![]() |
| Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman |
KANGAR - Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu ketua jabatan peka
terhadap permohonan cuti sakit penjawat awam bagi memastikan mereka tidak
menyalah guna kemudahan itu.
Presidennya, Datuk Omar Osman
berkata ada petugas yang sihat terpaksa memohon cuti sakit untuk sesuatu urusan
kerana mereka sudah kehabisan cuti tahunan.
Bercakap kepada pemberita selepas
merasmikan penutupan Seminar Pemantapan Gred Kuasa-Kuasa Tempatan dan
Badan-Badan Berkanun 2012 peringkat kebangsaan di Kuala Perlis hari ini, beliau
berkata amalan menipu cuti sakit merugikan perkhidmatan awam.
"Jika ada bukti
penyalahgunaan cuti sakit, mereka yang terbabit iaitu penjawat awam atau
pegawai perubatan yang mengeluarkan surat cuti sakit boleh dikenakan
tindakan," katanya.
Mengulas pelaksanaan usia
persaraan sehingga 60 tahun, Omar berkata Cuepacs telah berbincang dengan
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar penjawat awam menjalani pemeriksaan
kesihatan bagi memastikan mereka boleh berkhidmat dengan sempurna.
"Cuepacs juga berharap
lanjutan umur persaraan itu tidak menjadi alasan kepada JPA mengurangkan
pengambilan penjawat awam kerana masih banyak yang menunggu peluang pekerjaan
di sektor awam," katanya.
Beliau turut mengulangi harapan
agar kerajaan segera memperbaharui kontrak petugas perkhidmatan awam yang akan
tamat tempoh perkhidmatan hujung bulan ini kerana mereka bukan sahaja
berpengalaman, malah perlu menyara keluarga.
Ditanya sama ada Cuepacs
mengambil kesempatan dengan membuat begitu banyak tuntutan kepada kerajaan
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Omar berkata tindakan itu adalah perjuangan
untuk menambah baik perkhidmatan awam.
Katanya, perjuangan ini bermula
sejak 2006 yang membabitkan isu gaji, persaraan, cuti bersalin dan pelbagai
bentuk transformasi dalam perkhidmatan awam, dan ia bukan hanya dilakukan
ketika negara menghampiri pilihan raya umum.- Bernama





No comments:
Post a Comment