PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, February 28, 2011

171.Menggadai maruah demi kelangsungan hidup?

keseronokan atas penderitaan orang lain
Pengajaran kepada siapa?

Sekali lagi institusi pendidikan dicuit, dengan kejadian pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim. Bukan itu saja, sebelum ini pun kita dikejutkan dengan pesta mengutip duit syling di Seremban. Dua kisah ini mendapat perhatian pelbagai pihak dan ada yang melihatnya sebagai lucu dan ada yang melihatnya dengan perasaan penuh geram, sakit hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang ramai tersebut. Apa yang pasti, ada yang mempersoalkan institusi pendidikan tidak memainkan peranannya dengan baik sehingga tidak dapat menanam sikap yang terpuji kepada rakyatnya.

Namun begitu, ada juga yang melihat bahawa kejadian ini adalah akibat demi kelangsungan hidup. Bukannya manusia itu tidak diajar dengan adap dan tatasusila sama ada di sekolah atau di rumah, dan tiada satu agama pun yang mengajar bahawa mencuri itu diredai tetapi desakan hidup, kenaikan harga barang, pertambahan ahli keluarga, pendapatan yang sedikit, pertambahan penyakit dan sebagainya membuatkan mereka lupakan hal halal haram dan hak sehingga mengabaikan mangsa yang kesakitan. Bahkan mengabaikan mangsa yang meninggal dunia dan tanpa belas kasihan mencuri “handphone” dan dompet.

Ada juga yang melihat, ia adalah satu pengajaran yang berguna kepada semua pemandu, terutama pemandu lori yang menjadi raja di jalanraya. Jika ada lagi kejadian sebagini maka beginilah nasib yang akan menimpa mereka. Dengan rasa tidak tahu malu dan menggadai maruah, "orang ramai tertentu" akan “menghurungi” tempat kejadian seperti semut. Bukan untuk menghulur bantuan tetapi menolong mengutip apa saja yang difikirkan dapat diguna dan dimakan. Dalam pada itu ada pendapat yang mempersoalkan bahawa, muka-muka orang yang terlibat dalam kejadian mencuri itu bukannya mirip wajah orang-orang Malaysia tetapi pendatang asing, yang mencemar nama baik Negara.

Walau apapun pendapat kita, kejadian ini sebenarnya adalah kes terpencil tetapi menjadi besar kerana kejadian kita nampak di depan mata. Saya percaya kejadian seperti ini sengaja ditunjukkan oleh Allah SWT supaya kita menyedari bahawa, banyak lagi kejadian yang tersembunyi yang dari dulu lagi tidak dapat dibendung. Manusia yang dijadikan Allah itu sebagai sebaik-baik makhluk, jika ada peluang akan mudah lupa akan hak, halal dan haram disamping godaan dan rasukan syaitan yang sentiasa memandu manusia ke tempat yang hina, kadangkala manusia itu sanggup membunuh untuk mengaut sesuatu yang terang-terang menyatakan itu bukan hak dan mereka tidak boleh makan tanpa izin.

Allah melarang manusia memakan harta anak yatim – tetapi, berapa ramai yang engkar? Menggunakan harta anak yatim demi kepentingan diri. Kejadian rasuah berlaku dimana-mana tanpa kita sedari walaupun rasuahnya dengan kadar dan nilai yang sangat kecil. Mencuri juga berlaku dimana-mana, kita hanya sedar bahawa mencuri itu adalah mencuri wang dan harta benda tetapi berapa ramai yang mencuri air, mencuri elektrik, mencuri masa, mencuri tulang dan sebagainya dalam kehidupan harian. Lebih malang lagi orang-orang yang mencuri ini menggunakannya untuk beribadat kepada Allah. Mencuri air mengambil wuduk untuk bersolat, mencuri elektrik menerangi rumah semasa bersolat dan lain-lain.

Banyak Ilmu yang tidak dipelajari di sekolah. Manusia itu belajar dari pelbagai sumber. Namun didikan awal dan contoh teladan di rumah adalah sangat-sangat penting kepada pembentukan sahsiah manusia. Baik didikan ibu bapa, baiklah keturunannya. Walaupun apapun alasan yang diberikan, demi kelangsungan hidup, penderitaan dan demi apa pun, hak orang tetap hak orang, halal tetap halal, haram tetap haram. Biar kebulur sekalipun, jika seseorang itu tahu akan hukum hakamnya, saya percaya, tiada siapapun mempunyai keinginan dihati untuk mengambil, mengguna, makan dan akhirnya menjadi darah daging yang sentiasa mengalir di dalam tubuh. Hanya mereka yang dipesongkan hati oleh syaitan yang sanggup berbuat demikan...

Thursday, February 24, 2011

170.Pengaruh dan Aura

Cikgu bertemu dengan cikgu, sudah tentu banyak cerita nak disampaikan. Begitulah ragam setiap kali bila saya sampai ke Negeri Asal ini. Mencari kawan-kawan lama, satu aliran. Namun rakan-rakan sepermainan sekampung sekadar bertegur sapa, bertanya khabar. Barangkali lama berpisah membuatkan rasa segan, segok dan berbagai lagi perasaan timbul di hati masing-masing, sebaliknya masa kecil sama-sama mandi sungai, menangkap ikan di bendang, sama-sama bermain meriam buluh, bermain pondok-pondok dan sebagainya. Masa berlalu begitu cepat sekali, kematangan berfikir mengatasi segalanya dan semua kini berjalan dengan “serius”, bukan berfikiran seperti budak-budak, ada tanggungjawab masing-masing yang terpaksa dipikul.

Baju Merah SMK Mergong
Baju Hitam Maktab Mahmud
Penyokong Maktab Mahmud
Mempengaruhi penonton yang lain dengan gelagat mereka
semasa perlawanan bola sepak SMK mergong dengan sekolah mereka
Selesai sahaja perlawanan bola sepak MSSD antara SMK Mergong dengan Maktab Mahmud Alor Setar dengan keputusan SMK Mergong menang 1-0, saya bersama rakan-rakan yang bertugas beredar mencari tempat untuk membasahi tekak. Bukan kerana sakit tekak kerana terjerit-jerit dipadang tetapi sengaja mencari tempat yang sesuai untuk menyambung cerita semasa di padang yang seringkali terganggu kerana tugas, dan kekerapan pemain untuk bertukar. Tempat yang menjadi pilihan ialah di warung mee rebus, Pantai Johor. Tempat ini tidak ada pantai tetapi, berhampiran dengan tebing sungai. Barangkali adanya jambatan di situ, seakan2 tambak Johor, tempat tersebut dinamakan Pantai Johor.

Mee Rebus Hj Yusof,
Pantai Johor..
Dalam pelbagai cerita, yang menarik hati saya ialah bagaimana luahan perasaan seorang sahabat yang tidak berpuas hati dengan seorang guru di sekolahnya. Guru ini, katanya seringkali melobi pihak pentadbiran supaya beliau ditukarkan ke kelas yang baik jika beliau ditugaskan mengajar kelas hujung. Mangsanya ialah guru-guru yang tidak banyak “songeh”. Menerima tugas dengan tenang walaupun tahu akan keadaan sebenar. Berbagai komen rakan-rakan tentang guru jenis ini. Bagi saya bukan di sekolah berkenaan sahaja yang mengalami keadaan sedemikan tetapi ia juga berlaku dimana-mana sekolah dan ini merumitkan tugas pentadbiran. Ketika ini saya menjadi pendengar yang baik dan mengambil pengajaran apa yang berlaku.

Saya percaya bahawa guru jenis ini adalah guru yang tidak yakin pada diri sendiri. Guru jenis ini juga adalah guru yang tidak ada daya “pengaruh” atau “aura” yang tersendiri. Beliau bukan sahaja menjatuh maruah dirinya tetapi telah menunjukkan bahawa dirinya adalah seorang guru yang lemah.  Pada pandangan saya, jika saya diberi kelas yang lemah ia adalah suatu yang sangat baik. Jika kelas ini tidak pernah lulus dalam sesuatu subjek dan kita sebagai guru dapat meluluskan pelajar walaupun 1% darinya, guru ini dilihat sudah cemerlang. Ini berbeza jika kita deberikan kelas yang baik tetapi kita tidak dapat mengekalkan kecemerlangan atau merosot pencapaian, kita akan dilihat sebagai seorang guru yang lemah.

Alasan tidak dapat mengajar di kelas hujung kerana tidak dapat menumpukan P & P dengan cemerlang tidak dapat dapat diterima. Sesuatu yang saya kira boleh diterima oleh masyarakat ialah semua sekolah kecuali MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh adalah pelajar2 datang dari latar belakang pelajar yang pencapaian akademiknya rendah. Sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman ini juga mempunyai ramai pelajar yang buta huruf. Jika adapun pelajar yang cemerlang, pelajar tersebut ialah pelajar yang menolak tawaran ke sekolah yang dianggap terbaik.

Sebagai seorang guru yang baik kita perlu menanam keyakinan diri. Mana-mana kelas yang diberi kepada kita adalah “Amanah” dan berusahalah supaya menampakkan hasil seperti yang diharapan oleh pihak sekolah atau ibu bapa. Guru-guru perlu ada “Pengaruh” atau “aura” tersendiri dalam mengubah mentality, menyatakan beliau tidak boleh melakukan itu dan ini. Bina pengaruh yang luar biasa kepada pelajar, supaya mereka dapat mengikuti P & P guru.  Tertarik dengan guru, senang dengan pengajaran guru, menghormati guru dan ahirnya memberi kejayaan kepada diri mereka dan guru.

Raja lawak mempunyai pengaruh yang kuat kepada peminatnya
Semua orang mempunyai “pengaruh” dan “aura”nya yang tersendiri. Namun kita tidak menyedarinya. Ia berbeza antara individu. Kita menyukai seseorang bukan kerana dirinya kaya, tetapi ada sesuatu kepada dirinya yang kita suka. Sama ada cara percakapannya, sikapnya, cara pemakaiannya dan lain-lain. Begitu juga dengan diri kita, ada rakan2 yang senang berhubung dengan kita kerana kita juga ada “pengaruh” dan “aura” tersendiri. Aura ialah medan tenaga elektromagnetik yang wujud disekeliling kehidupan sama ada manusia, tumbuhan, haiwan dan jisim2.

Kanak-kanak mempunyai pengaruh dan aura yang sangat kuat
Kita terpengaruh dengan senyumannya, kecomelannya, dan tubuh badannya,
Kadang-kala semua orang terpengaruh dengan tangisannya, dan menyataka kesedihan,
belas kasihan dan ingin mengetahui akan apa yang menimpa mereka dengan kasih sayang...
Dalam pada itu, dalam kita membina “Pengaruh” dan “aura” tersendiri, kita juga mungkin akan terpengaruh dengan kenakalan pelajar sehingga kita takut untuk menghadapi mereka, terpangaruh dengan tipu daya mereka, perpengaruh dengan kehebatan mereka, sehingga kadang-kala kita tidak Nampak pelajar lain yang berbakat. Kita membuat kesilapan hanya pelajar ini sahaja seringkali keluar mewakili sekolah kerana hati terpaut kepadanya. Dalam kelas, kita terpengaruh dengan kepandaian seseorang pelajar sehingga kita mengabaikan pelajar lain.  Oleh itu guru cemerlang perlu bertindak secara “Bijaksana”..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.