PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Thursday, May 20, 2010

78. LDP- Latihan Dalam Perkhidmatan ( Realiti Guru Cemerlang )

SMK Belawai, Mukah. 20 Mei 2010 - Setelah lama merancang dan jemputan untuk Ustazah Hajjah Norlela Binti Bujang, Pengetua SMK Agama Sibu untuk memberi motivasi kepada guru-guru SMK Belawai, akhirnya dapat dilaksanakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Belawai tepat jam 12.30pm sehingga selesai jam 2.00pm. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau yang diiringi oleh guru kaunselingnya kerana dapat meluangkan masa, walaupun sekejap ia diharap dapat memberi satu impak yang mendalam kepada guru-guru SMKB. Harapan kita perjalanan yang jauh tidak menghalang beliau untuk datang lagi jika dijemput.

Sebelum dilantik menjadi pengetua SMK Agama Sibu, Ustazah Hajjah Norlela merupakan seorang Guru Cemerlang DG48 (2003-2008) dan kini beliau merupakan Pengetua DG52.
Saya mengenalinya sejak awal tahun 2006, bila Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak mengarahkan beberapa penolong kanan dari sekolah Bahagian Sibu termasuk saya untuk membuat "Benchmark" di sekolah beliau (Beliau ketika itu PK Hem) SMK Petra Jaya, kuching sebelum kami mendapat surat arahan sebagai Pengetua di sekolah-sekolah yang ditetapkan. Puan Hajjah Mastura Bt Anuar Pengetua ketika itu, kini Pengetua di SMK Abang Haji Openg, Kuching, yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sarawak merupakan insan yang sangat membantu dalam memberi tunjuk ajar dan tidak lokek dengan ilmu. Seperti pujian yang diberikan oleh Ustazah Hajjah Norlela kepada mantan pengetuanya dalam ceramah beliau adalah benar. Kami diberi pendedahan yang secukupnya dan beliau membenarkan kami "Copy" apa saja dokumen berkaitan sebagai panduan untuk memegang jawatan tersebut.

Setelah Ustazah Hajjah Norlela dilantik menjadi pengetua dan bertemu pada setiap kali bermesyuarat dan Persidangan, sikapnya tidak berubah. Beliau sangat senang didampingi oleh rakan-rakan. Kami banyak berbincang hal-hal berkaitan dengan sekolah sehingga akhir tahun 2009 beliau menjemput saya ke sekolahnya sebagai tetamu untuk Program Asrama Terbuka. Dengan komitmen dan kesungguhnan dalam dunia pendidikan yang ditunjukkan, tidak dapat dinafikan Jabatan Pelajaran tidak tersilap pilih beliau sebagai Guru Cemerlang. Bagi guru-guru dan pelajar-pelajar AJK Koperasi SMKB Berhad yang membuat lawatan ke SMK Agama sibu pada 15 dan 16 Mei 2010 lalu yang telah diberi layanan yang istimewa di sana mungkin sudah mempunyai pengalaman yang terbaik untuk diterapkan dalam diri masing-masing.

Saya percaya dengan menjemput beliau ke SMKB dapat membakar semangat dan memberi motivasi yang membuak-buak kepada guru-guru SMKB supaya mengikut jejak beliau sebagai satu laluan kerjaya dalam perkhidmatan kerana saya sendiri pun sangat berminat dengan GC. Malangnya, walaupun berkali-kali memohon tetapi tidak mendapat perhatian nazir, barangkali bukan subjek pilihan iaitu perdagangan sehingga diarah menjadi Pengetua di SMKB.
Dalam pemerhatian saya selama berada di SMKB, guru-guru di sini ramai yang boleh capai ketahab itu. Saya bukan mahu beromong kosong tetapi apa yang saya sebutkan kepada guru-guru, saya mahu mereka meletakkan satu objektif yang jelas dalam pekerjaan. Sampai bila kita akan menjadi guru biasa sedangkan orang lain sentiasa berusaha untuk pencapaian diri yang lebih baik dan berlumba-lumba untuk jawatan tertentu. Kita bukan melawan kudrat Allah, sehingga meletakkan diri kita sebagai seorang yang riak tetapi kita ingin melihat ramai antara guru-guru kita adalah guru yang cemerlang.
Seperti yang disebutkan oleh Ustazah Hajjah Norlela dalam ceramah beliau, lama atau baru menjadi guru bukan ukuran, tetapi ia dilihat bagaimana kita berkhidmat kepada pelajar. Walaupun lama menjadi guru, tiada perubahan apa-apa pada dirinya sehingga ia di cop berbagai rupa panggilan oleh pelajar atau merasakan dirinya lebih baik dari orang lain atau merasakan dirinya cukup manusia tetapi dalam dirinya masih ada sifat-sifat kebinatangan ia bukan seorang guru yang cemerlang.
Usaha untuk meletakkan diri seorang yang cemerlang bukan memakan masa yang singkat. Usaha yang patut dilakukan adalah secara berterusan dan seseorang itu tidak dapat menilai dirinya sendiri. Cemerlang adalah pandangan orang lain, dimana orang akan menilai bagaimana tahab keikhlasan diri yang ditunjukkan oleh guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Orang akan menilai kerajinan guru-guru dalam memberi ilmu kepada pelajar-pelajar dengan tidak berbelah bagi mengadakan kelas-kelas tambahan, menghormati idea-idea rakan dan sentiasa berbincang dengan pihak pentadbiran mencari satu amalan terbaik untuk manfaat semua warga sekolah.

Menurut Ustazah Norlela lagi, seseorang guru jangan mengharap kecemerlangan jika kita masih memandang rendah kepada anak-anak didik tetapi bukan ada usaha untuk membantu, cepat berputus asa melakukan sesuatu, tidak menyayangi orang lain, suka menyumpah pelajar, Rancangan Pengajaran Harian tidak lengkap dan tidak pernah dihantar selain kerja-kerja yang dilakukan tidak terurus.
Menurutnya lagi Guru Cemerlang mesti pandai mengurus masa, bukan menjadikan faktor masa tersebut sebagai alasan tidak dapat melakukannya. Begitu juga halnya guru-guru yang cuba mengelak apabila sesuatu tugas yang diberikan kepadanya dengan jawapan tidak tahu, tidak pandai dan sebagainya sebelum mencubanya. Selain dari itu ada guru-guru yang menganggap kerja atau tugas yang diberikan kepadanya adalah beban dari pengetua, tetapi sebenarnya adalah satu nilai yang baik yang ditunjukkan olehnya sehingga telah memikat hati pengetua sehingga dia diberi kepercayaan untuk melakukannya. Pengetua tidak akan menyuruh orang yang tidak boleh melakukannya atau yang sudah diketahui seseorang itu tidak ada komitmen atas tugas yang diberikan. Lagi kerap pengetua meminta tolong melakukan sesuatu sebenarnya semakin sayang kepada seseorang itu dan sentiasa didoakan semoga berjaya.
Ustazah Hajjah Norlela menyebut, apa yang diketahuinya guru-guru boleh melakukan tugas dengan baik. Yang menjadi beban guru bukan tugas yang diberikan tetapi adalah kadang-kadang surat-surat arahan yang hantar ke sekolah yang mengelirukan. Ustazah Hajjah Norlela juga berharap, apabila kita sudah menerima tugas sebagai seorang guru dimana hidup dan matinya akan disebut segala kebaikan dan besarnya pahala yang dianugerahi oleh Allah S.W.T maka didiklah anak-anak yang diamanahkan kepada kita dengan rasa ketakwaan. Ajarlah anak-anak orang seperti anak-anak kita sendiri. Banyakkan bersedekah kepada pelajar kerana mereka akan mengenangnya sampai bila-bila. Kekalkan sifat amanah, jauhkan nafsu, jangan ringankan solat, jaga lidah dari berkata-kata, elakkan fitnah dan ketahuilah yang dekat itu mati.
Sebagai penutup, Ustazah Hajjah Norlela menyentuh tentang, konsep-konsep guru cemerlang dan diakhiri dengan kata-kata Guru-guru bukan sahaja mengajar tetapi mendidik, keikhlasan bukan ditunjukkan dengan kata-kata tetapi ekspresi muka sudah memadai untuk mengambarkan segalanya. Banyakkan membaca novel kerana di dalamnya banyak mengajar kita erti kasih sayang.
Terima kasih cikgu.

Guru-guru SMKB yang di hormati.. Jom sama-sama kita menuju ke puncak.

No comments:

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.