini giliran di Sibu pula. Bagi diri saya tidak ada masalah, di mana saja boleh. Di sana keluarga, di sini pun keluarga, tetapi bila melihat rakan taulan sibuk membuat persediaan untuk balik ke kampung, terasa juga. Lebih-lebih lagi ada yang sudahpun menempah tiket, membuat tempahan kek lapis Sarawak dan sebagainya. Saya sudah membuat pilihan, jodoh di seberang Laut Cina Selatan, maka singkatnya, sama-sama berkorbanlah..

Wajah anak-anak yang riang gembira
Tertekan.. jika sesuatu tidak diingini berlaku kpd mereka
Minta dijauhkan Allah SWT
Saya percaya ramai rakan guru dan umat Islam yang lain juga sudahpun bersedia dengan cara tersendiri. Sama ada untuk berhari raya di Kampung Isteri atau suami. Ada yang dekat dan ada yang akan membuat perjalanan jauh. Bagi yang akan membuat perjalanan jauh menggunakan kenderaan awam, tempahlah tiket awal-awal. Saya yakin, ramai guru-guru semenanjung yang mengambil keputusan untuk pulang berhari raya sudahpun menempah tiket awal-awal sama ada Air Asia ataupun MAS. Ada yang sudahpun mempunyai tiket beberapa bulan lalu dengan harga yang lebih murah, berbanding dengan saat-saat terakhir sekarang yang harganya semakin melambung. Jika tidak bernasib baik kemungkinan semua tiket habis dijual.

Saya pernah naik bas Syarikat Ini 2 kali
Dari KL (Jalan Duta) ke Alor Setar Jam 12.45 malam
Berkenalan dengan pemandunya En Adzli -
Sangat peramah dan berhemah
Begitu juga rakan-rakan lain walau di mana sahaja berada, rancanglah perjalanan. Sama ada untuk menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan awam. Bagi yang sudah membuat keputusan menggunakan bas, ambillah tiket lebih awal. Jangan sampai kita tertipu oleh ulat-ulat atau sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab dan mengaut keuntungan keatas kita. Pilihlah kenderaan awam yang difikirkan terbaik sama ada bas, keretapi dan sebagainya. Biarlah kita sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat. Ramai orang tersayang, ibu, ayah, abang, kakak dan adik beradik yang lain menanti kita untuk menyambut hari mulia bersama-sama. Jangan pula di hari yang sangat-sangat dinantikan oleh umat Islam itu kita terkandas di Terminal Bas atau di mana mana sahaja sedangkan orang lain mula memenuhi masjid, kita masih di dalam perjalanan.

Bagi yang telah mengambil keputusan menggunakan kenderaan sendiri. Masih ada masa untuk “servis” kereta masing-masing. Pastikan kenderaan kita selamat untuk seisi keluarga. Pastikan system breknya bagus, semua lampu berfungsi dengan baik, air tidak berkurang, baterinya bagus dan sebagainya dalam keadaan yang amat memuaskan. Baliklah lebih awal supaya tidak berebut-rebut dengan orang lain. Rancanglah masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan. Berhenti bila mengantuk di kawasan selamat. Jika di semenanjung gunakan tempat rehat R & R yang di sediakan di Lebuh Raya, Jika di Sarawak berhentilah di mana ada tempat berhenti yang disediakan.  

Berehatlah seketika jika dalam keletihan. Elakkan berlumba-lumba dengan kenderaan lain. Ada rakan saya yang berpendapat jika berlumba-lumba seperti itu mengelakkan mengantuk. Saya amat tidak bersetuju dengan teori ini. Biarlah kita lambat asalkan kita selamat. Ingatlah di dalam kenderaan yang kita pandu, kita bukan keseorangan tetapi kita bersama-sama dengan keluarga. Kesilapan yang kita buat akan ditanggung oleh seisi keluarga. Renungilah muka isteri dan anak-anak. Mereka tidak bersalah. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini biarlah kita bersabar, bertimbang rasa, sopan santun dan hormat menghormati. Jangan biarkan rasa marah, bengis dan rasa bangga diri kita mengatasi segalanya yang akhirnya kita yang menanggung kerugian.

Bagi yang menunggang motosikal, pastikan motorsikal berada dalam keadaan baik. Gunakan topi keledar yang disahkan oleh SIRIM. Pakai pakaian yang cerah. Pandulah di lorong yang betul.  Elakkan membawa motosikal dekat dengan kenderaan besar. Jangan berlumba, pandulah dengan cara yang betul dan selamat.

Semoga perjalanan kita ke destinasi masing-masing selamat dan dilindungi Allah SWT. Walau dengan apa cara sekalipun sama ada melalui udara, laut, sungai atau jalan raya, saya sentiasa doakan perjalanan kita semua selamat. Elakkan kemalangan yang sering berlaku di musim-musim perayaan seperti ini. Saya sudah mengalami kemalangan sama ada motorsikal atau kereta. Saya sangat-sangat takut akan kemalangan ini. Beberapa kemalangan yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini, semasa mereka pergi dan balik untuk membuat persiapan hari raya sangat-sangat menyedihkan. Pada masa yang sepatutnya kita bergembira, keluarga kita menanggung kesedihan yang amat sangat. Lebaran yang sepatutnya disambut dengan gelak ketawa, usik mengusik, bertanya khabar, bermaaf-maafan bertukar dengan tangisan dan air mata. Kemenangan melawan hawa nafsu dan dalam suasana Malaysia menyambut kemerdekaan sudah tidak bermakna bagi mereka yang di tinggal di atas muka bumi ini...

Sama-samalah kita berusaha merdeka dari apa-apa bencana di Ramadhan ini. Rancanglah dengan betul dan Bertawakkal...

Saya juga berpesan kepada diri saya sendiri yang kadangkalanya alpa...

Kenyataan Gambar:
Bergambar kenangan bersama dengan keluarga selepas solat sunat Idulfitri 2010 di perkarangan Masjid Zahir Alor Setar.

Sultan kedah sibuk bersalaman dengan rakyat jelata selepas solat..

Bergambar kenangan bersama nenek yang kembali ke rahmatullah pada 7 April 2011. Syukur dapat bersama beliau pada 2010.. Al-fatihah


Friday, August 12, 2011

199.Ucapan Perasmian Ihya Ramadhan 2011

.
Datuk Hajjah Norah Tun Abd Rahman
Menyampaikan Ucapan tanpa menggunakan teks
Menulis dan memberi ucapan untuk sesuatu majlis bukan suatu perkara mudah, terutamanya mereka yang jarang-jarang diberi tugas untuk ke depan sama ada merasmi sesuatu majlis atau memberi taklimat. Itu tidak termasuk menyampaian ucapan di depan orang ramai atau penonton. Seperti kata seorang pengetua semasa diminta memeberi ucapan sempena persaraannya di Bintulu, “sudah lebih 20 tahun saya berucap di hadapan pelajar, dan orang-orang besar yang dating ke Sekolah tetapi hari  ini saya rasa amat gementar. Tidak tahu kenapa saya rasa begitu..”

Dalam ingatan saya, semasa di tingkatan 5 saya telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Semasa mengadakan mesyuarat saya langsung tidak dapat berkata apa-apa dan ditertawakan oleh rakan2. Semuanya tidak menjadi walaupun apa yang hendak dicakapkan telah tertulis. Memang bernasib baik ketika itu guru pengawas bertindak sebagai penyelamat. Namun, lama-kelaman masalah ini dapat diatasi dan mesyuarat dapat dijalankan walaupun tanpa kehadiran guru. Saya yakin semua ini dapat dilakukan dengan adanya latihan dan selalu dijemput ke pentas.

Dalam pada itu, ada juga rakan-rakan kita yang dapat menyampaikan ucapan dengan penuh yakin, bernas dan idea-idea barunya mendapat perhatian yang mendalam daripada orang ramai. Tidak kurang juga ada yang yakin, bernas dan idea-idea yang disampaikan langsung tidak mendapat perhatian kerana cara penyampaian yang hambar dan tidak menarik. Ada juga yang menggunakan teks yang sama saban tahun dengan sedikit perubahan. Dan ada yang terkantoi kerana apa yang dibaca dapat dikesan oleh pendengar, teks tersebut adalah teks tahun2 lepas yang langsung tidak diberi nafas baru.

Buat pertama kalinya teks ucapan saya untuk perasmian Program Ihya Ramadhan 2011 disediakan oleh Panitia Pendidikan Islam. Saya sendiri memohon supaya disediakan kerana, kemungkinan besar ada sesuatu yang saya terlepas pandang untuk dinyatakan dalam ucapan perasmian tersebut. Terima kasih kepada Ustazah Dayang siti yang sanggup memerah otak menyediakan teks tersebut. Maaf ucapan yang sampaikan, memang banyak penambahannya.

Dalam N3 ini saya selitkan teks ucapan tersebut (asal) untuk dikongsi bersama sebagai rujukan atau  ada sesiapa yang memerlukan dalam sebarang keadaan…

*********************

Terima kasih pengerusi majlis, Yang dihormati Penolong kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Ko-k, Ketua Warden, Ketua Guru Disiplin, Guru Cemerlang, Guru-Guru Kanan, Guru-guru dan para pelajar yang disayangi.

Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan segala alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya, Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang meneruskan tugas sebagai hamba Allah untuk melaksanakan amalan kebaikan di muka bumi ini. Semoga dengan apa yang dilaksanakan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan mendapat keberkatan dan keredaanNya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Panitia Pendidikan Islam mengadakan satu Program untuk meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang dinamakan Program Ihya Ramadhan. Program Ihya’ Ramadhan yang membawa maksud “menghidupkan Ramadhan” yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan, Objektifnya adalah untuk menggalakkan warga SMK Belawai supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan secara konsisten (Istiqamah) dan berdisiplin.

Seperti mana yang kita sudah ketahui, bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang mulia berbanding dengan bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan. Selain itu, bulan Ramadhan juga dinamakan Al-Mubarak yang bermaksud bulan yang penuh dengan keberkatan di mana semua umat Islam diberi peluang untuk melipat gandakan pahala dengan menunaikan amalan-amalan wajib dan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ini.

Antara amalan yang wajib dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini adalah berpuasa dan membayar zakat fitrah dan antara amalan sunat yang sangat digalakkan untuk melakukannya ialah solat Trawith, bertadarus / membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail, beriktikaf, memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristigfar. Sepanjang bulan puasa juga kita disarankan untuk menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (Perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesunggungnya aku berpuasa! [HR: Muslim]

Sejajar dengan itu semua warga SMK Belawai khususnya semua guru dan pelajar adalah dialu-alukan untuk menyertai beberapa aktiviti yang telah dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam sepanjang bulan Ramadhan ini seperti Solah Tarawith Berjemaah, Tadarus Al-Quran, Moreh Ramadhan, Belaian Anak Yatim dan Salam Ramadhan.

Walaupun pada waktu siang kita berpuasa dan masa kita diisi dengan belajar, bekerja dan malamnya diisi dengan pelbagai amalan sunat seperti solat sunat terawith, para pelajar diingatkan supaya mengekalkan prestasi pelajaran walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Jangan jadikan alas an berpuasa untuk membolehkan para pelajar tidur dan tidak focus semasa P & P serta aktiviti harian lain biasa dilakukan pada bulan-bulan yang lain. Perlu diingatkan juga minggu peperiksaan sudah dekat dan pada bulan ramadhan inilah semua pelajar khususnya pelajar-pelajar kelas peperiksaan sepatutnya mengambil peluang memperbanyakkan doa kerana doa orang-orang yang berpuasa dimakbulkan. Nabi Muhammad S.A.W menyebut tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [ HR:At-Tirmizi]

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam kerana berjaya menganjurkan majlis pelancaran Program Ihya Ramadhan pada kali ini dan semoga kita berjumpa di lain masa. Saya mengucapkan selama meneruskan ibadah puasa Ramadhan Al-Mubarak ini. Semoga segala amal ibadah dan jariah yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan yang mulia ini akan diterima dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Dengan lafaz Bismillah….. saya merasmikan Program Ihya Ramadhan tahun 2011

Sekian, Wabillah…

Thursday, August 11, 2011

198.Ramadhan Bulan Bonus


Semasa saya bersama keluarga bersarapan  di sebuah Kedai makan sehari sebelum bermulanya Ramadhan di hujung kampung Datuk Sibu, saya diberitahu oleh seorang rakan ada seorang hamba Allah di Kampung tersebut baru sahaja meninggal dunia. Tiba-tiba sahaja hati saya merasa sayu mengenangkan, dalam kesibukan umat Islam bersiap sedia menyambut Ramadhan beliau telah dipanggil meninggalkan kita menemui penciptanya. Semasa di Kampung dahulu, masih dalam ingatan saya, Arwah Ustaz Chik, Imam masjid Kampung Sungai Baru Tengah selalu mengingatkan jemaah, kita perlu banyak bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan Ramadhan kali ini. Oleh itu gunakan Ramadhan kali ini sebaiknya kerana belum tentu kita akan dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang.

Ramadhan adalah “bulan bonus” kepada umat Islam. Bagi yang “bertakwa” kepada Allah dan mencari keredaan Allah dengan beribadat maka berbahagialah ia dengan ganjaran yang dijanjikan. Bukan itu sahaja Allah juga menjanjikan satu malam yang terbaik iaitu malam Lailatul Qadar. Dalam pada itu juga dalam bulan penuh keberkatan ini, Allah menggandakan kepada umat islam rezeki yang berganda terutamanya bagi penjawat awam, “bonus” seperti yang diumumkan oleh YB Perdana menteri. Rezeki yang di berikan Allah tersebut juga bukan hanya untuk umat Islam tetapi, orang-orang bukan Islam juga dapat menikmatinya.

Sudah 11 hari termasuk hari ini kita menunaikan ibadah puasa. Saya belum lagi mendengar ada pelajar yang makan dan minum di kawasan sekolah. Tidak pasti ia disebabkan “amaran” awal yang saya berikan di dalam perhimpunan. Tetapi saya yakin bahawa semua pelajar mempunyai nilai diri yang sangat baik iaitu sama-sama “menghormati” bulan mulia ini dengan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Walaupun tidak berpuasa disebabkan “uzur”, tetapi janganlah makan dan minum secara terbuka sehingga rakan-rakan yang bukan Islam melihat, kita sedang mempermainkan agama kita sendiri. Semoga keadaan ini akan berkekalan sehingga berakhirnya Ramadhan.

Beberapa orang pelajar sedang mempersembahkan
Nasyid sempena perasmian Ihya'Ramadhan
Tahniah diucapkan kepada panitia Pendidikan Islam yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai program sepanjang bulan mulia ini. Majlis perasmian program pada pagi semlam 9 Ogos bersamaan 9 Ramadhan,  walaupun secara ringkas dan sederhana dilihat sebagai yang terbaik dalam usaha mewar-warkan kepada semua warga sekolah terutamanya pelajar demi pembentukan sahsiah dan jati diri. Program yang diatur sejak bermulannya Ramadhan, bertadarus Al-Quran, moreh, Infaq Ramadhan, bersembahyang berjamaah pada setiap hari Rabu menggantikan aktiviti KoKurikulum, meraikan anak-anak yatim dan sebagainya diharap dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelajar.

Dalam keletihan dan kehausan saya masih dapat mendengar suara guru-guru mengajar dengan penuh tanggungjawab. Lantangnya suara bersemangat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Ramai juga guru-guru yang mengambil inisatif mengadakan kelas tambahan pada sebelah petang. Semoga usaha guru-guru ini akan membuahkan hasil yang lumayan seperti yang dijanjikan Allah SWT. Bukan sahaja ganjaran pahala dalam bulan penuh berkat ini tetapi kita sangat-sangat berharap keberkatan Ilmu yang diajar oleh para guru ini akan diingati oleh semua pelajar untuk dicurahkan dalam dewan peperiksaan, terutama bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM nanti.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga tahun ini SMK Belawai lebih hebat dari tahun sebelumnya kerana doa orang yang berpuasa itu akan sentiasa dimakbulkan Allah. Jauhilah sifat boros berbelanja, boroslah bersedekah..

Wallahuaklam..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.