PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Saturday, May 19, 2012

233.Guru-guru SMK Baru Miri Tawan Mega Lane East Bowling Centre, Bintang Megamall..


Suasana dalam Dewan permainan Mega Lane East Bowling Centre, Bintang Megamall, Bandaraya Miri
Pada jam 8 hingga 10 malam 18 Mei 2012 di Mega Lane East bowling Centre, Bintang Megamall, Miri digegarkan dengan gelak ketawa daripada semua warga SMK Baru Miri yang mengambil bahagian  dalam Pertandingan Bowling antara guru-guru. Suasana dalam dewan permainan tersebut riuh rendah, amat berbeza sekali dengan suasana di sekolah yang masing-masing sibuk dengan hal dan tugas sendiri. Di sini semua guru berkesempatan untuk menegur sapa, lebih –lebih lagi guru-guru yang membawa family masing-masing. Sukar digambarkan dengan perkataan betapa seronoknya guru-guru yang berada di sana dan melupakan sekejap soal kerja.Rasanya tidak ada yang bercakap soal buku rancangan mengajar dan masalah yang dihadapi dengan pelajar.

Kami guru hebat.. bergambar beramai-ramai selepas pertandingan
YDP PIBG En. Anuar dan keluarga turut datang memberi sokongan
Dari 80 orang guru dan 13 orang staf sokongan separuh darinya menyertai pertandingan ini. Namun semua guru dan staf semua hadir. Walau tidak bermain tetapi mereka tetap datang memberi sokongan kepada rakan guru yang lain kecuali yang meminta izin tidak hadir kerana ada hal lain yang tidak dapat dielakkan.

Berbagai gelagat dapat dilihat semasa pertandingan ini dijalankan. Ada yang melempar bola bowling sehingga terbabas ke dalam gelanggang, ada yang tidak menepati sasaran dan bola seringkali masuk longkang, ada yang membengkokkan badan supaya bola mengenai sasran, ada yang melompat, menjerit dan berbagai ragam lagi. Bagi yang pertama kali memegang bola bowling tentunya sangat teruja, baru nak belajar memegangnya, baru nak merasa memegangnya, yang sebelum ini hanya melihat dari jauh dan malu-malu untuk bermain. Tapi, pada malam tersebut semuanya mungkin kerana yang pergi untuk bermain itu adalah kalangan rakan-rakan yang serupa dan sama sahaja levelnya kecuali ada beberapa orang guru yang sudah mahir. Gaya lemparan bola bowling juga boleh mendatangkan kelucuan.

Gaya-gaya amatur, Bukan kemenangan yang menjadi keutamaan tetapi semangat kekeluargaan itu yang paling utama...
Terima kasih kepada Jawatankuasa Kecil sambutan hari guru yang diketuai oleh Cg Nurul Salwani, Cg Kamsiah, Cg Dora, Cg Erman dan Cg Staffanie yang menjadikan sambutan hari guru pada kali ini 16 Mei 2012 sehingga penutupannya pada 25 Mei 2012 nanti suatu yang menarik. Komitmen dan daya usaha cikgu sangat-sangat dihargai dan tahniah kepada semua guru kerana sanggup membayar dan tidak lokek untuk mengeluarkan belanja sendiri. Saya berharap program pertandingan footsal pada 22 hb Mei ini juga akan mendapat sambutan semua guru terutamanya guru lelaki.

Selain dari itu, Terima kasih kepada En Anuar YDP PIBG yang merancang mengadakan Majlis BBQ bersama dengan PIBG dan keluarga guru-guru dan Staf sokongan pada malam 24 Mei ini nanti. Pengurus majlis BBQ yang diketui oleh Pn Dayang Laila Penolong Kanan HEM, kini nampaknya sedang rancak membuat persiapan. Semoga majlis ini nanti juga akan Berjaya untuk dilaksanakan. Kita buat untuk kita sendiri, menghargai pengorbanan yang kita lakukan. Kita harus rasa gembira apa yang kita buat dan gembira dengan apa yang rakan-rakan kita buat untuk kita bersama.

Kemuncak sambutan hari guru ialah pada 25 Mei 2010 dengan program yang lebih menarik dengan penglibatan semua warga sekolah termasuk pelajarnya. Majlis hari guru akan disambut bersama dengan YB Datuk Lee Kim Shin DUN N.65 Senadin Merangkap Menteri Muda Perhubungan dan Sukan. 

Sempena hari guru ini juga, saya mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang mendapat berita gembira kerana kenaikan pangkat sebagai hadiah hari guru yang amat bermakna iaitu (Penolong kanan Pentadbiran) Cg Boyce Ngau Anyi, (PK KK) Cg Siti Akmarliah Mohd Amin dan (PK Hem) Cg Dayang Laila Bt Kahar yang telah dinaikkan pangkat ke DG48(M), manakala Cg Edward Laing Epoi dinaikkan pangkat ke DG48(M) ke DG48 dan Cg Rosmarina yang dinaikkan pangkat dari DG41 ke DG44. Tahniah kepada Cg Nur Zatil Bayani yang telah mendirikan rumahtangga baru-baru ini dan terima kasih kepada Cikgu Mohd Adib Bin Zunaidi (Guru Interim) yang akan tamat perkhidmatan pada hujung bulan ini. Terima kasih kepada semua guru SMK Baru yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada saya sepanjang saya bertugas di sini sehingga sekarang..

Terima kasih Cikgu..

Saturday, May 12, 2012

230.Pelajar harus bersedia hadapi saingan global / "Equip yourselves to be world class"


The Borneo Post Online, Saturday, May 12,2012

IT'S OPEN: Ahmad Lai Strikes a gong to declare open the championship, witnessed by Anuar (left) and Mohd Shariff.
MIRI: Setiap pelajar harus mempersiapkan diri dengan kelengkapan modal insan bagi persaingan peringkat antarabangsa. 

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memartabatkan mereka sebagai pelajar kelas dunia.

“Skop pendidikan kini adalah lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan semata-mata,” katanya pada Majlis Perasmian Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri Ke-17 di Stadium Miri semalam.

Menurutnya, kegiatan kokurikulum dan kemahiran tertentu turut dititikberatkan kepada pelajar sebagai persediaan awal bagi pasaran kerja pada suatu hari nanti.

“Cemerlang dalam pembelajaran dan ditambah dengan kecemerlangan dalam kegiatan kokurikulum akan menjamin kejayaan seseorang pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menasihati pelajar untuk sentiasa menyanjung tinggi para guru yang sentiasa memberikan terbaik kepada mereka.

“Segala curahan bakti seorang guru harus kita ingati kerana mereka sentiasa ingin melihat setiap pelajarnya cemerlang dalam segenap aspek.” jelas beliau.

Mengenai kejohanan, setiap acara atau majlis seperti kejohanan sukan seumpama bertujuan untuk membimbing pelajar dalam membentuk disiplin diri mereka.

Ia juga akan mewujudkan persekitaran selain persaingan yang sihat antara peserta yang mengambil bahagian.
Pada majlis sama, Ahmad Lai turut mengumumkan bantuan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Baru Miri.

Turut hadir adalah Pengetua Mohamad Shariff Mat Saad dan Yang Dipertua PIBG SMK Baru Miri Kaunselor Anuar Ahmad.

Tuesday, May 1, 2012

229.Meningkat Keyakinan Diri Dengan Penghargaan


Jauh di sudut sanubari setiap orang, mahu diri mereka dihargai. Tidak kira siapa sama ada jawatan rendah maupun tinggi , tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa. Penghargaan yang diberikan akan menyebabkan seseorang itu akan merasa dirinya begitu penting dan berbangga. Kadang kala mereka akan merasa bahawa mereka sahaja yang hebat dan menidakkan kehebatan orang lain. Maslow dalam Teori Keperluan Manusianya, meletakkan penghargaan kepada manusia di tangga ke 4 sebelum seseorang manusia itu mencapai kesempurnaan diri.

Gambar Hiasan : Diberi sanjungan dengan menepung tawar. Berbagai cara dilakukan oleh manusia untuk menunjukkan rasa menghargai dan rasa hormat terhadap seseorang..Bagi orang menerima sanjungan itu sudah pasti berasa seronok dan merasa cukup hebat serta meningkatkan keyakinan dirinya.
Berbagai cara boleh kita lakukan untuk membuatkan seseorang itu berasa penting. Paling senang ialah mengucapkan “Terima kasih”. Ucapan ini membawa maksud yang paling mendalam kepada semua bangsa dan agama. Kita akan berasa bangga jika ada orang luar yang datang ke Malaysia belajar perkataan “Terima Kasih”. Begitu juga jika kita belajar bahasa bangsa lain yang sama ertinya dengan “Terima kasih”. Betapa hebatnya perkataan itu lebih-lebih lagi bila diucapkan kepada kita atau orang lain atas bakti dan jasa yang dicurahkan.

Dalam keadaan lain, cara kita mengahargai ibu bapa ialah dengan menghormati mereka, menghormati rakan taulan, mengambil berat kepada suami atau isteri, memberi hadiah atas kecemerlangan anak-anak, mendengar akan masalah-masalah staf dan sebagainya. Kagum atas kebolehan dan kebijaksanaan seseorang juga boleh digolongkan sebagai satu penghargaan.

Sebagai penjawat awam, sudah tentu Anugerah Perkhdimatan Cemerlang tidak dapat dipisahkan. Majlis Anugerahnya dikira sebagai satu yang berprestej tinggi. Tidak hairanlah bila menjelang musim APC ini semua orang sama ada sudah menerimaAPC dan apatah lagi yang belum merasainya setelah hampir 10 tahun bekerja akan tertanya-tanya kepada siapakah pengiktirafan tersebut diberikan pada tahun ini. Perasaan ingin tahu meluap-luap, lebih-lebih lagi yang pernah termakan janji dan ada yang bekerja pada tahun itu untuk dinilai semata-mata untuk APC. Ada yang langsung tidak kisah kepada siapa diberikan, dia tetap dia..

Berbagai ragam boleh dilihat. Lebih menyedihkan ada yang melemparkan tomahan yang tidak baik kepada ketua jabatan bila tidak terpilih sama ada dalam bentuk guruan atau dalam nada sinis. Ada yang sanggup bersemuka bertanya kenapa dia tidak terpilih, ada yang cakap sana dan sini menyatakan ketidakpuasan hati yang menunjukkan bahawa beliau seorang pekerja yang cukup tidak professional dan cemerlang. Orang sebegini memang sepatutnya tidak terpilih. Ada juga yang menangis teresak-esak mengenangkan dan berasa segala jasa dan baktinya selama ini dipandang langsung ditambah lagi dengan ejekan dan desakan rakan sekerja. Namun ada antara mereka yang sangat-sangat bernasib baik dan menerima 2 atau 3 kali sepanjang perkhidmatan.

Betapa hebatnya APC. Walaupun ganjarannya tidak seberapa seperti mula2 diperkenalkan dahulu, tetapi ia memberi kesan yang sangat mendalam pada setiap pekerja awam. Walaupun markah nilaian prestasi itu lebih penting, tetapi anugerah itu yang diiktiraf dihadapan rakan-rakan adalah lebih menonjol. Tidak hairanlah, kadangkala ada pekerja yang menuduh rakan-rakan memperolehinya dengan cara melobi, mengipas dan lain-lain perkataan yang sewaktu dengannya untuk menunjukkan ketidakpuasan hati masing-masing lebih-lebih lagi rakan-rakan yang baik dengan boss. Barangkali juga sangkaan tersebut ada kebenarannya pada sesetengah institusi yang pemimpinnya tidak mengamalkan budaya yang sihat.

Saya yakin bagi pemimpin yang hebat, berintegriti, telus dan bertanggungjawab kepada pekerjanya akan berlaku adil dan sentiasa mengambil berat. Berbagai penilaian telah dibuat sebelum seseorang itu diberi pengiktirafan untuk 8% dari jumlah pekerja yang ada untuk tahun tersebut. Disamping mengambil kira jumlah jantina, bangsa dan akur dengan pelbagai syarat lain. Saya juga yakin pemilihan guru dan staf sokongan yang diberi Anugerah Pekhidmatan Cemerlang oleh AJK Sumber Manusia bersama pegawai di JPN untuk  SMK Baru, Miri adalah yang terbaik dari yang baik untuk tahun tersebut. Semua guru di SMK Baru Miri pada hemat saya adalah merupakan guru yang sangat cemerlang.

Tahniah kepada semua guru SMK Baru Miri yang telah dianugerahkan APC yang disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di Dewan Suarah Miri baru2 ini. Tahniah kepada Cg Hamidon, Cg Doris Kho, Cg Parose, Cg Norzima, Puan Norayah, Cg Marlyni dan Cg Rhona.  Semoga anda menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang. Bekerja bukan untuk hari ini sahaja tetapi untuk kecemerlangan perkhidmatan selama mana kita bertugas.

Kesempatan ini juga mengucapkan tahniah kepada semua guru di SMK Belawai yang telah dianugerahkan APC yang juga disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di Mukah. Tahniah kepada Cg Voon, Cg Jazimah, Cg Akmarlia, Cg Wardah dan En Jamaluddin. Semoga anda semua akan terus cemerlang.

Kepada semua rakan guru yang lain, anda juga adalah pekerja yang hebat, tetapi belum masanya untuk dianugerahkan APC. Semoga selepas ini giliran anda pula. Berikan sokongan dan doakan mereka terus berjaya. Semoga dengan sokongan dan doa ikhlas itu Allah SWT akan terus menyokong dan merahmati apa yang kita lakukan. Seterusnya kita akan berjaya seperti mereka.

“Apa yang kita lakukan menentukan siapa diri kita; oleh itu keunggulan peribadi bukan hanya kita lakukan, tetapi tabiat yang berterusan.” – Aristotle.

Terima kasih Cikgu..

Selamat Hari Pekerja 2012

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.