PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Saturday, June 18, 2011

191.Sekolahku Tercinta

video

Lagu Baru SMK Belawai
Sekolahku Tercinta
Majlis Pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Hajjah Norah Tun Abdul Rahman
Pada 14 Jun 2011
Semoga Lagu Ini Akan Memberi Impak Yang Terbaik Kepada Semua Warga SMKB
Dalam Merealisasikan "SMK Sentiasa Cemerlang"

Friday, June 17, 2011

190.Sambutan Hari Guru Peringkat SMKB 2011

Bergambar beramai-ramai, Tenaga Pengajar SMK Belawai

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada 14.6.2011 lalu sangat Berjaya. Walaupun sambutan diuruskan oleh Badan Pengawas SMK Belawai dengan Kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG SMKB), sambutan dilihat sangat teratur dan mendapat pujian daripada YB Datuk Hajjah Noran Tun Abdul Rahman Ahli Parlimen P206 Tanjung Manis.

Terdahulu sebelum sambutan hari guru diadakan , semua guru dan staf sekolah bergambar beramai-ramai. Jadual asal bergambar di atas pentas di Dataran Ilmu terpaksa di ubah ke Dewan Barong kerana hujan. Sementara menanti kehadiran tetamu ke hormat YB Datuk pada jam 9.00 pagi, para pelajar telah bersedia di dalam kelas masing-masing menyediakan makanan untuk sama-sama meraikan para guru selepas majlis di Dewan.

Tepat jam 9.00 pagi, YB Datuk Hajjah Norah bersama rombongan tiba. Hari guru kali ini boleh dikatakan “semua dalam satu”, dimana dalam majlis ini, 10 pelajar terbaik SMKB diraikan, Pelancaran Lagu sekolah “Sekolahku Tercinta”  dan  penyampaian laptop 1 Malaysia yang disediakan oleh SKMM Cawangan Sarawak.

Menurut YB Datuk semasa ucapan perasmian, sebanyak 60,000 buah computer telah disediakan untuk negeri Sarawak dan peratusan agihan yang terbanyak ialah di kawasan Tanjung Manis iaitu, 500 buah. SMK Belawai sahaja, pada mulanya seramai 100 orang pelajar yang disenaraikan, namun pada saat-saat akhir telah ditambah lagi sebanyak 58 unit, menjadikannya 158 buah. YB Datuk berharap agar semua pelajar menggunakan computer ini sebaik mungkin untuk menambah ilmu dan tidak salah gunakan dengan melari laman social dan laman terlarang.

YB Datuk Hajjah Norah
Sempena hari guru, Datuk Hajjah Norah juga menasihati pelajar agar menghormati guru dan sentiasa mengenang jasa-jasa mereka yang berkorban memberi ilmu. Jangan melawan kerana ia boleh membawa akibat yang tidak baik atau “Tulah”. YB Datuk juga menasihatkan para pelajar jauhi najis dadah dan arak. Jaga akhlak dan belajar bersungguh-sungguh kerana itu adalah wasiat ibu-bapa. Cadangan YB supaya pihak sekolah memperbanyakkan akiviti kokurikulum  untuk menangani masalah disiplin murid sangat-sangat dialu-alukan, dan ia bertepatan dengan apa yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Antara cadangan dan bantuan yang akan diberikan oleh pihak yang berhormat ialah alat muzik seperti gamelan, pancaragam, kompang (untuk kumpulan hadrah) dan lain-lain.

Dalam pada itu juga, YB juga mengumumkan hadiah akan diberikan kepada pelajar yang cemerlang. Pelajar yang mendapat 3A dan keatas akan diberikan RM50 setiap A yang mereka dapat sama ada PMR dan SPM. Manakala ibu bapa yang anaknya mendapat 8A akan dihadiahkan RM1000.00 sebagai membalas jasa ibu bapa yang sentiasa memastikan anak2 mereka ke sekolah, tidak ponteng dan telah berkorban menghatar akan ke kelas tambahan sekolah (Kelas MaCS) dan sebagainya. Semoga dengan dengan insistif dari YB ini akan memberi peransang kepada ibu bapa membantu anak2 untuk cemerlang dan seterusnya mengangkat martabat SMK Belawai ke tahab yang lebih baik sama seperti sekolah2 terbaik di Sarawak.

Cg Mohd. Shariff, En Abd Razak (Tim.Pengarah Perikanan Caw.Sarawak)
Ustaz Allawie (YDP PIBG SMKB), Cg Awet (PPD Daro) dan
Cg Patrick Khamis (Penolong Kanan 1 SMK Matu)
Dalam ucapan alu-aluan sebelum itu, Pengetua sangat-sangat berterima kasih kepada YDP PIBG dan Ahli Jawatankuasanya kerana sentiasa membantu memastikan SMK Belawai sentiasa berada yang terbaik. Hubungan yang baik dengan pihak YB juga menghasilkan kesan yang sangat hebat kepada sekolah dan telah memberi kepercayaan terutama kepada YB Datuk untuk sama-sama member keutamaan dalam bidang pendidikan. Semoga aka nada perubahan yang drastic di daerah Kecil Belawai ini yang satu-satunya sekolah Menengah di bawah Parlimen Tanjung Manis.

Komputer 1 Malaysia
Sempena hari guru, pengetua juga berpesan supaya guru-guru dapat mengekalkan kreativiti P & P dan menguji sama ada pekerjaan sebagai guru itu sesuai dan menjurus kepada minat guru. Pertama seronok melakukannya, bila kita seronok kita akan syik teringat dan berfikir. Kedua, pekerjaan itu melekakan dan kita akan merasakan ia akan cepat berlalu. Kadangkala kita lupa rehat dan makan minum. Ketiga, kita suka, kita sentiasa belajar. Kita sanggup baca, kita sanggup dengar dan kita sanggup buang duit untuk menghadiri kursus dan seminar, Keempat, kita gemar bercakap, berbual dan suka dengar orang lain bercakap tentang pekerjaan kita dan terakhir, kelima, Kita akan merasa mudah mempelajari dan melakukannya. Kita lupa dengan siapa kita belajar, seolah2 kita memperolehinya secara semulajadi . Kita dapat melakukannya tanpa bersusah payah. Namun jika pekerjaan itu tidak serasi dengan kita, kita akan merasakan ia amat sukar. Tidak ikhlas dan bekerja dalam keadaan terpaksa dan menderita.

Persembahan Pelajar, Nasyid dibawah pimpinan Ustaz Husni
Persediaan bagi pelancaran lagu sekolah yang baru “Sekolahku tercinta” juga disediakan dengan baik dan berjalan dengan lancer. Terima kasih kepada Cg Abd Gani, Cikgu Amir, Ustaz Husni, Cg Renald, Cg Mahhadir, Cg mohd Taupik dan SEMUA GURU SMKB (yang terlibat secara langsung dan tidak langsung) serta Pengawas. Walaupun persediaan dibuat dalam masa yang singkat, majlis pelancaran yang dilihat “simple” itu sangat menarik. Lagu Sekolahku Tercinta, Ciptaan Cg Patrick Khamis, Penolong Kanan SMK Matu dan Liriknya di tulis oleh Cg Mohamad Shariff itu kini bemain dibibir warga SMK Belawai. Semoga ia betul2 memberikan inspirasi kearah kesemerlangan yang berterusan.

Majlis sambutan hari guru kali ini juga pertama dalam sejarah, selain dihadiri oleh YB Datuk Hajjah Norah Tun Abdul Rahman, Cg Awet Bin Haji Gapor (PPD Daro), Cg Patrick Khamis(Pencipta lagu SMKB), En. Abang Mohamad Bin Abang Turkey(SAO) Ustaz Allawie Hj Sidek (YDP PIBG), majlis ini juga disertai oleh penghulu dan JKKK kampong. Penyertaan ibu bapa seramai 158 orang pelajar yang mendapat Komputer riba juga menambahkan lagi kemeriahan sambutan hari guru kali ini. Selain dari itu majlis ini juga dihadiri oleh 2 orang pengawai iaitu En. Saiful (Penolong Pengarah SKMM Cawangan Sarawak) dan En Yusmin dari SKMM.

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

TERIMA KASIH CIKGU…

Sunday, June 12, 2011

189.Selamat Kembali ke Sekolah

Kelihatan para pelajar SMK Belawai berpusu-pusu masuk ke sekolah. Mereka tidak sabar-sabar untuk menimba ilmu.. InsyaAllah kamu akan berjaya dengan apa yang kamu usahakan.
Esok bagi negeri-negeri yang bercuti pada Sabtu dan Ahad akan mula bersekolah. Namun bagi sekolah-sekolah yang negerinya bercuti pada Hari Jumaat dan Sabtu telah pun mula bersekolah pada hari ini. Bagi yang belum bersedia untuk memulakan bersekolah tentunya merasakan sekejapnya cuti kali ini. Alamak.. sekejapnya cuti, esok dah nak sekolah. Kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru belum lagi siap, banyak lah pulak.. Bagi guru-guru yang belum siap menyemak kertas peperiksaan pelajar, sudah tentu kelam kabut, rasa menyesal pun ada kerana tidak menyemak sedikit demi sedikit. Malam ini Af akhir pulak, kertas masih berlambak. Mau timbang kati atau kilo atau esok ada pelajar yang menjadi mangsa untuk tandakan kertas objektif atau atau ada yang jadi mangsa untuk menghitung markah.

Guru bertugas dan pengawas sedia menanti para pelajar
datang ke sekolah pada waktu pagi.
Bagi guru-guru yang hebat, tentu semuanya sudah awal-awal selesai. Esok adalah hari di mana kertas peperiksaan akan di semak bersama pelajar, sama ada salah tanda atau salah pengiraan markah. Selesai bersama pelajar, markah akan diserahkan kepada guru tingkatan untuk tindakan seterusnya. Tentunya kerja-kerja yang menetapi masa ini tidak mengganggu tugas guru-guru lain untuk bertindak cemerlang selanjutnya, kerana kerja-kerja memproses markah, menyedia buku laporan bukannya memakan masa yang singkat. Kekadang tunggu menunggu dan tagih menagih kerja-kerja yang dibuat oleh orang lain akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan hubungan yang baik akan tercalar.

Walau apa pun, esok SMK Belawai akan di buka seperti biasa. Saya percaya semua guru-guru telah bertindak cemerlang. Semua guru bekerja dengan penuh azam dan beriltizam tinggi. Para pelajar asrama petang tadi telah pun mula memenuhi asrama. Para pelajar harian, saya kira tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan sesi persekolahan kali ini. Harapan saya esok, tiada istilah “Blue Monday” hari Isnin yang tidak bermotivasi. Saya ingin melihat sesuatu yang terbaik daripada warga SMK Belawai, seperti mana sekolah akan di tutup 2 minggu lepas. Semua pelajarnya bersemangat tinggi, lagu sekolah, lagu negeri dan lagu negaraku dinyanyikan dengan penuh semangat. Begitu juga melanggah ke sekolah esok, semuanya bersemangat waja, tidak sabar-sabar untuk menimba ilmu dan bersedia menempuh peperiksaan awam pada akhir tahun ini bagi para pelajar tingkatan 3 dan 5.

Hari Isnin esok adalah hari bekerja bagi guru-guru dan hari belajar untuk pelajar. Hari isnin esok perlu dimulakan dengan penuh keceriaan, kegembiraan, keseronokkan dan apa sahaja yang mengambarkan tidak ada kesedihan yang melanda warganya. Tidak ada yang bersedih meninggalkan keluarga masing-masing. Tidak ada yang masih mahu meminta-minta cuti dipanjangkan atau ada pelajar yang akan ponteng sekolah kerana 2 minggu bercuti masih belum cukup. Sama-samalah kita mulakan Isnin esok bukan seperti hari Isnin 22 Januari yang digambarkan oleh Dr Cliff Arnall, seorang ahli psikologi dan bekas tutor di Cardiff University, hari isnin itu penuh dengan kesedihan, bermotivasi rendah dan sukar untuk memajukan diri. Ada yang menggambarkan bahawa bukan sahaja selepas bercuti panjang sahaja akan wujud “blue Monday” tetapi setiap Isnin selepas cuti 2 hari Sabtu dan Ahad. Ini bermakna setiap minggu akan ada “blue Monday” walaupun bukan alasan seperti yang diberikan oleh Dr Cliff Arnall. Biarlah kita lalui hari Isnin seperti yang saya katakana tadi, dimulakan dengan penuh keceriaan.

Selamat kembali ke sekolah, selamat bertemu kembali dan sama-sama kita usahakan untuk kejayaan bersama. Kepada semua warga pendidik di seluruh Malaysia, selamat bertugas semoga anda menjadi insan guru yang hebat dan di kenang oleh pelajar sepanjang hayat. Selamat bertugas..

Terima kasih cikgu..

Thursday, June 9, 2011

188.Bantuan

Gambar Hiasan, Adik Norhayati mendapat tempat ke 3 semasa Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris  Peringkat Bahagian Mukah, di  SMK Batang Igan awal tahun ini.

Seminggu sebelum cuti sekolah, seorang bapa kepada bekas pelajar SMKB datang berjumpa saya membincangkan tentang perasaan anaknya yang kini rasa sangat tertekan kerana tidak dapat tawaran untuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Tidak tahu di mana silapnya, temuduga untuk ke IPG juga gagal. Nama anaknya juga tidak disenaraikan untuk ke Tingkatan Enam, tetapi rayuan telah dibuat. Saya teliti keputusan anaknya, boleh dikatakan memuaskan. Sedih bapanya dinyatakan terus terang kepada saya, namun apa kuasa saya untuk mempengaruhi mana-mana pihak untuk menerima anaknya kerana saya percaya orang yang melakukan kerja-kerja tersebut lebih tahu apa yang mereka lakukan. Hanya yang dapat saya bantu ialah “surat sokongan” untuk rayuan. Akhirnya pada awal cuti ketika saya masih bertugas, beliau bertemu saya sekali lagi dengan nada yang lebih ceria, anaknya kini telah di terima ke salah sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu.

Dulu ibubapa saya pun begitu juga. Walaupun kita “relex” dalam debaran.. tapi gusarnya mereka bila apa2 tawaran pun tidak menjelma. Tidak seperti rakan-rakan yang lain, walaupun keputusan yang mereka dapat tidaklah sebaik keputusan kita, tetapi sudah mendapat tawaran ke Institusi yang mereka mohon. Lebih-lebih lagi lah, mak bapak mereka main tanya-tanya, bila agaknya kita akan mendapat tawaran. Bahkan ada yang berkenduri kesyukuran. Akhirnya penantian yang menyiksakan itu berakhir apabila saya menerima satu telegram. Pada mulanya tertanya-tanya juga, siapa pulak yang mati, rupa-rupanya tawaran untuk ke UUM.

Gambar dari web UUM.
Dewan Muadzam Shah. Konvokasyen saya di sini. Lama tak ke UUM. Nampaknya makin menarik dan isu pun dah reda..
Dekat nyeee.. dulu semasa isi borang UPU, cikgu dah suruh beli beg besar. Pasti UKM atau UM. Tup..Tup dapat UUM je.. Ok lah jugak dari langsung tidak ke mana-mana. Hari temuduga, bapa hantar dengan motosikal Honda C70, KE5158, siap pakai tali leher dari rumah. Apa yang menariknya ialah tawaran masuk ke UUM di sertakan dengan tawaran Biasiswa JPA, bukan pinjaman. Ini bermakna selepas tamat pengajian tidak perlulah bayar balik. Syukur, satu beban telah berakhir. Hanya perlu belajar dengan rajin kemudian berkhidmat dengan kerajaan untuk membalas budi. Jangan pulak bagaikan “melepaskan anjing tersepit”. Kasihannya JPA, Dalam tempoh 10 tahun lalu, JPA mengesan seramai 500 pelajar tajaannya yang tidak pulang ke negara ini untuk berkhidmat selepas berjaya menamatkan pengajian.

Direkodkan antara tahun 2000 hingga 31 Mei tahun ini, seramai 145 penerima biasiswa tersebut gagal kembali berkhidmat di tanah air manakala 195 kes telah diambil tindakan. Sementara itu, 160 kes pula telah selesai iaitu penerima kembali berkhidmat di negara ini selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai membuat bayaran ansuran atau selesai membayar biasiswa tersebut. (Utusan Malaysia online 7.6.2011) Kecualilah jika biasiswa dari FAMA (father and mother) sendiri, bagi yang mampu.

Duit.. inilah delema yang paling mencabar ketika masuk ke Universiti atau ke mana-mana institusi pengajian tinggi.  Biasanya yang menjadi mangsa awal ialah di leher dan di lengan emak. Itupun jika ada. Pastinya jika ada persediaan awal, masalah seperti ini tidak akan berlaku. Bagi yang ada kesedaran tentunya telah berjimat cermat, menyimpan di dalam tabung PTPTN dan sebagainya. Namun pada masa sekarang pelbagai kemudahan serta bantuan telah disediakan dan ada juga tabung khas daripada ADUN kawasan masing-masing yang membantu pada permulaan kemasukan ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi.

PK Hem SMKB sedang memberi taklimat tentang bantuan-
bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan
kepada pelajar dengan syarat2 tertentu
semasa pendaftaran pelajar baru awal tahun ini
di Dewan Barong..
Saya tidak pasti bagaimana susahnya untuk mendapat pinjaman dan sebagainya semasa di Universitu dulu kerana semua urusan di permudahkan olehNya. Sebaliknya apa yang saya nampak kini, pelbagai kemudahan bantuan diberikan sama ada untuk bumiputra atau non-bumiputra,  terpulanglah kepada para pelajar untuk membawa diri masing-masing. Bukan sahaja biasiswa untuk ke Institusi Pengajaian Tinggi tetapi banyak biasiswa di berikan kepada pelajar sekolah, membantu mereka seperti BKP (Biasiswa Kecil Persekutan), Biasiswa Sukan, Shell, Petronas, RMT, Bantuan Tuisyen, KWAMP, e-kasih dan lain-lain bantuan.

Baru-baru ini, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) telah menawarkan sebanyak 500 pembiayaan biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 8A+ dan ke atas untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Dari jumlah tersebut 300 diperuntukan kepada golongan bumiputra dan selebihnya untuk bukan bumiputra. Selain dari akademik syarat lain yang diambilkira ialah pendapatan ibu bapa dibawah RM5000 dan tidak ditawarkan biasiswa lain. Jika semua pelajar yang mendapat 8A+ sudah menerima biasiswa,barulah  tumpuan akan diberikan kepada pelajar yang mendapat 7A+.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata,  bumiputera Sabah dan Sarawak juga tidak akan dipinggirkan dalam pemberian biasiswa tersebut dan tiada sesi temuduga dilakukan bagi memperoleh biasiswa itu. "Kami memberi kelonggaran kepada pelajar di Sabah dan Sarawak di mana mereka yang mendapat 6A+ dan 5A+ layak menerima biasiswa setelah mengambil kira kekurangan kemudahan pendidikan di negeri tersebut," jelasnya. Biasiswa yang ditawarkan juga berbeza mengikut IPTA dan IPTS yang dipohon. (Utusan Malaysia Online 7.6.2011)

Semua ini adalah peluang yang sangat baik kepada semua pelajar. Keputusan peperiksaan jangan hanya sekadar lulus, bukan keputusan “alang-alang”. Bantuan hanya diberikan kepada yang betul-betul mahu belajar. Jangan hanya seronok menerima bantuan itu dan ini tetapi pelajaran diabaikan. Dari keputusan terbaik, merosot dan terus merosot. Disiplin pula tidak memuaskan sehingga bantuan ditarik balik. Bagi para pelajar di Sarawak gunakan kelebihan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Alasan, tiada kemudahan  yang lengkap itu bukan kekal untuk selamanya. Dunia makin maju dan terus maju. Tempat-tempat yang dulunya susah untuk dihubungi, kini perhubungan semakin baik. Dulunya tiada kemudahan kini semuanya dinaik taraf walaupun kadang2 terjerit2 kita dibuatnya kerana terputus air dan api. Namun jangan kita menjadi terlalu miskin sehingga buku anak pun tidak terbeli kerana terlalu mengharap simpati..

Terima kasih cikgu..

Monday, June 6, 2011

187.Tetap dikenang..

BERITA SEDIH DI HARI JADI...Tok.. di semadikan di Perkuburan Islam Derga, pada 8.4.2011. Alfatehah..

Sudah beberapa hari di Kedah, tetapi terasa sedikit kehilangan. Akur dengan takdir Allah. Setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati.  Setiap kali limpas ke katil nenek yang diletakkan berhampiran pintu tengah rumah itu, pasti menoleh terasa seakan-akan beliau masih ada di sana. Di situlah beliau ditempatkan sehingga menghebuskan nafas terakhir pada 7 April 2011 bersamaan dengan sambutan hari jadi saya yang ke 45. Secara jujur dan iklas kata mak, beliau di keluarkan dari bilik dan di tempatkan di situ supaya semua ahli keluarga dapat memantaunya dari masa ke semasa dengan keadaanya yang sangat uzur. Kini hanya doa mengiringi beliau dan yang pastinya setiap kali saya menyambut ulangtahun kelahiran, samalah seperti memperingati tarikh pemergiannya buat selama-lamanya.

Hentian Ipoh
Perjalanan saya bersama keluarga pulang kali ini pada 31.6.2011, pun sama seperti perjalanan saya pada petang 7 April lalu. Bezanya kali ini ialah esoknya adalah sambutan ulangtahun perkahwinan saya yang ke 17 tahun. Perjalanan Air Asia yang sepatutnya bermula dari Sibu Jam 8.20 malam tertunda sehingga jam 8.45 malam. Sampai di LCCT sudah jam 10.45 malam. Hati sedikit cuak kerana bimbang tidak dapat menaiki bas Shamisha jam 12.45 malam di Terminal Bas Jalan Duta. Hanya tempahan nama di buat untuk 4 orang, tiket belum dibeli. Dari maklumat yang saya terima itu adalah bas terakhir yang bertolak pada setiap malam dari Kuala Lumpur ke Alor Setar. Syukur, sampai sahaja di LCCT bas yang tiketnya sudah di tempah semasa “Booking Online Air Asia” sudah sedia menunggu. Sebaik sahaja penuh, bas terus meninggalkan  LCCT menuju ke KL Sentral dan sampai tepat jam 12.00 malam. Mendapatkan teksi dari KL Sentral juga sangat mudah dan kami sampai di Terminal Bas Jalan Duta jam 12.15 malam. Akhirnya selamat sampai ke Sahab Perdana jam 6.00 pagi.

Hadiah dari Adik - Norilyani
Nenek(Tok) saya bukan siapa-siapa, bukan orang besar yang matinya meninggalkan nama dan mendapat tempat di dada-dada akhbar pun atau mendapat liputan luas di TV. Hanya orang biasa, antara beribu-ribu orang yang lain sepertinya. Namun setiap orang itu mesti ada kenangan manis dan pahit bersamanya yang tidak dapat lupakan. Seperti mana yang berlaku kepada seorang staf di SMKB, secara tiba-tiba sahaja air mata bercucuran mengenangkan orang yang tersayang tanpa di sekat-sekat lagi. Saya percaya, akan menyedihkan lagi jika orang yang meninggalkan kita itu tidak memberi sedikit pun tanda-tanda bahawa dia akan pergi buat selamanya. (innalillahiwainnailaihirojiun...dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali). Kata rakan saya, kau pergilah dulu, nanti kami akan ikut juga kamu kemudian. Menyesal juga kiranya saya tidak pulang menatap wajah nenek buat kali terakhir kerana kami hidup bersama2 dengannya susah dan senang sebelum ini. Seingat saya, semasa kecil ketika bermain saya pernah tertetak tangan kanannya dengan pisau “bangkung” sehingga banyak darah mengalir dan menitis...

Namanya hanya terpahat di hati kami sekeluarga tentang kebaikan yang dilakukannya. Saya yakin semua orang tidak kira apa bangsa sekalipun akan merasa sedih bila berlaku keadaan ini. Ada sesetengah bangsa itu sanggup mengupah orang menangis, untuk menunjukkan rasa sedih dan dianggap sebagai musibah. Bah kan ada yang menyediakan pelbagai macam “bekal” untuk si mati, untuk digunakan di dunia sana. Dan ada sesetengah bangsa ada upacara khas, membakar barang-barang supaya barang-barang tersebut dapat digunakan oleh nenek moyang mereka selepas mati. Bagi kita orang-orang Islam, hanya Iman dan doa sebagai bekal. Banyak kebaikan di dunia, maka jutawanlah ia semasa di akhirat. Buat baik akan di sebut baik juga di dunia, buat jahat, jahat jugalah disebut orang sehingga bila-bila.

Yang lama tetap dikenang. Disimpan untuk tatapan... Namanya masih disebut-sebut.
Bagi sesetengah orang mencipta nama sebelum meninggalkan dunia yang fana ini tersangat mudah. Ramai yang mencipta nama pada usia yang sangat muda. Mereka termasyor sama ada di Malaysia dan di luar negera dan kita sangat2 mengenali mereka. Siapa tidak kenal dengan Hennry Ford, Edward De Bono, Suharto, Datuk Nicol David, Tun Dr Mahathir, Tan Sri P. Ramli, Datuk Nik Aziz, Muhammad Ali, Mickhle Jackson dan banyak lagi dalam kepimpinan atau dunia hiburan. Kita juga mengenali Botak Chin, Mona Fandy, Datuk Susilawati dan beberapa nama kecil yang tiba-tiba sahaja nama-nama ini menjadi terkenal dalam masa yang singkat. Mereka adalah antara orang-orang yang bertuah.

Semasa sambutan hari guru di kuching baru-baru ini saya telah bertemu dengan seorang sahabat lama. Kami berkenalan semasa sama-sama berkursus di Santubung Resort dan sama-sama menjawat jawatan PK KK ketika itu. Dari perbualan kami, saya mendapat tahu bahawa beliau baru 5 bulan menjawat jawatan sebagai pengetua di sebuah sekolah. Ini adalah jawatan yang sangat ditunggu-tunggunya, kerana sebelum ini apa yang terlintas di hati untuk pelaksanaan di sekolah sentiasa terhalang dengan pelbagai alasan dari pengetua. Tapi kini sebagai orang no satu di sekolah tersebut, beliau boleh membuat keputusan untuk mencorakkan sekolah tersebut.

Sebagai “pendengar” yang baik saya membiarkan beliau menceritakan sepanjang pengalaman 5 bulan di sekolah tersebut. Banyak kisah “duka” disajikan dan sesekali menggeleng2 kepala. Keadaan sekolah yang “daif” dan pengurusan sekolah selepas diambilalih olehnya adalah satu persoalan yang sangat besar. Lebih-lebih lagi masa untuknya membina sekolah tersebut hanya tinggal 4 setengah tahun sahaja lagi kerana masa untuknya meninggalkan tugas secara terpaksa sudah sampai. Beliau akan berpencen.

Apa yang menarik pada pandangan saya kepada sahabat ini ialah kesungguhannya untuk meletakkan sekolah ini sebagai sekolah yang terbaik sebelum beliau mengundur diri. Kejayaan sekolah ini mewakili bahagian di peringkat negeri dan kejayaan menghantar beberapa orang pelajar mewakili Negeri Sarawak ke Kejohanan Softball di Pahang baru-baru ini adalah bukti nyata bahawa beliau bukan cakap kosong. Beliau adalah antara insan yang sangat bertuah, masa untuknya bertindak masih panjang. Bahkan Allah tambahkan rezekinya seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari tersebut. Tidak seperti sesetengah rakan pengetua yang lain, memegang jawatan tidak sampai pun setahun dan terus berpencen. Namun kata orang bijak pandai, dalam masa beberapa hari pun perubahan mampu dilakukan jika ada kemahuan.

Bagi guru-guru di sekolah, rebutlah peluang yang ada dalam kerjaya ini. Jangan hanya menjadi guru “Biasa” sampai ke pencen. Jadilah guru “luar biasa” yang mencipta nama dalam pelbagai bidang. Jadilah Guru Cemerlang, Guru Inovasi, Guru Kreatif dan pelbagai macam lagi. Binalah kerjaya dari usia muda ini. Jangan menanti esok dan esok untuk memulakannya kerana sampai bila-bila pun tidak akan menjadi. Akhirnya, itulah guru biasa, yang biasa-biasa kita lihat dan dengar. Guru yang kadang-kadang ada namanya di dalam jawatankuasa, tetapi orangnya entah ke mana. Ukirlah nama seindah mungkin dikalangan pelajar dan rakan guru yang lain. Kita mengajar bukan kerana nama, tetapi kita mengajar kerana kita adalah guru yang bermaruah...

Terima kasih cikgu..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.