![]() |
keseronokan atas penderitaan orang lain Pengajaran kepada siapa? |
Sekali lagi institusi pendidikan dicuit, dengan kejadian pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim. Bukan itu saja, sebelum ini pun kita dikejutkan dengan pesta mengutip duit syling di Seremban. Dua kisah ini mendapat perhatian pelbagai pihak dan ada yang melihatnya sebagai lucu dan ada yang melihatnya dengan perasaan penuh geram, sakit hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh orang ramai tersebut. Apa yang pasti, ada yang mempersoalkan institusi pendidikan tidak memainkan peranannya dengan baik sehingga tidak dapat menanam sikap yang terpuji kepada rakyatnya.
Namun begitu, ada juga yang melihat bahawa kejadian ini adalah akibat demi kelangsungan hidup. Bukannya manusia itu tidak diajar dengan adap dan tatasusila sama ada di sekolah atau di rumah, dan tiada satu agama pun yang mengajar bahawa mencuri itu diredai tetapi desakan hidup, kenaikan harga barang, pertambahan ahli keluarga, pendapatan yang sedikit, pertambahan penyakit dan sebagainya membuatkan mereka lupakan hal halal haram dan hak sehingga mengabaikan mangsa yang kesakitan. Bahkan mengabaikan mangsa yang meninggal dunia dan tanpa belas kasihan mencuri “handphone” dan dompet.
Ada juga yang melihat, ia adalah satu pengajaran yang berguna kepada semua pemandu, terutama pemandu lori yang menjadi raja di jalanraya. Jika ada lagi kejadian sebagini maka beginilah nasib yang akan menimpa mereka. Dengan rasa tidak tahu malu dan menggadai maruah, "orang ramai tertentu" akan “menghurungi” tempat kejadian seperti semut. Bukan untuk menghulur bantuan tetapi menolong mengutip apa saja yang difikirkan dapat diguna dan dimakan. Dalam pada itu ada pendapat yang mempersoalkan bahawa, muka-muka orang yang terlibat dalam kejadian mencuri itu bukannya mirip wajah orang-orang Malaysia tetapi pendatang asing, yang mencemar nama baik Negara.
Walau apapun pendapat kita, kejadian ini sebenarnya adalah kes terpencil tetapi menjadi besar kerana kejadian kita nampak di depan mata. Saya percaya kejadian seperti ini sengaja ditunjukkan oleh Allah SWT supaya kita menyedari bahawa, banyak lagi kejadian yang tersembunyi yang dari dulu lagi tidak dapat dibendung. Manusia yang dijadikan Allah itu sebagai sebaik-baik makhluk, jika ada peluang akan mudah lupa akan hak, halal dan haram disamping godaan dan rasukan syaitan yang sentiasa memandu manusia ke tempat yang hina, kadangkala manusia itu sanggup membunuh untuk mengaut sesuatu yang terang-terang menyatakan itu bukan hak dan mereka tidak boleh makan tanpa izin.
Allah melarang manusia memakan harta anak yatim – tetapi, berapa ramai yang engkar? Menggunakan harta anak yatim demi kepentingan diri. Kejadian rasuah berlaku dimana-mana tanpa kita sedari walaupun rasuahnya dengan kadar dan nilai yang sangat kecil. Mencuri juga berlaku dimana-mana, kita hanya sedar bahawa mencuri itu adalah mencuri wang dan harta benda tetapi berapa ramai yang mencuri air, mencuri elektrik, mencuri masa, mencuri tulang dan sebagainya dalam kehidupan harian. Lebih malang lagi orang-orang yang mencuri ini menggunakannya untuk beribadat kepada Allah. Mencuri air mengambil wuduk untuk bersolat, mencuri elektrik menerangi rumah semasa bersolat dan lain-lain.
Banyak Ilmu yang tidak dipelajari di sekolah. Manusia itu belajar dari pelbagai sumber. Namun didikan awal dan contoh teladan di rumah adalah sangat-sangat penting kepada pembentukan sahsiah manusia. Baik didikan ibu bapa, baiklah keturunannya. Walaupun apapun alasan yang diberikan, demi kelangsungan hidup, penderitaan dan demi apa pun, hak orang tetap hak orang, halal tetap halal, haram tetap haram. Biar kebulur sekalipun, jika seseorang itu tahu akan hukum hakamnya, saya percaya, tiada siapapun mempunyai keinginan dihati untuk mengambil, mengguna, makan dan akhirnya menjadi darah daging yang sentiasa mengalir di dalam tubuh. Hanya mereka yang dipesongkan hati oleh syaitan yang sanggup berbuat demikan...