PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, January 31, 2011

158.Cari Duit Tujuan Utama Ke Sekolah?

Biasanya sebagai guru, kita akan bertanya kepada pelajar, Apakah tujuan sebenar mereka ke sekolah. Bila soalan ini diajukan ramailah pelajar akan menjawab mereka ke sekolah ialah untuk mencari ilmu pengetahuan, mencari pengalaman dan sebagainya. Ada juga guru-guru yang bertanya kepada pelajar dengan cara yang lebih spesifik, bila besar nanti nak jadi apa? Atau apakah cita-cita kamu?  Tentunya pelbagai Jawapan yang mereka berikan, ada yang mahu jadi Guru, Polis, Doctor, Peguam. Akauntan dan lain-lain. Jika diberi ruang untuk mereka bercakap, jawapan yang keluar dari mulut mereka dilihat  bersungguh-sungguh yang menunjukkan ketulusan hati dan minat masing-masing. Ada juga yang tidak tahu apa2 dan apa nak jadi, jadilah.

Teringat saya kepada seorang sepupu, di Felda Bukit Tembaga. Semasa sesi pengenalan pelajar-pelajar darjah satu di SK Bukit Tembaga, Guru bertanya, bila besar nanti kamu nak jadi apa. Dengan selamba dia berkata, bila besar nanti dia nak jadi komunis. Kata cikgu, betul juga, polis dah ada, tentera pun dah ada.. nanti mereka tidak ada kerja pula. Namun, selepas meniti hari demi hari dan selesai persekolahan beliau kini bekerja sebagai pelukis plan di Kuala Lumpur.

Sebagai seorang guru, saya juga tidak terlepas bertanyakkan pelajar dengan soalan-soalan seperti ini.  Setiap kali hari pertama bertemu dengan pelajar atau pertama kali menjejakkan kaki di dalam kelas untuk subjek perdagangan, saya ajukan soalan apa tujuan kita kesekolah. Jawapan mereka memang streotaip.  Namun, saya akan bertanya dan bertanya sehingga mereka keluar perkataan, mereka mencari ilmu untuk mendapatkan pekerjaan.

Kesimpulan saya kepada pelajar-pelajar tersebut ialah tujuan kita belajar sebenarnya ialah untuk mencari “duit” sebagai rezeki kita untuk sepanjang hayat. Tanpa ilmu yang kukuh kita tidak dapat menjawat pekerjaan yang kita kehendaki. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya kita perlu cari ilmu yang berkenaan untuk menjadi usahawan. Untuk menjadi doctor kita kena belajar kearah menjadi seorang doctor. Untuk menjadi jurutera maka belajarlah ilmu kearah tersebut  begitulah dengan pekerjaan-pekerjaan lain.

Benar, Rezeki Allah itu di mana-mana. Namun sebagai inspirasi kepada pelajar untuk kejayaan. Mereka boleh memilih jalan mana yang mereka mahu. Mereka boleh memilih bidang mana yang menjadi pilihan dan minat, dan bidang mana yang mendatangkan pendapatan yang lumayan.  Mereka juga boleh memilih bidang mana yang menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak.  Belajar bersungguh-sungguh sahaja tidak menjanjikan pekerjaan yang baik jika bidang yang diambil tidak menjurus kepada minat dan cita-cita mereka. Akhirnya akan ada yang menjadi penganggur terhormat. Seterusnya nasihat kita kepada mereka seolah-olah kita tidak bercakap benar.

Mohamad Khalifah bekas pelajar SMK Methodist, Sibu (Pelajar isteri)
Menerima Sijil Dalam Majlis Meraikan AJK Lama Kelab Setia
Dalam satu majlis ringkas yang diadakan oleh Ahli Kelab Setia di rumah saya..
Beliau kini seorang Polis, sedangkan rakan-rakannya yang lain sedang menunggu
keputusan STPM. Ada rakannya kini menjawat jawatan GSTT di sekolah yang sama..
Gaji pertama.. belanja guru-gurunya makan nasi ayam.. Tahniah - Semoga pilihan kamu tepat...
Saya amat menyedari bahawa pada masa kini ramai pelajar yang pandai membuat keputusan untuk diri sendiri. Selepas sahaja tingkatan lima, ramai yang sudah beralih ke dunia pekerjaan berbanding dengan rakan-rakan yang menyambung ke tingkatan enam, ke maktab, ke matrikulasi dan sebagainya. Tuntutan mahu mendapat duit sendiri juga membuatkan mereka mahu menjauhkan diri dari terus menuntut ilmu. Bagi mereka sudah memadai dengan apa yang ada dan akur dengan ganjaran yang bakal di terima. Sesetengah pelajar masuk ke Universiti itu bukan menjadi matlamat utama untuk mendapat “duit” tetapi memadai dengan ilmu yang ada dan berpuas hati dengan pekerjaan yang ada...

Saturday, January 29, 2011

157.Sejarah Laluan Kerja.. Bernilai Bila Menjadi Ketua

Semasa kita menjawat jawatan sebagai guru atau selepas kita keluar maktab atau university dan posting ke sekolah, dalam hati sebilangan besar dari  kita berkata, kita akan menjadi guru biasa untuk selamanya. Langsung tidak terdetik di dalam hati bahawa suatu hari nanti kita akan menjadi ketua. Bukan hanya sekadar menjadi Pengetua, Ketua Panitia, Penolong Kanan, Guru Kanan, guru cemerlang, Guru Media, Guru Data,  guru itu dan ini di sesebuah sekolah bahkan seorang Pegawai Pelajaran Daerah atau Pengarah sekalipun. Namun bagi yang tidak mahu menyahut cabaran sudah tentu pelbagai alasan yang dikemukakan untuk mengelak dan pelbagai alasan juga dicari supaya menjadi orang kedua tetapi bukan ketua walaupun di dalam satu Jawatankuasa yang kecil.

Orang yang cemerlang diibarat dicampak ke laut menjadi pulau
Dicampak ke darat menjadi gunung
Cg Aseng Kuman - Pengetua SMK St. Patrick, Mukah
Dalam satu sesi perkongsian Ilmu
Tahniah - Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Ketua Menteri
Atas sumbangan yang diberikan dalam dunia pendidikan
Sebagai seorang ketua, sudah tentu kita mahu menjadi ketua yang berjaya. Sudah tentu kita mempunyai strategi tersendiri yang ingin dilakukan. Maka pelbagai program dan aktiviti yang mahu dilakukan supaya matlamat akhir yang ditetapkan akan berjaya. Saya pernah terbaca satu petikan, tetapi tidak ingat di mana sumbernya. Seorang ketua yang berjaya kadangkalanya adalah lahir daripada seorang pekerja yang teruk. Beliau berjaya kerana perkara-perkara yang dilakukan semasa beliau menjadi pekerja biasa, pasti beliau tidak mahu orang lain melakukannya dan semua alasan yang diberikan oleh pekerja adalah alasan-alasan sama seperti yang dilakukan oleh beliau.

Ketua seperti ini tentunya Nampak hebat tetapi beliau tidak dapat lari dari kenyataan sebenar jika orang yang dipimpinnya adalah rakan-rakan dan orang-orang yang sangat mengetahui akan rahsiannya. Semua kata-kata dan contoh-contoh yang diberikan yang berkaitan dengan dirinya sudah tentu akan dilihat seperti “Cakap tidak serupa bikin”. Rungutan atau cakap-cakap belakang sudah tentu akan kedengaran. Lebih memilukan jika ada diantara rakan-rakan atau orang yang dipimpin sukar ditegur dan engkar untuk melakukan sesuatu seperti yang diminta sama seperti engkar beliau bila suruh semasa menjadi pekerja biasa dahulu. Paling menyakitkan hati bila ada yang cuba memalukan ketua ini jika ada yang berani mengakatan “ saya bertindak seperti kamu dulu”...

Kesedaran awal kepada seseorang guru supaya tidak terjadi seperti ketua yang begini adalah sangat penting. Sejarah kerjaya kita seringkali akan disebut-sebut dan dikait-kaitkan dengan apa yang kita lakukan. Bagi guru-guru yang sangat rajin tiada masalah baginya walau di mana sekalipun ditempatkan. Masalah akan timbul bagi guru-guru yang agak malas dan seringkali mengelak sesuatu tugasan yang diberikan. Mahu di berikan anugerah sebagai pekerja cemerlang pun akan dipertikaikan.

Semasa saya membuat ROS, Rancangan Orientasi Sekolah di sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah pada tahun 1992, saya melihat seorang pengetua ini sangat cemerlang. Pengurusannya sangat teliti. Sekolah ini sangat cemerlang akademiknya. Namun di hati guru-guru yang mengenalinya sejak sama-sama bertugas dan kini menjadi orang yang dipimpinnya melihat apa yang dilakukannya sangat kontra sama sekali. Contoh-contoh kepada guru-guru berkaitan dengan dirinya adalah omong kosong untuk meyedapkan bait-bait taklimat yang diberikan. Begitu juga wahyu-wahyu pihak atasan kini, yang kadangkalanya datang dari orang-orang yang tidak cemerlang dan semua perkara yang dilakukan tanpa ketelitian dan dibuat secara “Cut and paste”.

Marilah sama-sama kita renungkan apa yang kita lakukan. Adakah kita tergolong dalam golongan seperti ini. Usahalah yang terbaik. Belajar dari sekarang sebagai ketua suatu hari nanti. Jadilah guru yang terbaik supaya kerjaya kita akan datang tidak dipersoalkan. Diungkit kisah silam tentang kewibawaan atau kredibiliti. Bagi guru-guru muda, yang baru memegang duit sendiri, jangan terlalu leka dengan apa yang kita hajati. Laluan kerjaya kita masih panjang. Jangan sampai kita lupa tugas sebenar,  kerana sejak melapor diri kita sudah mula dinilai... Jadilah guru yang dihormati oleh rakan dan taulan..

Terima kasih cikgu

Tuesday, January 25, 2011

156.Tiga kali "Good"..

Seronok mendengar cerita Muzzammil tentang pembelajarannya di sekolah. Macam-macam kisah anak ini setelah masuk tahun satu pada tahun ini. Yang pasti baju dan kasutnya dah jadi “belacan” setiap kali pulang sekolah. Hanya seluar sahaja tidak berubah warna. Hari Sabtu 22 Januari 2011 adalah hari persekolahan ganti bagi SK St Mary untuk tahun baru cina, begitu juga bagi SMK Belawai. Ini bermakna guru-guru di sekolah yang berganti hari Sabtu akan bercuti panjang selama satu minggu, minggu depan. Di SMK Belawai hanya saya dan beberapa AKS yang akan jadi penunggu sekolah.

Dimata kita anak kitalah paling comel, paling cantik
Begitu juga ibu bapa lain.. biar bagaimanapun mereka
Tetapi kita sebagai guru, fahamilah jiwa anak-anak
Mereka adalah sama.. perlukan kasih sayang
Hari persekolahan Sabtu lalu diambil alih oleh Penolong Kanan Pentadbiran. Syukurlah.. inilah peluang untuk saya menghantar dan menjemput Muzzammil di sekolah. Oleh kerana sekolah tempat emaknya bekerja juga bersekolah, maka seperti biasa mereka bertiga termasuk kakaknya Nurul Nadhirah turun bersama dan tugas saya hanya menjemputnya pada jam 12.15 tengahari.

Seperti biasa, jika saya berpeluang menjemputnya sejak dari Pra Sekolah lagi.. saya akan  bertanya apa yang telah dipelajarinya pada hari tersebut.Tanpa berselindung apa-apa, Muzzammil yang beza umurnya dengan kakak, Nurul Nadhirah 9 tahun itu akan menceritakan apa yang berlaku di sekolah dengan bersungguh-sungguh. Kali ini, antara yang menarik perhatian saya ialah tentang 3 kali “good”.

“Hari tuk kamek dapat 3 kali “good” yah (ayah), cikgu Dorita berik”, Katanya.. Semasa Pra Sekolah guru yang paling disayanginya ialah Cg Anna. Dalam 2-3 minggu ini, emaknya beritahu nama cg Dorita memang dibibirnya jika menceritakan masa di sekolah.

“Mana goodnya?” Tanya saya lagi.

“Sik ada Cikgu tulis, tapi kamek hitung... setiap kali cikgu limpas nangga kamek molah matematik, nya madah good. Kamek hitung hingga 3 kali.” Jawabnya dengan penuh kegembiraan.
(Tidak Cikgu tulis, tapi saya kira.. setiap kali cikgu lalu nampak saya buat matematik, dia kata good. Saya kira sampai 3 kali)

Besarnya penghargaan bagi seorang murid. Walaupun hanya dengan perkataan tanpa di catat di mana-mana bahagian buku tetapi mereka sebenarnya sangat gembira. Kadang kala dalam ajar kita, kita lupa bahawa permainan psikologi untuk mengajak murid ingin meneruskan permainan adalah sangat perlu.. Kita lupa bahawa murid perlukan penawar, tetapi kita sajikan sedikit racun yang kadang kala membuatkan mereka langsung tidak berminat dengan kita seterusnya dengan mata pelajaran yang kita ajar. Kita melihat bahawa, pelajar boleh menerima apa sahaja dari kita, dalam apa keadaan sekalipun. Kita melihat pelajar sudah besar2, sudah berjanggut, bermisai, sasanya badan dan garuknya suara tetapi kita terlepas pandang bahawa di hati kecil mereka tersentuh dengan kata-kata kita.

Itu belum lagi kita catatkan sesuatu di atas buku mereka setelah mereka selesai menyiapkan sesuatu tugasan yang kita beri. Murid cemerlang sentiasa mengharapkan pujian dan kadangkala akan membuat hal untu mendapatkan perhatian. Jika kita kurang peka terhadap perkembangan murid ini maka kesilapan yang sedikit akan menyebakan murid berjauh hati dan akan melenyapkan harapan yang di nanti-nantikan. Masalah yang timbul bagaikan untuk menguji guru-guru sama ada sedar atau tidak bahawa masalah tersebut hanya untuk meraih simpati dan menguji guru sabar atau tidak dengan ujian tersebut.

Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Datu’ Haji Julaihi pernah mengharamkan penggunaan perkataan “Seen”, “dilihat”, “disemak”, “dilihat” dan perkataan-perkataan yang sama maksud dengannya yang terang-terang menunjukkan guru tidak mengemak dengan teliti dan dibuat dengan cara yang tidak menunjukkan kesungguhan guru-guru menyemak kerja pelajar. Sedangkan pelajar telah menunjukkan komitmen yang tinggi, bersengkang mata, lenguh-lenguh tangan menulisnya tetapi apa yang mereka dapat ialah hanya perkataan yang dilihat tiada nilai bagi mereka, Pelajar juga manusia seperti kita dan bijak menilai kerja-kerja guru.

Cuba kita bayangkan jika di atas nota atau kerja-kerja mereka ada perkataan “Baik, nota ini sangat lengkap. Teruskan Usaha” atau jika kita tiada masa sekalipun, ada tercatat “Baik”, “Good”, “A”, “A+” dan perkataan-perkataan lain yang menunjukkan kita telah menyemak kerja-kerja mereka dan memuaskan hati. Sekarang di supermarket, hypermarket, di toko-toko buku banyak dijual cop perkataan-perkataan yang boleh memotivasikan murid, ada sticker, symbol-simbul yang boleh digunakan oleh guru sebagai penggalak. Nampak perkara ini remeh, renyah, membuang masa dan akan menyebabkan kita kena keluarkan duit poket sendiri untuk membelinya atau akan bertambah kerja-kerja guru tetapi ingatlah kesan yang akan kita terima sebenarnya amat menggalakkan. Bagi guru yang kreatif boleh adakan pertandingan dan siapa yang boleh mengutip banyak perkataan “good”, siapa yang banyak mendapat “A” dan lain-lain..

Jom sama-sama kita mulakan permainan ini, biar pelajar kita belajar dalam suasana seronok dan Pengajaran-dan pembelajaran kita mencapai matlamat akhir.

Sama-sama kita refleksi diri.. adakah kita seorang guru yang berkesan, disukai dan ramai peminat dikalangan anak murid kita..

Terima kasih, cikgu..

Thursday, January 20, 2011

155.Enggang dan pipit tidak mustahil terbang bersama..

Kita biasa mendengar, peribahasa enggang sama enggang, pipit sama pipit baru boleh terbang bersama yang menunjukkan susahnya hendak bersatu jika jodoh yang dipertemukan itu adalah berlainan darjatnya. Saya tidak pasti, peribahasa mana yang hendak digunakan untuk menunjukkan bahawa seorang guru baiklah cari jodoh guru juga supaya senang dapat terbang bersama. Namun ini bukanlah ukuran kebahagian seseorang. Pada zaman sekarang tiada yang  mustahil, enggang dapat terbang bersama pipit jika kedua-duanya memahami antara satu sama lain.

Isteri saya sebelum ini bukan guru. Beliau sudahpun memegang jawatan sebagai Pegawai Penerangan Kesihatan di Sibu. Namun saya minta beliau agar meletak jawatan, biar sama-sama menjadi guru  dan dapat sering bersama pada masa cuti dan sebagainya. Syukur walaupun pada mulanya beliau kurang berminat, tetapi setelah menjawat jawatan sebagai guru, beliau dapat menyelami pekerjaan ini dan meletakkan tanggungjawab yang tinggi terhadapnya.

Sebagai guru, tiada lain yang dibincangkan di rumah, perkara yang banyak dicakapkan ialah tentang dunia pekerjaan dan masalah dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar. Boleh dikatakan saban hari ada sahaja topic menarik untuk dicakapkan. Walaupun tempat mengajar disekolah yang berlainan tetapi kami saling memahami antara satu sama lain. Begitu juga apabila saya terpaksa berjauhan dengan keluarga atas tuntutan tugas. Bohong jika dikatakan tiada perbezaan pendapat, namun dapat diselesaikan bila ada yang bertolak ansur..

Dunia pekerjaan guru kini bukannya suatu yang mudah. Banyak perkara yang dianggap pelik berlaku tanpa diundang mengikut arahan-arahan dari perintah am atau surat-surat pekeliling yang ada. Bagi yang sukar menerima tentunya “menjerit-jerit” jika ada perkara-perkara yang difikirkan bukan sepatutnya dibuat oleh guru, tetapi terpaksa dilakukan umpamanya kerja-kerja perkeranian yang banyak dari tugas untuk mengajar di dalam kelas. Pada hemat saya, perkara ini timbul apabila masa untuk ditumpukan kepada keluarga menjadi sikit. Lebih-lebih lagi tuntutan pasangan yang melebihi had-had yang dapat ditumpukan oleh seorang guru di rumah. Tekanan yang hebat ialah ditanggung oleh seorang guru perempuan yang terpaksa menumpukan masa untuk suami dan anak-anak.

Suami yang bukan guru tetapi memahami tugas guru, barangkali tiada masalah tetapi bagi suami yang bukan guru yang tidak memahami tugas guru, ini yang seringkali bermasalah. Ramai guru perempuan yang meletak jawatan atas permintaan suami. Malah ada guru perempuan yang dihendik, diperli dan sebagainya akibat tanggungjawab yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Ada suami yang sangat cerewet tentang makanan, tidak makan makanan luar kecuali makanan yang dimasak oleh isteri sedangkan kadangkala si isteri mempunyai banyak tugas yang perlu dibuat dan terpaksa turun lagi pada sebelah petang atas tuntutan tugas.

Bagi si isteri atau guru yang hebat tentu ada kreativiti tertentu tetapi yang agak lemah tentu semua itu menimbulkan masalah. Ramai suami yang pandai mengarah dari menolong.  Pernah saya terdengar sepasang suami isteri bertengkar tentang tugas si isteri. Satu perkataan yang saya tidak dapat terima ialah perkataan “Bodoh”... “Engkau ni bodohlah, banyak lagi orang lain, kenapa engkau menerimanya?” Si isteri terpinya-pinya malu.. malu dengan kata-kata suami kerana dimarah depan orang ramai sedangkan si isteri bukan bertugas keseorangan tetapi dalam satu jawatankuasa yang dibentuk oleh pihak sekolah. Sedangkan si suami bekerja sendiri, dan menunjukkan kuasa bahawa beliau tidak mengizinkan si isteri turut serta dalam aktiviti yang dirancang.

Saya sangat teruja melihat seorang sahabat saya yang tidak bekerja. Pendapatannya bergantung kepada sewa tanah sawah di Kedah. Lama mereka menetap di Putera Jaya kerana terpaksa mengikut isteri yang bertukar dan bekerja di sana. Beliau bertindak sebagai pemandu, menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah. Menghantar dan mengambil isteri dari tempat kerja. Makanan di rumah sedia dimasak untuk santapan keluarga. Tiada banyak rungutan.. kehidupan mereka sangat bahagia. Mereka saling hormat-menghormati walaupun si isteri berpangkat..

Sesungguhnya, biarpun pipit sama pipit, enggang sama enggang atau pipit sama enggang.. apa yang penting ialah saling memahami tentang tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tidak semestinya pipit sama pipit tidak ada masalah, malah kadangkala masalah mereka lebih dahyat dari hubungan pipit dan enggang... tetapi yang bermasalah itu bukan kita...

Wallahuaklam

Terima kasih Cikgu Latifah, Happy Birthday, Wishing you a happy and prosperous birthday and a sweet night of birthday dreams.
22 January 2011

154.Peranan Kelab Staf, Bekerja Lebih Seronok...

Usaha mengubahsuai gelanggang tenis lama, yang tidak lagi digunakan kepada gelanggang “footsal” nampaknya telah membuatkan suasana petang di SMKB amat hidup. Guru-guru dan pelajar nampaknya sangat gembira dapat bersama-sama bermain, mengeluarkan peluh, menjerit dan berteriak melepaskan perasaan masing-masing disamping melupakan sebentar beban tugas yang dipikul saban hari.

Gelanggang tennis yang lama terbiar
diubahsuai sebagai gelanggang footsal
Beberapa permainan dalaman yang
boleh di atur oleh kelab staf
Kerja, kerja, kerja.. sudah tentu membosankan. Silap haribulan boleh mendatangkan “stress” dan sangat merbahaya bila sudah tidak dapat dibendung.  “Stress” dan kebosanan akan menyebabkan penurunan kualiti dan kuantiti kerja. Individu yang bekerja dalam keseronokan biasanya akan menunjukkan prestasi kerja yang memberansangkan. InsyaAllah.. jika diizinkan Allah dan ada rezeki, cadangan untuk mewujudkan gelanggang petanque di SMKB akan terlaksana pada tahun ini untuk memberi peluang kepada warga SMKB,  lebih banyak tempat untuk bersukan dan sebagai tempat melepaskan perasaan.

Penyertaan guru-guru di dalam sukan komuniti di Kampung Belawai sebelum ini juga dilihat sebagai suatu yang bermakna. Di samping bersukan guru-guru dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk setempat yang kebanyakkannya ialah ibu dan bapa kepada para pelajar di SMK Belawai. Dengan eratnya hubungan ibu bapa dengan guru, diharap satu hubungan komunikasi dua hala ini dapat menyelesaikan masalah pelajar dengan berbincang selain dari hari permuafakatan yang diadakan secara rasmi di sekolah.

Gambar yang diambil tanpa izin dari FB Cg Safidzan Salman
Kegembiraan jelas kelihatan...  walaupun aktiviti dirancang
sesama rakan tanpa melibatkan Kelab Staf namun jelas
ia boleh menghilangkan tekanan di tempat kerja
Lain kali ajak le saya sekali... hehehe..
Dalam usaha untuk menghasilkan keseronokan bekerja, kelab staf sesebuah sekolah sebenarnya boleh memainkan peranan penting. Kelab Staf yang aktif dapat menyumbang perhubungan kemanusiaan lebih-lebih lagi bagi sesebuah sekolah yang besar dan mempunyai jumlah staf yang ramai. Jika tiada hubungan antara satu sama lain, tidak hairan staf disesebuah sekolah tidak mengenali antara satu sama lain. Mereka lebih menyendiri, membuat hal masing-masing dan sekolah dilihat sebagai tempat kerja semata-mata. Dengan bantuan kelab staf yang aktif, dinginnya hubungan antara guru-guru atau staf dapat diatasi dan suasana kerja akan menjadi lebih menarik dan tiada rasa dipinggirkan.

Berbagai aktiviti boleh dilaksanakan oleh AJK  Kelab Staf  untuk memberi keseronokan dan lari dari rutin harian bernada sama, umpamanya hari keluarga. Tidak semestinya diadakan di dalam kawasan sekolah tetapi boleh di adakan di luar jika dipersetujui bersama untuk mencari kelainan. Dalam pada itu sesi lawatan ke tempat-tempat menarik juga boleh diatur.

Usaha-usaha lain yang boleh dilakukan oleh Kelab Staf ialah melancong sama ada di dalam negeri atau luar negeri. Saya pernah mengikuti Kelab Staf SMK Methodist, Sibu melancong ke Mulu, Sarawak bersama-sama isteri (staf SMK Methodist) pada beberapa tahun lalu. Sangat menarik. Selama satu minggu kami di sana berbagai aktiviti dirancang, kami mengenali keluarga masing-masing dan masih lagi bertegur sapa sehingga ke hari ini. Dalam pada itu ada Kelab Staf yang mempu untuk mengadakan lawatan ke luar negeri.

Bagi menjaga kesihatan. Kelab Staf boleh merancang untuk mengadakan aktiviti senamrobik, poco-poco atau pertandingan bola tampar, pertandingan bola jarring dan lain-lain. Permainan dalaman juga dapat diatur, seperti pertandingan bermain “Chess”, Dam, Karum, ping pong dan lain-lain.  Jika tidak terdapat kemudahan di sekolah sendiri, Kelab Staf boleh merancang untuk membuat pertandingan persahabatan dengan Kelab Staf di sekolah lain.

Kelab Staf juga boleh membantu guru-guru di dalam aspek-aspek kerohanian di samping menyuburkan rasa tenang dalam diri guru-guru. Ada kalanya sikap guru atau staf yang suka memberontak, sukar menerima teguran, sikap yang negatif, jiwa yang tertekan boleh ditolong dengan adanya ceramah-ceramah agama, forum, muzakarah dan lain-lain aktiviti keagamaan mengikut agama masing-masing. Para ustaz dan ustazah boleh mengambil peranan di dalam aktiviti ini, selain menolong rakan-rakan secara tidak langsung dapat menambah ilmu untuk menghadapi masa-masa akan datang.

Bagi guru-guru atau staf perempuan boleh mengadakan aktiviti berkongsi resepi, kelas masakan dan selepas itu dapat sama-sama makan dan bertanya khabar antara satu sama lain.  Dalam masa ini kita dapat menyelami perasaan guru-guru lain dan pengalaman masa lalu. Hubungan guru-guru baru dan guru-guru senior juga secara tidak langsung dapat dipupuk.  Dalam pada itu aktiviti perkongsian ilmu juga dapat dirancang, guru-guru senior sudah tentu ada pengalaman yang luar dalam sesuatu bidang dan ilmu ini dapat dikongsi bersama dan akhirnya mendatangkan kesan yang baik untuk sekolah.

Banyak yang dapat dilakukan oleh Kelab Staf. Namun aktiviti yang dirancang jangan sampai mengganggu tugas utama iaitu pengajaran dan pembelajaran. Jangan pula meletakkan kepentingan Kelab ini mengatasi yang lain. Bertindaklah secara professional dan jangan pula di salah anggap oleh masyarakat kita mengabaikan tugas kita sebagai seorang guru...

Terima kasih, cikgu..

Tuesday, January 18, 2011

153.Sudah dijanjikan di situ...

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri... Begitulah kata-kata bidalan yang biasa kita dengar. Hari ini seorang sahabat telefon bertanya khabar sekolah dan seterusnya, diterjah dengan soalan lain. “Aku dengar kau kemalangan tempohari.  Betulkah?”, Nak di jawab tidak, Berbohonglah pulak. Memang benar-benar berlaku.. Akhirnya mengaku sajalah. Simpang Pergau dan Kuala Matu... Adoh.. malu juga rasanya. Kemalangan ketiga selepas 22 tahun memandu selepas mendapat lessen yang sah dari JPJ. Niat untuk dirahsiakan.. namun akur bukan mulut tempayan yang dapat ditutup.

Suasana di kawasan kemalangan
Biar gambar ini menceritakannya walaupun sedikit "disensor"
Saya pernah kemalangan pada kali pertama semasa di sekolah rendah, tidak ingat darjah berapa, bila basikal dirempuh motosikal yang ditunggang oleh sepasang suami isteri semasa saya melintas jalan. Kemalangan kedua bila saya sendiri melaggar motosikal yang ditinggalkan di tengah jalan akibat langgar lari di Jalan Tok Jalai menuju ke Jitra di hadapan perumahan kem tentera Jam 11.00 malam semasa saya memandu motosikal dari rumah ke UUM  pada tahun 1988. Kawasan tersebut terlalu gelap tidak seperti hari ini, jalan baru. Kemalangan baru berlaku dan pemandu motosikal tersebut terbaring di tepi jalan. Namun saya tewas, tulang selangka saya patah dan meninggalkan kenangan pahit sehingga ke hari ini. Kemalangan kali ini adalah kali ke tiga, kemalangan yang tidak sepatutnya terjadi, semasa saya membawa bahan-bahan PTK pada 14.10.2010 jam 12.30 tengahari dan kebetulan pada pagi tersebut saya meninggalkan komen tentang kemalangan maut pada 10.10.2010 di blog rakan.

Malang tidak berbau, ajal maut dan jodoh pertemuan semuanya sudah ditentukan. Biar bagaimana peringatan dan doa naik kenderaan di baca tetapi sudah perjanjian akan berlaku kemalangan di situ. Kini simpang Pergau / Kuala Matu tercatat sejarah seorang pemimpin sekolah telah kemalangan di situ dan telah menjadi buah mulut dari masa ke semasa. Simpang yang diperkatakan ramai orang, simpang yang sangat merbahaya dan telahpun meragut nyawa sebelum ini. Simpang 4 yang agak pelik dan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab. Bagi diri saya kemalangan tersebut berlaku disebabkan salah sangka dengan petunjukkan jalan... selebihnya adalah kelemahan diri sendiri.

Syukur saya tidak mengalami apa-apa kecederaan tetapi sahabat yang terlibat kemalangan dengan saya mengalami sedikit luka di tangan dan bahu akibat terhempap di Stereng kereta. Kemalangan berlaku dalam keadaan saya sedar, tidak mengelamun dan saya sudah bersedia kerana di hati saya saya memang ingat simpang ini merbahaya. Namun tiba-tiba sebuah kereta Proton Saga datang dari arah Kuala Matu dan  masuk ke simpang tersebut dan berlaku kemalangan. Akibat saya menekan brek dan hentakkan yang kuat tayar belakang kereta pancit dan bahagian depan remuk sama sekali. Sementara kereta Proton Saga tersebut kemek teruk pada bahagian tepi, belakang.

N3 ini lambat dicatat kerana niat awalnya, tidak mahu membesarkan2 kan cerita ini tetapi setiapkali berjumpa rakan taulan soalan ini sering ditanya dan menjadi topic perbualan. Keadaan jalan memang begitu rupa, tetapi barangkali pada masa tersebut saya terburu-buru untuk pulang ke sekolah dengan niat untuk masuk ke pejabat semula.  Rancangan untuk membereskan kerja-kerja di pejabat tidak kesampaian, dan masa dihabiskan dibalai polis dan saya sampai ke sekolah jam 8.30 malam dengan menggunakan kereka En. Dor bekas KPT SMK belawai.

Saya dengan ini sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua wagra PPD Daro yang banyak menolong saya dalam kemalangan tersebut. Begitu juga dengan rakan-rakan dari PPD Mukah yang terserempak dengan saya semasa kejadian. Terima kasih juga kepada rakan taulan yang menolong saya pada masa tersebut sehingga selesai urusan dibalai polis. Terima kasih kepada guru-guru SMKB yang bertanya khabar selepas kejadian dan rakan-rakan yang bertanya khabar dan memberi semangat. Sesungguhnya tiada siapa yang suka akan kemalangan yang berlaku tetapi apakan daya, ini juga adalah salah satu ujian dari Allah... Barangkali ada hikmah di sebaliknya. Catatan ini juga, secara tidak langsung bagi sesiapa yang membacanya dari Mukah / Daro dan sebaliknya, berhati-hatilah di simpang 4 Pergau / Kuala Matu ini... Selepas saya kemalangan di situ, saya di beritahu ada lagi kemalangan yang berlaku. Simpang ini seolah-olah ada “penunggunya” yang ingin melihat kejadian yang tidak diingini...

Semoga kejadian ini adalah yang terakhir bagi diri saya,dan tahun 2011 akan dilalui dengan penuh rasa keinsafan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat kita yang lain, Pandu Cermat Jiwa Selamat..

Terima kasih cikgu...

Monday, January 17, 2011

152.LDP: Usaha Menyuntik Ilmu Kepada Guru

Berbagai usaha telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memastikan guru-guru mendapat latihan yang secukupnya dalam menghadapi pekerjaan, terutama sekali dalam persediaan diri untuk berhadapan dengan para pelajar. LDP atau Latihan dalam perkhidmatan (bukan perkara baru kepada guru-guru) merupakan satu cara yang terbaik untuk menolong kearah itu. Guru perlu meningkatkan ilmu pengetahuan melebihi para pelajar walaupun dalam masa tertentu bertindak sebagai fasilitator.

Gambar Hiasan
Perkongsian Ilmu di PPD Mukah
pada 29 Disember 2011
Untuk memberi latihan kepada semua guru dihotel-hotel, di PPD, di Pusat-pusat latihan barangkali agak mustahil kerana jumlah guru yang agak ramai berbanding dengan sector lain. Namun kadangkala guru-guru di serata tempat di desa, di pedalaman, di bandar maupun di kota-kota besar memang mengharap agar dapat keluar walaupun sekali seumur hidup berkusus di samping melihat dunia luar. Langkah Kementerian Pelajaran mewajibkan guru-guru menjalani  latihan sekurang-kurangnya 7 hari setahun pada masa sekarang amat baik namun masih lagi dikatakan terperuk di sekolah sendiri sedangkan diantara mereka ada yang seringkali keluar masuk ke sekolah berkursus sana sini. Dan diantara mereka juga ada yang langsung tidak pernah keluar untuk berkursus walaupun hampir pencen. Kita akur dengan keikhlasan pihak kementerian, tugas ini bukan mudah kerana kekangan kewangan untuk memenuhi semua tuntutan.

Pelaksanaan kaedah latihan secara pembacaan buku bagi menggantikan hari berkursus di kementerian pelajaran Malaysia pada tahun ini 2011, selain menerusi kaedah Blended Training Approach iaitu dengan sesi perkongsian ilmu, Excutive Talk, program pementoran dan sebagainya. Langkah KPM mengambil inisiatif melaksanakan cara ini juga bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan seperti di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2005 dan kaedah ini tidak dilaksanakan jika anggota KPM sudah memenuhi keperluan kursus 7 hari.

Walau bagaimanapun, secara peribadi saya katakan, pelaksanaan dengan cara pembacaan buku amat sesuai dilaksanakan selain dapat meningkatkan minat membaca guru. Saya percaya ramai guru-guru kita yang suka membaca. Setiap kali menjelag cuti sama ada cuti pertengahan penggal atau cuti panjang akhir tahun saya sentiasa ingatkan guru-guru supaya dapat medalami ilmu dengan pembacaan atau perbincangan dengan rakan-rakan di sekolah-sekolah lain. Pengalaman-pengalaman ini dapat dikongsi bersama-sama dengan rakan-rakan di sekolah ini dan mengambil mana yang baik untuk dipraktikkan.

Sesungguhnya banyak ilmu yang dapat dikutip dengan banyak membaca kemudian dibentang, dikupas isinya dan dibincang. Dalam sesi soal jawab, akan timbullah persoalan-persoalan yang tertentu dan semua guru dapat sama-sama memberi pendapat. Pendapat-pendapat yang bernas inilah yang akan mencetuskan idea baru yang dalam memberi manfaat kepada semua. Namun semua ini akan dilihat tidak berguna jika yang baik itu belum dicuba tetapi sudah timbul cakap-cakap negatif yang menghalang kearah kebaikan...

Terima kasih cikgu...

Sunday, January 16, 2011

151.Sekolah milik kita bersama...

Pejam celik, pejam celik jangan pejam-pejam tak celik-celik  dan kesana dan ke sini, bermesyuarat, berkursus dan menguruskan hal-hal sekolah rupanya sudah hanpir 5 tahun saya di SMKB.  Bagi seorang pengetua di sesebuah sekolah jangka masa tersebut bukan lagi dianggap sebagai baru tetapi nampaknya bila-bila masa boleh di arah untuk bertugas di tempat lain jika diarah untuk berbuat demikan. Apa yang berlaku saya reda, dengan satu tekad, saya yang menjalankan tugas. Walau di mana sahaja di tempatkan saya akan bergerak disamping mencari pengalaman baru.

Secara jujur saya katakan, pada mula-mula saya mendapat surat arahan supaya berpindah ke SMKB sebenarnya saya sangat-sangat tidak senang hati kerana pilihan saya ialah sekolah di bandar. Saya langsung tidak tahu saya akan di tempatkan ke sini kerana beberapa bulan sebelum di arah berbuat demikian saya dan seorang rakan lagi En. Sunny Chong Chin San di minta untuk mengisi borang penempatan di mana  mahu di tempatkan jika jawatan ini ditawarkan. Di bandar atau luar bandar. Saya memilih di bandar kerana lebih dekat dengan keluarga, namun apa yang dipohon tidak semestinya dipenuhi. Pengetua En. Wong Chong Kung, SMK Tiong Hin,  Kini PPD Sibu menasihati saya menerimanya dan bermulalah langkah saya kehadapan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Tentunya tempat baru, pengalaman baru dan semuanya baru setelah lama berada di SMK Tiong Hin sejak  Disember tahun 1994 hingga September 2006. Sayang untuk tinggalkan sekolah lama, lebih-lebih lagi pada masa saya menerima arahan, upacara penyerahan kunci dari kontraktor baru sahaja selesai. Belum sempat untuk merasa mengajar di bangunan baru yang sama-sama kami (guru-guru)  dan PIBG serta pertolongan dari Mendiang Datuk Teng (Pengerusi Lembaga Sekolah) berusaha untuk dapatkan dana mendirikannya, saya terpaksa pergi. Begitu juga dengan En. Wong Chung Kung beberapa bulan selepas itu beliau di lantik sebagai PPD Sibu.Namun dihati ada rasa “puas” kerana usaha kami untuk menukar bangunan lama telah menjadi kenyataan selain kami masih lagi berhubung dengan staf yang masih ada dari masa ke semasa.

Sebulan saya di SMKB, PPD Mukah membuat lawatan dan saya bertemu dengannya buat kali kedua selepas bertemu dengannya semasa melapor diri di PPD Mukah. Saya mengenali PPD Mukah En. Steven Tan semasa beliau menjawat jawatan pengetua di SMK Secret Heart dan kini beliau di tempatkan semula di sana setelah melalui beberapa kerjaya dengan cemerlang. Saya sangat-sangat bernasib baik, PPD sangat mengambil berat dengan tugas saya. Begitu juga dengan PPD sekarang yang bertindak sebagai guru dan fasilitator. Satu soalan En. Steven Tan kepada saya yang saya masih ingat sehingga kini, “Cikgu apa yang kamu mahu saya bantu, sekarang ini adalah sekolah kamu dan kamu mesti jadikannya yang terbaik sebelum diarah ke tempat lain...” 

Selesai sahaja beliau menandatangani buku pelawat, saya membawanya melawat bilik guru. Kata saya, “Cg, saya mahu menjawab soalan cg tadi, kalau betul cg dapat menolong saya, saya mohon supaya cg tolong untuk menambahbaikan bilik guru ini.” Syukur, dengan bantuan beliau guru-guru selesa dengan apa yang ada sekarang.

Wajah-wajah ceria anak-anak di SMK Belawai
Tulisan ini bukan untuk memberitahu orang apa yang saya lakukan dan “riak” tetapi, untuk menyatakan bahawa sebagai seorang penjawat awam kita tidak akan kekal di sesuatu tempat walaupun kita suka dan kita minat. Untuk meningkatkan kecemerlangan diri kita tidak boleh “Statik”. Bergerak, berhijrah dan berpindah jika perlu serta menerimanya dengan hati terbuka. Namun jika kita di tempatkan di sesuatu tempat amalkan konsep “di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung”, sama-sama lah kita berusaha yang terbaik di mana kita berkhidmat. Sayangi tempat tersebut dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk kemajuannya kerana itu “imej” kita.

“Sepanjang kerjaya saya sebagai seorang wartawan, saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang lemah dipimpin oleh pengetua yang baik. Saya telah melihat sekolah-sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah-sekolah berjaya, dan kesalnya, sekolah-sekolah terkemuka merosot dengan cepat. Bagi setiap kes, jatuh bangunnya sesebuah sekolah dengan mudah boleh dikaitkan dengan kualiti pengetua.”
Fred M. Hechinge

Saya tidak tahu bagaimana orang melihat kata-kata di atas tetapi bagi saya, semua orang dalam organisasi adalah pemberi sumbangan yang besar atas kemajuan sekolah. Ia bukan bergantung kepada pengetua sahaja tetapi bagaimana orang-orang di dalam organisasi itu menyampaikan rasa sayang, akauntabiliti, integrity dan semangat untuk maju dan melahirkan budaya ingin berjaya. Sekolah bukan hak pengetua tetapi hak semua guru dan semua warga sekolah. Sekolah juga hak masyarakat dan mereka ada rasa untuk bersuara dan ingin sama-sama melihat kejayaannya. Oleh itu sama-samalah kita memberi idea, pendapat yang bernas, melihat secara positif, bekerjasama, saling hormat menghormati, jujur dan berfikir tanpa prejudis.

Blog sekolah diberi sentuhan baru oleh Cg Azariyanti
Semoga memberi impak yang positif kepada warganya
dan bermaklumat sebagai rujukan
Rencana ini juga ditulis khusus untuk menyatakan rasa terima kasih saya kepada guru-guru SMKB yang kini telah menunjukkan peningkatan yang baik. Barangkali hasrat, visi, misi dan apa sahaja yang saya lakukan menceminkan kehendak, hasrat, visi dan misi bersama. Tanpa kerjasama semua kita tidak akan mencapai apa-apapun... sungguh terharu saya melihat, PK1 dan beberapa orang warden membaiki jaring nyamok pelajar asrama. Terharu saya melihat ketua warden menolong memasang tiang lampu yang sebelum ini terbengkalai kerana upah yang mahal. Terharu melihat blog sekolah telah di update dengan wajah baru www.smkbelawai.blogspot.com dan terharu bila melihat masyarakat telah memberi kepercayaan kepada SMKB untuk terus usaha mendidik anak-anak cemerlang mereka tanpa memindahkan anak2 ke sekolah lain.

SMK Belawai milik kita bersama. SMK Belawai adalah Imej kita. Kita akan berbangga walau dimana kita berada kerana kini ia sebagaian dari sejarah hidup kita.

Terima Kasih Cikgu

Saturday, January 15, 2011

150.Lagi-lagi masalah sikap

Lagi-lagi mengenai sikap.. sikap yang sukar diubah yang menyebabkan rasa tidak puas hati dikalangan rakan sekerja.  Seorang sahabat di sebuah sekolah menceritakan, dia berasa bingung dan bimbang dengan sikap guru-guru kini yang melakukan semua pekerjaan sebagai guru dengan gaya endah tidak endah sahaja. Mesyuarat panitia yang ditetapkan pada hari Sabtu oleh Ketua Panitia dan Guru Kanan Matapelajaran langsung tidak dipedulikan, bahkan ketidakhadirannya langsung tidak dimaklumkan. Semua guru yang bermesyuarat pada hari tersebut tahu senang-senang saja dia balik kampung. Menurut sahabat ini lagi, bukan mesyuarat panitia kali ini sahaja, tetapi selama 4 tahun dia di sekolah tersebut mesyuarat panitia langsung tidak pernah hadir.

Teguran rakan-rakan dan pentadbir langsung tidak dihiraukan. Sikap yang ditunjukkan oleh guru ini langsung tidak mengundang perasaan bersalah kepadanya. Malah guru ini berasa megah kerana setiap kali dia berbuat begitu, lepas... Pembahagian kerja yang sepatutnya dibuat oleh semua guru di dalam panitia tersebut semuanya dikecualikan kepadanya. Dia bekerja seolah-olah keseorangan dan kebal.

Tidak dinafikan memang ada yang mempunyai sikap sebegitu. Pernah suatu ketika dulu semasa saya memegang jawatan PK KK. Seorang guru datang berbincang dengan saya supaya tidak meletakkan nama seorang guru di dalam AJK nya. Jika saya meletakkan juga nama guru tersebut, seolah-olah saya meletakkan “tunggul mati” yang tidak berfungsi apa-apa. Jadi lebih baik ditiadakan dan guru tersebut lebih rela melakukan kerja bersendirian daripada meletakkan satu nama yang hanya mendapat kebaikan kepadanya tetapi tidak dapat memberi apa-apa nilai dalam AJK tersebut. “Lebih baik bersendirian daripada bersama orang yang teruk”.

SMS yang saya terima dari seorang sahabat semalam..
Saya tidak nampak beliau tergolong dalam golongan "guru 25 haribulan"
barangkali sekadar berkongsi maklumat tarikh2 yang sering  kita  tertunggu-tunggu..
Semasa saya menghadiri suatu majlis meraikan guru besar dan kakitangan Jabatan Pelajaran Mukah yang akan berpencen dan pengetua yang akan berpindah di PPD Mukah tahun lalu, seorang guru besar dalam ucapannyanya berkata. Saya menjadi guru bukan kerana “Accident” tetapi saya  saya menjadi guru kerana saya sangat minat dengan pekerjaan sebagai guru. Saya berusaha memohon menjadi guru, tanpa mengharapkan pekerjaan lain selain dari guru. Namun kini apa yang beliau sangat bimbang ialah, kebanyakkan guru hari ini diisi kerana “terpaksa” disebabkan tidak dapat pekerjaan lain yang diminati oleh guru tersebut. Akibat kurangnya minat maka berbagai “gelagat” ditunjukkan oleh guru, maka lahirlah berbagai ungkapan  seperti “Guru 25 haribulan” dan lain-lain yang menjatuhkan martabat profesion perguruan itu sendiri.

Tidak kurang juga, ramai guru-guru yang mempunyai masalah peribadi yang serius. Meletakkan diri dalam keberhutangan yang serius, bermasalah dengan Ah Long, bermasalah dengan pengambilan dan mengedar dadah, masalah rumah tangga yang melibatkan tugas, masalah pencabulan keatas murid, masalah tidak hadir bertugas, bankrup dan ada yang mengambil cuti tanpa gaji untuk menguruskan business. Semua ini mencerminkan sesuatu yang sangat tidak baik kepada bidang perguruan yang dilihat sangat dihormati, dalam usaha kita memartabatkan semula profesion perguruan.  Jangan  kita dipandang “rendah” disebab oleh sebahagian mereka yang dianggap sebagai “duri dalam daging” atau “disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Minggu lalu, saya didatangi 2 orang pelajar lepasan sebuah Universiti, seorang lepasan universiti dari semenanjung dan seorang dari sebuah universiti dari Sabah. Mereka memohon untuk mengisi jawatan GSTT, saya melihat wajah mereka dan dari raut wajah saya percaya mereka boleh memberi jawapan yang tepat. Soal saya kenapa tidak mencari kerja lain selain dari menjadi GSTT. “Kami belum lagi konvokasyen, sekurang-kurangnya kami mendapat sedikt wang untuk tujuan tersebut”, Soal saya lagi, kamu memohon jawatan ini bukan kerana minat? Kata mereka, “Minat juga, tetapi kalau ada kerja lain biarlah kerja lain tapi kalau tidak ada, biarlah kami menjadi guru...”.

Kepada guru-guru yang terpaksa menjadi guru, berusahalah menjadi guru yang baik. Tanamkan minat walaupun sebelum ini kita tidak meminatinya kerana ini lah rezeki yang Allah janjikan. Jika tidak lepaskanlah kepada orang yang berminat.....

Wallahuaklam...

Terima kasih cikgu...


Tuesday, January 11, 2011

149.COMBI.. USAHA MENGUBAH TABIAT MANUSIA

Dr Osman bin Rafaie, Perkongsian Ilmu. COMBI

Kata orang penyakit bila datang macam ribut tetapi nak baik macam semut. Sabtu (8.1.2011) sempat saya melawat sahabat yang menderita sakit di Hospital Sibu. Lama sudah beliau sakit tetapi tidak diketahui apa jenis penyakit dan baru-baru ini baru dikenalpasti beliau mengidap TB colour 42 inci. Saya dan isteri dibenarkan masuk tetapi mesti memakai “mask”. Tidak lama dapat kami berbual kerana anak-anak tidak mahu ikut dan menunggu di dalam kereta.

Semasa melangkah keluar kami di sapa oleh seorang lelaki agak-agak umur awal 50an, barangkali terasa bosan kerana keseorangan dan semua katil di luar kelihatan kosong. Berbual sekejap dengannya dan rupa-rupanya sepupu dengan AKS sekolah SMKB  (Nama dirahsiakan supaya tidak mengganggu ketidaselesaan beliau). Tanpa membuang masa kami berdua bergegas ke wad 16. Bertindak sebagai jurucakap kepada anaknya, AKS tersebut menceritakan anaknya bagai dirasuk oleh sesuatu dan pandai mencederakan diri sendiri. Pada pandangan saya pun, kecederaan yang dialami oleh anaknya memang agak parah tetapi doktor telah mengizinkan boleh di bawa keluar pada hari Ahad.

Pagi Ahad (9.1.2011), seorang guru menelefon saya tetapi saya tidak dapat menjawab kerana sedang memandu. Sampai di “Trafic Light” saya sms supaya guru tersebut sms sahaja maklumat yang hendak disampaikan. Beliau membalas sms saya dan mengatakan beliau masih deman dan tidak dapat datang ke sekolah esok. Saya membalasnya “Esok jika cg masih demam, cg dapatkan cuti sakit... saya doakan cg akan segera sihat”. Saya tahu guru tersebut memang demam kerana, beliau telah menemui saya pada hari Jumaat. Apa boleh buat, kita manusia biasa. Berehatlah jika kita benar-benar sakit.

Dalam perkhidmatan awam, cuti sakit adalah kemudahan yang diberikan tetapi bukan hak. Oleh itu jika sakit dan diluluskan maka tempat yang sesuai untuk berehat ialah di hospital atau di rumah. Bukanya ke sana kemari yang menunjukkan bahawa kita tidak memerlukan kemudahan tersebut. Statistik pada 2010 menunjukkan, ramai guru dan staf SMKB yang mengambil cuti sakit dan ada yang telah menghabiskan cuti rehat masing-masing atas sebab-sebab tertentu. Namun nasihat saya, jangan sampai melibatkan cuti tanpa gaji atau tidak hadir bertugas kerana semua cuti telah habis digunakan.

Richard Nixon berkata,”Anda tidak akan menghargai kesihatan sehingga anda sakit”,  dan Billy Lim dalam bukunya “Dare to fail” mengatakan beryukurlah jika anda kini berumur 40 tahun dan keatas, jangan lupa bahawa kini anda berada di dalam tempoh waktu yang memungkinkan anda menghasilkan pencapaian yang terunggul. Dalam sejarah perkhidmatan saya, sehingga kini  baru 1 kali saya mengambil cuti sakit. Tetapi dengan dengan rasa penuh penyesalan. Menyesal kerana saya  berazam untuk membuat rekod perkhidmatan peribadi dengan tiada rekod cuti sakit diambil. Namun terpaksa semua sendi kaki telah membengkak dan saya tidak mampu untuk berjalan apatahlagi untuk menghidupkan motosikal.  Begitu juga dengan cuti CRK 7 hari, tidak pernah saya ambil sehingga saya memegang jawatan ini semasa umur 40 tahun. Saya perlu akur sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari menanggung kesakitan dan perlu berehat secukupnya.

Saya bersetuju dengan kata-kata Dr Osman bin Rafaie, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah semasa ceramahnya berkaitan dengan COMBI ( Communication for Behavioural Impact) pada 29 Disember 2010 di PPD Mukah semasa sesi perkongsian Ilmu dan beliau mengulaginya lagi pada majlis perasmian pelancaran COMBI Jabatan Kesihatan Bahagian Mukah di Daerah Belawai bagi membenteras Denggi pada Rabu 5 Januari 2011 lalu. Kita perlu menjaga diri sendiri. Bukan orang lain.

Doktor sebenarnya tidak ubah seperti makanik yang membaiki kerosakan. Jika kita sakit doktor hanya memberi ubat untuk mengurangkan kesakitan tetapi doktor tidak dapat menyembuhkannya. Ia terpulang kepada seseorang bagaimana caranya  ia mengamalkan budaya hidup. Kenderaan baru sekalipun jika tidak dijaga dengan baik akan rosak. Begitu juga dengan gaya hidup yang salah akan memudaratkan. Salah makan akan mengakibatkan kencing manis, darah tinggi, sakit jantung. Salah membuang sampah dan tidak mengamalkan kebersihan akan mengakibatkan membiaknya nyamok aedis, lalat dan sebagainya. Salah pemanduan akan mengakibatkan nyawa melayang.

Apa yang penting sebagai manusia kita perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, jaga kebersihan diri, jaga pemakanan dan sentiasa bersenam untuk mengekalkan kesihatan.  Kehidupan kita dalam masyarakat juga menuntut kita untuk sama-sama menjaga kebersihan, sama ada kebersihan rumah sendiri atau kawasan sekitar. Akibat sikap buruk kita dalam kehidupan bersama-sama dengan masyarakat, bukan sahaja kita yang menanggungnya tetapi sikap buruk kita secara tidak langsung akan menyebabkan orang lain menanggung akibatnya...

Pagi tadi  (Isnin 10.1.2011) seorang bapa datang berjumpa saya dan menyerahkan surat ketidakhadiran anaknya ke sekolah. Kini anaknya di tahan di hospital kerana di syaki denggi dan pada jam 5.00 petang saya menerima sms lagi dari guru SMKB yang sebelum ini demam mengatakan beliau diberi cuti selama seminggu..

Hari ini (Isnin 10.1.2011) juga saya berjengkek lagi ke sekolah. Sotong mayonis di Restaurant Aftitah Tanjong Manis dan Sup tulang di kedai Pak Soh Jalan Masjid Sibu sedap sangat. Nak ambil cuti? Dah cuba sebelum ini untuk berehat sahaja di kuarters tetapi tidak dapat... Kuarters saya dengan pejabat hanya beberapa meter sahaja..  dapat sampai ke pejabat pun jadilah. Satu biji  Apo-Allopurinal 300mg dan satu biji Pontalon500mg sedikit berkesan. Saya sebenarnya tidak bergantung kepada ubat ini sebaliknya memilih makan tetapi.. nafsu sebagai seorang manusia menyebabkan mengenepikan COMBI walaupun tahu, makanan tersebut akan mengundang derita...

Ambilah cuti pada hari  kita sakit, bukan ambil cuti untuk esok kita akan sakit...
Berehatlah untuk bekerja hari esok dengan penuh bertanggungjawab..

TERIMA KASIH CIKGU...

Wednesday, January 5, 2011

148.Sayang Sarawak Sungainya Luas..

Semalam 4.1.2011 mesyuarat Ko-Kurikulum pertama SMK Belawai berjalan dengan baik dan sangat berjaya. Semua guru dapat berbincang dengan baik dan memperlihatkan semua ingin mencapai satu tujuan iaitu ingin sama-sama berjaya. Kata-kata aluan saya sebelum mesyuarat dimulakan juga menjurus kepada menyeru semua guru meningkatkan ilmu pengetahuan melebihi apa yang diperolehi oleh pelajar. Peningkatan ilmu terutama dalam bidang ini perlu bagi seorang guru untuk merancang dan melaksanakan aktiviti supaya pelajar tidak merasa bosan dan merasakan kehadiran untuk ko-kurikulum dilihat seperti hanya membuang masa.

Pencapaian ko-kurikulum di Bahagian Mukah bagi semua sekolah pada tahun 2010 adalah sederhana. Begitu juga dengan pencapaian ko-kurikulum di SMK Belawai. 5 sijil yang saya terima pada Majlis Anugerah Kecemerlangan PPD Daro pada 17 Disember 2010 di RH Hotel Sibu hanya mencatatkan Sijil Penyertaan di Peringkat Negeri, walaupun SMK Belawai menunjukkan cemerlang dalam pertandingan Catur (tempat ketiga) yang diadakan di SMK TDPH Normah Daro dan cemerlang dalam bola sepak di bawah 15 tahun. Namun kita akur bahawa tiada kejayaan tidak seperti 2 tahun lalu sehingga mencapai ke peringkat antarabangsa melalui atlit yang kita sayangi iaitu adik Mohd Firdaus.

Bot Ekspress mula meninggalkan
Terminal Satu Jeti Sarikei ke Tg Manis
Saya lebih selesa duduk di atas bumbung
jika muatan sebegini... 
Apa yang pasti, dalam kehidupan ini ada pasang dan surutnya seperti air sungai Rajang yang saya lalui setiap hari Jumaat dan pada hari Ahad setiap minggu, sungai yang terpanjang di Malaysia.  Sayang Sarawak Sungainya sempit luas. Begitulah bunyi lirik sebuah lagu. Bagi diri saya yang mengharungi sungai Sarawak hampir 5 tahun (12 September 2011) membuatkan saya terfikir bahawa kehidupan tidak ubah seperti sungai ini. Dari Jeti (Wharp) Sarikei ke Jeti Tanjung Manis sebagai destinasi terakhir ke sekolah, banyak anak-anak sungai yang terpaksa di lalui. Begitu juga sebaliknya, jika keluar ke Sarikei. Jeti terakhir destinasinya ialah Jeti Sarikei. Arus kuat air Sungai Rajang tidak menghalang Pemandu Bot Ekspress memfokuskan perhatian dan tenaganya kearah tujuan sebenar dan tidak menghiraukan cawangan-cawangan sungai yang ada, tidak menghiraukan gangguan ombak dari bot-bot serta kapal-kapal lain yang kadangkala membuatkan bot ekspress yang dinaiki tersengguk-sengguk dan bergoyang, yang pasti semua penumpangnya sampai ke destinasi dengan selamat.

Jeti TMD (Tanjung Manis Development) yang
menjadi destinasi akhir saya kerana di sinilah
tempat saya "parking kereta" untuk 20km
lagi ke SMKB
Terfikir juga di hati, apa akan jadi jika pemandu bot ekspress tersebut tersalah masuk ke sungai lain dan bot ekspress tersangkut di sebuah tasik yang tiada jalan keluar. Namun itu hanya khayalan semata-mata kerana pemandu tersebut sudah pasti mempunyai tujuan yang jelas dan sudah mempunyai pengalaman yang luas. Tidak mungkin akan mengikut jalan lain. Jika khayalan saya benar-benar terjadi semua orang akan kecewa dan tidak berpuas hati. Oleh itu matlamat yang jelas adalah amat penting dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan tetapi mengapa ramai lagi antara kita yang masih gagal dan membiarkan kita dibawa arus ke pelbagai arah..


Destinasi akhir bot ekspress dari Sarikei, Jeti Tg Manis
Akan menjadi kenangan jika jalan yang menghubungi
Sibu ke Tg Manis siap.. Tak sabar-sabar lagi...
Dapat mengurangkan masa perjalanan. Di fahamkan
lebih kurang 80 km sahaja..  
Semua guru menginginkan perkara-perkara yang diimpikan. Tetapi pembahagian tugas tidak mungkin memuaskan semua pihak dan akan menjadikan kita komited atau tidak. Jika tugas yang diberikan tidak menepati apa yang dihajati kebanyakkan dari kita tidak percaya kita boleh melakukannya. Tradisi ini perlu dipecahkan kerana ia adalah kepercayaan yang salah.Kita boleh berjaya jika kita mahu belajar dan berusaha untuk berjaya. Banyak contoh menunjukkan, orang yang mendapat apa yang dihajati pun tidak dapat melakukannya dengan baik dan akhirnya gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang. Apa yang penting kita perlu kreatif dan berpendirian jelas dan bersemangat. Takut gagal dan malu dengan rakan-rakan mungkin akan terbayar dengan kejayaan setelah puas berusaha. Tentu berbaloi-baloi...

“Bukan apa yang kita baca, tetapi apa yang kita ingat, yang membuatkan kita belajar.  Bukan apa yang kita niat, tetapi apa yang kita buat, yang menjadikan kita berguna. Bukan sekadar hasrat yang samar, tetapi perjuangan sepanjang hayat yang menjadikan kita hebat”, Henry Ward Beecher

Terima kasih cikgu....

Sunday, January 2, 2011

147.Tahun 2011 Permulaan Visi Baru SMKB

Taklimat kepada ibu bapa pelajar tingkatan satu                  
Hari kedua tahun 2011, sekali lagi SMK Belawai dibajiri ibu bapa dan para pelajar yang datang untuk mendaftar masuk persekolahan yang akan bermula esok. Seronok melihat ibu bapa bersama anak-anak yang datang terutama sekali bagi yang baru menjejak kaki di SMK Belawai, pelajar-pelajar tingkatan 1. Seperti  tahun-tahun lepas SMK Belawai menerima pelajar-pelajar yang jauh iaitu dari Sebako, Kedang, Paloh, Sebayang dan paling dekat ialah dari SK Tanjung manis, SK Abang Galau, SK Abang Gesa dan SK Abang Buyuk. Bagi pelajar-pelajar yang jauh tentulah akan tinggal di asrama dan malam ini adalah malam pertama di hotel 5 bintang SMK Belawai.

Pendaftaran pelajar tingkatan satu berjalan lancar
kelihatan seorang ibu tekun mengisi borang
Gambar latar - kereta seorang ibu bapa dari Sebako
Sesi taklimat pada jam 9.00 pagi tadi berjalan dengan lancar dan tamat jam 11.00 pagi. Dalam masa 2 jam, berbagai perkara disampaikan terutama sekali tentang peraturan sekolah, peraturan asrama dan taklimat tentang ko-kurikulum. Sesi pendaftaran pelajar tingkatan 1 yang bermula selepas taklimat berakhir juga berjalan dengan baik dan lebih teratur dan tidak menimbulkan rungutan dari ibu bapa. Namun apa yang jelas kelihatan di muka ibu bapa dan pelajar ialah keletihan kerana perjalanan. Ada yang datang dengan bot nelayan dan ada yang menjalani perjalanan yang sukar. Semoga pengorbanan mereka akan terbalas dengan kecemerlangan anak-anak nanti.

Hari ini 2.1.2011 juga merupakan hari kedua, operator baru kantin beroperasi. Di sinilah tempat berkumpulnya ibu bapa menjamu selera selepas taklimat dan pendaftran. Sekurang-kurangnya rasa keletihan dalam perjalanan dapat dikurangkan setelah perut diisi dan saling bertegur sapa anatara satu sama lain.  Ahli-ahli Koperasi SMK Belawai juga turut sibuk melayani ibu bapa yang datang membeli buku-buku dan alatulis untuk persediaan kepada anak-anak. Dan sesuatu yang tidak disangka-sangka ada penduduk berdekatan mengambil peluang berniaga di luar pagar sekolah, sama-sama mencari rezeki.  Suasana sebelah pagi  bagaikan pesta dan syukur tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Bertungkus-lumus Guru, AKS dan Pengawal Keselamatan menukarkan Visi Baru
SMK Belawai Menjelang 3 Januari 2011 sebagai tanda mula sesi persekolahan
dan tekad baru menggantikan Visi lama yang sudah capai matlamatnya.
Tepat Jam 1.15 tengahari, upacara ringkas menurunkan Visi lama, SMK BELAWAI CEMERLANG 2010 diturunkan menggantikan Visi baru SMK BELAWAI SENTIASA CEMERLANG.  Hampir lima tahun Visi lama tergantung disitu dan hari ini adalah hari terakhir, diturunkan dan tercatat dalam sejarah SMK Belawai.  Saya membayangkan seolah-olah menurunkan bendera Union Jack disamping nyanian  ‘God save the Queen’ tetapi tidak berlaku.  Terima kasih kepada Cg Abd Gani (PK KK), Cg Herman, En Hairy (Pembantu Perpustakaan), Cg Mahhadir, En. Mohammad ( PT) dan En. Bakri (Pengawal Keselamatan) yang sama-sama membantu menukarkan Banner tersebut. Walaupun semuanya bermandi peluh dan terbakar dek matahari namun semua kerja memasang tidak terhenti dan dibuat dengan sempurana.

Sajian makan malam bagi pelajar asrama disajikan pada jam 5.30 petang. Sempat saya menjengok mereka di dewan makan. Rata-rata mengambil makanan dengan kadar yang sedikit dan ada yang tidak habis di makan. Barang kali masih kekenyangan dan masih banyak makanan yang dibekalkan dari rumah. Atau, mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan makanan asrama setelah sebulan lebih di rumah dengan makanan yang lazat tidak seperti yang dihidangkan, makan untuk belajar dengan menu yang ditetapkan oleh jabatan pelajaran. Yang pasti malam ini mereka akan tidur nyenyak dan esok jam 4.30 pagi akan bangun, bersarapan dan akan memulakan sesi perseolahan 2011. Bagi pelajar-pelajar harian esok sebelum 6.45 pagi semua wajib ada di kawasan sekolah.  Berlari-larilah ke sekolah....

SK St. Mary, Sibu
Mohamad Muzzammil Mohamad Shariff
Di hari pendaftaran 30.12.2010 untuk Tahun 1 tahun 2011
Maaf.. Ayah hanya berpeluang untuk hari ini sahaja.
Esok dengan mak dan berdikari...
Cg Beruin (GB St Mary) memberi taklimat
Terima kasih perkenalkan saya sebagai guru
Saya pernah membimbingnya sebagai Tutur Sambilan OUM Sibu..

Saturday, January 1, 2011

146.Jujur dan Ikhlas Azam 2011

Mesyuarat awal tahun yang merupakan mesyuarat terpenting sebelum memulakan sesi persekolahan bagi setiap tahun semalam (31.12.2010 - cuti umum) untuk tahun 2011 telah berjalan dengan lancar dan sangat memuaskan. Walaupun mesyuarat yang dirancang pada sebelah pagi sahaja terpaksa di panjangkan selepas solat Jumaat kerana masih lagi terdapat perkara-perkara yang patut dibereskan. Bagaimanapun terima kasih kepada semua guru dan semua AKS yang hadir. Hanya 3 orang guru yang gagal bersama disebabkan atas perkara yang tidak dielakkan.  Saya percaya guru-guru yang memberi alasan ketidakhadiran mereka ada bukti kukuh mereka berbuat demikian.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dari Ustaz Husni Zaim, semoga apa-apa keputusan yang diambil di dalam mesyuarat akan memberi manfaat kepada seluruh warga SMKB.  sementara  itu guru-guru bukan islam bertafakur mengikut cara masing-masing. Kata-kata aluan dari pengetua memulakan mesyuarat dengan pelbagai amanat dari Jabatan Pelajaran untuk disampaikan kepada guru-guru dan kakitangan sokongan, ucapan terima kasih, pengesahan minit mesyuarat dan perkara berbangkit mesyuarat lepas, pengagihan tugas dan pada sebelah petang ditumpukan kepada hal-hal lain yang berkaitan supaya semua guru dapat bergerak bersama untuk kecemerlangan SMK Belawai.

Sambutan Tahun Baru di SMK Belawai, seperti hari-hari biasa.  Suasana pada malam hari tenang. Barangkali semua warga keletihan kerana sehari suntuk bermesyuarat dan pada 1.1.2011 ada tugas yang masih menanti iaitu pendaftaran pelajar. Maklumat dari rakan di Sibu, sambutan di sana amat meriah dengan bunga apinya sempena Penutupan pesta Makanan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Saya percaya di Bandar-bandar besar yang lain terutamanya Bandaraya Kuala Lumpur sambutannya mungkin lebih hebat.  Namun dalam apa-apa keadaan pun biarlah kita dalam keadaan kesederhanaan tetapi hasilnya hebat, bukan kita dalam keadaan semuanya hebat tetapi hasilnya kerosakan dan kebinasaan.

Saya menutup mesyuarat pada jam 5.30pm dengan kata-kata “Jujur dan Ikhlas” sebagai azam baru Tahun 2011. Hanya ini yang akan membantu kita melalui laluan kerjaya dengan hati yang lebih tenang. Tanpa 2 perkataan ini sebagai perisai dan tanpa kefahaman berbagai persaoalan mungkin timbul yang merumitkan fikiran jika wujud prasangka. Semua perancangan untuk kemajuan sekolah telah dibuat dan telah dikenalpasti potensi diri guru dan kakitangan. Tiada pilih kasih atau pilih bulu dalam pembahagian tugas. Jujur dan ikhlas pada pandangan pentadbiran bahawa yang dipilih untuk sesuatu tugas itu boleh melakukannya untuk kecemerlangan bersama. Sebagai seorang pemimpin sekolah saya berhak menegur, jika ada kesilapan di mata saya. Kerana jujur dan iklas jugalah kita perlu bersama-sama membangunkan sekolah ini untuk generasi akan datang kerana tiada siapa yang akan kekal di sini.

Terima Kasih Cikgu – Semoga jujur dan ikhlas kita di berkati Allah. Kita mohon, Jujur dan Ikhlas kita tertanam di hati-hati pelajar. Tertanam di hati-hati ibu bapa dan masyarakat. Semoga pengorbanan kita sentiasa dikenang. Biarlah sentuhan kepada hati-hati ini akan membuatkan mereka sama-sama berusaha untuk kejayaan bersama..

Azam kita “JUJUR DAN IKLAS” BERUSAHA DAN TAWAKKALTU 'ALALLAH
 Selamat Tahun Baru 2011..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.