PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Wednesday, April 27, 2011

181.Majlis Penganugerahan Pangkat Komandan KRS/TKRS

MUKAH : SELASA , 26 April 2011

Pengarah menyampaian amanat dan perasmian
Barisan tetamu yang hadir
Hari ini merupakan hari yang paling bersejarah bagi 109 orang pentadbir sekolah yang terdiri dari 10 orang pengetua Bahagian Mukah, 2 Orang penolong PPD iaitu Penolong PPD Mukah Pn. Mastura Bt Mohammed Mansur dan Penolong PPD Sri Aman En. Mohd Yusop B. Lugom, Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan PPD Sibu En. Lim Chun Len, 2 orang penyelia Ko-Kurikulum iaitu En. Mohd. Fauzi B. Abdullah (PPD Dalat) dan En. Ahmad Mahmood (PPD Daro) dan 94 orang guru besar di Bahagian Mukah kerana telah ditauliahkan sebagai Komandan Kadet Remaja Sekolah dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Dewan Mesyuarat PPD Mukah. Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak En. Abdillah Adam.

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak sedang menerima Penganugerahan Watikah Perlantikan Pengarah KRS Negeri Sarawak.
Dalam majlis yang sama sebelum majlis pentauliahan dijalankan, satu lagi peristiwa bersejarah tercatat, Pengarah sendiri telah menerima Watikah Perlantikan Pengarah KRS Negeri Sarawak dari En. Abd. Rashid dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis pentauliahan yang bermula jam 3.30 dan berakhir jam 5.00 petang itu telah berjalan dengan sempurna dan semua penerima watikah kelihatan sangat gembira, lebih-lebih lagi dengan adanya beberapa aksi yang melucukan dari beberapa orang rakan. Apa tidaknya ada yang berkawat seperti robot, ada yang berjalan seperti itik pulang petang, ada yang terlanggar rakan dan sebagainya. Sehingga ada diantara kami menitis air mata menahan ketawa menghormati majlis rasmi sebegini.

En. Apo Latit
En. Romzi Anna
Terdahulu sebelum Majlis Penganugerahan Pangkat Komandan KRS / TKRS ini, pada sebelah paginya sehingga jam 1.00 pm satu kursus ringkas diadakan. Menurut En Apo Latit, Penyelia Ko-Kurikulum JPN Sarawak merangkap Pengelola KRS Negeri Sarawak, Kumpulan penerima watikah perlantikan ini merupakan kumpulan ke 8 dari 31 buah PPD yang ada di Sarawak dan yang paling ramai. Beliau berharap pengurusan ko-kurikulum kan diuruskan dengan baik di sekolah dan perlu mengikut arahan-arahan yang dikeluarkan. Ko-Kurikulum adalah sama pentingnya dengan kurikulum dan menjadi kesalahan jika tidak dilaksanakan. Semua pentadbir sekolah juga perlu mahir dengan semua aspek dalam pengurusan Ko-Kurikulum dan pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak akan memantau dari masa ke semasa.

Kusyuk mendengar amanat dari pengarah
Sebahagian dari rakan-rakan yang menerima watikah perlantikan
Tolong menolong - sebelum majlis
Pengetua SMK Matu dan Pengetua SMK Dalat
Taklimat Tatacara Pemakaian Pakaian Dan Peralatan KRS dan TKRS telah disampaikan Mejer KRS En. Romzi Anna, Pegawai Teknikal KRS Negeri Sarawak (Guru dari SMK Luar Bandar Sibu). Yang pasti, apabila sudah berpakaian lengkap, adap-adap berpaiakan mestilah dijaga. Hormat pada pakaian, jangan ia dicemari dengan perbuatan yang tidak baik. Selesai sahaja taklimat ini, raptai penuh dijalankan sehinggalah semua penerima watikah berkumpul semula jam 3.30 petang..  

Bergambar kenangan - Pengetua Sekolah Bahagian Mukah.
Tiada dalam gambar Pengetua TDPH Normah Daro.
Terima kasih, Cikgu..

Tuesday, April 26, 2011

180.Datang untuk membantu bukan mencari kesalahan...

Rumusan dari Pihak Nazir dan Jaminan Kualiti
Setelah beberapa hari di SMK Belawai
"SMK Belawai adalah antara yang terbaik yang pernah mereka hadiri" - Nazir

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Begitulah hakikatnya. Semuanya bermula dengan usaha dan pengorbanan. Dalam pada itu juga, kita biasanya melihat kejayaan yang kita kecapi dan miliki itu tidak cukup dan tidak seganding dengan yang diperolehi oleh orang lain. Kita melihat apa yang dimiliki oleh orang lain itu lebih baik dari apa yang kita ada, tetapi sebaliknya apa yang kita ada itu adalah yang terbaik. Sepatutnya kita perlu berbangga dengan apa yang kita miliki, dijaga dengan baik supaya tidak terlepas kepada orang lain dan berusaha lebih gigih untuk meletakkan diri ketempat yang lebih baik dengan apa yang kita ada.

Teguran dari 5 orang nazir dari JPNS Kuching yang berkampung di SMK Belawai pada 11, 12, 13 dan 14 April 2011 lalu sedikit sebanyak telah memberi semangat kepada semua penolong kanan, guru kanan dan ketua panitia bahawa SMK Belawai sekarang sebenarnya dalam kedudukan yang terbaik. Cuma, saya sedikit terkilan, rumusan nazir yang dibuat  selepas naziran, pencerapan dan semua dapatan tidak disertai oleh semua guru. Namun bagi guru-guru yang dicerap terutama bagi mata pelajaran Sejarah, Sains, Geografi, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam mereka akan lebih yakin, bersemangat dan boleh membuat perubahan pada P & P supaya lebih hebat dan cemerlang. Jangan melihat teguran nazir tersebut sebagai kelemahan kita tetapi jadikan ia sebagai panduan dan bantuan mereka kepada kita untuk maju ke depan.

Tanpa adanya teguran, kita akan menganggap bahawa apa yang kita lakukan adalah betul walaupun amalan kita salah. Panduan mereka dari surat-surat Pekeliling dan Arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pelajaran perlu dijadikan contoh. Ada beberapa perubahan yang dilakukan yang kita anggap terbaik untuk pelajar, tetapi dipandang salah kerana kita tidak akur dengan Pekeliling yang dikeluarkan, contohnya guru yang tidak Perpendidikan Islam tidak boleh mengajar subjek tersebut walaupun kita kekurangan ustaz dan ustazah. Kita menerima, teguran ini dengan hati terbuka dan perubahan perlu dibuat dengan segera supaya kita sentiasa dilandasan yang betul.

Pernah seorang rakan pengetua, menceritakan beliau pernah bertekak dengan nazir mengenai penyediaan makanan di Asrama. Dalam kontrak mengatakan ikan yang perlu disediakan untuk makanan pelajar ialah ikan kembung, tetapi malangnya pada masa tersebut tiada ikan kembung dan terpaksa ditukar dengan ikan jenis lain. Pemantauan nazir mendapati bahawa satu kesalahan telah dilakukan dan telah ditegur. Satu perselihan pendapat berlaku, tetapi beliau terpaksa akur kerana pihak nazir, mereka berpandukan kepada pekeliling yang sedia ada dan pelanggaran arahan adalah satu kesalahan. Syukurlah, sekarang ada sedikit perubahan, dalam kontrak makanan yang mengatakan bahawa jika kita tidak dapat menyajikan makanan tersebut, kita boleh tukar dengan makanan lain yang serupa atau yang tidak jauh bezanya dengan apa yang terlah ditetapkan..

En Mazlan (Nazir), guru kanan dan ketua panitia - mendengar penerangan / rumusan dari ketua nazir.
Menurut En Mazlan, pemeriksaan nazir kali ini agak berbeza sedikit di mana aspek kemenjadian murid diberi lebih penekanan. Dari 18 orang guru yang dicerap mereka dapati bahawa kemenjadian murid di SMKB terbaik, murid2 nya bersopan santun, mengikut peraturan dan aspek kebersihan diri, kelas dan persekitaran sekolah juga amat baik. Dalam pada itu 11 kelas ditarafkan sebagai kelas harapan dan 7 darinya memuaskan. Kehadiran murid juga baik iaitu 95.27%. Ini menunjukkan kadar ponteng sekolah boleh dibaiki lagi dan untuk mencapai 100% mungkin agak mustahil.

Ko-K akademik agak lemah, namun dari segi persediaan guru untuk P & P adalah terbaik. Semua refleksi ditulis dan diambil tindakan. Masih ada guru yang mengajar sehala dan tidak melibatkan penyertaan murid. Namun penggunakan ABM (Alat bantu mengajar) dan tenologi pendidikan adalah baik.  Saya rasa tidak rugi saya membelanjakan wang yang banyak untuk LCD TV untuk setiap kelas kerana ia digunakan dengan berkesan. Selain dari itu, dapatan nazir yang lain ialah tentang perancangan strategic, yang dilihat tidak lengkap dan perlu dikaji semula.

Perhimpunan sekolah juga mendapat sedikit komen dari nazir. Kebetulan minggu tersebut adalah penggunaan Bahasa Inggeris. Mereka dapati 95% Bahasa Inggeris digunakan dan ia tersasar dari matlamat MBMMBI.  Selain dari itu mereka juga berpuas hati dengan keceriaan sekolah dan ia adalah salah satu peransang kepada pelajar kearah kecemerlangan. Usaha-usaha untuk menceriakan sekolah bukanlah satu yang membazir tetapi ia adalah cemin kepada kecemerlangan warganya.

Terima kasih kepada semua guru terutama bagi 5 mata pelajaran yang terlibat, bertungkus lumus menyediakan semua dokumen yang diperlukan seperti dalam senarai semak yang diperlukan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti tersebut. Semoga semua teguran dijadikan panduan untuk cikgu bekerja dengan lebih bersemangat. Gunakan hasil perbincangan secara personal antara cikgu dan nazir tersebut untuk menngkatkan kerja sebagai kerjaya cikgu. Berkongsi pengalaman dengan guru-guru lain untuk meningkatkan kepuasan kerja.

Terima kasih dan tahniah kepada semua guru, terutama kepada guru-guru tingkatan 5 (SPM 2010) kerana usaha kita semua SMKB telah mendapat surat penghargaan dan tahniah daripada Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak kerana peningkatan dalam SPM.

Terima kasih cikgu...

Saturday, April 23, 2011

179.Berundur lebih baik dari makan hati...

Gambar Hiasan
Gambar belakang : En Kuswadi sedang menyampaikan taklimat kepada pengetua tentang pelaksanaan orientasi guru baharu. Gambar depan : Seorang pelajar tingkatan 1 kusyuk membaca, semasa program NILAM dijalankan pada setiap hari Khamis..

Bersyukur hari ini saya berpeluang untuk menaip semula dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan yang sudi untuk berkunjung ke sini. Dalam masa hampir sebulan ini, banyak juga N3 rakan-rakan “follower” yang ketinggalan untuk saya membaca dan memberi komen. Namun begitulah lumrah kehidupan kita sebagai manusia, kadangkala kita terpaksa meninggalkan sebentar perkara-perkara yang menjadi kesukaan, minat dan keseronokkan kerana terpaksa menumpukan perkara-perkara yang lebih penting dan perkara-perkara yang tiba-tiba perlukan komitmen yang lebih memerlukan kita untuk bersama.

Walaupun demikian, terima kasih kepada semua rakan-rakan yang sudi berkunjung walaupun tiada N3 baru dan sanggup juga memberi komen ke atas N3 lama. Semua ini sebenarnya memberi satu kekuatan untuk saya mula bergerak dan cuba sedaya upaya untuk menulis semula. Bukan sahaja untuk menulis dalam blog sendiri, tetapi dalam mesyuarat persatuan pengetua Bahagian Mukah bulan lepas dimaklumkan, semua pengetua “diwajibkan” menulis pengalaman masing-masing untuk dimuatkan di dalam Buku Bicara Pendidik. Ia bertujuan, memberi peluang semua pemimpin sekolah berkongsi pengalaman yang mungkin tidak dilalui oleh orang lain.

Apabila kita berbicara tentang minat, kesukaan dan sebagainya yang terpaksa kita tinggalkan dan melakukan perkara-perkara lain untuk memenuhi kehendak orang lain, kita biasanya akan berhadapan dengan konsep pengorbanan. Berkorban apa sahaja harta atau nyawa, demi orang yang tercinta, tetapi hakikatnya setiap hari kita akan “makan hati”, bekerja dengan hati yang tidak tenang, sukar untuk digambarkan dan dimengerti oleh orang lain. Bagi mereka yang sudah sampai ke kemuncak kesabaran maka satu  tindakan drastic mungkin diambil. Namun tindakan tersebut biarlah memberi satu kebaikan kepada diri sendiri, tanpa sedikit pun meninggalkan kesan negative sepanjang hayat.

Dalam keadaan ini saya sangat-sangat “menghormati” dengan keputusan beberapa orang guru yang berjumpa saya berhasrat melepaskan jawatan sebagai guru untuk menumpukan kepada minat masing-masing. Sesungguhnya mereka ini adalah insan guru yang cemerlang dan mereka telahpun menunjukkan komitmen dalam pekerjaan. Tanpa semua orang sedari bahawa itu bukan minat mereka tetapi mereka telahpun menunjukkan kecemerlangan sebagai guru. Mereka berundur dengan kata-kata dan niat iklas yang disampaikan kepada saya “Tidak mahu musnahkan masa depan pelajar”.

Saya percaya dan yakin bahawa, mereka ini akan berjaya walau di mana sahaja mereka pergi kerana mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh. Hanya yang tiada pada mereka adalah minat. Saya juga yakin mereka telahpun cuba untuk meminati bidang perguruan ini sepenuh hati tetapi tiada “kepuasan kerja” kerana ada yang lebih menarik untuk mereka ceburi dan bidang ini adalah untuk menunjukkan rasa hormat dan memenuhi perasaan orang yang tersayang. Namun kini mereka telah pun memenuhi hasrat itu, dan mereka kini bersedia untuk meneruskan perjalanan dan liku2 hidup menurut kehendak sendiri. Ia adalah lebih baik dari mereka yang tidak minat dalam bidang ini tetapi sukar membuat keputusan untuk diri sendiri dan sentiasa menyusahkan orang lain. Saya doakan semoga mereka ini akan berjaya walau dimana sahaja berada dan apa pun bidang yang mereka ceburi.

Dalam hidup kita ada  perkara yang penting untuk meraih kejayaan. Pertama, Lakukan perkara yang kita cintai dan kedua, Cintai perkara yang kita lakukan.  Kita akan lebih bersemangat apabila kita melakukan perkara yang kita suka. Begitu juga sebaliknya kita perlu cintai apa yang kita lakukan, jika tidak tiada kejayaan yang akan diraih. Dalam hidup, kita mempunyai beberapa pilihan. Bukan sahaja minat tetapi pegangangan hidup. Jika ada peluang, maka terokailah dan kenalilah cinta kita supaya kita mendapat ketenangan dalam hidup.. 

TERIMA KASIH CIKGU..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.