PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, November 17, 2009

60. Payahnya Bila Atap Nak Jadi Tiang, Tiang Nak Jadi Dinding, Dan Dinding Nak Jadi Tangga

Disalin terus dari : http://serijenerus.blogspot.com/. Menarik. Silalah lawati blog ini untuk sama-sama berkongsi ilmu.

Ada satu cerita rakyat zaman dahulu kala, dalam nada simbolik membawa kisah bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya. Kisah bermula bilamana atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, panas, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira, demikian juga bila hujan turun, dialah yang terpaksa berhadapan dengan hujan rebut ini. Perasaan kecewa dan sedih bertambah bilamana atap tengok tiang yang dirasakan lebih rehat dari dia, tak kena panas dan tak kena hujan, lalu ia merungut:
“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.
Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab:
“Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,” rungut tiang.
Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk:
“Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh:
“Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa aku nilah yang paling berat antara semua perkakas rumah ni. Aku terpaksa kena hujan panas, aku terpaksa pikul babanan orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum semua kita rebah menyembah bumi semuanya.”
Pengajaran dari kisah tersebut ialah jangan kita hanya nampak susah kita, tapi tak pernah fikir susah orang lain, dan yang lebih penting jangan kita nak jadi benda lain. Kita harus jadi kita, kerana itulah amanah yang diberi kepada kita. Payahnya bilamana atap nak jadi tiang, tiang pulak nak jadi dinding dan dinding pulak nak jadi tangga.
Hakikatnya, Kita saling memerlukan antara satu sama.

59. Cuti Sekolah

  1. Cuti sekolah akan bermula lagi, mulai 21.11.2009 hingga sekolah dibuka semula pada 4.1.2010. Namun begitu bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran kerana peperiksaan ini amat penting dalam diari hidup mereka. Di SMKB peperiksaan akan bermula pada 18.11.2009 dan akan tamat dengan mata pelajaran Perdagangan pada 9.12.2009.
  2. Sebagai seorang guru, di sinilah cabaran yang menanti kita, Nak bercuti awal dengan membiarkan para pelajar bersendirian menghadapi SPM atau masih di sekolah sehingga para pelajar selesai menduduki kertas peperiksaan mata pelajaran yang kita ajar.
  3. Tidak dinafikan apabila cuti sekolah, bagi guru-guru yang jauh, inilah peluang yang ditunggu-tunggu untuk berjumpa dengan anak, bini, saudara mara dan sahabat handai yang ditinggalkan. Inilah nasib yang terpaksa diterima oleh para pelajar di sini saban tahun. Jika ada sesuatu kemuskilan untuk ditanya dan sebagainya tentu susah. Hanya yang kelihatan ialah seorang dua, guru-guru tempatan yang masih datang ke sekolah walaupun dalam masa cuti. Begitulah lazimnya. Namun begitu kita percaya semua guru tidak kira jauh atau dekat telah membekalkan ilmu yang secukupnya kepada para pelajar untuk berjuang dalam dewan peperiksaan.
  4. Sepanjang tahun 2009, telah menyaksikan berberapa orang guru SMKB telah dinaikan pangkat dari DG41 ke DG44. Guru-guru berkenaan ialah Cg Yusup, Cg Hazina dan Cg Hanipah. Begitu juga dengan KPT N22 En Dor Bin Mansur telah dinaikkan pangkat ke N26 dan memaksa beliau berpindah ke SMK TPDPH Normah Daro - mengikut kelayakan. Sepatutnya beliau sudah berpindah 3 bulan yang lalu tetapi disebabkan di SMKB tidak ada KPT dan PT maka, perbincangan dengan antara pengetua SMKB dan SMK TPDPH mencapai kata sepakat En Dor dipinjamkan di SMKB. N11, Cik Ar-Za-Tina juga telah dinaikkan pangkat ke N17 dan kini beliau bergelar PT, atau Pembantu Tadbir. Tahniah kepada mereka.
  5. Pada tahun ini juga kita akan kehilangan beberapa orang guru kerana akan berpindah dan tamat perkhidmatan bagi guru GSTT . Mereka ialah Ustaz Rozaidi yang akan berpindah ke Perak, Cg Shirina Kong Ai Siang (Guru Kanan Sains dan Matematik) akan berpindah ke Mukah - SMK 3 Rivers, manakala guru GSTT yang tamat perkhidmatan ialah Cg Kristin, Cg Farah Diva dan Cg Sufiana. Guru-guru GSTT yang akan tamat perkhidmatan pada hujung tahun ini pula ialah Cg Maszura, Cg Haslina, Cg Nurbaizura dan Cg Mohd. Nuruhisyam.
  6. Barangkali ada lagi guru-guru yang akan berpindah belum diketahui dan disahkan dengan surat rasmi dari Jabatan. Bagaimanapun perpindahan ini akan melibatkan perubahan dimana Guru Kanan Sains dan Matematik perlu dicari ganti, begitu guru-guru lain. Bagi guru-guru yang mohon berpindah tetapi tidak diluluskan, cuba lagi tahun hadapan. Harapan saya cg akan lebih gigih bekerja dan keputusan tersebut bukan melemahkan cg. Sekolah kita masih perlukan perkhidmatan cg. Sama-samalah kita cemerlangkan SMKB.
  7. Bagi mereka yang akan berpindah, Pihak sekolah merakamkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan di SMKB. Sentiasa ingatkan SMKB dan saya doakan kejayaan kita bersama walau dimana kita berada. Bertemu dan berpisah itu memang lumrah dan pasti.
  8. Saya juga mengucapkan Selamat Datang kepada 3 orang guru baru yang akan memulakan kerjaya mereka sebagai seorang guru di SMKB iaitu Cg Sharifah Nurul Izzah, Cg Hasimah dan Cg Farah Wahiza. Selamat menjadi warga SMKB dan sama-sama kita memartabatkan profesion perguruan di SMKB.
  9. Akhir sekali selamat bercuti kepada semua guru dan para pelajar. Spt biasa pesanan saya jaga keselamatan dan kesihatan. Ingin saya mengingatkan diri saya dan guru-guru dan AKS yang berumur 40 tahun ke atas sila buat pemeriksaan kesihatan seperti yang disarankan oleh surat edaran jabatan, dan ambil maklum seseorang pegawai tidak akan dinaikkan pangkat jika kesihatannya tidak memuaskan. Bagi guru-guru tempatan jaga diri dari nyamok yang membawa kepada kes Chikukunya yang berleluasa sekarang.
  10. Saya juga sarankan kepada semua guru, dalam masa cuti ini, tingkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam P & P dengan banyak MEMBACA buku-buku dan majalah-majalah pendidikan. Bacalah dan ambil idea-idea hasil kajian mereka. Semoga kita sama-sama berubah dan menjadi guru yang cemerlang dan profesional. Bukan guru Chalk and Talk atau Talk The Walk. Jangan terlalu asyik dan leka dengan facebook dan perkara-perkara yang melalaikan sehingga matlamat kita kepada pekerjaan dan sesuatu yang lebih penting dalam kehidupan terabai.
  11. Selamat bercuti, selamat Hari Raya Aidiladha dan sampaikan salam saya kepada seluruh keluarga cikgu. Semoga kita sentiasa di Rahmati Allah S.W.T - Amin

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.