Para pelajar sedang membuat pembentangan
Ramai guru yang berdebat tentang duduk semasa mengajar, dan saya pun bukan pertama kali mengulas tentang isu ini. Sebagai pengetua, di mana saya bertugas, saya tidak mengizinkan perkara ini berlaku kerana pada pandangan saya seseorang guru yang duduk semasa mengajar ia telah mengabaikan tugas yang diamanahkan kecuali beliau dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Iaitu dalam keadaan sakit atau dalam keadaan yang perlu ia duduk untuk mengajar tetapi bukan sejak masuk ke kelas sehingga tamat pengajaran dan pembelajaran, dan keluar dari kelas.
Guru-guru adalah orang yang menyampaikan ilmu, maka seseorang guru perlu cergas, bertenaga dan menyampaikan ilmu dalam keadaan yang besemangat dan berkualiti. Di Maktab perguruan dan di Universiti di mana guru-guru berkursus menjadi guru, tidak ada teori yang menyatakan guru yang duduk semasa mengajar adalah seorang guru yang baik.
Guru-guru yang baik adalah guru-guru yang pandai untuk mengawal kelas, menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang menyeronokan lebih-lebih lagi dengan berbagai kerenah pelajar pada zaman ini, selain guru-guru diminta untuk mengamalkan PdPc Abad ke 21.
Dari pengalaman saya, Seorang guru sains telah melakukan satu kesilapan besar apabila dia duduk semasa mengajar. Para pelajar dalam kelas tersebut telah mengambil peluang dengan mengatur strategi mereka dengan mengelilingi guru dan sengaja mengajukan pelbagai soalan. Sedangkan seorang demi seorang pelajar lelaki di dalam kelas tersebut masuk ke dalam almari di belakang makmal sains untuk menghisap gam. Kebetulan, pada masa tersebut saya membuat rondaan dari kelas ke kelas.
Pendapat saya, guru perlu aktif semasa mengajar kerana, pertama, kawalan kelas dapat diurus dengan baik dimana guru-guru dapat perhatikan apa aktiviti pelajar, sama ada beri perhatian semasa guru mengajar atau mereka melakukan perkara lain dan pdpc guru menjadi sia-sia. Kedua, Guru-guru yang duduk biasanya tidak disukai oleh pelajar. Guru kelihatan malas dan pelajar tidak bersemangat untuk belajar dengan guru-guru yang lemah. Tambahan lagi dengan fizikal guru yang kadangkala menjadi bualan dan usikan pelajar.
Oleh itu sama-samalah kita menjadi guru yang berkualiti untuk melahirkan pelajar yang hebat untuk mengantikan kita sebagai pewaris bangsa. Jadilah guru contoh dan idola untuk generasi yang akan datang.
Gambar Hiasan |