PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Monday, November 29, 2010

137.Pembelajaran dan Pengajaran, Kreatif dan Inovatif

Siapa dulu?
Banyak kegunaan telur ayam sebelum menjadi ayam.
Banyak juga peribahasa / kata bidalan
 yang dikaitkan dengan ayam
Ayam dulu ke, telur  dulu.. ayam le dulu sebab ayam dulu di sebut. Ye ke? Tapi kalau di sebut.. Telur dulu ke atau ayam dulu.. Telurlah dulu sebab yang disebut telur dulu. Macam tu ke jawapannya.. Yelah kalau dibincangkan tentunya sampai kiamat pun tak akan habis-habis, jika perbincangan berterusan dan tiada siapa yang mahu mengalah akhirnya nanti boleh berakhir dengan pertengkaran dan menimbulkan hubungan yang tidak baik. Tetapi jika diikutkan asal usul kejadian manusia, Allah jadikan Adam dulu, kemudian Hawa barulah ada kelahiran.. sudah tentulah ayam dulu sebelum telur...

Dalam dunia pendidikan, sudah lama kita disogokkan dengan perkataan P & P atau Pengajaran dan Pembelajaran.  Sangat mustahil Jika seseorang cikgu tidak tahu  apa itu P & P sudah tentu Pengajaran dan Pembelajaran.  Pengajaran dulu atau Pembelajaran dulu? Aduh .. ini pun satu hal juga, semua buku-buku pedagogi dan kaedah-kaedah P & P di pasaran semuanya menyebut Pengajaran dan Pembelajaran, maka pengajaran lah dulu bukannya Pembelajaran. Namun bila kita gunakan “Google search” juga berlambak-lambak senarai Pengajaran dan Pembelajaran yang keluar.. tetapi hanya satu sahaja yang menyebut tentang Teori Pembelajaran dan Pengajaran.  Sudah tentulah pada fikiran kita yang satu ini salah?.. SILA TEKAN DISINI

Asal Usul Pembelajaran
Banyak kerosakkan kepada manusia
bermula dari atas bumbung
Antena TV, Parabola, Internet, Astro
dll yang memberi kesan langsung
kepada pemikiran manusia
Jika ia digunakan dengan baik, baiklah
jadinya, jika sebaliknya... maka
sesungguhnya manusia itu selalu
di dalam kerugian...
Berbalik kepada asal usul manusia, siapa sebenarnya guru Adam dan Hawa.. siapakah yang mula-mula mengajar Adam dan Hawa tentang erti kehidupan. Semasa Adam keseorangan dan kesunyian di dalam syurga, terdetik dalam diri Adam dia perlukan teman. Tiada guru yang mengajar  Adam, dia perlukan teman dan Allah telah mencipta Hawa untuknya. Begitu juga bila berlaku kematian di sebabkan pertikaian adik beradik, 2 orang anak Adam.  Dalam kehidupan anak-anak Adam dan Hawa mereka belajar adanya kematian, tetapi yang menyempurnakan pembelajaran tentang kematian itu ialah burung-burung.. Di ceritakan bagaimana anak-anak Adam dan Hawa ini mencontohi bagaimana burung-burung menanam bangkai burung jika kematian berlaku. Pengajarannya ialah jika ada kematian maka manyatnya perlu di kebumikan. Kenapa dikebumikan? Disinilah perlu adanya guru-guru yang hebat untuk memberi sebab dan akibat jika mayat tersebut terbiar tanpa di pedulikan. Siapa guru tersebut, tentulah guru yang pakar yang telah dipelajari berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Orang yang pakar dalam bidang ini sudah tentulah ustaz dan ustazah.

Tiada siapa yang mengajar kita menjadi perenang yang hebat dalam rahim ibu sehingga kita berjaya lahir ke dunia. Tiada siapa yang mengajar kita menangis meminta susu semasa kita lapar. Tiada siapa yang mengajar kita merangkak sehingga kita dapat berjalan. Setelah umur kita meningkat, kita mula menunjukkan sesuatu yang kadang-kadang dilarang dan kadang-kadang kita dipuji oleh ayah ibu dan saudara mara, maka secara tidak langsung pendidikan secara tidak formal sudah berlaku dan diterapkan seterusnya dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan formal.

Semasa permulaan kita di dalam rahim ini, tiada siapa yang mengajar kita berenang, tetapi kita telah diberi kuasa berenang sekuat hati mendahului saudara kita yang lain. Dalam persaingan tersebut kita telah memenanginya sehinggalah kita lahir ke dunia. Selapas dilahirkan maka bermulalah pembelajaran demi pembelajaran ketahap-tahap tertentu sehinggalah dapat berjalan seterusnya mendapat pendidikan tidak formal di rumah seterusnya pendidikan formal di sekolah. Dalam meniti hari ke hari pelbagai pengetahuan yang kita dapat, dan pengetahuan yang ada di luar waktu persekolahan itu adalah lebih banyak berbanding pendidikan formal lebih-lebih lagi dengan ledakan maklumat yang ada sekarang.

Keputusan yang diambil oleh Jemaah Nazir,  Pengajaran dan Pembelajara ditukar kepada Pembelajaran dan Pengajaran untuk SKPM semakan 2010 amat bertepatan sekali dan dilihat lebih kepada reality. Guru-guru kini benar-benar dilihat sebagai mentor, sebagai fasilitator, sebagai jurulatih  dan sebagai “Coach” seperti mana  yang di war-warkan. Mana-mana guru yang masih mengekalkan P & P “Berpusatkan guru”  dapat kita simpulkan sudah ketinggalan zaman. P & P Wajib “Berpusatkan pelajar” kerana kini pengetahuan guru untuk mengajar bukan segalanya. Banyak yang pelajar tahu melebihi diri kita sebagai guru.


Guru Kreatif dan Inovatif


video

Kreatif dan inovatif bukannya sesuatu yang senang untuk diajar
Ia memerlukan seseorang yang mempunyai minat yang besar
Untuk melakar, untuk mencuba dan mengadaptasikannya
Menjadikan sesuatu yang hambar menjadi menarik

Untuk memudahkan pembelajaran dan pengajaran maka guru-guru perlu menyediakan suasana atau “Mencipta Suasana” yang menarik dan berkesan. Untuk menarik minat pelajar sudah tentu guru-guru perlu memikirkan pembelajaran dan pengajaran yang kreatif dan Inovatif selain tidak mengabaikan kebajikan dan keperluan sahsiah pelajar. Dengan potensi pelajar yang berbeza, guru perlu mencari teknik2 yang sesuai untuk merangsang minat murid dan mereka boleh belajar secara aktif, serta menerima ilmu dalam suasana yang gembira. Apabila seseorang guru sudah dapat “mengambil hati pelajar” mereka akan disayangi. Kedatangan guru-guru ini akan sentiasa dinanti oleh pelajar. Guru ini akan menjadi Idola dan sentiasa di sebut-sebut dan guru ini sebenarnya sudah berjaya mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar. Guru ini juga telah berjaya menterjemahkan isi pengajarannya berbanding dengan guru-guru yang hanya sekadar guru.

Dalam P & P sebenarnya tiada satu kaedah pun yang “Tetap” yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk mencemerlangkan pelajar. Walaupun dalam ilmu pendidikan, semasa di university atau di maktab-maktab kita di ajar menggunakankan berbagai kaedah dan teknik seperti Kaedah tunjuk cara (demonstrasi), Simulasi, kaedah pengajaran kumpulan, Kaedah perbincangan, kaedah penyelesaian masalah, Kaedah oudioligual, Kaedah kodkognetif, Kaedah projek dan lain-lain, namun kepelbagaian guru dan kebijaksanaan guru untuk digunakan untuk subjek-subjek tertentu adalah amat penting. Tidak mustahil guru yang hanya menggunakan kaedah tradisional “ Chalk and Talk” lebih hebat dari guru-guru yang menggunakan pelbagai kaedah tetapi P & P nya tidak meninggalkan kesan yang baik keatas para pelajarnya.  


Cikgu Shida



















Lihatlah dari sudut yang positif . "Positive Thinking" . Rakan-rakan guru Cikgu Shida mungkin lebih mengetahui apa yang dilakukan olehnya, berbanding dari kita yang berada diluar. Adakah kita seperti guru ini yang bersungguh2 dalam pekerjaannya... atau kita menegur sehingga dia terasa hati dan tidak melakukan apa2.. atau berpindah dari sekolah ini yang semakin menyerlah pencapaiannya dari segi sahsiah pelajar atau menjadikan sistem pendidikan kita semakin jemu dan kurang bermaya. Berapa jumlah pelajar yang tidak boleh membaca yang akan naik ke tingkatan 1 mulai 2011?.. Ubahlah sikap kita yang suka mengeji kepada memuji dan sama-sama kita doakan guru ini sentiasa memikirkan sesuatu yang bermanfaat untuk pelajarnya dan tidak lokek untuk berkongsi dengan rakan guru yang lain.
Cikhu Shida..Bersabarlah.... 

Cikgu Shida, Nama ini sekarang sudah tidak asing bagi kita kerana terkenal di alam maya ini dengan penonjolannya yang berani. Guru ini sangat kreatif dan Inovatif. Sepatutnya kita berbangga dengan kehadiran beliau dengan pelbagai idea yang menarik. Beliau merupakan guru yang kreatif dan inovatif. Jika saya GB di mana sekolah beliau berkhidmat, saya adalah orang yang sangat bertuah. Namun apa yang berlaku, beliau telah dikutuk habis-habisan kerana kreativiti dan keputusan yang beliau ambil, memaksimakan penggunaan sumber teknologi yang ada pada masa kini.

Kreativiti dan inovasi yang dipaparkan beliau telah dinilai oleh orang ramai secara terbuka yang bukan dalam bidang masing-masing Banyak komen yang nagatif menyerang peribadi beliau dengan pandangan mengeji dengan menghamburkan kata-kata yang kesat. Namun kita sebagai rakan guru yang memahami apa yang cuba dilakukan oleh Cikgu Shida. Beliau seorang yang berani merubah P & P menjadi yang terbaik, membina keseronokkan kepada para pelajar untuk datang ke sekolah. Mengatasi kes-kes ponteng seterusnya membina kawalan kelas yang sempurana disamping menafikan banyak kes-kes disiplin berpunca dari kelas-kelas dimana guru-gurunya amat lemah.

Dari pengamatan saya melalui “youtube” beliau mempunyai visi yang tersendiri dimana apa yang dilakukannya semata-mata untuk anak didiknya. Perkongsian Video yang dimuatkan di dalam “Youtube” membuatkan ramai anak muridnya dapat melayari dan melihat di rumah. Saya percaya pada masa sekarang sekurang-kurangnya 1 komputer setiap rumah sudah menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi di Bandar disamping banyaknya Cafe Cyber. Secara tidak langsung, Cikgu Shida juga telah melakukan perkongsian pintar bersama-sama rakan guru yang lain, jika guru-guru lain merasakan idea tersebut berguna digunakan di sekolah masing-masing.

Saya tidak fikir Cikgu Shida mencari publisiti murah. Dia tidak kisah dengan tomahan dan komen-komen. Namun apa yang pasti pelawat-pelawat FB dan Youtube nya sangat memberansangkan. Walaupun di gertak supaya aduan dibuat kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau tidak merasa gentar kerana beliau tahu bahawa tujuannya amat murni. Jika ada sekalipun aduan yang dibuat, kita berharap pihak Kementerian dapat berfikir dengan rasional sebelum mengenakan apa-apa hukuman yang menghalang guru-guru daripada memikirkan daya kreativiti untuk mengajar anak-anak didik secara bersungguh-sungguh.

Yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek Untuk mencapai sesuatu kejayaan adalah tidak mudah. Banyak teori yang dicipta di dunia ini dicipta oleh orang yang gila-gila.. Peringkat pertama mereka di kutuk, diherdik, dan sebagainya tetapi apabila menampakkan kejayaan dan di terima pakai mereka menjadi terkenal dengan idea gila-gila tersebut. Bagi mereka yang melihat apa yang dilakukan oleh guru-guru kreatif ini di sudut yang negative maka kita tidak akan beroleh apa-apa.. tetapi jika dilihat disudut positif maka kita sangat2 teruja melihat anak2 anak murid Cikgu Shida belajar dalam suasana gembira, seronok, tidak jemu, tidak tertekan dan mereka dapat mengikut arahan yang diberi tanpa paksaan... Saya harap ramai lagi guru-guru kreatif seperti Cikgu Shida dan berharap beliau akan berusaha sehingga suatu hari beliau boleh dimartabatkan sebagai Guru Kreatif dan Inovatif dalam mana-mana sambutan hari guru atas pengorbanan beliau.. 

Terima kasih cikgu..

Wednesday, November 24, 2010

136.Jadilah Diri Sendiri

Lambang Sebuah Kejayaan
Dari Usaha dan Keringat
Hari ini hari ke 2 di seluruh Negara adalah hari yang paling penting kepada semua pelajar tingkatan 5. Mereka menduduki peperiksaan besar, peperiksaan SPM. Sudah tentu ada yang begitu yakin akan meraih kejayaan besar dan sedang berkira-kira berapa A’s yang akan mereka perolehi. Sebaliknya sudah tentu ada yang sekadar datang memeriahkan suasana kerana ada yang tahu hanya menulis nama sendiri dan beberapa patah perkataan dan sedikit pengetahuan matematik. Pelajar-pelajar yang selama ini tidak ke sekolah dengan masalah tersendiri juga menampakkan diri masing-masing di dalam dewan peperiksaan dan jika betul dengan keinsafan pada riak wajah maka mereka akan berjaya seterusnya kejayaan ini akan dibukukan, mereka pelajar bermasalah, tetapi berjaya mengatasi pelajar lain yang selama ini bertungkus lumus berusaha datang ke sekolah tanpa rekod ponteng. Seterusnya akan menjadi idola dan contoh sebagai ikutan kepada pelajar lain.

Di SMKB,  Pagi-pagi lagi ramai ibu bapa yang datang, menghantar anak masing-masing sehingga ke Dewan Peperiksaan. Syukur, saranan saya kepada ibu bapa disambut dengan baik. Sekurang-kurangnya para pelajar merasakan usaha mereka selama ini dihargai. Bukan hanya dimarah, diherdik dan dihukum kerana tidak membaca buku atau tidak berusaha bersungguh-sungguh, tetapi pengorbanan mereka selama ini, walaupun belum menampakkan hasil yang tuai telah dibayar dengan nilai kasih sayang dari seorang ibu dan dari seorang ayah yang selama ini menaruh berbagai harapan. Kehadiran guru mata pelajaran dan guru-guru lain serta YDP PIBG SMKB juga dilihat sebagai pembakar semangat mengiringi semua calon hingga ke dalam dewan peperiksaan. Anda boleh melakukan yang terbaik.

video

 Cara ini bukan satu penyelesaian yang baik untuk meraih kejayaan

Tidak pernah dalam sejarah, pelajar yang gagal diberi hadiah. Yang selalu kita dengar ialah hari Kecemerlangan Kecemerlangan Pelajar atau Hari Penyampaian Sijil dan Hadiah. Begitu juga bagi Anugerah Cemerlang Dalam Perkhidmatan, tiada sedikit pun terlintas untuk memberi anugerah kepada guru-guru yang bermasalah atau yang berprestasi rendah. Semua orang mahukan kejayaan, begitu juga pelajar. Tiada yang mahukan kegagalan, tetapi potensi diri mungkin berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Tekanan demi tekanan membuatkan diri dalam dilemma. Kita tidak dapat mnenyelami jiwa mereka ketika ini dan peristiwa yang sangat menyedihkan apabila seorang calon SPM dari Johor meninggal dunia di dalam dewan peperiksaan. Belum pun sempat kertas peperiksaan pertama di buka beliau pergi buat selama-lamanya..

Debaran yang dialami oleh pelajar kini sangat hebat dalam menunaikan kehendak diri dan yang berkepentingan. Namun kadang kala harapan yang terlalu tinggi kepada pelajar yang tidak berupaya menjadikan kita lupa apakah matlamat utama pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara. Kita mementingkan matlamat pencapaian sekolah dan Gred Purata Sekolah (GPS). Usaha-usaha yang kita jalankan lebih kepada “Berorientasikan peperiksaan” dan bagi seolah-sekolah yang mengalami berbagai tapisan pelajar sudah tentu usahanya berganda-ganda untuk mencapai sasaran.

Namun dalam situasi sebegini ibu bapa perlu menjadi penyelamat. Dalam mengejar kejayaan anak-anak kita perlu akur akan perbezaan mereka berbanding dengan adik beradik yang lain dan ada perbezaan potensi dengan pelajar-pelajar yang lain. Berikan kasih sayang yang tidak berbelah bagi dan tiada pilih kasih jika ada kegagalan. Kata bidalan nyiur setandan pun ada kecil besar, berair dan langsung tiada isi. Ini kan pula manusia, Kegagalan dalam pelajaran bukan gagal untuk terus hidup, kajian menunjukkan tiada kaitan kejayaan pelajar dalam peperiksaan dengan kejayaan mereka dalam usia dewasa.

Kelulusan yang baik yang diperolehi oleh semua pelajar sehingga di Menara Gading sudah pasti menuntut pekerjaan yang baik. Namun siapakah yang mencipta pekerjaan bagi para pelajar ini? .. Percaya atau tidak, ramai pelajar yang tercicir telah menjadi usahawan yang terkemuka. Ada yang membuka ladang dan ada yang membina empayar perniagaan dan lain-lain. Satu kisah benar yang di ceritakan oleh rakan saya, seorang yang dulunya semasa belajar bercita-cita untuk mengusahakan sebuah Pharmacy jika dia berjaya dalam pelajaran.

Malangnya separuh jalan dia tidak dapat meneruskan persekolahan. Tetapi cita-citanya tidak tidak berhenti di situ, beliau berusaha mencari modal dan membuka pharmacy dengan menggunakan kepakaran rakan-rakan yang lulus dalam bidang ini sebagai pekerjanya. Akhirnya beliau mempunyai beberapa rangkaian Pharmacynya. Lalu saya teringat kisah bagaimana Henry Ford mencipta kereta. Banyak cerita yang saya baca menyatakan bahawa dia sendiri yang menciptanya tetapi ada yang mengatakan Henry telah menggunakan kepakaran rakan-rakannya dalam bidang ini dan menghasilkan keretanya yang pertama Ford Model T yang membuatkan beliau terkenal di seluruh dunia. Paling dekat dengan kita di sini ialah ramai kontraktor kelas F yang hanya memiliki sijil-sijil tertentu sahaja tetapi mereka berjaya menjadi usahawan walaupun tiada ijazah.

Tan Sri Loh Boon Siew
Mendiang Loh Boon Siew (Tan Sri), Berhijrah dari China ke Malaysia ketika berumur 12 tahun dan bekerja sebagai makanik. Beliau menambah pendapatan dengan mencuci bas dengan upah sebanyak 10 sen. Beliau buta huruf sepenuhnya sehingga ke akhir hayat. Beliau tidak pandai membaca dan menulis tetapi beliau telah menyediakan pekerjaan bagi ribuan orang. Banyak lagi contoh lain, tetapi yang sedikit ini, sekurang-kurangnya ia menjadi contoh dan teladan, tiada kegagalan dalam hidup. Tidak cemerlang dalam pelajaran tetapi cemerlang dalam bidang lain. 

Kata seorang bapa kepada saya, anaknya adalah seorang yang pandai berbanding dengan anak-anak yang lain, semua kerja yang disuruh oleh guru dapat dibereskan dengan baik tetapi setiap kali peperiksaan dia gagal mendapat markah yang tinggi. Sangat menghairankan.. Namun bagi saya, beliau tetap pelajar yang pintar tetapi dalam peperiksaan walau sebanyak mana ilmu yang kita ada tetapi tidak dapat dicurahkan ke atas kertas dalam masa yang terhad dengan strategi yang betul dia akan mendapat markah yang rendah atau kemungkinan besar akan gagal.

Kata Douglas Mallock, kurang lebihnya.. Jadilah dirimu sendiri, Kalau tidak dapat menjadi meranti di puncak bukit, jadilah aur (Buluh) di tepi bukit yang teranggun.. Kalau tidak dapat menjadi rimbun, jadilah rumput menghiasi jalan... Kalau tidak dapat jadi haruan, jadilah sepat yang terlincah di dalam paya.. Kalau tidak dapat jadi nakhoda, jadilah pengikut yang terbaik .. Jika tidak menjadi bulan, jadilah bintang.. Jika tidak menjadi jagung jadilah keledek. Bukannya besar atau kecil kamu akan menang tetapi jadilah diri kamu yang terbaik..

TERIMA KASIH CIKGU

Sunday, November 14, 2010

133. Pindah

Gambar Hiasan - Google

Guru-guru yang mengajar lebih 10 tahun
di sesebuah sekolah boleh memohon
berpindah untuk perkembangan diri.
Guru-guru yang hampir pencen boleh
memohon untuk berkhidmat di tempat sendiri.
Esok 15 November adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh sebilangan rakan-rakan guru kita yang memohon untuk berpindah. Esok adalah tarikh yang diberitahu oleh pihak jabatan akan diumumkan nama-nama guru yang berjaya memohon pindah dalam sistem e-Gtukar (Sistem Pertukaran Guru Secara Online) sama ada berpindah dalam bahagian, antara bahagian dan perpindahan antara negeri. 

SMKB pada tahun ini mencatat sejarah 15 Orang guru memohon bertukar secara online, dengan berbagai alasan yang diberikan. Saya kira ini adalah permohonan yang terbanyak, sebelum saya dimaklumkan oleh rakan-rakan, ada sekolah yang jumlah permohonan pindah sehingga 20 orang dan sekolah-sekolah yang dipohon pula ialah sekolah-sekolah yang berdekatan dengan sekolah asal. Walau apa pun ini adalah kemudahan yang disediakan oleh pihak Kementerian dan boleh dicuba jika ada alasan-alasan tertentu untuk berpindah. Namun jika semua permohonan ini diluluskan, juga akan mengundang pelbagai masalah.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Kementerian kerana kali ini adalah kali pertama keputusan perpindahan akan dimaklumkan lebih awal tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya berharap untuk tahun-tahun yang akan datang, ia akan berterusan kerana pihak sekolah dapat membuat peranangan dengan lebih awal sebelum sesi persekolahan dibuka. Untuk memantapkan lagi urusan pentadbiran sekolah terutama masalah permulaan sesi persekolahan Saya menyarankan, agar nama-nama guru dan opsyen mereka dapat dihantar dengan segera ke sekolah-sekolah yang dipohon. Jika tiada pengganti, pihak Jabatan perlu maklumkan dan guru GSTT perlu diisi dengan segera. Dengan cara ini, dapat menyelesaikan masalah pembahagian mata pelajaran yang perlu diajar oleh guru dan tidak berlaku pertukaran guru dan pertukaran jadual waktu yang kerap. 

Perpindahan guru sedikit sebanyak memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada perkembangan sekolah. Perpindahan ini kadang kala ibarat yang hilang tidak berganti, yang patah tidak tumbuh seperti yang patah. Atau, kadangkala perpindahan ini ada hikmah kepada sesebuah sekolah, yang dahulunya malap tetapi sekarang sudah membangun duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah lain. Perpindahan dan perpisahan adalah sinonim, perpisahan menyedihkan dan ada akan bergembira kerana sudah mencapai apa yang diimpikan.

Perpindahan memberi kesan kepada diri seseorang guru. Ada guru yang merasa cukup "Stress" di sesuatu tempat, tiada motivasi, hampir-hampir memusnahkan diri sendiri...?, ingin meletak jawatan dan sebagainya tetapi bila dapat berpindah di tempat yang diminta dan disukai, keseronokkan bekerja mula menyerlah, bergembira ditempat baru dan melupai semua masalah dan dapat bekerja dengan baik dan cemerlang. 

Alasan-alasan yang selalu diberikan oleh guru-guru yang memohon pindah ialah, berkahwin (ikut suami atau isteri), sakit, ingin menjaga ibu bapa yang sudah tua, ingin melanjutkan pelajaran ketahap yang lebih tinggi, keselamatan diri, cukup tempoh, lambat mendapat jodoh dan lain-lain. Namun ada juga guru-guru yang "dipindahkan" kerana masalah diri... dan ada yang dinasihatkan berpindah. Selain alasan-alasan tersendiri yang tidak terucap seperti masalah hubungan sesama guru, rakan sekerja atau bermasalah dengan pihak pengurusan.

Biarpun 1000 alasan yang diberikan untuk berpindah, jika dapat berpindah, tahniah kerana permohonan diluluskan dan berpindahlah semoga cikgu akan berjaya walau di mana sahaja berada dan jika tidak dapat berpindah jangan berputus asa pasti ada peluangnya nanti. Percayalah tenaga dan usaha cikgu masih diperlukan untuk membangunkan sekolah. Khususnya bagi guru-guru SMK Belawai. Sama-samalah kita bersatu tenaga dan usaha kita, sama berganding bahu membangunkan sekolah ini selagi kita bergelar guru SMK Belawai  dan kita tinggalkan  sekolah ini dalam suasana cemerlang setelah sejarahnya terpahat..

TERIMA KASIH CIKGU

Wednesday, November 10, 2010

131. Berilah Hukuman Setimpal Dengan Kesalahan

Gambar Hiasan - Ikhsan Google

Saya pernah bekerja dengan kilang rotan tahun 1985
sementara menunggu keputusan STPM di Syarikat Lok
Seng, Kuala Nerang Kedah. Sebagai penjemur rotan..
Antara nama rotan yang saya masih ingat namanya
ialah rotan Masam dan rotan Manau. Tetapi sebanarnya
 banyak nama lain. Saya pernah tengok rakan yang
kena rotan di sekolah -  Alhamdulillah dia mempunyai
syarikat sendiri di Ipoh.
Tahniah Din...


Lain padang lain belalang, lain dulu lain sekarang. Dalam ucapan Tuan Haji Abdul Rahman Bolhasan, semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2010 SMK Belawai, beliau akur bahawa guru-guru di sekolah susah untuk melaksanakan hukuman jika ada para pelajar yang bermasalah. Tidak seperti dahulu dimana ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kepada guru untuk mengajar, dan pesanan ibu bapa kepada guru, ajarlah anak kami dengan baik, pukullah jika ia degil tetapi jangan sampai buta dan capik. Kerana, kalau betul-betul dia tidak dapat menerima pelajaran, dia masih dapat melihat dan bekerja untuk mencari nafkah.

Namun sekarang sudah banyak berubah, Pandangan ibu bapa terhadap guru-guru sudah berubah. Guru-guru bukan seperti dahulu lagi yang boleh diharapkan sepenuhnya, sesetengahnya umpama harapkan pagar, pagar makan padi. Kecurigaan ibu bapa menyebabkan penyerahan anak-anak kepada sekolah untuk di ajar dan menerima pendidikan tidak sepenuh hati. Sementara guru-guru di sekolah juga menerima dengan perasaan was-was. Ada ketikanya ibu bapa pula yang lebih, mereka lebih mempercayai anak-anak lebih daripada guru dan membuat kesimpulan tanpa berfikir serta tidak membuat rujukan terlebih dahulu. Seterusnya masalah anak-anak di sekolah menimbulkan konflik antara ibu bapa dan pihak sekolah. 

Tidak ramai guru yang bermasalah, tetapi yang segelintir inilah yang mencacatkan insitusi pendidikan. Bagi guru-guru yang benar-benar mahu memberi didikan yang terbaik biasanya akan berwaspada, jangan sampai melanggar syarat-syarat yang terkandung di dalam surat-surat pekeliling diedarkan oleh Kementerian di Sekolah-sekolah.

Gambar hiasan - google
Namun kadang-kadang terlepas juga kerana perasaan ”Geram” kerana sikap pelajar yang melampau dan mengatasi tahap kesabaran seseorang manusia biasa. Lalu jadilah isu dan tidak kurang sehingga ke Mahkamah serta mengisi ruang-ruang utama di akhbar-akhbar. Sekolah dilihat terlalu zalim, maka banyak pantang larang digariskan sehingga guru- guru enggan mengambil pelbagai risiko. 

Pelajar yang ada di sekolah bukan jenis yang sama, bagi sesetengah pelajar hukuman yang diberikan supaya mencegah atau jangan mengulagi perkara-perkara yang dibuat oleh mereka dipandang sebagai remeh. Dan bagi sesetengah pelajar hukuman guru tersebut dilihat dari sudut positif dan berusaha tidak mengulanginya lagi kerana adanya sifat malu, ingin bersaing dan ingin terus maju.

Antara hukuman-hukuman yang dianggap tidak sesuai dan jika tindakan ini diambil ia akan memperlihatkan penyeksaan, mamalukan  dan dianggap liar ialah:
  1. Mencela
  2. Mencubit
  3. Menjentik
  4. Mencekik
  5. Menampar
  6. Memulas telinga
  7. Merotan hingga luka dan cedera.
  8. Mengenjut beberapa kali yang tidak berpatutan sambil memengang telinga.
  9. Menghuku murid secara berkumpulan dengan alasan si pesalah enggan mengaku.
  10. Menyuruh murid melakukan seseuatu yang tidak berperikemanusiaan
  11. Mendera, berlari keliling padang.
  12. Mengetuk dan menyekeh kepala murid.
  13. Berdiri atas meja dan kerusi.
  14. Mengetuk dengan tumit kasut.
  15. Menjemur di tengah panas.
  16. Melakukan ketuk ketampi
  17. Melakukan “tepuk lalat”
  18. Berlari keliling padang.
  19. Berjalan itik
  20. Lain-lain hukuman yang bersifat penyeksaan.
Hukuman-hukuman di atas barangkali dilihat seperti amalan biasa tetapi perubahan yang berlaku di dalam masyarakat melihat hukuman seperti ini sudah ketinggalan dan tidak lagi sesuai. Walaupun sesetengah orang masih ingat sehingga ke hari ini apa yang dilakukan oleh guru, dan bangga dihukum, jika tidak dia tidak akan berjaya seperti ini, bukan bermakna baik untuk semua orang. Sesetengahnya melihat ia adalah satu penderaan mental yang meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam jiwa pelajar sepanjang hidupnya. Maka berubahlah, carilah hukuman lain yang setimpal tetapi bukan penyeksaan dan memalukan…

# Sykur di SMKB Persatuan Ibu Bapa memberi penuh kepercayaan kepada pihak sekolah dan ibu bapa sudi datang ke sekolah membincangkan masalah anak-anak. Tahniah dan teruskan budaya ini dan semoga kita sama-sama beroleh kejayaan.

Rujukan:
  1. Surat Pekeliling Iktisas Bil.8/1993: Mengenakan hukuman biasa pada murid-murid yang melakukan perbuatan salah laku yang tidak dinyatakan dalam peraturan-peraturan Pelajaran.
  2. Surat Pekeliling Iktisas Bil. 7 /1995: Tatacara mengenakan tindakan dan hukuman pada pelajar-pelajar sekolah.

Monday, November 8, 2010

130. AKS Jana Pembangunan Sekolah

Pejabat yang cantik, teratur dan bersih
akan menambahkan motivasi untuk
bekerja dengan sempurna
Kemajuan dan kecemerlangan sesebuah sekolah bukan hanya terletak kepada pengetua dan guru-guru. Peranan mereka yang dipanggil sebagai AKS (Anggota kakitangan Sokongan) atau mereka yang terdiri dari Ketua Pembantu Tadbir (KPT), Pembantu Tadbir (PT), Penyelia Asrama, Pekerja Am, Pembantu Pejabat dan Pembantu Makmal adalah sangat penting. Tidak kira "N" berapa mereka, mereka juga adalah diantara orang-orang yang telah menyumbang jasa dan bakti kepada sekolah atau organisasi dan sama-sama berbangga jika sekolah atau organisasi tersebut cemerlang.

Ketua bagi semua AKS ialah Ketua Pembantu Tadbir (KPT). Untuk menjalankan tugas dengan sempuna, KPT perlu berbincang dengan pengetua tentang hala tuju sekolah. Dengan kuasa yang ada pada KPT, beliau boleh mengatur strategi dengan mengagihkan tugas-tugas dan disimpan di dalam "Fail Meja" (Fail Tugas) yang sedia ada pada setiap individu. Senarai tugas yang jelas akan membantu AKS melaksanakan tugas dengan sempurna dan tidak menyalahkan sesama sendiri jika ada perkara-perkara yang tidak terlaksana dan tidak timbul isu ".. itu bukan tugas saya",  AKS yang faham tentang visi dan misi sekolah biasanya akan meletakkan harapan yang tinggi terhadap pekerjaan dan bekerja dengan penuh dedikasi, akauntabili dan beritegriti.

Pejabat Am adalah nadi bagi sesebuah sekolah. Tidak kira sama ada sesebuah sekolah itu mempunyai pengetua, belum ada pengetua, pengetua sakit, pengetua berkursus, pengetua bercuti dan sebagainya. Pengurusan di Pejabat Am perlu berjalan dengan sempurna. Gaji guru perlu dibayar, makanan pelajar asrama perlu dipesan dan semua bil perlu dibayar tepat pada masa yang ditetapkan oleh pihak jabatan. Pengurusan yang cekap akan menyumbang terhadap kecemerlangan sekolah. Selain dari itu Keberkesanan pengurusan Pejabat Am adalah ceminan kepada kualiti pengurusan seseorang pengetua. Kepincangan yang berlaku akan dirasi oleh seluruh warganya.

Hubungan AKS dengan guru-guru juga tidak kurang pentingnya. Kepuasan bekerja bagi seseorang guru bukan sahaja dapat melihat anak didiknya berjaya tetapi dilihat dari tertunainya keperluan peribadi. Banyak isu berkaitan pekerja di pejabat dengan guru terutamanya tentang urusan gaji, potong gaji, pengiraan gaji yang tidak betul, gaji lambat, tunggakan gaji tidak dihitung dengan betul, elaun, claim, kenaikan pangkat dan lain-lain. Seelok-eloknya berbincanglah antara satu sama lain secara sopan dan mencari penyelesaian yang terbaik. Walau pun kita tidak dapat memuaskan semua kehendak kerana sebab-sebab tertentu sekurang-kurangnya mendengar masalah guru dan gunakan perkataan yang tidak menyinggung mana-mana pihak. 

Di SMK Belawai, semua AKS dilayan sama rata dan dilibatkan dalam semua program sekolah sama ada besar atau kecilnya program tersebut. Begitu juga dengan penyertaan di dalam Mesyuarat (Mesyuarat Pengurusan dan Mesyuarat Staf), Latihan Dalam Perkhidmatan dan semua idea yang bernas untuk kemajuan sekolah dipertimbangkan dengan sewajarnya dan diterima pakai jika ia menguntungkan sekolah. Tiada perkataan tersisih di SMK Belawai dan Alhamdulillah setakat ini saya sangat berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan dan semua masalah yang timbul diselesaikan dengan baik. ....kata saya?

Mohamad

Monday, November 1, 2010

126. Majalah Sekolah

Dua buah majalah yang masih dalam simpanan pihak sekolah
"Majalah Sekolah" merupakan satu dokumen yang sangat penting selain dari dokumen-dokumen lain yang disimpan di dalam fail-fail sekolah. Bagi seseorang guru baru sama ada baru melapor atau baru bertukar, maklumat awal tentang sesebuah sekolah boleh diperolehi dari majalah tersebut. Begitu juga bagi seseorang pengetua. Biasanya bagi sekolah-sekolah yang berdekatan atau di dalam Bahagian yang sama majalah sekolah di edar sebagai "cenderahati" dengan tujuan penyebaran maklumat. Oleh itu semua maklumat yang diberikan di dalam majalah sekolah hendaklah tepat dan kandungan majalah sekolah perlu merangkumi semua aspek dari malumat guru, akademik, kokurikulum, maklumat murid dan yang paling penting ialah kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam tahun tersebut.

Di SMK Belawai, keluaran majalah sekolah yang sebelum ini terhenti telah di mulakan semula pada tahun 2007. Namun begitu ada beberapa buah majalah sekolah sebelum ini telah disimpan dengan baik. Saya tidak pasti kenapa malajah tersebut dihentikan keluarannya, tetapi yang pasti kemungkinan besar tiada guru yang sanggup untuk menguruskannya kerana untuk penerbitan majalah seperti ini memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Kini sejak saya di SMKB, majalah sekolah telah diterbitkan setiap tahun dan kini sudah 4 keluaran termasuk tahun 2010 yang sedang dalam proses terakhir untuk cetakan.

Laporan yang saya terima dari Cikgu Wan Othman, semuanya berjalan lancar hanya tinggal aktiviti terakhir iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan pelajar sahaja yang belum dimasukkan. Saya berharap majalah ini nanti dapat diedarkan kepada semua para pelajar seperti sebelum ini iaitu semasa mereka mengambil keputusan peperiksaan SPM. Sekiranya ada masalah, ia perlu diselesaikan dan siap seperti yang dirancang.

Majalah sekolah SMKB untuk tahun 2009 agak lewat di cetak disebabkan oleh perpindahan guru. Walaupun demikian bersyukur kepada Allah, Cikgu Safizan Salman dapat juga melaksanakan tugasnya yang terakhir dan dapat diedarkan kepada semua pelajar selepas hari raya puasa yang lalu. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau, walaupun sibuk di Sekolah Seni di Johor Bharu, beliau masih dapat memberikan sentuhan terakhir yang sangat menarik  untuk majalah tersebut atas kepercayaan pengalaman beliau yang luas dalam bidang tersebut. Ketiga-tiga majalah sekolah yang diterbitkan sebelum ini 2007,2008 dan 2009 adalah tanggungjawab beliau dan buat pertama kali untuk majalah sekolah 2010 adalah dibawah tanggungjawab Cikgu Wan Othman, juga merupakan seorang guru yang mempunyai daya kreativiti tersendiri.


Majalah sekolah adalah diari indah kepada seseorang pelajar, gambar yang dipaparkan untuk tatapan memberi seibu makna. Begitu juga kepada guru-gurunya yang pernah mengajar di sesebuah sekolah. Di dalamnya menggambarkan kegembiraan, keseronokan, kecemerlangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Rentetan peristiwa yang termaktub di dalamnya menggambarkan pembangunan sekolah dari segi fizikal dan pelbagai kejayaan guru yang menjelaskan agenda utama sekolah. Bagi mereka yang berkepentingan majalah sekolah adalah peluang.. 

TERIMA KASIH CIKGU

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Bersyukur Kita Kepada Allah S.W.T Dengan Izinnya Perancangan Pembangunan & Perancangan Peningkatan Akademik SMK Belawai Telah Berjalan Dengan Lancar. Kejayaan Paling Manis ialah pencapaian tertinggi PMR 2011 69.59% dengan GPSnya 3.05. Semoga kecemerlangan ini akan diteruskan oleh guru-guru di sana.



Sejak 13 Februari 2012 saya kini di SMK Baru Miri. Segala tenaga dan usaha kini tertumpu dipusat tanggungjawab yang baru. Perancangan 5 tahun saya bersama plan strategik sekolah sedang diatur. Harapan saya, saya akan berjaya laksanakannya sepertimana kejayaan saya di SMK Belawai dengan kerjasama dari warga SMK Baru Miri. Semuanya dengan kehendaknya jua...



Sejarah perkhidmatan:

23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah

1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu

16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah

13 Februari 2012 - sekarang SMK Baru, Miri

PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.