Esok 15 November adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh sebilangan rakan-rakan guru kita yang memohon untuk berpindah. Esok adalah tarikh yang diberitahu oleh pihak jabatan akan diumumkan nama-nama guru yang berjaya memohon pindah dalam sistem e-Gtukar (Sistem Pertukaran Guru Secara Online) sama ada berpindah dalam bahagian, antara bahagian dan perpindahan antara negeri.
SMKB pada tahun ini mencatat sejarah 15 Orang guru memohon bertukar secara online, dengan berbagai alasan yang diberikan. Saya kira ini adalah permohonan yang terbanyak, sebelum saya dimaklumkan oleh rakan-rakan, ada sekolah yang jumlah permohonan pindah sehingga 20 orang dan sekolah-sekolah yang dipohon pula ialah sekolah-sekolah yang berdekatan dengan sekolah asal. Walau apa pun ini adalah kemudahan yang disediakan oleh pihak Kementerian dan boleh dicuba jika ada alasan-alasan tertentu untuk berpindah. Namun jika semua permohonan ini diluluskan, juga akan mengundang pelbagai masalah.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Kementerian kerana kali ini adalah kali pertama keputusan perpindahan akan dimaklumkan lebih awal tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya berharap untuk tahun-tahun yang akan datang, ia akan berterusan kerana pihak sekolah dapat membuat peranangan dengan lebih awal sebelum sesi persekolahan dibuka. Untuk memantapkan lagi urusan pentadbiran sekolah terutama masalah permulaan sesi persekolahan Saya menyarankan, agar nama-nama guru dan opsyen mereka dapat dihantar dengan segera ke sekolah-sekolah yang dipohon. Jika tiada pengganti, pihak Jabatan perlu maklumkan dan guru GSTT perlu diisi dengan segera. Dengan cara ini, dapat menyelesaikan masalah pembahagian mata pelajaran yang perlu diajar oleh guru dan tidak berlaku pertukaran guru dan pertukaran jadual waktu yang kerap.
Perpindahan guru sedikit sebanyak memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada perkembangan sekolah. Perpindahan ini kadang kala ibarat yang hilang tidak berganti, yang patah tidak tumbuh seperti yang patah. Atau, kadangkala perpindahan ini ada hikmah kepada sesebuah sekolah, yang dahulunya malap tetapi sekarang sudah membangun duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah lain. Perpindahan dan perpisahan adalah sinonim, perpisahan menyedihkan dan ada akan bergembira kerana sudah mencapai apa yang diimpikan.
Perpindahan memberi kesan kepada diri seseorang guru. Ada guru yang merasa cukup "Stress" di sesuatu tempat, tiada motivasi, hampir-hampir memusnahkan diri sendiri...?, ingin meletak jawatan dan sebagainya tetapi bila dapat berpindah di tempat yang diminta dan disukai, keseronokkan bekerja mula menyerlah, bergembira ditempat baru dan melupai semua masalah dan dapat bekerja dengan baik dan cemerlang.
Alasan-alasan yang selalu diberikan oleh guru-guru yang memohon pindah ialah, berkahwin (ikut suami atau isteri), sakit, ingin menjaga ibu bapa yang sudah tua, ingin melanjutkan pelajaran ketahap yang lebih tinggi, keselamatan diri, cukup tempoh, lambat mendapat jodoh dan lain-lain. Namun ada juga guru-guru yang "dipindahkan" kerana masalah diri... dan ada yang dinasihatkan berpindah. Selain alasan-alasan tersendiri yang tidak terucap seperti masalah hubungan sesama guru, rakan sekerja atau bermasalah dengan pihak pengurusan.
Biarpun 1000 alasan yang diberikan untuk berpindah, jika dapat berpindah, tahniah kerana permohonan diluluskan dan berpindahlah semoga cikgu akan berjaya walau di mana sahaja berada dan jika tidak dapat berpindah jangan berputus asa pasti ada peluangnya nanti. Percayalah tenaga dan usaha cikgu masih diperlukan untuk membangunkan sekolah. Khususnya bagi guru-guru SMK Belawai. Sama-samalah kita bersatu tenaga dan usaha kita, sama berganding bahu membangunkan sekolah ini selagi kita bergelar guru SMK Belawai dan kita tinggalkan sekolah ini dalam suasana cemerlang setelah sejarahnya terpahat..
TERIMA KASIH CIKGU


