PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, September 23, 2008

14. Masalah Air Di SMK Belawai

  1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas kepada semua warga SMK Belawai kerana dapat bersabar dengan masalah ketiadaan air sepanjang 3 minggu lepas. Barangkali ini adalah ujian Allah SWT kepada kita lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Berbagai ujian daripada Allah untuk menguji kita.
  2. Walaubagaimanapun kesabaran tersebut ada hadnya juga. Ketiadaan air ini bukan saja dihadapi oleh para pelajar tetapi juga kepada seluruh warga SMK Belawai sama ada yang tinggal Flat, rumah guru dan saya juga tidak ketinggalan. Nasib baiklah ada sedikit air yang ditakung dapat juga mandi dan berwuduk.
  3. Maklumat yang yang saya perolehi daripada penduduk setempat masalah kali ini adalah masalah yang terburuk pernah berlaku. Sebelum ini tidak pernah berlaku sedemikian. Sepanjang saya berada di SMK Belawai. Ini adalah kali kedua saya mengalaminya. Kali pertama ialah pada bulan 6 yang lepas, semasa semua pelajar dan guru-guru pulang bercuti, tetapi saya masih bekerja di sini terpaksa berulang alik dari sibu ke Belawai setiap hari kerana masalah tersebut. Seingat saya pada masa tersebut saya menyambut kedatangan Ustaz Syamri ke Sekolah. Kesihan dia, dah lah datang bersama isteri, terpaksa pula mengahadai masalah air.
  4. Terpanggil saya untuk menulis perkara ini kerana kemungkinan rakan-rakan guru yang lain juga ingin tahu apakah tindakan pihak sekolah atas masalah ini. Untuk pengatahuan semua selang beberapa hari ketiadaan air (air ada tetapi pada masa-masa tertentu dan tekanan air tidak kuat) di SMK Belawai, saya cuba mendapat maklumat dari JKR Belawai tetapi tiada jawapan. Saya berbincang dengan YDP PIBG Ustaz Alwi, apakah yang perlu kita lakukan dengan masalah ini. Saya bimbang jika air tiada secara berterusan masalah lain akan timbul, masalah penyakit dan sebagainya. Lebih-lebih lagi pelajar asrama yang ramai. YDP pun buntu kerana bukan sahaja SMK Belawai yang menghadapi masalah tersebut tetapi penduduk kampung sekitar juga menghadapi masalah yang sama. Namun demikian, masalah tidak ada air ini tidaklah sampai semua pelajar tidak dapat minum kerana air untuk minum yang disediakan di dewan makan adalah mencukupi.
  5. Saya cuba mendapatkan penjelasan dari JKR Sarikei. Dapat dihubungi Mr. Lau. Beliau memohon maaf kerana katanya tekanan air memang rendah dan ada kemungkinan ada kebocoran paip air yang disalur dari Sarikei Ke Belawai. Oleh itu kita tiada pilihan lain. Terpaksa menerima hakikat bahawa masalah ini terpaksa kita tanggung. Cikgu Yusop juga mendapat penjelasan dari pihak JKR Sarikei.
  6. Dalam mesyuarat pengurusan, Ustazah Maznah ada mengemukakan masalah ini. Beliau memohon supaya saya membenarkan pelajar asrama yang dekat pulang ke kampung sekiranya masalah ini berterusan. Bagi saya mana yang terbaik kita lakukan untuk pelajar. Malangnya ada ibu bapa yang kurang faham dan menelifon saya mempersoalkan kenapa anak mereka dibenarkan pulang kerana ini melibatkan perbelanjaan besar bagi keluarga yang kurang berada. Pihak sekolah tidak memaksa tetapi ia terpulang kepada pelajar tersebut apa yang terbaik untuknya. Semua pelajar yang pulang dibenarkan pulang dengan surat yang bersyarat iaitu hanya 1 minggu sahaja. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan akan datang semula ke sekolah sehingga selepas hari raya. Dalam mesyuarat pengurusan ada juga cadangan supaya kita memohon JKR menghantar air tetapi kita tidak ada bekas untuk menadah air.
  7. Dalam pada itu juga pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Abd Gani (PKKK) kerana membenarkan pelajar menggunakan tong-tong air dalam stor sukan untuk disalur air dan digunakan oleh para pelajar untuk berwuduk. Begitu juga dengan guru-guru lain yang perihatin dengan masalah ini.
  8. Saya cuba memikirkan apakah yang perlu saya lakukan dan akhirnya saya meminta En Dor memasang Pam air di 3 buah asrama dan juga Flat guru. Nampaknya berhasil. Saya melawat di asrama lelaki dan melihat pelajar dapat mandi dan membasuh - alangkah sejuknya hati.
  9. Selepas saya menghubungi JKR Sarikei, 3 orang pegawainya telah datang memantau keadaan di SMK Belawai dan menerangkan kepada saya tentang masalah yang mereka hadapi dan masalah tersebut telah diselesaikan dan cuma tekanan air masih rendah.
  10. Buat masa sekarang masalah ketiadaan air di SMK juga telah sampai kepada pengetahuan pejabat YB Norah dan mereka telah menelifon sekolah untuk mendapat maklumat dari pihak sekolah.
  11. Untuk makluman kepada warga SMK Belawai, sebelum masalah ini berlaku pihak sekolah telah pun membuat satu kolah untuk asrama lelaki dengan harapan jika masalah air ini berlaku ia dapat diatasi, malangnya masalah ini sangat lama sehingga memakan masa berminggu-minggu yang tidak kita jangkakan sama sekali.
  12. Pada masa sekarang para kontraktor sedang membuat kolah untuk 2 asrama puteri dan langkah seterusnya ialah membuat tangki air bagi semua blok asrama lelaki dan perempuan. Tetapi jika masalah ini terlalu lama yang tidak dijangkakan saya tidak menjamin air tersebut mencukupi.
  13. Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi apa yang kita sangat-sangat berharap supaya sekiranya sesuatu masalah itu berlaku maka pihak yang bertanggungjawab perlulah cepat bertindak bukannya menunggu berbagai rungutan dari orang ramai kerana ia adalah keperluan asas yang wajib ada.

Sekian..

Wednesday, September 10, 2008

13. KEPENTINGAN MEMAHAMI PSIKOLOGI PELAJAR

Oleh : Mohd Saleh Ismail
Penulis ialah Kaunselor Berdaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan.
Sumber : Pendidik Bil 51/Ogos 2008
Rencana ini telah diringkaskan untuk dimanfaatkan isi-isi pentingnya.

Guru banyak menghabiskan masa dalam bilik darjah kerana bertanggungjawab dalam P & P dan guru juga menggunakan masa sepenuhnya memastikan matlamat P & P tercapai dan selari dengan kehendak sukatan pelajaran.

Proses P & P tidak semudah yang disangka. Ia bukan sekadar menyampaikan maklumat. Walaubagaimanapun guru perlu memberi perhatian kepada psikologi pelajar. Keputusan guru penting dalam P & P kerana ia akan mempengaruhi pembentukan pelajar, sekolah dan masyarakat. Jika guru hanya menumpukan kepada objektif, dan isi pengajaran semata-mata dikuatiri akan ada penghalang antara guru dan murid. Guru tidak boleh “syok sendiri” – bersedialah dengan sumber pengajaran yang lengkap.

Tahap dan kualiti pengajaran guru sekarang semakin baik kerana berbagai kursus diadakan tetapi tidak mencukupi jika guru tidak membuat “kerja rumah” yang sepatutnya iaitu mengukur dan menilai tahap pencapaian pelajarnya sebelum meneruskan P & P.

Pelajar bukanlah robot, mereka mempunyai hati dan perasaan. Sebagai insan yang sedang menuju kematangan hidup, mereka perlu melalui pelbagai proses pembinaan jati diri untuk menghadapi cabaran. Sebelum sampai ke bilik darjah pelajar menempuh pelbagai halangan peristiwa dan kejadian yang sebahagian besarnya terakam dalam kotak minda. Perkara inilah yang mengganggu emosi dan persediaan pelajar dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Jika guru menyampaikan P & P tanpa memikirkan persediaan pelajar dan kemampuan pelajar menerima isi pelajaran maka guru diibaratkan sebagai posmen yang hanya bertugas menyampaikan surat tanpa memikirkan isi kandungannya.

Persediaan sebelum mengajar perlu dilakukan. Guru perlu tahu pencapaian pelajar di dalam subjek yang diajar, aras pengajaran dan cara untuk menyediakan isi kandungan pelajaran.

Langkah pertama yang disebut “Set Induksi” amat penting. Guru perlu guna pengalaman menyediakan “Set Induksi” yang sesuai dan releven dengan pelajaran yang diajar. Ia tidak mengambil masa yang lama sekitar 5 hingga 6 minit tapi perlu digunakan sebaik mungkin.

Guru boleh mengaitkan dengan unsur alam sekitar, kehidupan pelajar, minat dan cita-cita mereka atau pengalaman lampau. Selain bersyarah, gunakan tayangan video, petikan program, cerita, lukisan, gambar. Semangat ingin tahu mendorong mereka mengubah pandangan dan pemikiran mereka.

Guru tidak boleh mengambil mudah dalam menyediakan aktiviti P & P. Menganggap semua pelajar di dalam kelasnya itu mempunyai taraf pengetahuan yang sama adalah satu kesilapan.

Selepas mengenalpasti semua faktor guru boleh merangka isi P & Pnya. Pada masa yang sama guru menghadapi kekangan masa dengan pelbagai aktiviti lain tetapi ia bukan satu alasan untuk terus mengajar tanpa persediaan, pengetahuan sedia ada dan pengalaman lampau murid.

Dengan mengetahui psikologi pelajar, sedikit sebanyak dapat membantu guru melihat kembali objektif yang hendak dicapai. Ujian berbentuk sumatif dan formatif adalah dua jenis pengukuran dan penilaian yang boleh digunakan.

Jelaslah, untuk memulakan P & P selain menyediakan ringkasan, banyak tugas lain yang perlu dilakukan oleh guru. Guru yang kreatif dan inovatif akan sentiasa memikirkan tentang psikologi pelajarnya, kehendak sukatan pelajaran, ruang waktu, tempat dan objektif P & P. Guru yang memikirkan semua perkara ini adalah guru yang mahu pelajarnya belajar sesuatu pada hari berkenaan, tidak bermakna guru hanya mahu menghabiskan sukatan pelajaran semata-mata bagi menghalalkan pendapatannya bulan itu dan pelajar belajar untuk peperiksaan semata-mata.

Guru tidak boleh membina proses P & P pada tahap falsafah semata-mata tetapi perlu dinyatakan secara jelas dan benar-benar mahu memberi input kepada pelajar. Guru berkesan adalah guru yang keluar dari bilik darjah dengan rasa puas kerana objektif P & P tercapai.
....

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.