PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, January 30, 2012

213.Guru Perlu Ada Identiti Diri Sendiri..

Hari ini SMK Belawai di buka semula setelah seminggu bercuti Tahun Baru Cina. Tidak ada pula nampak pelajar yang datang lewat. Semuanya dapat masuk ke kawasan sekolah dan menyertai perhimpunan harian tepat waktunya pada jam 6.45 pagi. Barangkali sudah tidak sabar lagi untuk bersama rakan-rakan, menuntut ilmu setelah puas bercuti atau tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dengan guru-guru kesayangan mereka.


Gambar Hiasan - Cg Voon Bersama-sama dengan pelajar MPV Pemprosesan Makanan SMK Belawai menyediakan tugasan.

Di pejabat sedia menanti 3 orang guru interim. Guru yang mempunyai Ijazah Pendidikan tetapi belum di “Posting”kan di mana-mana sekolah. Mereka akan berada di SMK Belawai selama 3 bulan. 2 dari UPSI dan seorang dari UM. Dari raut wajah mereka, sangat ikhlas untuk menjadi guru. Salah seorang dari mereka pernah berkhidmat sebagai guru sandaran, ini bermakna sudah ada diantara mereka yang mempunyai pengalaman mengajar.

Kata orang, guru baru umpama penyapu baru. Mereka akan bekerja bersungguh-sungguh, tetapi apabila sudah lama berkhidmat maka ada yang akan menjadi liat, malas dan sebagainya. Rancangan Pengajaran bukan lagi sebagai perancangan sebelum masuk ke kelas tetapi rancangan mengajar di buat setelah selesai P&P atau akan selesai apabila sampai tarikh untuk di hantar. Masa itulah tidak tidur malam. Tulis sahaja apa yang diingat. Janji rancangan pengajaran siap untuk di hantar esok. Harapan saya semua guru di SMK Belawai tidak mewarisi sikap begini dan sentiasa berusaha menjadi guru yang terbaik.

Gambar Hisan - Guru dekat dihati pelajar.
Dalam tugas saya sebagai seorang guru, saya sentiasa ingat beberapa orang guru yang pernah mengajar saya semasa saya dibangku sekolah dulu. Saya masih ingat dengan seorang guru Ilmu Alam (Geografi) – Cikgu Sarabanun, semasa saya Darjah 5 di Sek. Ren. Sri Gunong, saya masih ingat dengan cikgu Ekonomi – Cikgu Mokhtar (Allahyarham), Saya masih ingat dengan cikgu Sains semasa saya tingkatan 3 di SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar - Cikgu Che Me ( Kereta Fiatnya CB XXXX) – Sekadar menulis beberapa nama. Kenapa saya masih mengingati mereka, kenapa tidak cikgu lain. Dan, ada guru yang saya langsung tidak ingat nama walaupun ada gambar mereka dalam simpanan saya. Semua ini adalah kerana Identiti Diri mereka.

Sebagai seorang guru, sama ada guru baru atau guru lama. Identiti diri sangat penting. Ia terlalu personal. Saya mengingati Cg Sarabanun kerana guru ini sangat baik dan sangat tegas. Pernah sekali beliau bertanya, “.. sebelum jut dibuat tali apa yang perlu kita lakukan?” Satu kelas tidak dapat jawab. Sampai giliran saya, saya kata, “.. kena buang daunlah..” Tak sangka betul pulak jawapannya. Rakan-rakan lain tertanya-tanya, ada kah soalan macam tu. Tak tahulah pulak, yang pasti saya di suruh Cikgu ketuk kepala semua rakan dalam kelas. Saya mengingati Cikgu Che Me kerana beliau adalah seorang guru yang sangat rajin menyemak kerja bertulis kami, yang pasti jika sedikit salah atau kerja comot, memang ada hadiahnya… manakala Cikgu Mokhtar pula, kerana beliau selalu ulang-ulang cakap. Kelok permintaan dan penawaran memang dah di hujung lidahnya…

Dalam buku panduan guru untuk guru-guru SMK Belawai, saya menggariskan beberapa perkara yang harus dilakukan oleh guru terutama sekali bagi yang kali pertama berjumpa dengan pelajar. Saya percaya para guru mempunyai tindakan tersendiri secara professional tetapi ini adalah sebagai panduan dan sebagai berkongsi ilmu supaya kita sama-sama mendapat manfaatnya:

1. Tunjukkan ketegasan dalam sesuatu perkara apabila bercakap

2. Nyatakan kehendak cikgu,

a. Pelajar perlu diam semasa guru mengajar

b. Buku yang perlu di bawa oleh pelajar setiap kali guru masuk ke kelas.

c. Bilangan buku yang dikehendaki, buku kerja, buku latihan, buku nota dan sebagainya.
3. Kenali semua pelajar, nama pelajar perlu dihafal.

4. Jangan tunjuk kelemahan diri kepada pelajar kerana pertemuan pertama ini akan membuatkan pelajar mengingati dan menentukan penerimaan pelajar.

5. Jangan menakut-nakutkan pelajar dengan subjek yang bakal diajar.

6. Guru subjek perlu bersedia untuk menjawab pertanyaan pelajar.

7. Guru perlu membuat ulangkaji, banyak membaca terutama perkara-perkara baru tentang perubahan dalam sesuatu mata pelajaran.

8. Guru perlu laksanakan apa yang dijanjikan dengan pelajar. Ketidakpuasan hati pelajar terhadap guru akan menyebabkan pelajar kurang hormat kepada guru.

9. Elakan membebel perkara yang tidak berkaitan sehingga pelajar bosan.

10. Layani pelajar sama rata tanpa ada pilih kasih.

Terima kasih Cikgu...

Sunday, January 29, 2012

212.AirAsia Tidak Mengecewakan..

Baru saja nak memuji tentang penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Air Asia, tiba-tiba saya terbaca Air Asia telah di saman di Australia. Dalam dakwaannya syarikat penerbangan tersebut telah gagal mendedahkan harga penuh tambang penerbangannya di laman web. Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australlia (ACCC)  yang merupakan badan pemantau pengguna di sana mendakwa beberapa laluan tidak memaparkan harga selepas cukai, duti, yuran dan lain-lain caj lain.

Penumpang menunggu penerbangan masing-masing dengan penuh sabar
Air Asia bukan pilihan saya, barangkali kerana telah biasa dengan perkhidmatan yang disediakan oleh MAS. Pertama kali menggunakan perkhidmatan Air Asia sedikit masa lalu, membuatkan saya bertambah benci untuk memilih pernerbangan ini. Bermula dengan sukarnya membuat tempahan, berbaris untuk “Check In”  dan berebut ketika menaiki pesawat untuk memilih tempat duduk. Namun pilihan saya kali ini pada minggu lalu sabtu 19 Januari 2012, Sibu Ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Alor Setar dan pulang pada Sabu 28 Januari 2012 di laluan yang sama, secara langsung telah mengubah persepsi saya kterhadap  Air Asia.

Seperti yang di war-warkan oleh krew Air Asia di dalam pesawat, “Anda kini berada di dalam pesawat tambang murah terbaik di dunia…”, Air Asia yang terkenal dengan tambang murahnya, kini telah banyak membuat perubahan. Tempahan tiket lebih mudah dan yang paling menarik ialah “boarding pass” nya yang dapat di cetak di rumah, penumpang yang tiada bagasi boleh terus masuk kecuali yang ada bagasi perlu menghantar ke Kaunter “Cheek In”. Jangka masa yang diberikan dalam masa 3 jam sebelum penerbangan itu cukup selesa dan penumpang tidak perlu berebut- rebut. Masa menunggu bagasi tiba ke terminal juga agak cepat dan tidak menganggu perjalanan seterusnya.

Kedai ini menjadi pilihan penumpang sebelum penerbangan.. 
Pendek kata perjalanan kali ini dengan Air Asia sangat selesa dan pilihan untuk menggunakan perkhidmatan Air Asia kali ini sangat tepat. Oleh kerana tempahan yang dibuat agak lewat dan hampir dengan masa bertolak maka harganya agak mahal, berbanding dengan tambang semasa pulang. Namun jika dibandingkan dengan harga MAS, harga tambang Air Asia agak murah. Seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Tony Fernandes, Ketua Eksekutif dan pemegang saham terbesar Air Asia, Air Asia hanya mengenakan caj kepada apa yang mahu penumpang guna. Oleh itu terpulanglah kepada pengguna memilih dan fikir apa yang mereka perlukan. Ia termasuklah pilihan timbangan bagasi, makanan, insurans, pilihan tempat duduk dan sebagainya.

Ada kedai yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan penumpang di KLCC
Walaupun demikian, pihak pengurusan Air Asia dan Pengerusi Air Asia X, Tan Sri Rafidah Aziz perlu memikirkan tentang rungutan orang ramai dari masa ke semasa supaya ia lebih mantap dan menjadi lebih baik dari apa yang ada sekarang. Jangan melihat saman di Australia itu adalah “enteng” tetapi sebenarnya ia telah mencemarkan sedikit nama baik Air Asia. Kaji balik segala kelemahan sama ada penerbangan Domestik atau antarabangsa. Lihatlah isu ini secara positif. Harga mungkin sebahagian dari isunya tetapi mungkin Air Asia perlu melihat tentang hal lain juga yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna. Air Asia dan Pengguna adalah saling memerlu antara satu sama lain, tidak salah jika kebajikan pengguna di jaga dengan baik, sebaliknya merekalah yang akan menjadi duta kecil bagi Air Asia dalam mempromosikan produk sedia ada.

Dari pengalaman saya baru-baru ini, perkhdimatan Air Asia sama seperti perkhdimatan MAS semasa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sedikit masa lalu sebelum adanya KLIA. Cuma tiada bas yang menghantar dan menunggu penumpang ke terminal. Penumpang perlu berjalan kaki yang  kadangkalanya agak jauh. Barangkali perlu sedikit perhatian yang serius…

Catatan ini bukan Iklan Untuk AirAsia dan tidak dibayar..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.