PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, January 31, 2011

158.Cari Duit Tujuan Utama Ke Sekolah?

Biasanya sebagai guru, kita akan bertanya kepada pelajar, Apakah tujuan sebenar mereka ke sekolah. Bila soalan ini diajukan ramailah pelajar akan menjawab mereka ke sekolah ialah untuk mencari ilmu pengetahuan, mencari pengalaman dan sebagainya. Ada juga guru-guru yang bertanya kepada pelajar dengan cara yang lebih spesifik, bila besar nanti nak jadi apa? Atau apakah cita-cita kamu?  Tentunya pelbagai Jawapan yang mereka berikan, ada yang mahu jadi Guru, Polis, Doctor, Peguam. Akauntan dan lain-lain. Jika diberi ruang untuk mereka bercakap, jawapan yang keluar dari mulut mereka dilihat  bersungguh-sungguh yang menunjukkan ketulusan hati dan minat masing-masing. Ada juga yang tidak tahu apa2 dan apa nak jadi, jadilah.

Teringat saya kepada seorang sepupu, di Felda Bukit Tembaga. Semasa sesi pengenalan pelajar-pelajar darjah satu di SK Bukit Tembaga, Guru bertanya, bila besar nanti kamu nak jadi apa. Dengan selamba dia berkata, bila besar nanti dia nak jadi komunis. Kata cikgu, betul juga, polis dah ada, tentera pun dah ada.. nanti mereka tidak ada kerja pula. Namun, selepas meniti hari demi hari dan selesai persekolahan beliau kini bekerja sebagai pelukis plan di Kuala Lumpur.

Sebagai seorang guru, saya juga tidak terlepas bertanyakkan pelajar dengan soalan-soalan seperti ini.  Setiap kali hari pertama bertemu dengan pelajar atau pertama kali menjejakkan kaki di dalam kelas untuk subjek perdagangan, saya ajukan soalan apa tujuan kita kesekolah. Jawapan mereka memang streotaip.  Namun, saya akan bertanya dan bertanya sehingga mereka keluar perkataan, mereka mencari ilmu untuk mendapatkan pekerjaan.

Kesimpulan saya kepada pelajar-pelajar tersebut ialah tujuan kita belajar sebenarnya ialah untuk mencari “duit” sebagai rezeki kita untuk sepanjang hayat. Tanpa ilmu yang kukuh kita tidak dapat menjawat pekerjaan yang kita kehendaki. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya kita perlu cari ilmu yang berkenaan untuk menjadi usahawan. Untuk menjadi doctor kita kena belajar kearah menjadi seorang doctor. Untuk menjadi jurutera maka belajarlah ilmu kearah tersebut  begitulah dengan pekerjaan-pekerjaan lain.

Benar, Rezeki Allah itu di mana-mana. Namun sebagai inspirasi kepada pelajar untuk kejayaan. Mereka boleh memilih jalan mana yang mereka mahu. Mereka boleh memilih bidang mana yang menjadi pilihan dan minat, dan bidang mana yang mendatangkan pendapatan yang lumayan.  Mereka juga boleh memilih bidang mana yang menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak.  Belajar bersungguh-sungguh sahaja tidak menjanjikan pekerjaan yang baik jika bidang yang diambil tidak menjurus kepada minat dan cita-cita mereka. Akhirnya akan ada yang menjadi penganggur terhormat. Seterusnya nasihat kita kepada mereka seolah-olah kita tidak bercakap benar.

Mohamad Khalifah bekas pelajar SMK Methodist, Sibu (Pelajar isteri)
Menerima Sijil Dalam Majlis Meraikan AJK Lama Kelab Setia
Dalam satu majlis ringkas yang diadakan oleh Ahli Kelab Setia di rumah saya..
Beliau kini seorang Polis, sedangkan rakan-rakannya yang lain sedang menunggu
keputusan STPM. Ada rakannya kini menjawat jawatan GSTT di sekolah yang sama..
Gaji pertama.. belanja guru-gurunya makan nasi ayam.. Tahniah - Semoga pilihan kamu tepat...
Saya amat menyedari bahawa pada masa kini ramai pelajar yang pandai membuat keputusan untuk diri sendiri. Selepas sahaja tingkatan lima, ramai yang sudah beralih ke dunia pekerjaan berbanding dengan rakan-rakan yang menyambung ke tingkatan enam, ke maktab, ke matrikulasi dan sebagainya. Tuntutan mahu mendapat duit sendiri juga membuatkan mereka mahu menjauhkan diri dari terus menuntut ilmu. Bagi mereka sudah memadai dengan apa yang ada dan akur dengan ganjaran yang bakal di terima. Sesetengah pelajar masuk ke Universiti itu bukan menjadi matlamat utama untuk mendapat “duit” tetapi memadai dengan ilmu yang ada dan berpuas hati dengan pekerjaan yang ada...

Saturday, January 29, 2011

157.Sejarah Laluan Kerja.. Bernilai Bila Menjadi Ketua

Semasa kita menjawat jawatan sebagai guru atau selepas kita keluar maktab atau university dan posting ke sekolah, dalam hati sebilangan besar dari  kita berkata, kita akan menjadi guru biasa untuk selamanya. Langsung tidak terdetik di dalam hati bahawa suatu hari nanti kita akan menjadi ketua. Bukan hanya sekadar menjadi Pengetua, Ketua Panitia, Penolong Kanan, Guru Kanan, guru cemerlang, Guru Media, Guru Data,  guru itu dan ini di sesebuah sekolah bahkan seorang Pegawai Pelajaran Daerah atau Pengarah sekalipun. Namun bagi yang tidak mahu menyahut cabaran sudah tentu pelbagai alasan yang dikemukakan untuk mengelak dan pelbagai alasan juga dicari supaya menjadi orang kedua tetapi bukan ketua walaupun di dalam satu Jawatankuasa yang kecil.

Orang yang cemerlang diibarat dicampak ke laut menjadi pulau
Dicampak ke darat menjadi gunung
Cg Aseng Kuman - Pengetua SMK St. Patrick, Mukah
Dalam satu sesi perkongsian Ilmu
Tahniah - Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Ketua Menteri
Atas sumbangan yang diberikan dalam dunia pendidikan
Sebagai seorang ketua, sudah tentu kita mahu menjadi ketua yang berjaya. Sudah tentu kita mempunyai strategi tersendiri yang ingin dilakukan. Maka pelbagai program dan aktiviti yang mahu dilakukan supaya matlamat akhir yang ditetapkan akan berjaya. Saya pernah terbaca satu petikan, tetapi tidak ingat di mana sumbernya. Seorang ketua yang berjaya kadangkalanya adalah lahir daripada seorang pekerja yang teruk. Beliau berjaya kerana perkara-perkara yang dilakukan semasa beliau menjadi pekerja biasa, pasti beliau tidak mahu orang lain melakukannya dan semua alasan yang diberikan oleh pekerja adalah alasan-alasan sama seperti yang dilakukan oleh beliau.

Ketua seperti ini tentunya Nampak hebat tetapi beliau tidak dapat lari dari kenyataan sebenar jika orang yang dipimpinnya adalah rakan-rakan dan orang-orang yang sangat mengetahui akan rahsiannya. Semua kata-kata dan contoh-contoh yang diberikan yang berkaitan dengan dirinya sudah tentu akan dilihat seperti “Cakap tidak serupa bikin”. Rungutan atau cakap-cakap belakang sudah tentu akan kedengaran. Lebih memilukan jika ada diantara rakan-rakan atau orang yang dipimpin sukar ditegur dan engkar untuk melakukan sesuatu seperti yang diminta sama seperti engkar beliau bila suruh semasa menjadi pekerja biasa dahulu. Paling menyakitkan hati bila ada yang cuba memalukan ketua ini jika ada yang berani mengakatan “ saya bertindak seperti kamu dulu”...

Kesedaran awal kepada seseorang guru supaya tidak terjadi seperti ketua yang begini adalah sangat penting. Sejarah kerjaya kita seringkali akan disebut-sebut dan dikait-kaitkan dengan apa yang kita lakukan. Bagi guru-guru yang sangat rajin tiada masalah baginya walau di mana sekalipun ditempatkan. Masalah akan timbul bagi guru-guru yang agak malas dan seringkali mengelak sesuatu tugasan yang diberikan. Mahu di berikan anugerah sebagai pekerja cemerlang pun akan dipertikaikan.

Semasa saya membuat ROS, Rancangan Orientasi Sekolah di sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah pada tahun 1992, saya melihat seorang pengetua ini sangat cemerlang. Pengurusannya sangat teliti. Sekolah ini sangat cemerlang akademiknya. Namun di hati guru-guru yang mengenalinya sejak sama-sama bertugas dan kini menjadi orang yang dipimpinnya melihat apa yang dilakukannya sangat kontra sama sekali. Contoh-contoh kepada guru-guru berkaitan dengan dirinya adalah omong kosong untuk meyedapkan bait-bait taklimat yang diberikan. Begitu juga wahyu-wahyu pihak atasan kini, yang kadangkalanya datang dari orang-orang yang tidak cemerlang dan semua perkara yang dilakukan tanpa ketelitian dan dibuat secara “Cut and paste”.

Marilah sama-sama kita renungkan apa yang kita lakukan. Adakah kita tergolong dalam golongan seperti ini. Usahalah yang terbaik. Belajar dari sekarang sebagai ketua suatu hari nanti. Jadilah guru yang terbaik supaya kerjaya kita akan datang tidak dipersoalkan. Diungkit kisah silam tentang kewibawaan atau kredibiliti. Bagi guru-guru muda, yang baru memegang duit sendiri, jangan terlalu leka dengan apa yang kita hajati. Laluan kerjaya kita masih panjang. Jangan sampai kita lupa tugas sebenar,  kerana sejak melapor diri kita sudah mula dinilai... Jadilah guru yang dihormati oleh rakan dan taulan..

Terima kasih cikgu

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.