![]() |
| Perjalanan balik dari Mukah 6.30 pagi |
Seperti yang dirancang bersama keluarga untuk ke Batang Ai akhirnya termakmul. Saya bertolak balik dari Mukah dengan Bas Lanang jam 6.30 pagi. Seperti pengalaman semasa pergi, selama 1 jam 30 minit berhempas pulas dengan keadaan jalan yang tidak memuaskan dan beberapa kali kecut perut, bas yang saya naiki selamat sampai di kawasan rehat di Pekan Selangau jam 8.15 pagi. Seterusnya meneruskan perjalanan dan sampai ke Sibu jam 10.00 pagi.
Perkelahan ke Batang Ai sebenarnya adalah diatur oleh WI Cawangan Bunga Raya, Sibu dan Ahli-ahli Seberkas Kampung Hilir dengan menggunakan Bas Baram. Oleh kerana ramai yang ingin menyertai dan masing-masing ada urusan maka saya dan beberapa keluarga lain mengambil keputusan untuk menggunakan kereta sendiri. Bas bertolak lebih awal sementara saya sekeluarga bertolak ke sana jam 11.30 pagi dan sampai di Batang Ai pada jam 3.30 petang.
![]() |
| Pemandangan di Batang |
Perjalanan ke Batang Ai sangat jauh dan meletihkan. Dari sibu ke Sarikei kerang lebih 70Km. Sarikei ke Simpang masuk ke Batang Ai lebih 100Km dan dari Simpang masuk ke Batang Ai 40Km. Batang Ai Nasional Park ini terletak di Bahagian Sri Aman dan merupakan salah satu tempat pelancongan yang terkenal di Sarawak, cantik dan sangat bersih. Jauhnya dari Bandar Kuching ialah 250 Km. Bolehlah dikatakan ia terletak di tengah-tengah antara Sibu dan Kuching dan di Kawasan sempandan dengan Kalimantan Indonesia. Majoriti penduduk disini ialah Orang Iban dan Bandar terdekat ialah Lubuk Antu.
![]() |
| Berbagai barang di jual di Pekan Lubuk Antu. |
Niat untuk berkelah dan makan-makan sambil menikmati pemandangan di Dam Batang Ai bertukar berkelah di dalam bilik di Sarawak Energy, Batang Ai Township. Masing-masing dah keletihan dan tidak kuasa lagi membawa makanan untuk menuruni bukit bukau ke gigi air. Kami hanya berjalan-jalan dan menikmati pemandangan. Sangat Indah, dan rasanya tidak cukup 1 malam di sini. Pada malamnya, sama-sama menyertai kumpulan WI dan ahli Seberkas yang lain “BBQ” . Berbagai aktiviti disusun oleh mereka untuk memeriahkan suasana dan amat menyeronokkan melupakan keletihan semasa perjalanan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Bermukun, Berkaraoke, tarian poco-poco dan pertunjukan silap mata untuk hiburkan kanak-kanak yang turut serta.
Walaupun hanya 1 malam bersama keluarga di Batang Ai ini. Rasanya sangat gembira, walaupun pada petang tersebut saya terpaksa kembali ke sekolah dan perjalanan diteruskan oleh isteri dari Sarikei ke Sibu. Urusan di sekolah pun berjalan lancar pada hari isnin. Syukur rombongan En Osman, dari JAN (Jabatan Akauntan Negara, Cawangan Sarikei) keatas urusan naziran kewangan sekolah sangat memuaskan. Tiada banyak teguran. Nampaknya peluang untuk SMKB cemerlang dalam bidang ini amat cerah. InsyaAllah.







