PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Thursday, May 26, 2022

Duduk Semasa Mengajar

Para pelajar sedang membuat pembentangan

Ramai guru yang berdebat tentang duduk semasa mengajar, dan saya pun bukan pertama kali mengulas tentang isu ini. Sebagai pengetua, di mana saya bertugas, saya tidak mengizinkan perkara ini berlaku kerana pada pandangan saya seseorang guru yang duduk semasa mengajar ia telah mengabaikan tugas yang diamanahkan kecuali beliau dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Iaitu dalam keadaan sakit atau dalam keadaan yang perlu ia duduk untuk mengajar tetapi bukan sejak masuk ke kelas sehingga tamat pengajaran dan pembelajaran, dan keluar dari kelas.

Guru-guru adalah orang yang menyampaikan ilmu, maka seseorang guru perlu cergas, bertenaga dan menyampaikan ilmu dalam keadaan yang besemangat dan berkualiti. Di Maktab perguruan dan di Universiti di mana guru-guru berkursus menjadi guru, tidak ada teori yang menyatakan guru yang duduk semasa mengajar adalah seorang guru yang baik.

Guru-guru yang baik adalah guru-guru yang pandai untuk mengawal kelas, menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang menyeronokan lebih-lebih lagi dengan berbagai kerenah pelajar pada zaman ini, selain guru-guru diminta untuk mengamalkan PdPc Abad ke 21. 

Dari pengalaman saya, Seorang guru sains telah melakukan satu kesilapan besar apabila dia duduk semasa mengajar. Para pelajar dalam kelas tersebut telah mengambil peluang dengan mengatur strategi mereka dengan mengelilingi guru dan sengaja mengajukan pelbagai soalan. Sedangkan seorang demi seorang pelajar lelaki di dalam kelas tersebut masuk ke dalam almari di belakang makmal sains untuk menghisap gam. Kebetulan, pada masa tersebut saya membuat rondaan dari kelas ke kelas.

Pendapat saya, guru perlu aktif semasa mengajar kerana, pertama, kawalan kelas dapat diurus dengan baik dimana guru-guru dapat perhatikan apa aktiviti pelajar, sama ada beri perhatian semasa guru mengajar atau mereka melakukan perkara lain dan pdpc guru menjadi sia-sia. Kedua, Guru-guru yang duduk biasanya tidak disukai oleh pelajar. Guru kelihatan malas dan pelajar tidak bersemangat untuk belajar dengan guru-guru yang lemah. Tambahan lagi dengan fizikal guru yang kadangkala menjadi bualan dan usikan pelajar. 

Oleh itu sama-samalah kita menjadi guru yang berkualiti untuk melahirkan pelajar yang hebat untuk mengantikan kita sebagai pewaris bangsa. Jadilah guru contoh dan idola untuk generasi yang akan datang. 



Gambar Hiasan


  


 

Tuesday, May 24, 2022

Sekolah Sejahtera



Sempena hari Guru 16 Mei 2022, sekali lagi TVS Sejahtera Asia telah menjemput saya untuk membicarakan tentang Tema Hari Guru, Guru Tunjang Sekolah Sejahtera, seterusnya mempromosi pengambilan ke 2 ke SM Teknik Sejingkat, Kuching. Jemputan ini merupakan jemputan kali ke 2 dan bersiaran langsung pada Jam 7.30 pagi di Metro City, 

Terima kasih kepada Cikgu Masnan, Cikgu Wan Afis dan Cikgu Tiara yang berusaha untuk mendapat tempat dalam siaran langsung tersebut dan bersama-sama saya di stesen TV sehingga selesai.

Selamat Hari Guru, Guru Tunjang Sekolah Sejahtera.




Monday, May 23, 2022

Pesanan dari seorang sahabat

 


Perkongsian dari seorang sahabat yang sangat bermakna. Di sisi Allah yang membezakankan kita ialah Takwa.

Bila kita berada di atas janganlah kita merasakan diri kita sombong dan *KUAT* melihat yang dibawah  kerana:

Jika *Besi* benda yang paling kuat dicipta Allah dimukabumi, Bilamana Besi berasa Sombong dengan kekuatannya maka Allah ciptakan *API*, dan

Bilamana API merasa sombong dan kuat maka Allah ciptakan *AIR* memadamkan kesombongan dan kekuatan API, dan

Bilamana AIR merasa sombong dan kuat maka Allah ciptakan *AWAN* mengangkat kesombongan dan kekuatan AIR, dan

Bilamana AWAN merasa sombong dan kuat maka Allah ciptakan *ANGIN* menerbangkan kesombongan dan kekuatan AWAN, dan

Bilamana ANGIN merasa sombong dan kuat maka Allah ciptakan *BUKIT DAN GUNUNG GANANG* menghalang kesombongan dan kekuatan ANGIN, dan

Bilamana BUKIT DAN GUNUNG GANANG merasa sombong dan KUAT maka Allah ciptakan *MANUSIA* menarah kesombongan dan kekuatan BUKIT DAN GUNUNG GANANG untuk membuat penempatan, dan

Bilamana Manusia merasa sombong dan KUAT maka Allah ciptakan nikmat *TIDUR* hingga sehebat manapun manusia bila letih akan tetap TIDUR...dan

Bilamana TIDUR berasa sombong dan bongkak dan kuat , maka Allah datang perasaan *RISAU* pada manusia menyebabkan manusia tak dapat lelapkan mata..


Ketika RISAU ini merasakan *SOMBONG DAN KUAT* menewaskan tidur maka ALLAH CIPTAKAN satu perkara yang *PALING KUAT* menewaskan semua iaitu

 *ZIKRULLAH*

Maka sahabat semua, ingatlah dalam apa juga cabaran mendatang berzikrlah,. inshaAllah BANTUAN ALLAH AKAN TIBA...



Thursday, May 19, 2022

Selamat Hari Raya 2022

 


Hari Raya 2022

Bila dah lama tidak buka laman ini, begitulah.. bertagak2, lepas tu dah banyak kerja mendatang lalu lupa untuk update. Walau bagaimanapun suasana raya masih lagi terasa lebih-lebih lagi di Sarawak. Ramai juga rakan taulan dan guru-guru yang mengadakan rumah terbuka. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang lalu di laman ini. Semoga anda semua diberkati, ibadah diterima dan InsyaAllah bertemu lagi Ramadhan yang akan datang.

Thursday, April 21, 2022

PERTAMA KALI SUSUT

Sejak berpindah ke Kuching pada tahun 2017 sehingga kini, berat badan semakin meningkat. Makin menjadi-jadi. Dari 90 Kg ke 110 Kg dan yang terakhir berjumpa doktor pada bulan Mac untuk temujanji rutin, doktor pun terkejut. Makin di nasihat turunkan berat badan, makin bertambah pulak.. Kaki dan lutut pun dan mula sakit. Mau ke tidak, 126 Kg. Perut pun bertambah buncit.

Aduh.. bukan senang nak turunkan berat badan. Lebih-lebih lagi bila terbaca dari media sosial mereka yang berusaha turunkan berat badan, usahanya bukan sedikit. Puas bersenam, berpantang.

Tapi, syukurlah selepas 15 hari puasa, dah turun sehingga 109 Kg, 17 kg turun. Biar betul... hehehehe



Bila badan dah naik, nak bergerak ke mana-mana pun rimas, jalan jauh pun mudah letih..

Monday, April 18, 2022

Terawih 2022


Bersyukurlah Allah masih memanjangkan usia untuk melalui Ramadhan kali ini. Ramadhan tahun 2022. Sudah boleh solat berjemaah dengan rapatkan saf. Namun pengalaman 2 tahun bertawih di rumah bersama keluarga pada tahun 2020 dan tahun 2021 merupakan kenangan yang cukup indah walaupun seluruh dunia terkesan dengan Pendamik Covid-19, Hanya pada PKP paling istimewa, solat sunat hari raya pun bersama keluarga.





Thursday, June 29, 2017

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2017


Selamat Hari Raya Aidilfirri kepada semua rakan-rakan bloger yang masih mengenali diri ini dan semua rakan yang menemui blog ini. Semoga anda semua berbahagia hendaknya disamping keluarga tercinta...

Thursday, June 25, 2015

257. Pertemuan Semula.. RU

Bertemu semula dengan rakan-rakan yang telah lama berpisah pada 6 Jun 2015 adalah satu pengalaman yang sangat menarik. Masing-masing dalam hati tertanya-tanya dan masih lagi terpahat gambaran lama tentang wajah dan watak rakan-rakan yang ditinggalkan.

Pertemuan semula di Sala Restaurant Alor Mengkudu, Alor Star, Kedah, menggamit lebih 30 orang rakan yang datang dari jauh dan dekat. Ada yang memandu dari Kuala Lumpur dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas dan sampai ke tempat pertemuan sudah lewat malam, namun semangat untuk berjumpa tetap jitu dan bila sudah bertemu rasa hilang semua penat lelah semasa dalam perjalanan.

31 tahun bukan masa yang singkat, ada rakan-rakan yang sudah kembali kepada penciptanya. Bagi yang berkesempatan, bersyukur sangat-sangat.. Pertemuan selama 3 jam dari Jam 8-12 malam tidak terasa, Berbagai cerita, Dari bertanya khabar sehinggalah ke renteten cerita pengalaman hidup selama berpisah. 


Kemesraan sebagai kawan bertukar sebagai sahabat. Walaupun dulu hanya berkenalan tetapi tidak rapat tetapi bila bertemu sebegini, seperti pulih dari mimpi yang lama. Bayangkanlah Sejak habis persekolahan tingkatan 5 di SMK Tunku Abdul Malik, Alor Merah, Alor Setar,  hingga ke umur yang hampir pencen.. Berjabat tangan, berpelukan, ketawa melihat antara sama lain, adalah hiburan malam itu. Ada yang betul-betul berubah wajah dan fizikal, ada yang masih kekal dan senang dikenali. 

Suatu yang dapat kita kesan dalam pertemuan seperti itu ialah, bagaimana kita mengingati kawan-kawan. Kita kenali rakan kita dari cara mereka bermain, mereka berpakaian, cara mereka berjalan, menulis dan sebagainya, begitu juga mereka. Dan ada yang tidak dapat mengingati langsung, kecuali rakan-rakan terdekat sahaja.

Inilah kelebihan teknologi, Whatsapp, Telegram, Facebook, Instagram dan sebagainya. Yang lama berpisah dipertemukan, yang jauh menjadi dekat dan yang renggang menjadi rapat walaupun tidak kurang juga kesan negatifnya.. 

Wednesday, May 28, 2014

256.Cuti sudah berakhir..

Seronok betul cuti kali ini. Agak lama saya bersama anak-anak dan Isteri. Dari 28 Mei 2014 hinggalah 14 Jun 2014, baru balik ke Miri. Walaupun tidak dapat pergi ke tempat-tempat yang hebat di luar negeri, tetapi memadai ke tempat-tempat yang diminta oleh mereka. Bagi kita tempat seperti zoo sudah tentu sangat bosan, apa yang nak dilihat selain dari binatang peliharaan yang terperap di situ sekian lama. Nak melihat Panda tidak kesampaian, katanya masih dikuarantinkan, supaya Panda sesuai dengan cuaca Malaysia.

Tempat ke dua menjadi pilihan mereka ialah di Petrosains, The Discovery Centre di KLCC. Tempat ini sangat menarik sehingga tidak mahu balik. Leka bermain dengan pelbagai permainan yang disediakan. Bukan sahaja kanak-kanak teruja dengan bahan pameran, orang dewasa juga kagum dengan pameran dan pelbagai aktiviti yang dipersembahkan. Perutukan masa selama 2 jam belum tentu cukup untuk bermain semua permaianan yang menarik.

Saya cukup sedar masa untuk anak-anak dengan kita sangat singkat, tanpa kita sedari mereka membesar dengan cepat, dengan kesibukan kita bekerja mencari nafkah. Mereka semakin jauh dari kita, bila usia mereka sudah meningkat mereka tidak lagi mahu mengikut ke mana ibu dan bapa pergi. Mereka lebih rela membuat kerja sendiri di rumah. Banyak alasan mereka jika tidak mahu bersama kecuali ke tempat yang mereka setuju. Mereka merasa malu atau memikirkan semua itu hanyak membuang masa.

Bapa saya pernah berkata, "kamu semua anak lelaki tak ada masalah. Adik-adik perempuan kamu ini belum tahu lagi masa depan mereka. Kalau dapat suami baik, baguslah. Kalau dapat suami tak baik, susahlah mereka. Tak kemanalah..." 

Bapa saya melihat bahawa, anak lelaki boleh buat keputusan sendiri manakala anak perempuan keputusan atas kuasa suami. Sebagai anak sulung saya dapati, dalam apa-apa perkara bapa lebihkan anak perempuan sehinggalah mereka menunaikankan rukun Islam ke lima bersama. Ia berterusan sehingga semua anak perempuan berkahwin, namun apa yang diperlukan oleh anak lelaki tidak diabaikan.

Seorang sahabat pernah berkata, sejak berkahwin dengan Isterinya, beliau sangat berkecil hati dengan bapa mertuanya. Seringkali bapa mertuanya meminta supaya tinggal bersama atau tinggal sahaja berdekatan dengan rumahnya. Asal dia dapat melihat semua anak-anaknya. Tetapi itu tidak berlaku, kehidupan sebenar ialah berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat mengikut arahan. Balik kampung pun jarang-jarang. Hak tetap hak. Isteri patut mengikut kata suami.

Tapi kini, bapa mertuanya sudah lama pergi. Anak-anak terus membesar. Seorang demi seorang meninggalkan rumah untuk kehidupan sendiri. Di sinilah datang keinsafan yang amat sangat kepadanya. Kalau boleh biar semua anak tinggal bersama walaupun mereka sudah berumahtangga. Barangkali inilah yang dirasai oleh bapa mertuanya..

Pernah saya mencadangkan kepada seorang rakan guru supaya memohon asrama penuh selepas keputusan UPSR sedikit masa dulu. Keputusan peperiksaan anaknya sangat baik dan sudah tentu diterima tetapi beliau tidak mahu berbuat demikian kerana mahu semua anak-anaknya hidup bersama dengannya, bersama dengan adik-adik yang lain. Menikmati kasih sayang ibu dan bapa, menikmati kasih sayang adik beradik. Katanya belum masanya mereka hidup sendirian, membawa emosi dan membiarkan mereka terlalu jauh.

Bertemu lagi saya dengannya baru-baru ini, anaknya kini tingkatan 6, masih lagi belum dibebaskan. Katanya, masanya sudah mula tiba, dua tahun di tingkatan 6. Mereka sudah boleh bebas, memilih haluan masing-masing ke Universiti, dalam atau luar negeri. Di mana sahaja mereka mahu, di mana sahaja rezeki mereka.

Namun, ada yang yang tidak dapat peluang seperti ini. Dalam keadaan terpaksa anak kecil seusia 7 tahun perlu berpisah. Perlu menjalani hidup sendiri atas pengawasan semangat dan jiwa orang lain.

Lumrah alam. Mereka akan membesar dan akan pergi. Mereka juga akan ada kehidupan sendiri. Ada cita-cita sendiri, ada citarasa sendiri. Tidak ada kuasa kepada kita menahan mereka. Dalam peluang yang ada ini, dukung mereka, cium mereka, bermain dengan mereka, tunjukkan kasih sayang yang berpatutan.. supaya tidak kesunyian di kemudian hari.

Selamat hari bapa..

255.PERUTUSAN PENGETUA SEMPENA HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2014



16 Mei merupakan hari yang sangat bermakna bagi insan yang bergelar “guru”. Pada hari ini mereka biasanya akan di rai dan diberi pelbagai ucapan sebagai mengenang jasa dan bakti mereka kepada insan lain yang bergelar “Murid”. Pada hari ini juga merupakan hari yang menjadi ukuran kepada guru mana guru yang diminati akan menerima banyak hadiah daripada murid, dan sebaliknya guru yang kurang diminati akan berasa berduka dan sedikit berkecil hati kerana rasa tidak disanjungi.

Maka, pada tanggal 16 Mei ini jugalah hari dimana mengukur tahab kesabaran guru, mengukur keikhlasan guru  dan mengukur keupayaan guru mempengaruhi mereka yang bergelar murid untuk bersama-sama guru mencemerlangkan subjek yang guru ajar. Sebagaimana guru menilai murid dan mengkelaskan mereka kepada kelas A, B, C dan D dan mengkelaskan murid kepada kohot-kohot mengikut tahun jika pencapaian mereka tidak memberansangkan, begitu juga murid, mereka juga mengkelaskan guru kepada beberapa kedudukan menurut penilaian mereka. Ada guru yang malas, ada guru yang rajin. Ada guru yang banyak Ilmunya dan ada guru yang tidak berubah ilmunya dari masa beliau mula mengajar sehingga ke pencen.

Dunia semakin maju, pengajaran dan pembelajaran dalam kelas menjadi bertambah rumit. Sikap pelajar sangat agresif. Penghormatan pelajar kepada guru dilihat kepada betapa hebatnya guru itu. Kita boleh lihat, kelas-kelas dimana guru-gurunya lemah, murid-muridnya akan mula mempermainkan guru dengan pelbagai cara termasuk memberi gelaran tertentu berbanding dengan guru-guru yang dilihat sebagai lemah tetapi dengan keyakinan guru, ketegasan guru dan ketinggian ilmu yang ada pada guru tersebut pelajar menghormati dan mereka boleh mengikut haluan guru walaupun berada dalam kelas yang lemah. 

Oleh itu marilah kita sama-sama cerminkan diri di mana kita sebagai guru, sebanyak mana pengorbanan kita kepada murid dengan membangunkan potensi diri  kita sebagai guru yang berkalibar dan bertaraf dunia. Apabila kita dinobatkan sebagai guru yang cemerlang pada pandangan murid kita, maka kita berhak untuk berbangga dan dihargai atas pengorbanan yang kita curahkan kepada mereka menurut pandangan seseorang guru. Ada yang rasa berbangga jika dianugerahkan hadiah, ada yang rasa berbangga jika melihat anak didiknya berjaya dan ada yang dinobatkan sebagai tokoh guru malah ada yang hanya berasa berbangga dengan diberi Allah SWT kesihatan yang luar biasa atas doa dan rasa syukur murid-murid kepadanya.

Pada sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada 27 Mei 2014 ini saya mengajak semua warga guru SMK Baru Miri sama-sama kita menjadi guru, yang benar-benar guru. Marilah sama-sama kita menjadi guru yang hebat. Tidak semua insan di dunia ini dapat menggalas tanggungjawab yang besar seperti kita yang bergelut dengan tugas mendidik anak-anak yang pelbagai kerenah dan ragam. Kesabaran dan komitment kita mencorak intelektual jasmani dan rohani sebenarnya telah mengangkat martabat diri kita ketahap yang mulia dan dipandang tinggi.

Di kesempatan ini saya saya ingin mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua pendidik di SMK Baru Miri, sesungguhnya kecemerlangan Akademik dan Kecemerlangan Ko-kurikulum di SMK Baru Miri adalah cermin kecucian hati dan cermin pengorbanan dan kegigihan kita semua. Mudah-mudahan jasa dan pegorbanan kita ini akan di kenang selamanya oleh murid kita. Teruslah gigih mencorak masa depan generasi kita yang terbaik kita boleh buat, demi masa depan Negara tercinta…

Mohamad Shariff Bin Mat Saad
24 Mei 2014

Friday, May 16, 2014

254. Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru kepada Isteri, Sanak Saudara, Sahabat Handai, Rakan Taulan yang berkerjaya sebagai guru dan guru-guru di mana pernah saya berkhidmat. Saya doakan agar anda semua sentiasa menjadi guru yang hebat... Di dunia dan di akhirat.

Terima Kasih Cikgu..

Wednesday, October 16, 2013

251. Tidur dalam kelas

Rakan Guru
Tidur dalam kelas semasa peperiksaan, bagai satu wabak kepada pelajar. Ini bukan masalah baru tetapi sudah berlaku sejak dulu. Yang pastinya, semasa saya kenal dunia persekolahan masalah ini sudah pun wujud. Lebih memilukan bila waktu PdP juga pelajar tidur.

Peruntukan masa peperiksaan selama 1 jam, 2 jam, 3 jam dan sebagainya dengan jumlah soalan yang diberikan oleh guru nampaknya sangat berlebihan. Jika peruntukkan masa 1 jam pelajar dapat menjawab setengah jam sahaja, jika peruntukan masa 2 jam pun 1 jam atau kurang dari itu pelajar sudah siap menjawab atau langsung tidak menjawab untuk memberi ruang masa untuk tidur. Alasannya sangat mengantuk dan tidak dapat menjawab, walaupun sudah diberi berbagai amaran

Saya pernah tangkap seorang pelajar tingkatan 5 tidur dalam kelas semasa peperiksaan. Tentunya guru kelas sudah berkali-kali menengur tetapi tidak diedahkan oleh pelajar berkenaan. Bila ditanya, spontan dia menjawab dengan nada yang kuat," Cikgu tahu tak apa yang saya buat di rumah?," Nampak sangat biadap. Kita boleh saja melawan cakap, tetapi beguna ke tidak jika kita marah-marah sedangkan untuk merubah sikap tersebut mengambil masa. Saya bawa pelajar tersebut ke pejabat, bila disiasat pelajar tersebut bekerja menolong bapa di rumah. Mengangkat perabot sehingga lewat malam. Sebelum pelajar tersebut beredar saya bertanya, "Kamu tahu tak apa yang saya buat di sekolah untuk memastikan kamu mendapat keputusan yang cemerlang?

Terlalu banyak tuntutan Ibu bapa dan persekitaran kepada anak-anak sehingga mereka keletihan, tertidur dan menjadi seorang pemarah, pembengis, panas baran dan bertindak tanpa berfikir. Kata-kata yang dihambur keluar tidak ada pertimbangan sama ada bercakap dengan orang lebih tua, sama ada dengan guru malah pengetua sekalipun. Malah kadang kala ada yang menengking ibu bapa di depan guru atau sesiapa sahaja dengan sewenangnya.

Selain tuntutan memanusiakan mereka untuk meneruskan kehidupan seperti kelas fardzu Ain, kelas tuisyen, KAFA dan lain-lain, kini beban yang paling hebat melanda pelajar sekolah ialah "gajet" yang pelbagai di pasaran. Ledakan teknologi telah membuatkan mereka makin letih kerana ayik dengan "game", melayani teman sosial dan "online" yang sangat melampau sehingga sehari suntuk. Perkara-perkara yang melekakan ini membuatkan mereka seronok dan mengabaikan perkara lain yang lebih penting. Bila ke sekolah mereka akan mengantuk dan tidak menumpukan perhatian pada PdP. Sesiapa sahaja boleh melayari Internet. Internet bukan hak milik sesiapa tetapi hanya perlu klik dengan bijak.

Dalam pada itu, tidak kurang juga ibu bapa yang sangat mengharapkan hasil daripada anak2 untuk membantu keluarga. Ramai dikalangan pelajar sekolah sekarang sudah mempunyai kerjaya sendiri selain kerjaya sebagai pelajar sekolah. Dulu-dulu, kita hanya dengar pelajar sekolah membantu ibu bapa dengan menjual kuih bahkan saya pun pernah menjual pisang keliling kampung kemudian bergegas ke sekolah. Tetapi kini, kerjaya sebagai pelajar sekolah adalah kerjaya pilihan kedua. Ramai pelajar bekerja di hotel-hotel sebagai pelayan. Lebih-lebih lagi pada hujung tahun, permintaan tenaga kerja yang ditawarkan oleh pihak hotel sangat banyak kerana rata-rata organisasi ingin mengadakan jamuan akhir tahun, majlis anugerah kecemerlangan, majlis perkahwinan dan sebagainya yang semakin menjadi "trend", semua majlis perlu dibuat di tempat ekslusif seperti ini.

Tidak kurang juga ramai pelajar yang menjadi pengawal keselamatan, bekerja di restaurant-restaurant makanan segera, stesen-stesen minyak dan sebagainya. Masa muda yang sepatutnya di sekolah sudah beralih arah. Ada yang sudah mula ponteng sekolah, bukan lagi tidur di dalam kelas. Ada yang sudah berhenti sekolah, bukan lagi ponteng sekolah. Gaji sudah lumayan. Semua permintaan kepada ibu bapa yang sebelum ini tidak mampu ditunaikan sudah boleh dicari sendiri. Mereka sudah boleh berdikari. Mereka sudah boleh buat keputusan sendiri. Semua orang mesti akur. Itu hak asasi? Tidak cukup dengan yang sudah lama tercicir, yang sudah lama menjadi mat rempit. Semua persolan ini timbul hanya dari tidur dalam kelas.

Biarkan.. Biarkan..Biarkan?

Tuesday, October 8, 2013

250. Akhirat Jua Yang Abadi..

Tinggal Kenangan..

Yang baru sudah menjadi buruk, yang tua dah lama pergi.. Yang segar hanya Ingatan.

Rumah Pusaka, Batu 20 1/2 Jalan Kuala Nerang, Kedah. Hanya menunggu masa rebah ke bumi.. Tiada yang kekal. Di sana jua yang abadi..

Thursday, October 3, 2013

APC 2012 Pada 23 September 2013

Terima kasih kepada semua Guru dan Kakitangan sekolah yang menyokong kepimpinan saya. APC ini adalah kali ke 3, Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama. Syukurlah, ia amat berbaloi dengan apa yang kita usahakan..

Bergambar di depan Jabatan Pendidkan Pelajaran Negeri Sarawak yang baru di Jalan Bako

Koir JPNS


Datu Abdillah Adam

YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita Dan Pembangunan Keluarga


Bersama rakan2 Penerima APC 2012, seramai 3,836 staf profesional dan kakitangan sokongan dari seluruh Sarawak dipilih bagi menerima APC bagi tahun 2012. Majlis APC juga telah diadakan di peringkat Bahagian dan Daerah.
Majlis yang diadakan pada 23 September 2013 hanya melibatkan 53 penerima yang bertugas di Ibu Pejabat JPNS, Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua/Guru Besar dan Guru Cemerlang. Selain itu sijil penghargaan juga diberikan kepada staf yang telah berkhidmat lebih 20 tahun di JPNS.
Read more: http://www.theborneopost.com/2013/09/24/abdillah-yakini-kakitangan-jpns-lakukan-yang-terbaik-realisasi-pppm/#ixzz2ghiuYorU

Bersama Cg Yusri Tokis, Pen. Pengarah Unit Naik Pangkat JPNS



Berita penuh : http://www.theborneopost.com/2013/09/24/abdillah-yakini-kakitangan-jpns-lakukan-yang-terbaik-realisasi-pppm/

Friday, May 17, 2013

Selamat Hari Guru 2013

Selamat Hari Guru


Semoga jasa kita sentiasa di kenang dan sentiasa mendapat keberkatan atas ilmu yang dicurahkan.

Amin

Iklas Daripada :

Mohamad Shariff Bin Mat Saad

Wednesday, November 28, 2012

242.Cuti itu kemudahan..


Cuti itu kemudahan, saya percaya semua guru tahu. Tidak kira sama ada dia guru lama atau baru. Semasa di Maktab atau IPG perkara ini sudah didedahkan. Begitu juga semasa kursus induksi dan kerapkali juga diingatkan di sekolah pada setiap kali mesyuarat oleh pengetua.

http://jbcool.com/wp-content/uploads/2009/10/Legoland-johor.jpg
Sepanjang tahun ini, 2012 SMK Baru Miri mencatatkan lebih 45 orang guru telah mengambil pelbagai jenis cuti sama ada cuti sakit, cuti rehat khas, cuti tanpa rekod atas sebab kematian keluarga terdekat atau menghadiri peperiksaan PJJ, cuti tanpa gaji, cuti bersalin dan sebagainya. Manakala 37 orang lagi masih bertahan tanpa mengambil apa-apa cuti. Mereka telah membuat rekod peribadi 100% kehadiran ke sekolah. Pujian patut diberikan dan pihak sekolah akan berusaha mengeluarkan sijil penghargaan kepada mereka.Begitu juga dengan 11 orang kakitangan sokongan. Mereka juga tidak terlepas dengan pengambilan cuti, sama ada cuti sakit atau cuti rehat yang telah diperuntukan kepada mereka.

Saya juga yakin jika tiada sebab tertentu guru-guru atau kakitangan sokongan ini tidak akan bercuti. Dari pemerhatian dan pengetahuan saya, guru-guru SMK Baru sangat berintegriti. Mereka bercuti kerana terpaksa. Oleh itu saya meletakkan kepercayaan kepada mereka dan meluluskan cuti dengan syarat alasan yang kukuh dan munasabah serta tidak melanggar mana-mana perintah Am atau pekeliling Jabatan Pelajaran yang berkuatkuasa. Tidak kurang juga, pemberian cuti kepada guru-guru atas dasar bertimbang rasa dan bersifat kemanusiaan walaupun tenaga guru tersebut sangat-sangat diperlukan dalam sesuatu majlis dan beliau menjadi orang utama yang mengendalikannya. Biarpun terpaksa diganti dan berlaku sedikit kepincangan majlis, beliau bercuti dengan tenang tetapi organisasi yang menanggung kesulitan.

Saya sangat-sangat berharap agar kepercayaan yang diberikan kepada semua guru tidak dimanipulasikan. Saya besyukur kerana sebilangan besar guru yang datang ke sekolah selepas bercuti sakit akan berjumpa saya dan memohon maaf kerana terpaksa menyusahkan pihak sekolah mengatur “Sit-in” , kecuali mereka yang telah membuat perancangan awal untuk bercuti.

Tidak dinafikan bahawa, jika guru sering bercuti sedikit sebanyak akan menjejaskan Pengajaran dan Pembelajaran murid. Guru ganti tidak sama dengan guru subjek. Maka akan berlakulah kepincangan dalam perancangan, sama ada tidak habis sukatan pelajaran atau yang lebih teruk bila semangat pelajar juga merudum. Pelajar tidak lagi berfokus kepada objektif Pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya kemerosotan akan mula berlaku. Saya tidak pasti bagaimana seorang sahabat saya mengatasi kekurangan guru di sekolahnya apabila 28 orang guru dari 150 orang guru bersalin serentak pada tahun ini. Nampak macam berpakat tetapi hakikatnya jika seseorang guru itu mengandung maka guru tersebut wajib memberitahu Pengetua atau Pejabat Am supaya senang untuk menyediakan guru ganti.

Ramai guru yang pandai menguruskan cuti, ramai guru yang masih belum bercuti dan ramai guru yang tidak dibenarkan bercuti. Terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru yang masih datang bertugas di masa cuti ini di SMK Baru Miri dan terima kasih kepada guru-guru yang sentiasa bersama dengan pelajar untuk kelas tambahan sehingga kertas peperiksaan mereka tamat sama ada SPM atau STPM sedangkan rakan-rakan guru lain telah lama bercuti. Semoga Allah sahaja dapat membalas jasa cikgu dengan memberikan kecemerlangan kepada diri sendiri dan kecemerlangan kepada anak didik cikgu.

Selamat bercuti, jaga keselamatan dan kesihatan. Jangan lupa 31 Disember 2012 Mesyuarat Pertama sekolah. Semua guru dan kakitangan sokongan Wajib hadir.

Pengetua bila bercuti? Ikut pekeliling…

Terima kasih Cikgu..

Tuesday, November 27, 2012

241.Guru-guru jom menulis..


Cg Albert dari SMK Subis, Cg Kho dari SMK Luak dan YDP PPSMS (Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak) Cg Marcus Hugo dar SMK Lutong Miri
Lama sudah saya tidak menulis, menjenguk blog sendiri pun jarang. Sibuk begitulah alasan yang seringkali diberikan, tetapi sebaliknya sibuk memberi tumpuan pada blog sekolah SMK Baru Miri. Namun sesekali masuk sempat juga melawat blog rakan-rakan yang saya menjadi pengikutnya walaupun tidak meninggalkan komen. Tahniah kepada mereka yang mempunyai semangat yang jitu, mempunyai banyak idea. Menulis sebenarnya tidak memerlukan banyak kajian tertentu tetapi perlukan banyak komitmen.

Semalam 26 November saya bersama-sama dengan Majlis pengetua Daerah Miri, berada dalam satu majlis ilmu yang sangat bermakna untuk semua pengetua. Perkongsian dengan Cg Albert Pengetua SMK Subis Miri berkenaan dengan Pengurusan Ko-Kurikulum dan perkongsian dengan Pengetua Cemerlang Ko Chee Kiat dari SMK Luak berkenaan dengan Penulisan & Penyebaran Hasil Kajian Tindakan.

16 orang pengetua Daerah Miri
Menurut Mr Ko Dari kajian yang telah dibuat, terdapat beberapa alasan mengapa guru kurang menulis . Antaranya ialah tiada keperluan untuk menulis, tiada masa, tiada keyakinan diri, tiada kemahiran dan merasa susah dan tidak tahu apa yang hendak di tulis. Oleh itu kita hanya membiarkan orang lain menulis tentang dunia pekerjaan kita dan kita akan menjadi marah jika apa yang mereka tulis dan pandangan mereka tidak menepati apa yang kita lakukan.

Banyak tranformasi dalam bidang pendidikan yang berlaku dan mana-mana sahaja orang bercakap tentang perubahan-perubahan tersebut. Banyak pandangan negative daripada positif tentang sesuatu perkara kerana perubahan yang baik itu tidak sampai dengan berkesan kepada mereka yang menjadi pelanggan kepada pendidikan disamping ada guru-guru  yang tidak berusaha mendalami perubahan tersebut maka sukarlah yang baik itu akan sampai dengan baik. Maka penulisan tentang perkara sebenar dan memberikan kefahaman yang berkesan adalah sangat penting.

Pada hakikatnya guru adalah penulis, kita banyak menis buku rekod mengajar, menulis refleksi, banyak surat-surat yang kita sediakan, banyak menulis nota-nota untuk pelajar dan sebagainya. Dari perkongsian dengan Pengetua Cemerlang tersebut beliau meyarankan, guru-guru membuat kajian tindakan. Dengan membuat kajian tidakan yang memerlukan data-data tertentu guru sudah boleh mula menulis. Apa yang menariknya selain menulis hasil kajian tindakan ini guru-guru boleh menyertai pertandingan dan memenagi anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian atau Jabatan Pelajaran dan yang pentingnya sumbangan ini dikira dalam usaha untuk kenaikan pangkat.

Menulis juga tidak memerlukan bakat yang besar. Semua orang boleh menulis dengan sedikit keyakinan. Mulalah menulis dengan menceritakan pengalaman diri. Bila sudah mempunyai keyakinan yang tinggi menulislah perkara-perkara yang lebih mencabar. Amalan menulis perlu ada kepada guru-guru. Tanpa menulis ilmu yang kita ada akan hilang, kerap menulis maka penulisan kita akan lebih bermutu. Dengan menulis kita bertanggungjawab pada profesion selain membantu profesion ini disanjung tinggi oleh masyarakat.

Jom, sama-sama kita bersatu tekat untuk mula menulis tanpa banyak alasan..

Terima kasih Cikgu..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.