PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, October 6, 2008

18. Perancangan Perlu Untuk P & P Berkesan

  1. Bersyukur kita kepada Allah S.W.T, kerana kemajuan teknologi telah mewujudkan blog seperti ini yang saya kira ada banyak kebaikannya. InsyaAllah saya akan gunakan blog ini untuk menyampaikan maklumat yang saya kira berguna untuk kita sama-sama berkongsi idea untuk kecemerlangkan sekolah kita. Walaupun maklumat dalam blog ini bukan hasil tulisan saya, saya kira apa salahnya tulisan orang lain yang bernas dapat kita gunakan dan dibincangkan bersama. Saya juga bercadang akan menggunakan blog ini dengan memasukkan maklumat-maklumat mesyuarat atau kursus yang saya hadiri untuk dikongsi bersama guru-guru supaya semua guru tahu dan sama-sama mengambil tindakan sewajarnya.
  2. Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu kerana memberi respon kepada artikal yang saya postkan tersebut yang ditulis oleh Mohd. Saleh Ismail.
  3. Apabila saya membaca artikal ini saya rasa sangat tetarik kerana saya rasa ia sangat dekat dengan kita, lebih-lebih ramai guru sama ada di sekolah kita dan sekolah-sekolah lain yang mengabaikan tentang Rancangan Pelajaran. Dalam banyak mesyuarat dan kursus yang saya hadiri perkara ini setiap kali ditekankan dan guru-guru perlu diingatkan dari masa ke semasa bahawa Rancangan Pelajaran adalah penting dan ada pekeliling yang dikeluarkan khusus untuk penyediaan Rancangan Pelajaran dan tindakan yang boleh diambil jika ia tidak dilaksanakan. Ia juga tidak boleh diabaikan kerana ia adalah bukti bahawa P & P telah berlaku pada hari tersebut di samping kehadiran guru ke sekolah.
  4. Tidak dinafikan sesetengah guru merasakan menulis Rancangan Pelajaran amat membebankan dan perlu dimansuhkan. Tetapi bagaimana mungkin seseorang guru itu masuk ke kelas tanpa apa-apa persediaan untuk mengajar? Rancangan pengajaran merupakan rangka kerja aktiviti pengajaran-pembelajaran untuk dilaksanakan guru di dalam bilik darjah atau makmal, dalam satu jangka waktu yang telah ditetapkan. Tujuan utama guru menyediakan rancangan pengajaran adalah untuk menjamin murid mencapai objektif pengajaran secara berkesan, disamping meningkatkan keyakinan guru untuk mengajar. Dengan kata lain RP menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang pelbagai penjenamaan semula sekolah dilakukan dan yang terkini sekolah kluster..
  5. Merujuk kepada Surat Pekeliling Iktisas Bil. 3/1999.Rekod Pengajaran dan Pembelajaran mengandungi Rancangan Pengajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian (RPH). Dalam ayat no.4 pekeliling tersebut, Rekod Pengajaran dan Pembelajaran bolehlah disediakan dalam apa jua bentuk yang munasabah dan sesuai dengan teknologi semasa. Ia haruslah diurus dengan sempurna dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Bahan-bahan lain yang berkaitan dengan penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian dijaga dengan baik dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Ini bermakna seseorang guru tersebut dibolehkan menyediakan RP dalam apa bentuk pun yang difikirkan sesuai. Bagi sekolah kita saya memberi kelonggaran dimana guru-guru boleh memilih untuk dibuat secara berkomputer atau menulis dalam buku rekod. Terpulang kepada guru-guru membuat keputusan untuk diri sendiri. Bagi saya sekiranya kita menyediakan secara berkomputer atau berkongsi dengan panitia masing-masing beban masalah penyediaan Buku Rekod ini akan menjadi lebih ringan.
  6. Memartabatkan profesion perguruan (Teras 5 PIPP) – Setelah kita menceburi bidang pendidikan kita mesti menerima hakikat bahawa menjadi seorang guru tidak semudah yang disangkakan. Guru-guru baru yang telah ditempat di SMK Belawai, semasa meraka datang melapor diri, biasanya saya akan bertanya satu soalan. Adakah cikgu sudah bersedia menerima pekerjaan ini? Rata-rata menyatakan ini adalah pilihan mereka yang tepat dan menyatakan minat masing-masing terhadap profesion ini. Oleh itu sebagai guru yang professional sepatutnya kita tidak mempersoalkan bahawa kita ada banyak masalah yang tidak memungkinkan kita tidak boleh melakukan tugas kita dengan cemerlang. Saya tidak menafikan menjadi guru memang menjadikan kita seorang sibuk dengan pelbagai tugas yang bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi kita mempunyai banyak tugas sampingan lain. Tidak seperti pekerjaan lain seperti Doktor, Tentera, Wartawan dan lain-lain pekerjaan lain yang memerlukan satu bidang yang khusus atau yang lebih specific. Namun begitu marilah kita letakkan kemuliaan profesion perguruan ini pada tempat yang sepatutnya. Janganlah kita mencari pelbagai alasan yang kita katakan mustahil kita lakukan.
  7. Keluarga dan pekerjaan mana yang lebih penting? Bagi saya kedua-duanya sama pentingnya. Sekiranya kita mempunyai masalah dalam keluarga, kita tidak dapat menumpukan pekerjaan kita dengan baik. Begitu juga sebaliknya jika kita mengutama kerja sehingga mengabaikan keluarga, kita akan kecundang. Saya tidak menghalang seseorang guru mengambil cuti terutama cuti CRK sekiranya guru tersebut betul-betul mempunyai masalah untuk menguruskan keluarga dan perlukan cuti. Begitu juga guru-guru yang sakit, ambil cuti sakit dan berehatlah secukupnya. Saya tidak menghalang guru-guru yang mahu berpindah untuk mendekatkan diri dengan keluarga masing-masing. Setakat ini saya belum pernah lagi tidak menyokong mana-mana guru untuk berpindah. Walau bagaimanapun saya perlu menyatakan perpindahan tersebut semestinya ada pengganti. Saya juga berjauhan dengan keluarga. Saya faham, ada sesetengah guru sangat gusar dan tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik kerana rindukan keluarga masing-masing tetapi bersabarlah, pohonlah, dapat berpindah atau tidak bergantunglah kepada KPM di Putrajaya. Seperti Cikgu Burhan, Cikgu Lokman, Cg Azmi, Cg Azlina dll. Walaupun mereka baru di SMK Belawai mereka dapat berpindah juga. Bagi saya tiada siapa yang kekal di sesuatu tempat. Masa akan tiba untuk kita berpindah. Begitu juga saya.
  8. Sebagai seorang guru yang professional, kita perlu menguruskan masa dengan professional juga. Kita perlu membahagikan masa antara keluarga dan pekerjaan kita. Menjadikan anak sebagai masalah untuk kita menafikan tidak dapat menyediakan sesuatu yang terbaik untuk pekerjaan kita adalah suatu yang saya fikir tidak munasabah. “Kerja rumah” yang saya fahamkan daripada artikal tersebut ialah kita sebagai seorang guru, kita perlukan satu persediaan yang rapi sebelum kita masuk kelas untuk mengajar.Tidak kira kerja rumah tersebut dibuat di rumah atau di sekolah semasa masa rehat guru atau masa senggang guru. Bagi saya jika masa yang diperuntukan selama 40 minit 1 waktu tidak dimanfaat dengan sebaiknya, maka apa yang kita sampaikan akan menjadi sia-sia belaka.
  9. Begitu juga dengan pekerjaan lain, Seorang doctor pakar tentunya beliau tahu apa yang beliau lakukan untuk merawat pesakitnya. Beliau tentunya mempunyai satu perancangan awal terhadap tugasnya. Contohnya seorang doctor pakar perbidanan, sudah tentu beliau tahu tentang kedudukan kehamilan seseorang pesakitnya. Berdasarkan ilmu yang beliau belajar beliau dapat memberi satu perkhidmatan yang terbaik dan ibu yang mengandung dapat menerima nasihat dengan perasaan lega , tenang dan mereka dapat membayar dengan harga yang diminta tanpa banyak soal.
  10. Bagaimana pula kita sebagai seorang guru yang profesionnya sangat dimuliakan. Adakah kita telah menjadikan diri kita guru yang profesional yang dapat “memuaskan” pelanggan. Di SMK Belawai saya telah menetapkan objektif, kita akan cuba mencapai 9 jenis kecemerlangan pada tahun 2010 . Namun pada hakikatnya pada pandangan umum kejayaan kita sebagai guru hanya dilihat kepada pencapaian akademiknya sahaja. Sepanjang 2 tahun di SMK Belawai, jika saya bertemu dan berbual dengan pengetua-pengetua dari sekolah lain semasa keluar menjalankan tugas-tugas rasmi sekolah, perkara utama yang ditanya adalah pencapaian akademiknya. Itu adalah perkara pokok yang perlu kita fikirkan. Saya percaya penetapan strategi Cikgu Abd Wahab Bin Sepawi, Pegawai Pelajaran Mukah kepada semua sekolah di bahagian Mukah, kita perlu meningkat walaupun peningkatan tersebut 1%. Jika keputusan jatuh walaupun 1% kita tetap merosot.
  11. Kita hanya berusaha, tetapi tuhan yang menentukan – Untuk menjadikan sesebuah sekolah itu cemerlang saya perlukan sedikit pengorbanan dari semua guru SMK Belawai. Kita bukan mahu samakan SMK Belawai dengan Sekolah Berasrama Penuh atau nak sama kan SMK Belawai dengan sekolah di mana guru-guru di sini pernah belajar tetapi cukuplah sekadar SMK Belawai keluar dari kepompongnya iaitu keluar dari SPR – Sekolah berprestasi rendah. Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat sekeliling bahawa guru-guru di SMK Belawai juga berpotensi cemerlang. Sepanjang pengetahuan saya ada diantara ibu bapa di Belawai tidak yakin dengan SMK Belawai dan tidak mahu menghantar anak mereka di sini dan menghantar anak mereka bersekolah di Sarikei. Oleh itu sepanjang perkhidmatan kita di SMK Belawai biarlah kita mengikut pepatah Dimana bumi di pijak disitu langit dijunjung. Sama-samalah kita berusaha untuk kecemerlangan SMK Belawai dan menjadikan kecemerlangan itu kebanggaan kita semua.
  12. Program MaCS – Managing Challenging School merupakan satu program yang sangat baik. Program ini sebenarnya adalah khusus untuk diaplikasikan kepada sekolah-sekolah yang berprestasi rendah seperti sekolah kita. Tetapi apabila dilihat ia sangat baik, sekolah-sekolah yang prestasi baik juga mengaplikasikan program ini disekolah-sekolah mereka. Berapa ramai guru-guru di Sekolah kita yang benar-benar memahami program ini walaupun sudah beberapa kali diberi penerangan? Program ini sebenarnya sangat menolong guru di sekolah seperti kita mengenalpasti kedudukan prestasi murid. Pengkelompokan murid yang telah dibuat oleh guru sebenarnya amat menolong guru dalam mengenalpasti psikologi murid. Guru boleh gunakan pengklompokan murid ini untuk menentukan apakah yang patut diajar berdasarkan kemampuan murid. Sebenarnya Program MaCS ini telahpun membantu kita membuat “kerja rumah” yang disebutkan dan ditambah dengan kreativiti kita dalam menyampaian isi kandungan dengan menggunakan pelbagai ABM dan berbagai kaedah dalam P & P , bukan sekadar Chalk and Talk. Berapa ramai guru-guru sekolah kita yang menggunakan kaedah terkini dalam P & P mereka? Berapa ramai guru yang mengaplikasi kaedah-kaedah P&P yang dipelajari di Universiti dan Maktab di sekolah. Atau sudah lupa?
  13. Semua pekerjaan memerlukan perancangan. Kita tidak boleh menafikan pekerjaan lain tidak ada perancangan yang dilakukan oleh mereka. Kita hanya nampak profesion kita sahaja kerana kita tidak pernah menceburi pekerjaan lain. Bagi pendapat saya semua pekerjaan ada perancangan, walaupun ia seorang nelayan. Bagaimana mungkin seorang peguam akan berdepan dengan kes di mahkamah tanpa persediaan, mana mungkin seorang doctor pakar bedah untuk membuat pembedahan tanpa ada perancangan? Mana mungkin seorang Perdana Menteri berdepan dengan rakyat dengan keadaan politik kita pada masa kini tanpa perancangan dan bagaimana mungkin seorang nelayan akan ke laut tanpa perancangan dengan pukatnya, perahunya dan penyediaan-penyediaan lain sebelum ia turun ke laut. Ini menunjukkan bahawa bukan guru sahaja yang membuat perancangan. Barangkali perancangan yang dibuat hanya berbeza mengikut profesion tertentu. Sebelum menjadi guru saya pernah bekerja di sebuah Syarikat iaitu Infografik Design Consultan pada tahun 1991– saya rasa perancangan yang dilakukan oleh rakan-rakan dalam mengatur strategi marketingnya amat mencabar. Syarikat ini adalah syarikat pengiklanan yang membuat papan-papan iklan yang besar seperti di sepanjang lebuh raya di semenanjung. Sekarang syarikat ini adalah salah sebuah syarikat yang terkenal di Alor Setar. Oleh itu sebagai guru adakah kita patut mengabaikan perancangan?
  14. Kekuatan SMK Belawai – SMK Belawai mempunyai kekuatannya tersendiri. Ramai guru baru di tempatkan di sini. Saya kira semua guru yang baru tentulah mempunyai semangat yang tinggi untuk melihat tahap kemampuan diri dalam memberi pendidikan. Ramai pelajar yang berjaya maka cemerlanglah kita. Sebagai guru baru kita perlu ada Visi sendiri. Kita perlu ada target. Adakah kita ada menjadi guru biasa selamanya sehingga kita pencen? Bagi saya tidak. Saya bertugas sebagai guru bermula 1993 di SMK Three Rivers, Mukah. Saya mengajar Perdagangan dan Ekonomi Asas. Sejak diberi tugas tersebut , setiap tahun saya mencatatkan prestasi saya dengan peratus pencapaian murid. Sehingga saya berpindah ke Sibu hingga ke Tahun 2006 saya masih melihat prestasi P & P saya dengan pencapaian murid. Dari catatan saya, saya dapati sekiranya saya berusaha lebih sedikit pencapaian pelajar akan meningkat. Pada hakikatnya usaha dari kita (guru) selain dari usaha pelajar adalah perlu untuk mencapai kecemerlangan.
  15. Sebagai guru perdagangan target saya hanya satu sahaja pada masa itu – Guru Cemerlang Perdagangan. Seingat saya sebelum di arah bertukar ke SMK Belawai sebagai pengetua, 3 kali saya memohon sebagai guru cemerlang perdagangan. Maklumat yang saya terima ialah ia bukan subjek kritikal,walaupun pada masa tersebut banyak kekosongan jawatan tersebut. Oleh itu semua guru baru di SMK Belawai, tentukan target masing-masing seperti kata Allahyarham Awang Had Salleh, Mantan Naib Canselor UUM. “Letakkan Cita-cita Anda Setinggi Langit, Tidak Capai Langit Awan Pasti Di Capai”.
  16. Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia Dato’ Dr Abdul Shukur Abdullah (1998) menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan iaitu:
    i. Bersikap profesional.
    ii. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
    iii. Kaya ilmu.
    iv. Bertindak di atas landasan etika dan tatasula kerja.
    v. Bermoral teguh.
    vi. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
    vii. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
    viii. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid.
    ix. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
    x. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
    xi. Memastikan situasi guru mengajar dan murid belajar wujud dalam kelas.
    xii. Berkeupayaan melahirkan sekolah berwatak, supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti baik dan serba boleh.
    xiii. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
    xiv. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri
    xv. Taat setia terhadap perkhidmatannya mempertahankan maruah profesionnya
    xvi. Profesional dan menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
    xvii. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan semasa, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi
    http://www.ppdkmy.net/e107_plugins/content/content.php?content.8
  17. Pelajar tetap pelajar – Perasaan malas mereka adalah perkara biasa. Mana-mana sekolah pun akan menghadapi masalah yang sama termasuk sekolah-sekolah yang kita anggap sekolah hebat. Jadi masalah ini bukan hanya di sekolah kita sahaja. Masalah tak bawa buku. Tidak ada alat tulis, tidak buat kerja rumah, datang lewat, ponteng kelas dan sebagainya. Perkara ini juga perlukan sokongan guru untuk mengatasinya. Jika masalah ini dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan maka segala apa yang kita rancang dan target akan menjadi sia-sia. Carilah, bacalah (teori-teori dan tulisan bijak pandai dalam ilmu pendidikan), usahalah atau bertanyalah dengan rakan-rakan kita di sekolah lain apakah kaedah-kaedah yang digunakan oleh mereka yang dapat kita guna pakai di sekolah kita.
  18. Akhir sekali saya menyeru kepada semua guru-guru di SMK Belawai marilah kita sama-sama bergerak bersama untuk kemajuan SMK Belawai, sebelum kita berpindah, sebelum kita di tukarkan dan sebagainya kerana selagi sekolah ini tidak cemerlang masyarakat akan menganggap kita (guru-gurunya) juga tidak cemerlang. Sedangkan ramai guru-guru di SMK Belawai terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang. Ada di kalangan guru-guru kita yang beberapa kali mendapat Anugerah Dekan di Universiti. Contohilah rakan-rakan kita di sekolah Kluster, di Sekolah Sains (MRSM) dan sebagainya. Seperti kata rakan KPLI saya dulu Cikgu Nazir yang kini bertugas di MRSM Pokok Sena Kedah, katanya kami perlu sentiasa mendahului orang lain.

1 comment:

suffiyah solehah said...

salam. tengah cari silibus perdagangan untuk praktikal mengajar perdagangan. jupe blog cikgu. nanti bolehlah saya baca dan ambil maklumat2 berkaitan perdagangan. saya guru kaunseling, tapi minor saya perdagangan.

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.